You are on page 1of 1

DODOL MAKANAN TRADISIONAL MELAYU

Dodol ialah sejenis makanan tradisional Melayu dan juga dikategorikan dalam
kumpulan makanan yang manis. Dodol sangat terkenal di Melaka dan di Muar, Johor.
Membuat dodol boleh dikatakan amat rumit. Ramai orang selalu mencuba untuk
membuatnya tetapi tidak semua yang akan menghasilkan dodol yang bermutu tinggi.
Biasanya mereka yang mahir membuat dodol ini terdiri daripada mereka yang telah berusia.
Jarang sekali generasi muda mahir membuat dodol. Bahan-bahan yang diperlukan untuk
membuat dodol terdiri daripada santan kelapa, tepung beras, tepung pulut, gula pasir, gula
melaka dan garam.
Pada asasnya, manisan dodol ini diperbuat daripada perahan susu dari
buah kelapa tua, jageri (gula batu merah yang diperbuat daripada ekstrak tebu atau gula
melaka) serta tepung beras ataupun tepung pulut. Semua ramuan ini akan diadunkan
melalui kaedah kacauan yang berlangsung berterusan selama lebih kurang 3 hingga 4 jam
pada suhu tinggi untuk masakan yang sesuai. Hasilnya, fizikal dan rasa dodol akan berubah
menjadi melekit, pekat dan manis. Di kebanyakan negara Asean, dodol telah menjadi bahan
santapan khususnya pada hari perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji. Terdapat
banyak versi dodol yang berlainan sama ada dari segi warna yang kebanyakannya
berwarna perang gelap, hijau dan kuning . Rasa dodol juga turut dipelbagaikan, namun versi
rasanya yang selalu dinikmati adalah dalam keadaan rasa durian, kelapa dan pisang

Antara bahan yang diperlukan untuk membuat dodol ialah tepung pulut, tepung beras,
gula Melaka, kelapa parut dan daun pandan.Proses yang pertama ialah membancuh tepung
beras dan tepung pulut dengan santan. Setelah itu,tapis ke dalam kuali besi. Masak gula
melaka dengan sedikit air dan daun pandan. Apabila telah larut, masukkan ke dalam adunan
tepung tadi. Dengan menggunakan api yang perlahan jerangkan adunan ini sambil dikacau
dan apabila setengah masak, masukkan pati santan dan terus kacau sehingga masak.
Seterusnya, bahan-bahan tersebut hendaklah dicampurkan bersama di dalam kuali
yang besar atau dikenali sebagai kawah dan dimasak dengan api yang sederhana besar.
Dodol yang dimasak tidak boleh dibiarkan kerana jika dibiarkan, dodol akan hangus atau
hangit di bahagian bawahnya. Oleh itu, dodol hendaklah sentiasa dikacau bergilir-gilir untuk
mendapatkan hasil yang baik. Dodol yang dimasak memakan masa yang agak lama iaitu
lebih kurang 4 jam kerana sekiranya kurang daripada 4 jam, dodol yang dimasak tidak sedap
dimakan. Setelah 2 jam dodol tadi dimasak, dodol akan bertukar kepada warna perang yang
pekat sedikit. Dodol tersebut akan mendidih dan mengeluarkan gelembung-gelembung
udara yang banyak.
Selepas itu, dodol hendaklah dikacau supaya gelembung dodol tersebut tidak
terkeluar dari kawah sehinggalah dodol tersebut masak dan diangkat. Akhir sekali, dodol
tersebut hendaklah disejukkan di dalam periuk yang besar. Untuk mendapatkan hasil yang
baik dan rasa yang sedap, dodol mestilah berwarna perang tua, berkilat dan pekat.Selepas
itu, dodol tersebut bolehlah dipotong dan dimakan. Kebiasaannya, dodol akan dihidang
kepada tetamu pada hari-hari tertentu seperti hari-hari perayaan dan majlis kenduri.

You might also like