You are on page 1of 8

Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019

Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)


Semester 3, Ambilan Jun 2018

ISU-ISU SEMASA BERKAITAN TINGKAH LAKU BERMASALAH MURID


SERTA PENGGUNAAN SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
SEJARAH DI DALAM BILIK DARJAH

Anis Arina Binti Saldi


Jabatan Sejarah,
IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka

A. PENDAHULUAN

Masalah tingkah laku sering dihadapi oleh guru-guru semasa proses pengajaran dan
pembelajaran berlaku di dalam bilik darjah. Menurut Mohd Nazar Mohamad (1990), tingkah
laku bermasalah ialah tingkah laku yang mengganggu perjalanan hidup seseorang individu.
Tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku yang menghalang guru dan
murid-murid lain daripada mencapai pembelajaran optima. Tingkah laku bermasalah
sememangnya mampu menjejaskan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di
dalam bilik darjah. Kepelbagaian murid menjadi salah satu faktor berlakunya tingkah laku
bermasalah. Penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan interaktif
mampu menangani isu tingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah. Oleh itu, guru-guru
perlu bertanggungjawab dalam mengenal pasti masalah tingkah laku murid-murid supaya
dapat diatasi melalui strategi-strategi dan teknik-teknik yang efektif.

B. DAPATAN PEMERHATIAN DI SEKOLAH

i. ISU TINGKAH LAKU BERMASALAH DI DALAM BILIK DARJAH

Berdasarkan pemerhatian melalui Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah


Kebangsan Peramu Jaya, Pekan pada 5 Ogos sehingga 9 Ogos 2019, terdapat beberapa isu
tingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah yang dihadapi oleh guru-guru dan pihak
sekolah. Antara isu tingkah laku yang berlaku di sekolah tersebut ialah murid-murid
membuat bising di dalam bilik darjah, tidur dan tidak memberikan tumpuan terhadap proses
pengajaran dan pembelajaran, bermain bersama rakan-rakan, tidak menyiapkan tugasan
yang diberikan oleh guru dan sebagainya. Isu yang akan diberi fokus utama ialah isu murid
tidak memberikan tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah. Sesetengah murid tidak memberikan tumpuan terhadap proses pengajaran dan
pembelajaran kerana mereka tidak berminat terhadap sesuatu mata pelajaran khususnya mata
pelajaran Sejarah. Menurut Mastura Badzis (2017), memberi tumpuan bermakna kanak-
kanak berupaya memberi perhatian terhadap sesuatu yang penting serta tahu dan tidak
mengendahkan hal tidak penting. Masalah kurang tumpuan terhadap pengajaran guru ini
termasuklah melakukan aktiviti lain seperti berbual bersama rakan dan tidur di dalam bilik
darjah. Sikap murid yang tidak memberikan tumpuan di dalam bilik darjah sudah tentu akan
mempengaruhi rakan-rakan sekelasnya. Apabila murid-murid berbual dan membuat bising
di dalam bilik darjah, guru tidak dapat menyampaikan pengajarannya secara berkesan. Hal
ini menyebabkan murid-murid lain berasa terganggu dan memilih untuk membuat kerja
sendiri. Kurangnya fokus di dalam bilik darjah menyebabkan prestasi murid akan merosot.
Hal ini demikian kerana murid kurang memahami pelajaran yang diajar sehingga
menyebabkan mereka tidak dapat menjawab peperiksaan atau ujian dengan baik. Menurut
Raven (1977), apabila murid-murid tidak berminat dalam mata pelajaran tertentu dan guru

1
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

pula tidak menarik minat mereka, maka murid-murid tersebut akan hilang semangat belajar
dan melakukan apa jua yang terlintas dalam fikiran mereka. Nawi Ismail (2016) menyatakan
bahawa isu murid tidak memberikan tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran
merupakan masalah tingkah laku yang kerap berlaku di dalam bilik darjah.
Penggunaan bahan bantu mengajar yang tidak menarik merupakan salah satu faktor
murid hilang minat dan tumpuan semasa pengajaran dan pembelajaran. Kebanyakan murid
tidak berminat untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah adalah kerana kesukaran untuk
mengingati fakta, buku teks yang tidak menarik serta bahan pengajaran dan kaedah
pengajaran guru yang membosankan. Guru-guru terlalu bergantung kepada buku teks sahaja
dan tidak mempelbagaikan bahan pengajaran. Aini Hassan (1998) menyatakan bahawa
majoriti guru sejarah masih mengamalkan pendekatan tradisional dalam pengajaran dan
pembelajaran. Menurut Siti Hawa Abdullah (2008), persediaan guru di bilik darjah masih
terlalu bergantung terhadap buku teks. Mata pelajaran Sejarah sering dilihat sebagai mata
pelajaran yang membosankan dan hanya menekankan pemerolehan pengetahuan melalui
hafalan. Menurut Amir Hassan (2009), setiap individu memiliki psikologi dan kemampuan
intelek yang berbeza. Maka, guru perlu merancang pengajaran yang sesuai mengikut tahap
murid dan menggunakan bahan bantu mengajar bagi merangsang perkembangan potensi
individu ke tahap yang maksimum. Oleh hal yang demikian, penggunaan sumber pengajaran
dan pembelajaran Sejarah yang menarik serta memenuhi keperluan pembelajaran abad ke-21
adalah amat penting untuk memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran
Sejarah di dalam bilik darjah.

ii. Sumber Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah yang Membantu Menangani Isu
Tingkah Laku Bermasalah di dalam Bilik Darjah

Antara sumber pengajaran dan pembelajaran Sejarah yang digunakan oleh guru ialah bahan
bercetak, bahan elektronik dan internet serta bahan maujud. Bahan bercetak ialah bahan
maklumat yang diperoleh dalam bentuk tulisan dan wujud secara fizikal. Contoh bahan
bercetak ialah majalah dan akhbar, jurnal, surat-surat persendirian, dokumen rasmi kerajaan,
buku sejarah dan peta atau gambar sejarah. Menurut Lee (2002), bahan elektronik atau
dikenali sebagai sumber digital sejarah merupakan satu kaedah untuk mengkaji peristiwa
masa lampau menggunakan sumber-sumber sejarah yang telah diproses secara elektronik.
Antara bahan elektronik yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah ialah
perisian multimedia sejarah, audio, animasi, video, interactive whiteboard dan perisian
permainan sejarah. Menurut Sufean Husin et al (2005), bahan maujud merupakan bahan
konkrit atau bahan sebenar yang boleh disentuh dan dipegang. Dalam konteks pengajaran
Sejarah, tinggalan kota atau bangunan lama pada zaman dahulu seperti Kota A’ Famosa di
Melaka dan tapak Lembang Bujang di Kedah merupakan contoh bahan maujud.
Sumber pengajaran dan pembelajaran Sejarah yang sesuai digunakan oleh guru
untuk mengatasi isu murid tidak memberikan tumpuan di dalam bilik darjah ialah sumber
digital sejarah. Menurut Endacott (2010), keupayaan guru menggunakan sumber digital
sejarah dalam pengajaran dan pembelajaran mampu menyediakan persekitaran pengajaran
dan pembelajaran yang memberi peluang dan ruang kepada murid untuk meneroka,
mentafsir, dan mencari makna di sebalik bahan bukti. Guru boleh menggunakan perisian
multimedia sejarah yang melibatkan integrasi media seperti teks, audio, grafik, animasi dan
video. Unsur-unsur multimedia ini dapat diserap dalam perisian Pembelajaran Berbantukan
Komputer (PBK). Sesi pembelajaran melalui penggunaan sumber digital ini perlu
disesuaikan dengan tahap penerimaan dan kefahaman murid. Menurut RUSA (2008), guru
perlu didedahkan dengan pelbagai kemahiran berkaitan sumber digital seperti mengenal

2
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

pasti, memilih sumber sejarah dan mengetahui isu hak cipta dalam menyediakan bahan yang
sesuai untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran mengikut keperluan murid. Tan dan
Carol (2013) turut menyatakan bahawa isi pengajaran yang disampaikan secara telus melalui
pengaplikasian teknologi seperti video YouTube sebagai bahan bantu mengajar dalam
proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah berjaya menarik minat serta meningkatkan
kefahaman dan daya ingatan murid. Oleh itu, guru-guru sejarah perlu meningkatkan
kemahiran diri dalam menggunakan teknologi maklumat untuk menghasilkan proses
pengajaran dan pembelajaran Sejarah yang dapat menarik minat dan tumpuan murid.

C. PERBANDINGAN SUMBER-SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


SEJARAH SERTA KESAN PENGGUNAAN SUMBER TERHADAP TINGKAH
LAKU MURID

Sumber-sumber yang dinyatakan mampu digunakan untuk mencapai matlamat yang sama,
iaitu membantu murid-murid memahami pengajaran dan kemahiran Sejarah dengan lebih
baik walaupun setiap sumber memiliki ciri-ciri yang berbeza. Sumber-sumber pengajaran
dan pembelajaran Sejarah boleh dibandingkan mengikut beberapa aspek. Aspek pertama
yang boleh dilihat adalah dari segi isi kandungan sumber. Peredaran masa menyebabkan isi
kandungan bahan bercetak adalah tidak terkini dan ketinggalan berbanding isi kandungan
bahan elektronik. Hal ini demikian kerana isi kandungan bahan bercetak tidak dapat
disuntingkan dalam masa yang singkat. Buku sering disunting terlebih dahulu lalu dicetak
dan diedarkan sehingga mengambil masa yang lama untuk mengikut peredaran zaman. Hal
ini mengakibatkan kandungan rujukan adalah tidak relevan dengan kandungan pengajaran
dan pembelajaran (PdPc) yang sentiasa berubah. Selain itu, sebarang kesilapan dalam aspek
kesalahan tanda baca, ejaan perkataan dan struktur ayat tidak boleh dipadam dan disunting
selepas dicetak. Malah, terdapat fakta dalam kandungan buku yang tidak tepat. Kandungan
bahan elektronik dan internet pula sentiasa dikemaskinikan kerana mudah disunting apabila
capaian internet dapat diakses. Mohd Mahzan et al. (2013) menyatakan bahawa penggunaan
sumber elektronik dan internet dapat memberi respon yang pantas kepada guru dan
kandungannya sentiasa dikemaskinikan. Sumber ini adalah penting kerana segala capaian
boleh dilakukan melalui laman-laman web, blog, Google, muzium dan arkib digital
(Rosenzweig, 2001). Tambahan pula, guru boleh membuat sebarang pembetulan sekiranya
berlaku kesilapan pada bahan yang ingin disampaikan. Kandungan bahan elektronik boleh
diguna pakai pada masa akan datang. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan kembali
slaid yang telah disiapkan dalam pengajaran Sejarah akan datang. Guru hanya perlu
melakukan penambahbaikan terhadap slaid tersebut dengan menambah bahan dan
membetulkan kesilapan. Guru juga boleh memasukkan pelbagai grafik seperti gambar, peta
dan video untuk mengukuhkan lagi pemahaman murid berkenaan sesuatu tajuk. Melalui
penggunaan sumber digital sejarah, banyak imej, video dan contoh-contoh yang jelas dapat
dipaparkan kepada murid-murid. Hal ini membantu murid untuk membuat perkaitan,
rasionalisasi dan imaginasi berkenaan peristiwa sejarah tersebut kerana mereka tidak dapat
mengalami sendiri pengalaman sejarah yang telah berlaku pada masa lalu. Secara tidak
langsung, murid akan memberikan tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran
Sejarah.
Tahap kebolehcapaian sesuatu sumber turut boleh dikenal pasti. Bahan bercetak seperti
buku teks, kamus, surat khabar, majalah dan ensiklopedia adalah mudah didapati dan senang
digunakan. Malah, bahan bercetak adalah mudah untuk dirujuk pada bila-bila masa dan
dibawa ke mana-mana sahaja. Hal ini secara tidak langsung dapat menjimatkan masa guru
untuk menyediakan bahan bercetak. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan poster yang

3
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

bersifat ringan dan mudah dibawa untuk digunakan semasa pengajaran beliau, iaitu guru
mudah untuk memindahkan bahan tersebut dari meja beliau ke bilik interaksi. Ahmad
(1997) menyatakan bahawa pemilihan bahan sumber seharusnya tidak membebankan guru,
tahan lama dan mudah dibawa ke mana-mana saja sama ada dari bilik guru ke dalam kelas,
dari kelas ke perpustakaan dan sebagainya. Penggunaan bahan bercetak dapat menjimatkan
masa murid-murid kerana ia dapat dibaca dengan cepat dan murid-murid boleh
menggunakannya mengikut kadar kecepatan mereka sendiri. Bahan elektronik pula boleh
diakses sekiranya terdapat capaian internet yang baik serta memerlukan penggunaan
komputer dan laptop. Guru yang terlalu bergantung terhadap penggunaan bahan elektronik
seperti komputer dan LCD berkemungkinan tidak mampu mengajar sekiranya bekalan
elektrik terputus. Tambahan pula, guru akan kehilangan bahan pengajaran apabila komputer
diserang virus atau mengalami kerosakan sekiranya bahan tersebut tidak disimpan terlebih
dahulu dalam bentuk asal. Guru-guru juga akan menghadapi kesulitan sekiranya mereka
ditempatkan di kawasan-kawasan pedalaman yang tidak menyediakan kemudahan
komputer. Namun begitu, Holt (2011) menyatakan bahawa sumber yang didigitalkan seperti
teks, imej dan artifak dapat memberikan kebebasan kepada guru untuk mengakses dan
menggunakannya di bilik darjah semasa pengajaran dan pembelajaran. Bagi mendapatkan
bahan maujud, guru akan mengalami kesukaran untuk memperoleh bahan dalam
menghasilkan bahan maujud tersebut, khususnya bagi guru yang tinggal di kawasan
pedalaman. Guru terpaksa keluar ke bandar untuk membeli bahan-bahan tersebut dan
menggunakan kos yang tinggi. Malah, reka bentuk bahan maujud yang besar mengakibatkan
kesukaran bagi guru membawa bahan tersebut. Namun begitu, guru boleh menyediakan
bahan maujud yang mudah didapati seperti pakaian tradisional untuk mengajar tajuk
Kesultanan Melayu Melaka. Hal ini membantu murid-murid untuk mendapat gambaran
sebenar dan membuat perkaitan antara pengetahuan yang diterima dengan pengalaman
sendiri. Secara tidak langsung, kemahiran pemikiran Sejarah murid-murid dapat
diperkembangkan dan membantu mereka untuk sentiasa fokus terhadap pengajaran guru.
Aspek lain yang boleh dikenalpasti adalah dari segi keberkesanan sumber untuk
meningkatkan daya kreativiti dan keseronokan murid untuk belajar. Penggunaan bahan
bercetak sahaja semasa pengajaran dan pembelajaran Sejarah menyebabkan daya kreativiti
murid tidak dapat diperkembangkan. Hal ini demikian kerana sifat fizikalnya yang tidak
mempunyai pergerakan dan animasi serta mengandungi terlalu banyak tulisan. Bahan
bercetak tidak dapat menampilkan gambar bergerak dan bersuara yang dapat mendedahkan
murid kepada pengalaman bersifat konkrit. Bahan yang mengandungi banyak teks
menyebabkan murid mudah berasa bosan dan tidak berminat untuk memberi tumpuan di
dalam bilik darjah. Apabila murid tidak fokus, mereka akan cenderung untuk melakukan
tingkah laku bermasalah lain seperti menconteng buku teks dan tidur di dalam bilik darjah.
Oleh hal yang demikian, daya kreativiti dapat ditingkatkan melalui penggunaan bahan
maujud. Sebagai contoh, guru boleh mengadakan aktiviti melukis poster, iaitu murid-murid
dapat mencurahkan idea-idea ke dalam lukisan poster mereka. Murid-murid juga boleh
menghasilkan folio berkenaan tokoh-tokoh negara atau peristiwa bersejarah di Malaysia.
Guru digalakkan untuk mengadakan lawatan ke tempat-tempat bersejarah seperti Kellie’s
Castle dan Istana Seri Menanti. Hal ini sudah tentu dapat memberikan keseronokan kepada
murid-murid (Tengku Sarina Aini dan Yusmina Md. Yusoff, 2007). Penggunaan bahan
maujud dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah dapat merangsang pemikiran murid dan
membantu mereka untuk memahami sesuatu perkara dengan lebih mudah. Hal ini demikian
kerana murid dapat melihat, mendengar dan menyentuh bahan maujud tersebut. Penggunaan
bahan elektronik dan sumber internet juga penting untuk merangsang daya kreativiti murid
di samping mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Misalnya, guru boleh

4
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

menunjukkan video zaman prasejarah dan meminta murid melakonkan watak manusia pada
zaman tersebut berdasarkan kepercayaan dan corak hidup mereka. Guru boleh mengakses
video-video yang menarik daripada pelbagai laman web rasmi seperti Arkib Negara
Malaysia dan portal-portal pendidikan. Guru mungkin boleh menggunakan video-video yang
menarik dalam laman web untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam
bilik darjah (Ismail Zain, 2002). Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaacob dan Mohd Zohir
Ahmad (2007) menyatakan bahawa guru boleh meningkatkan daya kreativiti murid-murid
dengan menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran yang sesuai.
Perbandingan seterusnya yang dapat dilihat adalah dari segi kos penyediaan sumber
tersebut. Bahan yang digunakan hendaklah tidak memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi
serta memudahkan guru dan pihak sekolah untuk menghasilkan bahan tersebut secara
sendiri. Kos untuk menyediakan bahan bercetak adalah lebih tinggi berbanding kos
penyediaan bahan elektronik dan internet. Hal ini demikian kerana bahan-bahan bercetak
seperti buku, majalah dan ensiklopedia perlu dibayar berbanding bahan-bahan elektronik
dan internet seperti kebanyakan artikel dan jurnal elektronik yang mudah diakses tanpa
sebarang pembayaran. Menurut Ting dan Woo (2005), guru-guru tidak menyedari bahawa
cara tradisional menggunakan kos yang lebih mahal, iaitu terpaksa membeli buku, jurnal dan
sebagainya. Sebagai contoh, buku teks digital boleh diakses oleh murid-murid dan para guru
menerusi laman sesawang 1BestariNet.net tanpa melibatkan sebarang pembayaran. Menurut
Adie (2011), buku teks digital atau e-book adalah sebuah buku dalam bentuk digital atau
elektronik berbentuk perisian yang tidak memerlukan ruang yang banyak untuk
menyimpannya. Buku teks digital merujuk kepada bahan bacaan berkonsepkan digital yang
menggantikan buku teks konvensional yang menggunakan kertas.

D. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN UNTUK MENGATASI ISU TINGKAH


LAKU BERMASALAH MURID

Bagi mengatasi isu murid tidak menumpukan perhatian terhadap pengajaran dan
pembelajaran Sejarah di bilik darjah, guru boleh menggunakan dan mengaplikasikan Model
Pengurusan Disiplin Thomas Gordon. Melalui model ini, Gordon menekankan kepentingan
kawalan dalaman atau kawalan kendiri murid (Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel
(2009). Kawalan guru terhadap murid secara berlebihan akan menyukarkan guru untuk
menerapkan pengaruh yang positif kepada murid. Hal ini bermakna guru tidak patut
bergantung kepada teknik intervensi tradisional yang berpusatkan kawalan guru, ganjaran
dan hukuman. Guru perlu menerapkan strategi berpusatkan murid dengan menyediakan
persekitaran pembelajaran murid yang memberangsangkan. Oleh hal yang demikian, guru
perlu mempelbagaikan pendekatan pedagogi guru yang selaras dengan perkembangan
teknologi maklumat dan kehendak Falsafah Pendidikan Negara. Bagi meningkatkan kualiti
pengajaran yang menekankan penglibatan murid secara aktif, guru perlu memanfaatkan
penggunaan sumber digital secara berkesan.
Azwan Ahmad et. al. (2005) menyatakan bahawa penggunaan sumber digital sejarah
sememangnya membantu meningkatkan minat murid serta menjadikan proses pengajaran
dan pembelajaran Sejarah lebih menarik. Sumber digital sejarah dalam bentuk bahan visual,
video, dokumen dan peta perlu digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah. Hal
ini demikian kerana gabungan unsur-unsur multimedia seperti teks, grafik, audio dan video
dapat memenuhi tahap kognitif serta gaya pembelajaran murid sama ada kinestetik, auditori
dan visual. Setiap murid berpeluang untuk menginterpretasi sumber sejarah dan meneroka
bukti dengan mudah. Amalan pemikiran sejarah murid turut dapat ditingkatkan apabila
murid mampu memilih sumber digital yang sahih dan melakukan perkongsian serta

5
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

perdebatan idea bersama guru dan rakan. Dalam pada masa yang sama, guru perlu memberi
bimbingan yang terkawal kepada murid dalam penggunaan sumber digital sejarah. Menurut
Eamon (2006), murid kini boleh klik pada sumber sejarah dalam talian bagi mendapatkan
pandangan 360 darjah mengenai artifak, membesarkan saiz dokumen sejarah, mengakses
bahan-bahan berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut dengan hanya menekan butang
dengan mudah. Hal ini boleh mengembangkan pemikiran murid untuk mengenalpasti dan
menyelesaikan permasalahan dalam sejarah. Van Hover et. al., (2007) menyatakan bahawa
sumber yang dikumpul, dianalisis dan seterusnya diintepretasi dapat menjana kematangan
pemikiran murid untuk memahami dan menghayati kandungannya. Guru juga boleh
merancang aktiviti menggunakan sumber digital sejarah. Sebagai contohnya, murid boleh
mengadakan perbincangan berkumpulan berkenaan kesahihan sumber yang dipilih melalui
pelbagai laman web atau portal pendidikan yang dicadangkan oleh guru. Hal ini dapat
menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan tidak
membosankan. Secara tidak langsung, penglibatan murid secara aktif dan tumpuan murid
terhadap proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah dapat ditingkatkan.
Konsep permainan dalam pembelajaran yang menggunakan pelbagai perisian seperti
perisian multimedia sejarah dan perisian permainan sejarah juga mampu menghasilkan
proses pembelajaran yang lebih menyeronokkan. Penggunaan unsur-unsur multimedia
seperti teks, imej dan animasi mampu merangsang murid untuk meneroka maklumat. Hal ini
demikian kerana gabungan pelbagai media yang memanfaatkan deria penglihatan dan
pendengaran sepenuhnya dapat menarik minat murid. Murid-murid dapat merangsang daya
kognitif untuk berfikir secara lebih kritis, kreatif dan inovatif melalui pembelajaran Sejarah
yang interaktif. Menurut kajian Hasimah dan Rafie (1994), penggunaan perisian kursus telah
meningkatkan motivasi murid. Maka, jelaslah bahawa murid-murid akan lebih bermotivasi
untuk terus belajar dan meningkatkan kemahiran pemikiran Sejarah melalui penggunaan
pelbagai jenis sumber digital.

E. PENUTUP

Oleh itu, isu tingkah laku bermasalah murid perlu diatasi oleh guru-guru dengan
mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran yang memenuhi keperluan murid. Guru-guru
boleh mengaplikasikan pelbagai model pengurusan bilik darjah seperti Model Modifikasi
Tingkah Laku B.F. Skinner, Model Disiplin Asertif Canter, Model Pengurusan Disiplin
Thomas Gordon dan sebagainya. Melalui penggunaan model-model ini, guru dapat
menghasilkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang aktif serta menyeronokkan untuk
murid-murid. Guru-guru perlu menjadi lebih kompeten untuk menguasai dan memanfaatkan
penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh. Maka, jelaslah
bahawa penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan sesuai dapat
merangsang dan menarik minat murid untuk sentiasa fokus di dalam bilik darjah.

RUJUKAN

Adie, S., (2011). Apa Itu Ebook dan Cara Membuat Ebook. (online). Diakses pada 19 0gos
2019 dari http://dotcomcell.com/kumpulan-artikel/-2011/01/apa-itu-ebookdancara
membuat-ebook.html.
Ahmad Mohd Salleh. (1997). Pendidikan Islam: Falsafah, Pedagogi dan Metodologi. Shah
Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

6
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

Aini Hassan. (1998). Pengajaran Dan Pembelajaran Sejarah Di Sekolah : Guru Sebaga
i Broker Ilmu Sejarah. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Selangor.
Amir Hassan Dewi. (2002). Penteorian Sosiologi dan Pendidikan: Edisi Kedua. Tanjung
Malim: Quantum Books.
Azwan Ahmad, Abdul Ghani Abdullah, Mohammad Zohir Ahmad dan Abd. Rahman Hj.
Abd. Aziz. (2005). Kesan Efikasi Kendiri Guru Sejarah Terhadap Amalan
Pengajaran Berbantukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Jurnal
Penyelidikan Pendidikan.
Eamon, M. (2006). A “Genuine Relationship With The Actual”: New Perspectives on
Primary Sources, History and The Internet in The Classroom. The History
Teacher. 39(3), 297-314.
Endacott, J. (2010). Reconsidering Affective Engagement in Historical Empathy. Theory
and Research in Social Education, 38(1), 6-49.
Haliza Hamzah dan Samuel, J.N. (2009). Siri Pendidikan Guru : Pengurusan Bilik Darjah
Dan Tingkah Laku. Kuala Lumpur : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Hasimah Mohamed dan Mohammad Rafei Mohd Arshad. (1994). Pengajaran Bantuan
Komputer (CAI) Multimedia Interaktif untuk Pengajaran Literasi Komputer.
EDUCOMP 1994 Proceeding: Visions for Teaching and Learning, 45-52.
Holt, K. (2011). Digital Approaches to Teaching World History. The Middle Ground
Journal, 2, (Spring 2011).
Ismail Zain. (2002). Aplikasi Multimedia Dalam Pengajaran. Kuala Lumpur: Sanon Printing
Sdn. Bhd.
Lee, J.K. (2002). Digital History in the History/ Social Studies Classroom. The History
Teacher, 43(4), 503 518.
Mastura Badzis. (2017). Keibubapaan: Tidak Tahu Buat Sendiri. Dlm. Berita Harian
bertarikh 28 Februari 2017.
Mohd Mahzan Awang, Abdul Razaq Ahmad, Jamalul Lail Abdul Wahab & Nordin Mamat.
(2013). Effective Teaching Strategies to Encourage Learning Behaviour. IOSR
Journal of Humanities and Social Science, 8(2), 35-40.
Mohd Nazar Mohamad. (1990). Nota Intisari Ilmu Pendidikan Psikologi Pendidikan.
Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Nawi Ismail. (2016). Kuran Tumpuan Melemahkan Pelajar. Diakses pada 19 Ogos 2019 dari
http://dwnsiswa.dbp.my/wordpress/?p=1320
Raven, J. (1977). Education, Values and Society : The Objectives of Education and the
Nature and Development of Competence. London: HK Lewis & Co. Ltd.
RUSA. (2008). Reference & User Services Association : Using Primary Sources On The
Web. History Section in American Library Association
http://www.ala.org/rusa/sections/history/resources/pubs/usingprimarysources
Rosenzweig, R. (2001). The Road to Xanadu: Public and Private Pathways on the History
Web. Journal of American History, 88(2), 548-579.
Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad. (2007). Pedagogi, Strategi
dan Teknik Mengajar dengan Berkesan. Kuala Lumpur: PTS Profesional.
Siti Hawa Abdullah. (2008). Empati Sejarah Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Sejarah.
Jurnal Pendidik dan Pendidikan, 28(1), pp. 131-146.
Sufean Hussin, Shahril Marzuki, Ahmad Zabidi Habib Md. Som dan Alina Ranee. (2005).
Pentadbiran dalam Pembangunan Pendidikan. Pahang: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.

7
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

Tan Choon Keong & Carol Abu. (2013). Pengaplikasian Video Youtube: Bahan Bantu
Mengajar (BBM) Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran
Sains Sosial. Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi 2013 (UMS, 29-30
Ogos 2013).
Tengku Sarina Aini dan Yusmini Md. Yusoff. (2007). Kaedah Mengajar dan Kemahiran
Interpersonal Guru. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Ting Kung Shiung &Woo Yoke Ling. (2005). “Penggunaan ICT Dalam Proses Pengajaran
Dan Pembelajaran Di Kalangan Guru Sekolah Menengah Teknik Dan Vokasional:
Sikap Guru, Peranan ICT Dan Kekangan / Cabaran Penggunaan ICT”
Van Hover, S., Hicks, D., & Irwin, W. (2007). Beginning Teachers Thinking Historically?
Negotiating The Context of Virginia’s High-Stakes Test. International Journal of
Social Education, 22(1), pp. 85-115.

You might also like