You are on page 1of 9

PENGGUNAAN SUMBER PENGAJARAN

DAN PEMBELAJARAN (PdP) SEJARAH DALAM MENGATASI ISU TINGKAH LAKU


MURID DALAM BILIK DARJAH

1.0 PENGENALAN

Sekolah Kebangsaan Desa Pinggiran Putra, Kajang merupakan sekolah yang dipilih
sebagai tempat saya melakukan PBS Fasa 2. Pemerhatian berkaitan tingkah laku
bermasalah dan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah telah dilakukan
sepanjang tempoh PBS bagi memenuhi tugasan kursus SJHK3073 Sumber Pengajaran
Dan Pembelajaran Dan EDUP3043 Pengururusan Tngkah Laku.

Sekolah Kebangsaan Desa Pinggiran Putra telah dibuka pada tahun 2014. Sekolah
ini merupakan sekolah yang terletak di kawasan bandar dan kebanyakan murid
mempunyai latar belakang yang berbeza dari segi kemampuan dan gaya pembelajaran.
Walaupun terdapat perbezaan individu dari segi sosial dan persekitaran, namun bukan
penghalang bagi guru untuk menangani tingkah laku bermasalah dan menggunakan
sumber pengajaran dan pembelajaran yang berkesan bagi mencapai matlamat
pendidikan.

2.0 DAPATAN DAN PEMERHATIAN DI SEKOLAH

2.1 ISU DISIPLIN DALAM BILIK DARJAH

Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan semasa Pengalaman berasaskan sekolah


(PBS), tingkah laku bermasalah yang berlaku dalam bilik darjah ialah murid membuat
bising, tidak menumpukan perhatian serta menganggu rakan-rakan. Di dalam situasi bilik
darjah yang sangat bising, memanglah sukar bagi guru untuk menyampaikan pelajaran
dengan jelas untuk didengar (Mohd Khairuddin Abdullah et. al. 2014). Masalah-masalah ini
dikategorikan sebagai masalah tingkah laku (distruptif) yang boleh menganggu
ketenteraman bilik darjah (Haliza dan Samuel, 2016). Faktor yang menyebabkan berlakunya
tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah ialah penggunaan sumber pengajaran dan
pembelajaran yang tidak menarik. Murid akan berasa bosan terutamanya murid yang pintar
cerdas kerana sumber pembelajaran yang disediakan tidak sesuai kognitif mereka. Masalah
ini berlaku apabila murid berasa tidak tercabar kerana bahan pembelajaran yang disediakan
berulang dan tidak sesuai dengan tahap penguasaan mereka. Hal ini juga dapat dikaitkan
dengan perbezaan individu dari aspek kepelbagaian kecerdasan, gaya pembelajaran dan
jenis murid. Gaya pembelajaran ialah cara setiap individu memproses maklumat dan cara
memproses maklumat itu adalah berbeza (Noriati Rashid, Boon, P.Y., Sharifah Fakhriah dan
Zuaraidah, 2010). Murid yang cemerlang cenderung untuk belajar menggunakan sumber
pembelajaran yang bercorak soal jawab yang menguji minda seperti kuiz. Manakala, murid
yang mempunyai tahap penguasaan yang lemah pula lebih tertarik kepada sumber
pembelajaran yang bercorak permainan. Selain itu, murid juga boleh dikategorikan kepada
tujuh jenis yang utama seperti murid visual, auditori, kinestetik, aktivitis, teoris dan pragmatis
(Noriati Rashid, Boon, P.Y., Sharifah Fakhriah dan Zuaraidah, 2010). Perbezaan individu ini
sememangnya amat berkait rapat dengan keberkesanan penggunaan sumber pembelajaran
dalam bilik darjah. Hal ini demikian kerana, ada murid yang lebih tertarik kepada kaedah
pengajaran yang berpusatkan bahan seperti visual dan audio. Ada juga murid tertarik
dengan aktiviti pembelajaran yang memerlukan pergerakan secara aktif. Oleh itu, guru
perlulah peka dan menitikberatkan pemilihan sumber pembelajaran dalam bilik darjah bagi
mencapai objektif pembelajaran dan mengatasi tingkahlaku bermasalah dalam bilik darjah.

2.2 SUMBER PDP SEJARAH YANG MEMBANTU MENANGANI MASALAH DISIPLIN


DALAM BILIK DARJAH

Terdapat pelbagai faktor yang meyebabkan sesuatu propses PdP itu berkesan
antaranya ialah pemilihan sumber pengajaran yang menarik dan sesuai dengan tahap
penguasaan murid untuk. Penggunaan sumber pengajaran yang menarik akan mewujudkan
suasana pembelajaran yang menggembirakan (Abdul Rasid dan Hasmah, 2013). Kini, murid
dilihat lebih tertarik dengan penggunaan sumber elektronik sebagai sumber (PdP) dalam
bilik darjah. Sumber elektronik yang digunakan ialah video dan tayang filem berkaitan topik
pembelajaran. Sumber elektronik merupakan gabungan pelbagai media yang memanfaatkan
sepenuhnya deria penglihatan dan pendengaran murid. Penggunaan sumber elektronik
sememangnya dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang interaktif (Azwan Ahmad
et.al., 2005). Apabila guru menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan, tingkah laku bermasalah yang berlaku dalam bilik darjah dapat diatasi dengan
baik. Hal ini demikian kerana, guru berjaya membuatkan murid untuk fokus dan terlibat
secara langsung dalam proses PdP. Oleh itu, jelaslah bahawa penggunaan sumber
pengajaran dan pembelajaran yang menarik seperti sumber elektronik dapat mengatasi
tingkahlaku bermasalah dalam bilik darjah.
3.0 PERBANDINGAN SUMBER PDP SEJARAH BAGI MENANGANI TINGKAH LAKU
BERMASALAH

Penggunaan sumber pengajaran Sejarah yang digunakan di SKDPP ialah bahan


bercetak seperti buku teks dan peta, sumber elektronik seperti video dan sumber internet
seperti laman web. Sumber pembelajaran sejarah dilihat bukan sahaja berfungsi sebagai
bahan bantu mengajar malah merupakan alat untuk mengukur tahap penguasaan dan
kognitif murid (Wineburg, 2001). Dalam membandingkan ketiga-tiga sumber ini, terdapat
beberapa aspek yang dijadikan ukuran antaranya ialah aspek isi kandungan. Isi kandungan
dalam sumber bercetak adalah berfokus dan terhad berbanding sumber internet. Hal ini
demikian kerana, sumber bercetak seperti buku teks telah disusun mengikut ketetapan
dalam Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP) dan mempunyai objektif
tertentu yang perlu dicapai oleh guru. Isi kandungan dalam sumber internet pula tidak terhad
dan meluas. Guru sejarah boleh menggunakan internet untuk mengakses pelbagai laman
web bagi mencari bahan-bahan berkaitan sejarah (Syed Ismail et. al, 2017). Selain banyak
maklumat yang diperoleh oleh murid-murid, pembelajaran melalui laman web juga tidak
membosankan. Murid-murid boleh meneroka laman web berkaitan isi kandungan
pembelajaran dengan mudah. Penerokaan laman web ini akan meningkatkan minat murid
terhadap topik yang dipelajarai (Mohd Hasani Dali, 2009). Sekali gus dapat meminimumkan
potensi murid melakukan tingkah laku yang bermasalah. Namun begitu, sumber internet
mempunyai kebolehpercayaan yang rendah berbanding sumber bercetak. Hal ini demikian
kerana, sumber internet boleh disunting oleh sesiapa sahaja yang tidak bertanggungjawab
dan tidak berautoriti. Guru juga perlu memantau dan memberi bimbingan kepada murid
dalam menggunakan sumber internet sebagai sumber pembelajaran (Syed Ismail et. al,
2017). Oleh itu, jelaslah bahawa penggunaan sumber pembelajaran seperti sumber internet
dapat meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran dan menangani masalah disiplin
dalam bilik darjah.

Dalam aspek aksesibiliti, sumber bercetak dilihat mudah untuk diperoleh dan diakses
oleh guru. Sumber bercetak seperti buku teks dan peta amat mudah untuk dibawa dan tidak
membebankan baik guru mahupun murid. dengan menggunakan sumber bercetak, guru
tidak memerlukan sebarang jaringan atau media untuk menggunakan bahan pembelajaran.
Hal ini akan menjimatkan masa dan memudahkan guru untuk merancang aktiviti
pembelajaran. Sehubungan degan itu, kawalan kelas juga akan lebih berkesan tanpa
gangguan masalah teknikal (Sahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub dan Mohd Zohir Ahmad
(2007). Guru juga dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap penyampaian isi
pelajaran sepanjang proses PdP bagi mencapai matlamat pendidikan. Murid juga akan lebih
fokus kerana kelancaran proses PdP berlaku. Hal ini akan berbeza dengan sumber internet,
guru perlu memastikan capaian jaringan yang baik supaya proses PdP berjalan dengan
lancar dan tidak tergendala. Capaian internet yang lemah akan menggangu proses PdP dan
seterusnya menyebabkan kawalan kelas yang tidak berkesan (Syed Ismail et. al, 2017).
Oleh itu, jelaslah bahawa penggunaan sumber bercetak lebih mudah diakses dan dapat
mengawal tingkahlaku bermasalah dalam bilik darjah berbanding sumber internet.

Selain itu, kos penyediaan sumber pengajaran dan pembelajaran juga merupakan
aspek yang penting untuk diukur. Penggunaan sumber bercetak seperti buku adalah
memerlukan kos yang lebih tinggi berbanding sumber internet dan video. Hal ini demikian
kerana, buku ditulis oleh individu atau badan yang berautoriti (Azelin Mohamed Noor, 2012).
Sudah semestinya mahal kerana mempunyai nilai penulisan yang tinggi. Sumber internet
pula melibatkan kos yang lebih murah dan penggunaannya adalah fleksibel. Maklumat yang
terdapat dalam sumber internet juga adalah terkini kerana sentiasa dikemaskini. Oleh itu,
guru dapat menjimatkan kos penyediaan bahan bantu mengajar disamping melaksanakan
proses pdp yang berkesan.

Dari aspek paparan visual, sumber elektronik seperti video dilihat lebih menarik dan
mudah dikendalikan. Unsur video dalam teknologi multimedia mampu membawa unsur
realitistik dan berupaya menarik perhatian serta emosi murid berkaitan topik yang dipelajari
(Syed Ismail et. al, 2017). Penggunaan video ini juga akan dapat membantu murid dalam
meningkatkan kefahaman dan tahap penguasaan terhadap topik pembelajaran. Tambahan
pula, terdapat pelbagai elemen dalam penggunaan video antaranya unsur animasi, gambar,
audio, dan pergerakan yang dinamik. Oleh itu, murid akan lebih berimaginasi dan berfikir
secara kritis. Hasilnya, proses PdP menjadi lebih bermakna dan berkesan. Berbeza pula
dengan penggunaan sumber bercetak yang terlalu banyak perbendaharaan kata (beban
kognitif pelajar) dan gambar yang bersifat 2D. (Azelin Mohamed Noor, 2012). Hal ini
membuatkan murid menjadi cepat bosan dan tidak dapat menumpukan perhatian dalam bilik
darjah. Kebergantungan yang tinggi terhadap penggunaan buku teks tidak dapat
menggalakkan murid untuk membuat interpretasi sejarah berdasarkan bukti sejarah (Norizan
Ahmad, 2003; Renuka, 2012).

Seterusnya, aspek yang diukur dalam membandingbeza penggunaan sumber PdP


sejarah ialah aspek pengintergrasian media. Penggunaan sumber bercetak hanya
melibatkan satu media iaitu secara visual. Manakala penggunaan sumber elektronik pula
melibatkan intergrasi lebih daripada satu media atau erti kata lain multimedia. Multimedia
mampu mengaintergrasikan teks, grafik, animasi audio dan video (Syed Ismail et. al, 2017).
Penggunaan sumber elektronik ini dapat membantu guru dalam mengembangkan proses
PdP ke arah yang lebih dinamik. Murid-murid dapat menggunakan pelbagai deria dan sekali
gus meningkatkan kemahiran ICT. Murid-murid yang mempunyai tingkahlaku bermasalah
juga akan lebih fokus dan tertarik terhadap pelajaran yang disampaikan oleh guru.

4.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN PENGGUNAAN SUMBER PDP SEJARAH DALAM


MENGATASI ISU TINGKAH BERMASALAH

Dalam menangani tingkah laku bermasalah seperti membuat bising dan tidak
menumpukan perhatian, guru perlu menyediakan sumber pengajaran dan pembelajaran
yang menarik dan pelbagai. Penggunaan sumber pngajaran dan pembelajaran perlulah
melibatkan pebagai hala dan penyertaan murid secara menyeluruh. Hal ini demikian supaya
murid dapat fokus semasa proses pdp berlangsung dan tidak berpeluang untuk melakukan
tingkah laku yang bermasalah seperti menganggu rakan yang lain. Guru perlu
menitikberatkan perbezaan gaya pembelajaran individu. Guru boleh menangani masalah
perbezaan individu dengan menitikberatkan atau memberi pertimbangan kepada aspek-
aspek tertentu semasa merancang aktiviti dan menyediakan sumber pengajaran dan
pembelajaran (Abu et al. 2007). Hal ini demikian kerana setiap individu mempunyai tahap
kecerdasan yang berbeza. Ada murid yang mempunyai tahap kognitif yang tinggi,
sederhana dan rendah (Azizah Lebai Nordin, 2000). Guru sejarah perlu memastikan murid
mencapai objektif pembelajaran dan memahami isi pelajaran yang disampaikan meskipun
mempunyai tahap kecerdasan yang pelbagai. Murid yang mempunyai tahap kognitif yang
sederhana dan lemah cenderung lebih tertarik kepada bahan pengajaran yang interaktif
seperti video dan gambar (Norzana Mohd Sulaiman, 2003). Oleh itu, jelaslah bahawa
penyediaan sumber PdP yang menarik dan pelbagai dapat menangani masalah tingkah laku
dalam bilik darjah.
Seterusnya, guru juga boleh menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran yang
bersifat elektronik dengan menggunakan bahan multimedia bagi mencapai pembelajaran
yang bermakna. Multimedia melibatkan intergrasi media seperti teks, audio, grafik , animasi,
video, pengimejan dan spatial modeling system computer. Perhatian murid dapat dikekalkan
dengan lebih baik jika mereka menerima persembahan perkataan dan visual yang
koresponden berbanding dengan perkataan sahaja (Ismail & Razali, 2003). Hal ini
membuktikan bahawa penggunaan bahan multimedia dapat menangani tingkah laku
bermasalah dalam bilik darjah apabila murid memberikan sepenuh perhatian sepanjang
proses PdP berlangsung. Multimedia juga dapat menggunakan pelbagai deria murid bagi
memahami topik pembelajaran (Renuka Ramakrishnan & Siti Hawa Abdullah, 2012). Hal ini
secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang
interaktif dan menggalakkan komunikasi yang aktif. Dengan menggunakan bahan
multimedia, guru juga dapat membantu murid untuk menggunakan kepelbagaian teknik atau
gaya pembelajaran. Murid juga dapat meningkatkan kefahaman dan mampu membentuk
konsep dengan menggunakan pelbagai pengalaman deria. Antara contoh bahan multimedia
yang boleh digunakan oleh guru ialah perisian video interaktif, seperti Powtoon, Animaker,
Story Jumper, dan Render Forest. Video interaktif ini mampu meningkatkan interaksi dan
komunikasi secara dua hala. Murid akan lebih tertarik dan menumpukan perhatian terhadap
aktiviti yang dijalankan oleh guru dengan menggunakan video interaktif. Penggunaan bahan
multimedia ini merupakan kaedah pengajaran yang berpusatkan murid dan bahan (Noriati
Rashid, Boon, P.Y., Sharifah Fakhriah dan Zuaraidah, 2010). Hal ini dapat membantu
mengurangkan masalah disiplin serta meningkatkan penglibatan murid secara aktif dan
menyeluruh dalam proses PdP
Dalam menangani masalah disiplin dalam bilik darjah, model disiplin Thomas Gordon
merupakan model yang sesuai untuk gunakan oleh guru. Menurut Gordon disiplin bilik
darjah dapat dicapai apabila guru mempengaruhi bukan mengawal murid dan guru juga
seharusnya tidak lagi bergantung kepada teknik intervensi tradisional yang berpusatkan
kawalan guru, ganjaran dan hukuman (Abdul Rahim Abdul Rashid,1999). Gordon
mencadangkan agar guru menggantikan ganjaran dan hukuman dengan menyediakan
persekitaran pembelajaran yang bercorak kolaboratif dan suasana yang kondusif (Carolyn,
2005). Gordon menekankan bahawa guru juga tidak perlu menggunakan bahasa yang kasar
dan kesat. Hal ini demikian boleh menghalang komunikasi yang berkesan antara guru dan
murid. guru juga perlu merancang aktiviti dan penggunaan sumber PdP yang menarik bagi
mengekalkan konsentrasi murid bagi mencapai matlamat serta objektif pembelajaran.
Selain itu, guru juga perlu mahir dalam menggunakan bahan elektronik bagi melaksanakan
proses PdP berkesan dan bermakna. Penggunaan bahan multimedia dalam pengajaran dan
pembelajaran merupakan trend terkini untuk mencapai objektif pengajaran (Syed Ismail et.
al, 2017). Namun, perkara yang lebih penting ialah kefahaman guru tentang kaedah untuk
menggunakan teknologi dengan efektif. Apabila guru menggunakan bahan multimedia
secara berkesan, murid dapat meneroka pelbagai pengetahuan, maklumat dan kemahiran
secara aktif (Sahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub dan Mohd Zohir Ahmad 2007).oleh itu,
jelaslah bahawa dengan menggunakan teknologi, murid akan lebih faham topik
pembelajaran dan meningkatkan kemahiran komunikasi murid.
Seterusnya, guru juga boleh melakukan aktiviti pembelajaran abad ke 21 dalam bilik
darjah. Kepelbagaian aktiviti dalam bilik darjah dapat meningkatkan kemahiran psikomotor,
kognitif dan afektif murid (Abdul Rasid dan Hasmah, 2013). Contoh aktiviti yang boleh
dilakukan ialah gallery walk, table talkers dan flipped classroom. Aktiviti-aktiviti pembelajaran
abad ke 21 ini dapat meningkatkan penglibatan murid secara menyeluruh. Hal ini demikian
kerana setiap murid diberi tanggungjawab dan peranan dalam melaksanakan aktiviti
tersebut. Maka, murid tiada masa untuk melakukan tingkah laku yang bermasalah kerana
tumpuan perlu diberi bagi melengkapkan tugasan yang diberikan.

5.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, guru perlu menitikberatkan perbezaan individu dan kepentingan


kesesuaian sumber pengajaran dan pembelajaran. Guru perlulah membuat inovasi dalam
kaedah pengajaran dan pembelajaran sejarah sedia ada bagi memastikan murid dapat
menghayati, memahami dan menguasai ilmu sejarah dengan lebih mendalam. Kepentingan
unsur pembelajaran menyeronokkan dalam pengajaran untuk mewujudkan hubungan baik
dengan murid-murid mereka (Abdul Rasid dan Hasmah, 2013). Keberkesanan penggunaan
sumber PdP dan perhubungan antara murid dan guru dapat mengurangkan potensi
berlakunya masalah disiplin dalam bilik darjah. Hal ini demikian kerana, guru berjaya
mendapatkan pengaruh dan perhatian murid. Selain itu, guru-guru sejarah perlu
dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan jenis-jenis sumber
sejarah yang boleh digunakan sebagai bahan pengajaran di dalam kelas. Pihak sekolah juga
perlulah menyediakan senarai rujukan berkaitan dengan akses sumber sejarah yang boleh
digunakan bagi membantu guru untuk mencari sumber sejarah yang relevan dan sesuai bagi
setiap topik pengajaran sejarah selaras dengan sukatan pelajaran sejarah.
Rujukan

Abd. Rahim Abd. Rashid. (1999). Profesionalisme Motivasi Pengurusan Bilik Darjah.
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abdul Rasid Jamian & Hasmah Ismail. (2013). Pelaksanaan pembelajaran
menyeronokkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Jurnal
Pendidikan Bahasa Melayu, 3 (2), 49-63.
Abu, B. et al. (2007). Kepelbagaian Gaya Pembelajaran dan kemahiran Belajar
Pelajar Universiti di Fakulti Pendidikan. UTM Johor. 1-10.
Azelin Mohamed Noor Et Al. (2012). E-Books In Malaysian Primary Schools: The
Terengganu Chapter. World Academy Of Science, Engineering And
Technology Jurnal. 66: 298-301.
Azizah Lebai Nordin. (2000). Masalah disiplin di kalangan pelajar . Kuala Lumpur:
Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.
Azwan Abdul Ghani, Mohammad Zohir & Abd Rahman. (2005). Kesan Efikasi
Kendiri Guru Sejarah Terhadap Amalan Pengajaran berbantukan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT). Jurnal Penyelidikan Pendidikan, 7, 15-24.
Ismail dan Razali (2003). Aplikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam
Pengajaran dan Pembelajaran : Perspektif Dalam Mata Pelajaran Kimia SPM.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd Hasani Dali. (2009). Pengurusan Bilik Darjah Untuk Guru Novis. Sintok:
Penerbitan Unversiti Utara Malaysia.
Mohd Khairuddin Abdullah, Khalid Hj Johari, Ag Yusof Ag Chuchu & Halimah Laji
(2014). Universiti Malaysia Sabah, Jabatan Pendidikan Sabah Komunikasi
Guru Dalam Bilik Darjah Dan Tingkah Laku Delinkuen Murid Sekolah
Menengah. Jurnal Pemikir Pendidikan (Journal For Educational Thinkers) Vol.
5, Pp. 59-77.
Noriati Rashid, Boon, P.Y., Sharifah Fakhriah dan Zuaraidah (2010). Guru dan
Cabaran Semasa. Shah Alam: Oxford Fajar.
Norzana Mohd. Sulaiman. (2003). Masalah Ponteng di kalangan Pelajar Perempuan:
Satu Kajian Kes. Kuala Lumpur: Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.
Renuka Ramakrishnan & Siti Hawa Abdullah. (2012). Penggunaan Sumber Digital
Sejarah Dalam Kalangan Guru Sejarah. Seminar Kebangsaan Majlis Dekan,
jurnal pendidikan digital. 7-9 Oktober 2012.
Sahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub dan Mohd Zohir Ahmad (2007). Pedagogi:
Strategi dan Teknik Mengajar dengan Berkesan. Kuala Lumpur: PTS
Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Syed Ismail Syed Mustapa, Puspasvali, R., Meor Aris Meor Hamzah & Rosly Mohd
Sani. (2017). Sumber Pengajaran Dan Pembelajaran Sejarah. Petaling Jaya:
Sasbadi Sdn Bhd
Wineburg, S. (2001). Historical thinking and other unnatural acts: Charting the future
of teaching the past. Philadelphia: Temple University Press.

You might also like