You are on page 1of 6

Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019

Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)


Semester 3, Ambilan Jun 2018

PENGURUSAN DISIPLIN DALAM BILIK DARJAH DAN SUMBER


PENGAJARAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PDP) SEJARAH

Nur Zawanah binti Omar


Jabatan Sejarah,
IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka

A. PENDAHULUAN

Sekolah Kebangsaan Desa Pinggiran Putra, Kajang merupakan sekolah yang dipilih sebagai
tempat saya melakukan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) Fasa 2. Pemerhatian berkaitan
tingkah laku bermasalah dan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah telah
dilakukan sepanjang tempoh PBS bagi memenuhi tugasan kursus SJHK3073 Sumber
Pengajaran dan Pembelajaran dan EDUP3043 Pengurusan Tingkah Laku.
Sekolah Kebangsaan Desa Pinggiran Putra telah dibuka pada tahun 2014. Sekolah
ini merupakan sekolah yang terletak di kawasan bandar dan kebanyakan murid mempunyai
latar belakang yang berbeza dari segi kemampuan dan gaya pembelajaran. Walaupun terdapat
perbezaan individu dari segi sosial dan persekitaran, namun bukan penghalang bagi guru
untuk menangani tingkah laku bermasalah dan menggunakan sumber pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan bagi mencapai matlamat pendidikan.

B. DAPATAN DAN PEMERHATIAN DI SEKOLAH

i. ISU DISIPLIN DALAM BILIK DARJAH

Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan semasa Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS),


tingkah laku bermasalah yang berlaku dalam bilik darjah ialah murid membuat bising, tidak
menumpukan perhatian serta mengganggu rakan-rakan. Di dalam situasi bilik darjah yang
sangat bising, memanglah sukar bagi guru untuk menyampaikan pelajaran dengan jelas untuk
didengari oleh murid-murid (Mohd Khairuddin Abdullah et. al. 2014). Masalah-masalah ini
dikategorikan sebagai masalah tingkah laku (distruptif) yang boleh mengganggu
ketenteraman bilik darjah (Haliza dan Samuel, 2016). Faktor yang menyebabkan berlakunya
tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah ialah penggunaan sumber pengajaran dan
pembelajaran yang kurang menarik. Murid akan berasa cepat bosan terutamanya murid yang
pintar cerdas kerana sumber pembelajaran yang disediakan tidak sesuai dengan kognitif
mereka. Masalah ini berlaku apabila murid berasa tidak tercabar kerana bahan pembelajaran
yang disediakan berulang dan tidak sesuai dengan tahap penguasaan mereka. Hal ini juga
dapat dikaitkan dengan perbezaan individu dari aspek kepelbagaian kecerdasan, gaya
pembelajaran dan jenis murid. Gaya pembelajaran ialah cara setiap individu memproses
maklumat dan cara memproses maklumat itu adalah berbeza (Noriati Rashid, Boon, P.Y.,
Sharifah Fakhriah dan Zuaraidah, 2010). Murid yang cemerlang cenderung untuk belajar
menggunakan sumber pembelajaran yang bercorak soal jawab yang menguji minda seperti
kuiz manakala murid yang mempunyai tahap penguasaan yang lemah pula lebih tertarik
kepada sumber pembelajaran yang bercorak permainan. Selain itu, murid juga boleh
dikategorikan kepada tujuh jenis yang utama seperti murid visual, auditori, kinestetik,
aktivitis, teoris dan pragmatis (Noriati Rashid et.al., 2010). Perbezaan individu ini
sememangnya amat berkait rapat dengan keberkesanan penggunaan sumber pembelajaran
dalam bilik darjah. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat murid yang lebih tertarik

1
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

kepada kaedah pengajaran yang berpusatkan bahan seperti visual dan audio. Selain itu,
terdapat juga murid tertarik dengan aktiviti pembelajaran yang memerlukan pergerakan secara
aktif. Oleh itu, guru perlulah peka dan menitikberatkan pemilihan sumber pembelajaran dalam
bilik darjah bagi mencapai objektif pembelajaran dan mengatasi tingkah laku bermasalah
dalam bilik darjah.

C. SUMBER PDP SEJARAH YANG MEMBANTU MENANGANI MASALAH


DISIPLIN DALAM BILIK DARJAH

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan sesuatu proses PdP itu berkesan. Antaranya ialah
pemilihan sumber pengajaran yang menarik dan sesuai dengan tahap penguasaan murid.
Penggunaan sumber pengajaran yang menarik akan mewujudkan suasana pembelajaran yang
menggembirakan (Abdul Rasid dan Hasmah, 2013). Kini, murid dilihat lebih tertarik dengan
penggunaan sumber elektronik sebagai sumber (PdP) dalam bilik darjah. Sumber elektronik
yang digunakan ialah video dan tayang filem berkaitan topik pembelajaran. Sumber elektronik
merupakan gabungan pelbagai media yang memanfaatkan sepenuhnya deria penglihatan dan
pendengaran murid. Penggunaan sumber elektronik sememangnya dapat mewujudkan
suasana pembelajaran yang interaktif (Azwan Ahmad et.al., 2005). Apabila guru
menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, tingkah laku bermasalah
yang berlaku dalam bilik darjah dapat diatasi dengan baik. Hal ini dikatakan demikian kerana
guru berjaya membuatkan murid untuk fokus dan terlibat secara langsung dalam proses PdP.
Oleh itu, jelaslah bahawa penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran yang menarik
seperti sumber elektronik dapat mengatasi tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah.

D. PERBANDINGAN SUMBER PDP SEJARAH BAGI MENANGANI


TINGKAH LAKU BERMASALAH

Penggunaan sumber pengajaran Sejarah yang digunakan di SKDPP ialah bahan bercetak
seperti buku teks dan peta, sumber elektronik seperti video dan sumber internet seperti laman
web. Sumber pembelajaran Sejarah dilihat bukan sahaja berfungsi sebagai bahan bantu
mengajar malah merupakan alat untuk mengukur tahap penguasaan dan kognitif murid
(Wineburg, 2001). Dalam membandingkan ketiga-tiga sumber ini, terdapat beberapa aspek
yang dijadikan ukuran antaranya ialah aspek isi kandungan. Isi kandungan dalam sumber
bercetak adalah berfokus dan terhad berbanding sumber internet. Hal ini dikatakan demikian
kerana sumber bercetak seperti buku teks telah disusun mengikut ketetapan dalam Dokumen
Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP) dan mempunyai objektif tertentu yang perlu
dicapai oleh guru. Isi kandungan dalam sumber internet pula tidak terhad dan meluas. Guru
Sejarah boleh menggunakan internet untuk mengakses pelbagai laman web bagi mencari
bahan-bahan berkaitan sejarah (Syed Ismail et. al, 2017). Selain banyak maklumat yang
diperoleh oleh murid-murid, pembelajaran melalui laman web juga tidak membosankan.
Murid-murid boleh meneroka laman web berkaitan isi kandungan pembelajaran dengan
mudah. Penerokaan laman web ini akan meningkatkan minat murid terhadap topik yang
dipelajari (Mohd Hasani Dali, 2009). Selain itu, penggunaan laman web dapat
meminimumkan potensi murid melakukan tingkah laku yang bermasalah. Namun begitu,
sumber internet mempunyai kebolehpercayaan yang rendah berbanding sumber bercetak. Hal
ini dikatakan demikian kerana sumber internet boleh disunting oleh sesiapa sahaja yang tidak
bertanggungjawab dan tidak berautoriti. Guru juga perlu memantau dan memberi bimbingan
kepada murid dalam menggunakan sumber internet sebagai sumber pembelajaran (Syed
Ismail et. al, 2017). Oleh itu, jelaslah bahawa penggunaan sumber pembelajaran seperti

2
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

sumber internet dapat meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran dan menangani


masalah disiplin dalam bilik darjah.
Dalam aspek kebolehcapaian, sumber bercetak dilihat mudah untuk diperoleh dan
diakses oleh guru. Sumber bercetak seperti buku teks dan peta amat mudah untuk dibawa dan
tidak membebankan baik guru mahupun murid. Dengan menggunakan sumber bercetak, guru
tidak memerlukan sebarang jaringan atau media untuk menggunakan bahan pembelajaran. Hal
ini akan menjimatkan masa dan memudahkan guru untuk merancang aktiviti pembelajaran.
Sehubungan dengan itu, kawalan kelas juga akan lebih berkesan tanpa gangguan masalah
teknikal (Sahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub dan Mohd Zohir Ahmad, 2007). Guru juga
dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap penyampaian isi pelajaran sepanjang proses
PdP bagi mencapai matlamat pendidikan. Murid juga akan lebih fokus kerana kelancaran
proses PdP berlaku. Hal ini akan berbeza dengan sumber internet, guru perlu memastikan
capaian jaringan yang baik supaya proses PdP berjalan dengan lancar dan tidak tergendala.
Capaian internet yang lemah akan menggangu proses PdP dan seterusnya menyebabkan
kawalan kelas yang tidak berkesan (Syed Ismail et. al, 2017). Oleh itu, jelaslah bahawa
penggunaan sumber bercetak lebih mudah diakses dan dapat mengawal tingkah laku
bermasalah dalam bilik darjah berbanding sumber internet.
Selain itu, kos penyediaan sumber pengajaran dan pembelajaran juga merupakan
aspek yang penting untuk diukur. Penggunaan sumber bercetak seperti buku adalah
memerlukan kos yang lebih tinggi berbanding sumber internet dan video. Hal ini dikatakan
demikian kerana buku ditulis oleh individu atau badan yang berautoriti (Azelin Mohamed
Noor, 2012). Sudah semestinya mahal kerana mempunyai nilai penulisan yang tinggi. Sumber
internet pula melibatkan kos yang lebih murah dan penggunaannya adalah fleksibel.
Maklumat yang terdapat dalam sumber internet juga adalah terkini kerana sentiasa dikemas
kini. Oleh itu, guru dapat menjimatkan kos penyediaan bahan bantu mengajar di samping
melaksanakan proses PdP yang berkesan.
Dari aspek paparan visual, sumber elektronik seperti video dilihat lebih menarik dan
mudah dikendalikan. Unsur video dalam teknologi multimedia mampu membawa unsur
realitistik dan berupaya menarik perhatian serta emosi murid berkaitan topik yang dipelajari
(Syed Ismail et. al, 2017). Penggunaan video ini juga akan dapat membantu murid dalam
meningkatkan kefahaman dan tahap penguasaan terhadap topik pembelajaran. Tambahan
pula, terdapat pelbagai elemen dalam penggunaan video antaranya unsur animasi, gambar,
audio dan pergerakan yang dinamik. Oleh itu, murid akan lebih berimaginasi dan berfikir
secara kritis. Hasilnya, proses PdP menjadi lebih bermakna dan berkesan. Berbeza pula
dengan penggunaan sumber bercetak yang terlalu banyak perbendaharaan kata (beban kognitif
pelajar) dan gambar yang bersifat 2D. (Azelin Mohamed Noor, 2012). Hal ini membuatkan
murid menjadi cepat bosan dan tidak dapat menumpukan perhatian dalam bilik darjah.
Kebergantungan yang tinggi terhadap penggunaan buku teks tidak dapat menggalakkan murid
untuk membuat interpretasi sejarah berdasarkan bukti sejarah (Norizan Ahmad, 2003;
Renuka, 2012).
Seterusnya, aspek yang diukur dalam membanding beza penggunaan sumber PdP
sejarah ialah aspek pengintergrasian media. Penggunaan sumber bercetak hanya melibatkan
satu media iaitu secara visual manakala penggunaan sumber elektronik pula melibatkan
intergrasi lebih daripada satu media atau erti kata lain multimedia. Multimedia mampu
mengintergrasikan teks, grafik, animasi audio dan video (Syed Ismail et. al, 2017).
Penggunaan sumber elektronik ini dapat membantu guru dalam mengembangkan proses PdP
ke arah yang lebih dinamik. Murid-murid dapat menggunakan pelbagai deria dan sekali gus
meningkatkan kemahiran ICT. Murid-murid yang mempunyai tingkah laku bermasalah juga
akan lebih fokus dan tertarik terhadap pelajaran yang disampaikan oleh guru.

3
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

E. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN PENGGUNAAN SUMBER PDP


SEJARAH DALAM MENGATASI ISU TINGKAH BERMASALAH

Dalam menangani tingkah laku bermasalah seperti membuat bising dan tidak menumpukan
perhatian, guru perlu menyediakan sumber pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan
pelbagai. Penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran perlulah melibatkan pebagai hala
dan penyertaan murid secara menyeluruh. Hal ini dikatakan demikian supaya murid dapat
fokus semasa proses PdP berlangsung dan tidak berpeluang untuk melakukan tingkah laku
yang bermasalah seperti mengganggu rakan yang lain. Guru perlu menitikberatkan perbezaan
gaya pembelajaran individu. Guru boleh menangani masalah perbezaan individu dengan
menitikberatkan atau memberi pertimbangan kepada aspek-aspek tertentu semasa merancang
aktiviti dan menyediakan sumber pengajaran dan pembelajaran (Abu et al. 2007). Hal ini
dikatakan demikian kerana setiap individu mempunyai tahap kecerdasan yang berbeza. Ada
murid yang mempunyai tahap kognitif yang tinggi, sederhana dan rendah (Azizah Lebai
Nordin, 2000). Guru sejarah perlu memastikan murid mencapai objektif pembelajaran dan
memahami isi pelajaran yang disampaikan meskipun mempunyai tahap kecerdasan yang
pelbagai. Murid yang mempunyai tahap kognitif yang sederhana dan lemah cenderung lebih
tertarik kepada bahan pengajaran yang interaktif seperti video dan gambar (Norzana Mohd
Sulaiman, 2003). Oleh itu, jelaslah bahawa penyediaan sumber PdP yang menarik dan
pelbagai dapat menangani masalah tingkah laku dalam bilik darjah.
Seterusnya, guru juga boleh menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran
yang bersifat elektronik dengan menggunakan bahan multimedia bagi mencapai pembelajaran
yang bermakna. Multimedia melibatkan intergrasi media seperti teks, audio, grafik, animasi,
video, pengimejan dan spatial modeling system computer. Perhatian murid dapat dikekalkan
dengan lebih baik jika mereka menerima persembahan perkataan dan visual yang koresponden
berbanding dengan perkataan sahaja (Ismail & Razali, 2003). Hal ini membuktikan bahawa
penggunaan bahan multimedia dapat menangani tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah
apabila murid memberikan sepenuh perhatian sepanjang proses PdP berlangsung. Multimedia
juga dapat menggunakan pelbagai deria murid bagi memahami topik pembelajaran (Renuka
Ramakrishnan & Siti Hawa Abdullah, 2012). Hal ini secara tidak langsung dapat mewujudkan
suasana pengajaran dan pembelajaran yang interaktif dan menggalakkan komunikasi yang
aktif. Dengan menggunakan bahan multimedia, guru juga dapat membantu murid untuk
menggunakan kepelbagaian teknik atau gaya pembelajaran. Murid juga dapat meningkatkan
kefahaman dan mampu membentuk konsep dengan menggunakan pelbagai pengalaman deria.
Antara contoh bahan multimedia yang boleh digunakan oleh guru ialah perisian video
interaktif seperti Powtoon, Animaker, Storyjumper, dan Render Forest. Video interaktif ini
mampu meningkatkan interaksi dan komunikasi secara dua hala. Murid akan lebih tertarik dan
menumpukan perhatian terhadap aktiviti yang dijalankan oleh guru dengan menggunakan
video interaktif. Penggunaan bahan multimedia ini merupakan kaedah pengajaran yang
berpusatkan murid dan bahan (Noriati Rashid et.al., 2010). Hal ini dapat membantu
mengurangkan masalah disiplin serta meningkatkan penglibatan murid secara aktif dan
menyeluruh dalam proses PdP.
Dalam menangani masalah disiplin dalam bilik darjah, model disiplin Thomas
Gordon merupakan model yang sesuai untuk digunakan oleh guru. Menurut Gordon, disiplin
bilik darjah dapat dicapai apabila guru mempengaruhi bukan mengawal murid dan guru juga
seharusnya tidak lagi bergantung kepada teknik intervensi tradisional yang berpusatkan
kawalan guru, ganjaran dan hukuman (Abdul Rahim Abdul Rashid,1999). Gordon
mencadangkan agar guru menggantikan ganjaran dan hukuman dengan menyediakan

4
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

persekitaran pembelajaran yang bercorak kolaboratif dan suasana yang kondusif (Carolyn,
2005). Gordon menekankan bahawa guru juga tidak perlu menggunakan bahasa yang kasar
dan kesat. Hal ini dikatakan demikian boleh menghalang komunikasi yang berkesan antara
guru dan murid. Guru juga perlu merancang aktiviti dan penggunaan sumber PdP yang
menarik bagi mengekalkan konsentrasi murid bagi mencapai matlamat serta objektif
pembelajaran. Selain itu, guru juga perlu mahir dalam menggunakan bahan elektronik bagi
melaksanakan proses PdP berkesan dan bermakna. Penggunaan bahan multimedia dalam
pengajaran dan pembelajaran merupakan trend terkini untuk mencapai objektif pengajaran
(Syed Ismail et. al, 2017). Namun, perkara yang lebih penting ialah kefahaman guru tentang
kaedah untuk menggunakan teknologi dengan efektif. Apabila guru menggunakan bahan
multimedia secara berkesan, murid dapat meneroka pelbagai pengetahuan, maklumat dan
kemahiran secara aktif (Sahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub dan Mohd Zohir Ahmad
2007). Oleh itu, jelaslah bahawa dengan menggunakan teknologi, murid akan lebih faham
topik pembelajaran dan meningkatkan kemahiran komunikasi murid.
Seterusnya, guru juga boleh melakukan aktiviti pembelajaran abad ke-21 dalam bilik
darjah. Kepelbagaian aktiviti dalam bilik darjah dapat meningkatkan kemahiran psikomotor,
kognitif dan afektif murid (Abdul Rasid dan Hasmah, 2013). Contoh aktiviti yang boleh
dilakukan ialah gallery walk, table talkers dan flipped classroom. Aktiviti-aktiviti
pembelajaran abad ke-21 ini dapat meningkatkan penglibatan murid secara menyeluruh. Hal
ini dikatakan demikian kerana setiap murid diberi tanggungjawab dan peranan dalam
melaksanakan aktiviti tersebut. Maka, murid tiada masa untuk melakukan tingkah laku yang
bermasalah kerana tumpuan perlu diberi bagi melengkapkan tugasan yang diberikan.

F. KESIMPULAN

Kesimpulannya, guru perlu menitikberatkan perbezaan individu dan kepentingan kesesuaian


sumber pengajaran dan pembelajaran. Guru perlulah membuat inovasi dalam kaedah
pengajaran dan pembelajaran sejarah sedia ada bagi memastikan murid dapat menghayati,
memahami dan menguasai ilmu sejarah dengan lebih mendalam. Kepentingan unsur
pembelajaran menyeronokkan dalam pengajaran untuk mewujudkan hubungan baik dengan
murid-murid mereka (Abdul Rasid dan Hasmah, 2013). Keberkesanan penggunaan sumber
PdP dan perhubungan antara murid dan guru dapat mengurangkan potensi berlakunya masalah
disiplin dalam bilik darjah. Hal ini dikatakan demikian kerana guru berjaya mendapatkan
pengaruh dan perhatian murid. Selain itu, guru-guru sejarah perlu dilengkapkan dengan
pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan jenis-jenis sumber sejarah yang boleh
digunakan sebagai bahan pengajaran di dalam kelas. Pihak sekolah juga perlulah menyediakan
senarai rujukan berkaitan dengan akses sumber sejarah yang boleh digunakan bagi membantu
guru untuk mencari sumber sejarah yang relevan dan sesuai bagi setiap topik pengajaran
sejarah selaras dengan sukatan pelajaran sejarah.

Rujukan

Abd. Rahim Abd. Rashid. (1999). Profesionalisme Motivasi Pengurusan Bilik Darjah. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abdul Rasid Jamian & Hasmah Ismail. (2013). Pelaksanaan pembelajaran menyeronokkan
dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa
Melayu, 3 (2), 49-63.
Abu, B. et al. (2007). Kepelbagaian Gaya Pembelajaran dan kemahiran Belajar Pelajar
Universiti di Fakulti Pendidikan. UTM Johor. 1-10.

5
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

Azelin Mohamed Noor Et Al. (2012). E-Books in Malaysian Primary Schools: The
Terengganu Chapter. World Academy of Science, Engineering and Technology Jurnal.
66: 298-301.
Azizah Lebai Nordin. (2000). Masalah Disiplin di Kalangan Pelajar. Kuala Lumpur: Fakulti
Pendidikan Universiti Malaya.
Azwan Abdul Ghani, Mohammad Zohir & Abd Rahman. (2005). Kesan Efikasi Kendiri Guru
Sejarah Terhadap Amalan Pengajaran berbantukan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT). Jurnal Penyelidikan Pendidikan, 7, 15-24.
Ismail dan Razali (2003). Aplikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pengajaran
dan Pembelajaran: Perspektif Dalam Mata Pelajaran Kimia SPM. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Mohd Hasani Dali. (2009). Pengurusan Bilik Darjah Untuk Guru Novis. Sintok: Penerbitan
Unversiti Utara Malaysia.
Mohd Khairuddin Abdullah, Khalid Hj Johari, Ag Yusof Ag Chuchu & Halimah Laji (2014).
Universiti Malaysia Sabah, Jabatan Pendidikan Sabah Komunikasi Guru Dalam Bilik
Darjah Dan Tingkah Laku Delinkuen Murid Sekolah Menengah. Jurnal Pemikir
Pendidikan (Journal for Educational Thinkers) Vol. 5, Pp. 59-77.
Noriati Rashid, Boon, P.Y., Sharifah Fakhriah dan Zuaraidah (2010). Guru dan Cabaran
Semasa. Shah Alam: Oxford Fajar.
Norzana Mohd. Sulaiman. (2003). Masalah Ponteng di kalangan Pelajar Perempuan: Satu
Kajian Kes. Kuala Lumpur: Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.
Renuka Ramakrishnan & Siti Hawa Abdullah. (2012). Penggunaan Sumber Digital Sejarah
Dalam Kalangan Guru Sejarah. Seminar Kebangsaan Majlis Dekan, jurnal pendidikan
digital. 7-9 Oktober 2012.
Sahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub dan Mohd Zohir Ahmad (2007). Pedagogi: Strategi
dan Teknik Mengajar dengan Berkesan. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing
Sdn. Bhd.
Syed Ismail Syed Mustapa, Puspasvali, R., Meor Aris Meor Hamzah & Rosly Mohd Sani.
(2017). Sumber Pengajaran Dan Pembelajaran Sejarah. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn
Bhd.
Wineburg, S. (2001). Historical thinking and other unnatural acts: Charting the future of
teaching the past. Philadelphia: Temple University Press.

You might also like