You are on page 1of 2

FALSAFAH TATABAHASA – BENTUK DAN FUNGSI

1.1 PENGENALAN

Bahasa Melayu ialah satu bahasa yang tersohor dan terkenal di Asia Tenggara. Dengan pengangkatan
martabat bahasa Melayu melalui bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi malahan bahasa pengantar
pendidikan menunjukkan betapa gagah perkasanya bahasa ini. Morfologi dan sintaksis merupakan
komponen terpenting yang mendasari atau pegangan kepada pembelajaran dan pengajaran bahasa
Melayu khususnya di Malaysia dengan menggunakan tatabahasa. Secara amnya, teori bahasa sesuatu
bahasa ialah tatabahasa. Tatabahasa menjadi asas untuk penglahiran bahasa yang indah dan difahami
oleh penggunanya. Oleh itu, bahasa dapat dieksploitasikan untuk mewujudkan gaya dan laras bahasa yang
tersendiri. Dengan itu, tatabahasa mestilah tepat, lengkap, tuntas, lugas dan mudah difahami serta
mencerminkan kebolehan dalaman penutur jati yang ideal. Tatabahasa dirujuk sebagai peraturan atau
hukum bahasa yang menentukan bahasa dapat berfungsi dengan baik, berkesan atau sebaliknya. Dengan
perkataan lain, tatabahasa itu tidak lain daripada himpunan peraturan umum struktur bahasa yang
meliputi bidang morfologi dan sintaksis.

1.2 Definisi Tatabahasa

Di sini kita akan menyelusuri definisi tatabahasa yang dahulunya dikenali sebagai nahu.

1.2.1 Awang Sariyan

Awang Sariyan dalam Ceritera Bahasa (2002) secara ringkas menyatakan tatabahasa ialah peraturan yang
membina bentuk-bentuk bahasa (kata, frasa dan ayat) yang betul bagi sesuatu bahasa tertentu.
Contohnya, bahasa Melayu mempunyai peraturan- peraturan tersendiri untuk membentuk kata, frasa dan
ayat. Peraturan atau tatabahasa inilah yang menentukan salah betulnya sesuatu bentuk bahasa yang
dilahirkan oleh penutur sesuatu bahasa, baik dalam ucapan mahupun tulisan.
1.2.2 Abdullah Hassan

Abdullah Hassan dalam Tatabahasa Pedagogi Sekolah Menengah (2008) mendefinisikan


tatabahasa sebagai susunan perkataan yang menjadi ayat. Cara-cara perkataan-perkataan dibina dan
kemudian disusun dalam ayat yang juga mempunyai makna. Cara-cara inilah dikatakan sebagai
tatabahasa.

1.2.3 Siti Hajar Hj. Abdul Aziz

Menurut Siti Hajar (1996), tatabahasa diertikan sebagai peraturan-peraturan bagaimana perkataan
dibentuk dan bagaimana perkataan-perkataan itu bergabung dengan perkataan-perkataan lain untuk
menghasilkan ayat-ayat yang gramatis. Dengan perkataan lain, tatabahasa ialah rentetan ucapan,
pengelompokan serta pengklasifikasian unsur-unsur ucapan menurut fungsinya.

1.2.4 Salleh Mohd. Akib, Ismail Idris dan Hamzah Mahmood

Menurut Salleh Mohd. Akib, Ismail Idris dan Hamzah Mahmood (1977), „nahu‟ atau tatabahasa ialah
undang-undang jalan bahasa, iaitu sistem yang tertentu dalam sesuatu bahasa yang dipatuhi penutur
bahasa itu. Sistem-sistem yang tertentu, umpama sistem bunyi dan bentuk-bentuk ayat yang betul,
pengimbuhannya betul, maksudnya tentu, tepat dan gramatis. Sebagai kesimpulannya, tatabahasa ialah
sistem atau peraturan ataupun undang-undang sesuatu bahasa yang diketahui oleh masyarakat penutur
bahasa itu. Peraturan atau hukum-hukum dalam struktur bahasa itu akan menghasilkan rumus- rumus
baru yang dipersetujui oleh masyarakat itu kerana bahasa itu sifatnya dinamik, hidup dan berkembang
bersama-sama dengan masyarakat penuturnya.

You might also like