Professional Documents
Culture Documents
Tugasan 1-Pengucapan Awam
Tugasan 1-Pengucapan Awam
Selamat pagi dan salam sejahtera kepada Pengerusi Majlis, Pengerusi dan Jawatankuasa
Kelab Rukun Tetangga Taman Bukit Terendak, serta hadirin sekalian yang saya hormati.
Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima
kasih kepada Kelab Rukun Tetangga Taman Bukit Terendak kerana menjemput saya untuk
menyampaikan ucapan tentang kepentingan program kitar semula kepada tuan-tuan dan
puan-puan di taman ini. Malah, pada hari ini juga pihak Majlis Perbandaran Melaka akan
meletakkan tong-tong sampah pelbagai warna atau tong sampah kitar semula di tempat
para penduduk taman ini bagi menggantikan tong sampah yang lama. Jadi, saya berharap
agar sampah dapat dimasukkan ke dalam tong sampah mengikut kategori sampah yang
ditetapkan.
Budaya mengitar semula sampah masih baru bagi masyarakat kita dan program ini
belum dilaksanakan sepenuhnya di negara kita walaupun program ini sudah lama diamalkan
di negara-negara maju. Oleh kerana negara kita sedang berkembang dalam pelbagai sektor
agar dapat mencapai kemajuan, maka program kitar semula perlulah dijalankan secara
meluas mulai sekarang. Bagi membudayakan masyarakat Malaysia agar mengitar semula,
kerajaan haruslah mengukuhkan lagi kempen 3R, iaitu ‘Reuse, Reduce and Recycle’
dengan menyediakan tong sampah pelbagai warna secara meluas agar sampah dapat
diasingkan dengan mudah mengikut kategorinya seperti plastik, kaca dan kertas. Mengikut
perangkaan, setiap rakyat Malaysia menghasilkan purata 0.8 kilogram sisa pepejal setiap
hari. Kuala Lumpur yang mempunyai kira-kira 1.5 juta orang penduduk menghasilkan lebih
daripada 2,000 tan sampah setiap hari. Dengan ini, kita dapat menyimpulkan bahawa rakyat
Malaysia menghasilkan kira-kira 15,000 tan sampah pada setiap hari. Jadi, mampukah
kawasan pembuangan menampung kadar peningkatan bahan buangan ini? Walaupun
negara kita mempunyai kira-kira 230 tapak pelupusan sampah dengan keluasan antara 20
hingga 150 ekar, keluasan berkenaan masih tidak cukup untuk menampung hasil buangan
ini. Oleh itu, program kitar semula hendaklah dijalankan di negara kita kerana program ini
mempunyai banyak kelebihannya yang tersendiri.
Hadirin yang dihormati,
Salah satu kelebihan program kitar semula ialah kita dapat membentuk persekitaran
yang lebih sihat dan mengurangkan pencemaran. Program kitar semula bahan buangan
dapat membantu persekitaran kediaman menjadi bersih. Sampah boleh menjejaskan
kesihatan dan keselamatan sekiranya dibiarkan bersepah-sepah. Sampah sarap yang tidak
diurus menjadi tumpuan haiwan yang membawa penyakit seperti tikus, lalat dan lipas. Oleh
kerana itu, mengitar semula dapat mengurangkan kadar sampah yang dibuang dan hal ini
dapat mengawal penyakit daripada merebak. Selain itu, amalan mengitar semula juga dapat
mengurangkan ancaman alam sekitar seperti pencemaran air di bawah tanah dan
pencemaran udara. Longokkan bahan buangan di dalam tong sampah, di dalam lori atau di
tapak pelupusan sampah menjadi salah satu punca pencemaran di negeri yang mempunyai
iklim tropika.
Selanjutnya, program kitar semula dapat menjimatkan kos dan menjimatkan sumber.
Hal ini saya katakan adalah kerana menurut kajian yang dibuat, didapati bahawa dalam
tempoh jangka masa yang panjang, kitar semula adalah lebih baik dan menjimatkan kos
berbanding usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah atau sistem yang diguna pakai
sekarang. Apabila program kitar semula bertambah cekap, sampah yang perlu dilupuskan
akan berkurangan. Hal ini akan menjimatkan wang kerana kos untuk pelupusan sampah
akan menurun. Ini adalah kerana caj untuk pelupusan sebahagian sampah seperti kertas
terpakai boleh digunakan untuk dijadikan sumber utama penghasilan barangan baru.
Sehingga kini, Malaysia mengimport lebih daripada 25,000 tan kertas buangan setiap bulan
untuk menghasilkan produk kertas bagi menampung permintaan tempatan. Selain kertas, air
terpakai daripada sisa perumahan dan kumbahan juga boleh dikitar semula seperti yang
dilakukan di negara yang tidak ada sumber air semula jadi seperti di Singapura.
Daripada perbincangan ini, kita mendapati bahawa proses kitar semula merupakan
kaedah yang terbaik untuk mengurangkan kuantiti bahan buangan selain daripada
menjimatkan kos perbelanjaan untuk membiayai projek pelupusan sampah. Oleh itu, rakyat
Malaysia harus sedar dan melaksanakan program kitar semula serta membantu dalam
menjayakan kempen berkenaan agar timbunan sampah-sarap tidak mencerobohi ruang
hidup kita. Kerjasama semua pihak dalam menjayakan program kitar semula amatlah
diperlukan untuk kebaikan semua pihak. Jadi, usaha yang berterusan perlulah dilaksanakan
untuk mengubah sikap semua pihak supaya program ini dapat dijayakan seperti yang
dilaksanakan di negara-negara maju.
Akhir sekali, saya mengakhiri ucapan ini dengan menyeru penduduk di Taman Bukit
Terendak agar memanfaatkan tong kitar semula yang disediakan oleh Majlis Perbandaran
Melaka serta menggunakan semula bahan-bahan yang terpakai. Ini adalah supaya sampah
yang diagihkan mengikut kategori dapat dikitar semula dan manfaat yang diperoleh daripada
menggunakan semula bahan dapat dinikmati oleh semua pihak. Marilah kita bersama-sama
berganding bahu dalam menyelamatkan alam sekitar kita. Semua usaha yang dilakukan ini
adalah untuk siapa? Akhirnya, semua kebaikan yang diperoleh adalah untuk kebaikan diri
kita, masyarakat sekeliling dan generasi yang akan datang jua. Akhir kata, saya memohon
maaf jika ada tersalah kata yang menyinggung perasaan hadirin sekalian. Dengan ini, saya
berharap bahawa kita dapat menjalankan aktiviti-aktiviti mengitar semula agar dapat
melahirkan persekitaran yang bersih dan masyarakat yang harmoni. Sekian, terima kasih.