You are on page 1of 4

Selamat sejahtera kepada Dr dan rakan-rakan sekalian.

Pentaksiran berasaskan sekolah (PBS), pentaksiran auntentik(PA) dan pentaksiran dalam talian(PDT)
sering dibincangkan oleh warga pendidik, dan ibu bapa.

1. Jelaskan definisi PBS, PA dan PDT

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH PBS

PBS adalah satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek),
afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK) negara kita. PBS merupakan satu transformasi pendidikan terhadap peperiksaan bagi
mengukur prestasi semasa dan keupayaan seseorang murid dalam bidang akademik, kokurikulum,
sukan dan perkembangan psikologi pelajar secara holistik. Penjelasan mengenai perkara ini disokong
oleh Chan Yuen Fook dan Gurnam Kaur Sidhu (2009), yang menerangkan bahawa Pentaksiran
Perasaskan Sekolah (PBS), merupakan satu proses pemantauan, penilaian dan pelaksanaan pelan
tindakan untuk menangani kelemahan dan kekuatan yang diperhatikan di sesebuah sekolah. Hari ini,
pembuat polisi dan para pendidik melihat pentaksiran berasaskan sekolah sebagai pencetus kepada
reformasi pendidikan.

PENTAKSIRAN AUNTENTIK (PA)

Pentaksiran autentik merupakan satu bentuk penilaian yang berlainan daripada formal seperti
penilaian formatif dan penilaian sumatif yang boleh digunakan oleh guru dalam bilik darjah. Menurut
Bhasah (2007), Penilaian ini kurang memberi penekanan kepada penggunaan kertas dan pensil
sebagaimana yang digunakan dalam penilaian tradisional. Penilaian jenis ini lebih kepada
penggunaan atau amali terhadap sesuatu tugasan seperti yang dilakukan dalam kedaan sebenarnya.
Menurut Pert (1990), pentaksiran autentik merupakan bentuk penilaian yang berdasarkan
pencapaian sebenar yang ditunjukkan oleh kanak-kanak di dalam bilik darjah setiap hari. Pentaksiran
autentik ini meliputi pentaksiran dari pelbagai aspek merangkumi pengetahuan pelajar, pemahaman
mendalam, penyelesaian masalah, kemahiran sosial, sikap terhadap persekitaran dan simulasi
terhadap situasi dunia sebenar.

PENTAKSIRAN DALAM TALIAN (PDT)

Pentaksiran dalam talian adalah satu istilah umum yang merangkumi penggunaan komputer dan
internet untuk mengukur sesuatu aspek berdasarkan maklumat dan tujuan. Menurut Bennett
(2000), penggunaan teknologi maklumat dan pembelajaran berasaskan web dapat membantu ke
arah pentaksiran pengajaran dan pembelajaran yang lebih cekap dan berkesan.
2. Huraikan implikasi pelaksanaan PBS, PA dan PDT

IMPLIKASI PELAKSANAAN PBS

PBS bertujuan untuk menilai tahap penguasaan sesuatu kemahiran. Apabila guru melaksanakan PBS,
dapat mengetahui keberkesanan proses PdPc diri di dalam bilik darjah. Melalui pentaksiran
berasaskan sekolah saya sebagai seorang guru dapat mengenalpasti kelemahan dan seterusnya
memastikan guru merancang proses pengajaran yang lebih efektif dan memastikan semua murid di
dalam bilik darjah menguasai semua kemahiran. Apabila guru melaksanakan pentaksiran sebegini,
murid-murid bersikap lebih berani mencuba sesuatu, rasa ingin tahu dan dapat menjana idea.
Murid-murid sangat gembira dan beas menimba ilmu tanpa berasa takut dan terkongkong dengan
skop ujian. Dengan ini, ia dapat mencungkil bakat dan kemahiran yang sedia ada. Komponen PBS
terdiri daripada empat komponen iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran
Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Apabila guru
merekod keempat-empat komponen, ianya memberi maklumat mengenai perkembangan murid
kepada guru, ibu bapa dan murid itu sendiri. Ini secara tidak langsung mampu membantu guru
menilai semula cara pengajaran mereka dan melihat kelemahan murid tersebut. Oleh yang
demikian, melalui rekod pentaksiran ini juga murid boleh memperbaiki kelemahan mereka dengan
dibantu oleh ibu bapa sekali gus dapat mempertingkatkan pretasi pelajar tersebut.

IMPLIKASI PELAKSANAAN PA

PA boleh mencungkil bakat yang ada pada kanak-kanak khususnya kerana jenis sifatnya yang
merentasi pelbagai kaedah pentaksiran. Ini terbukti dengan kenyataan Ratcliff dan Nancy (2002),
kemahiran literasi kanak-kanak yang diukur menggunakan pentaksiran autentik didapati memberi
kesan yang positif dalam mengenalpasti dan melapor proses perkembangan kanak-kanak dalam
kemahiran literasi di prasekolah. PA memberi peluang kepada murid untuk mengaplikasikan
pengetahuan dan kemahiran yang ada pada mereka melalui cara yang berkaitan dengan kehidupan
mereka dan tidak tertakluk kepada kemahiran dan pengetahuan di sekolah sahaja. Melalui PA guru
dapat menilai keupayaan murid dalam melakukan sesuatu atau menggunakan sesuatu kemahiran
dalam menghasilkan sesuatu yang baharu dan kreatif. Ia memudahkan guru untuk membuat
pentaksiran secara individu berdasarkan pemerhatian yang berterusan sepanjang proses belajar.

IMPLIKASI PELAKSANAAN PDT

PDT dapat mengurangkan jurang perbezaan murid pelbagai gaya pembelajaran. Selain itu, ia dapat
menjimatkan masa dan kos seperti percetakan. Ia sesuai untuk penilaian formatif kerana
penerangan cepat diperoleh dan maklum balas yang cepat dapat memotivasikan murid. Guru dapat
menjimatkan masa dalam aspek memberikan penerangan dan pemeriksaan untuk skrip jawapan.
Membolehkan guru menggunakan grafik, video, bunyi, animasi dan media lain untuk menyediakan
soalan. Murid mendapat fleksibiliti dari segi tempat dan masa untuk mengambil ujian. Memberikan
akses pentaksiran kepada murid berkeperluan khas-murid boleh mengambil ujian di rumah.

3. Apakah isu dan cabaran pelaksanaan PBS, PA dan PDT.

ISU DAN CABARAN PELAKSANAAN PBS

Guru-guru menghadapi cabaran dalam pelaksanaan PBS. Walaupun guru-guru telah mengikuti
kursus tetapi mereka tetap merasa kurang yakin dalam menaksir murid. Ini kerana kekurangan
pengetahuan, kemahiran dan sumber material menambahkan lagi ketidakyakinan mereka dalam
pentaksiran. Hal ini pernah diutarakan oleh Raden (2008) di mana guru mengimpikan latihan yang
profesional dalam pentaksiran bagi mendapatkan pengetahuan dan kemahiran pentaksiran agar
mereka boleh melaksanakan PBS dengan jayanya. Sebahagian ibu bapa juga mempertikaikan cara
setiap guru mata pelajaran membuat pentaksiran. Di sebabkan sikap campur tangan ibu bapa yang
hanya menuding jari, menambahkan lagi ketidakyakinan guru dalam membuat pentaksiran.

Hasil temu bual Tan Ai Mei (2010) dalam kajian beliau dengan guru PBS, mengatakan bahawa guru
diminta secara am memberi gred yang baik kepada pelajar. Arahan ini secara tidak langsung
mendorong pengurusan PBS ke arah sekadar mengisi keperluan markah, khasnya dalam memberi
gred yang baik kepada pelajar. Perkara ini berlaku disebabkan pemantauan dari pihak atasan hanya
untuk melihat ‘hitam putih’. Bebanan guru semakin bertambah. Contohnya, Pentaksiran Tingkatan
Tiga (PT3) membuatkan guru yang mengajar tingkatan tiga lebih terkesan dengan bebanan kerja. Ini
adalah kerana mereka perlu mengajar, menaksir dan memberi skor kepada pelajar. Sebelum ini
Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dijalankan guru hanya mengajar dan guru luar terlibat
dalam penandaan kertas jawapan dan memberi markah kepada pelajar. Bebanan semakin
bertambah apabila guru memegang jawatan-jawatan penting di sekolah yang memaksa guru keluar
sekolah untuk berkursus atau terpaksa memberi tumpuan lebih untuk menjalankan tugasan-tugasan
penting. Secara tidak langsung, guru tertinggal banyak masa untuk mengajar dan mentaksir pelajar.
Acara atau aktiviti di sekolah juga sedikit sebanyak mengganggu sesi PdP guru dalam melaksanakan
PBS.

ISU DAN CABARAN PELAKSANAAN PA

Guru-guru ialah tidak mempunyai masa mencukupi untuk menyelia dan membimbing pelajar serta
mengganggap proses melaksanakan pentaksiran mengganggu tugas-tugas yang lain. Selain itu, guru
juga menghadapi masalah untuk memasukkan eviden ke dalam setiap fail perkembangan murid.
Sebagai contoh bagi guru yang mengajar 5 kelas seminggu dengan purata 30 orang murid dalam satu
kelas, maka guru mesti memasukkan eviden dalam 150 fail setiap minggu. Penggunaan masa yang
banyak diperlukan bagi memasukkan eviden ke dalam 150 fail murid.

ISU DAN CABARAN PELAKSANAAN PAT

Melaksanakan penilaian atas talian ternyata bukanlah sesuatu keputusan yang mudah malahan
mengundang keresahan kepada para murid, para pendidik malahan institusi pengajian tersebut. Bagi
para murid, mereka merasakan bahawa penilaian dalam talian apatah lagi dilakukan dalam keadaan
negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini. Sesetengah pelajar berhadapan dengan
kekangan teknologi dari segi ketiadaan alatan dan capaian internet yang optimum. Malahan, ada
antara mereka juga tidak mempunyai ruang dan persekitaraan yang kondusif di premis masing-
masing sekali gus boleh mengganggu emosi dan kesediaan mereka menduduki peperiksaan.
Sentimen yang sama juga turut dirasai para pelajar yang tidak mendapat akses kepada bahan
rujukan dan mungkin ketinggalan dalam pembelajaran yang dilakukan sebelum ini. Walaupun
dengan persediaan rapi termasuklah menjalankan simulasi, perjalanan penilaian dalam talian tidak
kebal dari masalah. Antara perkara utama yang mengundang keresahan adalah kebolehpercayaan
atau “reliability” penilaian dalam talian tersebut. Hakikatnya pembekal data yang sedia ada masih
belum boleh menjanjikan capaian internet yang optimum untuk setiap masa, meliputi setiap ceruk
dan rantau dalam negara. Masih berlaku lagi keadaan pengguna internet terutamanya di kawasan
luar bandar, menghadapi masalah capaian internet yang lemah dan tidak stabil. Perkara ini jika tidak
dapat diperbaiki akan mengganggu perjalanan penilaian dalam talian.

You might also like