You are on page 1of 3

Teori Keperluan Maslow

Maslow melihat individu sebagai sesuatu yang berintergrasi dan penyusuan keseluruhan. Contohnya,
seorang insan yang lapar, ianya bukan sebahagian daripada diri individu tersebut, sebaliknya
keseluruhan diri individu menunjukkan rasa lapar. Teori Maslow ini ada berkaitan dengan personaliti,
dan menitikberatkan beberapa andaian yang berkaitan dengan motivasi. Beliau menekankan
keseluruhan diri individu bergerak, bukan hanya sebahagian daripada individu.

Maslow menganggap motivasi sebagai sesuatu yang kompleks, dimana tingkah laku luaran yang
diperlihatkan oleh manusia. Beliau juga menganggap, individu akan terus bermotivasi oleh kerana
sesuatu matlamat. Matlamat ini dianggap sebagai keperluan yang perlu dipenuhi oleh semua manusia
tanpa mengambil kira budaya, persekitaran dan perbezaan tahap generasi.

Personaliti yang dibincangkan oleh Maslow lebih kepada keperluan individu. Maslow sering mengaitkan
perkembangan personaliti dengan motivasi. Motivasi lahir dari keperluan yang diperolehi oleh setiap
individu. Maslow berpendapat sebilangan keperluan dalaman yang menggerak serta mengarahkan
perlakuan yang dipamerkan oleh individu. Keperluan yang ditunjukkan oleh Maslow boleh dilihat dalam
bentuk hieraki.
Keperluan Fisiologi

Keperluan manusia paling asas adalah untuk hidup. Manusia perlukan udara, air, makanan, tempat
tinggal dan tempat belajar bagi bagi memenuhi kehendak pertama dan utama ini. Kata lain, apa-apa
sahaja yang diperlukan untuk diri atau fizikal seseorang. Sebagai contoh, pelajar kurang zat makanan
dan pelajar tersebut tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas semasa guru
menerangkan di depan. Maka, guru tersebut perlu beri perhatian dan ambil berat kepada tanda-tanda
kekurangan fizikal ini.

Keperluan Keselamatan

Setelah keperluan pertama dicapai, manusia akan mencari keselamatan hidup, kestabilan kerja, jagaan
masyarakat sekeliling, undang-undang serta membebaskan diri daripada ancaman luaran mahupun
dalaman. Tahap keselamatan ini amat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan hidup. Ianya merupakan
keperluan lumrah bagi setiap yang bernyawa. Sebagai contoh, keselamatan di dalam kelas, makmal sains
mahupun di padang ketika bersukan. Hal ini penting kerana pelajar akan merasa lebih selamat dan dapat
menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.

Keperluan Sosial

Dalam memenuhkan keperluan sosial pula, manusia perlukan hubungan dengan insan lain. Kita semua
pada asasnya ialah haiwan yang bersosial, iaitu kita perlukan kasih sayang daripada orang lain. Oleh itu
manusia ini sememangnya tidak boleh wujud bersendirian. Dalam konteks dalam kelas pula, pelajar
akan berasa terganggu atau emosi jadi tidak stabil jika kelas berlaku pertengkaran apatah lagi jadi
tegang apaabila dimarahi guru. Jadi, perlunya hubungan baik dan mesra antara pelajar dan antara
pelajar dengan guru.

Keperluan Penghormatan

Tahap seterusnya adalah kehendak untuk penghormatan. Kita mahu berkuasa, sekurang-kurangnya ke
atas diri kita sendiri. Pada masa yang sama, kita juga perlukan kekuatan, kebolehan, kepakaran serta
kebebasan. Seterusnya manusia ingin dihormati, disanjungi dan kehendak status dalam hidup. Bagi
seorang pelajar pula, ianya berkaitan dengan penerimaan oleh orang lain terhadap diri seseorang pelajar
lain. Penerimaan rakan sebaya penting untuk rasa tidak tersingkir. Justeru itu, penerimaan guru sangat
penting untuk membina keyakinan diri. Apabila diterima oleh rakan-rakan, pelajar tersebut dapat
berinteraksi secara positif di dalam kumpulan. Apa yang guru dapat lakukan untuk memastikan supaya
tahap ini dipenuhi adalah dengan menyediakan aktiviti yang membolehkan mereka berdamping dan
saling mendampingi antara satu sama lain.

Keperluan Pencapaian Hasrat Diri

Akhir sekali usaha manusia yang teragung adalah untuk mencapai hasrat diri. Semua tahap kehendak
sebelum ini perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang itu inginkan hasrat diri atau
kesempurnaan kendiri. Ianya berkaitan dengan apa yang seseorang itu boleh jadi dan ia mesti jadi iaitu
potensinya dilahirkan. Jadi guru hendaklah memberi ruang kepada pelajar untuk memenuhi keseluruhan
kendirinya. Sebagai contoh, kebebasan memilih aktiviti kokurikulum diminati. Selain itu, guru perlu
sediakan rancangan belajar yang bebas dan fleksibel serta wujudkan sesi bimbingan supaya pelajar tidak
‘sesat’ dalam mengejar apa yang dihajati.

Hubungan antara Teori Keperluan Maslow dengan Insentif dan Ganjaran Pembelajaran

Kalau kita teliti secara mendalam, kesemua tahap keperluan Maslow adalah sangat berkaitan rapat
dengan langkah untuk mewujudkan insentif dan ganjaran pembelajaran. Perlu kita ingat, sebagai guru
kejayaan seseorang pelajar memerlukan insentif dan ganjaran di rumah dan di sekolah. Jadi, apakah
peranan seorang guru? Guru hendaklah mempelbagaikan insentif dan ganjaran supaya motivasi pelajar
untuk belajar meningkat.

Dari segi terminologi, insentif bermaksud peransang, penggalak dan pendorong dan stimulasi
kepada seseorang untuk mencapai sesuatu matlamat atau sasaran. Ganjaran pula bermaksud sebagai
hadiah (untuk perbuatan baik dan lain-lain). Erti kata lain, insentif dan ganjaran adalah alat penggerak
kepada perlakuan untuk membangkitkan tindakan-tindakan ke arah positif. Selain itu, ia juga sebagai
alat untuk meningkatkan motivasi pelajar atau guru dan untuk menghargai serta mengiktiraf ke atas
sumbangan mereka di peringkat sekolah ataupun di peringkat yang lebih tinggi. Antara contoh insentif
yang boleh dilaksanakan di sekolah ialah pasukan pidato sekolah akan diberi insentif makan percuma
KFC jika mendapat Johan di peringkat gabungan atau negeri selain daripada insentif asas yang lain.
Selain daripada itu, pelajar-pelajar yang dapat meningkatkan pencapaian peperiksaan, mereka akan
dinaikkan ke kelas yang lebih baik. Kemudian, guru boleh juga sediakan insentif alternatif seperti pelajar
yang tidak pernah ponteng sekolah akan diberikan kemudahan meminjam buku lebih di perpustakaan.
Semua insentif di atas akan memenuhi keperluan pertama dan kedua dalam Teori Keperluan Maslow.

Manakala ganjaran yang dapat disediakan oleh pihak sekolah atau guru itu sendiri terbahagi
kepada ganjaran sosial, ganjaran simbolik, dan ganjaran kewangan. Ganjaran sosial yang dimaksudkan
adalah seperti pujian lisan, surat penghargaan, ucapan terima kasih, hadiah, berjabat salam, pujian,
diminta pendapat, kata-kata dorongan dan lain-lain. Manakala ganjaran simbolik adalah pemberian yang
memberi nilai dan makna kepada penerimanya. Contohnya seperti trofi, hadiah peribadi, dijemput
makan bersama pengetua dan sebagainya. Akhir sekali, ganjaran yang menjadi kesukaan pelajar adalah
ganjaran kewangan. Guru boleh memberi wang atau diskaun membeli barang di koperasi sekolah dan
lain-lain. Apabila diteliti semua insentif dan ganjaran yang telah diterangkan di atas, ianya mampu untuk
membangkitkan semangat belajar pelajar-pelajar kita seterusnya dapat mencapai apa yang dihasratkan
oleh pelajar itu sendiri. Secara tidak langsung memenuhi tahap ketiga, keempat dan seterusnya tahap
tertinggi Teori Keperluan Maslow iaitu Keperluan Pencapaian Hasrat Diri.

You might also like