You are on page 1of 1

Kepentingan Kaedah Fonetik Kepada Guru Bahasa Melayu

Kaedah fonetik dianggap sebagai kaedah pengajaran bahasa yang saintifik. Kaedah ini dikenali juga
sebagai kaedah ’Reform’ atau ’Kaedah Lisan’. (Raja Mukhtaruddin, 1980). Melalui kaedah ini guru-guru
boleh memulakan pengajaran dengan latihan mendengar, kemudian bergerak kepada latihan sebutan
menurut susunan iaitu bunyi kepada perkataan, kemudian kepada rangkaikata, dan seterusnya kepada
ayat. Kemudian, semua ini digabungkan menjadi dialog-dialog dan cerita-cerita. Melalui kaedah fonetik,
tatabahasa disampaikan secara induktif, dan penulisan karangan pula berdasarkan bahan-bahan yang
telah didengar dan dibaca.

Kaedah fonetik ini membenarkan penggunaan bahasa yang telah diketahui oleh pelajar dalam
pembelajaran bahasa baharu. Kaedah ini membandingkan persamaan dan perbezaan bahasa yang telah
diketahui oleh pelajar dengan bahasa yang telah dipelajari daripada segi bentuk-bentuk, fungsi, bunyi,
struktur ayat, dan makna tetapi perbandingan daripada segi bentuk dan fungsilah yang lebih
diutamakan. Kaedah ini menggunakan bahasa yang diketahui oleh pelajar untuk mempelajari bahasa
baharu daripada segi bunyi dan menerangkan perihal nahu berdasarkan perbandingan antara
tatabahasa yang dipelajari dengan bahasa yang diketahui.

Kaedah ini mengutamakan sebutan dan bahasa yang diajar ialah bahasa pertuturan. Isi dan bahan
pengajaran dipilih, dikawal, dan disusun berdasarkan penyelidikan dan perbandingan antara bahasa
ibunda pelajar dengan bahasa yang diajar. Perbendaharaan kata dan ayat-ayat yang diajar kepada
pelajar disesuaikan dengan keperluan, peringkat umur, jenis, dan latar belakang pelajar. (Nik Hassan
Basri Nik Ab. Kadir)

Oleh sebab kaedah fonetik ini mementingkan perbandingan bentuk dan fungsi-fungsi bahasa
kandung dengan bahasa kedua, maka dapatlah guru-guru menyediakan bahan-bahan pengajaran yang
diajar dengan lebih tersusun dan teratur. Oleh kerana penyediaan bahan-bahan pengajaran disediakan
lebih awal oleh guru, maka kanak-kanak dapat dilatih dengan lebih sempurna bagi mengenal atau
memahirkan bentuk-bentuk atau corak-corak ayat yang tertentu. Dengan demikian, murid-murid
mendapat asas bahasa yang kukuh. Justeru, mereka dapat memahami tatabahasa yang dipelajari
dengan jelas dan tepat. Selain itu, murid-murid akan cepat bertutur dan membuat ayat dalam bahasa
yang dipelajari dengan mengikut bentuk-bentuk ayat bahasa ibunda mereka sendiri.

You might also like