You are on page 1of 2

Kukuran ialah sejenis alat yang bergerigi digunakan untuk mengukur, mengeruk

(mengikis) isi kelapa. Ia merupakan salah satu alat terpenting dalam kehidupan
masyarakat Melayu terutamanya di kawasan kampung. Kukuran merupakan alat yang
tidak mungkin dapat dipisahkan dengan masyarakat Melayu tradisional kerana
sebahagian besar resepi masakan masyarakat Melayu menggunakan santan kelapa.
Meskipun penggunaan kukuran semakin dilupakan oleh penduduk kota yang lebih
cenderung menggunakan peralatan moden, namun penggunaannya masih lagi
diteruskan di kampung-kampung.
Kukur kelapa diperbuat daripada batang kayu yang telah dibentuk menjadi
seperti motif haiwan. Sesetengah kawasan memanggil kukur kelapa dengan nama
papan kuda kerana rupa bentuk kukur kelapa ini seakan-akan seekor kuda kerana
mempunyai empat kaki dan ekor. Sesuai dengan namanya, kukur kelapa digunakan
untuk memarut atau mengikis isi kelapa. Tujuan memarut isi kelapa adalah untuk
menyediakan santan. Masyarakat Melayu sinonim dengan penggunaan santan dalam
masakan. Antaranya ialah kari, bubur atau serawa, masak lemak dan ada juga untuk
dijadikan minyak kelapa. Jadi penggunaan kukur kelapa amat penting kerana pada
masa dahulu tiada peralatan lain yang boleh digunakan bagi mengantikan kukur
kelapa.
Mata kukur kelapa dibuat daripada logam dan bergerigi dan diletakkan di depan
kukuran. Cara menggunakan kukur kelapa adalah dengan duduk di atas badan kukuran
atau bersimpuh. Kelapa akan diparut dengan cara mengikis dari sisinya kemudian
ditengah-tengah. Untuk mendapat hasil parutan yang cantik dan halus, kelapa perlulah
dipegang dengan lembut dan tidak menekan kelapa tersebut ke mata kukuran. Jika
tidak hasil akan menjadi kasar dan kehitam-hitaman kerana telah memarut kelapa
hingga ke tempurungnya.

Semasa memarut kelapa, kita juga mestilah berhati-hati kerana mata kukuran
amat tajam dan boleh mengakibatkan luka kepada penggunanya. Kukur kelapa boleh
didapati dalam beberapa jenis iaitu kukur duduk, kukur lipat dan kukur kotak.
Penggunaan kukur kelapa pada zaman dulu menjadi satu keperluan dalam sesebuah
rumah kerana suri rumah menggunakannya untuk mendapatkan kelapa dan santan,
setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu kukur untuk kegunaan harian.
Mata kukuran bulat ini diperbuat daripada besi. Oleh itu bila matanya tumpul dan
tidak dapat digunakan lagi, sesetengah bidan kampung akan menggunakannya sebagai
batu penungku, matanya yang tajam itu dibuang terlebih dahulu. Sebelum diguna ia
dibakar terlebih dahulu seperti membakar tungku batu yang biasa juga. Keadaan mata
kukuran itu yang halus atau lebar menentukan kelapa yang dikukur itu besar atau halus.
Mata kukuran yang kasar akan menghasilkan isi kelapa yang besar, tapi kalau matanya
halus ia akan menghasilkan isi kelapa yang halus.
Kesimpulannya, kukur kelapa adalah sejenis alat yang dikategorikan sebagai
mesin ringkas yang digunakan pada suatu masa dahulu bagi mengasingkan isi kelapa
dengan tempurung kelapa. Penggunaan alatan ini sangatlah efektif dan boleh dianggap
satu alat yang berjaya dicipta. Selepas munculnya Mesin Kukur Kelapa yang
menggunakan kuasa elektrik, penggunaan alat Kukur Kelapa Tradisional semakin
dilupakan. Pada hari ini, barangan tersebut dijadikan sebagai barangan antik yang
menarik dan berharga.

You might also like