You are on page 1of 3

14 JULAI 2010

UCAPAN DASAR RANG UNDANG-UNDANG ENAKMEN KEBEBASAN MAKLUMAT (NEGERI


SELANGOR) 2010 OLEH YB ELIZABETH WONG

Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

1. Semenjak pembentukan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat pada bulan
Mac 2008, ketuanan rakyat dijadikan prinsip tunjang yang mempengaruhi segala tindakan dan keputusan
yang diambil.

2. Prinsip ketuanan rakyat inilah yang menjadi pendorong kepada segala usaha Kerajaan Negeri untuk
mereformasikan, memperbaiki dan mempertingkatkan pentadbiran negeri Selangor. Sepertimana yang
Ahli-Ahli Yang Berhormat ini fahami, rakyatlah yang memberi peluang kepada kita semua untuk
berkhidmat. Dan rakyat juga yang akan merampas balik peluang tersebut jika kita lupa hakikat ini.

3. Ketelusan merupakan salah satu aspek utama yang cuba diketengahkan dalam pentadbiran kerajaan
negeri Selangor. Kesetiaan Pakatan Rakyat terhadap prinsip pentadbiran yang terbuka merupakan salah
satu sebab utama mengapa rakyat telah memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya
yang lalu.

Tuan speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

4. Pendirian Kerajaan Negeri terhadap ketelusan telah dibuktikan dengan jelas sepanjang pentadbiran
Pakatan Rakyat. Misalnya, sidang Dewan Negeri Selangor ini disiarkan sepenuhnya melalui Internet.

5. Barisan EXCO ini pula telah mengambil langkah yang progresif di mana pengisytiharan harta di
umumkan secara terbuka. Pengisytiharan tersebut turut boleh diakses oleh orang awam melalui laman
web Kerajaan Negeri.

6. Pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan


(SELCAT) juga merupakan langkah perintis ke arah kebebasan maklumat. Jawatankuasa SELCAT bukan
sahaja menjalankan pendengaran awam secara terbuka berhubung aduan-aduan penyelewengan
pentadbiran yang lepas, bahkan ia juga tidak mengecualikan Ahli Dewan Negeri Pakatan Rakyat daripada
disoal siasat.

7. Selain itu, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar juga telah mengambil langkah-langkah proaktif
untuk mendorong prinsip ketelusan. Antaranya, beliau telah menggunakan hak beliau sebagai Menteri
Besar untuk mendeklasifikasikan dokumen-dokumen demi kepentingan rakyat, seperti dokumen-
dokumen berkenaan dengan Yayasan Basmi Kemiskinan, Projek Revolusi Hijau Bukit Cerakah, Projek
Perumahan Bukit Botak, isu perolehan hasil kerajaan daripada projek penanaman semula hutan dan
banyak lagi.

8. Namun begitu, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat masih gigih berusaha untuk
mempertingkatkan taraf pentadbiran dan menjadikan ketelusan sebahagian daripada budaya kita.

Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

9. Maklumat merupakan mata wang demokrasi. Begitulah ungkapan yang dipetik dari Thomas Jefferson.
10. Kesedaran bahawa kebebasan maklumat merupakan asas kepada sistem demokrasi telah mendorong
lebih dari 80 negara di merata dunia, dari Sweden ke Filipina untuk memperkenalkan undang-undang
yang memudahkan dan memperdayakan hak dan peluang rakyat untuk memperolehi maklumat dari pihak
kerajaan.

11. Undang-undang di negara Sweden misalnya telah menjaminkankan kebebasan maklumat sejak tahun
1766, manakala negara jiran kita seperti Thailand, telah mula melaksanakan undang-undang kebebasan
maklumat mereka.

12. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa negara kita jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain
dalam mempertahankan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat dari pihak kerajaan.

13. Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat untuk menunggu Kerajaan Persekutuan mengambil
tindakan. Maka kita menjadi peneraju ke arah menggubal Rang Undang-Undang Enakmen Kebebasan
Maklumat (Negeri Selangor) 2010 ini dengan kerjasama, pandangan dan sumbangan dari NGO-NGO
antaranya Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pusat Kewartawanan Bebas (Centre For Independent
Journalism, CIJ), Transparency International dan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam.

Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

14. Kerajaan yang telus merupakan kerajaan yang lebih cekap, bertanggungjawab dan amanah. Ini
merupakan antara sebab-sebab utama kerajaan negeri memperkenalkan Rang Undang-Undang Kebebasan
Maklumat Selangor 2010 ini. kita juga harap amalan rasuah dikurangkan, dan kebertanggungjawaban
dipertingkatkan dalam segala keputusan pihak kerajaan. Sudah tentu ini akan meninggikan keyakinan
pelabur-pelabur terhadap negeri Selangor, di samping membaikpulih kepercayaan kepada sistem
demokrasi dan pemerintahan.

15. Melalui rang undang-undang ini, rakyat Selangor akan dipulangkan hak yang sepatutnya dimiliki
mereka. Rang undang-undang ini bagaikan cahaya matahari yang memberi sinaran kepada segala
tindakan dan keputusan Kerajaan Negeri. Dengan izin, “Sunlight is the best disinfectant.”

16. Setiap rakyat diberi peluang untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki dari setiap jabatan di
bawah Kerajaan Negeri. Inilah yang sepatutnya dijadikan amalan biasa kerana hakikatnya Kerajaan hanya
diberikan amanah untuk mengurus dan bukan bermaharajalela bertindak sesuka hati.

17. Melalui rang undang-undang ini, seorang pegawai maklumat akan dilantik oleh setiap jabatan di
bawah Kerajaan Negeri, dan pegawai ini diberi tugas dan tanggungjawab untuk menyelaraskan pemberian
maklumat. Pegawai maklumat ini juga akan memastikan maklumat-maklumat yang penting disimpan dan
diuruskan dengan betul ataupun, dengan izin, systematising archives.

18. kita berharap kelulusan rang undang-undang akan memberi ilham dan dorongan kepada negeri-negeri
lain dan juga Kerajaan Persekutuan untuk mengambil langkah dan tindakan yang sewajarnya. Saya
difahamkan oleh laporan akhbar awal bahawa Peguam Negara telah menyuarakan keinginan pejabat
beliau untuk mengkaji rang undang-undang ini.

19. Kerajaan Negeri yakin kelulusan rang undang-undang ini akan membawa pentadbiran negeri
Selangor ke era yang baru dan berbeza, dimana ketelusan, keterbukaan dan kepercayaan merupakan asas
dan budaya semua, dari pegawai kerajaan sehinggalah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri
Besar sendiri.
20. Tidak dinafikan ini merupakan suatu tanggungjawab yang berat dipikul oleh Kerajaan Negeri dan
barisan pegawai-pegawai kerajaan.

21. Inilah dinamakan ketuanan rakyat. Inilah yang dimaksudkan reformasi.

Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

22. Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan serangkap pantun.

Padi dan nenas tanam di tanjung,


Tempat pipit membuat sarang,
Pemimpin dan rakyat sama-sama dijunjung,
Kebebasan Maklumat peneraju undang-undang.

23. Dengan ini saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali kedua.

You might also like