You are on page 1of 11

Kreativiti dan Kesihatan Mental Khairul Azhar Bin Idris

Fellow

10/12/2010 | Utusan Malaysia

Kreativiti didefinisikan sebagai suatu keupayaan atau kebolehan untuk melahirkan atau
menghasilkan sesuatu idea atau objek yang baru dan amat bernilai dalam kehidupan. Seorang
penyelidik kreativiti, Mumford, di dalam penulisan beliau yang bertajuk ‘Where have we been,
where are we going? Taking stock in creativity research’ menyatakan bahawa kreativiti itu
adalah satu proses yang mengakibatkan kepada sesuatu penghasilan yang baru dan berfaedah.
Creativity is the ability to produce novel and unique socially valued ideas or objects ranging
from philosophy to paintings, from music to mousetraps. Ungkapan beliau ini telah diperjelaskan
lagi oleh Sternberg dan Lubart di dalam artikel yang bertajuk ‘The concept of creativity:
prospects and paradigm’, iaitu sesuatu yang baharu dan berfaedah itu dilihat sebagai tulen dan
asli dari segi kemunculannya dan pada masa yang sama perlulah berguna, atau berfaedah dan
bersifat adaptif kepada persekitaran. Kesimpulan daripada semua pernyataan yang tersebut ini
menunjukkan bahawa kreativiti adalah sesuatu penghasilan atau kemunculan idea atau produk
yang baharu sifatnya, dan ia lahir secara semulajadi dalam keadaan yang tulen dan asli, serta
berperanan membawa kepada kebaikan dalam kehidupan individu dan masyarakat serta kepada
persekitaran.

Kajian kreativiti secara saintifik telah bermula seawal tahun 1950an apabila seorang pakar
psikologi Amerika Syarikat, J. P. Guilford menghuraikan fenomena pemikiran dan intelek,
khususnya yang berkaitan dengan kecerdasan dan kepintaran, dan diikuti oleh E. Paul Torrance.
Pada ketika itu, fenomena kreativiti telah dilihat sebagai satu ‘hypothetical construct’, atau
konstruk mental yang sangat penting dalam kajian terhadap kepintaran, personaliti, motivasi,
pencapaian kendiri dan penyelesaian masalah. Malah alat pengukuran dan pengujian terawal
terhadap kreativiti mula diperkenalkan oleh Guilford sendiri, dan juga oleh Torrance seperti
‘Torrance Tests of Creative Thinking’. Alat pengukuran ini amat popular dan masih lagi
digunakan hingga ke hari ini bagi mengenal pasti potensi kreativiti yang wujud dan tersembunyi
di kalangan individu.

Setiap individu perlu untuk menjadi kreatif bagi memenuhi matlamat dan tuntutan dalam
kehidupan. Ini kerana kehidupan itu dilingkungi oleh pelbagai ranjau dan masalah yang mampu
untuk menggugat individu dan kehidupan mereka. Namun pada hakikatnya, terdapat individu
yang tidak mampu untuk menyelesaikan masalah dalam mengharungi kehidupan ini. Mereka
mungkin menjadi terbelenggu oleh permasalahan mereka tanpa ada sebarang penyelesaian atau
jalan keluar dari masalah itu. Mungkin juga mereka keluar dari masalah hidup itu dengan cara
atau kaedah yang salah, tidak sesuai, tidak efektif atau tidak produktif. Akibatnya, keputusan dan
penyelesaian yang diambil mendatangkan kemudharatan dan keburukan, kepayahan, mahupun
kesudahan yang amat tragis sekali dan mungkin akan berakhir dengan kehilangan nyawa,
kecederaan dan sebagainya. Berdasarkan kepada situasi ini, maka kreativiti dilihat sebagai satu
keperluan yang wajar dimiliki dan dipelajari serta diamalkan untuk mencapai matlamat dalam
kehidupan.

Persoalan lain ialah apakah yang perlu diajar apabila mengajar kreativiti, dan kepada siapa ia
akan diajarkan. Sehingga kini, kreativiti tidak pernah diajar secara formal di peringkat sekolah
atau universiti. Jika ada, ia lebih berbentuk ajaran ringan yang tidak formal dan juga tidak
mempunyai piawaian struktur kurikulum yang lebih sistematik. Walhal kreativiti ini telah pun
menjadi satu agenda besar negara di peringkat nasional apabila tahun 2010 telah diiktiraf sebagai
tahun tema bagi kreativiti dan inovasi. Sambutan hari kualiti juga telah digantikan dengan
sambutan hari inovasi. Dalam konteks negara ini, senarionya ialah kreativiti itu lebih sesuai
berlaku atau banyak tertumpu di peringkat organisasi dan alam pekerjaan, bukan di alam
pembelajaran yang formal seperti sekolah dan universiti. 

Perlu juga disedari bahawa kreativiti sewajarnya mampu membawa individu dan masyarakat
kepada kebaikan dan kesejahteraan hidup. Namun perkara ini tidak selalu berlaku, lebih-lebih
lagi apabila ditinjau dari kehidupan golongan cendekiawan dari masyarakat di negara Barat yang
lebih maju, pintar dan kreatif, tetapi tewas dalam masalah kejiwaan. Mereka menghadapi
gangguan mental, dan sesetengahnya turut ada yang mengakhiri kehidupan mereka di dalam
institusi penyakit mental, malah ada yang membunuh diri. Di antara beberapa contoh gangguan
mental yang berlaku ialah seperti ketagihan dadah dan alkohol, gangguan mood dan afek seperti
kemurungan dan manik depresif, bunuh diri, gangguan personaliti dan sebagainya. Di antara
kalangan tokoh-tokoh yang terlibat ialah seperti van Gogh, seorang pelukis terkenal, Ernest
Hemingway, seorang novelis yang telah menembak dirinya sendiri sejurus selepas menerima
rawatan ECT, Virginia Wolf yang telah melemaskan dirinya sendiri, Robert Schumann yang
meninggal ketika berada di dalam hospital psikiatri, dan artis visual Michelangelo.

Jika dilihat dari contoh tersebut, akan wujud tanggapan seolah-olah jika seseorang itu berfikiran
kreatif, atau bercita-cita untuk menjadi kreatif, maka ia akhirnya akan mengalami gangguan
mental. Perlu jelas bahawa ini tidak bermakna kreativiti itu akhirnya akan mengakibatkan
berlakunya penyakit mental. Fenomena di negara Barat tidak semestinya akan berlaku di negara
ini kerana pandangan hidup dan kerangka pemikiran Barat itu berbeza dari pandangan hidup
Islam. Memang setiap individu, tanpa mengira darjat, kepintaran atau kecerdasan akan sentiasa
bergelumang dengan stres dan tekanan mental, tetapi cara mereka mengendalikan tekanan amat
berbeza dengan kaedah dalam Islam. Apa yang membimbangkan ialah wujud segelintir umat
yang menggunakan pendekatan ala Barat, seperti mengambil dadah dan alkohol bagi
menghasilkan daya cipta yang kreatif dan unik. Ia seperti percaya bahawa tanpa bahan tersebut,
idea kreatif tidak mungkin akan terhasil. Tanpa bahan-bahan tersebut, ketenangan untuk
berilham tidak akan tercapai. Malah hasil dan pemikiran yang bermutu juga tidak akan
diperolehi. Anggapan songsang ini perlu dirawat dahulu menurut ruang lingkup dan pemikiran
agama sebelum kurikulum kreativiti mampu diketengahkan.
TAJUK:  Masalah sosial dikalangan remaja adalah berpunca daripada hubungan ibu
bapa dengan remaja

1. Sinopsis Isu 
Peranan golongan remaja tidak dinafikan kerana mereka merupakan waris yang akan
menentukan hala tuju masa depan. Mereka mempunyai pengaruh besar  terhadap keadaan sosial,
politik dan ekonomi. Merekalah yang akan memegang tampuk pentadbiran,  penggerak ekonomi
dan pembangun generasi. 
Namun dalam pada itu kita tidak putus-putus dibebani dengan masalah sosial remaja yang
semakin hari semakin meruncing.  Masyarakat dikejutkan dengan pelbagai paparan secara
terbuka baik di media elektronik, media cetak mahupun di Internet.  Masalah sosial, keruntuhan
akhlak dan kemerosotan disiplin  amat membimbangkan kerana ia turut mengundang pelbagai
implikasi yang boleh meruntuhkan kestabilan negara dalam usaha melahirkan masyarakat
produktif dan berdaya maju. 
Sebelum ini kita dikejutkan dengan masalah bohsia, bohjan, pelacuran dan seks bebas dan
penyalahgunaan dadah.  Masalah menjadi lebih gawat apabila kita dikejutkan  dengan tindakan
ganas pelajar sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan serius kepada si mangsa. Isu ini
menimbulkan pelbagai persoalan dalam merungkai punca keadaan itu.
Anak-anak, khasnya remaja pada abad ke-21 ini terdedah dengan pelbagai bentuk pengaruh. 
Dalam dunia yang disebut sebagai"borderless world" ini banyak menyuntik unsur-unsur yang
positif mahu pun yang negatif.  Anak-anak lebih mudah tertawan dengan program yang
membunuh sahsiah berbanding program yang menghidupkan peribadinya (Hassan Mohd
Ali,1977)

Secara tidak langsung, ini memberi tamparan yang hebat kepada ibu bapa. Ibu bapa harus dapat
membimbing individu mengenali diri sendiri sebagai insan dalam alam sosial. 
Masalah berkaitan sosial remaja banyak berpunca daripada hubungan antara ibu bapa dengan
remaja itu sendiri.  Sejumlah besar remaja menyalahkan ibu bapa.   Sebagaimana petikan akhbar
berjudul "Ayah Sibuk, Remaja Liar" Harian Metro, 1 Ogos 2001, "Keluarga Terbiar, Remaja
Jadi Liar"  Harian Metro, 6 September 2001 dan  "Jenayah Rogol Juvana Salah Siapa?" Utusan
Malaysia, 23 Julai 2001. Kesibukan urusan kerja menyebabkan kekurangan agihan masa.  Kasih
sayang  yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang ringgit. 
Ibu bapa pula menafikan kenyataan ini dan menyalahkan pihak lain sama ada disebabkan faktor
ego dengan kedudukan mereka atau persepsi mereka terhadap golongan remaja yang
dikatogerikan sebagai golongan yang masih mentah.
Bagaimanapun tugas tersebut nampaknya telah diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah
atau pihak sekolah.  Dengan berbuat demikian mereka berharap akhlak, personaliti dan kendiri
anak mereka dapat dibentuk sebaik mungkin. Akibatnya , mereka mengundang gejala sosial di
kalangan remaja. 
 

2. Isu
Isu yang dipaparkan dalam keratan akhbar ini menegaskan tentang masalah sosial dikalangan
remaja adalah berpunca daripada hubungan ibu bapa dengan remaja.  Pertentangan pendapat
antara remaja dan ibu bapa timbul apabila kedua pihak ini cuba untuk mempertahankan
kebenaran masing-masing. 
Remaja  yang bermasalah menuding jari kepada ibu bapa, kononnya ibu bapa tidak memberi
perhatian wajar kepada mereka kerana sibuk menumpukan urusan kerja. Mereka kekurangan
masa bersama,  kasih sayang yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang
ringgit.  Tanggungjawab diserahkan kepada pembantu rumah, guru atau pendidik yang telah
dibayar gaji.
Dari perspektif ibu bapa pula, mereka seolah-olah keliru dengan kenyataan anak-anak mereka. 
Lebih buruk lagi apabila mereka menuding jari kepada pihak lain seperti sekolah yang kononnya
gagal melahirkan pelajar yang berdisiplin. 
Mencari siapa punca masalah bukanlah jalan yang bijak dalam menyelesaian sesuatu masalah. 
Namun yang pasti konflik akan membawa perubahan.

3. Definisi dan Konsep Teori Konflik


Teori Konflik bermula daripada pandangan asal Karl Marx dan diikuti oleh Weber.  Oleh itu
teori ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu aliran Marx dan aliran Weber.
Mengikut Marx konflik bukan semata-mata sebagai satu cara analisa sosiologi tetapi merupakan
satu cara reformasi sosial.  Bagaimana ketegangan yang berpunca daripada ketidaksamaan
memberi kesan kepada kestabilan dan perubahan. Teori ini akan mengkaji bagaimana hubungkait
antara konflik dan perubahan.  Ketegangan dan konflik akan menyumbang kepada perubahan
sosial.  Perubahan boleh berbentuk revolusi atau adaptasi.  Sementara itu mengikut George
Simmel, konflik ialah sesuatu yang semulajadi dalam sesuatu masyarakat.  Lewis Coser pula
mengatakan bahawa sesuatu konflik itu boleh mempercepatkan proses kesetiaan dan
keharmonian di dalam sesuatu kelompok sosial. 
Brinkerhaff and White(1989) merumuskan 3 andaian penting dalam teori konflik
a) Konsep dialektik- evolusi bukan proses utama kepada perubahan sosial tetapi konflik yang
menghasilkan perubahan sosial.
b) Determinisme ekonomi - asas kepada perubahan sosial ditentukan oleh faktor-faktor
persaingan ekonomi
c) Aktiviti sosial- tugas utama analisis sosial adalah kritikan sosial.
Max Weber pula merupakan seorang rakyat Jerman.  Beliau adalah sosiologis, ekonomi,
sejarawan, ahli undangan, ahli falsafah.  Dipengaruhi oleh Karl Marx tetapi menolak konsep
Marx.  Contohnya menolak konsep materialisme sejarah Marx.  Menganggap agama penting
sebagai agen perubahan.  Tidak setuju dengan revolusi dan mengkritik sosiolisme.  Proses
rasionalisasi dunia moden barat berkembang berasaskan rasionalisasi.  Dunia lain terbantut
perkembangannya kerana halangan kuasa. Beliau mempersoalkan andaian Marx yang
mengatakan ciri-ciri semua institusi sosial adalah berpunca oleh faktor ekonomi.  Menghujahkan
bahawa perubahan sosial bukanlah kerana konflik kelas tetapi pelbagai faktor lain.
Menurut pandangan teori ini masyarakat berada dalam keadaan berubah-ubah, berkonflik dan
sentiasa ingin memperjuangkan kepentingan masing-masing.  Kumpulan yang kuat atau lebih
berkuasa boleh memaksa kumpulan yang lemah untuk menerima nilai-nilainya.  Mengikut teori
ini terdapat tiga perkara penting yang berlaku dalam masyarakat iaitu konflik, perubahan dan
paksaan.

4. Analisis isu berdasarkan satu teori sosiologi


Konflik mungkin timbul seandainya seseorang itu mempunyai peranan dan ekspektasi yang
berbeza-beza.  Sebagai contoh dalam isu ini ibu bapa mengangap bahawa diri mereka telah
menjalankan tanggung jawab yang sebaik mungkin dalam memenuhi kehendak anak seperti
memberi kesenangan.  Ibu bapa mungkin ingin membaiki status kerana status menyebabkan
seseorang itu bertaraf,  diberi perhatian dan keutamaan dalam sesebuah masyarakat terutama
bagi komuniti di bandar tetapi perspektif remaja berbeza. 
Menurut Teori Konflik perselisihan berlaku kerana tidak wujud persefahaman yang jelas antara
kedua pihak ini.  Memang tidak dinafikan masyarakat madani memperlihatkan satu budaya
dimana kedua-dua pasangan suami isteri bekerja.  Sekiranya ibubapa  bekerja, sudah semestinya 
masa mereka terpaksa diagihkan antara tugas di pejabat dengan urusan di rumah.  Ini bermakna
mereka hanya dapat melihat anak masing- masing ketika sebelum dan selepas kerja.  Ditambah
dengan kepenatan selepas tugas, memaksa mereka untuk merehatkan diri. Tanpa jadual harian
yang menekankan program bersama anak-anak, kurangnya kegiatan komunikasi seperti tidak
bertanya peribadi remaja, bagaimana tentang pelajaran, tidak mengetahui siapa rakan-rakan
mereka serta membiarkan mereka terus dibuai budaya negatif .  Sikap mementingkan
materialistik atau kerjaya ibu bapa membuatkan remaja tidak berkesempatan untuk berbincang,
mengadu hal dan sentiasa memendam rasa mengenai sesuatu perkara. 
Berbagai persoalan timbul dalam fikiran mereka seperti mengapa mereka dilahirkan tetapi
dibiarkan?  Untuk kepentingan siapakah mereka sibuk hingga tidak sempat melayan anak?  
Apabila mereka rasa tidak dikehendaki, tidak disayangi dan tidak diperlukan oleh ibu bapa, maka
mereka membawa perasaan dan harapan di luar keluarga. 
Hubungan interpersonal yang tidak intim menimbulkan keadaan yang tidak menyenangkan.  
Segala cetusan rasa diluahkan kepada rakan-rakan di luar. Apabila berjumpa dengan kawan-
kawan yang mengambil berat, kawan yang boleh bekerjasama, ditambah pula dengan rakan
yang  menghargai dan memerlukannya, maka remaja ini  mengalihkan perhatian kepada
kumpulan rakannya.  Lama-kelamaan perhubungan dengan ibu bapa akan terhakis sebaliknya
menebalkan hubungan remaja dengan rakan-rakan di luar. 
Pakar psikologi kaunseling melalui teori mereka mendapati empat ciri bagi menjelaskan tabiat
seseorang itu seperti Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Freud.
Pertama:  Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi unsur
rangsangan seksual agresif dan tidak rasional wujud dalam diri 
manusia bagi tujuan menjaga perkembangan hidupnya.  Kedua:  Analisis Transisi, teori ini
menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan ibu bapa
ketika kecil, anak berkenaan merakamkan secara langsung percakapan dan perbuatan ibu bapa
mereka. 
Konflik terjadi apabila anak cuba menilai semula skrip hidup lama atau menerbitkan skrip hidup
yang baru hasil perkembangan emosi dan pengaruh persekitaran.  Ketiga:  Behaviorisma, iaitu
tingkah laku yang terbentuk hasil proses pembelajaran dan evolusi persekitaran.  Tabiat manusia
menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah. 
Keempat:  Teori Pemusatan Klien.  Teori ini mengandaikan bahawa tabiat manusia secara
azalinya adalah rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri.  Manusia
juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan diri
dihalang seperti mendapat kasih sayang dan keselamatan. 
James Backer mengatakan ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan
anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang sempurna.  Ibu bapa hendaklah
membimbing, memahami, menyelami kehendak jiwa remaja dan berfikiran terbuka.  Jadilah
model terbaik, sekaligus sebagai perangsang.  Ini akan mendorong kepada kewujudan suasana
harmonis.
5. Menganalisis isu berdasarkan tiga konsep sosiologi
5.1 Modenisasi 
Modenisasi merupakan satu proses transformasi ekonomi dan sosial dalam masyarakat sebagai
kesan daripada bermulanya perindustrian.  Modenisasi boleh juga diterima sebagai keadaan di
mana masyarakat tradisional menggantikan atau memodenkan sikap, autoriti, hubungan dan
nilai-nilai lama kepada yang dikatakan baru.  Gaya hidup tradisi telah berubah sebagai gaya
hidup moden.  Masyarakat mengalami modenisasi secara beransur-ansur dengan adanya
pertemuan dengan gejala barat.
Proses modenisasi menyebabkan perubahan samada dalam institusi kekeluargaan atau
masyarakat. Terdapat perubahan dalam nilai-nilai dan norma-norma ibu bapa disebabkan oleh
proses-proses modenisasi, perbandaran dan birokrasi.  Ibu bapa lebih memanjakan anak
memenuhi segala kehendak mereka dan sering bertolak ansur dengan anak-anak mereka. 
Hujah ini menerangkan perubahan-perubahan yang berlaku dari segi kawalan di rumah.  Kanak-
kanak yang diasuh dengan manja akan didapati sukar untuk menyesuaikan diri atau memahami
hasrat ibu bapa.
Apabila terdapat situasi yang bertentangan antara kehendak individu dengan ibu bapa mereka
mungkin akan menggunakan tingkah laku yang liar untuk menyelesaikan situasi yang
berlawanan ini boleh mengakibatkan kesan yang menyakitkan ke atas setengah-setengah kanak-
kanak yang mana merupakan suatu penggalak kepada masalah sosial.
Dunia berubah bila revolusi perindustrian berlaku,manusia menjadi materialistik dan
individualistik.

5.2 Kelas sosial


Terdapat banyak kajian tentang hubungan di antara latar belakang keluarga yang tidak stabil
dengan masalah sosial di kalangan remaja.  Remaja yang datang dari keluarga yang taraf sosio
ekonomi yang rendah antara faktor utama mereka terjebak dalam kancah masalah disiplin.  Di
rumah, kekeluargaan dan penerimaan (acceptance) tidak wujud dalam sebilangan remaja
berkenaan. 
Selain itu bilangan ibu bapa dan penjaga yang bekerja di luar rumah yang semakin meningkat
juga menyebabkan pelajar merasa terbiar dan tidak mendapat perhatian sewajarnya.  Dapatan
yang dinyatakan ini adalah bertepatan dengan hujah-hujah dan dapatan kajian Athur & Ericson
(1992);  Kosterman (1996); yang jelas menunjukkan faktor keluarga merupakan alasan utama
menyebabkan masalah disiplin. 
Tidak terkecuali remaja berada terutama di kalangan remaja ibu kota. Pengambilan pil Ecstasy
dan aktiviti seks bebas. Menurut Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya,
Dr. Hussain Mohammad "Pusat hiburan eksklusif menjadi tumpuan remaja seperti ini untuk
melakukan kegiatan tidak berfaedah tanpa pengetahuan pihak berkuasa.  Remaja ini pastinya
mempunyai wang yang banyak dan memudahkan mereka membeli pil Estasy.  Hanya remaja
berada saja mampu membeli pil ini kerana harganya mahal".  Dipetik dari Harian Metro bertajuk
"Ayah Sibuk Remaja Liar",  1 Ogos 2001.
Kelas sosial telah menjadi ciri masyarakat moden berbanding semasa zaman penjajahan.
Layanan yang berbeza mengikut kelas diamalkan.  Kadar lompatan kelas juga adalah berbeza. 
Bagi kelas atasan mereka meneruskan mobiliti mendatar pada kelas yang sama.  Bagi kelas
bawahan mobiliti keatas adalah memakan masa dan antara generasi yang berbeza.  Mereka yang
berada di kelas atas meneruskan kedudukan mereka dengan merebut peluang-peluang pendidikan
dan kerjaya terbaru.  Untuk mengekalkan  atau  meningkatkan lagi kedudukan mereka, mereka
harus bekerja lebih giat.  Begitu juga dengan kelas bawah untuk bersaing  mereka harus
melipatgandakan usaha mereka agar tidak jauh ketinggalan.  Usaha keras inilah yang  meruntun
pengorbanan masa dan wang menjadi gantinya. 

5.3 Sosialisasi
Sosialisasi merupakan suatu proses mempelajari peranan, status dan nilai yang
perlu ada dalam institusi sosial.  Proses pembelajaran sepanjang hayat berlaku dalam institusi
sosial.  Pemindahan norma dan nilai dalam keluarga serta budaya setempat sesuatu masyarakat
kepada kanak-kanak.  Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak akan membentuk konsep diri pada
individu.  Oleh itu kelompok primer iaitu keluarga merupakan kelompok yang paling
berpengaruh
Pentingnya fungsi kekeluargaan adalah sejak mula anak itu dilahirkan.  Anak-anak mula belajar
dari kedua ibu bapa mereka.  Oleh itu ibu bapa yang memberi 'quality time' kepada anak-anak
mereka dapat menanamkan minat dan bertindak balas dengan memberikan didikan dan peluang
yang berpatutan. 
Setiap individu yang dilahirkan mempunyai potensi untuk berkembang ke arah kecemerlangan. 
Bagi memastikan potensi ini berkembang ke arah yang positif, ibu bapalah yang terbaik
memainkan peranan penting untuk membantu anak-anak ini mencapai keunggulan peribadi. 
Anak-anak beruntung jika dilahirkan oleh orang tua yang penuh kasih sayang, perhatian dan
pengertian dan memiliki kesempatan terbaik untuk mengembangkan fikiran mereka dengan
penuh kegembiraan dan kejayaan.  Namun ada sesetengah ibu bapa tidak memainkan peranan 
dengan berkesan dalam usaha menyalurkan bantuan yang amat diperlukan oleh anak-anak
mereka disebabkan kesibukan tugas atau tidak mempunyai pengetahuan untuk membantu anak
remaja.  Mereka tidak lagi prihatin tentang perkembangan anak-anak di sekolah, tidak
mengetahui siapakah rakan-rakan anak mereka dan tidak menghiraukan  bagaimana masa lapang
mereka dihabiskan.  Masa yang diluangkan untuk sama-sama menjalankan aktiviti bersama
anak-anak adalah sangat terhad apatah lagi berkomunikasi terutama dengan anak remaja
berhubung dengan kegiatan harian (Laurance Steinberg 1996).  Kenyataan ini sedikit sebanyak
mengambarkan bahawa ibu bapa pada era ini gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab. 
Maka itu kegagalan ibu bapa memberi pendidikan pada peringkat permulaan akan membawa
kepada suatu petanda yang buruk terhadap disiplin anak-anak(Asmawati,1996).  Ini meneguhkan
pendapat Freud,(Mahmod Nazar, 1990) yang mengatakan bahawa kualiti penjagaan yang
diberikan di peringkat awal akan mempengaruhi di kemudian hari.
 Menurut pandangan seorang ahli sosiologi Robert K. Merton, di sebalik berlakunya pelanggaran
undang-undang dan kawalan sosial, jenayah sebenarnya boleh berlaku disebabkan keadaan
sesuatu masyarakat itu disusun.  Merton menegaskan, dalam kehidupan manusia memerlukan
banyak perkara seperti kekayaan, kesenangan, kejayaan, kuasa atau hanya setakat rumah yang
selesa dan sedikit keamanan dan ketenteraman.  Walaubagaimanapun kualiti norma hidup yang
rendah mendorong kepada berlakunya jenayah dalam masyarakat. 

 6. Rumusan/Cadangan
"Mencegah lebih baik dari mengubati" .  Justeru itu institusi keluarga memainkan peranan yang
lebih penting sebelum kita mengkaji dari aspek yang lebih luas seperti institusi pendidikan atau
masyarakat. 
Masalah ini dapat diselesaikan seandainya ibu bapa memberikan perhatian rapi kepada anak-
anak sejak mereka kecil dan sentiasa  sedia berkongsi masalah dengan mereka. Ibu bapa
seharusnya menjadi kawan kepada anak mereka sendiri di samping menimbulkan persekitaran
kekeluargaan dan teknik keibubapaan yang sihat serta cemerlang.  Kekeliruan perasaan, tidak
dihargai dan terasing dalam keluarga sendiri lantaran kesibukan ibu bapa antara punca lain
mendorong remaja melakukan kegiatan jenayah. 
Dalam masa yang sama ibu bapa harus bersikap tegas dalam mendidik anak-anak.  Komunikasi
dua hala yang sihat  akan membantu anak meluahkan masalah mereka.  Ibu bapa perlu belajar 
menyelami dan memenangi jiwa anak supaya anak remaja yang biasanya bersikap egosentrik
dapat dilembutkan.  Ibu bapa perlu menjadi model terbaik kepada anak-anak. 
Pendidikan merupakan asas mobiliti sosial.  Namun, visi dan cita-cita yang luhur ini tidak akan
tercapai seandainya masalah disiplin di kalangan pelajar tidak dapat dibendung. Setiap remaja
perlu didekati supaya mereka menghayati keunggulan disiplin.  Keunggulan ini dapat
dipraktikkan melalui kerjasama semua pihak baik pentadbir sekolah , guru disiplin, kaunselor,
dan ibu bapa pelajar.  Secara tidak langsung masalah sosial yang semakin meningkat peratusnya
dapat dikurangkan.
Pendidikan berperanan penting dalam perkembangan setiap individu.  Formula dan strategi
pendidikan yang sesuai perlu dicipta bagi menghasilkan generasi yang berwibawa dan mampu
bersaing dalam konteks globalisasi didorong oleh mekanisme sains dan teknologi. 
Pihak-pihak tertentu seperti kerajaan, persatuan belia. masyarakat setempat mula merangka
program dan aktiviti-aktiviti untuk golongan remaja mengisi masa lapang mereka, sama ada
kegiatan berbentuk setempat atau menerusi Gaya Hidup Rakan Muda.  Kerajaan menerusi
kementerian Belia dan Sukan mengambil langkah segera memperluaskan program berkenaan. 
Kesimpulannya, sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja masa
kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud di dalam alam persekitaran. 
Misalnya, pembangunan yang terlalu pesat telah mengubah cara hidup masyarakat kita. Manusia
menjadi semakin individualistik dan materialistik.  Lantaran itu, keseimbangan sosial harus
dipulihkan semula.  Jika ini dapat dilakukan maka perhubungan kekeluargaan serta anggota
masyarakat dapat diperteguhkan.  Apa yang lebih penting setiap daripada kita mempunyai
tanggungjawab sosial tidak terkecuali remaja terutama dalam kita merealisasikan 'masyarakat
madani' menjadi sebuah realiti dan bukan satu ilusi yang kosong.  Ini hanya dapat dijayakan
dengan menyelamatkan golongan remaja daripada terjerumus ke lembah yang tidak diingini.
Takutilah Dosa Batin
Posted by Muhd Afiq under Uncategorized | Tags: batin, dosa, insaf, takut, taubat |

Suatu masa dulu ada seorang lelaki yang pernah melakukan dosa besar. Dia merasa berdosa, menyesali dan
menangisi dosanya itu setiap hari selama 20 tahun sehingga matanya rabun dan dadanya terasa pedih kerana terlalu
banyak menangis.

Bertaubat seperti ini merupakan satu ibadah yang baik. Takutnya kepada Tuhan itu akan menjadi syafaat bagi dia di
dunia dan di akhirat. Ini lebih besar dari solat dan puasa sunat. Sebab tujuan taubatnya tercapai iaitu mendapat rasa
hamba. Ini satu anugerah dan Tuhan, sebab bukan mudah untuk mengingati apalagi menyesali dosa-dosa yang
pernah kita buat berpuluh tahun yang lalu.

Pada suatu hari Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, “Apakah ada
umatmu yang nanti dapat masuk Syurga tanpa hisab?”

Jawab baginda, ” Ada, iaitu orang yang mengenang dosanya lalu dia menangis.”

Ada juga hamba Allah yang terlalu tajam rasa bertuhannya sehingga setiap kali selesai membuat kebaikan menurut
ukuran manusia biasa, dia segera bertaubat kerana dia merasa kebaikan yang dia buat itu tidak sempurna. Dia
merasa kebaikan yang dia buat itu tidak ikhlas kerana Allah, terselit kepentingan-kepentingan lain atau dia merasa
tidak beradab kepada Tuhan yang sentiasa mengawasinya dalam membuat kebaikan itu. Dia terasa yang dia buat itu
bukan suatu kebaikan tetapi suatu kederhakaan kepada Tuhan walaupun secara lahirnya ia suatu kebaikan. Hamba
seperti ini sentiasa merasakan dirinya berdosa dan ibadah-ibadahnya tidak sempurna. Tanpa anugerah dari Allah,
sangat sukar bagi manusia untuk memiliki sifat kehambaan yang halus seperti ini. Sangat sukar untuk mengesannya,
ia memerlukan pandangan mata batin, tidak cukup dengan mata lahir dan akal saja

Kadang-kadang suatu amalan nampak baik oleh mata dan akal tetapi kalau diperhalusi dengan hati yang tajam
ternyata suatu kejahatan. Contohnya, mengerjakan solat. Mata lahir mengatakan baik, akal pun berkata demikian
juga. Tapi kalau kita tanya hati, susah untuk memberi jawapan baik atau tidak baik.

Kalau lepas mengerjakan solat, hati kita rasa senang, rasa selamat dengan solat itu, maka rosaklah ibadah kita itu.
Selepas solat dipuji orang, hati pun rasa bangga dan berbunga, habislah semuanya. Itulah yang dimaksudkan ibadah
itu menjadi hijab dan dosa. Mana boleh selepas solat kita rasa senang dan tenang. Patutnya kita rasa takut dan cemas
sebab solat kita tidak sempurna, ada lalai dan cacat di sepanjang solat. Hati sepatutnya bertanya-tanya, solat aku ini
Tuhan terima atau tidak? Tuhan redha atau tidak? Tuhan tidak pandang mata dan akal, tetapi Tuhan pandang hati
manusia walaupun ibadah lahir mesti dibuat. Firman Allah Taala:
Terjemahannya: “Hari Qiamat iaitu hari (ketika manusia meninggalkan dunia ini) di mana harta dan anak tidak
berguna lagi kecuali mereka yang menghadap Allah membawa hati yang selamat.” (Asy Syuara`: 88 – 89)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah tidak memandang rupa dan harta kamu tetapi Dia memandang hati
dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim)

Sebenarnya ketika menghadap Tuhan kita sedang menghadap Raja dari segala raja. Sebab itu bagi orang yang betul-
betul faham, ketika dia hendak solat dia bimbang dan gelisah takut tidak beradab di hadapan Raja segala raja.
Macam raja besar dunia hendak memanggil kita rakyat biasa ke istana, tentu kita ada rasa takut dan cemas, bertanya
sana sini tentang tatacara dan sopan-santun menghadap raja. Apa pantang larangnya. Waktu pergi, sebelum
menghadap sudah susah hati dan bimbang, waktu sedang menghadap pun susah hati dan bimbang. Selepas
menghadap pun susah hati dan bimbang, takut kita sudah tidak beradab dan kurang ajar di hadapan raja. Begitulah
rasa hati rakyat jelata yang dipanggil menghadap ke istana raja besar.
Tuhan adalah Raja dari segala raja. Patutnya kita lebih merasakan susah hati dan bimbang ketika menghadap-Nya
dibanding dengan menghadap raja besar manusia tadi. Apakah hati kita merasakan ini? Kalau tidak rasa begitu,
benarkah kita telah beribadah kepada Tuhan dan menyembah-Nya? Kalau hatinya betul-betul ikut solat atau dengan
kata lain dia sangat menghayati solatnya, maka hatinya akan takut, bimbang dan cemas.

Bagi orang yang kenal dan faham Tuhan, maka sebelum mengerjakan solat hatinya sudah gelisah. Orang lain tidak
nampak hatinya yang gelisah. Setelah solat dia merasa betapa telah tidak beradabnya dia ketika berhadapan dengan
Tuhan yang Maha Besar itu. Sebab itu selepas solat sebelum berdoa mengajukan berbagai permintaan kepada Allah,
dia bertaubat dahulu, beristighfar dahulu di atas dosa solatnya yang tidak sempurna. Atau setidak-tidaknya dia rasa
bimbang dan cemas. Barulah setelah itu dia berterima kasih kepada Allah yang telah memberinya kekuatan untuk
menyembah-Nya dan dengan penuh harap dia berdoa kepada Allah.

Itulah yang dimaksudkan kadang-kadang kita tidak sedar kebaikan yang kita buat berubah menjadi kejahatan. Solat
kita yang lalai dan tidak sempurna itu telah membuat kita rasa senang dan selamat, padahal dia membuat kita
terhijab dari rahmat Tuhan. Dosa-dosa batin ini sangat halus, susah dikesan dan dirasa. Orang yang secara lahirnya
membuat kebaikan tetapi terhijab dari rahmat Tuhan, susah untuk dia bertaubat. Kalau kesalahan yang lahir
misalnya minum arak dan berjudi, mudah manusia mengesannya sehingga mereka dapat segera bertaubat. Tetapi
kesalahan dan dosa batin sangat susah dikesan apalagi untuk bertaubat.

Cuba kita tanya orang yang solat. Bagaimana solat saudara tadi? Kalau dia kata, “Alhamdulillah ” dengan senang
hati dan rasa selamat dengan ibadahnya, tanpa ada rasa berdosa, sebenarnya dia sedang membuat satu dosa batin.
Orang dulu walau takut dengan dosa lahir, tetapi mereka lebih takut dengan dosa-dosa batin. Di celah-celah ibadah
dan kebaikan ada dosa, ada tidak beradab dengan Tuhan.

Sebab itu ada Hadis yang menyebutkan bahawa seorang hamba menjadi wali Allah bukan kerana faktor solat dia
yang banyak, baca Quran yang banyak, tetapi kerana hatinya sangat halus dengan Tuhan. Orang yang beribadah
kerana fadhilat, inginkan Syurga atau kerana takutkan Neraka, selalu tertipu. Hati dia rasa senang dan selamat
dengan ibadahnya. Tidak risau, bimbang dan cemas apakah ibadahnya diterima Tuhan atau tidak. Ibadah orang-
orang yang mengejar fadhilat ini tidak akan memberi kesan dalam kehidupannya sehari-hari. Tidak ada bezanya
antara yang orang yang beribadah dengan yang tidak.

Soal rasa dan hati ini sangat sulit dan halus. Para Sahabat secara umum memiliki hati yang tajam. Sayidina Umar bin
Khattab r.a. memiliki rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang tinggi sehingga begitu bimbang dengan keselamatan
dirinya. Kalau dia berjumpa dengan Abu Huzaifah r.a. yang Allah anugerahkan pandangan batinyang tajam, dia
akan bertanya, “Wahai Abu Huzaifah, apakah aku ini orang munafik?”

Pada kesempatan lain ia berkata pada dirinya, “Kalaulah ada penghuni Neraka yang Allah ampunkan dan beri
rahmat-Nya kemudian Allah masukkan ke dalam Syurga, aku harap akulah orang terakhir yang Allah keluarkan dari
Neraka itu.” I

itulah kebimbangan dan kecemasan orang bertaqwa. Mereka tenang dengan dunia, kemiskinan, kesusahan dan lain-
lain tetapi sangat sensitif dan cemas dengan dosa-dosa kepada Tuhan. Hati mereka harap dan takut pada Tuhan.

Apa yang dimaksud dengan harap dan takut? Tanda berharap adalah dia berbuat dan tidak putus asa. Dia mengharap
rahmat Allah. Tanda takut adalah dia sudah berbuat, tetapi takut dan cemas Tuhan tidak terima amalan dan
taubatnya. Jadi harap itu ada asasnya. Berharap di atas perbuatan dan amalannya, dia baik sangka dengan Tuhan.
Bila sudah berbuat hatinya bimbang juga, sebab yang kita buat amalan yang lahir. Yang batin kita tidak nampak tapi
Tuhan tahu. Mungkin ada kesalahan yang kita tidak sedar. Kita rasa sudah tidak ada masalah.

Di situlah perlu ada takut. Jadi takut di sini ada hubung kait dengan kita merendah diri di hadapan Tuhan. Seolah
kita mengaku, Walau aku sudah berbuat tetapi tidak sempurna. Engkau Maha Tahu. Sebab itu aku takut, cemas. Aku
sudah berbuat yang lahir, tetapi ada yang batin. Aku tidak tahu yang batin ini.
Adanya perasaan takut ini menunjukkan ada benda lain dalam hatinya iaitu rendah diri dan tawaduk. Kalau tidak
tawaduk, tidak akan lahir rasa takut Tuhan tidak terima. Sebaliknya dia akan rasa yakin seluruh amalannya diterima
Tuhan. Dia akan rasa selamat. Rasa ini menafikan rasa kehambaan. Lebih jauh dari itu keyakinan yang terlalu kuat
bahawa amalannya diterima Tuhan, selain merupakan dosa batin, ia dapat menggelincirkan tauhid seseorang sebab
orang tersebut merasa seolah-olah pandangannya sudah sama dengan pandangan Tuhan.

Satu jenis tipuan lagi adalah perasaan tenang dan steady dengan dosa yang dibuat baik dosa lahir mahupun dosa
batin. Dia rasa tenang itu kerana dia tahu bahawa Allah Maha Pengasih Maha Penyayang. Mengapa ini disebut satu
tipuan?

Memang benar dan tepat bahawa Allah Maha Pengasih dan Penyayang, tetapi perasaan tenang, steady dan tidak
susah hati dengan dosa itu yang salah. Seolah-olah tidak perlu sungguh-sungguh bertaubat atas dosa sebab Allah
Maha Pengasih dan Penyayang. Kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dia yakin Allah akan
mengampunkannya walau tidak sungguh-sungguh bertaubat.

Mengampunkan atau tidak itu hak Allah, tetapi memiliki keyakinan ini yang salah bahkan dapat merosakkan tauhid
sebab sudah jelas disebut dalam berbagai ayat Quran dan Hadis bahawa Allah murka dan marah kepada hamba-
hamba yang berdosa dan tidak sungguh-sungguh bertaubat atas dosa-dosanya. Perkara yang halus dan seni-seni
seperti inilah susah untuk difahami kalau kita tidak ada ilmu tasawuf serta tidak dipimpin dan disuluh oleh seorang
guru mursyid.

You might also like