You are on page 1of 11

Raja Ali Haji

· Latar belakang

Lahirnya sesuatu karya itu bukanlah daripada kekosongan. Tentu ada tangan yang menciptanya.
Bentuk dan isi sesuatu karya itu berkait rapat dengan latar belakang pengarangnya. Oleh itu,
dengan mengetahui latar belakang pengarang, dan masyarakatnya dapat memudahkan sesuatu
karya itu untuk difahami. Raja Ali Haji dianggap sebagai pujangga Melayu. Pujangga Melayu ini
mendapat tempat yang tersendiri dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Beliau seorang pujangga
yang berbakat dalam berbagai bidang. Kepelbagaian bakat ini jarang ditandingi oleh pujangga-
pujangga yang lain baik sebelum mahupun selepasnya (Abu Hassan Sham, 1994: 108).

Raja Ali Haji atau nama penuhnya, Raja Ali Haji bin Raja Ahmad telah melakukan anjakan
paradigma ke atas karya manuskrip Melayu yang dikarang oleh beliau. Sebagai seorang pujangga
yang dianggap terkemuka dalam zamannya, beliau mempunyai wawasan tersendiri dalam
memperbaiki bangsanya. Beliau mahu bangsanya selamat di dunia dan di akhirat. Mereka
hendaklah bermuafakat dan jangan mengamalkan fitnah memfitnah, dan hidup di dunia
hendaklah berlandaskan hukum syariat. Hal ini demikian jelas dapat dilihat dalam kebanyakan
karyanya .

Beliau merupakan pujangga daripada golongan bangsawan. Namun, beliau bukan hanya menulis
karya sejarah semata-mata seperti bangsawan sebelumnya iaitu Tun Seri Lanang dan Raja Culan,
tetapi beliau menulis karya ketatanegaraan dan syair yang bersifat agama. Jadi, bakat beliau
ialah gabungan karya-karya untuk golongan pemerintah dan juga untuk semua golongan
sebagaimana yang dicerminkan dalam syair-syairnya. Beliau bukan sahaja berasal daripada
keluarga bangsawan, tetapi juga daripada keluarga penyair. Bapanya, Raja Ahmad ialah
pengarang Syair Ungku Puteri dan adiknya Raja Saleha dan Raja Daud juga dikatakan pengarang.
Anak-anaknya iaitu Raja Hassan merupakan pengarang Syair Burung, Raja Safiah ialah pengarang
Syair Kumbang Mengindera dan Raja Kalthum ialah pengarang Syair Saudagar Bodoh. Cucunya
pun terdiri daripada penyair juga.

Tarikh kelahiran beliau tidak dapat dipastikan oleh para pengkaji dan menurut Siti Hawa Haji
Salleh, tarikh kelahiran beliau hanya dapat diteka daripada tarikh-tarikh yang disebutnya dalam
kitab Tuhfat al-Naffis, iaitu pada tahun 1809. Manakala kemangkatan beliau pula hanya dapat
dianggarkan pada tahun 1869 hingga 1875 juga didasarkan daripada kitab beliau tersebut.

Raja Ali Haji bin Raja Ahmad merupakan cucu kepada Raja Haji, marhum teluk Ketapang yang
telah gugur sewaktu peperangan antara Bugis dan Belanda di Melaka pada tahun 1784.
Keturunannya dikesan kepada Daing Celak, salah seorang pahlawan Bugis yang berkuasa di
bahagian barat Alam Melayu semenjak abad ke-18 lagi (Siti Hawa Haji Salleh, 1997: 173). Pada
waktu itu, keluarga Bugis ini telah berkuasa di Riau, Penyengat yang telah menjadi pusat
kebudayaan Melayu dan pusat ilmu pengetahuan Islam di Kepulauan Melayu. Keluarganya juga
turut memainkan peranan yang penting sewaktu berlaku pergolakan politik pada kurun ke-18
dan kurun ke-19 di Kepulauan Melayu.

Tidak seperti remaja-remaja yang lain, Raja Ali Haji telahpun memikul amanah dan
tanggungjawab sebagai pemimpin sejak dari usia yang muda. Hal ini demikian kerana ketika
beliau masih kecil lagi beliau telah dibawa oleh ayahandanya sebagai utusan Sultan Riau untuk
berjumpa dengan Baron van Der Capellen, Gabenor Jenderal Hindia Belanda. Malah seawal usia
19 tahun lagi, beliau telah pergi untuk menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu menunaikan
fardu haji ke Makkah. Di kesempatan itulah, beliau telah menimba ilmu pengetahuan daripada
ulama-ulama yang terkenal di tanah suci Makkah.

Dalam pada itu, beliau tidak hanya dikenali sebagai seorang tokoh pujangga Melayu malahan
juga turut melibatkan diri sebagai seorang guru agama. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan
beliau dalam hal ilmu pengetahuan yang mencakupi pelbagai bidang sememangnya tidak dapat
dinafikan. Juga daripada karya-karyanya adalah mudah kita lihat bahawa beliau bukan sahaja
mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang agama, bahkan pintar pula berbahasa Arab
(Mohamad Daud Mohamad, 1987: 146). Antara karya yang telah dihasilkan oleh beliau adalah
Bustan al-Katibin (1857), Kitab Pengetahuan Bahasa (1859), Salasilah Melayu dan Bugis, Tuhfat
al-Naffis dan sebagainya.

Berdasarkan Tuhfat al-Naffis, dapat diketahui serba sedikit latar belakang keluarga dan
kehidupan beliau. Ibunya ialah Puan Hamidah iaitu anak Panglima Perang Malik dari Selangor.
Raja Salihah yang dikatakan pengarang Syair Abdul Muluk ialah saudara seibu sebapa dengan
beliau. Raja Ali Haji mempunyai beberapa orang isteri. Isteri pertamanya ialah Sulung dan
mereka mempunyai beberapa orang anak. Hasil perkahwinan dengan isteri kedua iaitu Raja
Halimah, melahirkan Kalthum pengarang Syair Saudagar Bodoh dan Raja Hassan, pengarang
Syair Burung. Raja Ali Haji turut berkahwin dengan Raja Safiah dan Daing Cahaya. Hasil
perkahwinan ini juga menghasilkan beberapa orang anak (Abu Hassan Sham, 1994: 110).

· Sumbangan dan peranan

Sumbangan terbesar tokoh pujangga Melayu ini adalah dengan melakukan evolusi terhadap
karya-karya yang telah dikarang olehnya. Raja Ali Haji telah mencetuskan fenomena baharu
dalam dunia penulisan manuskrip pada waktu itu. Antara pembaharuan yang dilakukan oleh
tokoh ini adalah unsur pentarikhan, pengakuan menggunakan sumber-sumber lain yang
terdahulu sebagai rujukan dan pengabsahan, dan pernyataan pengarang sendiri agar kesilapan
yang terdapat dalam tulisannya diperbetulkan oleh anak cucu terkemudian (Siti Hawa Haji
Salleh, 1997: 174). Pada era sebelum kemunculan Raja Ali Haji, unsur tarikh dalam karya yang
ditulis oleh pengarang atau penyalin tidak dititikberatkan lantaran mereka masih lagi belum
menyedari tentang kepentingan unsur ini dalam penulisan manuskrip yang diadun oleh mereka.
Selain itu, pembaharuan yang dicipta oleh Raja Ali Haji adalah ‘pembebasan’ terhadap pujangga
Melayu yang lain bagi setiap adunan karya manuskrip mereka. Hal ini demikian kerana menurut
Siti Hawa Haji Salleh, kira-kira pada tahun 1860 hingga 1872, tulisan itu telah diciptakan tidak
dengan arahan raja atau untuk memenuhi keinginan raja menegakkan keabsahan asal usul mitos
raja negeri yang berkenaan. Pembebasan yang dimaksudkan adalah para pujangga tidak lagi
terikat dengan sultan tentang karya yang telah dihasilkan oleh mereka. Tidak seperti Sejarah
Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan lain-lain, hasil penulisan sejarah karangan Raja Ali
Haji khususnya Tuhfat al-Naffis, telah diciptakan berdasarkan desakan hasrat hatinya sendiri:

… Dan berbangkitlah hatiku bahawa memperbuat kitab ini yang disimpan, dan di dalamnya
menyatakan salasilah dan perjalanan dan tawarikh dan segala khabar-khabar.

(Sumber: Siti Hawa Haji Salleh, 1997: 174)

Petikan yang diambil daripada Tuhfat al-Naffis ini jelas mencerminkan kepada para pembaca
tentang kebebasan yang dicipta oleh tokoh ini untuk mencanai sesebuah karya tanpa perlu
terikat dengan keinginan pemerintah. Oleh yang demikian, keterbukaan minda oleh para
pengarang untuk menghasilkan sebuah karya adalah amat diperlukan bagi menghasilkan sebuah
karya yang lebih baik dan bermutu.

Jika ditelusuri dengan lebih terperinci lagi, Raja Ali Haji juga turut memainkan peranan dari
aspek keilmuan dan keagamaan. Menurut Siti Hawa Haji Salleh, dari umur yang masih muda
beliau sudah terkenal sebagai seorang ulama yang disegani dan ini menerangkan sebab beliau
mengarang beberapa buah kitab agama. Hal ini demikian kerana sewaktu zaman
kegemilangannya, Raja Ali Haji telah menjadi penasihat dan guru agama kepada Yang Dipertuan
Muda Raja Abdul Rahman (1831-1844), Raja Ali (1844-1857), Raja Abdullah (1857-1858) dan
Raja Muhammad Yusuf.

Raja Ali Haji juga banyak menghasilkan manuskrip yang membicarakan tentang aspek
keagamaan dan peraturan dalam Islam. Antara karya beliau yang menyentuh aspek tersebut
adalah Syair Siti Sianah yang membicarakan tentang hukum-hukum Islam seperti wuduk, mandi,
sembahyang, puasa dan sebagai. Karya lainnya pula adalah seperti Syair Kitab al-Nikah, Syair
Hukum Faraid, Gurindam Dua Belas dan sebagainya. Raja Ali Haji banyak menggunakan bahasa
kiasan sewaktu mencerna karya-karya beliau. Misalnya dalam Syair Kitab al- Nikah yang mana
beliau menyindir golongan ahli agama yang diwakili oleh lebai Guntur Haji Muda yang
menggunakan perkahwinan cina buta sebagai jalan keluar untuk menyelesaikan masalah
seorang suami yang gila talak. Namun, sindiran yang dibuat oleh tokoh terulung ini tidak dapat
dilihat secara konkrit dalam setiap bait syair tersebut. Hal ini demikian kerana para pembaca
perlu membuat pemerhatian yang lebih halus terhadap karya bagi melihat maksud yang hendak
disampaikannya.

Dalam aspek yang lainnya pula, Raja Ali Haji juga turut berperanan terhadap perkembangan
bahasa Melayu pada era ketokohan beliau. Pada waktu itu, beliau telah cuba menghasilkan
sebuah manuskrip yang membincangkan tentang tatabahasa Melayu yang berjudul Kitab
Pengetahuan Bahasa. Kitab ini mulai disusun pada tahun 1858 dan bukan merupakan kamus
dalam erti yang sebenarnya, tetapi sejenis ensiklopedia yang mengandungi pengetahuan umum
dan pendapat serta pandangan pengarang tentang kata-kata yang dimasukkan dalam buku ini
(Mohamad Daud Mohamad, 1987: 135). Berdasarkan kitab tersebut, Raja Ali Haji membicarakan
tentang sikap orang Melayu yang gemar merosakkan bahasa yang mana penggantian
sesetengah perkataan yang sewajarnya dipertahankan sebagai pengguna asli bahasa Melayu.
Misalnya, perkataan ‘bilang’ yang digunakan untuk menggantikan ‘kata’, ‘kasi’ untuk ‘beri’ dan
sebagainya.

Jika dikupas dengan lebih terperinci lagi, Raja Ali Haji juga turut menebarkan sumbangannya
dalam bidang pensejarahan. Hal ini dibuktikan dengan penemuan karya beliau yang berjudul
Tuhfat al-Naffis (Hadiah Yang Bernilai) yang telah meriwayatkan tentang sejarah raja-raja
Melayu dan Bugis. Dalam buku tersebut, beliau telah dapat meriwayatkan tentang sejarah
hidupnya sendiri dengan tepat melalui penggunaan tarikh bagi mensahihkan lagi bukti yang
diutarakan oleh beliau. Jika dilihat dari mata kasar, masyarakat dahulu tidak begitu
mementingkan tarikh sewaktu mencanai idea dalam karya mereka namun idealis ini telah
mengemukakan pembaharuan dalam dunia manuskrip pada waktu itu.

Dalam aspek pensejarahan, tarikh amat penting untuk membuktikan kebenaran tentang aspek
yang yang hendak diceritakan oleh seseorang pengarang itu. Dengan adanya tarikh, tarikh kitab
ini dapat diketahui oleh generasi kini, iaitu pada 1228H (1865M). Tujuan beliau menulis karya ini
adalah untuk tatapan anak cucunya yang akan datang. Antara petikan yang dapat dipetik
daripada manuskrip ini adalah :

Syahadan inilah kesudahan kitab Tuhfat al-nafis ini. Maka tamatlah riwayat kisah cerita-cerita
antara raja-raja Melayu serta Bugis daripada anak cucu raja-raja Melayu yang keturunan
daripada Marhum Abdul Jalil yang mangkat di Kuala Pahang serta Marhum Raja Kecil negeri
Siak. Syahadan di belakang ini kelak siapa-siapa daripada anak cucuku hendak
menghubungkannya siarah ini maka patutlah, akan tetapi dengan jalan yang patut dan dengan
ibarat perkataan yang wadthu’a dan sah serta aturan yang patut serta benar supaya terpakai…

(Petikan diambil daripada buku Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik karya Mohamad Daud
Mohamad, 1987,: 136)

Dalam petikan yang diambil, jelas menunjukkan bahawa beliau menghasilkan sesuatu karya
untuk tatapan anak cucunya yang kemudian agar keturunan dan salasilah mereka dapat
dikekalkan. Mungkin pada waktu itu, beliau telah menyedari tentang hari-hari yang akan datang
mengenai salasilah keturunannya. Sikap beliau yang begitu kreatif terhadap dunia penulisan
juga akhirnya menjadi contoh dan ikutan kepada pengkarya-pengkarya yang lain.

Dari aspek kebudayaan Melayu pula, Raja Ali Haji menggunakan hasil karyanya sebagai medium
kawalan sosial terhadap masyarakat pada waktu itu. Kawalan sosial yang dimaksudkan adalah
dari segi pergaulan, tatacara hidup masyarakat dan sebagainya. Raja Ali Haji telah menggunakan
manuskrip beliau untuk mengkritik cara kehidupan masyarakat pada waktu itu yang telah
terpengaruh dengan budaya Belanda yang telah datang menjajah Tanah Melayu. Seperti yang
diketahui, budaya Barat dan Timur sememangnya ibarat minyak dan air yang tidak akan dapat
digabungkan menjadi satu. Hal ini demikian kerana kepercayaan yang berbeza menyebabkan
kedua-dua budaya ini tidak dapat diguna pakai oleh masyarakat Melayu. Oleh yang demikian,
Raja Ali Haji telah mengkritik perlakuan-perlakuan mereka yang dirasakan oleh beliau tidak
sejajar dengan budaya masyarakat Melayu.

Misalnya dalam Tuhfat al-Nafis, beliau telah melakukan kritikan halus terhadap gaya hidup
orang istana sewaktu berjumpa dengan gabenor Jeneral Van Der Capellen. Antara petikan
kritikan beliau adalah:

Syahadan pada suatu malam yang lain pula datang lagi panggilan Gabenor Jenaral pada suatu
rumah tempat orang-orang bermain dan makan-makan. Di situlah segala Holanda yang muda-
mudi menari bersama-sama perempuan nonanya berpeluk-peluk dengan muzik. Lepas selesai
itu baharulah makan-makan hingga pukul satu. Masing-masing pun baliklah ke rumahnya…

(Petikan diambil daripada buku Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik karya Mohamad Daud
Mohamad, 1987,: 136)

Dalam petikan tersebut, mencerminkan bahawa perlakuan para tetamu yang hadir yang mana
mereka berpelukkan merupakan satu perlakuan yang jauh tersasar daripada kehendak syariat.
Oleh yang demikian, sebagai salah seorang daripada orang istana, tokoh pengarang ini tidak
dapat menyatakan kritikannya secara terangan lalu telah mengkritik sikap tersebut melalui
karyanya. Penggunaan bahasa yang tepat yang telah digunakan oleh beliau dapat
menyampaikan maksud tersirat yang ingin diperkatakan olehnya.

Kesimpulannya, peranan dan sumbangan Raja Ali Haji sangat banyak sepanjang penglibatannya
dalam bidang kepengarangan. Walaupun terdapat pembaharuan yang dibuat oleh tokoh ini
namun beliau masih tetap dianggap sebagai pengarang yang klasik. Beliau bijak
memanipulasikan pembaharuan yang dibuat untuk disesuaikan dengan arus zaman pada ketika
itu tanpa meninggalkan adab resam serta budaya orang Melayu yang mementingkan
kesantunan dalam kehidupan seharian.

· Pemikiran Raja Ali Haji

· Tuhfat al-Naffis

Tuhfat al-Naffis merupakan antara karya Raja Ali yang terulung pada era kegemilangan beliau.
Kitab ini tergolong dalam karya sejarah kerana menceritakan tentang salasilah keturunan beliau.
Namun demikian merujuk kepada pendapat yang menyatakan bahawa beliau hanya mengolah
semula karya ini kerana pada asalnya karya ini telah ditulis oleh ayahandanya, iaitu Raja Haji
Ahmad. Untuk menyokong lagi teori bahawa Tuhfat ditulis bersama adalah hakikat bahawa Raja
Ali Haji diketahui telah mengerjakan semula sekurang-kurangnya dua teks yang lain. Syair Sultan
Abdul Muluk telah diterbitkan di bawah namanya. Tetapi dikatakan sebagai karya saudara
perempuannya, dan Salasilah Melayu dan Bugis adalah berdasarkan kepada kitab yang dipunyai
oleh saudara Raja Ali, iaitu Sayyid al-Syarif Abdul Rahman dari Pontianak (Virginia Matheson
1982: xx), (Harun Jaafar: 109). Oleh yang demikian, bolehlah dikatakan bahawa Tuhfat al-Naffis
merupakan karya bersama antara Raja Haji Ahmad dengan Raja Ali Haji. Namun begitu, tokoh
terulung ini juga turut memaparkan cerminan ideanya yang tersendiri tanpa meminggirkan idea
asal ayahnya.

Dalam karya sejarah ini, beliau telah membahagikannya kepada dua bahagian, iaitu bahagian
pertama menceritakan tentang Raja-Raja Melayu Pertama dan bahagian dua memaparkan
tentang pelbagai aspek, iaitu catatan sejarah mengenai orang-orang Bugis. Penceritaannya
dalam karya ulung ini masih lagi memasukkan unsur mitos dan lagenda. Namun demikian beliau
telah meminimumkan unsur-unsur ini. Namun hal yang demikian, karya ini telah menemukan
tentang unsur intertekstualiti, iaitu unsur-unsur lain yang mempengaruhi teks tersebut.
Menurut Mana Sikana (1996), intertekstualiti mengatakan bahawa sesebuah teks tidak hanya
berdiri di kaki sendiri melainkan dihuni oleh teks atau teks-teks yang lain.

Fenomena yang mewujudkan unsur intertekstualiti ini adalah rentetan daripada pengaruh
karya-karya lain wujud secara terdahulu sebelum karya Tuhfat al-Naffis. Misalnya dalam karya
ini yang menceritakan tentang proses pengislaman golongan bangsawan. Namun, proses
pengislaman dalam Tuhfat al-Naffis bagi golongan bangsawan diceritakan dalam bentuk mitos
(Harun Jaafar, 112). Beliau menyatakan bahawa pengislaman Raja Kecil Besar adalah melalui
mimpi yang mana Raja Kecil Besar telah diIslamkan oleh nabi Muhammad sendiri. Hal ini telah
diungkapkan oleh Shellabear melalui karya Tuhfat al-naffis pada tahun 1961.

Dalam pada itu, beliau turut memasukkan hal-hal peperangan yang terjadi pada zaman tersebut.
Fenomena ini menjurus kepada cerita tentang peperangan yang terjadi antara Belanda dengan
Bugis. Misalnya, isu percubaan untuk berdamai dengan pihak berikat tersebut yang menemui
jalan buntu. Beliau memilih untuk mencanai idea tersebut agar dapat dijadikan tauladan oleh
generasi yang akan datang. Pemikiran beliau yang sangat optimis itu sangat membantu dalam
aspek pensejarahan keturunan Bugis amnya.

Di samping itu, unsur intertekstualiti daripada pengaruh kekuasaan raja juga turut diselitkan
dalam karya tuhfat ini. Misalnya, Raja Ali Haji yang menceritakan tentang adat dan larangan
oleh kaum kerabat diraja pada waktu itu yang diguna pakai sehingga hari ini walaupun ada
antara adat tersebut telahpun ‘dibersihkan’ mengikut peredaran zaman. Beliau menyatakan
bahawa Sultan Muhammad Syah merupakan individu pertama yang meletakkan adat-adat
Melayu seperti warna kuning yang tidak boleh dipakai oleh rakyat jelata dan sebagainya untuk
diaplikasikan oleh keturunan diraja yang lainnya (Raja Ali Haji dalam Virginia Matheson,1982:5).
Beliau mencanai idea tersebut melalui adat-adat orang besar yang berlaku pada waktu itu untuk
digarap sendiri dalam karya tuhfat tersebut.
Seterusnya unsur lagenda juga turut diselitkan dalam Tuhfat al-Naffis sebagai bahan olahannya
dalam karya ini. Seperti yang diketahui, pada zaman tersebut cerita-cerita lagenda amat popular
sehinggakan menarik hati Raja Ali untuk menggarap isu tersebut. Hal ini demikian kerana beliau
yang terpengaruh dengan Sulalatus Salatin yang juga turut menceritakan tentang hal tersebut.
Misalnya cerita lagenda yang dimasukkan oleh beliau adalah tentang Badang yang menjadi kuat
setelah memakan muntah hantu.

Kesimpulannya, tokoh ini merupakan antara tokoh yang bijak dalam memanipulasikan idea
dalam setiap karya yang ditulis oleh beliau. Unsur intertekstualiti yang dimasukkan oleh beliau
dalam karya tersebut bukanlah bertujuan untuk ‘memplagiat’ namun lebih kepada tujuan
memperkuatkan hujah yang dinyatakan oleh beliau agar lebih mantap dan berkesan terhadap
pembaca.

· Bustan al- Katibin

Karya ini merupakan hasil penulisan Raja Ali haji yang jauh berbeza dengan karya-karyanya yang
lain. Hal ini demikian kerana karya ini lebih melihat kepada aspek bahasa atau nahu dan
bukannya cerita-cerita sejarah seperti Tuhfat al-Naffis. Terpadat pendapat mengatakan,
sebenarnya karya ini bukanlah sebuah hasil karya tentang nahu Melayu, namun sebenarnya
penggunaan bahasa Arab ke atas bahasa Melayu. Sukar untuk mengatakan bahawa beliau telah
cuba mengenakan nahu Arab ke dalam Bahasa Melayu ataupun sebaliknya. Bahagian yang
paling besar tentang karya ini terdiri daripada Mukadimah diikuti oleh 31 Fasal atau perkara
mauduk dan disimpulkan oleh tiga pesan atau nasihat yang ingin disampaikan oleh beliau.
Dalam bahagian besar kitab ini, beliau bukan sahaja memperkatakan analisis ilmu bahasa
tentang bahasa tersebut, tetapi menekankan juga perkara-perkara seperti nilai ilmu
pengetahuan. Bahagian pengenalannya, sepertimana juga dengan kebanyakkan corak karya-
karya klasik lain, diselangi dengan ungkapan-ungkapan Arab yang diterjemahkan ke dalam
bahasa Melayu. Hal ini demikian jelas merupakan bentuk yang dianjurkan dan digunakan oleh
beliau terutama sekali dalam menulis warkah kiriman. Kemudian, dengan menggunakan bahasa
Arab, disebutkan nama pengarang dan tujuan beliau menulis sebuah buku tentang bahasa
dengan terjemahan bahasa Melayu seperti berikut :

“ini lah suatu kitab yang simpan bagi orang yang berkehendak atas mengenal segala huruf
Melayu dan suratannya dan aku aturkan dia atas suatu mukadimah dan beberapa fasal dan satu
khatamah. Aku namai akan dia Bustanul Katibin yakni perkebunan jurutulis bagi kanak-kanak
yang hendak belajar.”

(Sumber: Mohamad Daud Mohamad, 1987: 159)

Mukadimah yang agak panjang diberikan oleh beliau antaranya mengandungi suatu
perbincangan tentang pentingnya ilmu pengetahuan, cara bagaimana ilmu pengetahuan
diperoleh, hubungan dengan guru dan lain-lain.
Kitab atau karya ini mewakili suatu percubaan bagi menganalisis bahasa Melayu dengan
pelbagai peraturan ilmu bahasa dan nahu bahasa Arab yang telah digunakan bagi mencapai
matlamat ini. Hal ini demikian bukan sahaja disebabkan, beliau seorang yang fasih berbahasa
Arab, tetapi juga kerana bahasa Melayu itu sendiri terutama dalam bentuk tulisannya telah
banyak dipengaruhi oleh penggunaan bahasa Arab. Orang-orang terpelajar dan intelektual pada
masa itu merupakan individu yang mahir dan mempunyai pengetahuan dalam bahasa Arab. Hal
ini demikian kerana, kegiatan intelektual yang paling unggul dalam zaman klasik adalah
pengajian agama.

Dari segi sejarah dan kebudayaan, hal ini adalah penting kerana karya ini muncul dalam
masa pertengahan kedua abad yang ke-19, iaitu apabila tatanegara yang bercorak klasik telah
memberikan lorong buat suatu peraturan sosial bentuk baru yang digariskan dalam
pengembangan bangsa-bangsa Eropah ke alam Melayu. Pada mulanya, seperti juga penggunaan
istilah-istilah peribumi seperti nama digunakan disamping istilah Arab ismu atau perbuatan
bahasa Arabnya fiil disamping bahasa istilah Arab memang dapat dilihat walaupun separuh
daripada percubaan-percubaan itu agak janggal dan sukar difahami. Namun demikian, masalah-
masalah seperti ini bukan digunakan khusus oleh Raja Ali Haji sahaja, bahkan Zaaba pun dalam
Pelita Bahasa Melayu terpaksa menggunakan istilah-istilah yang sama dan jarang digunakan.

Raja Ali Haji dianggap sebagai pujangga bercorak klasik yang terakhir dan fakta ini
digambarkan dalam Bustan al-Khatibin. Beliau memperkenalkan suatu unsur baru dalam dunia
persuratan Melayu dengan mencuba menggunakan sistem penggunaan nahu untuk bahasa ini
serta mempertahankan gaya bahasa klasik. Dalam Fasal yang terakhir melalui kitab ini, Raja Ali
Haji menerangkan dengan jelas model bagi menulis surat kiriman. Menurutnya :

Bermula perkataan pada surat kiriman itu, maka hendaklah dimulai dengan Bismillahir-
Rahmanir-Rahim; kemudian dengan Alhamdulillah, yakni memuji-muji akan Allah Taala, mana-
mana yang munasabah, dan yang layak pada pekerjaan dan maksud di surat kiriman itu.
Kemudian, maka selawat akan nabi kita serta keluarganya dan sahabatnya. Kemudian barulah
dirinya dengan salam takzim dan mana-mana yang layaknya dan yang munasabahnya. Kemudian
barulah datangkan perkaraan yang menceraikan perkataan puji-pujian dengan perkataan yang
dimaksud, iaitu waba’dah atau amma ba’du. Dan terlebih baik dan terlebih simpan daripada
menyebutkan daripada kalam almazkut dan terlebih fasihat lagi pula daripada diberi akan
makna..”

(Sumber: Mohamad Daud Mohamad, 1987: 161)

Kesimpulannya, Kitab Bustan al-Katibin masih lagi mewakili pandangan dunia yang bercorak
klasik berhubung penggunaan bahasa walaupun percubaan menyelesaikan suatu nahu untuk
bahasa Melayu itu sendiri merupakan suatu perubahan baharu.

· Kitab Pengetahuan Bahasa


Karya Raja Ali Haji yang berkait rapat dengan bahasa selain Bustan al-Katibin dikenali sebagai
Kitab Pengetahuan Bahasa. Kitab ini ditulis dalam tahun 1958 tetapi diterbitkan buat kali
pertama pada tahun 1928 oleh Percetakan Al-Ahmadiah di Singapura. Melalui judul halaman,
dapat dikenalpasti ianya di Pulau Penyengat Riau dalam tahun 1275 Hijrah. Namun, kitab ini
tidak dihabiskan sebab kamusnya ditulis hingga ke huruf ca( ‫)چ‬. Dapat dilihat juga bahawa judul
halaman menunjukkan yang karya ini sebagai penggal pertama dengan anggapan bahawa
terdapat bahagian yang lain tentang karya ini. Sebagai yang telah diterangkan dalam warkah
yang dihantar kepada Zaaba oleh penerbit pada 9 Januari 1930, karya yang diterbitkan itu
merupakan keseluruhan teks yang telah diperoleh.

Zaaba berpendapat bahawa Kitab Pengetahuan Bahasa ini lebih bersifat kamus dan
merupakan satu petanda yang penting dalam sejarah kebudayaan orang-orang Melayu.
Walaupun ianya tidak diterbitkan zaman hidupnya penulis, ianya mewakili suatu unsur baru
dalam kegiatan persuratan yang bercorak klasik. Perkembangan kerja-kerja perkamusan dalam
kalangan peribumi Melayu dalam erti kata moden menampakkan permulaanya dalam abad ke-
19 dan percubaan Raja Ali Haji menyusun sebuah kamus merupakan suatu yang perlu diberikan
perhatian. Namun begitu, karya ini bukanlah merupakan sebuah kamus dalam erti sepenuhnya.
Dari aspek judulnya, ianya merupakan sebuah buku tentang pengetahuan ilmu bahasa dimana
ianya dimulakan dengan suatu bab tentang nahu dengan menggunakan model bahasa Arab.
Mukadimah selepas ungkapan Arab yang biasa digunakan dalam pujian atas Nabi menerangkan:

Yakni ini satu pendahuluan: ketahui olehmu orang yang menuntut bahasa Melayu bahawa
sesungguhnya sekali-kali tiada boleh dapat kenyataan segala maksud bahasa Melayu dengan
sempurnanya melainkan hendaklah dengan ilmu yang tersebut yang akan lagi datang di dalam
kitab ini.

(Sumber: Mohamad Daud Mohamad, 1987: 164)

Raja Ali Haji turut memperlihatkan pandangannya sendiri tentang perkara nahu seperti:

Ketahui olehmu, hai sekalian orang yang menuntut, banyaklah aku tinggalkan bicaranya pada
ilmu nahu ini, tiada aku sebutkan di sini, sebab tiada maksudku hendak memanjangkan akan dia.
Barangkali terlebih amat sukar bagi orang yang baharu belajar mamahamkan akan dia pada ilmu
Arab, akan tetapi apatah dayaku daripada sangat loba aku hendak memperbuatkan kaedah ini
yang dipegang oleh orang yang berkehendak akan membetulkan perkataannya dan suratannya,
jika aku bukanlah ahlinya itu sekalipun pada yang demikian itu.

(Sumber: Mohd. Taib Osman, 1987: 164)

Terdapat sesutau yang menarik dimana pengetahuan tentang ilmu bahasa atau nahu dipanggil
sebagai ‘ilmu Arab’, dan pernyataan tentang nahu dalam kitab tersebut tidak dapat diragukan
lagi ialah bahasa Arab yang dipadankan kepada bahasa Melayu. Sebagaimana dalam Bustan al-
Katibin, contoh-contohnya terdiri daripada bunyi Arab daripada bunyi Melayu. Dalam beberapa
ilustrasi tertentu, seperti dalam hal gelaran, sebahagian yang dibincangkan ditemui dalam hidup
orang-orang Melayu di zamannya seperti sultan, raja, menteri, baginda, yang dipertuan besar,
yang dipertuan muda dan sebagainya.

Bahagian tentang huruf menunjukkan terdapat pengkategorian bahasa Arab yang


sememangnya tidak selari dengan bahasa Melayu. Contohnya, kategori tentang istilah jar
termasuk dalam kata petunjuk dan juga sebagai dengan, daripada, kepada, hingga dan
sebagainya. Dalam kategori selain daripada jar ia termasuk kata-kata seruan dan kata
penyambung ayat seperti hoi, weh dan sebagainya. Dalam istilah tiada, beliau menerangkan
bahawa terdapat pengertian yang sangat terhad dalam menggunkan kata negatif dalam bahasa
Melayu jika dibandingkan dengan bahasa Arab yang terdapat beberapa peraturan berhubung
penggunaannya.

Kata interogetif termasuklah adakah, betapakah, beberapa, kerana dan apa. Namun
mengkategorikan siapa, manakala, mana-mana dan di mana sebagai ismu bertanya. Penerangan
beliau tentang perkataan-perkataan seperti ini hampir sama seperti yang dilakukan dalam
bahasa Melayu. Adalah merujuk kepada pertanyaan pada, betapakah merujuk kepada hal,
berapa merujuk kepada bilangan, kerana apa merujuk kepada sebab, apa merujuk kepada zat,
siapa merujuk kepada batang tubuh, di mana merujuk kepada tempat dan sebagainya.

Beliau turut mengkategorikan perkataan-perkataan seperti bahkan, supaya, dan maka


sebagai huruf jawab iaitu perkataan-perkataan ini menerangkan apa yang telah diucapkan
sebelumnya. Dan, maka, kemudian, atau dan tetapi dikategorikan sebagai ‘huruf mengikut’
mengikut istilah Arab. Beliau juga menjelaskan perbezaan antara ayat yang lengkap, ayat yang
tidak lengkap, dan perlengkapan dalam suatu ayat dengan menggunakan istilah perkataan, kata-
kata dan kata yang berurutan. Ketiga-tiganya dikatakan berbentuk ismu, fiil dan huruf.
Kemudiannya beliau menjelaskan lagi tentang pembentukan atau pembinaan ayat yang
dimulakan dengan perkara-perkara, kemudian diikuti oleh perbuatan.

Bab pertama kamus ini merupakan bahagian yang paling utama iaitu banyak
membincangkan perkataan-perkataan yang dimulakan dengan huruf alif ‫ ) )آ‬dan ianya dimulai
dengan eksposisi yang panjang lebar tentang Allah. Hal ini demikian diikuti oleh Ahmad iaitu
nama Nabi Muhammad yang ada dinyatakan dalam Injil, suatu penerangan tentang sahabat-
sahabat nabi, asal usul dan tabiat manusia termasuklah kehidupan selepas mati. Hal ini demikian
termasuklah juga penekanan kepada perangai-perangai yang terdapat pada manusia seperti
tamak haloba dan angkuh serta sifat-sifat lain yang bertentangan dengan Islam. Terdapat juga
eksposisi yang panjang lebar tentang hari kiamat.

Bab kedua dan seterusnya telah mengambil bentuk sebuah kamus namun susunannya
tidak mengikut huruf tetapi lebih cenderung kepada melihat aspek bunyi sesuatu kata itu.
Dalam kamus ini banyak perkataan biasa ditemui dalam kamus pada hari ini. Namun, ianya
penting dalam menerangkan perkataan-perkatan tersebut yang tidak lagi digunakan pada waktu
ini. Terdapat istilah-istilah ganjil dari gugusan Riau-Lingga terutama sekali perkataan yang
berasal dari Bugis. Dalam penerangan terhadap beberapa perkatataan, Raja Ali Haji
menggunakan pengetahuan sejarahnya bagi menerangkan secara lebih lanjut tentang ertinya.
Perkataan seperti upu tidak sahaja menerangkan maknanya iaitu nama anak-anak raja Bugis di
negeri Luwok tetapi beliau terus menghubungkan sejarah nenek moyangnya iaitu anak raja
Bugis lima beradik yang memerintah empayar Johor-Riau pada abad ke-18.

Perkataan tengku diberikan penerangan yang panjang dengan menggalurkan


penggunaanya dari waktu Seri Teri Buana dari Palembang sehingga ke waktu beliau hidup
terutama dalam menjelaskan perbezaan tengku, ungku atau raja. Hal ini demikian digunakan
oleh keturunan pahlawan-pahlawan Bugis dan mereka berketurunan dari nasab raja-raja Johor.
Hal ini turut memperlihatkan pemikiran Raja Ali Haji yang menggambarkan perkara mauduknya
dengan jelas. Raja Ali Haji sememangnya istimewa kerana mampu memberikan contoh-contoh
yang memang sinonim dengan bentuk-bentuk yang muncul dari sesuatu itu. Contoh-contoh
yang diberikan selalunya daripada cakap ajuk supaya mudah difahami. Banyak perkataan yang
diberikan nafas baru melalui kamus ciptaan beliau ini.

Secara kesimpulannya, merujuk kepada karya beliau ini dalam konteks masa dan zaman ketika
itu, karya Raja Ali Haji sememangnya tersohor dan beliau boleh dikatakan sebagai pelopor
kerana beliau tidak mempunyai sebarang model untuk dijadikan contoh dalam karyanya itu.
Bahkan karya beliaulah yang dirujuk untuk melihat konteks bahasa atau nahu secara lebih jelas
oleh masyarakat pada zaman tersebut dan berkembang hingga hari ini.

You might also like