You are on page 1of 2

REFLEKSI FILEM TALENTIME

NAMA : SHAHRUL SHAFIQ BIN ROZI

NO MATRIK : A164680

Berdasarkan filem ini terdapat banyak pengajaran dan moral yang cuba disampaikan
kepada para penonton disetiap lapisan umur masyarakat. Filem ini dibintangi oleh barisan
pelakon yang terkemuka dan terkenal di tanah air antaranya ialah Adibah Noor, Harith Iskandar
dan Syafie Naswip. Selain itu, filem ini juga dibintangi barisan pelakon dari pelbagai kaum
antaranya ialah Mahesh Jugal Kishor dan Pamela Chong.

Antara nilai murni yang terdapat dalam filem ini ialah hubungan persahabatan sesama
kaum yang begitu akrab dalam kehidupan seharian. Contohnya ialah hubungan para guru di
peringkat sekolah sebagaimana yang terdapat dalam filem ini jelas menunjukkan bahawa
perbezaan kaum bukan penghalang untuk mewujudkan satu hubungan yang begitu rapat. Hal ini
kerana kita boleh lihat bahawa hubungan sahabat contohnya guru-guru lelaki di sekolah itu
sangat rapat kerana boleh dikatakan jika terdapat masalah pelajar mereka akan berkomunikasi
bersama dan menyelesaikan masalah tersebut secara bersama.

Selain itu, refleksi yang sangat jelas yang saya ingin sampaikan ialah pengorbanan
seorang anak kepada ibunya yang tercinta. Kasih sayang seorang anak terhadap ibu memang
tidak dapat dipisahkan. Sebagai contoh, watak Hafiz dalam filem ini jelas menunjukkan bahawa
kasih sayang anak terhadap ibunya sangat kuat dan mendalam. Hal ini kerana Hafiz sanggup
membahagikan masa pembelajarannya dengan memasuki pertandingan yang dianjurkan oleh
pihak sekolah dengan harapan untuk memenangi hadiah dan wang tunai yang ditawarkan.
Tujuan utamanya ialah ingin membiayai kos perubatan yang ditanggung oleh ibunya kerana
ibunya sedang terlantar sakit di hospital. Jelaslah disini bahawa kasih sayang anak terhadap
ibunya memerlukan pengorbanan yang sangat besar.

Seterusnya, hubungan sesama kaum yang jelas menunjukkan semangat patriotisme ialah
perkahwinan campur sesama kaum. Filem Talentime ini sesungguhnya begitu tinggi nilainya
kerana tidak banyak filem di industri tempatan ingin menonjolkan filem yang berunsurkan
hubungan etnik pelbagai kaum. Menerusi filem ini, kita dapat pelajari bahawa perkahwinan
campur antara kaum ini dapat mewujudkan satu hubungan dan aura yang berlainan di dalam
sesebuah keluarga. Contohnya, Melur lahir dalam keluarga yang terhasil daripada perkahwinan
campur dan hubungan sesama mereka begitu mesra dan bahagia sekali. Keluarga yang terdiri
daripada perkahwinan campur ini juga dapat memvariasi percakapan mereka kepada dua bahasa
dan tidak tetap terhadap satu bahasa sahaja. Jelaslah bahawa perkahwinan campur dapat
mengeratkan lagi hubungan antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Tambahan itu, semangat kerjasama antara kaum juga diselitkan dalam filem ini dan telah
menunjukkan bahawa walaupun terdapat pelbagai etnik di Malaysia namun semangat tolong-
menolong tetap diterapkan dalam kehidupan seharian. Contohnya Mahesh sangat bermurah hati
dengan menolong Melur mengambilnya di rumah dan menghantarnya dengan menaiki motosikal
berulang-alik dari sekolah ke rumah. Hal ini menunjukkan walaupun berbilang bangsa dan latar
belakang, namun sikap tolong-menolong tetap diamalkan dan sikap ini seharusnya diamalkan
oleh setiap lapisan masyarakat di Malaysia kerana negara kita sedang menuju ke arah
pemodenan. Justeru itu, mentaliti setiap masyarakat haruslah berubah supaya negara kita menjadi
sebuah negara yang maju walaupun berbilang bangsa.

Namun begitu, terdapat juga beberapa perkara yang menunjukkan sikap ketidaksopanan
dan kurang bermoral dalam kehidupan masyarakat seharian di dalam filem Talentime ini.
Antaranya ialah penggunaan bahasa yang kurang sopan iaitu mencarut. Penggunaan bahasa ini
sememangnya banyak digunapakai oleh masyarakat tempatan. Contohnya dalam filem ini, guru
juga ada menggunakan penggunaan bahasa yang kurang sopan ini dalam percakapan sesama
mereka. Selain itu, terdapat juga penggunaan bahasa Slanga dalam filem ini. Sememangnya
penggunaan bahasa Slanga ini biasanya dituturkan apabila bangsa lain berkomunikasi dengan
bangsa Cina.

Kesimpulannya, filem Talentime ini sememangya mempunyai nilai moral dan pengajaran
yang sangat tinggi untuk tatapan masyarakat di negara ini. Jelaslah walaupun berbilang bangsa
yang dianuti dalam negara ini, perpaduan kaum dan kesejahteraan rakyat masih dapat dikawal
selain menjadi faktor utama perkembangan dalam negara kita.

You might also like