You are on page 1of 3

Sukan Wahana Perpaduan

Sukan merupakan saluran yang paling berkesan bagi menyatukan rakyat pelbagai
kaum di negara ini. Aktiviti sukan sudah dilihat sebati dalam kalangan rakyat negara
ini sejak kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Dalam acara sukan, atlet
yang terdiri daripada pelbagai kaum bekerjasama untuk mencapai satu matlamat,
iaitu memberikan kejayaan kepada pasukan, negeri atau negara diwakili. Bagi
mencapai matlamat itu, soal perbezaan keturunan tidak langsung diambil kira
kerana masing-masing mahu memastikan pasukan yang diwakili mencapai
kejayaan. Tidak kira dalam apa-apa jua sukan, kerjasama dan hubungan akrab akan
lahir apabila pemain daripada semua kaum dan etnik bertungkus-lumus dan
bekerjasama menyahut cabaran sebagai satu pasukan. Walau bagaimanapun
bukan setakat dalam kalangan atlet, peminat setia mana-mana sukan turut
memberikan sokongan padu tanpa mengira bangsa. Dengan kata lain, sukan
mampu menjadi wahana dan wadah yang dapat mengintegrasikan masyarakat
berbilang kaum di negara ini.

Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta
tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan ataupun
untuk mengisi masa lapang dan beriadah. Contoh aktiviti sukan yang agak popular
pada masa ini ialah olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton,berbasikal,
memanah,mendaki, skuasydan banyak lagi. Tahukah anda bahawa memanah
merupakan acara yang telah pun bermula sejak 20,000 tahun yang lalu. Fakta ini
menunjukkan bahawa kegiatan sukan telah menjadi sebahagian daripada
kehidupan manusia sejak bermulanya tamadun awal dunia.

Inisiatif untuk memupuk minat masyarakat terhadap kegiatan bersukan ini harus
bermula dari bangku sekolah lagi, khususnya dari peringkat remaja. Ibu bapa turut
bertanggungjawab dalam usaha membentuk peribadi anak yang gemar bersukan
sejak dari peringkat rebung lagi. Ibu bapa juga perlu mendorong dan menggalakkan
anak mereka untuk menyertai kegiatan bersukan di sekolah. Di samping itu, ibu bapa
perlu menjadi teladan kepada anak dengan membawa keluarga untuk melakukan
aktiviti riadah pada hujung minggu agar anak memandang kegiatan bersukan itu
sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.

Banyak faedah yang diperoleh remaja sekiranya mereka aktif bersukan.


Faedah bersukan yang utama ialah dapat mendisiplinkan diri. Hal ini dikatakan
demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai
disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang
ditetapkan. Oleh itu, secara tidak langsung sukan turut membentuk disiplin diri
remaja. Sukan juga penting bagi melahirkan remaja yang sihat, sama ada dari segi
fizikal ataupun mental. Dengan kegiatan bersukan, remaja boleh membina tubuh
badan yang sihat, cergas dan menarik. Hal ini dikatakan demikian kerana bersukan
boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan dengan membakar
lemak berlebihan dalam badan. Oleh itu, remaja yang aktif bersukan jarang-jarang
mendapat demam dan selesema berbanding dengan rakan yang tidak
bersukan Kegiatan bersukan bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah sesuai
dijadikan hobi dan boleh dilakukan dengan kawan atau keluarga pada setiap pagi,
petang atau hujung minggu. Dengan mengisi masa lapang melalui kegiatan sukan,
remaja bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kesihatan diri, malah mengelakkan
diri daripada membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah, seperti
bergayut berjam-jam lamanya di telefon, melepak di pusat beli-belah atau kafe siber,
dan berbual dalam talian sepanjang masa. Bukan itu sahaja, remaja juga dapat
menghindari masalah sosial, seperti merokok, penyalahgunaan dadah, lumba haram
dan pergaulan bebas, yang kian meruncing dalam kalangan remaja belakangan ini.
Oleh hal yang demikian, kegiatan bersukan bukan sahaja dapat dijadikan aktiviti
masa lapang serta hobi, malah sebagai cara menyokong usaha kerajaan
memerangi masalah keruntuhan akhlak remaja hari ini. Seterusnya, kegiatan
bersukan juga penting untuk menyemai semangat permuafakatan dan kesukanan
dalam kalangan remaja yang berbeza latar belakang. Hal ini dikatakan demikian
kerana semua jenis sukan memerlukan pemainnya untuk berinteraksi antara satu
sama lain yang boleh memupuk persefahaman dan menjalin ikatan silaturahim.

Dewasa ini, kita dapat menyaksikan banyak orang yang telah menceburi
bidang sukan pilihan mereka untuk dijadikan platform membina kerjaya. Sukan
bukan sekadar riadah semata-mata kerana sukan juga merupakan bidang yang
mampu menjanakan pulangan yang lumayan. Hal itu dapat dicapai sekiranya sukan
diceburi secara serius. Impian itu bukanlah perkara yang tidak mampu direalisasikan
sebagaimana yang dibuktikan oleh empat atlet paralimpik negara kita yang pulang
dari Rio de Janeiro dengan tiga pingat emas dan satu pingat gangsa. Selain itu,
sukan merupakan saluran paling berkesan bagi menyatukan rakyat pelbagai kaum
di negara ini. Aktiviti sukan sudah dilihat sebati dalam kalangan rakyat negara ini
sejak kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Dalam acara sukan, atlet yang
terdiri daripada pelbagai kaum bekerjasama untuk mencapai satu matlamat, iaitu
memberikan kejayaan kepada pasukan, negeri atau negara yang diwakilinya.

Kegiatan bersukan penting bagi mendisiplinkan diri, membentuk gaya hidup


sihat, menghindari masalah sosial remaja, membangunkan potensi dalam diri remaja,
menyemai semangat permuafakatan dan kesukanan dalam kalangan remaja yang
berbeza latar belakang, menjadi platform membina kerjaya, dan menjadi saluran
paling berkesan bagi menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Namun
begitu, kebaikan dan kepentingan kegiatan bersukan yang telah dinyatakan
sebelum ini tidak membawa erti apa-apa sekiranya tiada orang yang meminati
sukan dan permainan. Walaupun terdapat segelintir remaja yang tidak meminati
sukan dan tidak melibatkan diri dengan kegiatan kokurikulum, usaha untuk menarik
minat golongan ini haruslah kekal berterusan, bak kata pepatah, “genggam bara
api biar sampai jadi arang”. Jadikanlah kegiatan bersukan itu sebahagian daripada
kehidupan kita.

APABILA sebahagian daripada ahli masyarakat, sama ada pelajar, belia, ibu bapa,
kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, ataupun orang awam, ditanya tentang
prospek bidang sukan di negara ini, rata-rata mereka memberikan jawapan yang
cukup meyakinkan. Yang amat menggembirakan penulis, mereka percaya bahawa
pada masa ini, sukan tidak lagi boleh dilihat sebagai kegiatan riadah sebagaimana
yang berlaku pada tahun 1970-an dan 1980-an.

Dengan perkataan yang lain, mereka percaya bahawa bidang sukan mampu
menjanakan pulangan yang lumayan. Hal itu dapat dicapai sekiranya sukan diceburi
secara serius. Impian itu bukanlah perkara yang tidak mampu direalisasikan,
sebagaimana yang dibuktikan empat orang atlet paralimpik negara yang pulang
dari Rio de Janeiro dengan tiga pingat emas dan satu pingat gangsa.

You might also like