You are on page 1of 9

1.

0 Pengenalan

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), tamadun ialah suatu cara hidup yang
serba maju. Tamadun boleh didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang boleh berkembang
apabila manusia mula menetap di satu bandar yang mempunyai suatu organisasi sosial dan
politik yang dikenali sebagai negara. Perkataan tamadun itu sendiri dikaitkan dengan kata
kerja maddana yang bererti membina atau mengasaskan sesebuah bandar (Ghazali Basri,
2008). Setiap tamadun yang muncul di dunia mempunyai latar belakang yang tersendiri serta
mempunyai persamaan dan perbezaan setiap darinya. Persamaan dan perbezaan di antara
tamadun dapat dilihat dalam konteks wujudnya budaya dan nilai-nilai sejagat yang dikongsi
oleh manusia.

Dewasa kini, Malaysia merupakan sebuah negara yang bertamadun dan negara yang
unik dari segi populasi dan komposisi kaum. Majoriti kaum yang terdapat di Malaysia ialah
kaum Melayu, Cina dan India yang membantu dalam menyemarakkan perkembangan dan
pembangunan Malaysia. Setiap kaum mempunyai latar belakang dan budaya yang tersendiri.
Walaupun begitu, masyarakat Malaysia dapat hidup dengan aman dan harmoni serta saling
bekerjasama, bermuafakat dan bertoleransi antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana,
masyarakat Malaysia pada hari ini sudah membangun dan lebih bertamadun berbanding
dahulu serta mampu menghayati konsep ketamadunan.

Dalam konteks ini, pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia adalah kesan


daripada kolonialisme mutlak yang berlaku secara tidak sengaja. Pada awal abad ke-19,
penduduk Tanah Melayu telah didominasi oleh masyarakat Melayu. Namun pada
pertengahan abad ke-19, perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah membawa
kepada kedatangan kaum Cina dan India ke Tanah Melayu ekoran daripada dasar liberal
Inggeris. Kedatangan mereka telah mengubah struktur kependudukan asal Tanah Melayu dan
memberi kesan kepada pembentukan masyarakat majmuk. Kini, masyarakat majmuk di
Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum berlatar belakangkan tamadun yang berbeza.
Kepelbagaian tamadun yang berbeza telah mempengaruhi dari segi sosiobudaya, ekonomi
dan pendidikan di Malaysia.

1
2.0 Pengaruh Tamadun Melayu, Cina dan India di Malaysia

Sebagaimana yang diketahui, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi yang


mempunyai masyarakat majmuk dari segi kaum, agama, bahasa dan budaya. Kepelbagaian
yang wujud ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik kerana rakyat yang berbilang
bangsa, agama dan budaya dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai serta saling
menghormati. Dalam konteks ini, kewujudan tiga tamadun di Malaysia iaitu tamadun Melayu,
Cina dan India telah mempengaruhi beberapa aspek penting dalam kehidupan masyarakat
Malaysia. Penulisan ilmiah ini akan membentangkan tentang perbandingan tiga aspek utama
iaitu dari aspek sosiobudaya, ekonomi dan pendidikan.

2.1 Aspek Sosiobudaya

Malaysia merupakan sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai kaum. Kepelbagaian
kaum ini telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan sosiobudaya. Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), sosial ialah segala hal yang berkaitan dengan
masyarakat manakala budaya ialah cara hidup yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan
dan berfikir serta segala hasil kegiatan dan penciptaan sesuatu masyarakat. Secara amnya,
sosiobudaya ialah amalan gaya hidup dan peradaban sesuatu masyarakat yang lahir dari
pegangan dan kecenderungan dalam berbagai bidang hidup untuk memberi kepuasan dan
merangsang pembangunan hidup masyarakat itu. Sosiobudaya meliputi cara hidup, bahasa,
adat istiadat dan sebagainya.Kepelbagaian sosiobudaya di Malaysia dipengaruhi oleh
Tamadun Melayu, Cina dan India.

Antara pengaruh sosiobudaya tamadun Melayu di Malaysia ialah agama Islam


dijadikan sebagai agama rasmi. Agama Islam dan adat Melayu penting dalam kelangsungan
tamadun Melayu sebagai asas tamadun Malaysia. Masyarakat Melayu yang beragama Islam
telah menjadikan agama tersebut sebagai cara hidup. Sehingga kini, agama Islam dianuti oleh
masyarakat Melayu dan ada dalam kalangan masyarakat yang bukan berbangsa Melayu
memilih untuk menganuti agama Islam sebagai pegangan hidup. Konsep-konsep umum yang
lahir dari budaya masyarakat Melayu tradisional telah disesuaikan dengan amal kebaikan
dalam ajaran Islam. Nilai-nilai yang menjadi asas kepada budaya Melayu adalah berteraskan
nilai-nilai dalam ajaran Islam. Antara nilai tamadun Melayu yang utama adalah seperti tolong-
menolong, bersopan-santun, menghormati antara satu sama lain dan sebagainya. Nilai-nilai
yang diketengahkan menjadi amalan dan budaya masyarakat di Malaysia kini.

2
Selain itu, pengaruh sosiobudaya Tamadun Cina yang terdapat di Malaysia ialah
kewujudan masyarakat Baba Nyonya dan penempatannya di Malaysia. Kemunculan
masyarakat Baba Nyonya terutama sekali di Melaka dan Pulau Pinang merupakan suatu
interaksi perhubungan yang memberi kesan besar di Malaysia. Masyarakat Baba Nyonya
mula wujud sekitar tahun 1913 apabila komuniti lelaki China berhijrah ke Tanah Melayu dan
berkahwin dengan wanita tempatan. Secara tidak langsung, bahasa Melayu digunakan
sebagai bahasa pengantar bagi memudahkan berinteraksi dengan keluarga dan masyarakat
tempatan. Maka, wujudlah satu budaya Baba Nyonya di mana mereka mempraktikkan budaya
dan adat melayu.

Budaya dan cara hidup masyarakat Baba Nyonya dilihat mempunyai banyak
persamaan dengan masyarakat Melayu terutamanya dari segi makanan dan pemakaian. Cara
masakan Baba Nyonya dipengaruhi oleh resipi masyarakat Melayu seperti penggunaan
rempah ratus dalam masakan dan mereka menggunakan tangan ketika makan seperti budaya
masyarakat Melayu. Kaum wanita yang digelar Nyonya juga dilihat dari zaman dahulu
sehingga kini masih memakai pakaian kebaya dan kain sarung seperti masyarakat Melayu
yang dikenali sebagai kebaya nyonya. Dalam pada itu, kehidupan dan pemikiran masyarakat
Baba Nyonya juga masih mengekalkan unsur-unsur masyarakat Cina biarpun mereka telah
lama terpisah dari komuniti nenek moyang mereka di China. Walaubagaimanapun, masih
terdapat masyarakat Baba Nyonya yang masih mengekalkan agama Buddha sebagai anutan
namun ramai di antara mereka yang memilih agama lain seperti Islam dan Kristian.
Kewujudan komuniti Baba Nyonya telah mewarnai keunikan kaum di Malaysia dan
mempelbagaikan kebudayaan negara kita.

Seterusnya, pengaruh sosiobudaya tamadun India yang terdapat di Malaysia ialah dari
segi upacara perkahwinan. Upacara perkahwinan dalam masyarakat Melayu dipengaruhi oleh
adat dan budaya tamadun India seperti upacara persandingan dan berinai. Upacara
persandingan merupakan upacara kemuncak dalam upacara perkahwinan. Dalam hal ini,
upacara persandingan merupakan adat agama Hindu yang mengagung-agungkan dewa
Hindu. Oleh itu, pengantin baru akan digelar sebagai raja sehari serta direnjis dengan air
mawar, beras kunyit dan sirih pinang yang bertujuan memberi semangat kepada pengantin.
Bagi adat berinai pula, majlis berinai besar akan dilakukan pada waktu malam sebelum majlis
perkahwinan. Pengantin perempuan akan memakai inai di semua jari tangan, kaki dan tapak
tangan serta dilukiskan corak lukisan inai di tangan. Corak lukisan inai yang digunakan ialah
pengaruh daripada tamadun India.

Dalam pada itu, tamadun India juga mempengaruhi tamadun Malaysia dari segi
pemakanan. Makanan tradisional tamadun India seperti roti canai, capati, tosai, pratha dan

3
sebagainya menjadi kegemaran masyarakat Malaysia. Roti-roti ini biasanya dimakan dengan
kuah seperti kari atau dal. Makanan ini juga dibuat dengan pelbagai cara untuk menghasilkan
rasa yang berbeza seperti menghasilkan roti canai telur. Selain itu, terdapat satu jenis
makanan tradisional India yang digemari oleh masyarakat Malaysia iaitu Nasi Briyani. Nasi
Briyani merupakan sejenis makanan yang berasal dari tamadun India. Makanan ini
kebanyakkannya dijual di gerai-gerai makanan orang india ataupun di kedai mamak.
Kadangkala, Nasi Biryani dijadikan menu utama yang disajikan kepada para tetamu semasa
majlis perkahwinan. Hal ini demikian kerana, makanan tradisional yang berasal dari India ini
digemari oleh masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

2.2 Aspek Ekonomi

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa sistem ekonomi telah wujud sejak zaman
purba lagi. Pada masa tersebut, sistem ekonomi tidaklah begitu kompleks seperti masa kini.
Secara umumnya, ekonomi merangkumi aspek-aspek yang berkaitan dengan pelbagai
bentuk kegiatan manusia dalam memperolehi sumber makanan bagi menampung keperluan
hidup. Dalam hal ini, kesan dari pengaruh tamadun Melayu, Cina dan India dari sudut
ekonomi telah berjaya menggerakkan ekonomi Malaysia ke persada serantau.

Antara pengaruh tamadun Melayu dalam ekonomi di Malaysia ialah melalui sistem
perdagangan. Kegiatan perdagangan yang rancak di pelabuhan-pelabuhan tanah Melayu
memberi kesan kepada kemunculan kota dan bandar yang dilengkapi prasarana. Antara
pelabuhan yang muncul dalam tamadun Melayu ialah pelabuhan di Pasai, Melaka, Aceh,
Johor dan Ligor. Pelabuhan ini ditadbir urus oleh pemerintah Melayu. Walaupun tamadun
Melayu awal belum mengamalkan sistem perindustrian dan perdagangan secara besar-
besaran, namun kegiatan perekonomian yang berpusat di pelabuhan-pelabuhan Malaysia kini
telah berjaya menjadi salah sebuah pusat import eksport yang maju di rantau Asia.

Kegiatan ekonomi dalam masyarakat tamadun Melayu juga adalah bersifat sara diri.
Antara kegiatan ekonomi sara diri yang dilakukan oleh mereka adalah berasaskan pertanian,
perikanan, penternakan dan berburu. Sekiranya ada lebihan dari kegiatan ekonomi yang
diusahakan, aktiviti pertukaran barangan dijalankan bagi mendapatkan sumber kehidupan
yang lengkap. Dengan kewujudan pelabuhan, masyarakat tamadun Melayu telah menuju ke
bandar untuk menjual hasil kegiatan ekonomi mereka. Kegiatan ekonomi dalam Tamadun
Melayu telah mencapai tahap cemerlang apabila penggunaan mata wang diperkenalkan.
Sistem mata wang telah dicipta oleh pemerintah Melayu yang digunakan dalam perdagangan
terutamanya di pelabuhan. Kini, proses jual beli di Malaysia telah menggunakan sistem mata

4
wang bagi memudahkan urusan masyarakat. Sistem mata wang ringgit yang digunakan di
Malaysia dipengaruhi oleh kegiatan ekonomi tamadun Melayu.

Selain itu, pengaruh ekonomi tamadun China di Malaysia ialah melalui sistem
pertanian. Sejak zaman berzaman lagi, pertanian merupakan aktiviti utama ekonomi
masyarakat tamadun China. Pada zaman Dinasti Shang, aktiviti pertanian bermula dengan
tanaman gandum dan sekoi yang merupakan bijiran utama di negara tersebut. Dinasti ini
bergantung penuh kepada pertanian dan petani merupakan sumber tenaga buruh yang
penting. Semasa menjalankan aktiviti pertanian, mereka juga menjalankan aktiviti perternakan
seperti lembu, kerbau dan kuda. Pada zaman itu, kegiatan ekonomi yang dijalankan adalah
bersifat primitif kerana hanya menggunakan bajak, cangkul dan penukul. Di Malaysia, aktiviti
pertanian yang dijalankan dipengaruhi oleh tamadun ini. Aktiviti pertanian bagi masyarakat
pedalaman di Malaysia dilihat masih menggunakan cangkul untuk bercucuk tanam bagi
menampung kehidupan seharian. Dalam pekerjaan membajak sawah padi, lembu atau
kerbau digunakan untuk membajak sawah. Namun begitu, kemajuan dalam bidang teknologi
telah mencipta jentera pembajak bagi memudahkan aktiviti pembajakan sawah.

Dalam pada itu, tamadun India juga mempengaruhi tamadun Malaysia dari aspek
ekonomi. Sejak dari pembukaan Selat Melaka, kaum India mula datang ke Tanah Melayu
untuk berdagang. Aktiviti perdagangan utama yang dijalankan ialah perdagangan kain dan
peminjaman wang. Pada akhir abad ke-19, penjajah British mendapati bahawa masyarakat
tamadun India boleh dijadikan sebagai sumber untuk dijadikan buruh untuk bekerja di ladang-
ladang getah milik mereka. Hal ini demikian kerana, mereka mahu mendapatkan buruh-buruh
yang murah dan senang dikawal. Setelah pihak British menanam biji-biji getah di Tanah
Melayu, buruh-buruh India telah dibawa masuk secara besar-besaran untuk bekerja di ladang-
ladang getah. Di Malaysia, sistem buruh masih diamalkan dalam kalangan masyarakat
sehingga kini sebagai sumber ekonomi. Sebahagian besar masyarakat India di Malaysia
tertumpu di estet-estet dan menjadi buruh di ladang kelapa sawit. Senario ini membuktikan
bahawa aktiviti perladangan di Malaysia dipengaruhi oleh kegiatan ekonomi yang dijalankan
masyarakat tamadun India.

2.3 Aspek Pendidikan

Pendidikan wujud serentak dengan kewujudan manusia. Pendidikan memainkan


peranan penting untuk mencapai hidup yang berkualiti kerana pendidikan merupakan
petunjuk terpenting dalam kehidupan hidup manusia. Dalam sesebuah negara, pendidikan
menjadi tunjang utama kepada kemajuan dan perkembangan masyarakat. Sistem pendidikan
melalui sistem persekolahan dilihat sebagai elemen penting bagi sesebuah negara dalam

5
usaha menuju ke arah pembangunan masyarakat dari segi ekonomi, politik, dan sosial.
Terdapat perbezaan antara pengaruh tamadun Melayu, Cina dan India dalam aspek
pendidikan.

Pengaruh tamadun Melayu dalam bidang pendidikan di Malaysia ialah wujudnya


kurikulum pendidikan tidak formal dan pendidikan formal. Dalam tamadun Melayu, pendidikan
tidak formal ialah pendidikan yang diterima daripada ibu bapa atau ahli keluarga di rumah.
Anak-anak menerima didikan secara tidak langsung supaya menjadi mahir seperti generasi
tua mereka. Kemahiran seperti pengurusan rumah tangga dan pertukangan ditekankan
kerana berkaitan dengan kegiatan seharian. Ismail Hamid (1985) pula menyatakan
pendidikan formal berlaku di masjid atau madrasah dengan kurikulum mempelajari pelajaran
al-Quran, mendalami ilmu fardhu ain dan berqasidah. Masjid dan madrasah juga digunakan
sebagai pusat pengajian bagi mempelajari ilmu fikah, usuluddin, tasawwuf, hadis, tafsir dan
sebagainya. Pelajar yang belajar di sekolah pondok juga mempelajari pelajaran agama dan
hadis. Di Malaysia, kesan daripada sistem pendidikan ini telah melahirkan tokoh-tokoh ulama
Islam seperti Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, Allahyarham Dr. Haron Din, Tuan Guru
Abdul Hadi Awang dan sebagainya. Sistem pendidikan ini telah memperluaskan ajaran
agama Islam di Malaysia serta institusi pendidikan Islam telah dimajukan dari masa ke masa.

Pendidikan di Malaysia juga telah dipengaruhi oleh tamadun China. Sistem pendidikan
China selalunya dirujuk sebagai bentuk pendidikan formal yang lengkap. Salah satu ciri
pendidikan China ialah menyediakan pelajar untuk tiga peringkat ijazah akademik dan tiga
tahap peperiksaan. Dalam konteks pendidikan, masyarakat tamadun China perlu mengambil
peperiksaan awam untuk menjadi pegawai kerajaan. Oleh itu, matlamat utama mereka dalam
sistem peperiksaan ialah untuk lulus peperiksaan awam. Dewasa kini, sistem pendidikan di
Malaysia adalah berorientasikan peperiksaan seperti pendidikan tamadun China. Terdapat
tiga peringkat peperiksaan yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Peringkat
peperiksaan pertama ialah peringkat sekolah rendah, peringkat kedua ialah peringkat sekolah
menengah dan peringkat ketiga ialah peringkat pengajian tinggi. Peperiksaan bertujuan untuk
mengetahui sejauh manakah pelajar-pelajar telah dapat menguasai atau mempelajari perkara
yang telah disampaikan. Di samping itu, kemajuan tamadun China dalam bidang matematik
telah memperkenalkan penggunaan sempoa. Kini, sempoa telah digunakan oleh guru sebagai
sumber dan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Seterusnya, pengaruh dari aspek pendidikan tamadun India di Malaysia ialah melalui
ilmu kesusasteraan. Kesusasteraan India banyak mengandungi unsur bahasa menarik yang
menjadi sumber perkembangan ilmu pengetahuan sekitar kawasan Asia Tenggara.
Pengaruhnya boleh dilihat dalam konteks penggunaan bahasa Melayu pada zaman Srivijaya.

6
Batu bersurat yang dijumpai di sekitar Palembang pada kurun ke-7 menunjukkan bukti
bahawa terdapat kosa kata dan kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit. Sehingga kini,
pengaruh bahasa Sanskrit masih digunakan dalam kesusteraan bahasa Melayu. Antara kosa
kata dari bahasa Sanskrit yang digunakan oleh masyarakat Malaysia ialah seperti berikut :

Bahasa Sanskrit Bahasa Melayu


Akasa Angkasa
Bhasa Bahasa
Cakra Cakera
Danda Denda
Gaja Gajah
Jadual 1

Pada masa yang sama, pendidikan tamadun India dalam bidang matematik telah memberi
sumbangan yang besar kepada masyarakat Malaysia dan peradaban dunia. Dalam bidang
matematik, unsur geometri digunakan dalam upacara keagamaan seperti upacara
pengorbanan menerusi kiraan astrologi. Bagi unsur algebra, angka sifar dan perpuluhan
diperkenalkan dalam ilmu kira-kira dan masih digunakan sehingga kini. Jadi, dapat dibuktikan
bahawa kegemilangan tamadun India dari aspek pendidikan sedikit sebanyak telah
mempengaruhi pendidikan di Malaysia.

7
3.0 Kesimpulan

Tamadun Melayu, Cina dan India mempunyai kaitan yang erat dengan pembinaan
tamadun di Malaysia. Perbezaan mahupun persamaan antara tamadun di Malaysia mesti
difahami dan dihormati bersama demi keharmonian dan kemakmuran negara. Dalam senario
ini, semua bidang pentadbiran negara, bidang pendidikan mahupun institusi kekeluargaan
perlu memainkan peranan penting dalam pembentukan perpaduan masyarakat bagi
mengelakkan ketidaksefahaman antara kaum berlaku. Pihak kerajaan mungkin boleh
menjadikan pendidikan pelbagai budaya sebagai salah satu cara untuk membentuk cara
hidup yang menghormati dan bertoleransi terhadap kepelbagaian budaya masyarakat
berbilang kaum. Perkara ini adalah penting memandangkan pelajar-pelajar di Malaysia terdiri
daripada pelbagai etnik. Hal ini bertujuan untuk membentuk kesatuan bangsa yang utuh dari
menghadapi konflik sosial. Oleh hal yang demikian, diharapkan agar Malaysia mampu
mengekalkan kesejahteraan dan kemerdekaan yang dikecapi buat selama-lamanya.

8
Rujukan

Afiqah Riffin. (t.t.). Tamadun Islam Tamadun Asia. Dicapai pada 9 Mac 2019 daripada
https://www.academia.edu/4131797/Tamadun_Islam_Tamadun_Asia

Angelina Sangop, Azilah Palah, Afikah Abd Rahman & Nisma Shamimi Iman. (2014). Kesan
dan Pengaruh Tamadun India di Malaysia. Dicapai pada 10 Mac 2019 daripada
https://maruwiahacis.wordpress.com/2014/12/18/kesan-dan-pengaruh-tamadun-
india-di-malaysia/

Ghazali Basri. (2008). Falsafah Pendidikan Islam Huraian Konsep. Brunei Darussalam:
Penerbitan Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Ishak Esz. (2016). Kesan Tamadun Cina ke atas Masyarakat dan Negara Malaysia. Dicapai
pada 16 Mac 2019 daripada https://www.scribd.com/doc/310057387/KESAN-
TAMADUN-CINA-KE-ATAS-MASYARAKAT-DAN-NEGARA-MALAYSIA

Ismail Hamid. (1985). Peradaban Melayu Islam. Selangor Darul Ehsan: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Iwana Iz. (2016). Perbandingan Tamadun di Malaysia. Dicapai pada 8 Mac 2019 daripada
https://www.academia.edu/34198096/Perbandingan_Tamadun_di_Malaysia

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahdi Shuid. (2014). Ketamadunan Manusia. Selangor Darul Ehsan: Multimedia Sdn. Bhd.

Mohd Razimi Husin & Md Shahaidil Ab Rahman. (2018). Tamadun Islam dan Tamadun Asia.
Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Najmuddin. (2016). Tamadun India di Malaysia. Dicapai pada 15 Mac 2019 daripada
https://www.scribd.com/doc/310774912/Tamadun-India-Di-Malaysia

Nur Afzan Muhamad, Zulkiflee Haron & Nurazmallail Marni. (t.t). Tamadun Islam dan
Tamadun Asia: Tamadun Melayu. Dicapai pada 13 Mac 2019 daripada
http://ocw.utm.my/file.php/183/OCW_Tamadun_Melayu.pdf

P. Sivarajan, Hamdan Aziz & Md Zuki Hashim. (2015). Tamadun Islam dan Tamadun Asia.
Selangor Darul Ehsan: Pelangi Professional Publishing Sdn. Bhd.

Sivachandralingam Sundara Raja & Ayadurai Letchumanan. (2001). Tamadun Dunia.


Selangor Darul Ehsan: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Syakil Zainal. (t.t.). Tamadun China. Dicapai pada 11 Mac 2019 daripada
https://www.academia.edu/34964102/Tamadun_cina

You might also like