You are on page 1of 7

TUGASAN 2: PENULISAN AKADEMIK

Kaedah Bermain Dalam Mendorong Pedagogi Mesra Budaya

1.0 Pendahuluan

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana penduduknya terdiri daripada
pelbagai etnik, budaya, bangsa dan agama. Hal ini mewujudkan sebuah bilik darjah yang
terdiri daripada murid-murid yang mempunyai amalan budaya dan kepercayaaan yang
berbeza. Menurut Woolfolk (2007), bilik darjah merupakan satu persekitaran yang khusus
yang bersifat multidimensi dan penuh dengan pelbagai pelajar, pelbagai tugasan dan
mempunyai tekanan dari segi masa. Oleh itu, perkara yang signifikan untuk diwujudkan oleh
seorang guru di dalam sebuah bilik darjah ialah kesefahaman dan penerapan nilai-nilai
murni bagi mengelakkan sebarang perbalahan dan sengketa. Hal ini dapat diperoleh melalui
pelaksanaan pedagogi mesra budaya. Menurut Gay (2000), pembelajaran guru menjadi
lebih berkesan dan bermakna melalui pendekatan yang menggunakan pengetahuan
budaya, pengalaman, rujukan dan gaya persembahan yang berbeza mengikut perbezaan
etnik murid. Maka, untuk membina persekitaran bilik darjah yang mesra budaya, guru
perlulah mengambil kira unsur-unsur budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Suasana yang selamat dan mendamaikan bagi semua murid perlu diwujudkan tanpa
membezakan etnik dan latar belakang budaya. Bilik darjah mesra budaya juga wujud
apabila adanya amalan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati dan penetapan
peraturan bilik darjah yang membolehkan murid-murid mencapai kesefahaman. Guru juga
berperanan untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan adalah
berkesan dengan mengaplikasikan strategi, pendekatan dan kaedah pengajaran yang
pelbagai mengikut minat, kecerdasan dan potensi murid.

2.0 Ciri-ciri Sosiobudaya Masyarakat Orang Asli

Berdasarkan laporan temu bual bersama guru dan pelajar SK (Asli) Bukit Cheding,
cikgu Norizan binti Jaapar mengatakan bahawa kebanyakan murid sukar menguasai topik
pembelajaran kerana mempunyai daya ingatan yang lemah dan sangat malu untuk
bertanya. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa murid Orang Asli lebih menggemari 4M
iaitu makan, menari, menyanyi dan melukis. Oleh itu, bagi meningkatkan kefahaman dan
minat murid untuk belajar, guru-guru banyak menggunakan pendekatan belajar sambil
bermain, projek dan nyanyian dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka.
Hal ini kerana penerapan budaya masyarakat Orang Asli ke dalam PdP dilihat dapat
membantu guru melaksanakan bilik darjah yang mesra budaya. Selain itu, hubungan yang
erat antara guru dan murid serta murid dan murid dibentuk bagi mengatasi masalah murid
yang pemalu. Guru di sekolah ini amat menitikberatkan budaya penyayang dan mesra

1
dalam memperoleh kepercayaan dan mengawal tingkah laku murid Orang Asli. Perkongsian
budaya dan nilai masyarakat merupakan aspek penting bagi mencapai keberhasilan murid.

3.0 Model Pengurusan Bilik Darah Mesra Budaya

Menurut Vygotsky (1896), perkembangan kognitif kanak-kanak bergantung kepada


interaksinya dengan orang-orang berkepentingan dalam persekitaran budayanya seperti ibu
bapa dan penjaganya. Beliau menggambarkan bahawa perkembangan manusia berkait
rapat dengan kegiatan sosial dan budaya. Kanak-kanak secara amnya memahami dunia
sekeliling melalui pemerhatian. Berdasarkan teori pembelajaran sosial oleh Cornell
Montgomery (1843-1904) oleh Mok Song Sang (2002), aspek pemerhatian merupakan
proses pembelajaran yang paling berkesan. Setiap tindakan dan perlakuan yang positif akan
mendorong individu untuk melakukan tindakan yang betul dan diterima oleh orang sekeliling
sehingga sebati menjadi amalan dan kebiasaan. Amalan ini merupakan budaya yang akan
tertanam dalam diri kanak-kanak hasil daripada pemerhatian mereka terhadap
persekitarannya. Oleh itu, guru merupakan individu yang signifikan dalam mempengaruhi
perkembangan kognitif dan sosioemosi murid di sekolah.

4.0 Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Mesra Budaya dan Implikasinya

Bagi mewujudkan pedagogi mesra budaya, guru boleh menerapkan pelbagai elemen
budaya dan etnik dalam PdP misalnya pemakanan, adat resam dan pakaian tradisional.
Dalam usaha ini, permainan doh (play dough) boleh digunakan untuk menjadikan sesuatu
topik pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih menarik dan bukan hanya berpusatkan buku
teks. Misalnya, bagi mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan, murid boleh menghasilkan
permainan doh yang bertemakan makanan tradisional bagi setiap budaya di Malaysia. Guru
boleh membahagikan murid-murid Orang Asli kepada beberapa kumpulan kecil dan
menyediakan barangan yang diperlukan untuk menghasilkan permainan doh. Setiap
kumpulan diminta untuk menghasilkan setiap ramuan yang terdapat dalam makanan yang
dipilih daripada doh yang telah dihasilkan. Kemudian, guru boleh meminta murid untuk
mendapatkan maklumat dan menceritakan serba sedikit mengenai makanan tersebut seperti
asal usul dan keistimewaan makanan tersebut. Permainan doh ini bukan hanya terhad
kepada elemen pemakanan sahaja tetapi ia juga boleh digunakan untuk menghasilkan
elemen-elemen budaya yang lain seperti pakaian tradisional. Misalnya, murid boleh
menghasilkan permainan doh bertemakan pakaian tradisional etnik Orang Asli atau budaya
masyarakat di Malaysia. Melalui aktiviti tersebut, mereka dapat memperoleh pengetahuan
dan semakin peka mengenai budaya kaum lain yang seterusnya akan mendorong
pembentukan nilai-nilai perpaduan seperti hormat-menghormati dan toleransi.

2
Sementara itu, permainan doh yang dihasilkan boleh diaplikasikan ke dalam mata
pelajaran Sains. Misalnya, murid boleh menghasilkan proses kitaran air, proses kitaran
hidup haiwan atau siratan makanan haiwan menggunakan doh. Melalui cara ini, murid dapat
menghasilkan sesuatu yang dapat disentuh dan dilihat melalui pancaindera mereka.
Berdasarkan Teori Piaget yang menggariskan tentang peringkat perkembangan kognitif
kanak-kanak oleh Mok Song Sang (2002), bahan maujud penting bagi murid pada peringkat
operasi konkrit (umur 7 hingga 11) bagi memahami sesuatu topik pembelajaran dengan
lebih berkesan.Quote baha mauud. Pemikiran kreatif mereka juga dapat dijana dan
mendorong mereka untuk mengingati topik pembelajaran lebih lama melalui rasa
keseronokkan aktiviti belajar sambil bermain. Maka, hal ini dapat membaiki masalah murid
Orang Asli yang mempunyai daya ingatan yang lemah. Menurut Agustini D (20162014),
malalui aktiviti bermain dalam PdP, murid akan berasa seronok semasa belajar dan minda
mereka semakin berkembang serta dapat meningkatkan minat mereka untuk mencuba dan
bereksperimen. Hal ini turut disokong oleh Arbaa dan Abd. Razak (2010), yang mengatakan
bahawa pendekatan pembelajaran yang kreatif dan inovatif dapat memastikan penyampaian
ilmu menjadi lebih efektif, menarik, menyeronokkan dan seterusnya dapat merangsang
minat murid untuk mengikuti sesi PdP. Maka, mereka akan semakin berminat untuk
mempelajari subjek Sains dan tidak menganggap subjek tersebut sebagai sesuatu yang
bosan. Hal ini akan mendorong lebih ramai murid-murid Orang Asli memilih aliran Sains
seterusnya meningkatkan potensi mereka untuk menyumbang dan bersaing di peringkat
global.

Walaupun kebanyakan murid-murid Orang Asli tinggal di kawasan pedalaman,


mereka boleh menghasilkan doh mereka sendiri dengan bahan-bahan yang mudah didapati
di rumah mereka seperti tepung, garam, minyak dan pewarna. Maka, mereka dapat
mengaplikasikan pembelajaran yang berlaku di sekolah semasa di rumah. Oleh itu, proses
pembelajaran tidak akan hanya terhenti di sekolah malah mereka akan cenderung untuk
menuntut ilmu di rumah melalui kaedah belajar sambil bermain. Berdasarkan kajian yang
melibatkan murid Orang Asli, kaedah bermain merupakan medium pengajaran yang
berkesan bagi mereka yang turut disokong oleh kajian Gill et.al (2010) yang menyatakan
anak-anak Orang Asli menyukai pendidikan yang tidak formal khasnya yang menawarkan
kebebasan dalam melakukan aktiviti. Di samping itu, keyakinan murid-murid Orang Asli juga
dapat ditingkatkan melalui aktiviti yang memerlukan perkongsian idea antara mereka.
Mereka perlu berkomunikasi antara satu sama lain untuk mencapai kesepakatan dan jalan
penyelesaian yang terbaik. Misalnya, dalam menghasilkan permainan doh yang bertemakan
makanan masyarakat Melayu seperti Nasi Lemak, mereka perlu mengumpulkan maklumat,
berkongsi idea dan pengalaman bagi menghasilkan kesemua ramuan yang terdapat dalam

3
makanan tersebut (Rajah 1). Dengan ini, nilai-nilai murni seperti tolong-menolong,
bekerjasama, toleransi dan jujur dapat diterapkan dalam diri murid-murid. Sifat malu murid-
murid Orang Asli juga dapat dihakis apabila mereka dibiasakan dengan aktiviti yang
memerlukan komunikasi yang kerap seperti aktiviti berkumpulan dan pembentangan.

5.0 Kesimpulan

Guru merupakan individu yang paling berpengaruh untuk membentuk akhlak dan
nilai-nilai murni dalam diri murid disamping memastikan perkembangan kognitif mereka
berlaku dengan baik. Sekolah perlu berperanan sebagai agen perubahan masyarakat ke
arah yang positif, bersatu padu dan harmoni. Integrasi nasional dapat dicapai melalui PdP
guru berasaskan aktiviti berteraskan nilai-nilai perpaduan dan penyertaannya dalam
kalangan pelbagai kaum. Maka, berdasarkan aktiviti PdP seperti permainan doh mampu
menghasilkan satu persekitaran mesra budaya yang menggalakkan murid-murid Orang Asli
untuk terus berminat dan berusaha dalam menimba ilmu.

kompetensi global

6C (sahsiah, kewarganegaraan, komunikasi, kolaboratif, kreativiti dan pemikiran

kritis)

4
Model Pembelajaran Murid

Rujukan :

Agustini D. (2014). Permainan Tradisional Sebagai Media Simulasi Perkembangan Kanak-


kanak. Permainan Tradisional Dalam Perkembangan Kanak-kanak, 45-55.

Agustini, D. P. (2016). Teacher Education Program and the Challenges of Quality and
Equality in Education. DIALEKTIKA JOURNAL PBI, 4(1), 1-19.

Arbaa, R., Jamil, H., & Abd Razak, N. (2010). Hubungan Guru-Pelajar dan Kaitannya
dengan Komitmen Belajar Pelajar : Adakah Guru Berkualiti Menghasilkan Perbezaan
Pembelajaran antara Jantina Pelajar, 35(2), 61–69.

Gay, G. (2000). Culturally responsive teaching: Theory, research, & practise. New York:
Teachers College Press.

Gill, S.S, Rosnon,M.R., & Redzuan,M.R.(2010).Acculturation of Consumerism among the


Orang Asli Community in Jelebu,Negeri Sembilan.Editorial Board,321.

Mok S.S. (2002). Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 1.
Subang Jaya. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

5
Vygotsky, L. S. (1986). Thought and Language . (A.Kozulin, Trans.). Cambridge, MA: MIT
Press. (Origanal work published 1934).

Woolfolk, A. (2007). Educational psychology (10th ed.). Allyn and Bacon. New York:
Teachers College Press.

Lampiran :

Bahan-bahan untuk menghasilkan permainan doh (Play dough):

 300 gram tepung gandum


 300 gram garam halus
 200 ml air
 30 ml/ 2 sudu minyak masak
 Sedikit pewarna makanan

Cara-cara membuat :

1. Gaul tepung dan garam sehingga sebati.


2. Masukkan minyak.
3. Masukkan sedikit pewarna makanan.
4. Apabila sebati, masukkan air dan uli sehingga menjadi doh.
5. Doh telah sedia untuk dibentuk mengikut aktiviti yang dijalankan.

6
Rajah 1 : Hasil permainan doh murid SK (Asli) Bukit Cheding

Rajah 2 : Sesi bergambar setelah aktiviti pemainan doh dijalankan.

You might also like