You are on page 1of 16

Asas Pentadbiran Awam

BAB 8

HUBUNGAN ANTARA KERAJAAN

OBJEKTIF BAB

Setelah mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Mendefinisikan konsep hubungan antara kerajaan.
2. Mengenal pasti jenis-jenis negara.
3. Menghuraikan sejarah pembentukan negara.
4. Menerangkan tentang skop dan bentuk hubungan antara
kerajaan di Malaysia.
5. Membincangkan hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan
tempatan.

8.1 PENGENALAN

Konsep hubungan antara kerajaan membincangkan mengenai


perhubungan antara tahap-tahap pentadbiran dalam se sebuah negara.
Menurut O’toole, Jr. (1993:2) hubungan antara kerajaan melibatkan
hubungan yang komprehensif dalam semua bidang antara tahap-tahap
kerajaan berkenaan. Walau bagaimanapun, perbincangan mengenai
hubungan antara kerajaan banyak bergantung kepada jenis pentadbiran
se sebuah negara dan ianya berbeza antara sesebu negara dengan negara
yang lain.

8.2 JENIS-JENIS SISTEM PENTADBIRAN NEGARA

Terdapat beberapa jenis pentadbiran negara di dunia. Asnarulkhadi dan


Jayum (1997:105) mengklasifikasikan negara kepada tiga jenis yang
utama, iaitu negara persekutuan, negara kesatuan, dan negara
konfederasi. Bagaimanapun terdapat satu lagi jenis negara yang
mengamalkan sistem agak berbeza dari ketiga-tiga jenis negara tersebut,
iaitu dikenali sebagai Jamhiriyah.

163
Asas Pentadbiran Awam

8.2.1 Negara Persekutuan

Negara persekutuan adalah satu bentuk negara yang mempunyai dua


tahap kerajaan yang utama, iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri di
bawah naungan. Di bawah pentadbiran negara persekutuan, kerajaan
pusat biasanya lebih beraoutoriti tetapi kerajaan-kerajaan negeri juga
memiliki sedikit autonomi untuk membuat keputusan tertentu. Oleh itu,
dalam negara jenis ini, biasanya terdapat dua badan pembuat keputusan,
iaitu peringkat kerajaan pusat dan peringkat kerajaan negeri.

Rakyat bagi negara jenis persekutuan ini mempunyai hubungan dengan


kerajaan melalui tiga cara, iaitu:

(i) Hubungan langsung dengan kerajaan pusat. Biasanya melalui


pentadbiran kerajaan persekutuan di pentadbiran pusat dan
cawangan-cawangan pentadbiran kerajaan persekutuan di
negeri-negeri naungannya.
(ii) Hubungan dengan kerajaan pusat melalui kerajaan negeri.
Biasanya rakyat membuat permintaan atau tuntutan terhadap
perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan melalui kerajaan-
kerajaan negeri. Bagi kes-kes di luar bidang kuasa kerajaan
negeri, biasanya permintaan atau tuntutan disalurkan kepada
kerajaan persekutuan untuk membuat keputusan.
(iii) Hubungan langsung dengan kerajaan-kerajaan negeri.
Biasanya rakyat membuat permintaan atau tuntutan terhadap
perkara-perkara dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

8.2.2 Negara Kesatuan

Negara kesatuan adalah satu bentuk negara yang mempunyai sistem


pentadbiran kerajaan pusat dan pentadbiran kerajaan tempatan di
bawahnya. Di bawah pentadbiran negara kesatuan, kuasa membuat
keputusan terletak se penuhnya kepada kerajaan pusat. Fungsi kerajaan
tempatan hanyalah untuk melaksanakan apa yang diputuskan oleh
kerajaan pusat.

Rakyat bagi negara jenis kesatuan hanya mempunyai hubungan langsung


dengan kerajaan pusat walaupun pada dasarnya melalui wakil-wakil yang
dipilih mewakili mereka. Ini disebabkan pentadbiran kerajaan tempatan
tidak mempunyai autonomi luas untuk membuat keputusan. Kerajaan
tempatan lebih merupakan cawangan kepada kerajaan pusat di peringkat
tempatan.

164
Asas Pentadbiran Awam

8.2.3 Negara Konfederasi

Negara konfederasi adalah satu bentuk negara yang mempunyai dua


tahap kerajaan, iaitu kerajaan pusat dan kerajaan wilayah naungannya. Di
bawah pentadbiran negara konfederasi, kerajaan bawahan biasanya lebih
kuat daripada kerajaan pusat. Ini kerana kerajaan wilayah mempunyai
autonomi yang sangat luas dalam membuat keputusan tertentu. Malahan
fungsi kerajaan pusat lebih merupakan sebagai penyelaras kepada
kerajaan-kerajaan bawahan.

Rakyat bagi negara jenis konfederasi mempunyai hubungan langsung


yang sangat luas dengan kerajaan-kerajaan wilayah dan kerajaan pusat
lebih berperanan dalam aspek hubungan dengan negara lain di peringkat
antarabangsa.

8.2.4 Negara Jamhiriyah

Maklumat mengenai negara berbentuk Jamhiriyah sangat terhad. Ini


kerana bentuknya yang begitu eksklusif dan tersisih dari amalan lain-lain
negara di dunia. Satu-satunya negara yang berbentuk Jamhiriyah ialah
Libya. Ia dikenali dengan nama negara Jamhiriyah Libya.

Maklumat mengenai Libya menunjukkan bahawa negara ini


mengamalkan pentadbiran berpusat. Segala keputusan dibuat oleh
pemimpin negara melalui satu jawatankuasa pusat (dikenali Majlis Syura).
Tiada badan lain boleh membuat keputusan yang melebihi atau setara
dengan keputusan jawatankuasa tersebut. Satu perlembagaan negara
diwujudkan melalui keputusan majlis sebagai garis panduan pentadbiran
dan pemerintahan negara berkenaan.

Berikan contoh setiap satu bagi menunjukkan


negara-negara berbentuk Persekutuan, Kesatuan, dan
Konfederasi. Bincangkan bersama rakan-rakan anda.

165
Asas Pentadbiran Awam

SOALAN DALAM TEKS 8.1

1. Nyatakan jenis-jenis sistem pemtadbiran yang


terdapat di dunia.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

8.3 SEJARAH PEMBENTUKAN PENTADBIRAN


MALAYSIA

Malaysia merupakan sebuah negara yang agak unik kerana melalui


pengalaman di bawah pentadbiran, hampir semua sistem utama yang
dibincangkan terdahulu. Hanya sistem berbentuk Jamhiriyah tidak
diperkenalkan di tahap tertinggi pentadbiran negara. Pengalaman
pentadbiran tersebut dapat dibincangkan berdasarkan kepada beberapa
sistem pentadbiran di zaman penjajahan.

1. Pentadbiran Negeri-Negeri Selat

Zaman awal penjajahan British di Tanah Melayu telah memperkenalkan


sistem pentadbiran Negeri-negeri Selat. Sistem pentadbiran Negeri-negeri
Selat adalah satu bentuk pentadbiran negara konfederasi kerana
mempunyai struktur pentadbiran kerajaan wilayah yang kuat walaupun
berada di bawah satu pentadbiran pusat. Ini jelas dengan kedudukan
negeri-negeri gabungan, iaitu Pulau Pinang dan Melaka yang menjalankan
pentadbiran sendiri walaupun berada di bawah pentadbiran yang
berpusat di Singapura.

2. Pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

Pentadbiran Negeri-negeri Bersekutu merupakan satu langkah awal


memperkenalkan sistem pentadbiran negara persekutuan di Tanah
Melayu. Di bawah sistem ini, Inggeris memperkenalkan sistem
pentadbiran kerajaan pusat dengan negeri-negeri bawahan yang
mempunyai autonomi tertentu untuk membuat keputusan.

166
Asas Pentadbiran Awam

Kerajaan pusat mempunyai badan pembuat keputusan dan dasar bagi


perkara-perkara yang melibatkan seluruh negeri di bawahnya. Manakala
kerajaan negeri pula mempunyai badan pembuat keputusan dan dasar ke
atas perkara-perkara yang melibatkan negeri berkenaan sahaja.

Berikan contoh perkara-perkara yang melibatkan hal


ehwal negeri-negeri sahaja, tanpa melibatkan kerajaan
Persekutuan.

3. Pentadbiran Malayan Union

Inggeris telah menghadapi kesukaran untuk mengawal kepentingan


ekonomi dan strategik pertahanan di Tanah Melayu melalui dua sistem
pentadbiran yang dijelaskan sebelum ini. Ini disebabkan terdapat
sebilangan negeri yang tidak berada di bawah pentadbiran langsung
British. Negeri-negeri tersebut dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu
Tidak Bersekutu. Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu hanya menjadi
negeri-negeri naungan British berdasarkan kedudukan sebagai sebahagian
dari wilayah Tanah Melayu. Kewujudan Negeri-Negeri Melayu Tidak
Bersekutu telah menghalang British untuk membina empayar
pemerintahan langsung seluruh Tanah Melayu.

Oleh yang demikian, Inggeris telah cuba menggunakan berbagai tipu


muslihat untuk membolehkan negeri-negeri tersebut berada di bawah
pentadbiran British sepenuhnya. Kaedah paksaan, termasuk ugutan
terhadap Raja-Raja Melayu turut dikenakan. Semua Raja-Raja Melayu
yang takut kehilangan kuasa terperangkap dengan muslihat ini lalu
menandatangani surat persetujuan untuk menerima penasihat yang
bertindak sebagai pentadbir langsung kepada British.

Tipu helah yang diperkenalkan ini sebenarnya bertujuan memenuhi


matlamat British iaitu menukar status negeri-negeri Tanah Melayu
daripada wilayah naungan kepada Tanah Jajahan. Ini hanya boleh dicapai
melalui pentadbiran berbentuk negara kesatuan, iaitu mempunyai se
sebuah kerajaan pusat yang kuat dan bertanggungjawab dalam membuat
keputusan dan dasar sepenuhnya ke atas wilayah naungan.

Untuk tujuan tersebut Inggeris telah memperkenalkan sistem


pentadbiran yang dinamakan Malayan Union. Malangnya, sistem
pentadbiran berbentuk kesatuan ini tidak bertahan lama. Ia sebenarnya
telah menjadi faktor kebangkitan semangat nasionalisme terutama di
kalangan orang-orang Melayu. Tentangan kuat oleh penduduk Tanah

167
Asas Pentadbiran Awam

Melayu akhirnya telah menggagalkan rancangan British untuk


memperkenalkan sistem pentadbiran bercorak kesatuan.

4. Pentadbiran Persekutuan 1948

Kegagalan Inggeris memperkenalkan Malayan Union memberikan


petunjuk bahawa sistem pentadbiran bercorak kesatuan tidak sesuai
diamalkan di Tanah Melayu. Semangat kesetiaan yang tinggi terhadap
Raja-Raja Melayu menyebabkan mereka tidak rela untuk menyerahkan
kedaulatan negeri-negeri kepada pentadbiran pusat yang akan
menentukan masa depan mereka.

Inggeris seterusnya telah mengambil langkah menggubal perlembagaan


sebuah negara persekutuan bagi Tanah Melayu. Perlembagaan ini digubal
melalui satu jawatankuasa yang terdiri daripada wakil kerajaan British,
Raja-Raja Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersekutu
(UMNO) yang mewakili majoriti orang Melayu. Akhirnya negara
Persekutuan Tanah Melayu berjaya di tubuhkan pada tahun 1948.

Pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu mempunyai sebuah kerajaan


pusat yang di tadbir oleh Inggeris dan terdapat 11 negeri di bawahnya.
Negeri-negeri ini diketuai oleh Raja-Raja Melayu untuk membolehkan
mereka membuat keputusan penuh tentang hal ehwal agama Islam dan
adat istiadat orang Melayu. Secara tidak langsung, kedaulatan dan
kedudukan istimewa orang-orang Melayu telah dikembalikan.

5. Pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu Merdeka 1957

Pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah meletak asas ke arah


pentadbiran berkerajaan sendiri bagi Tanah Melayu. Terdapat beberapa
usaha yang dibuat sebagai persediaan ke arah mencapai kemerdekaan dari
penjajah. Pihak Inggeris sendiri tidak lagi dapat membendung segala
tuntutan dan desakan rakyat peribumi untuk memerdekakan tanah air
mereka.

Antara persediaan awal yang dijalankan oleh British ialah dengan


mengadakan pilihan raya untuk membentuk pentadbiran kerajaan
tempatan dan seterusnya kerajaan Persekutuan melalui pilihan sendiri
oleh rakyat. Inggeris juga membuka peluang-peluang pendidikan untuk
melatih anak-anak peribumi mendapatkan kemahiran dan pengetahuan
tentang politik, serta pentadbiran di luar negara.

168
Asas Pentadbiran Awam

Akirnya pada tahun 1957, Tanah Melayu telah mendapat kemerdekaan


mutlak daripada Inggeris. Sistem pentadbiran bercorak persekutuan telah
dikekalkan dengan membentuk sebuah kerajaan pusat dan negeri-negeri
naungan seperti di bawah Persekutuan Tanah Melayu 1948.

6. Pembentukan Malaysia 1963

Sistem pentadbiran corak persekutuan telah berjaya membawa penyatuan


kepada negeri-negeri dalam Tanah Melayu. Ini telah menarik perhatian
negeri-negeri berhampiran iaitu Singapura, Sabah dan Sarawak. Pungutan
suara telah memberikan keputusan kepada negeri-negeri tersebut untuk
menyertai Persekutuan Tanah Melayu yang telah merdeka.

Kemasukan Singapura, Sabah, dan Sarawak telah membentuk


persekutuan yang dikenali sebagai Malaysia pada tahun 1963. Sistem
persekutuan ini telah memberi peluang kepada negeri-negeri untuk
membuat keputusan dalam hal-hal tertentu walaupun terletak di bawah
satu pentadbiran pusat. Kerajaan pusat pula mempunyai kuasa ke atas
perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan keseluruhan negeri
anggota. Contohnya, keputusan mengeluarkan Singapura dari
Persekutuan pada tahun 1965 membuktikan kekuasaan kerajaan pusat
yang mengatasi kuasa kerajaan negeri dalam hal-hal berkaitan
kepentingan persekutuan secara keseluruhan.

Pengalaman melalui berbagai sistem pentadbiran negara tersebut


membolehkan Malaysia menilai dan memilih satu sistem yang paling
sesuai untuk digunakan di negara ini.

8.4 SKOP HUBUNGAN ANTARA KERAJAAN DI


MALAYSIA

Seperti yang dibincangkan, Malaysia merupakan sebuah negara berbentuk


persekutuan walaupun pernah melalui beberapa sistem pentadbiran
sebelum ini. Berdasarkan kedudukan tersebut skop hubungan antara
kerajaan Malaysia adalah merujuk kepada hubungan dalam berbagai
bidang di antara kerajaan pusat dengan kerajaan bawahannya, iaitu
kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.

Skop hubungan tersebut telah dinyatakan dalam Perlembagaan


Persekutuan Malaysia, yang merupakan undang-undang bertulis utama.
Mengikut Perlembagaan, Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan dan
di bawahnya terdapat empat belas buah negeri yang terdiri daripada
Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau

169
Asas Pentadbiran Awam

Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu, dan


Wilayah Persekutuan.

Jadi, skop hubungan antara kerajaan di Malaysia adalah mengenai


hubungan kerajaan pusat dengan empat belas buah negeri tersebut, serta
hubungan dengan tahap kerajaan tempatan yang berada di bawah
struktur kerajaan negeri.

8.5 BENTUK HUBUNGAN ANTARA KERAJAAN

Terdapat tiga bentuk hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan-


kerajaan negeri di Malaysia. Bentuk-bentuk hubungan tersebut ialah
hubungan kewangan, hubungan pentadbiran, dan hubungan fungsi.

8.5.1 Hubungan Kewangan

Kerajaan pusat mempunyai hubungan yang sangat penting dari aspek


kewangan dengan kerajaan bawahannya. Seperti yang dibincangkan
dalam pelajaran terdahulu, hubungan kewangan ini dinyatakan dengan
jelas dalam Perkara 96 hingga 112 Perlembagaan Persekutuan. Secara
ringkas, hubungan antara kerajaan tersebut merangkumi tiga perkara,
iaitu peruntukan kewangan, pengauditan, dan kawalan.

(a) Peruntukan kewangan

Kerajaan pusat merupakan pemegang akaun bagi kerajaan persekutuan.


Segala hasil dan perbelanjaan utama persekutuan dibuat melalui kerajaan
pusat. Setiap tahun kerajaan negeri dan kerajaan tempatan menerima
hasil utama daripada peruntukan belanjawan negara. Bagi menjaga
keadilan dan keharmonian antara negeri-negeri, kerajaan pusat melalui
perlembagaan akan menetapkan agihan peruntukan kewangan melalui
dua cara, iaitu:

(i) Berdasarkan bilangan penduduk negeri; dan


(ii) Berdasarkan kos penyelenggaraan jalan raya.

Walau bagaimanapun, negeri-negeri dibenarkan mengutip hasil daripada


aktiviti-aktiviti berkaitan agama, keluarga, hasil tanah dan galian serta
kerajaan tempatan.

170
Asas Pentadbiran Awam

(b) Pengauditan

Perlembagaan juga menetapkan supaya dilantik seorang Ketua Audit


Negara yang bertanggungjawab mengaudit akaun Kerajaan Persekutuan.
Semua akaun kerajaan pusat dan negeri hendaklah diaudit dan dilaporkan
kepada Ketua Audit Negara. Pengauditan ini memberikan satu hubungan
yang kukuh kerana negeri-negeri tertakluk kepada prosedur dan
peraturan pentadbiran pusat dalam aspek kewangan masing-masing.

(c) Kawalan

Kerajaan pusat juga mempunyai kawalan ke atas kerajaan tempatan dari


aspek kewangan. Antara kawalan-kawalan tersebut ialah melalui legislatif
dan eksekutif.

(i) Legislatif – Parlimen (Legislatif) mempunyai tanggungjawab


membuat undang-undang termasuk perundangan berkaitan
kewangan. Salah satu keputusan utama yang dibuat di
Parlimen berkaitan kewangan persekutuan ialah peruntukan
kewangan (belanjawan) tahunan negara. Badan legislatif
negeri-negeri boleh membuat undang-undang berkaitan
kewangan tetapi hendaklah tidak bercanggah dengan apa
yang diputuskan di Parlimen dan dihadkan kepada negeri-
negeri berkenaan sahaja.
(ii) Eksekutif – Badan eksekutif yang diketuai oleh Perdana
Menteri merupakan badan pemerintah (kerajaan) bagi
Persekutuan. Kerajaan yang mentadbir Persekutuan adalah
terdiri dari kalangan ahli-ahli parlimen dari parti-parti yang
memenangi pilihan raya umum. Kerajaan pusat boleh
mengenakan kawalan kewangan ke atas negeri-negeri dalam
Persekutuan melalui perintah eksekutif yang dikeluarkan dari
semasa ke semasa. Perintah eksekutif ini boleh dikeluarkan
melalui agensi pelaksanaan dasar kerajaan, iaitu
Perbendaharaan Malaysia. Contohnya, Arahan
Perbendaharaan yang harus dipatuhi oleh semua
kementerian, jabatan, dan badan berkanun peringkat
persekutuan dan negeri mengenai pengurusan kewangan
masing-masing.

171
Asas Pentadbiran Awam

8.5.2 Hubungan Pentadbiran

Kerajaan pusat juga mempunyai hubungan yang rapat dalam aspek


pentadbiran dengan kerajaan bawahan. Hubungan ini dapat dibahagikan
kepada dua bentuk yang utama, iaitu kedudukan institusi-institusi negara
dan kedudukan agensi-agensi kerajaan.

(a) Kedudukan insitusi-institusi negara

Terdapat beberapa institusi peringkat Persekutuan yang berkedudukan


lebih tinggi daripada peringkat kerajaan bawahan. Secara hierarki,
kerajaan bawahan berada di bawah struktur kerajaan pusat. Di antara
institusi-institusi peringkat Persekutuan yang merujuk kepada hubungan
ini ialah:

(i) Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi


negara. Segala undang-undang berikutnya yang dibuat oleh
Parlimen atau Dewan Undangan Negeri hendaklah tidak
bercanggah dengan mana-mana peruntukan dalam
perlembagaan.
(ii) Kedudukan Parlimen sebagai pembuat undang-undang
Persekutuan. Ini bermakna Parlimen selain membuat
undang-undang persekutuan juga mempunyai bidang kuasa
membuat undang-undang bagi negeri-negeri jika mempunyai
kesan terhadap Persekutuan. Manakala badan perundangan
negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang
undang-undang bagi Persekutuan.
(iii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang
Dipertuan Agong merupakan kepala utama Persekutuan.
Oleh itu, baginda juga merupakan ketua kepada seluruh
negara dalam Persekutuan. Yang Dipertuan Agong adalah
dipilih dari kalangan Raja-raja negeri dan dengan itu
kedudukan baginda adalah di atas hierarki Raja-raja negeri
berkenaan.
(iv) Terdapat perjawatan-perjawatan Persekutuan yang
mempunyai kuasa lebih tinggi daripada perjawatan-
perjawatan peringkat kerajaan bawahan. Contohnya, Peguam
Negara berkedudukan lebih tinggi daripada Pegawai
Undang-undang Negeri dan Ketua Audit Negara
mempunyai kedudukan lebih tinggi dari Pegawai Kewangan
di peringkat negeri. Oleh itu dari aspek pentadbiran,
pegawai-pegawai peringkat negeri adalah bertanggungjawab
kepada pegawai di peringkat Persekutuan.

172
Asas Pentadbiran Awam

(b) Kedudukan agensi-agensi kerajaan

Kerajaan pusat juga mempunyai hubungan dengan kerajaan bawahan


melalui agensi-agensi yang ditubuhkan untuk melaksanakan dasar-dasar
kerajaan. Terdapat lima bentuk agensi yang menghubungkan kerajaan
pusat dengan kerajaan bawahan, khususnya kerajaan negeri, iaitu Majlis-
Majlis Negara, Kementerian Persekutuan, Jabatan Persekutuan, dan
Perbadanan Awam.

(i) Majlis-Majlis Negara – Majlis-Majlis Negara biasanya


ditubuhkan melalui peruntukan yang terdapat dalam
Perlembagaan. Majlis-majlis negara biasanya berfungsi
sebagai badan yang menyelaraskan perkara-perkara
melibatkan kerajaan pusat dan kerajaan bawahan. Contohnya
Majlis Tanah Negara, Majlis Keselamatan Negara dan Majlis
Negara, bagi Kerajaan Tempatan yang bertanggungjawab
membantu kerajaan dalam merangka dan membentuk dasar
serta memberi nasihat dari aspek teknikal dan perundangan
dalam perkara-perkara tertentu.
(ii) Kementerian Persekutuan – Kementerian Persekutuan
merupakan jentera pentadbiran tertinggi di peringkat
Persekutuan. Selain merancang, membentuk, melaksana, dan
memantau perlaksanaan perkara-perkara dalam bidang
kuasanya, kementerian juga berfungsi menyelia dan
menyelaras jabatan-jabatan atau agensi di bawahnya,
termasuk di peringkat negeri. Fungsi kementerian adalah
sama seperti fungsi Jabatan Negeri tetapi kedudukannya
lebih tinggi kerana diketuai oleh seorang Menteri
Persekutuan, iaitu seorang ahli Dewan Perundangan
Persekutuan (Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara).
(iii) Jabatan Persekutuan – Jabatan Persekutuan biasanya
terletak di bawah kementerian tertentu. Oleh itu, ia menjadi
agensi kedua tertinggi dalam hierarki jentera pentadbiran
Persekutuan. Jabatan-jabatan Persekutuan diketuai oleh
pentadbir-pentadbir tetap awam yang dilantik oleh Kerajaan
Persekutuan. Walaupun jabatan beribu pejabat di
kementerian tertentu, bidang kuasa jabatan boleh sampai ke
tahap pentadbiran paling rendah kerana mempunyai
cawangan-cawangan hingga ke peringkat daerah. Contohnya,
Jabatan Pendidikan Malaysia mempunyai cawangan jabatan
Persekutuan peringkat negeri dan daerah di seluruh negara.
Dalam konteks pentadbiran, Pegawai Pendidikan Daerah
dikehendaki melapur kepada Pengarah Pendidikan Negeri

173
Asas Pentadbiran Awam

dan Pengarah Pendidikan Negeri pula bertanggungjawab


kepada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.
(iv) Perbadanan Awam – Perbadanan Awam merupakan satu
badan yang berfungsi melaksanakan objektif bagi mencapai
matlamat khusus bidang-bidang tertentu kerajaan. Dalam
konteks hubungan antara kerajaan, terdapat dua bentuk
perbadanan awam yang melaksanakan fungsi-fungsi khusus
kerajaan Persekutuan, iaitu Badan-Badan Berkanun
Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Bukan
Persekutuan.

Badan-badan Berkanun Persekutuan ialah badan berkanun


yang ditubuhkan melalui Akta Parlimen. Contohnya,
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Majlis
Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan
Bandar (UDA) sebelum diperbadankan menjadi badan
perusahaan awam kerajaan satu ketika dahulu. Badan-badan
Berkanun Persekutuan mempunyai autonomi dalam
membuat keputusan mengenai perkara-perkara dalam bidang
kuasanya di peringkat Persekutuan. Oleh itu, ia mempunyai
cawangan-cawangan operasi hingga ke peringkat negeri
dalam Persekutuan.

Badan-badan Bukan Berkanun Persekutuan pula ialah agensi


yang menyerupai se sebuah syarikat bagi kerajaan. Badan-
Badan Bukan Berkanun Persekutuan ditubuhkan di bawah
Akta Syarikat. Berbeza dengan Badan-badan Berkanun yang
masih dikawal oleh kerajaan se penuhnya, Badan-badan
Bukan Berkanun Persekutuan mempunyai lebih kebebasan
kerana kerajaan hanya mempunyai kepentingan ekuiti seperti
pemegang-pemegang syer yang lain. Secara khususnya
Badan-badan Bukan Berkanun menjalankan fungsi sebagai
badan perniagaan kerajaan. Contohnya, Perbadanan
Perkapalan Malaysia (MISC) dan Pemodalan Nasional
Berhad (PERNAS).

8.5.3 Hubungan Fungsi

Kerajaan pusat juga mempunyai hubungan dengan kerajaan bawahan


berdasarkan fungsi. Fungsi-fungsi ini jelas dinyatakan dalam
Perlembagaan Persekutuan (Jadual Kesembilan) melalui senarai bidang
kuasa berikut:

174
Asas Pentadbiran Awam

(i) Senarai I – Senarai Persekutuan


(ii) Senarai II – Senarai Negeri
(iii) Senarai III – Senarai Bersama

Tujuan senarai ini dinyatakan dalam Perlembagaan adalah untuk


memberikan satu had bidang kuasa antara kerajaan pusat dan negeri.
Dalam konteks hubungan antara kerajaan, keadaan ini boleh
mewujudkan satu hubungan yang erat serta harmoni di antara kerajaan
atas dan kerajaan bawahan. Contohnya, Senarai I menggariskan fungsi-
fungsi dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan. Ini memberi maksud
bahawa negeri-negeri perlu merujuk kepada kerajaan pusat bagi perkara-
perkara yang di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Begitulah
sebaliknya dalam melaksanakan fungsi-fungsi dalam Senarai II di mana
kerajaan pusat akan merujuk kepada kerajaan negeri. Manakala fungsi-
fungsi di dalam Senarai Bersama (Senarai III) menggariskan tindakan
bersama antara kerajaan pusat dan negeri. Ini menuntut satu tahap
kerjasama dan persefahaman yang tinggi kerana tanpa faktor tersebut
kecekapan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan tidak dapat
dilaksanakan.

Nyatakan jenis-jenis kerajaan tempatan yang terdapat di


Malaysia.

SOALAN DALAM TEKS 8.2

1. Apakah bentuk-bentuk hubungan yang wujud


antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri?
2. Kerajaan pusat mempunyai kawalan terhadap
kerajaan tempatan. Nyatakan dua bentuk kawalan
tersebut.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

175
Asas Pentadbiran Awam

8.6 HUBUNGAN KERAJAAN PUSAT DAN KERAJAAN


TEMPATAN

Perbincangan mengenai hubungan antara kerajaan juga harus memberi


tumpuan kepada aspek hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan
tempatan. Secara umumnya, kerajaan tempatan menurut Laporan Athi
Nahappan 1970, adalah didefinisikan sebagai sebuah kerajaan yang
bertanggungjawab terhadap hal ehwal tempatan, bertaraf lebih rendah
daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri, tertakluk di bawah kerajaan
tertinggi, mempunyai kuasa autonomi terhad daripada kerajaan tertinggi,
ada ciri-ciri perwakilan, berasingan daripada kerajaan tempatan lain, dan
berkeupayaan untuk memberi kemudahan kepada penduduk se sebuah
kawasan (Saadon, 1993:3-4). Jelasnya kerajaan tempatan merupakan
peringkat kerajaan paling rendah dalam struktur pentadbiran negara.

Hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan tempatan dapat


dibincangkan dalam dua bentuk yang utama, iaitu hubungan melalui
kerajaan negeri serta hubungan berdasarkan prosedur dan peraturan
kerajaan.

(a) Hubungan melalui kerajaan negeri

Kedudukan kerajaan tempatan di Malaysia terletak di bawah bidang


kuasa kerajaan negeri. Oleh yang demikian kerajaan negeri menjadi
pengantara bagi hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan tempatan.
Ini disebabkan kerajaan tempatan di Malaysia (kecuali Wilayah
Persekutuan) ditubuhkan melalui enakmen perundangan negeri.

Kerajaan pusat mempunyai kawalan ke atas kerajaan-kerajaan tempatan


melalui Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan. Majlis ini dipengerusikan
oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan ahli-ahlinya
terdiri daripada wakil kerajaan pusat dan negeri. Segala arahan dasar
kepada kerajaan tempatan akan disalurkan melalui kerajaan negeri.
Sebaliknya, maklum balas tindakan daripada kerajaan tempatan kepada
Majlis berkenaan juga melalui kerajaan negeri terlebih dahulu.

(b) Hubungan berdasarkan prosedur dan peraturan kerajaan

Kerajaan tempatan ditubuhkan melalui enakmen Dewan Perundangan


Negeri. Ia merupakan sebuah badan berkanun kerajaan di peringkat
negeri. Disebabkan enakmen yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri
tidak bercanggah dengan Peruntukan Perlembagaan atau Parlimen, maka

176
Asas Pentadbiran Awam

kedudukan badan berkanun negeri adalah sama dengan badan berkanun


persekutuan, iaitu sebagai sebuah agensi kerajaan.

Maka sebagai sebuah agensi kerajaan, kerajaan tempatan perlu mematuhi


segala prosedur dan peraturan yang diamalkan oleh agensi-agensi
kerajaan lain seperti kementerian dan jabatan-jabatan. Kedudukan ini
memberikan satu hubungan yang rapat di antara kerajaan tempatan,
negeri, dan pusat kerana semuanya merupakan kakitangan perkhidmatan
awan kerajaan.

8.7 KESIMPULAN

Kesimpulannya dapatlah di katakan bahawa konsep hubungan antara


kerajaan itu adalah berkaitan dengan hubungan antara kerajaan yang
memerintah dan kerajaan di bawah naungan dalam se sebuah negara.
Hubungan ini pula banyak bergantung kepada bentuk se sebuah negara
kerana ia dapat menjelaskan sejauh mana bidang kuasa dan saling
kebergantungan di antara tahap-tahap kerajaan berkenaan.

Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan, mempunyai skop hubungan


antara kerajaan yang jelas di antara kerajaan pusat, kerajaan negeri, dan
kerajaan tempatan. Ini kerana skop hubungan tersebut termaktub di
dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu salah satu daripada perlembagaan
bertulis yang menjadi undang-undang tertinggi negara.

Sehingga hari ini, hubungan antara kerajaan di Malaysia berjalan dengan


baik sekali. Ini mungkin disebabkan oleh kedudukan negara jenis
Persekutuan merupakan bentuk yang terbaik bagi menghubungkan
tahap-tahap kerajaan di negara ini. Pengalaman dari sejarah silam telah
banyak menguji tahap pentadbiran dan didapati bentuk negara
Persekutuan merupakan bentuk yang paling sesuai demi mengekalkan
keharmonian serta hak-hak keistimewaan semua pihak.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Jelaskan bagaimana sesuatu peruntukan kewangan mewujudkan


hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan
Negeri di Malaysia.

2. Jelaskan beserta contoh bagaimana Majlis-majlis Negara dapat


mewujudkan hubungan antara kerajaan di Malaysia.

177
Asas Pentadbiran Awam

3. Bincangkan bagaimana prosidur dan peraturan boleh


mewujudkan hubungan antara kerajaan di antara sebuah kerajaan
tempatan dengan kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri.

4. Bincangkan skop hubungan dan suasana hubungan antara


kerajaan yang wujud di Malaysia hari ini.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 8.1

1. Negara persekutuan, Negara kesatuan, Negara konfederasi, dan


Jamhiriyah.

SDT 8.2

1. Hubungan kewangan dan hubungan pentadbiran.


2. Kawalan Legislatif dan kawalan eksekutif.

178

You might also like