You are on page 1of 11

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/340373730

METODOLOGI AL-SHAHRASTANI DALAM AL-MILAL WA AL-NIHAL

Article · January 2015

CITATIONS READS

0 192

3 authors, including:

Mohd Faizal Abdul Khir


Universiti Sultan Azlan Shah
9 PUBLICATIONS   6 CITATIONS   

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Wasatiyyah sebagai Asas Jaminan Masa Hadapan: Analisis Terhadap Isu-isu Kemasyarakatan Terpilih di Malaysia View project

All content following this page was uploaded by Mohd Faizal Abdul Khir on 02 April 2020.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Journal of Asian Islamic Higher Institutions (JAIHI)
http://www.aiua.asia/journal Volume 1, Issue 1 (2015)

METODOLOGI AL-SHAHRASTANI DALAM AL-MILAL WA


AL-NIHAL
Mohd Faizal, A. K. 1, Mohamed Fairooz bin Abdul Khir2, Mohd Fahmi , A. K. 3
1
(Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia)
2
(International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance)
3
(Jabatan Syariah, Kolej Komuniti Gerik)

ABSTRACT:

Artikel ini adalah kajian konseptual berasaskan kepada metode analisis induktif dan deduktif terhadap metodologi
al-Shahrastani dalam karya beliau berkaitan agama.Tumpuan diberikan kepada metode penulisan dan metode
kajian beliau. Kajian ini berasaskan kepada karya agung al- Shahrastani; al-Milal wa al-Nihal yang dihasilkan
bagi menerangkan agama dan falsafah sepanjang perjalanan dunia. Ia bermula dengan pendahuluan yang
membahaskan tentang latar belakang kajian, objektif dan kajian terdahulu. Seterusnya diikuti dengan catatan
ringkas tentang al-Shahrastani dan karya beliau al-Milal wa al-Nihal bagi memperlihatkan kredibiliti al-
Shahrastani dalam bidang perbandingan agama. Seterusnya kajian ini memfokuskan perbahasan tentang
metodologi al-Shahrastani dalam penulisan beliau. Ianya dipecahkan kepada beberapa sub topik antaranya
paparan kajian, sumber, skop kajian dan metodologi kajian beliau terhadap agama. Kajian ini merumuskan
bahawa al-Shahrastani telah mengaplikasikan Metode Perbandingan Deskriptif dalam al-Milal wa al-Nihal.
Namun begitu, kedapatan beberapa aspek perbandingan normatif yang telah diaplikasikan oleh beliau dalam
karyanya ini.

KEYWORDS – al-Shahrastani, al-Quran, Metode, Perbandingan, Agama

I. PENDAHULUAN
Perbahasan tentang perbandingan agama diberikan tumpuan khusus dalam agama Islam. Hampir sepertiga al-
Qur’an membahaskan tentang agama-agama lain Dalam satu ayat daripada Surah al-Hajj (22): 17 sahaja, al-Qur’an
menyebutkan tujuh agama sekaligus (Muhammad Diya’ al-Rahman al-A‘zami, 2003, h. 16). Kajian tentang agama
terus berkembang antara lain disebabkan oleh hubungan yang makin meluas antara penganut-penganut agama
yang berbeza (Amarjit Singh Sethi et. al., 1979, h. 1.) Howard G. Schineiderman (2015, h. xi) telah
merumuskan dalam dua dekad yang berlalu, perbahasan tentang agama menjadi salah satu domain penting dalam
perbahasan dunia akademik. Di eropah, perbahasan tentang agama-agama telah dikesan sejak kurun ke enam
masihi apabila pemikir-pemikir Yunani melakukan kritikan terhadap agama mereka sendiri sebagaimana
dirumuskan oleh Sharpe (1975, p. 3).

Dalam perbahasan moden, konsep sekular telah menjadi teras kepada perbahasan sarjana Kristian Eropah berkaitan
agama. (Mohd Faizal A. K. and Siti Nurleha, Saffie, 2015). Meletakkan sekular sebagai konsep asas yang
memayungi perbahasan tentang agama adalah merupakan suatu kesilapan metodologi (Mohd Faizal A. K. and Siti
Nurleha, Saffie, 2015) kerana sekular secara asasnya merupakan konsep yang bertentangan dengan agama (Daniel
Boscaljon, 2013, p 671). Sehubungan dengan itu, al-Faruqi (1986, h. 14) merumuskan bahawa metode-metode
tersebut tidak mampu untuk mengkaji agama secara menyuluruh.

Kajian ini dilakukan bagi mengamati perbahasan yang telah dikemukakan oleh al-Shahrastani terhadap agama
dalam al-Milal wa al-Nihal. Pengamatan dilakukan bagi memperlihatkan beberapa aspek metodologi yang telah
digunapakai oleh beliau dalam karya tersebut. Ianya merupakan kajian konseptual bagi mengenengahkan
metodologi yang dikemukakan oleh al-Shahrastani dalam kajian terhadap agama. Kajian ini akan menyumbang
kepada kesarjanaan Islam dalam bidang perbandingan agama sekali gus mengemukakan alternatif kepada
metodologi yang digunapakai oleh sarjana barat dalam perbandingan agama.

Kedapatan beberapa kajian yang telah dilakukan oleh para pengkaji berkaitan dengan kitab al-Milal wa al-Nihal
antaranya oleh Muhammad Azizan bin Sabjan (2000) dalam disertasi sarjana dengan tajuk Shahrastani on the

1 | Page
Metodologi Al-Shahrastani Dalam Al-Milal Wa Al-Nihal
People of The Book. Di samping itu, A.K. Kazi dan J.G. Flynn (1984) turut memberikan beberapa komentar
menarik berkenaan kitab ini di permulaan terjemahan Inggeris bagi al-Milal wa al-Nihal dengan judul Muslim
Sects and Divisions : the Section on Muslim Sects in Kitab al-Milal wa al-Nihal. Bruce B. Lawrence (1976) turut
melakukan kajian terhadap al-Shahrastani dan karya beliau, al-Milal wa al-Nihal. Namun begitu, kajian-kajian
yang telah dilakukan tidak memberikan gambaran yang menyeluruh terhadap metodologi al-Shahrastani dalam
perbandingan agama. Pun begitu, karya dan perbahasan yang telah dihasilkan menjadi rujukan berguna dalam
artikel ini.

II. AL-SHAHRASTANI DAN KARYA AL-MILAL WA AL-NIHAL


Al-Shahrastani ialah Muhammad bin ’Abd al-Karim bin Ahmad bin Abi al-Qasim bin Abi Bakar ialah
seorang ulama yang hidup di sekitar kurun kelima dan keenam Hijrah. Beliau merupakan seorang tokoh yang
cukup berkaliber dalam bidang perbandingan agama. Sebahagian ulama memberikan pujian yang amat baik
kepada beliau antaranya al-Dhahabi (t.t.) dalam Siyar al-A‘lam al-Nubala’ (j. 20, h. 287). Antara tokoh barat yang
memberikan pujian kepada beliau ialah Albert Jeom dan Karady (Muhammad Ramzi Omar, 2006, xxi).

Manakala Kitab al-Milal wa al-Nihal merupakan sebuah kitab yang cukup terkenal dalam bidang
perbandingan agama. Kitab ini telah dicetak oleh beberapa pencetak dan diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa.
Terjemahan terawal diketahui adalah pada tahun 1842 (Ahmad ‘Atiyyah Allah, 1976, j. 4, h. 176). Terjemahan
ke dalam bahasa Inggeris telah disempurnakan oleh A.K. Kazi and J.G. Flynn (1984) untuk bahagian berkenaan
dengan sektor agama. Manakala terjemahan ke dalam bahasa Perancis dilakukan oleh Danial Gimare (Wilferd
Madelung, 2001, h. 1). Terjemahan bahasa Indonesia dilakukan oleh Asywadie Syukur (2005) dan bahasa Melayu
oleh Muhammad Ramzi Omar (2006). Menurut Ahmad ’Atiyyah Allah (1976, j. 4, h. 176) kitab ini juga
diterjemahkan ke dalam bahasa Turki, bahasa German dan bahasa Parsi.

Ini membuktikan kedudukan kitab ini yang cukup bernilai pada pandangan para ilmuwan. Pun begitu, al-
Shahrastani menerima beberapa kritikan antaranya berkenaan dengan sumber beliau yang terhad oleh Professor
A. J. Arberry. Beliau menyatakan: “Ianya tidak lebih daripada campuran daripada petikan-petikan oleh penulis-
penulis terdahulu dengan susunan yang rambang dan tanpa aturan dihimpunkan sekali tanpa ada sedikitpun
penghargaan [terhadap penulis-penulis tersebut].” (A.K. Kazi and J.G. Flynn, 1984, h. 4). Begitu juga kritikan
daripada al-Razi dan diikuti oleh P. Kraus yang menyatakan kebergantungan al-Shahrastani terhadap beberapa
karya sahaja (Bruce B. Lawrence, 1976, h. 16). Kritikan yang sama turut dinyatakan oleh al-Kawthari Muhammad
Zahid (1997, h. 154). Keabsahan maklumat al-Shahrastani tentang agama Hindu dan Buddha juga turut
dipertikaikan oleh H. A. R. Gibb et. al.(1933, j.13, h. 426). Walaupun ia dikritik pada beberapa sudut tertentu,
namun itu tidak menjejaskan nilai ilmiahnya kerana karya ini menjadi antara rujukan utama sehingga kini.

III. METODE PAPARAN PERBAHASAN


Al-Shahrastani (2006, h. xxix) menyatakan terdapat dua teknik yang digunakan bagi memaparkan
perbahasan tentang agama:
i. Meletakkan persoalan yang dipegangi sebagai perkara pokok, kemudian membentangkan semua
pandangan mazhab tentang persoalan tersebut.
ii. Meletakkan tokoh-tokoh dan perintis-perintis aliran sebagai perkara pokok, kemudian membentangkan
mazhab mereka dalam beberapa persoalan .

Beliau (2006, h. xxix) telah menggunakan teknik yang kedua bersesuaian dengan pendekatan
perbandingan yang beliau gunakan iaitu Perbandingan Deskriptif. Al-Shahrastani telah memaparkan perbahasan-
perbahasan beliau dengan amat tersusun. Beberapa aspek yang diberikan penekanan oleh al-Shahrastani adalah
aspek pendefinisian bagi pemikiran dan agama yang dikaji. Seterusnya beliau akan memecahkan agama kepada
sektor-sektor utama dan menyatakan pemikiran-pemikiran mereka. Secara umum beliau hanya memaparkan
pemikiran tanpa memberi kritikan ke atas pemikiran tersebut atau memperjelaskan kesalahannya (Mahmud ‘Ali
Himayah, 2001, h. 163). Sehubungan dengan itu, Mahmud ‘Ali Himayah (2001, h. 172) dan Muhammad Azizan
(2000, h. 5) menyatakan bahawa beliau dilihat tidak bersikap fanatik atau kritis dalam mengemukakan pandangan
setiap aliran.

IV. SUMBER
Penghasilan al-Milal wa al-Nihal bersumberkan beberapa sumber asas iaitu sumber wahyu, karya para
ilmuwan dan sumber langsung seperti dialog dan penelitian. Pendekatan al-Shahrastani berkenaan dengan sumber
dan bahan rujukan beliau dalam penghasilan karya ini dapat diringkaskan kepada perkara-perkara berikut:
a. Ketepatan maklumat
Al-Shahrastani menekankan bahawa beliau telah melakukan ‘penukilan yang sempurna’ terhadap bahan-
bahan yang beliau kemukakan dalam al-Milal wa al-Nihal. Beliau (2001, h. 2-3) menyatakan: “Apa yang penulis

2 | Page
Metodologi Al-Shahrastani Dalam Al-Milal Wa Al-Nihal
lakukan dalam kitab itu (al-Milal) hanyalah sekadar memasukkan keseluruhan pandangan ke dalamnya,
melakukan penyusunan yang baik dan penukilan yang sempurna.”

Disamping itu, beliau juga menekankan bahawa beliau melakukan penelitian terhadap nukilan-nukilan
yang dipaparkan dalam kitab beliau agar ianya dinukilkan secara benar. Al-Shahrastani (2006, h. 439) menyatakan:
“Kami akan menyebut pandangan mereka sebagaimana yang kami temui dalam kitab-kitab mereka yang terkenal.”
Beliau beberapa kali menegaskan kecenderungan ini antaranya beliau menyatakan: “Penulis menukilkan
sebagaimana yang penulis dapati, walaupun dalam sesetengah kitab itu ada keterangan yang menunjukkan
pandangannya yang berbeza daripada nukilan yang dibuat oleh Thamistius dan dipegangi oleh Ibn Sina.” (Al-
Shahrastani, 2006, h. 324). Ketika membahaskan tentang para ahli hikmah beliau menegaskan: “Penulis telah
mengumpulkan maklumat berkaitan mereka (tujuh hukama’) secara kritis dan menyerahkan kepada pembaca
untuk membuat pilihan dan perbandingan antara generasi awal dan akhir.” (Al-Shahrastani, 2006, h. 256).

b. Kepelbagaian sumber
Al-Shahrastani (2006, h. xxiii) dalam muqaddimahnya telah menyatakan bahawa beliau telah “mengenal
pasti sumber-sumber rujukan dan punca-puncanya serta mendapatkan maklumat-maklumat yang berharga serta
jarang diketahui.” Kepelbagaian sumber pada al-Shahrasatani dapat dilihat daripada dua sudut:
1. Al-Shahrastani mempelbagaikan bentuk sumber beliau samada daripada pembacaan karya-karya yang
dihasilkan dan juga daripada pergaulan beliau dengan golongan masyarakat yang pelbagai dengan
pengamatan, perbincangan dan perdebatan. Al-Shahrastani turut mencatitkan interaksi beliau dengan
pelbagai lapisan masyarakat yang menjadi sumber kepada karya beliau.
2. Al-Shahrastani memperbanyakkan rujukan bagi satu-satu tajuk yang diperbahaskan. Ini sudah pasti akan
menguatkan hujah beliau. Sebagai contoh dalam membincang pandangan Aristotles beliau menyatakan:
Inilah sebahagian perbincangan Aristotles yang kami terbitkan dari pelbagai rujukan. Kebanyakannya
diperoleh melalui huraian yang dibuat oleh Thamistius dan Syekih Ibn Sina yang sangat taksub kepadanya
dan menguatkan mazhabnya dengan tidak memetik kata-kata ahli falsafah silam kecuali melalui kata-
kata Aristotles.” (Al-Shahrastani , 2006, h. 323).

c. Penyataan sumber
Al-Shahrastani pada beberapa tempat dilihat begitu teliti menyatakan sumber beliau. Sebagai contoh,
beliau (2006, h. 309) menyatakan: “Dalam buku Aristotles bertajuk Atologia, bab Huruf Lama beliau menyatakan:
“...dikatakan bahawa jauhar terbahagi kepada tiga bentuk...” Begitu juga kata-kata beliau (2006, 258): “Dalam
Taurat, pada sifir yang pertama ada disebut....” Namun begitu, pada beberapa tempat, beliau (2006, h. 198)
menyatakan sumber yang mubham seperti “sekumpulan ahli kalam melaporkan....” Secara umum, kebanyakan
nukilan al-Shahrastani tidak diberikan penyataan sumber yang spesifik dan jelas.

Sumber wahyu islami menjadi asas perbahasan dan penghujahan al-Shahrastani. Beliau dilihat banyak
menggunakan ayat-ayat daripada Quran sebagai keterangan dan hujah dalam banyak perbahasan beliau. Walaupun
penulisan beliau dikategorikan sebagai ringkas tetapi al-Shahrastani dilihat mengutamakan keterangan Quran (al-
Shahrastani, 2006, h. xxxiii, xxxiv, xxxv, xxxviii, ivii, , 2, 3, 98, 99, 107, 109, 121,109).

Hadis Nabi SAW juga dilihat mendasari perbahasan al-Shahrastani khususnya dalam pembahagian agama-agama
dan sektor-sektornya. Beliau telah melakukan pembahagian agama dan alirannya berasaskan kepada Hadis Nabi
SAW yang menyatakan perpecahan umat Yahudi, Kristian dan Islam kepada beberapa kumpulan. Dari sudut
pemaparan sanad Hadis, al-Shahrastani dilihat tidak membawakan sanad Hadis bagi semua Hadis yang
diriwayatkan. Penghujahan beliau menggunakan Hadis dilakukan tanpa membahaskan sudut periwayatan Hadis
tersebut walaupun dalam perkara yang kritikal dan penting seperti Hadis yang menjadi asas pembahagian sektor-
sektor (firaq) dalam Islam kepada jumlah tertentu (Al-Shahrastani, 2006, h. xxvi). Namun begitu, kedapatan juga
Hadis yang disandarkan oleh al-Shahrastani (2006, xxxix) kepada periwayat yang paling atas (rawi a’la) dan
periwayatnya: “Perbalahan pertama yang berlaku ketika Rasulullah SAW sakit seperti yang diriwayatkan oleh
Imam Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari dengan sanadnya daripada ‘Abd Allah bin Mas‘ud....”

Al-Shahrastani (2006, 5) juga didapati memberikan hukum ke atas sebahagian Hadis yang dinyatakan. Sebagai
contoh beliau menghukumkan sahih bagi Hadis “Puak Qadariyyah adalah Majusi umat ini”. Al-Shahrastani (2006,
h. 1) turut mengungkapkan istilah Hadis Masyhur yang dilabelkan kepada Hadis Jibrail berkenaan dengan Islam,
Iman dan Ihsan.

3 | Page
Metodologi Al-Shahrastani Dalam Al-Milal Wa Al-Nihal
Al-Shahrastani juga memberikan tumpuan beliau terhadap kitab-kitab suci agama lain, antaranya Perjanjian
Lama.1 Al-Shahrasatani (2006, h. 154) mengakui keistimewaan Taurat sebagai kitab pertama yang diturunkan dari
langit. Beliau (2006, h. 156) juga menyatakan bahawa Taurat telah diselewengkan oleh orang Yahudi sama ada
dalam bentuk penulisan atau pentafsirannya. Justeru itu, tumpuan al-Shahrastani (2006, 156-157) dalam meneliti
Perjanjian Lama tertumpu kepada kandungannya yang tidak bertentangan dengan agama Islam ataupun
kandungannya yang menguatkan hujah orang Islam terhadap golongan Ahli Kitab khususnya masalah kerasulan
Muhammad SAW.

Al-Shahrastani juga turut meneliti Kitab Perjanjian Baru2. Ketika menjelaskan tentang pandangan Islam terhadap
Injil, beliau (2006, h. 151) menyatakan: “Orang-orang Islam telah menerangkan bahawa kedua-dua kumpulan ini
[Yahudi dan Kristian] bertanggungjawab melakukan perubahan dan penyelewengan [terhadap Taurat dan Injil].”
Justeru itu, tumpuan al-Shahrastani dalam meneliti kenyataan-kenyataan Perjanjian Baru – sama seperti Perjanjian
Lama – tertumpu kepada kandungannya yang tidak bertentangan dengan agama Islam ataupun kandungannya yang
menguatkan hujah orang Islam khususnya kerasulan Muhammad SAW. Beberapa kenyataan al-Shahrastani (2006,
h. xxxi ) menunjukkan beliau mendalami Gospel yang empat: Gospel Luke, Mark, John dan Matthew.

Selain daripada itu, al-Shahrastani memperbanyakkan nukilan daripada karya-karya yang dihasilkan oleh para
ilmuwan terdahulu. Sebahagian daripadanya dinyatakan dengan jelas nama pengarang serta karya dan
sebahagiannya tidak diperjelaskan. Antaranya al-Maqalat karya Abu al-Qasim, ‘Abd Allah bin Ahmad bin
Mahmud al-Ka‘bi (273-319H), Fadihah al-Mu‘tazilah oleh al-Husayn Ibn al-Rawandi, karya Abu al-Hassan ‘Ali
bin Isma‘il bin Ishaq al-Ash‘ari (260-324H) sebagai sumber bagi golongan Syiah dan Khawarij, al-Farq Bayn al-
Firaq karya Abu Mansur ‘Abd al-Qahir bin Tahir al-Bahgdadi (w.429), al-Tabsir fi al-Din karya al-Isfirayini, karya
Sijistani bagi bahan yang berkaitan dengan ahli falsafah kuno, karya Jahiz bagi bahan yang berkaitan dengan Arab
kuno, Risalah Socrates kepada penduduk Apino, Fadzan karya Socrates, Metafizik karya Aristotles, Atologia karya
Aristotles, karya Korpas, karya Thamistius, al-Najah karya Ibn Sina, Kitab Shabirqan karya Mani.

V. SKOP KAJIAN
Secara keseluruhannya, perbahasan al-Shahrastani lebih tertumpu kepada aspek pemikiran dan idelogi. Secara
lebih khusus lagi beliau lebih banyak menumpukan aspek ketuhanan yang dikemukakan oleh agama-agama dan
sektor-sektor yang dikemukakan. Namun begitu, terdapat juga perbahasan beliau yang menyentuh sedikit tentang
aspek syariat (al-Shahrastani, 2006, h. 193-194, 197, 252, 198, 275, 272, 418-419, 424, 435), geografi (al-
Shahrastani, 2006, h. 199, 279, 416-418) dan rumah ibadat.

VI. PEMBAHAGIAN AGAMA DAN SEKTOR


Metodologi al-Shahrastani dalam melakukan pembahagian agama dan sektor (firaq) dapat diringkaskan kepada
beberapa perkara:
a. Al-Shahrastani secara dasarnya telah membuat pembahagian agama dan sektornya berasaskan kepada
Hadis Nabi SAW:
“Rasulullah SAW bersabda: Umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga puak, yang
terselamat daripadanya hanya satu, sementara selebihnya adalah binasa. Baginda
ditanya: Siapakah yang selamat itu? Sabdanya: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Baginda
ditanyakan: Apakah erti Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Baginda Menjawab: Apa yang
dipegangi olehku hari ini dan para sahabatku”

b. Al-Shahrastani membahagikan kumpulan Islam kepada empat golongan berdasarkan penaakulannya


sendiri:
1. Al-Qadariyyah
2. Al-Sifatiyyah
3. Al-Khawarij
4. Syiah (Al-Shahrastani, 2006, h. xxix)

Dari empat kumpulan ini beliau melakukan klasifikasi tersendiri bagi mencukupkan bilangan sebanyak 73
kumpulan: “Kami berjaya mencukupkan kumpulan Islam sebanyak 73 kumpulan. Sementara kumpulan yang
terkeluar daripada agama Hanif, hanya kami sebutkan yang termasyhur dan paling dikenali prinsip dan
kaedahnya.” (Al-Shahrastani, 2006, h. xxxi, dan liv)

1
Al-Shahrastani menggunakan istilah Taurat bagi merujuk kepada kitab suci Yahudi yang telah
diselewengkan.
2
Al-Shahrastani menggunakan istilah Injil bagi merujuk kepada kitab suci Kristian yang telah
diselewengkan.
4 | Page
Metodologi Al-Shahrastani Dalam Al-Milal Wa Al-Nihal

c. Menurut Bruce B. Lawrence (1976, h. 16-17), al-Shahrastani telah membahagikan kumpulan-kumpulan


bukan Muslim kepada empat kategori juga:
1. Ahli Kitab iaitu Yahudi dan Nasrani.
2. Mereka yang memiliki mirip kitab seperti Magians dan Mani.
3. Mereka yang patuh kepada undang-undang tanpa mempunyai kitab seperti golongan Sabi’in.
4. Mereka yang tidak memiliki kitab dan tidak juga undang-undang seperti ahli falsafah materialistik,
penyembah berhala dan bintang serta golongan Brahman.

d. Al-Shahrastani juga turut melakukan satu lagi pembahagian di pertengahan kitab ketika membahaskan
tentang pengikut hawa nafsu dan pelbagai ideologi dengan menggabungkan orang Islam dan bukan Islam kepada
enam kategori:
1. Dikalangan manusia ada yang tidak menerima perkara yang ditanggai deria dan diterima akal.
Mereka ialah kumpulan Sophiste.
2. Ada yang menerima perkara yang ditanggapi deria tetapi tidak menerima perkara yang hanya
diterima melalui akal. Mereka ialah kumpula Tabi‘iyyah (Deisme).
3. Ada yang menerima perkara deria dan akal tetapi tidak menerima hudud dan hukum-hakam. Mereka
ialah golongan ahli falsafah Dahri.
4. Ada yang menerima deria, akal, hudud dan hukum –hakamnya tetapi tidak menerima syariat dan
Islam. Mereka ialah kumpulan Sabi’ah.
5. Ada yang menerima kesemua ini dan menerima sesuatu syariat tetapi tidak menerima syariat Nabi
Muhammad SAW Mereka ialah golongan Majusi, Yahudi dan Nasrani.
6. Ada yang menerima kesemua yang disebutkan. Mereka ialah orang-orang Islam (Al-Shahrastani,
2006, 201-202)

VII. METODE PENGUMPULAN DATA


Al-Shahrastani telah menggunakan beberapa metode bagi tujuan pengumpulan data, antaranya metode
perpustakaan dan dokumentasi. Al-Shahrastani tidak dengan jelas menyatakan beliau menggunakan mana-mana
perpustakaan. Namun begitu, berdasarkan penelitian terhadap sumber-sumber dalam al-Milal menunjukkan al-
Shahrastani sudah pastinya menggunakan metode ini bagi mendapatkan maklumat daripada karya-karya yang
pelbagai. Perkara ini bukan suatu yang sukar kerana pemerintah pada zaman tersebut memberikan penekanan
terhadap aspek ilmu pengetahuan dengan membina sekolah dan perpustakaan. Beberapa orang pemerintah
mempunyai perpustakaan sendiri dengan koleksi-koleksi buku yang pelbagai dan bernilai (Amin Ahmad, 1955, j.
1, h. 269). Al-Shahrastani telah menggunakan karya-karya yang cukup banyak sebagai bahan beliau dalam
perbahasan berkenaan dengan agama. Beliau telah berjaya menggabungkan pelbagai bentuk sumber dokumentasi
dalam menyempurnakan kajian beliau.

Al-Shahrastani menggunakan metode sejarah dalam membuat pengumpulan maklumat terhadap sejarah pemikiran
dan agama yang telah wujud seawal kewujudan manusia. Sebagai contoh beliau menggunakanmetode ini bagi
mengumpulkan data tentang perkembangan falsafah Yunani (Al-Shahrastani, 2006, h. 253-346).

Sebagai seorang yang berkecimpung dalam falsafah, al-Shahrastani telah menggunakan metode dialog dalam
hubungan beliau dengan para ilmuwan lain. Secara khusus dalam al-Milal wa al-Nihal, beliau menyatakan
perbincangan atau perdebatan beliau dengan kumpulan seperti Batiniyyah (Al-Shahrastani, 2006, h. 138) Justeru
itu, metode ini juga digunakan oleh al-Shahrastani sebagai salah satu metode normatif dalam kajian beliau.

VIII. METODE ANALISA DAN PENGOLAHAN DATA


Al-Shahrastani telah menggunakan beberapa metode dalam menganalisa dan mengolah data beliau:

Metode Induktif
Metode induktif ialah satu cara penganalisaan data dengan membuat kesimpulan dari perkara-perkara yang bersifat
khusus untuk sampai kepada satu kesimpulan yang bersifat umum. Habannakah (2002, h. 188) menerangkan
bahawa “pemikiran induktif bergerak daripada yang tertentu kepada yang umum. Ia juga merupakan kaedah
pemikiran yang bergerak daripada satu set pengamatan yang khusus kepada penerokaan tentang suatu bentuk
yang mewakili sebahagian tahap atau kedudukan sesuatu cara.”(Earl Babbie, 1998, h. 22).

Al-Shahrastani menggunakan metode ini bagi membuat rumusan berkenaan dengan penelitian beliau terhadap
beberapa agama yang dikaji. Sebagi contoh beliau menyatakan: “Pada setiap kaum dan umat terdapat golongan
5 | Page
Metodologi Al-Shahrastani Dalam Al-Milal Wa Al-Nihal
seperti kumpulan Ibahiyyah, Muzdakiyah, Zanadiqah dan Qaramitah di mana setiap agama tercemar oleh kerana
mereka. Begitu juga terjebaknya manusia dalam fitnah adalah berpunca daripada mereka.” (Al-Shahrastani, 2006,
h. 182).

Metode Deduktif
Metode Deduktif ialah cara berfikir yang mencari rumusan dengan berdasarkan kepada dalil-dalil yang bersifat
umum untuk sampai kepada dalil-dalil yang bersifat khusus. Earl Babbie (1998, h. 23) menerangkan tentang
metode ini sebagai “bergerak daripada umum kepada khusus. Ianya bergerak daripada bentuk yang mungkin
berlaku dari segi logik dan teori kepada pengamatan yang menguji samada bentuk yang dijangka itu benar-benar
terjadi.”

“Ianya memerlukan proses penaakulan tinggi yang mana suatu pengkajian itu akan dimulakan dengan melihat
kepada hukum-hukum tertentu dan dari situ ianya cuba diaplikasikan kepada perkara-perkara yang dikaji”. Ianya
dimulakan dengan suatu yang umum dan bersifat generalisasi dan kemudiannya diikuti dengan contoh-contoh.
(Ismaiza Ismail et al., 2001, j.5, h. 62).

Al-Shahrastani menggunakan metode ini dengan kerap bagi menilai dan melakukan penghujahan terhadap
pandangan dan pemikiran dalam agama lain berasaskan kepada ketetapan dalam al-Quran al-Karim. Sebagai
contoh, beliau telah membahaskan kepercayaan triniti di kalangan orang Nasrani berasaskan kepada firman Allah
Taala Surah al-Ma’idah: 73 (Al-Shahrastani, 2006, h. 166).

Metode Perbandingan
Metode perbandingan atau komparatif ialah cara membuat kesimpulan dengan melakukan perbandingan diantara
dua atau lebih data atau fakta yang diperolehi dengan adil dalam masa penelitian (Abdul Halim Hj. Mat Diah,
1987, h. 136).

Secara dasarnya perbandingan yang dilakukan oleh al-Shahrastani adalah merupakan Perbandingan Deskriptif
terhadap agama dan pemikiran yang dikaji. Namun begitu, tidak dapat dinafikan wujudnya Metode Perbandingan
Normatif dalam analisis perbandingan beliau. Perbahasan-perbahasan dalam pecahan berikut akan
memperjelaskan lagi metode perbandingan yang beliau gunakan:

a. Metode Perbandingan Deskriptif


Deskriptif ditakrifkan sebagai penghuraian berbentuk pernyataan terhadap aspek tertentu bagi agama yang
berbeza. Dr. Alwi (1999, h. 46) menyatakannya sebagai “menguraikan secara komprehensif aspek-aspek
kesejarahan, struktur, doktrin dan lain-lain elemen tanpa terlibat dalam pemberian penilaian (value judgment).”
(Mohd Faizal Abdul Khir, 2012, h. 132).

Secara asasnya karya ini dihasilkan berasaskan kepada Metode Perbandingan Deskriptif dan bukannya
Perbandingan Normatif. Al-Shahrastani turut menyatakan beliau menyediakan medan yang lain bagi tujuan
perdebatan dan perbincangan yang berasaskan kepada Metode Normatif. Beliau menyatakan: “Penulis ada menulis
sebuah buku yang berasingan memuatkan kekeliruan-kekeliruan yang ditimbulkan oleh Aristotles dan penerimaan
(pemikirannya) oleh Ibn Sina. Penulis menolak kekeliruan itu mengikut kaedah ilmu mantiq. Silakan membaca
buku ini.” (Al-Shahrastani, 2006, h. 337).

Al-Shahrastani dalam melakukan perbandingan antara agama-agama dan pemikiran-pemikiran telah membuat
penelitian terhadap maklumat tentang aliran-aliran yang dikaji, persamaan dan perbezaan antara agama-agama
yang pelbagai. Pengamatan ini memberikan maklumat yang jelas kepada pembaca tentang hubung kait antara
agama dan pemikiran yang dibandingkan.

Menyatakan Persamaan
Al-Shahrastani turut menganalisis persamaan antara agama-agama yang pastinya memberikan lebih kefahaman
kepada para pengkaji. Antaranya beliau (2006, h. 168) menyatakan: “Mazhab yang paling mirip dengan mazhab
Nastur tentang konsep aqnum ialah konsep hal pada Abu Hashim dalam kalangan Muktazilah yang mana beliau
telah menetapkan berbagai ciri bagi sesuatu yang satu.” Beliau turut memberikan pandangan beliau terhadap
persamaan-persamaan dalam agama Kristian: “Penganut akidah tiga tunggal kesemuanya bersepakat bahawa yang
qadim tidak harus bersatu dengan yang baharu akan tetapi aqnum kedua iaitu kalimah telah bersatu tanpa aqnum-
aqnum yang lain. Mereka semua bersepakat al-Masih a.s. dilahirkan daripada Maryam a.s., dibunuh dan disalib
(Al-Shahrastani, 2006, h. 170). Kemudian mereka berselisih tentang cara kelahiran dan keadaan kelahiran itu dari
sudut ketuhanan dan kemanusiaanya.(Al-Shahrastani, 2006, h. 170-171).

6 | Page
Metodologi Al-Shahrastani Dalam Al-Milal Wa Al-Nihal
Menyatakan perbezaan
Al-Shahrastani turut menyatakan perbezaan yang terdapat dalam agama-agama. Sebagai contoh beliau
menyatakan bahawa perbezaan antara golongan Thanawi (dualisme) dan Majusi ialah “mereka (Thanawi)
mendakwa nur (cahaya) dan kegelapan adalah qadim. Ini berlainan dengan pegangan orang Majusi yang
mengatakan kegelapan adalah baharu dan menerangkan sebab baharunya.” (Al-Shahrastani, 2006, h. 190).
Perbezaan yang dikemukakan mampu menampakkan kelaianan antara pandangan-pandangan yang hampir sama
khususnya bagi sektor-sektor dalam agama yang sama.

b. Metode Perbandingan Normatif


Alwi Shihab (1999, h. 47) mendefinisikan Metode Perbandingan Normatif sebagai ‘‘upaya untuk menjelaskan
sebuah agama dengan menitikberatkan kebenaran doktrinal, keunggulan sistem nilai, otentisitas teks serta
fleksibilitas ajarannya sepanjang masa.” Metode ini menekankan aspek pembentangan hujah yang mana hujah
tersebut merupakan suatu yang positif dalam mendokong kebenaran ajaran sesuatu agama di samping
mempernampakkan aspek negatif atau kekurangan dalam agama yang lain sekaligus menolak ajaran agama
tersebut.

Sehubungan dengan itu dapat disimpulkan bahawa Metode Perbandingan Normatif merupakan metode
perbandingan yang berbentuk penghujahan terhadap agama lain. Ia merupakan metode yang bertentangan dengan
Metode Perbandingan Deskriptif. Perbezaan yang jelas antara kedua-dua metode ini adalah aspek penghujahan
yang mendasari Metode Normatif dan ditinggalkan dalam Metode Deskriptif. (Mohd Faizal A. K., 2012).

Sebahagian sarjana memperincikan kefahaman terhadap metode ini dengan meletakkan klasifikasi tertentu bagi
metode ini. Charles, J Adam dalam Islamic Religion Tradition mengklasifikasikan Metode Normatif kepada tiga
iaitu Pendekatan Misionaris Tradisional, Pendekatan Apologetik dan Pendekatan Irenik (Muhammad Latif Fauzi,
2007).

Walaupun karya ini dihasilkan secara asasnya atas Metode Perbandingan Deskriptif, namun al-Shahrastani masih
juga melakukan kritikan dan penghujahan terhadap beberapa pemikiran dan agama yang dibahaskan. A.K. Kazi
(1984, h. 7) menyatakan: “Kadang-kadang beliau (al-Shahrastani) memberikan kritikan ringkas.” Muhammad
Azizan bin Sabjan (2000, h. 4-5 dan h. 25) turut menyatakan bentuk perbincangan yang dilakukan oleh al-
Shahrastani:
“Berkenaan dengan pemaparan isu yang perlukan perdebatan, beliau terus pergi
kepada butiran utama, mencatatkan hujah-hujah lawan dan kemudiannya
memberikan hujah balas terhadap mereka [bagi membatalkan hujah lawan] dengan
caranya yang jelas dan pembentangannya yang mantap”

Al-Shahrastani sendiri turut mengungkap kata-kata beliau yang menunjukkan beliau tidak lekang daripada menjadi
seorang penghujah: “Mematahkan hujah lawan dengan menggunakan ungkapan yang digunakan oleh lawan adalah
hujah yang sangat kuat dan metode yang sangat jelas.” (Al-Shahrastani, 2006, h. 248)

Bentuk kritikan dan penghujahan yang digunakan oleh al-Shahrastani adalah:

Kritikan Tekstual
Al-Shahrastani telah melakukan kritikan terhadap keabsahan teks agama-agama lain. Sebagai contoh beliau telah
mengkritik Paul: “Tetapi Paul telah melangkaui tugasnya dan menjadikan dirinya sebanding dengannya (Isa a.s.)
dan menukarkan maksud-maksud ucapannya serta mencampuradukkan dengan kata-kata para ahli falsafah dan
lintasan-lintasan yang timbul dalam dirinya.”(Al-Shahrastani, 2006, h. 165). Walaupun kenyataan ini dilihat benar
oleh sesetengah pihak sepertimana kenyataan Jeffrey J. Butz (2005, h. xii), namun ia merupakan kenyataan
berbentuk normatif yang bertentangan dengan metode deskriptif yang menjadi asas kepada penulisan al-Milal. Al-
Shahrastani turut memberikan komentar beliau terhadap beberapa kenyataan-kenyataan dalam kitab suci yang
bertentangan dengan ajaran Islam. (al-Shahrastani, 2006, h. 159, 166, 167).

Kritikan Teologi
Al-Shahrastani turut melakukan kritikan terhadap beberapa aspek kepercayaan. Ketika membahaskan tentang
agama Majusi, beliau memberikan kritikan terhadap kepercayaan dalam agama Majusi tentang berlakunya
peperangan dan perjanjian antara Tuhan dan Iblis:
“Penulis tidak menyangka ada orang yang berakal boleh beriktikad sedemikian atau
menganggap cerita ini sebagai satu simbol kepada sesuatu keputusan yang difikirkan
oleh akal. Orang yang mengenali Allah dengan sifat KeagunganNya dan
7 | Page
Metodologi Al-Shahrastani Dalam Al-Milal Wa Al-Nihal
KebesaranNya sama sekali tidak membenarkan cerita karut ini berkisar dalam
fikirannya atau menusuk pendengarannya” (Al-Shahrastani, 2006, 181).

Penghujahan bahasa
Al-Shahrastani turut menggunakan penghujahan berasaskan kepada penggunaan bahasa. Penghujahan ini dapat
dilihat dengan jelas sebagaimana beliau berhujah dengan memperjelaskan bahawa makna bapa yang dinisbahkan
kepada Tuhan bukan merupakan bapa yang hakiki tetapi bapa majazi (metafora). Contoh yang dikemukakan ini
menunjukkan bahawa al-Shahrastani menerima konsep takwil dalam struktur dan pemaknaan bahasa. Beliau
menyatakan hujah mereka daripada Gospel: Sesungguhnya engkaulah anakKu yang tunggal. Begitu juga kata-kata
Sham‘un al-Safa: Sesungguhnya engkau adalah anak Allah sebenarnya. Kemudian beliau menyatakan:
“Kemungkinan apa yang disebutkan itu adalah aspek majaz (metafora) pada bahasa seperti dikatakan kepada
mereka yang menuntut dunia sebagai anak-anak dunia dan mereka yang menuntut akhirat sebagai anak-anak
akhirat.” (Al-Shahrastani 2006, h. 167). Seterusnya dibawakan tiga kenyataan Gospel yang membuktikan kata-
kata beliau (Al-Shahrastani, 2006, h. 167):
“Cintailah musuh-musuhmu dan berkatilah para pelaknatmu, berbuat baiklah kepada mereka yang
membencimu, berdoalah untuk mereka yang menyakitimu supaya kamu menjadi anak-anak bapa
kamu yang berada di langit......” (Gospel Mark 5: 44-46)

“Perhatikanlah pemberian-pemberian kamu, maka janganlah kamu berikannya di hadapan manusia


untuk menunjuk-nunjuk kepada mereka, lantaran itu untuk kamu tidak akan mendapat ganjaran di
sisi bapa kamu yang berada di langit” (Gospel Mark 6: 1).

“Aku akan pergi kepada bapaku dan bapa kamu.” (Gospel John 20: 17).

IX. KESIMPULAN
Kajian ini telah memperlihatkan metodologi yang diaplikasikan oleh al-Shahrastani dalam karya beliau al-Milal
wa al-Nihal. Metodologi yang difokuskan ialah berkaitan penulisan dan metode kajian beliau dalam Perbandingan
Agama.

Beliau boleh dikategorikan sebagai seorang yang berpegang dengan nas wahyu. Quran dan Hadis menjadi sumber
dan sandaran utama dalam perbahasan beliau. Secara khususnya, Hadis Nabi SAW menjadi asas sandaran kepada
pembahagian agama-agama utama iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Bilangan yang dikemukakan dalam Hadis
mempunyai signifikan yang tersendiri sebagaimana bilangan yang ada dalam Quran. Justeru itu, al-Shahrastani
dilihat berpegang teguh dengan pembahagian sektor (firaq) berasaskan kepada bilangan yang dikemukakan dalam
Hadis. Di samping itu, beliau juga mengambil maklumat daripada sumber-sumber agama lain dan karya para
ilmuan dalam pelbagai agama dan bidang.

Dalam melakukan kajian terhadap agama, aspek yang cukup penting untuk diberikan perhatian adalah sumber
kepada maklumat terhadap agama yang dikaji. Al-Shahrastani telah menunjukkan kemampuan beliau dalam
memastikan keabsahan maklumat yang dikemukakan. Beliau juga telah menggunakan sumber primer dengan
sebaiknya bagi memastikan ketulenan data.

Tumpuan al-Shahrastani terhadap aspek kepercayaan sahaja wajar disempurnakan oleh para pengkaji terkemudian
dengan turut sama mengkaji aspek-aspek lain dalam agama seperti aspek peribadatan, muamalat, perkahwinan,
budaya, adat resam dan aspek-aspek kemanusiaan yang lain. Ini adalah kerana aspek-aspek tersebut sebenarnya
memberikan pandangan yang lebih menyeluruh terhadap agama dan penganutnya.

Walaupun al-Shahrastani meletakkan Metode Perbandingan Deskriptif sebagai asas perbandingan, namun beliau
turut juga mengaplikasikan Metode Perbandingan Normatif dengan mengemukakan beberapa kritikan terhadap
beberapa isu yang dianggap kritikal untuk diberikan penjelasan dan kritikan. Sewajarnya sebagai seorang muslim,
Metode Perbandingan Normatif seharusnya dipraktikkan walaupun dalam bentuknya yang tersirat. Memasukkan
unsur-unsur analisis dan kritikan menjadikan metodologi al-Shahrastani berbeza dengan metodologi al-Biruni
Muhammad bin Ahmad (1983, h. 16) dalam karya beliau Tahqiq Ma Li al-Hind Min Maqulah Maqbulah fi al-‘Aql
aw Mardhulah. Metode Perbandingan Deskriptif yang diaplikasi oleh al-Shahrastani dapat diklasifikasikan
sebagai Metode Perbandingan Deskriptif Analisis.

PENGHARGAAN
Jutaan penghargaan kepada Prof. Madya Dr. Khadijah Hambali yang telah membuka ruang yang luas kepada
penulis untuk memahami Metode Perbandingan dalam pengajian agama-agama.

8 | Page
Metodologi Al-Shahrastani Dalam Al-Milal Wa Al-Nihal
RUJUKAN
[1] Muhammad Diya’ al-Rahman al-A‘zami, Dirasat fi al-Yahudiyyah wa al-Nasraniyyah wa Adyan al-Hind, c. 2, (Madinah: Maktabah
al-Rush, 2003).

[2] Amarjit Singh Sethi et. al., Comparative Religion (New Delhi: Vikash Publishing House, 1979).

[3] Howard G. Schineiderman, Ideology, Social Constructionism, and the Sociology of Religion. In Cipriani, Roberto (Eds.) Sociology
of Religion. Translated by Laura Ferrarotti. (New York: Walter de Gruyter, 2015) .

[4] Eric J. Sharpe, Comparative Religion: A History (London: Gerald Duckworth and Company Ltd, 1975).

[5] Mohd Faizal Abdul Khir, Siti Nurleha, Saffie, Scientific Study of Religions: Critical Analysis on Western Scholarship, International
Journal of Business and Social Science, IOSR Journals, Vol. 6, No. 8(1); August 2015.

[6] Daniel Boscaljon, Secularization and the Loss of Love in Bunyan’s Pilgrim’s Progress. Religions, 4, 2013, 669–686.

[7] Al-Faruqi Raji, Meta-Religion: Towards A Critical World Theology. American Journal of Islamic Social Sciences, vol.3, no.1,
1986, p. 14.

[8] Muhammad Azizan bin Sabjan, Shahrastani on the People of The Book, master diss, ISTAC, UIA, 2000.

[9] A.K. Kazi and J.G. Flynn, Introduction, in Al-Shahrastani Muhammad bin ‘Abd al-Karim, Muslim Sects and Divisions : the Section
on Muslim Sects in Kitab al-Milal wa al-Nihal, A.K. Kazi and J.G. Flynn (trans.), (London : Kegan Paul International, 1984)

[10] Bruce B. Lawrence, Shahrastani on the Indian Religions (The Hague : Mouton,1976).

[11] Al-Dhahabi, Siyar al-A‘lam al-Nubala’ (al-Maktabah al-Shamilah 3.28).

[12] Muhammad Ramzi Omar, Pendahuluan, dalam al-Shahrastani Muhammad bin ‘Abd al-Karim, Agama dan Ideologi, Muhammad
Ramzi Omar (terj.), (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusataka 2006).

[13] Ahmad ‘Atiyyah Allah, al-Qamus al-Islami (Kaherah: Maktabah al-Nahdah, 1976).

[14] Wilferd Madelung, Introduction dalam Al-Shahrastani, Strunggling with the Philosopher. Wilferd Madelung (ed.), (London: I.B.
Taurus Publishers, 2001).

[15] Al-Kawthari Muhammad Zahid, Muqaddimat al-Imam al-Kawthari (Dimashq: Dar al-Thurayya, 1997).

[16] H. A. R. Gibb et al, Da`irah al-Ma’arif al-Islamiyyah, Muhammad Thabit Alfandi (terj.), (T.T.P.: T.P. 1933).

[17] Mahmud ‘Ali Himayah, Ibn Hazm: Biografi, Karya dan Kajiannya tentang Agama-agama, Halid Alkaf (terj.), (Jakarta: Pt Lentera
Basritama, 2001)

[18] Al-Shahrastani Muhammad bin ‘Abd al-Karim, Agama dan Ideologi, Muhammad Ramzi Omar (terj.), (Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pusataka 2006).

[19] Amin, Ahmad, Zuhr al-Islam, (Kaherah: Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah, 1955).

[20] Habannakah, ‘Abd al-Rahman, Dawabit al-Ma‘rifah, c.6, (Damshiq: Dar al-Qalam, 2002).

[21] Earl Babbie, The Basic of Social Research (U.S.A.: Wadsworth Publishing Company, 1998).

[22] Ismaiza Ismail et al., Ensiklopedia Global, (Kuala Lumpur: SmartGenie, 2001).

[23] Quran al-Karim.

[24] Abdul Halim Hj. Mat Diah, Suatu Contoh Tentang Huraian Metodologi (Kuala Lumpur: Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya, 1987).

[25] Dr. Alwi Shihab, Islam Inklusif Menuju Sikap Terbuka Dalam Beragama, c. 6, (Bandung: Penerbit Mizan, 1999).

[26] Mohd Faizal Abdul Khir.. Metode Perbandingan Deskriptif Dalam Perbandingan Agama: Suatu Analisis Terhadap Metode al-
Quran. Centre of Quranic Research International Journal, University Malaya, v. 2, 2012, h. 131-146.

[27] Muhammad Latif Fauzi (2007), Pendekatan Normatif dan Deskriptif dalam Studi Islam (Telaah atas Karya Charles J. Adams)
Center For Islamics Studies - Pusat Studi Islam 1-7. http://cfis.uii.ac.id/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=32. Diakses pada 15
Mei 2016.

[28] Jeffrey J. Butz, The Brother of Jesus and The Lost Teaching of Christianity (USA: Lake Book Manufacturing, 2005).

[29] Gospel Mark

[30] Gospel John


9 | Page
Metodologi Al-Shahrastani Dalam Al-Milal Wa Al-Nihal
[31] Al-Biruni Muhammad bin Ahmad, Tahqiq Ma Li al-Hind Min Maqulah Maqbulah fi al-‘Aql aw Mardhulah (Beirut: ‘Alam al-
Kutub, 1983).

10 | Page

View publication stats

You might also like