You are on page 1of 10

Petempatan boleh didefinisikan sebagai tempat tinggal manusia yang didiami oleh

manusia secara tetap dengan cara yang berbagai-bagai. Petempatan terdiri daripada pelbagai

jenis seperti petempatan secara berkelompok, berselerak, berjajar dan lain-lain. Kebanyakan

petempatan di Pekan Kanowit terdiri daripada petempatan berkelompok. Nama Kanowit berasal

daripada nama kumpulan etnik yang menetap di sepanjang sungai Kanowit pada awalnya.

Kumpulan etnik tersebut telah menerapkan budaya yang serupa dengan etnik Melanau . Oleh itu,

mereka juga disebut sebagai Melanau Kanowit. Mereka mempunyai sistem sosial mereka sendiri

misalnya golongan bangsawan, kelas menengah, dan hamba. Rumah mereka setinggi 40 kaki,

walaupun rumah-rumah seperti itu tidak lagi wujud hari ini.

Jumlah penduduk di Pekan Kanowit yang direkod pada tahun 1960 adalah seramai 1,555.

Bilangan penduduk ini telah meningkat sebanyak 13% kepada 1,720 pada bulan Ogos 1970, di

mana 72.7% daripadanya adalah terdiri daripada orang Cina dan 18.1% adalah orang Melayu.

Dalam kalangan orang Cina, Hokkien menyumbang 48.8% populasi, diikuti oleh Cantonis

bersamaan dengan 21.4%, dan Foochow adalah 20.1%. Penduduk Iban pula merangkumi 6.5%

populasi. Sehingga tahu 2015, penduduk di daerah Kanowit termasuk Pekan Kanowit didiami

majoriti orang Iban diikuti oleh orang Cina, orang Melayu dan juga sebilangan orang Melanau.

Penduduk asli ini telah menetapkan nama pekan ini sebagai Kanowit selepas mereka menjadi

penduduk terawal di sepanjang sungai Kanowit. Beberapa orang Kanowit masih tinggal di

Kampung Bedil hari ini yang masih mempunyai kira-kira 40 rumah dengan jumlah penduduk

200 direkod pada tahun 2015.

Kubu Emma merupakan mercu tanda bagi Pekan kanowit yang terkenal sejak abad ke-19.

Sejarahnya boleh dilihat pada tahun 1846. Pada masa itu, kapal Phlegethon yang diketuai oleh

Kapten Rodney Mundy dan James Brooke berlayar ke Sungai Rajang bertujuan untuk

1
memerangi lanun Dayak yang sering mengancam sempadan Sarawak iaitu di daerah Kuching.

Pada 29 Jun, Rodney dan James tiba di Kanowit dan menjalinkan hubungan dengan penduduk di

sana. Pada tahun 1851, Kubu Emma telah dibina oleh Brookes walaupun Kanowit masih di

bawah kawalan kerajaan Brunei. Kubu ini dinamakan sempena nama saudara perempuan James

Brooke iaitu Emma Brooke. Emma Brooke merupakan ibu kepada Charles Anthony Brooke

yang merupakan Rajah kedua Sarawak. Pada tahun 1853, James Brooke dapat menguasai Sungai

Rajang dan penempatan di sekitarnya daripada Kesultanan Brunei. Kubu Emma menawarkan

perlindungan bagi penduduk terhadap lanun Dayak di sepanjang sungai Rajang.

Pada tahun 1883, Pastor Edmund Dunn dari St Joseph College, Mill Hill, England,

menubuhkan ibu pejabat Misi Katolik Roma pertama di Kanowit. Pendakwah pada masa itu

bekerja hampir secara eksklusif dalam kalangan orang Iban. Pada tahun 1885, Gereja St Francis

Xavier dibina. Namun gereja kayu ini dirobohkan pada tahun 1967 dan diganti dengan gereja

baharu yang lebih besar dan dibina dengan konkrit. Gereja baharu yang dibina tersebut masih

berada dalam keadaan yang baik sehingga kini. Pembinaan gereja ini telah memainkan peranan

yang penting dalam mempengaruhi sistem kepercayaan penduduk di Pekan Kanowit. Perkara ini

dapat dibuktikan dengan penilaian yang telah direkod pada tahun 2010 bahawa 21% populasi

Pekan Kanowit beragama Kristian sementara 19% penduduknya beragama Islam. Sementara itu,

60% penduduknya menganuti agama lain seperti agama Buddha atau tiada kepercayaan.

Kemudian sebuah klinik misi dan sekolah rendah dibina. Sebuah bot turut disediakan untuk

membawa pesakit yang dalam kecemasan ke Sibu. Tindakan-tindakan ini telah bermula

membawa kepada perkembangan atau pembangunan di Pekan Kanowit.

Pada bulan Jun 1859, Syarif Masahor bersama seorang pemimpin Kanowit bernama

Sawing dan sekumpulan ketua Melayu membunuh dua pegawai pemerintah Brooke, Charles Fox

2
dan Henry Steele. Pada tahun 1930-an, Pekan Kanowit berada di bawah jajahan pemerintah

Jepun dan terdapat beberapa penduduk tempatan yang bertindak menjarah dan membakar Pekan

Kanowit untuk menunjukkan perasaan mereka yang tidak puas hati. Pada tahun 1951 selepas

tamat Perang Dunia Kedua, perang Korea telah meletus dan menyebabkan permintaan terhadap

getah dan besi meningkat, impaknya pasar Kanowit dipenuhi dengan kepingan getah kerana pada

masa itu telah berlakunya kenaikan harga getah. Namun, pada 8 November 1951, pasar Kanowit

terbakar habis akibat kebakaran besar. Oleh itu,, pembinaan rumah kedai dimulakan semula dari

tahun 1952 hingga 1953. Walau bagaimanapun, beberapa pemilik tidak dapat membayar gadai

janji kepada Chartered Bank di Sibu kerana harga getah yang runtuh.

Menjelang tahun 1960, Pekan Kanowit telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan

infrastruktur yang utama seperti rumah kedai, pasar dan juga gereja. Kesemua kemudahan

infrastruktur ini telah mengalami pembaharuan atau perpindahan tempat. Salah satu contoh pada

masa itu ialah pejabat majlis di Pekan Kanowit. Pada tahun 1950, pejabat majlis berpindah ke

bangunan klinik Kanowit yang kini dikenali sebagai pasar Kanowit. Pada tahun 1957, Majlis

mendapat nama 'Majlis Daerah Kanowit' di bawah Seksyen 6 & 7 Ordinan Pilihan Raya Negeri.

Seterusnya, Pejabat Majlis Daerah berpindah semula ke tempatnya sekarang iaitu di Jalan Kubu

yang bertentangan dengan Kubu Emma selepas bangunannya siap dibina pada 05 Oktober 1967.

Kewujudan Pejabat Majlis Daerah telah memudahkan pengurusan perkara penduduk di Pekan

Kanowit kerana mereka tidak perlu lagi pergi ke pejabat di Sibu yang terlampau jauh dari Pekan

Kanowit untuk menyelesaikan urusan mereka.

Pada tahun 1970-an, terdapat 48 rumah kedai di Kanowit, terletak selari dengan Sungai

Kanowit. Terdapat juga pasar, gereja, hospital, panggung wayang yang bernama Teater Modal,

sebuah jeti, pejabat kerajaan, kawasan perumahan kerajaan, klinik kerajaan, dan juga balai raya.

3
Orang Cina menetap berhampiran tebing Sungai Rajang. Ketika itu, tidak ada jalan darat yang

menghubungkan Pekan Kanowit dengan bandar yang lain. Oleh itu, hanya Sungai Rajang yang

merupakan jalan penghubung bagi penduduk untuk pergi ke bandar lain sehingga tahun 1990.

Pada awal tahun 1990-an, barulah ada jalan raya yang menghubungkan Pekan Kanowit dengan

bandar Sibu telah dibina dan menjadi pilihan lain bagi penduduk di Pekan Kanowit untuk pergi

ke Sibu dan bandar yang berdekatan selain menggunakan pengangkutan air.

Pada awalnya iaitu pada tahun 1930-an, Pusat Pekan Kanowit adalah terdiri daripada tiga

baris rumah kedai lama yang berhampiran dengan Sungai Rajang. Beberapa tahun kemudian,

barulah rumah kedai baru telah dibina. Pada masa itu, barulah Pekan Kanowit mempunyai pasar

kering dan basah yang menjadi tempat menjual sayur-sayuran, daging, ikan, kraftangan tempatan

dan sebagainya. Pasar dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.. Dalam tempoh

kajian, lokasi pasar Kanowit telah beberapa berpindah tempat. Pada awalnya, lokasi pasar

Kanowit adalah berada di tepi rumah kedai dan kemudian berpindah ke kawasan di tepi terminal

dermaga Kanowit. Selepas itu, pasar Kanowit telah dipindah sekali lagi ke tempat asalnya.

Pengkaji berpendapat bahawa tempat bagi pasar kanowit akan berubah lagi pada masa akan

datang.

Begitu juga kedai dengan skala yang lebi besar adalah Hock Tong Seng pada 1980-an

selepas kewujudan rumah kedai sehingga akhir tempoh kajian iaitu tahun 2015. Dalam kedai

Hock Tong Seng, banyak jenis barangan yang dijual di situ seperti keropok, tepung, beras, telus

dan juga barang keperluan harian contohnya berus gigi dan kertas tisu. Tidak dapat dinafikan

bahawa kepelbagaian barangan di kedai Hock Tong Seng dapat memenuhi permintaan bagi

penduduk. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa kedai yang mempunyai nilai sejarah di

Pekan Kanowit seeprti kedai Liong Yu dan Kedai Yuan Mao. Kedua-dua kedai ini mempunyai

4
persamaan iaitu nama kedai mereka adalah dinamakan dengan nama pengasas dan telah diwarisi

oleh anak mereka masing-masing dan masih wujud sehingga kini.

Menurut penduduk tempatan, panorama terbaik bagi pemandangan Pekan Kanowit dapat

dilihat apabila berjalan di sepanjang tepi sungai dari pekan atau ke Bukit Telekom atau Bukit

Memaluh. Bukit Telekom dan juga Bukit Memaluh merupakan kawasan yang mempunyai

bentuk muka bumi yang tinggi. Semasa berada di kedua-dua tempat ini, pemandangan seluruh

Pekan Kanowit dapat dilihat sepenuhnya. Sehingga akhir tempoh kajian pada tahun 2015, laluan

dari Pekan Kanowit ke dua bukit ini telah dijadikan sebagai laluan berjoging bagi sesetengah

penduduk tempatan untuk mengekalkan kesihatan mereka.

Sebenarnya, Pekan Kanowit mempunyai sekolah yang pada awalnya bertujuan untuk

berdakwah agama kristian kepada penduduk di Pekan Kanowit sebelum tahun 1890-an. Sekolah

pertama yang wujud di Pekan Kanowit ialah Sekolah Kebangsaan ST Francis Xavier sebagai

sebuah sekolah rendah. Berkenaan sejarah sekolah ST Francis Xavier, sekolah ini diasaskan oleh

Rev. Fr.Edmund Dunn, seorang Mubaligh kristian Katolik. Beliau berasal dari negara Belanda

dan menuntut di Kolej Mill Hill sebagai Mubaligh. Beliau mula menjejakkan kaki di Lembah

Rejang dari Kuching pada 1 September 1881. Rev. Fr. Edmund Dunn sebagai mubaligh yang

pertama telah menjalankan tanggungjawabnya bagi menyebarkan ajaran agama kristian katolik

kepada penduduk pribumi di kawasan lembah Rejang. Beliau juga berkebolehan bertutur dalam

bahasa tempatan. Oleh itu, beliau telah membuat cadangan untuk membina sekolah mubaligh

demi membantu orang peribumi di kawasan Rejang kepada Rajah Charles Brooke. Atas usaha

gigih Rev. Fr. Edmund Dunn maka terbinanya sebuah bangunan kayu SK St. Francis Xavier dan

kini mempunyai 2 blok bangunan konkrit yang baru terletaknya 1 km dari pekan Kanowit. Pada

5
tahun 2009, Sekolah Kebangsaan St. Francis Xavier telah direkod mempunyai 253 pelajar lelaki,

218 pelajar perempuan dan 33 orang guru.

Bukan setakat itu sahaja, sebuah sekolah menengah telah dibina di Pekan Kanowit bagi

memberi pendidikan peringkat menengah kepada warga Kanowit. Nama penuh bagi sekolah ini

ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kanowit dan ia juga disebut sebagai SMK Kanowit oleh

penduduk di Daerah Kanowit. Dengan mengetahui sejarah SMK Kanowit dengan lebih teliti, kita

dapat mengetahui bahawa SMK Kanowit telah ditubuhkan pada awal tahun 1978 bertujuan untuk

menampung pertambahan bilangan pelajar di Daerah Kanowit. Situasi ini terjadi demikian

adalah kerana sebuah lagi sekolah menengah di daerah ini, iaitu SMK Sedaya sudah tidak dapat

lagi menampung pelajar yang bertambah dari tahun ke setahun. Oleh itu, satu langkah drastik

telah dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Bagi mengatasi masalah ini, satu rancangan untuk

membina sebuah lagi sekolah menengah di daerah ini telah dibuat pada pertengahan tahun 70-an.

Pada mulanya, sekolah ini “menumpang” atau berkongsi bangunan dengan sekolah rendah yang

berhampiran dan menggunakan sebuah sekolah lama sebagai asramanya. SMK Kanowit

bekerjasama dengan jirannya untuk beberapa tahun sehingga ia mempunyai bangunan

sekolahnya sendiri pada tahun 1984.

Seterusnya, sebuah sekolah rendah yang kedua di Pekan Kanowit telah dibina. Sekolah

tersebut ialah Sekolah Jenis Kebangsaan ( C ) Yee Ting yang dibina pada tahun 1914 yang

mempunyai sejarah sepanjang 100 tahun dari 1914 sehingga akhir tempoh kajian iaitu 2014.

Sekolah ini terbuka kepada penduduk yang berbangsa cina di Pekan Kanowit. Berhubungan

dengan itu, bahasa pengantar yang digunakan di sekolah ialah bahasa cina. Namun begitu

sekolah ini bukan sahaja memberi peluang kepada penduduk di Pekan Kanowit yang berbangsa

cina tetapi juga terbuka kepada penduduk kaum lain. Keadaan ini telah menjadikan penduduk di

6
Pekan Kanowit mempunyai kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Cina,

bahasa Iban dan bahasa Melayu.

Bagi meyentuh kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh penduduk di Pekan Kanowit pula,

kebanyakkan penduduk terlibat dalam bidang pertanian sebelum 1970-an. Antara tanaman yang

diusahakan oleh penduduk adalah seperti padi, sayur-sayuran yang berbagai-bagai dan juga

buah-buahan seperti durian dan rambutan. Sebahagian daripada hasil tanaman yang diusahakan

oleh mereka dijadikan sebagai makanan mereka. Hasil pertanian yang berlebihan pula akan

dijualkan di pasar Kanowit untuk menambahkan pendapatan mereka. Penduduk yang tidak

menjalankan kegiatan pertanian pula boleh membeli hasil pertanian tersebut bagi

mempelbagaikan makanan mereka. Selain itu, penduduk tempatan juga menjalankan kegiatan

memburu untuk menyara hidup. Hasil buruan akan dijual di pasar Kanowit. Namun kegiatan ini

menjadi semakin jarang dijalankan oleh penduduk di Pekan Kanowit kerana mereka telah

menjalankan kegiatan ekonomi yang lain. Di samping itu, penduduk tempatan juga menjalankan

kegiatan menangkap ikan. Kedudukan Pekan Kanowit yang berdekatan dengan Sungai Rajang

dan juga sungai Kanowit telah mengiatkan aktiviti menangkap ikan dalam kalangan penduduk

tempatan.

Selain itu, kegiatan perdagangan dan perniagaan juga dijalankan oleh penduduk di Pekan

Kanowit selepas kelengkapan kemudahan infrastruktur seperti rumah kedai dan jalan raya.

Terdapat pelbagai jenis kedai yang wujud pada masa itu contohnya kedai barangan keperluan

harian, kedai gunting rambut, kedai makan dan sebagainya. Kedai-kedai ini membolehkan

penduduk menjalankan kegiatan peniagaan untuk menambahkan pendapatan mereka bagi

menyara hidup. Antara kedai yang bersejarah dan masih kekal sehingga kini adalah seperti kedai

Liong Yu, kedai Yuan Mao dan juga farmasi cina Hui Sheng Tang. Walau bagaimanapun,

7
terdapat juga kedai yang telah hilang ataupun ditutup dan digantikan oleh pemilik yang lain pada

zaman ini. Contohnya panggung wayang yang sudah wujud pada awal 1960-an. Panggung

wayang ini telah meluaskan minda dan membuka fikiran bagi penduduk di Pekan Kanowit

terhadap dunia luar. Panggung wayang pada masa itu mendapat sambutan yang baik daripada

penduduk Kanowit kerana hanya tempat itu sahaja merupakan pusat hiburan yang ada untuk

menenangkann minda penduduk selepas kerja dan juga digunakan untuk mengisi masa lapang.

Namun panggung wayang tersebut mengalami kemerosotan dan terpaksa menghentikan operasi

pada tahun 1992. Generasi muda yang lahir selepas tahun tersebut telah hilang peluang untuk

menonton wayang di Pekan Kanowit.

Dalam sektor makanan pula, sebuah kedai makanan segera yang terkenal telah muncul di

Pekan Kanowit pada tahun 2012. Kedai tersebut ada cawangan SugarBun dan terletak di

kawasan yang berdekatan dengan Masjid Ar-Rahman. Secara umumnya, kedai SugarBun

merupakan rangkaian kedai yang terkenal Malaysia terutamanya di negeri Sarawak. Pada tahun

2010-an, rangkaian kedai makanan segera ini telah berkembang di seluruh negara. Oleh itu,

pembukaan rangkaian kedai SugarBun di Pekan Kanowit telah menarik minat generasi muda

untuk datang ke kedai ini bagi menikmati makanan segera yang ada. Kedai ini bukan sahaja

digemari oleh golongan remaja tetapi juga digemari oleh pelanggan yang bekerja. Hal ini

dikatakan demikian kerana makanan di SugarBun tidak memerlukan masa yang panjang untuk

disediakan jika berbanding dengan kedai makanan lain yang ada di Pekan Kanowit. Impaknya,

golongan yang bekerja dapat mempunyai masa yang cukup untuk berehat. Mereka juga akan

kurang berkunjung ke restoran atau kedai makanan yang lain kerana hidangan makanan yang

dipesan memerlukan banyak masa untuk disediakan sehinggalah membazirkan masa mereka.

Menurut penduduk, pelanggan yang datang ke kedai SugarBun semakin bertambah. Perkara ini

8
jelas menunjukkan kedai baharu telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi di Kanowit yang

sudah lama dalam keadaan pembangunan yang perlahan ini dapat meningkatkan daya saing

antara kedai yang terlibat dalam sektor makanan.

Dalam bidang pendidikan pula, terdapat penduduk di Pekan Kanowit yang sudah berjaya

melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sehingga ke peringkat universiti. Perubahan

yang ketara dalam bidang pendidikan ini telah mendorong kepada pembangunan petempatan di

Pekan Kanowit serta kenaikan taraf hidup penduduk tempatan.Dalam kalangan penduduk yang

berpendidikan ini, ada yang menjadi guru, polis, jurutera dan lain-lain. Perubahan status mereka

ini membolehkan mereka mempunyai pendapatan yang tinggi jika dibandingkan dengan generasi

terdahulu. Misalnya, seorang penduduk yang bekerja sebagai guru di Kuching mempunya gaji

sekurang-kurangnya RM 3000 yang jauh tinggi daripada generasi terdahulu yang kebanyakannya

berpendapatan kurang daripada RM 1000. Peningkatan taraf hidup ini telah membantu

perkembangan petempatan kerana kuasa beli penduduk telah meningkat dan mereka juga mampu

berbelanja bagi membina petempatan yang lebih baik dan sempurna.

Kesimpulanya, petempatan di Pekan Kanowit pada awalnya didiami oleh kumpulan etnik

yang dikenali sebagai Malanau Kanowit. Selepas kedatangan keluarga James Brooke, mereka

telah mengambil ailih kuasa pemerintah Sarawak daripada kerajaan Brunei yang sebelum ini

memerintah Sarawak. Perkara ini telah meletakkan asas bagi proses pembangunan dan

perkembangan petempatan di Pekan Kanowit. Melalui dasar keluaga Brooke, Pekan Kanowit

telah dilengkapi oleh pelbagai jenis kemudahan infrastruktur misalnya gereja dan sekolah. Masa

berlalu, Pekan Kanowit juga mempunyai kemudahan infrastruktur seperti Majlis Daerah, pejabat

pos, balai polis serta hospital awam dan juga jalan raya. Kewujudan kemudahan infrastruktur ini

telah mempengaruhi kehidupan bagi penduduk yang menetap di Pekan Kanowit. Buktinya,

9
penduduk tempatan yang beragama kristian telah muncul dan kegiatan ekonomi yang dijalankan

oleh pendduk juga dipelbagaikan. Antaranya adalah seperti kegiatan pertanian, penangkap ikan

dan juga pembukaan kedai sendiri dalam bidang tertentu. Oleh itu, pengkaji serta semua

penduduk di Pekan Kanowit berharap agar petempatan di Pekan Kanowit dapat sentiasa

berkembang dengan pesat dan menjadi lebih maju seiring dengan pemodenan negara kita.

10

You might also like