You are on page 1of 13

2.

0 STRATEGI PENGAJARAN BERPUSATKAN MURID

Dewasa ini, strategi pengajaran berpusatkan murid telah banyak digunakan oleh para guru
semasa meyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran bahkan telah menjadi tren utama
dalam inovasi kurikulum seluruh dunia.

Noriati (2009) mendefinisikan strategi pengajaran berpusatkan murid sebagai pengambil


alihan tugas atau tanggungjawab daripada guru oleh murid semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran. Strategi ini melibatkan murid secara aktif dalam sesuatu aktiviti yang
dijalankan seperti yang dinyatakan oleh (Orlich et al.,2007) dalam Noriati (2009).

Dalam strategi ini, guru hendaklah memastikan murid-murid belajar sesuatu dan membina
pengetahuan mereka sendiri melalui aktiviti yang dilakukan. Esah (2003) menyatakan
bahawa guru hendaklah mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran
semasa menyediakan aktiviti untuk mereka.

Selain itu, strategi ini juga dapat meningkatkan penglibatan murid dalam proses pengajaran
dan pembelajaran, meningkatkan kemahiran berfikir, menambahkan keyakinan diri,
menggalakkan murid menghasilkan idea dan memberi pendapat, menggalakkan murid
membina ilmu dan mewujudkan suasana kerjasama dalam kalangan murid
(Shahabuddin,2007).

Strategi pengajaran berpusatkan murid mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Antaranya adalah
seperti yang dinyatakan oleh Noriati (2009) iaitu murid lebih minat dalam pelajaran,
melibatkan komunikasi dua hala, kepimpinan bercorak demokratik, membina kreativiti murid
dan pembelajaran bercorak pengarahan kendiri.

Menurut Amaljaya (2009), aktiviti yang dijalankan mengikut strategi pemusatan murid
menjadikan murid lebih member fokus dalam proses pembelajaran. Strategi ini adalah lebih
sesuai apabila maklumat tidak dapat disampaikan dengan berkesan melalui strategi
pemusatan guru dan apabila matlamat pengajaran merangkumi kemahiran kreatif dan kritikal
(Noriati,2009).

2.1 KAEDAH PENGAJARAN YANG BERSESUAIAN DENGAN STRATEGI


BERPUSATKAN MURID SERTA TEORI-TEORI YANG BERKAITAN

2.1.1 Kaedah Pengajaran Perbincangan

Mengikut Gauthier (2001) dalam Noriati (2009), perbincangan merupakan satu proses aktif
yang melibatkan guru dan murid dalam persekitaran pembelajaran. Bond (2001) menegaskan
bahawa dalam perbincangan ini, murid akan menjadi lebih aktif (Noriati,2009).

Bagi menggalakkan penyertaan aktif murid dalam aktiviti pembelajaran, aktiviti berkumpulan
perlu diadakan supaya murid dapat berinteraksi sesama mereka sewaktu perbincangan-
perbincangan yang dijalankan (Shahabuddin et.al. , 2007).

Abd. Ghafar (2003) menjelaskan bahawa dalam kaedah ini, guru hendaklah memastikan
murid sentiasa berminat untuk mengikuti pembelajaran. Guru-guru perlu menggalakkan para
pelajar berfikir untuk lebih menghasilkan daya pemikiran yang lebih kreatif, inovatif dan
menghasilkan idea yang bernas.

Kaedah pengajaran perbincangan kumpulan ini termasuk dalam model pembelajaran


koperatif. Noriati (2009) menjelaskan bahawa pembelajaran secara koperatif yang dipelopori
oleh Slavin (2005) adalah merupakan pembelajaran aktif yang berupaya mengubah suatu
situasi pembelajaran yang pasif kepada suatu yang dinamis serta berpusatkan murid. Noriati
(2009) menjelaskan bahawa terdapat empat prinsip pembelajaran koperatif iaitu
kebergantungan positif, interaksi bersemuka, penglibatan seimbang dan akautabiliti individu.

Arends(2001) dalam Noriati(2009) menjelaskan bahawa kaedah perbincangan digunakan


oleh guru untuk mencapai tiga objektif pengajaran iaitu meningkatkan pemikiran dan
membantu murid membina kefahaman kandungan; merangsang penglibatan; serta membantu
murid menguasai kemahiran komunikasi dan proses pemikiran.

Menurut Noriati (2009) lagi, terdapat empat elemen penting yang perlu diberi penekanan
sewaktu seseorang guru ingin menggunakan kaedah perbincangan dalam proses pengajaran
dan pembelajaran iaitu matlamat dan objektif P&P, saiz kumpulan, susunan bilik dan
pemilihan topik yang ingin dibincangkan.

Terdapat 5 teknik utama dalam pembelajaran koperatif. Pertama, Penyiasatan Berkelompok


(Group Investigation). Dalam teknik ini, setiap ahli kumpulan akan melibatkan diri dalam
pelbagai aktiviti sekolah untuk mendapatkan maklumat. Ini memerlukan murid
mengenalpasti suatu topik yang disiasat, merancang serta menjalankan penyiasatan. Semua
maklumat yang telah diperolehi akan dianalisis dengan cara terperinci untuk dipersembahkan
dalam bentuk yang kreatif dan menarik.

Kedua, teknik Student Team Achievement Division (STAD). Dalam teknik ini, murid-murid
perlu berada dalam kumpulan kecil dan menggunakan lembaran kerja untuk menguasai suatu
cabang pengetahuan. Mereka saling membantu antara satu sama lain melalui tutorial, kuiz
atau perbincangan kumpulan.

Ketiga, teknik Jigsaw. Setiap kumpulan akan menghantar ahli untuk membentuk kumpulan
pakar. Ahli-ahli dalam kumpulan pakar akan membincangkan sebahagian bahan akademik
(yang telah disediakan oleh guru). Selepas itu, semua ahli kumpulan pakar tadi akan kembali
ke kumpulan asal masing-masing untuk berkongsi pengetahuan mereka dengan rakan
sekumpulan. Motif utama dalam Jigsaw ialah setiap murid dalam satu kumpulan akan
menjadi pakar dalam topik tertentu dan bertanggungjawab memberi tunjuk ajar kepada rakan
sekumpulan tentang apa yang telah mereka pelajari.

Teknik keempat ialah Team-Accelerated Instruction (TAI). Ia merupakan pendekatan secara


menyeluruh di mana pelajar mempunyai kebebasan bertindak dan guru boleh membentuk
kelas heterogeni. Pelajar yang mempunyai latar belakang yang berbeza ditentukan kepada
kumpulan yang heterogenus. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada murid yang rendah
pencapaian supaya dapat meningkatkan tahap pencapaiannya seiring dengan murid lain yang
mempunyai pencapaian tinggi.

Teknik kelima ialah Team Games Tournament (TGT). Dalam teknik ini, guru perlu
memberitahu pelajaran yang berkaitan sama ada dalam bentuk syarahan, demonstrasi atau
pertunjukan visual. Pelajar berbincang mengenai bahan yang disampaikan oleh guru.
Kemudian pelajar akan bekerja mengikut lembaran kerja yang disampaikan oleh guru untuk
menguasai konsep. Pelajar akan bermain suatu permainan berbentuk pertandingan di dalam
bilik darjah.

Dalam kaedah perbincangan, terdapat dua teknik yang boleh digunakan iaitu teknik Putaran
Giliran (Round Robin) dan teknik Meja Bulat (Round Table). Dalam teknik Putaran Giliran,
setiap ahli dalam kumpulan akan mengutarakan pendapat masing-masing secara lisan
mengikut putaran giliran mereka Matlamatnya adalah untuk memberikan setiap ahli peluang
mengemukakan idea masing-masing sambil menerima dan menolak idea yang lain secara
diplomasi. Melalui teknik ini berlakulah proses bertukar-tukar idea dan pandangan agar idea
yang diperuntukan itu akan menjadi lebih jelas dan bermakna.

Manakala teknik Meja Bulat pula, ahli kumpulan dapat berkongsi maklumat secara bergilir-
gilir dalam mencurahkan idea yang dibincangkan. Setiap ahli memerlukan tambahan idea
untuk melengkapkan tugasan. Aktiviti berkongsi maklumat ini dapat dilaksanakan oleh ahli
dalam kumpulan agar perkara yang dibincangkan itu menghasilkan satu idea yang sangat
bermakna. Melalui penurunan idea tersebut, setiap ahli digalakkan untuk membaca dan
menyemak hasil tugasan mereka agar tugasan mereka mantap dan bermakna.

2.1.2 Aplikasi Kaedah Pengajaran Secara Perbincangan Dalam Subjek Bahasa Melayu Tahun
6.
Kaedah perbincangan kumpulan amat bersesuaian diaplikasikan dalam P&P bagi mata
pelajaran bahasa Melayu terutamanya dalam bahasa Melayu penulisan untuk murid Tahun 6
di bawah tajuk penulisan karangan yang bertemakan isu alam sekitar.

Guru akan memulakan sesi pengajaran dengan memberikan set induksi yang dapat menarik
minat murid-murid untuk meneruskan aktiviti P&P. Contohnya, selepas memberi salam, guru
meminta murid-murid memeriksa sampah di bawah kerusi masing-masing dan meminta
mereka mencuci dan membuang sampah yang berdekatan dengan mereka. Selepas itu, guru
mengucapkan tahniah dan memberikan pujian kepada murid-murid atas kesudian mereka
membuang sampah tersebut.

Kesannya, emosi murid akan berada dalam gembira dan bersemangat untuk meneruskan
P&P. Menurut teori pelaziman klasik J.B. Watson (1878-1958) dalam Noriati (2009), emosi
kanak-kanak dapat dibentuk melalui proses pelaziman. Jadi, pembentukan emosi yang positif
sebelum memulakan P&P amatlah penting bagi memastikan murid-murid bersedia untuk
meneruskan pembelajaran.

Seterusnya, guru mengaitkan perbuatan murid tadi dengan kepentingan menjaga alam sekitar
serta menceritakan senario yang berlaku di Malaysia tentang masalah pencemaran alam
sekitar.

Kemudian, guru membentuk beberapa kumpulan kecil. Katakan guru membentuk 6


kumpulan kecil iaitu kumpulan A,B,C,D,E dan F. Setiap kumpulan perlu melantik seorang
ketua kumpulan. Guru juga digalakkan untuk memilih ketua kumpulan kerana guru lebih tahu
akan kebolehan murid-muridnya. Pembentukan kumpulan boleh dibuat melalui bulan
kelahiran, saiz kasut, dan sebagainya.

Setiap ketua kumpulan diminta mengambil kad soalan daripada guru. Sebanyak tiga soalan
yang berbeza dikemukakan dan ini bermakna dua kumpulan akan mendapat soalan yang
sama.
Selain itu, guru juga membekalkan sehelai kertas mahjong dan dua batang ‘marker pen’ bagi
setiap kumpulan. Mereka akan mencatatkan segala isi perbincangan di atas kertas mah-jong
tersebut dengan menggunakan pengurusan grafik seperti peta minda, jadual, carta alir dan
sebagainya.

Dalam kad soalan tersebut, murid-murid dikehendaki membincangkan tentang punca-punca


pencemaran, kesan-kesan pencemaran dan langkah-langkah yang yang perlu diambil bagi
menangani masalah tersebut. Dalam kumpulan tersebut, murid-murid perlu menyumbangkan
idea masing-masing. Mereka boleh menggunakan teknik Meja Bulat atau Putaran Giliran.
Bagi memudahkan perbincangan kumpulan, guru boleh menetapkan teknik yang akan
digunakan oleh setiap kumpulan.

Apabila murid berbincang dan mengemukakan idea, mereka biasanya akan mengeluarkan
pendapat mereka berdasarkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada mereka. Hal ini berkait
rapat dengan teori pembelajaran konstruktivisme yang dipelopori oleh Jean piaget (yang
dikenali sebagai Konstruktivisme psikologi/ individu/kognitif/kognitif)dan Lev Vygotsky
(yang dikenali sebagai konstruktivisme sosial).

Menurut Lev Vygotsky dalam dalam Noriati (2009), dalam sesi perbincangan, hubungan
sosial berjaya diwujudkan seterusnya individu saling membina pengetahuan baru.
Penglibatan dengan orang lain member peluang kepada murid untuk menilai dan
meningkatkan pengetahuan diri.

Ketika sesi perbincangan, guru perlu bergerak dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain
untuk menegaskan perkara-perkara yang perlu dibincangkan dan mengarahkan perbincangan
sentiasa menghala ke arah perkara yang betul. Dengan kata lain, guru bertindak sebagai
fasilitator untuk membantu dan membimbing murid-murid untuk mengeluarkan idea masing-
masing.

Guru perlu menetapkan masa perbincangan kumpulan bagi memastikan mereka tidak
melakukan perbincangan dengan main-main dan berbual tentang perkara-perkara yang tidak
berkaitan. Setelah tamat perbincangan guru hendaklah meminta setiap kumpulan untuk
melaporkan isi-isi perbincangan. Guru memberi peneguhan positif melalui pujian kepada
semua murid kerana memberikan komitmen sepenuhnya dalam perbincangan.

Peneguhan yang diberikan oleh guru ini termasuk dalam teori pelaziman operan B.F. Skinner.
Mengikut Skinner, peneguhan boleh dibahagikan kepada dua iaitu peneguhan positif dan
peneguhan negatif. Menurut Baldwin dan Baldwin (2001) dalam Noriati (2009), peneguhan
positif menjadi rangsangan kepada tingkah laku seterusnya manakala peneguhan negatif ialah
peneguhan yang diberikan memungkinkan tingkah laku diteruskan apabila rangsangan yang
tidak selesa disingkirkan.

Hasil perbincangan boleh dicatatkan di papan tulis. Guru perlu membuat perbincangan
semula dengan murid-murid bagi memilih isi-isi dan idea-idea yang bernas. Bagi mengakhiri
P&P ini, guru mengarahkan murid-murid untuk menjalankan aktiviti penulisan karangan
berdasarkan isi-isi yang telah dibincangkan. Murid boleh menyiapkan esei ini di rumah dan
perlu dihantarkan pada keesokan harinya.

2.2 IMPLIKASI KAEDAH PENGAJARAN DENGAN PEMBELAJARAN

Kaedah ini memberi impak yang amat baik terhadap perkembangan pendidikan masa kini.
Hal ini demikian kerana, kaedah perbincangan ini menekankan aspek penglibatan murid
berbanding kaedah tradisional yang berpusatkan guru.

Kaedah perbincangan ini dapat merangsang minda murid-murid. Melalui kaedah ini, murid
akan berusaha untuk memberikan idea dan pandangan serta melibatkan diri secara aktif
dalam pembelajaran. Dengan kata lain, kaedah ini dapat mengubah diri murid daripada pasif
kepada lebih aktif. Penglibatan murid-murid secara aktif dalam proses pembelajaran
membolehkan minda mereka berkembang.
Pembelajaran secara koperatif dapat meningkatkan kemahiran sosial antara murid. Mengikut
pendapat Shahabuddin et.al.(2007), kaedah koperatif ini dapat memupuk sifat penyayang,
kerjasama, hubungan yang erat antara murid dan sebagainya. Kaedah ini menggalakkan
murid-murid mengajar sesama sendiri dan bantu-membantu antara satu sama lain dalam
kumpulan seterusnya dapat mengukuhkan hubungan persahabatan antara murid-murid.

Selain itu, kaedah perbincangan membolehkan pelajar meningkatkan kefahaman dan


berkeupayaan untuk menyelesaikan masalah. Hal ini demikian kerana, murid-murid akan
cuba membuat perbincangan yang rapi dalam kumpulan mereka. Apabila semua murid
memberikan pandangan, maka pemahaman mereka terhadap sesuatu topik yang dibincangkan
akan meningkat dan memudahkan untuk mereka meyelesaikan sesuatu masalah.

Implikasi yang negatif dalam kaedah ini adalah disiplin sesetengah murid menjadi tidak
terkawal semasa sesi perbincangan. Hal ini dapat mengganggu murid-murid yang lain yang
memberi fokus kepada isi perbincangan.

3.0 STRATEGI PENGAJARAN BERASASKAN TUGASAN

Menurut Sharifah (1986), strategi pengajaran berasaskan tugasan telah dikemukakan oleh
Professor William Heard Kilpatrick ( 1871-1965 ) yang mana telah diubah suai daripada
kaedah penyelesaian masalah John Dewey. Strategi ini merupakan suatu kaedah pengajaran
dan pembelajaran yang pesat berkembang dalam zaman moden ini.

Noriati (2009) menjelaskan bahawa dalam strategi ini, guru melibatkan murid dalam aktiviti
atau tugasan yang memberikan mereka peluang untuk mengaplikasikan apa-apa yang
dipelajari. Dalam menghasilkan aktiviti menggunakan strategi ini, guru perlu mengambil kira
beberapa kriteria. Pertama, aktiviti yang dipilih mesti berfokus kepada matlamat utama topik
yang ingin diajar. Kedua, guru perlu mempelbagaikan aktiviti berdasarkan matlamat
pengajaran. Ketiga, guru hendaklah memastikan aktiviti yang dirancang membuka ruang dan
peluang kepada murid untuk berinteraksi dan membuat refleksi. Keempat, guru perlu
memastikan setiap aktiviti perlu dipersembahkan dan dipantau bagi menghasilkan P&P yang
berkesan.

Kajian John Brodi (2008) menunjukkan strategi pengajaran berasaskan tugasan mampu
meningkatkan keyakinan dan motivasi murid seterusnya menjadikan murid lebih aktif dalam
P&P. Bagi menjadikan proses P&P lebih bermakna, guru perlu menegaskan tujuan-tujuan
dan objektif-objektif pembelajaran berdasarkan aktiviti yang bakal dilakukan supaya murid-
murid dapat melibatkan diri dalam aktiviti tersebut. Apabila murid mula melaksanakan
aktiviti dan tugasan, guru boleh memantau kemajuan dan member bantuan jika perlu. Di
akhir tugasan, guru perlu membuat sesi perbincangan dan refleksi dengan murid tentang
tugasan yang telah dijalankan.

3.1 KAEDAH PENGAJARAN YANG BERSESUAIAN DENGAN STRATEGI


PENGAJARAN BERASASKAN TUGASAN SERTA TEORI-TEORI YANG BERKAITAN

3.1.1 Kaedah Simulasi

Kaedah simulasi adalah sesuai digunakan dalam P&P berteraskan strategi pengajaran
berasaskan tugasan. Simulasi merupakan satu gambaran abstrak sesuatu situasi sebenar yang
memerlukan pelajar berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing untuk
menyelesaikan sesuatu masalah atau isu. Ia merupakan satu situasi yang diwujudkan untuk
menyerupai keadaan sebenar dengan cara menggunakan masalah-masalah yang benar-benar
wujud atau menyediakan situasi-situasi yang benar-benar wujud di dalam keadaan yang
terkawal.

Menurut Noriati (2009), untuk mencapai hasil pembelajaran, murid perlu melalui tugasan
dalam simulasi serta membentuk konsep dan kemahiran yang diperlukan dalam pencapaian
sesuatu aspek atau bidang.
Terdapat beberapa ciri kaedah simulasi. Pertama, simulasi merupakan satu pembelajaran
melalui pengalaman. Murid belajar daripada kesilapan dan berpeluang untuk meningkatkan
diri dalam situasi yang berikutnya. Kedua, dalam kaedah simulasi, peranan murid agak luas,
kerana peserta bukan sahaja dikehendaki memegang peranan sebagaimana yang ditentukan
tetapi mereka perlu berbincang dan memberi sumbangan kepada perserta-perserta bagi
membuat keputusan. Ketiga, murid dikehendaki berinteraksi secara dinamis dalam sistem
yang berkaitan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Menurut Joyce et al. (2002) dalam Noriati (2009), model simulasi mengandungi empat fasa
iaitu orientasi, latihan peserta, proses simulasi dan perbincangan. Fasa orientasi merupakan
fasa guru mengemukakan topik yang ingin diajar, menerangkan konsep dalam simulasi serta
memberikan gambaran umum tentang aktiviti dalam simulasi.

Dalam fasa kedua, murid akan diperkenalkan tentang peraturan, peranan murid, prosedur,
cara mendapat skor serta matlamat simulasi. Guru akan mengagihkan peranan kepada setiap
murid supaya mereka mengetahui peranan mereka.

Murid-murid akan mula melakukan simulasi dalam fasa yang ketiga. Pada fasa ini, guru akan
bertindak sebagai pengadil dan jurulatih. Guru juga boleh memberhentikan proses simulasi
buat seketika bagi mendapatkan maklum balas daripada murid, menilai prestasi dan
memperjelas salah tanggapan yang berlaku semasa proses simulasi.

Selepas murid-murid menjalankan proses simulasi, guru hendaklah membuat perbincangan


bersama murid tentang hasil pembelajaran dan refleksi daripada hasil aktiviti yang telah
dijalankan. Ini adalah merupakan fasa yang keempat.

3.1.2 Aplikasi Kaedah Simulasi Bagi Mengajar Subjek Bahasa Melayu Tahun 6.
Katakan seorang guru yang ingin mengajar subjek bahasa Melayu tahun 6 dalam tajuk
penulisan karangan jenis cerita. Pertama, guru akan memberikan salam kepada murid-murid
dan mengambil kedatangan murid-murid. Guru bertanyakan khabar dengan murid-murid dan
meminta mereka bersedia untuk meneruskan pembelajaran.

Guru meminta semua murid untuk datang ke hadapan untuk mengambikkertas undian
kumpulan yang terdiri daripada nombor 1 hingga 6. Kemudian, guru memberitahu murid
supaya berada dalam kumpulan mengikut nombor yang mereka dapat. Cara pembahagian
kumpulan ini membantu murid untuk berinteraksi antara satu sama lain bagi mencari ahli
kumpulan masing-masing.

Kumpulan yang berjaya dibentuk dahulu diberi pujian dan hadiah oleh guru manakala
kumpulan yang terakhir yang dapat dibentuk dikenakan denda untuk menyanyikan sebuah
lagu. Melalui cara ini, murid akan bersemangat untuk meneruskan pembelajaran. Peneguhan
dan hukuman yang diberikan oleh guru ini amat berkait rapat dengan teori pelaziman operan
B.F. Skinner. Dalam teori Skinner, peneguhan dibahagikan kepada dua iaitu peneguhan
positif dan negatif. Hukuman juga dibahagikan kepada dua iaitu hukuman beri dan hukuman
tarik.

Hukuman beri mengurangkan kemungkinan tingkah laku diulangi hasil daripada rangsangan
yang diberikan manakala hukuman tarik mengurangkan kemungkinan tingkah laku diulangi
hasil daripada rangsangan yang selesa ditarik balik (Noriati, 2009). Dalam kes tadi, kumpulan
terakhir yang dapat dibentuk dikenakan hukuman beri iaitu mereka terpaksa menyanyikan
sebuah lagu.

Proses pengajaran diteruskan dengan perlantikan seorang ketua bagi setiap kumpulan.
Pemilihan ketua kumpulan adalah berdasarkan tarikh lahir. Murid yang paling tua automatik
dilantik menjadi ketua. Kemudian, ketua kumpulan diminta untuk mencabut kad tugasan
daripada guru. Dalam kad tersebut tercatat situasi-situasi yang perlu dilakonkan oleh murid
bagi setiap kumpulan.
Dalam masa yang ditetapkan, murid-murid perlu berbincang antara ahli kumpulan tentang
watak-watak yang yang diperlukan. Guru perlu memastikan semua murid terlibat dalam
aktiviti perbincangan ini.

Kemudian, setiap kumpulan diminta melakonkan situasi-situasi yang dikehendaki dalam kad
tugasan tadi dalam bentuk simulasi. Kumpulan yang tidak terlibat semasa simulasi
dikehendaki mencatat idea-idea yang dikeluarkan oleh kumpulan yang melakukan simulasi.
Proses ini diulang kepada kumpulan yang lain pula.

Selepas simulasi tamat, guru memberikan pujian bagi membangkitkan semangat murid-
murid. Guru membuat refleksi bersama pelajar tentang aktiviti yang telah dijalankan.

Di akhir pengajaran, guru meminta murid menulis satu karangan berbentuk cerita
berdasarkan mana-mana simulasi yang telah dilakukan oleh setiap kumpulan. Guru
menetapkan supaya murid-murid menyiapkan tugasan ini di rumah dan murid dikehendaki
menghantar karangan ini pada keesokan harinya.

3.2 IMPLIKASI KAEDAH PENGAJARAN DENGAN PEMBELAJARAN

Pertama, kaedah simulasi membolehkan murid menggunakan bahasa dengan lebih berfungsi
dan memberi murid peluang berinteraksi dan berkomunikasi dengan berkesan. Hal ini
demikian kerana dalam kaedah simulasi, semua murid perlu memberikan idea secara verbal.

Kedua, kaedah simulasi membantu pelajar bekerjasama dan menanamkan sikap positif.
Kaedah simulasi membolehkan murid berbincang dan berfikir secara kreatif, analisis dan
kritis. Kaedah simulasi ini juga dapat membantu pelajar mempertingkatkan kemahiran
mereka seperti kemahiran menjawab, dimana para pelajar akan memberi pendapat, cadangan,
bantahan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah semasa dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran.
4.0 RUMUSAN

Dalam menghadapi arus globalisasi dalam dunia pendidikan ini, guru perlu bersiap sedia
dengan ilmu pengetahuan dan mempelbagaikan strategi dan kaedah pengajaran bagi
menjadikan suasana kelas lebih menarik seterusnya dapat menghasilkan P&P yang berkesan.

Strategi pengajaran yang berpusatkan murid perlu diberi keutamaan sewaktu menjalankan
P&P agar murid-murid dapat melibatkan diri secara aktif. Kaedah perbincangan adalah
sangat sesuai dijalankan kerana kaedah ini melibatkan semua murid untuk memberi
pandangan dan idea seterusnya dapat membina hubungan sosial dalam kalangan murid.

Selain itu, strategi pengajaran berasaskan tugasan juga tidak boleh diabaikan. Hal ini
demikian kerana strategi ini dapat member peluang kepada murid untuk mengaplikasi apa-
apa yang dipelajari oleh mereka. Kaedah simulasi perlu dilaksanakan oleh guru bagi
memberikan peluang kepada murid-murid untuk melakonkan mengikut situasi hampir sama
dengan situasi yang sebenar. Di samping itu, kaedah simulasi dapat menjana kreativiti
pemikiran murid dan memantapkan kemahiran berbahasa.

You might also like