You are on page 1of 1

Untuk Hebahan Segera 24 Oktober 2023

5 Pelan Tindakan Khas untuk Isu Palestin - Israel.

Liga Rakyat Demokratik (LRD) mengikuti rapat perkembangan isu jenayah perang yang dilakukan oleh tentera
Israel-Zionis dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak Israel-Zionis di atas serangan yang tidak
berperikemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Bagi merealisasikan gesaan yang dinyatakan, LRD ingin menyatakan lima pelan tindakan yang perlu dipercepat
pelaksanaannya oleh pihak-pihak yang berkenaan.

1. LRD ingin menegaskan bahawa komuniti antarabangsa sewajibnya melunaskan tanggungjawab melalui
prinsip “Responsibility to Protect (R2P)” yang merangkumi tindakan pantas dan tegas untuk
melindungi orang awam yang terancam apabila kerajaan atau badan autoriti negara mereka telah
"secara nyata gagal" untuk menunaikan kewajibannya.
2. Demi menjamin keamanan jangka masa panjang, LRD kekal berpendirian bahawa Organisasi
Antarabangsa terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu memainkan peranan
dalam memperjuangkan “The Right of Self-Determination” selaras dengan Artikel pertama Piagam
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berbunyi:

"Tujuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah:

Untuk membangunkan hubungan mesra antara negara berdasarkan penghormatan terhadap prinsip
persamaan hak dan penentuan nasib sendiri rakyat, dan untuk mengambil langkah-langkah lain yang
sesuai untuk mengukuhkan keamanan sejagat”.

3. LRD mendesak agar Kerajaan Malaysia memanfaatkan hubungan diplomatik dengan negara-negara
luar untuk meraih sokongan dan kesedaran mengenai kekejaman yang berlaku di Palestin. Ia juga
cukup untuk membuktikan komitmen Malaysia terhadap kestabilan dan keamanan sejagat, selain
daripada menandatangani “MoU” dalam menempatkan tentera Malaysia di bawah mandat PBB bagi
tujuan “peacekeping” dan menubuhkan pusat latihan pengamannya sendiri pada April 2006.

4. Kami juga ingin mendesak satu kutukan terbuka kerajaan kepada Amerika Syarikat sebagai
satu-satunya ahli tetap yang bertindak menyekat resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi satu gencatan
senjata bagi membolehkan misi kemanusiaan untuk masuk ke Gaza. Ia merupakan sekatan kedua
selepas satu resolusi lagi gencatan senjata juga ditolak pada 17 Oktober lalu.

5. LRD juga ingin menekankan kepada orang awam, khususnya rakyat Malaysia untuk melihat isu ini
melampaui optik agama dan bangsa dan melihatnya dari sudut yang lebih menyeluruh. Ianya
merangkumi beberapa faktor berkenaan hal ehwal antarabangsa - yang akhirnya membawa kepada
ancaman pembasmian etnik melalui pembunuhan beramai-ramai yang berlaku pada ketika ini.

Liga Rakyat Demokratik dengan ini sekali lagi menyatakan pendirian dan harapan kami agar Kerajaan Malaysia
kekal komited dalam memperjuangkan keadilan dan keamanan buat rakyat Palestin, serta mempergiat saluran
bantuan kemanusiaan buat saudara kita di bumi Palestin sementara menanti kemerdekaan 100 peratus buat
Palestin.

MERDEKA PALESTIN!

Dr Abdul Muqit Muhammad


Pengerusi
Liga Rakyat Demokratik

You might also like