You are on page 1of 4

PATI

Sejak akhir-akhir ini, isu lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) kembali
hangat diperkatakan di media sosial. Walaupun isu lambakan pendatang asing
tanpa izin (PATI) ini telah lama wujud di negara kita, namun kini ia kembali hangat
menjadi bualan orang ramai kerana isu ini bersangkutan dengan keselamatan
negara. Memandangkan isu ini telah lama wujud dan semakin menjadi-jadi, orang
ramai mempersoalkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu ini, malah
kredibiliti pasukan keselamatan dan penguatkuasa juga turut dipersoalkan. Umum
mengetahui bahawa negara kita merupakan salah sebuah negara yang sedang
pesat membangun di Asia Tenggara dan pastinya mempunyai banyak projek
pembangunan. Oleh itu, negara kita memerlukan banyak tenaga kerja bagi
menjayakan projek-projek pembangunan ini. Hal ini menyebabkan pendatang asing
tanpa izin (PATI) lebih memilih untuk bekerja secara tidak sah di Malaysia bukan
sahaja disebabkan oleh banyaknya peluang pekerjaan, malah disebabkan oleh
keramahan rakyat Malaysia itu sendiri. Namun begitu, kehadiran pendatang asing
tanpa izin (PATI) ini mendatangkan banyak kesan negatif kepada masyarakat dan
negara.

1. Peningkatan Kadar Jenayah dan Masalah Sosial

Antara kesan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara kita
termasuklah menyebabkan kadar jenayah dan masalah sosial meningkat.
Pelbagai kegiatan jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI)
semata-mata untuk mendapatkan wang ringgit bagi kelangsungan hidup mereka
seperti merompak, meragut dan lain-lain. Kejadian pecah rumah yang didalangi oleh
pendatang asing tanpa izin (PATI) ini juga kerap berlaku di kawasan-kawasan
perumahan, malah mereka juga sanggup merogol wanita-wanita tempatan demi
memuaskan nafsu mereka. Hal ini sudah tentu akan menganggu ketenterman
awam. Selain itu, terdapat juga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terlibat
dalam kegiatan gangsterisme di mana mereka akan bergaduh sesama sendiri untuk
merebut kawasan kekuasaan, malah mereka juga akan mengugut warga-warga
tempatan untuk membayar wang perlindungan kepada mereka. Hal ini sangat
merugikan warga tempatan. Budaya gangsterisme yang dibawa oleh pendatang
asing tanpa izin (PATI) ini juga akan menyebabkan banyak anak-anak muda yang
akan terikut-ikut dengan perlakuan mereka. Keadaan ini sudah tentu akan memberi
kesan yang buruk kepada masa depan generasi muda di negara kita. Peningkatan
kadar jenayah yang disebabkan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) ini juga
menyebabkan imej negara tercemar di mata dunia kerana ketidakmampuan negara
dalam mengawal jenayah. Kesannya, pelaburan langsung asing (FDI) dari luar
negara yang masuk ke dalam negara kita menurun.

2. Penyebaran Penyakit Berbahaya

Selain itu, lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara kita juga akan
menyebabkan penyebaran penyakit berbahaya. Keadaan ini akan menyebabkan
rakyat tempatan terdedah kepada penyakit berbahaya seperti tibi, kusta, batuk
kering dan sebagainya. Penyebaran ini berlaku kerana pendatang asing tanpa izin
(PATI) yang masuk ke dalam negara kita tidak membuat saringan kesihatan. Hal ini
menyebabkan mereka akan menjangkiti rakyat tempatan. Oleh itu, kesihatan awam
di negara kita akan terjejas. Lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ini juga
menjejaskan dasar-dasar kerajaan untuk mengawal penyakit berbahaya seperti
Covid-19 kerana mereka yang menjadi penyebar kepada penyakit ini. Misalnya,
lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara kita akan menjejaskan
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilakukan oleh kerajaan supaya
negara kita mencapai imuniti kelompok. Namun begitu, keengganan pendatang
asing tanpa izin (PATI) untuk mengikuti program ini kerana takut ditangkap oleh
pihak berkuasa menyebabkan kebarangkalian untuk mereka menyebarkan Covid-19
kepada rakyat tempatan adalah tinggi. Oleh itu, negara kita akan terus dibelenggu
krisis kesihatan. Kesannya, kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara terjejas.

3. Menjejaskan Peluang Pekerjaan kepada Penduduk Tempatan

Di samping itu, lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara juga
akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Hal ini dikatakan
demikian kerana, pihak majikan lebih cenderung mengambil pendatang asing tanpa
izin (PATI) untuk bekerja dengan mereka. Kebiasannya, golongan PATI ini diambil
bekerja secara haram oleh pihak majikan di ladang-ladang kelapa sawit, sektor-
sektor pembinaan dan perindustrian. Hal ini dikatakan demikian kerana pendatang
asing tanpa izin (PATI) ini lebih sanggup menerima upah yang rendah berbanding
dengan penduduk tempatan. Kesanggupan pendatang asing tanpa izin (PATI)
menerima upah yang rendah ini menyebabkan pihak majikan mengambil mereka
kerana kos upah yang ditanggung oleh pihak majikan akan menjadi lebih rendah.
Hal ini menyebabkan peluang untuk penduduk tempatan diambil bekerja di sektor-
sektor perladangan kelapa sawit, pembinaan dan perindustrian menjadi semakin
tipis. Ditambah lagi, pendatang asing tanpa izin (PATI) ini juga tidak cerewet seperti
penduduk tempatan, malah terdapat ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang
lebih rajin daripada penduduk tempatan. Hal menyebabkan pihak majikan lebih suka
mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja dengan mereka. Lebih
malang lagi nasib penduduk tempatan kerana kebiasannya golongan pendatang
asing tanpa izin (PATI) ini lebih mahir dalam kerja-kerja perladangan dan pembinaan
serta pengendalian mesin dan jentera berbanding dengan penduduk tempatan. Hal
ini akan mengurangkan kos untuk pihak majikan memberikan latihan dan kemahiran
kepada mereka. Jika hal ini berterusan, maka kadar pengangguran di negara ini
akan meningkat. Jelaslah bahawa, lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ini
akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) juga akan menyebabkan masalah
setinggan. Hal ini dikatakan demikian kerana, banyak pendatang asing tanpa izin
(PATI) yang mendirikan rumah secara haram sehinggalah wujud kawasan
setinggan. Kawasan setinggan yang didirikan ini tidak teratur di mana rumah-rumah
yang dibina di kawasan ini adalah berselerak dan berdekatan antara satu sama lain.
Jika berlaku kebakaran, maka keseluruhan kawasan setinggan ini akan musnah.
Rumah-rumah yang didirikan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) ini juga
berbahaya untuk dihuni kerana tidak kukuh. Selain itu, kawasan setinggan ini juga
akan mewujudkan sebuah kawasan yang kotor kerana kebiasannya di kawasan ini
terdapat banyak sampah sarap. Hal ini berlaku demikian kerana, ketiadaan sistem
pembuangan sampah dan perparitan serta kumbahan yang baik di kawasan ini.
Akibat daripada masalah ini, munculah masalah baharu, iaitu penyakit yang
disebabkan oleh serangga dan haiwan pembawa penyakit seperti lalat, tikus, lipas
dan nyamuk Aedes. Kawasan setinggan yang diwujudkan oleh pendatang asing
tanpa izin (PATI) ini juga berpotensi akan mewujudkan masalah sosial seperti aktiviti
pelacuran. Secara keseluruhannya, masalah setinggan ini sudah pasti akan
mencemarkan imej negara di mata dunia kerana hal ini menggambarkan kegagalan
pentadbiran kerajaan dalam menangani masalah setinggan dan pendatang asing
tanpa izin (PATI).

Sebagai penutup wacana, tegas bahawa kedatangan buruh asing memberikan implikasi positif dan
negatif kepada negara kita. Walaupun segelintir berpendapat bahawa kemasukan buruh asing ke
dalam negara mampu memacu pembangunan negara, namun kita perlu melihat kesan negatif
sekiranya tindakan ini berlarutan. Pihak kerajaan dan masyarakat perlulah berganding bahu bagai aur
dengan tebing untuk menangani masalah ini daripada bermaharajalela. Para majikan harus
mengubah sikap dengan mempertimbangkan dan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan.
Sudah tiba masanya negara Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan
mengalihkan tumpuan kepada teknologi yang lebih tinggi untuk memajukan negara. Justifikasinya,
sebelum nasi sudah menjadi bubur, eloklah masyarakat Malaysia dan pihak kerajaan bermuafakat
supaya Malaysia memanfaatkan buruh asing dan mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin.

You might also like