You are on page 1of 2

Sungai Juru tercemar teruk - CAP

Oleh MALINDA ABDUL MALIK utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 10 Okt. - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak bertanggungjawab memberi perhatian serius terhadap masalah pencemaran Sungai Juru di daerah Seberang Perai Tengah. Hasil tinjauan yang dilakukan oleh CAP mendapati selain bahan toksik dari kawasan perindustrian Perai dan air kumbahan dari taman perumahan, terdapat sisa minyak hitam dibuang ke dalam parit seterusnya mengalir ke sungai. Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris (gambar) berkata, pencemaran itu bukan sahaja menjejaskan kualiti alam sekitar malah turut mengakibatkan kira-kira 300 nelayan di kawasan berkenaan bakal hilang mata pencarian apabila hasil tangkapan ikan serta ternakan kerang di sungai berkenaan terjejas. "Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan bagi menangani masalah berkenaan. "Mereka juga perlu membuat pemantauan lebih kerap dan meningkatkan kawalan serta menguatkuasakan undang- undang dengan tegas supaya ancaman pencemaran itu tidak berlarutan," katanya dalam kenyataan di sini semalam. Sementara itu, seorang penduduk Kampung Kuala Juru, Wahid Osman, 45, memberitahu, walaupun sudah 40 tahun sungai berkenaan diancam masalah, sehingga sekarang tiada sebarang tanda- tanda menunjukkan ia akan berkurangan malah semakin membimbangkan. Katanya, turut mengundang masalah apabila ada pihak yang melaksanakan projek ternakan udang di kawasan berkenaan. "Jika sisa kolam ternakan udang dibuang ke dalam sungai ini, ia bukan sahaja akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan Kuala Juru dan Tok Keramat malah sungai itu juga mungkin tertimbus dan menjadi cetek pada masa akan datang. "Pokok-pokok bakau yang terdapat di sepanjang sungai itu juga mungkin mati dan secara tidak langsung boleh memusnahkan tempat pembiakan ikan, udang, ketam dan lain-lain hidupan termasuk bekalan makanan ternakan kerang yang menjadi sumber rezeki nelayan di sini," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121011/wu_03/Sungai-Juru-tercemar-teruk--CAP#ixzz2Qk8ggdDZ Utusan Melayu (M) Bhd

Sungai Juru Kekal Tangga Teratas Daripada Segi Pencemaran


Oleh Azeman Ariffin PULAU PINANG, 15 April (Bernama) -- Usaha kerajaan menerusi kempen "Cintailah Sungai Kita" yang dilancarkan kira-kira 13 tahun yang lalu nampaknya tidak ubah seperti mencurah garam ke laut, sekurang-kurangnya bila bercakap tentang pencemaran di Sungai Juru, di sini. Tanpa rasa berdosa ada di kalangan anggota masyarakat yang memperlekehkan kempen itu dengan terus menganggap sungai tersebut sebagai "tong sampah" besar untuk mereka membuang segala aneka sampah sarap, najis dan bahan buangan kilang termasuk yang bertoksik. Akibatnya, sungai sepanjang 7.95 kilometer itu terus kekal di tangga teratas sebagai sungai yang paling tercemar di negara ini, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyenaraikannya sebagai salah satu sungai paling tercemar di

Asia Tenggara. Menurut WHO, air sungai itu bukan setakat boleh membunuh apa jua hidupan air, bahkan manusia juga boleh mati jika terminumnya kerana ia beracun dan tahap kualitinya adalah di kategori 5, iaitu begitu tercemar dan tidak boleh diminum walaupun telah dididihkan. Ia sungguh berbeza dengan senario kira-kira 20 tahun yang lalu di mana Sungai Juru merupakan sebuah sungai yang terkenal sebagai tapak pendaratan nelayan di samping pusat ternakan kerang dan ikan dalam sangkar. Pencemaran teruk sungai itu sekarang bukan sahaja menjejaskan pendapatan nelayan pantai di sekitarnya, bahkan menyebabkan Pulau Pinang kehilangan sumber air bersih untuk pelbagai kegunaan termasuk pengairan kawasan pertanian. Keadaan sungai yang amat menyedihkan itu pernah disuarakan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang berkali-kali membuat kenyataan akhbar dan menjalankan penyelidikan dengan membongkar punca pencemarannya. Seorang nelayan, Ahmad Din, 50, yang ditemui Bernama berkata kira-kira 20 tahun yang lalu, beliau dengan mudah dapat menangkap udang di Sungai Juru sehingga mampu memperolehi kira-kira RM50 sehari. "Sekarang bukan sahaja tak ada ikan, rumput tepi sungaipun boleh mati kerana kekotoran," kata beliau yang mengikuti sehari demi sehari kemerosotan kualiti air sungai di kampungnya itu. Ahmad berkata beliau tidak tahu ke mana lagi aduan hendak disalurkan kerana sehingga ini belum ada sebarang tindakan diambil oleh pihak yang berwajib walaupun aduan demi aduan dibuat oleh penduduk sekitar. Kerajaan negeri Pulau Pinang bagaimanapun menyangkal dakwaan kononnya ia tidak memberi perhatian terhadap masalah pencemaran di sungai itu, sebaliknya mendakwa "penduduk di sekitarnyalah yang tidak mahu bekerjasama menjayakan kempen menyintai sungai". Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata walaupun kerajaan berusaha menjalankan kerja pembersihan pada hampir setiap hari, namun sungai itu tetap dipenuhi sampah sarap yang dibuang oleh masyarakat sekeliling. "Mereka nampaknya masih tidak menghargai sungai sebagai sumber bekalan air yang penting untuk segala makhluk yang bernyawa," katanya. Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan negeri kini mengambil beberapa langkah proaktif, termasuk kemungkinan memindahkan penduduk pinggiran sungai serta memantau pembangunan di kawasan sekitarnya. Katanya sebuah jawatankuasa khas kini menjalankan bancian bagi mengenalpasti jumlah rumah setinggan dan kilang haram di sekitar sungai itu. Mana-mana premis perindustrian yang dikenalpasti sebagai penyumbang kepada pencemaran sungai itu akan diminta berpindah ke tempat lain. Azhar berkata kerajaan negeri juga sedang memohon peruntukan khas di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan bagi melaksanakan beberapa program jangka panjang untuk memulihkan kualiti air sungai itu. Daripada segi jangka pendek, dasar sungai itu akan dikorek agar arus airnya mengalir lebih laju ke laut dan tahap kualiti airnya mencapai kategori 3. Yang jelasnya, kerajaan berusaha seberapa yang terdaya, tetapi jika masyarakat setempat terus tidak menunjukkan kasih sayangnya kepada alam semulajadi, tidak mustahil Sungai Juru suatu hari kelak akan menduduki tempat teratas dalam senarai sungai paling tercemar di muka bumi ini. -- BERNAMA

You might also like