You are on page 1of 3

Perbezaan di antara pentaksiran tradisional dan pentaksiran autentik dalam konteks pendidikan di negara ini.

Menurut David Payne dalam bukunya Applied Educational Assessment Edisi Kedua tahun 2003, pentaksiran ialah integrasi proses mengumpul maklumat, menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas maklumat. Daripada pengertian pentaksiran di atas, beliau menyarankan bahawa pentaksiran adalah gabungan pengukuran dan penilaian. Pentaksiran tradisional lebih banyak dikaitkan dengan peperiksaan di mana pencapaian dan prestasi seseorang pelajar itu dilihat dan ditentukan oleh skor atau markah yang diperolehi dalam suatu peperiksaan yang didudukinya. Jika pentaksiran merupakan proses, peperiksaan pula merupakan salah satu kaedah, sistem atau mekanisma yang digunakan dalam proses pentaksiran. Sesuatu peperiksaan selalunya mengandungi beberapa siri ujian yang terancang untuk mendapatkan ukuran tentang sejauh mana proses pengajaranpembelajaran berkesan. Ujian-ujian yang terdapat dalam sesuatu sistem

peperiksaan boleh jadi ujian bertulis, ujian amali, ujian lisan, ujian pendengaran dan ujian berkomputer. Peperiksaan dikatakan menyebabkan anak-anak belajar dan guru-guru mengajar tidak seperti sepatutnya iaitu berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran yang dibekalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum tetapi mengikut peperiksaan. Murid-murid dikatakan belajar dan guru-guru mengajar tidak mengikut kurikulum tetapi mengikut peperiksaan. Hal ini diperhatikan daripada fenomena murid Tahun Enam sekolah rendah yang tidak lagi belajar seawal bulan Julai kerana murid-murid perlu diberi persediaan untuk menduduki peperiksaan UPSR. Mereka akan diberi latih tubi menjawab soalan peperiksaan dan dikehendaki menduduki peperiksaan percubaan lebih daripada sekali.

Dengan ciri yang sedemikian, peperiksaan selalunya hanya sesuai diguna untuk mentaksir domain kognitif atau kebolehan mental seseorang. Dua domain yang lain iaitu afektif dan psikomotor kurang sesuai ditaksir menggunakan kaedah peperiksaan. Oleh hal yang demikian, peperiksaan selalu dikatakan tidak lengkap kerana tidak memberi maklumat yang lebih holistik berkaitan dengan perkembangan dan peningkatan potensi individu seorang insan. Hal-hal seperti sahsiah, akhlak, nilai murni, budi pekerti, penampilan diri, kekuatan jasmani, rohani, emosi dan sosial

sukar atau tidak mungkin dapat ditaksir sepenuhnya menggunakan peperiksaan. Peperiksaan juga seringkali dikaitkan dengan pentaksiran standard, berpusat, luaran, sumatif dan dikendalikan oleh badan peperiksaan. Kekangan ini jugalah yang menyebabkan hal-hal yang sebutkan di atas sukar atau tidak dapat dilakukan dengan kaedah peperiksaan. Hal-hal tersebut lebih sesuai dilakukan melalui pentaksiran autentik di mana ia menilai dengan lebih holistik iaitu melihat kepada semua aspek kognitif, afektif dan psikomotor.

Pentaksiran autentik ini meliputi pentaksiran dari pelbagai aspek merangkumi pengetahuan pelajar, pemahaman mendalam, penyelesaian masalah, kemahiran sosial, sikap terhadap persekitaran, dan simulasi terhadap situasi dunia sebenar. Dalam erti kata lain, pentaksiran autentik ini juga merupakan suatu proses yang melibatkan pelbagai bentuk pengukuran prestasi yang boleh menunjukkan tahap pembelajaran pelajar, kejayaan, motivasi dan sikap pada aktiviti yang relevan. Pentaksiran autentik mula digunakan sebagai satu kaedah yang baru dalam sistem pendidikan disebabkan oleh kesedaran yang semakin meningkat yang mana sebelum ini dipengaruhi oleh ujian berdasarkan kurikulum dan pengajaran sahaja. Selain itu, alat pentaksiran tradisional hanya memerlukan pelajar untuk memaparkan pengetahuan mereka dengan cara yang telah ditentukan terlebih dahulu. Sebaliknya pentaksiran alternatif, mentaksir kemahiran berfikir yang lebih tinggi. Pelajar mempunyai peluang untuk menunjukkan apa yang mereka belajar. Jenis alat pentaksiran ini memberi tumpuan kepada perkembangan dan prestasi pelajar tersebut iaitu, sekiranya seorang pelajar gagal untuk melaksanakan tugas yang diberikan pada masa tertentu, pelajar tersebut masih mempunyai peluang untuk menunjukkan kebolehan pada bila-bila masa yang berbeza dan keadaan yang berbeza.

Sejak pentaksiran autentik dibangunkan dalam konteks dan dari semasa ke semasa, guru mempunyai peluang untuk mengukur kekuatan dan kelemahan pelajar dalam pelbagai bidang dan situasi. Pentaksiran autentik adalah proses

pembelajaran secara berterusan. Pentaksiran ini dijalankan untuk memastikan setiap pelajar memahami dan dapat menterjemahkan kehendak tugasan. Guru juga dapat menentukan apa yang boleh dibantu dalam meningkatkan prestasi pelajar. Penekanan kepada penilaian prestasi dapat memberi keupayaan kepada pelajar

dalam mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan sebenar. Pentaksiran yang bersifat autentik adalah seperti pentaksiran kerja kursus, portfolio atau projek, persembahan, aktiviti jasmani, kokurikulum, sahsiah, budi pekerti dan pembinaan jati diri pelajar dapat dilaksanakan. Melalui pentaksiran ini bukan sahaja dapat menilai kemajuan pelajar, malahan proses pembinaan modal insan yang holistik.

Menurut daripada kajian terdahulu, pentaksiran tradisional seolah-olah tidak mempunyai ciri-ciri yang positif pada semuanya. Walau bagaimanapun, ini tidak benar. Pentaksiran tradisional juga mempunyai kelebihan seperti mana terdapat kelemahan pada pentaksiran autentik. Sebagai contoh, strategi pentaksiran tradisional yang lebih objektif, boleh dipercayai dan juga sah. Ini dapat dilihat daripada ujian sumatif yang seragam dan mempunyai standard yang tertentu.

Sebaliknya, pentaksiran autentik, membawa beberapa kebimbangan dari segi subjektiviti, kebolehpercayaan dan kesahihannya dalam sistem pendidikan. Selain itu, pentaksiran autentik boleh membebankan guru dari segi masa dan juga tenaga. Contohnya, kepelbagaian produk dalam portfolio, yang dilihat sebagai salah satu kekuatan yang paling penting, boleh membawa masalah kepada guru dalam segi praktikal. Guru mungkin sukar untuk menskor dan memerlukan masa yang panjang untuk menilai prestasi pelajar, tidak seperti ujian aneka pilihan, yang praktikal untuk diskor. Sehubungan itu, guru perlu memahami segala jenis pentaksiran samaada pentaksiran tradisional mahu pun pentaksiran alternatif bagi mewujudkan

pengalaman pembelajaran yang baik kepada pelajar secara tidak langsung proses pembinaan modal insan yang holistik dapat diteruskan sejajar dengan saranan kementerian. Justeru itu, dapat dirumuskan bahawa pentaksiran autentik atau pentaksiran alternatif merupakan salah satu pilihan dalam sistem pentaksiran yang dapat memperkayakan pengetahuan guru dan pelajar melalui kepelbagaian aktiviti serta berupaya meningkatkan pembelajaran pelajar melalui produk yang dihasilkan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.

You might also like