You are on page 1of 4

Kritikan sosial dalam filem Seniman P Ramlee

MAR 30, 2014


ZAIRIL KHIR JOHARI

KOMEDI adalah salah satu tema besar, jika tidak yang paling
utama, dalam karya Seniman Agung P Ramlee. Daripada Bujang Lapok (1957) sehinggalah
filem terakhirnya, Laksamana Do Re Mi (1972), ramai dalam kalangan kita masih boleh ketawa
pada adegan lucu yang sama, meskipun sudah berulang-kali menontonnya.
Walaupun tidak kurang bilangan filem komedi Melayu sekarang yang cuba menyalin kembali
lawak-lawak P Ramlee, namun saya pasti kita semua bersetuju bahawa P Ramlee itu tiada
galang gantinya.
Malam ini, sempena Festival P Ramlee Pulau Pinang 2014, Penang Institute bangga untuk
menganjurkan sebuah lagi Forum Nusantara, yang kali ini bertajuk Satira Dalam Filem Melayu.
Bagi mewacanakan unsur komedi dalam filem-filem tempatan dan P Ramlee secara khusus,
kami telah mendatangkan sebagai panelis tokoh-tokoh seni tempatan seperti Hassan Mutalib,
seorang pensyarah filem di UiTM serta pengasas animasi di Malaysia. Turut serta adalah
Disman yang merupakan pengarah teater absurd di Kuala Lumpur, serta Abu Mamu Raja Lawak,
iaitu seorang bintang yang tidak asing lagi di Pulau Pinang. Pengerusi forum pada malam ini
pula ialah Dr Mahyuddin Ahmad daripada USM.
Kawan-kawan sekalian,
Saya bukanlah orang yang arif untuk membincangkan soal filem tetapi sebagaimana kalian
semua, saya adalah peminat filem P Ramlee.
Saya melihat sesuatu yang menarik dalam karya Seniman Agung kita, termasuk filem komedi
beliau, adalah kritikan sosial yang tersirat dalam jalan ceritanya. Lihat sahaja kisah dalam
Bujang Lapok (1957) yang berlatarbelakangkan zaman selepas perang, dengan suasana
mendesak dan perit namun penuh dengan harapan.
Filem tersebut menggambarkan bagaimana terhimpitnya kehidupan selepas perang sehingga
ramai yang licik mengambil kesempatan. Dalam satu adegan, watak Ramli telah ditipu setelah
meminjamkan RM10 kepada seorang wanita bernama Nani yang kononnya mahu pulang ke
rumah untuk mengambil kad pengenalannya yang tertinggal. Dalam adegan lain, tabiat berjudi
seorang bapa hampir mendorong anaknya, Sapiah, untuk membunuh diri. Dalam satu lagi
adegan, Ramli sekali lagi kena tipu dengan seorang wanita dan adik-adiknya seramai 11 orang

sehinggakan Ramlee kehilangan baju dan seluar akibat tidak mampu membayar tauke restoran.
Jangan marah.
Namun, P Ramlee tidak pernah menghukum watak-watak yang penuh muslihat ini, malah beliau
menzahirkan perasaan simpati terhadap mereka. Barangkali, beliau sedar bahawa orang miskin
hanya berbuat jahat apabila kehidupan kian terdesak.
Sebaliknya, P Ramlee tidak begitu baik hati dengan watak yang mewakili golongan kaya dan
berkuasa, khususnya apabila mereka menindas si miskin. Sebagai contoh, sementara bapa
Sapiah yang giat berjudi itu akhirnya insaf dan meminta maaf dengan anaknya, lintah darat
lakonan Shariff Dol yang tergamak mahu memperkosa Sapiah atas ketidakmampuan bapanya
untuk membayar hutang judi pula dipukul teruk.
Pun begitu, jangan pula kita lekas terjun kepada kesimpulan bahawa P Ramlee itu seorang yang
anti-kelas atasan atau bermusuh dengan orang kaya. Dalam filem yang sama,Bujang Lapok,
Ramli akhirnya kena ekor apabila menikahi Cik Normah, iaitu seorang tuan rumah yang kaya.
Malah, watak Cik Normah dibayangkan sebagai wanita yang terhormat sehingga menjadi
perantara bagi membaiki hubungan antara keluarga Zaiton dan Sudin.
Demikianlah, P Ramlee membentangkan kepada kita berkenaan kehidupan selepas perang di
saat baru Merdeka penuh derita tetapi tetap sarat dengan belas kasihan dan harapan. Tambah
menarik, kisah mengenai kesusahan hidup diangkat melalui filem komedi yang bersahaja
sehingga kita ikut tertawa melupakan sengsara.
Itulah serba sedikit pandangan saya sebagai peminat filem P Ramlee. Sudah tentu, panelis kita
pada malam ini akan memberi pengulasan yang lebih mendalam serta perspektif yang lebih
menarik untuk diwacanakan bersama. Semoga perbincangan malam ini akan menyumbang
kepada usaha untuk membina semula tradisi keintelektualan dan pemikiran kritis dalam
kalangan masyarakat kita.
Sekian, terima kasih dan selamat berforum.
Rencana di atas adalah teks ucapan Zairil selaku Ahli Parlimen Bukit Bendera pada Forum
Nusantara ke-8 di Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang sempena Festival P Ramlee
2014.

Mahathir di luar negara semasa Memali - Aspan


MAR 30, 2014
HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: Setakat ingatan


saya Dr Mahathir sudah ke luar negara semasa kejadian Memali itu, tulis Aspan Alias di
dalam blognya.
Menurutnya, tidak kiralah sama ada Dr Mahathir tidak mahu membatalkan lawatannya ke luar
negara itu, tetapi yang beliau rasa pasti semasa kejadian itu Dr Mahathir tidak berada dalam
negara.
Tetapi untuk mendapatkan kesahihannya kita tunggu sahaja apa yang akan diperkatakan oleh
Dr Mahathir nanti, kalau pun beliau mahu memberikan jawapannya, tulisnya lagi, sebagaimana
di bawah.
Isu Memali kembali menjadi perhatian selepas Tun Musa Hitam (TMH) bekas Timbalan Perdana
Menteri pertama kepada Dr Mahathir yang juga mengetuai kementerian dalam negeri, pada
tahun tragedi itu berlaku. Isu ini pernah disebut dalam beberapa isu politik dalam pertengahan
lapan puluhan dahulu dan saya sendiri pernah mendengar penerangan yang diberikan oleh TMH
sekali dua dalam tempoh itu.
Saya tidak berniat untuk bercakap tentang isu ini dengan tepat kerana dalam artkel ini saya
hanya hendak mengulangi apa yang disebut oleh TMH semasa itu. Saya masih ingat dengan
jelas penjelasan TMH bagi menjawab tuduhan setengah pihak di dalam dan luar UMNO semasa
itu yang mengaitkan nama TMH dengan kejadian di Memali itu.
Kami pernah mendapat penerangan dari TMH apabila ada pihak dalam UMNO sendiri
menjadikan isu Memali ini semasa pertandingan parti dalam tahun 1987 dahulu. TMH telah ke
hadapan memberikan penerangan kepada kami yang beliau telah pergi ke Lapangan Terbang
Subang untuk memujuk Dr Mahathir supaya membatalkan lawatannya ke negara China kerana
isu Memali ini adalah isu yang amat serius yang memerlukan Dr Mahathir ada bersama dalam
menangani isu Memali yang kian memuncak semasa itu.
TMH berkata Dr Mahathir tidak mempedulikan pujukan beliau itu dan terus juga terbang ke
Jepun, sebelum memulakan lawatannya ke negara China itu. Akhirnya berlakulah kejadian
Memali itu pada 19hb November 1985 itu sehari sebelum Dr Mahathir memulakan lawatan
beliau ke negara China semasa itu. Pada pendapat saya Dr Mahathir tidak berada dalam negara
semasa itu kerana beliau tidak mahu menerima pujukan TMH untuk membatalkan lawatan beliau
ke China yang telah diuruskan terlebih awal.

TMH telah menyatakan yang Dr Mahathir tidak mahu membatalkan lawatannya itu walaupun
TMH merasakan yang lawatan itu boleh dibatalkan dan secara diplomatiknya kita mampu
memberikan sebab kepada negara China kenapa lawatan itu terpaksa dibatalkan. Tetapi Dr
Mahathir tetap juga pergi dan TMH tidak dapat berbuat apa-apa kerana Dr Mahathir tetap mahu
meneruskan lawatan beliau ke China itu. Inilah yang diberitahu oleh TMH jika ia boleh membantu
Dr Mahathir yang berkata beliau sudah lupa tentang di mana beliau berada semasa kejadian
berdarah Memali itu berlaku.
Kenyataan TMH di Kota Baru yang Dr Mahathir semasa kejadian itu berlaku agak berbeza
dengan apa yang beliau terangkan kepada kami penggiat parti pada tahun 1987 itu kerana
kejadian itu berlaku sehari sebelum beliau memulakan lawatan ke negara China itu.
Kalau tidak salah pendengaran saya semasa itu, begitulah yang diterangkan oleh TMH dalam
menjawab isu yang dimainkan oleh setengah pihak dalam UMNO semasa itu. Tetapi kita wajar
juga mendengar penerangan atau jawapan Dr Mahathir dalam isu ini.
Tentunya perkara ini akan timbul keadaan sebenarnya kerana lawatan rasmi Perdana Menteri
selalunya ada rekodnya tercatat.
Dr Mahathir telah berjanji untuk meneliti kesahihan kenyataan TMH itu, kerana beliau berkata
kejadian itu terlalu lama untuk diingati dengan sepenuhnya. Mungkin TMH sendiri ada fakta yang
beliau lupa kerana ia berlaku tiga puluh tahun dahulu.
Tetapi setakat ingatan saya Dr Mahathir sudah keluar negara semasa kejadian Memali itu. Tidak
kiralah samada Dr Mahathir tidak mahu membatalkan lawatannya ke luar negara itu, tetapi yang
saya rasa pasti semasa kejadian itu Dr Mahathir tidak berada dalam negara.
Tetapi untuk mendapatkan kesahihannya kita tunggu sahaja apa yang akan diperkatakan oleh Dr
Mahathir nanti, kalau pun beliau mahu memberikan jawapannya.

You might also like