You are on page 1of 20

a)Kategori kanak-kanak berkeperluan khas

Mengikut Hallahan dan Kauffman (2006), pendidikan khas didefinisikan sebagai satu
bentuk pendidikan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak
berkeperluan khas. Kanak-kanak berkeperluan khas memiliki satu atau gabungan
kecacatan atau kekurangan atau kelemahan sama ada dari segi fizikal, deria, mental,
emosi, sosial, kesihatan atau tingkah laku jika dibandingkan dengan kanak-kanak biasa.
Mereka memang memerlukan satu pendidikan yang dapat menerima kecacatan yang
dimiliki oleh mereka. Oleh itu, pendidikan khas dapat memenuhi keperluan mereka.
Pelbagai istilah telah digunakan untuk kanak-kanak berkeperluan khas seperti kanak-
kanak istimewa, kanak-kanak luar biasa, kanak-kanak kurang upaya , kanak-kanak
cacat, kanak-kanak abnormal, kanak-kanak bermasalah ,kanak-kanak kelainan upaya
dan kanak-kanak terbantut pertumbuhan atau perkembangan. Dalam sebuah kelas
biasa, pelajar-pelajar akan dikategorikan melalui latar belakang keluarga, budaya dan
pencapaian akademik mereka. Begitu juga dengan kanak-kanak berkeperluan
khas.Dengan mengkategorikan mereka, kita akan dapat memahami ciri-ciri setiap
kategori serta intervensi-intervensi yang sesuai untuk mengatasi masalah
mereka.Kanak-kanak berkeperluan khas terdiri daripada kanak-kanak bermasalah
pendengaran, kanak-kanak bermasalah penglihatan,dan kanak-kanak bermasalah
pembelajaran.

Kanak-kanak bermasalah pendengaran terbahagi kepada beberapa kumpulan


berpandukan tahap pendengaran mereka. Masalah pendengaran terjadi apabila deria
dengar seseorang terganggu atau terhalang daripada mendengar dan mengamati
sesuatu bunyi, perbualan atau bisikan orang lain.(Asiah,2012). Masalah pendengaran
dapat terbahagi kepada dua jenis iaitu pekak dan separa pekak. Kanak-kanak atau
orang dewasa yang pekak iaitu seseorang yang tahap pendengarannya teruk (91 dB
atau lebih) terutamanya saraf sensorinya rosak dan berlaku sebelum ia boleh bertutur.
(Stephen P. Quigley & Robert E. Kretschmer, 1982) Mereka tidak dapat mendengar
bunyi secara langsung walaupun dengan alat bantuan mendengar. Bagi seseorang
yang separa pekak, mereka masih dapat mendengar sisa-sisa bunyi yang dikeluarkan
di alam sekeliling. Seseorang yang hanya boleh mendengar bunyi antara 27 hingga 65
dB dikatakan sebagai mengalami kesukaran pendengaran atau separa pekak manakala
individu yang hanya boleh mendengar bunyi pada 90 dB dan ke atas dikatakan sebagai
pekak. Walaupun kecerdasan mereka pada tahap normal, namun kebanyakan mereka
terjejas daripada aspek sosial dan emosi kerana mereka akan menghadapi cabaran
dalam komunikasi dengan orang lain. Mereka sukar untuk menyampaikan idea fikiran
mereka atau memahami mesej yang disampaikan oleh orang lain. Jadi,wujudlah
masalah komunikasi dan pertuturan. Selain itu, mereka sangat bergantung kepada
orang lain dan lemah dalam bacaan, percakapan dan penulisan walaupun dapat
menguasai bahasa isyarat dengan baik. Pertuturan kanak-kanak ini tidak lancar kerana
mereka sering salah sebutan dan mempunyai nada suara yang lebih tinggi atau rendah
dan memusingkan kepala untuk mendengar.

Kanak-kanak yang dikategorikan mempunyai masalah penglihatan biasanya


mempunyai penglihatan yang terbatas dan buta. Kerosakan penglihatan tersebut telah
menganggu pembelajaran mereka. Masalah penglihatan terbatas bermaksud tahap
penglihatan kanak-kanak berada di antara 20/70 dan 20/200 dengan penggunaan lensa.
Kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan terbatas masih berupaya melihat
dan membaca, melihat muka orang lain serta melihat objek dan gambar setelah diberi
alat bantuan penglihatan seperti cermin mata, sistem braille dan kanta pembesar. Kanta
pembesar digunakan untuk menawarkan fleksibiliti pembesaran yang jarak antara teks
atau objek boleh dilaras mengikut kesesuaian penglihatan. Dalam kelas, mereka perlu
ditempakan di hadapan kelas dan didedahkan dengan tulisan besar dengan cahaya
yang sesuai. Kanak-kanak buta tidak dapat melihat secara langsung dalam
pembelajaran. Dari segi pendidikan, buta bermaksud individu berkenaan terpaksa
bergantung kepada deria sentuhan dan pendengaran untuk pembelajaran akademik.
Mereka bergantung kepada pendengaran dan sentuhan. Kadang kala mereka juga
masalah psikomotor yang agak terhad. Kepayaan motor mereka terganggu kerana
mereka tidak dapat menerokai persekitaran seperti kanak-kanak normal. Di samping itu,
pengalaman mereka yang terhad dalam dunia visual memberi kesan kepada
perkembangan bahasa. Sebagai contoh, kanak-kanak normal dapat menghuraikan
bentuk dan rupa epal dengan jelas sedangkan kanak-kanak buta tidak dapat berbuat
demikian. Perkara ini boleh menjejaskan perkembangan personaliti kanak-kanak
sekiranya mereka tidak diberi perhatian yang secukupnya.

Salah satu daripada kategori kanak-kanak keperluan khas yang telah dikenalpasti ialah
kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Pelajar bermasalah pembelajaran merupakan
golongan kanak-kanak berkeperluan khas yang paling banyak. Masalah pembelajaran
merangkumi disleksia, ADHD, lembam, autism, sindrom down dan pintar cerdas.
Menurut Individual with Disabilities Education Act (IDEA), 1997, masalah pembelajaran
ialah masalah dalam satu atau lebih daripada proses asas psikologi melibatkan
pemahaman atau penggunaan bahasa sama ada pertuturan atau penulisan di mana
masalah yang dihadapi mengakibatkan kebolehan mendengar, berfikir, bertutur dan
membaca yang tidak sempurna. Masalah pembelajaran juga dapat dikaitkan dengan
cara otak menerima, memproses, menganalisis dan menyimpan maklumat. Masalah-
masalah yang selalu timbul daripada masalah pembelajaran adalah seperti masalah
kognitif, akademik, sosial dan emosi dan tingkah laku. Dari segi kognitif, kanak-kanak
bermasalah pembelajaran lemah dalam tumpuan, perhatian dan ingatan. Mereka sukar
memahami dan mengingati pembelajaran serta tidak mampu mengaplikasikan
pengetahuan dalam pembelajaran. Ciri-ciri akademik yang berlaku dalam kalangan
kanak-kanak bermasalah pembelajaran biasanya dikaitkan dengan masalah membaca,
menulis dan mengira. Dari aspek membaca, mereka melakukan banyak kesilapan
semasa membaca. Mereka menghadapi kesukaran dalam mengenalpasti idea utama
dari bahan bacaan, mengingati fakta asas dan peristiwa dalam aturan yang betul serta
membuat kesimpulan dan analisis bahan yang telah dibaca. Istilah yang sering
dikaitkan dengan masalah membaca ialah masalah disleksia. Dari aspek mengira,
mereka keliru dengan symbol matematik dan salah tafsir nombor manakala dari aspek
menulis mereka selalu membuat kesalahan dalam ejaan, sukar memegang pensil
ketika menulis dengan tangan, menulis huruf dengan saiz yang berlainan dan sukar
memikirkan perkataan yang sesuai dalam penulisan. Pada aspek sosial emosi dan
tigkah laku, sebahagian besar daripada mereka mempunyai masalah sukar memberi
tumpuan, mudah terganggu, terlalu aktif dan resah, tidak mengikut arahan dan
sebagainya. Istilah yang sering digunakan dalam masalah ini disebut masalah kurang
tumpuan hiperaktiviti (ADHD). Kanak-kanak ADHD bersikap impulsif dan sering
menggangu perbualan, aktiviti atau menyatakan sesuatu tanpa berfikir. Masalah tingkah
laku akan menganggu kelas dan tidak menyenangkan guru, ibu bapa dan pelajar lain.
Masalah tingkah laku juga boleh menjejaskan hubungan sosial dengan kawan-kawan di
sekolah. Jenis kanak-kanak bermasalah pembelajaran yang kerap wujud ialah lembam
(slow learner).Perkembagan kanak-kanak lembab ini agak lambat sejak peringkat
bayi,di mana bayi ini lambat senyum, lambat bertindak balas terhadap bunyi atau suara
ataupun tidak balas menggenga masih belum hilang walaupun usia bayi lebih 3 bulan.
Kanak-kanak lembab ini biasanya tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar oleh guru
yang menggunakan kaedah biasa. Ini kerana mereka tidak dapat memberi tumpuan
dan minat terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Persatuan
Kerencatan Akal Amerika (AAMR), terencat akal sebagai satu ketidakupayaan yang
dapat dilihat melalui fungsi intelek serta tingkah laku penyesuaian seperti komunikasi,
penjagaan diri dan kemahiran sosial yang amat terhad. Tahap keintelektualan kanak-
kanak sangat rendah iaitu hanya antara 55/60 dan 85/90 sedangkan IQ normal kanak-
kanak ialah 90. Kanak-kanak terencat akal sukar memberikan perhatian dan sukar
mengaplikasi sesuatu yang dipelajari dalam situasi baru. Walaubagaimanapun, paras
rupa kanak-kanak ini seperti kanak-kanak biasa dan mereka biasanya dibenarkan
masuk ke sekolah biasa. Sindrom down berpunca daripada masalah yang disebabkan
daripada masalah berlebihan kromosom dalam pasangan kromosom ke-21. Akibat
daripada sindrom down, kanak-kanak mempunyai mata sepet dan muka yang kecil,
mulut yang sentiasa terbuka dan berbadan gempal dan pendek .Kesan daripada
masalah fizikal yang dialami, mereka cenderung mengalami masalah penafasan dan
sukar untuk makan. Mereka juga lemah dalam koordinasi mata dan otot dan kurang
upaya meneroka persekitaran. Kategori masalah pembelajaran seterusnya ialah
autisme. Kanak-kanak autisme mempunyai masalah komunikasi dan menunjukkan
tabiat yang tidak suka bertentang mata,tidak takut akan bahaya dan tidak menunjukkan
sebarang reaksi dalam apa-apa situasi. Mereka lebih minat kepada barang permainan
daripada berinteraksi dengan orang lain.Ketika marah, mereka suka melakukan
perbuatan yang merugikan diri sendiri seperti menggigit tangan atau mengetuk kepala.
Dalam definisi Marland, Public Law 9 1-230 telah mendefisikan seorang yang pintar
cerdas dan berbakat adalah golongan yang dikenali sebagai seseorang yang layak
secara professional yang secara kebajikannya mempunyai kebolehan yang terserlah.
Kanak-kanak yang pintar cerdas biasanya menunjukkan kebolehan mempelajari
sesuatu dengan lebih cepat jika dibandingkan dengan rakan sebaya. Tambahan pula,
mereka juga menunjukkan keinginan untuk mengetahui yang lebih jika dibanding
dengan rakan sebaya. Kanak-kanak pintar cerdas dapat dibantu melalui pengasingan,
pemecutan dan pengayaan. Dalam program pengasingan, kanak-kanak diasingkan
daripada rakan sebaya di mana mereka disediakan kurikulum khas yang mampu
menggalakkan kebolehan istimewa mereka. Program pemecutan disediakan dengan
rancangan khas dalam kelas yang sama. Rancangan ini membantu mereka belajar
sesuatu bidang kemahiran mereka pada kadar yang lebih cepat berbanding rakan
sebaya manakala program pengayaan melibatkan pendekatan yang menyediakan
pengalaman pengayaan sama ada di dalam atau di luar kelas. Misalnya aktiviti
menganjurkan lawatan ke muzium negara.

b)Masalah Komunikasi yang dihadapi kanak-kanak berkeperluan khas

Komunikasi ialah satu proses di mana informasi dipindahkan di antara dua atau lebih
individu. Komunikasi melibatkan dua hala iaitu orang yang memberi isyarat dan orang
yang mentafsir isyarat. Menurut Mangantar Simajuntak (1982:5), bahasa ialah satu
sistem kognitif manusia yang unit yang dapat dimanipulasi oleh manusia untuk
menghasilkan sejumlah ayat yang tidak terbatas untuk dipakai oleh manusia sebagai
alat komunikasi dan mengakumulasi ilmu pengetahuan. Secara umum, komunikasi
merupakan sebuah analogi perpindahan maklumat menerusi deretan simbol yang sama
kepada individu atau sekelompok insan yang lain. Namun demikian, kanak-kanak
berkeperluan khas yang menghadapi masalah komunikasi tidak berupaya
menggunakan bahasa dengan lancar. Bagi pihak USA, masalah bahasa adalah
kelemahan dalam keupayaan untuk memahami atau menggunakan perkataan mengikut
konteks, sama ada secara verbal dan bukan verbal. Di antara ciri masalah umum ialah
penggunaan perkataan dan maknanya yang kurang sesuai, tidak upaya menyampaikan
idea, bentuk tatabahasa yang kurang sesuai, kurang perbendaharaan kata dan tidak
berupaya mengikut arahan. Mengikut McAuley (1988), komunikasi yang baik dapat
meningkatkan keyakinan seseorang individu. Menurut Anuar pula pada tahun 2009,
komunikasi atau pertuturan adalah bentuk ekspresi bahasa yang paling biasa dan
memerlukan koordinasi di antara alat artikulasi, pernafasan, dan suara. Bagi kanak-
kanak yang mempunyai masalah komunikasi, mereka tidak mempunyai keupayaan
untuk bertutur tanpa teragak-agak atau tersekat-sekat agar komunikasi yang sedang
berlangsung tidak terganggu.

Menurut Anuar (2009), gagap merupakan salah satu gangguan kelancaran yang
berlaku yang melibatkan aliran pertuturan yang mempengaruhi kadar dan kelicinan
pertuturan seseorang. Gagap ialah sesuatu masalah pertuturan di mana sebutan huruf
perkataan pertama biasanya akan diulang-ulang. Ia merupakan satu gangguan di mana
perkataan diganggu tanpa disedari oleh pengulangan atau pemanjangan suara, suku
kata perkataan dan frasa. Oleh itu, gangguan komunikasi berhubung dengan kesukaran
mengeluarkan bunyi perkataan secara spesifik juga boleh dinamakan gagap. Kanak-
kanak yang menghadapi masalah gagap akan menghadapi kesukaran untuk bercakap
dengan lancar jika berada di depan orang ramai atau mengalami stress dan ketakutan.
Mereka tidak dapat menyebut perkataan dengan jelas dan terulang-ulang semasa
menyebut satu perkataan adalah disebabkan oleh gangguan pernafasan yang
berpunca daripada penyelarasan otot yang tidak sempurna. Terdapat beberapa punca
yang mengakibatkan kanak-kanak menghadapi masalah gagap. Salah satu faktor ialah
faktor perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang masih belum petah bercakap
pada usia 3 hingga 5 tahun dikatakan akan menghadapi masalah gagap pada dewasa
nanti. Pada usia yang awal perkembangan berbahasa tidak cukup berkembang, tatkala
pada dewasa nanti perkembangan bahasa pasti terbantut. Anuar dalam penulisan blog
beliau pada 15 April 2009 menjelaskan bahawa perkembangan bahasa dan komunikasi
kanak-kanak dipengaruhi oleh kecepatan atau kelewatan penerimaan bahasa. Terdapat
kanak-kanak lewat menyerap bahasa yang diterimanya. Namun demikian, sekiranya
intervensi-intervensi pengajaran yang sesuai didedahkan kepada kanak-kanak, mereka
masih mempunyai potensi untuk menguasai bahasa seperti kanak-kanak lain. Selain itu,
kanak-kanak yang menghadapi gagap juga disebabkan oleh ketidakstabilan mekanisme
neuromuscular untuk pertuturan ketika peringkat awal kanak-kanak. Ketika kanak-
kanak ingin bercakap, otot-otot pertuturan masih belum bersedia. Otot pertuturan yang
tidak stabil menyebabkan pertuturan mereka terulang-ulang dan tidak lancar. Masalah
gagap akan menggangu perkembangan bahasa dan komunikasi bagi seorang kanak-
kanak. Hal ini demikian kerana proses komunikasi yang dilafazkan menjadi tidak lancar
secara tidak sengaja kerap mengulang-ulang menyebut perkataan yang sama dan
berlaku pemanjangan bunyi perkataan. Penutur tidak berupaya menyampaikan mesej
penuturan secara lengkap dan tepat kepada pendengarnya. Perkara ini seterusnya
mengagalkan proses perkembangan bahasa dan komunikasi dalam individu tersebut.
Di samping itu, masalah gagap dipengaruhi oleh faktor psikologi. Keperluan psikologi
merupakan keperluan sekunder yang meliputi keperluan-keperluan keselamatan, kasih
sayang, penghargaan kendiri, kesempurnaan kendiri serta motivasi kendiri. Mengikut
teori A.H. Maslow, semua keperluan psikologi yang telah disediakan dengan sempurna
akan mendorong seseorang untuk memanfaatkan keperluan-keperluan yang sedia ada
untuk memaksimumkan potensi kendiri. Kanak-kanak berhak mendapat kasih sayang,
jaminan keselamatan, pendidikan serta penghargaan diri. Oleh yang demikian, secara
rumus bahawa kanak-kanak hanya akan berkembang dari segi bahasa dan
komunikasinya apabila keperluan-keperluan psikologi itu dipenuhi. Sebaliknya,
sekiranya keperluan-keperluan psikologi tidak dipenuhi atau diancam, misalnya kanak-
kanak hidup dalam stres, ketakutan, cemas, malu dan rendah diri, maka inilah alasan
utama gagap boleh berlaku dalam tempoh masa panjang. Di sinilah terdapat beberapa
tokoh terkenal yang pernah menghadapi masalah gagap seperti Alvin Lucier, Alan
Turing, James Earl Jones, Maharaja Claudius dan Marilyn Monroe.

Artikulasi adalah proses pembentukan bunyi-bunyi, suku kata, dan kata-kata. Masalah
artikulasi merujuk kepada pengeluaran bunyi pertuturan yang abnormal. Masalah
artikulasi meyebabkan percakapan tidak menjadi normal dan kurang sesuai dituturkan.
Seseorang memiliki masalah dalam artikulasi apabila ia melahirkan suara-suara, suku
kata, dan kata-kata secara tidak tepat sehingga pendengar sulit memahami apa yang
diucapkannya atau pendengar sulit memahami apa yang diucapkannya atau
memerlukan perhatian yang lebih untuk mengerti suara kata-katanya. Daripada
keseluruhan orang yang menghadapi masalah dalam bahasa, jumlah orang yang
menghadapi masalah artikulasi ialah sebanyak 60% hingga 80%. Mereka agak sukar
dalam menyebut huruf-huruf konsonan seperti R, L, K dan S. Antara penyebab-
penyebab berlakunya masalah artikulasi adalah seperti gangguan pada alat artikulasi,
kecacatan struktur artikulasi, masalah fonologi dan kelumpuhan otak, kecacatan lidah,
peniruan pertuturan yang salah ketika mula belajar bercakap sewaktu kanak-kanak dan
faktor persekitaran. Terdapat empat perkara yang wujud dalam masalah artikulasi iaitu
penggantian, pengguguran, penggubahan bunyi dan penambahan. Penggantian bunyi
terjadi apabila bunyi tertentu dalam sesuatu perkataan digantikan dengan bunyi lain,
misalnya malan untuk makan dan wabbit untuk rabbit. Fonem g diucapkan d
seperti gigi diucapkan didi dan gelas diucapkan delas. Fonem s diucapkan t
seperti nasi diucapkan nati. Pengguguran bunyi pula melibatkan pengguguran bunyi
konsonan dan boleh berlaku di permulaan, tengah atau akhir perkataan, misalnya
idung untuk hidung dan esar untuk besar. Seterusnya, penggubahan bunyi akan
terjadi apabila sebutan asal diubah sehingga menghilangkan makna. Proses
penggubahan berlaku sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Sebagai
contoh, perkataan susah, konsonan s dengan hembusan angin yang kuat boleh
mengubah bunyi perkataan tersebut, misalnya sssyusyah, ambil menjadi amek,
brother menjadi brad. Penambahan bunyi wujud dalam perkataan seperti bawa
menjadi bawwah.

Bahasa reseptif dan ekspresif terdiri daripada bahasa penerimaan dan bahasa
pelahiran yang terdapat dalam bentuk percakapan atau penulisan. Bahasa penerimaan
ialah keupayaan memahami input komunikasi bahasa sama ada dalam bentuk
percakapan atau penulisan. Seseorang dapat memahami dan mengintepretasikan idea-
idea penutur dengan baik sekiranya dia mempunyai perbendaharaan kata yang luas.
Bahasa pelahiran pula merujuk kepada keupayaan melahirkan output komunikasi sama
ada dalam bentuk percakapan atau penulisan. Bagi kanak-kanak yang menghadapi
masalah gangguan campuran reseptif dan ekspresif, mereka mempunyai kesulitan
untuk mengeluarkan idea-idea dengan jelas dan memahami pertuturan orang lain,
terutamanya perkara yang bersifat abstrak. Mereka sering salah mentafsirkan
percakapan orang lain yang bercerita panjang. Terdapat 40% kanak-kanak menghadapi
gangguan fonologi dan 60% menghadapi masalah membaca. Masalah bahasa,
dikombinasi dengan kesulitan membaca akan menjejaskan kemampuan akademik,
hubungan sosial dengan rakan sebaya serta keyakinan diri. Mereka akan dapat bertutur,
tetapi terlambat dibandingkan rakan sebayanya. Pada masa dewasa, kemampuan
pertuturan mereka akan meningkat dan berupaya berkomunikasi dengan orang lain
dalam kehidupan seharian, tetapi mereka tetap menunjukan kesulitan untuk
mengertikan cerita yang panjang dan perkara yang bersifat abstrak. Bagi kanak-kanak
yang hanya mengalami gangguan ekspresif, anak-anak ini mempunyai kepandaian,
pendengaran, kemampuan komprehensi, dan emosi yang normal. Mereka hanya
menghadapi cabaran dalam menterjemahkan idea-idea yang disampaikan oleh orang
lain. Masalah ini berlaku disebabkan oleh gangguan pada fungsi otak yang
menyebabkan mereka tidak berupaya menerima input pertuturan orang lain. Sebanyak
50-80% di antara anak-anak ini akan mencapai kemampuan bertutur yang normal
sebelum mencapai umur sekolah. Kanak-kanak akan menunjukkan gangguan
membaca apabila sampai umur sekolah. Mereka kelihatan normal dalam pertuturan
namun mereka tidak dapat menceritakan hal yang kompleks. Senario ini akan
menurunkan prestasi akademik, menyebabkan gangguan personal-sosial dan
menyebabkan timbulnya rasa rendah diri dalam kalangan kanak-kanak sekiranya tiada
intervensi awal diberikan.

c) Intervensi bagi mengatasi masalah tersebut

Guru memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah gagap. Guru berperanan
penting untuk memperbaiki masalah gagap kanak-kanak berkeperluan khas melalui
proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Bagi menimbulkan suasana yang
aktif dan ceria dalam proses pengajaran dan pembelajaran,guru perlu memaksimumkan
interaksi dengan murid. Semasa menyampaikan arahan, guru perlu memastikan anak
murid menumpukan perhatian sebelum kelas bermula. Arahan yang diberikan mestilah
jelas dan terang. Bagi murid yang masih kurang memahami arahan, guru perlu
mengulang dan menguatkan suara sehingga semua pelajar memahami arahan tersebut.
Guru dielakkan untuk memarahi anak murid yang kurang menunjukkan perkembangan
yang sihat dalam bahasa dan pertuturan. Sebaliknya, dorongan serta motivasi adalah
penting untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tambahan pula, guru mestilah
memberi peluang kepada pelajar untuk bercakap dengan bahasa yang betul dan tanpa
berulang-ulang. Guru boleh memberi satu topik perbualan kepada pelajar dan meminta
pelajar untuk berbincang dalam kumpulan mengenai topik tersebut. Pendekatan
tersebut dapat dikatakan mampu memaksimumkan penglibatan pelajar dalam
pertuturan dan peranan guru menjadi kurang. Di samping itu, aktiviti modeling juga
dapat mengalakkan murid untuk bertutur dengan baik. Guru memerlukan seorang
pembantu untuk menjadi model. Seterusnya, model akan menunjukkan gambar dan
murid-murid disuruh untuk mendengar apa yang ditutur oleh model. Dalam proses
pengajaran dan pembelajaran ini murid dapat dilatih untuk mendengar dan bertutur
dengan baik. Penggunaan bahasa yang mudah difahami adalah sangat penting untuk
mengatasi masalah murid yang bermasalah bahasa dan komunikasi. Kaedah
pengajaran dan pembelajaran tersebut juga meliputi khayalan mental yang sangat
bermanfaat kepada pelajar gagap. Khayalan mental membentuk kebolehan pelajar
menggambarkan sesuatu. Daripada gambar yang sama, guru boleh menetapkan satu
tema dan pelajar boleh diarahkan untuk menggambarkan objek, benda dan manusia
mengikut kreativiti masing-masing tetapi dengan syarat mestilah relevan dengan tema
yang diberikan. Aktiviti tersebut akan menjadi lebih menarik sekiranya pelajar
mengembangkan kreativiti dengan rakan sebaya. Secara langsung, pelajar-pelajar
sekali lagi didedahkan peluang untuk mengasahkan pertuturan. Pelajar yang
mempunyai masalah gagap juga menghadapi kesukaran dalam menulis disebabkan
kelumpuhan otot. Oleh hal yang demikian, latihan penggunaan tangan yang mahir yang
melibatkan tangan kiri dan tangan kanan untuk membaca dan menulis perlu dijalankan
supaya kelumpuhan otot dapat dipulihkan.

Intervensi pengajaran bahasa merupakan tindakan awal untuk membantu memulihkan


atau mengurangkan masalah komunikasi yang dihadapi oleh kanak-kanak. Guru perlu
menggunakan beberapa teknik pengajaran yang sesuai untuk memenuhi keperluan
kanak-kanak berkeperluan khas. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kanak-kanak
yang menghadapi masalah reseptif dan ekspresif menghadapi kesulitan dalam
memahami dan menyampaikan idea-idea kepada orang lain, terutamanya idea-idea
abstrak. Masalah tersebut akan menyebabkan komunikasi mereka tidak begitu lancar.
Dengan hal yang demikian, mereka memerlukan situasi yang praktikal untuk
menggambarkan apa yang telah mereka pelajari. Kaedah pengajaran ini disebut
sebagai kaedah pengajaran dalam pelbagai situasi. Kaedah ini memerlukan guru untuk
mengajar bahasa di dalam situasi yang diadakan supaya ia dapat membantu kanak-
kanak memahami isi pelajaran dan seterusnya membantu mereka menguasai
kemahiran bahasa yang diajar. Sebagai contoh, jika kanak-kanak sedang mendiami di
kawasan bandar, mereka dapat memahami konsep bangunan pencakar langit,
kenderaan, lebuh raya dan suasana yang sibuk. Sebaliknya, jika mereka berada di
kawasan pedalaman, maka mereka dapat memahami ayam, itik, lembu, rumah papan
dan konsep suasana yang tenang. Kanak-kanak bermasalah reseptif dan ekspresif
harus dilatih meluahkan hasrat hatinya sejak kecil lagi. Mereka harus digalakkan untuk
menyampaikan isi hati setelah melihat benda atau mendengar sesuatu perbualan.
Meskipun mereka menghadapi cabaran dalam memahami atau mengintepretasikan
mesej orang lain, hal ini tidak bermakna mereka tidak berhak untuk meluahkan isi
perasaan mereka. Cara yang paling mudah adalah dengan meminta mereka bercakap
tentang apa yang mereka sedang fikirkan mengenai sesuatu benda atau perkara yang
mereka sedang lakukan.Kemahiran menerang sangat penting dalam proses komunikasi.
Proses penerangan harus di bawah pemerhatian guru aspek fonologi, semantik dan
sintaksisnya. Setelah proses menerang itu berakhir, guru membetulkan mana-mana
aspek penggunaan bahasa yang salah. Latihan tersebut perlu dijalankan secara
berterusan untuk memastikan pencapaian kanak-kanak dalam pertuturan dan
pemahaman. Oleh itu, pelajar juga digalakkan meningkatkan kemahiran menerang
dengan cara meminta mereka menceritakan apa yang orang lain sedang lakukan.
Aktiviti pembelajaran ini adalah sangat sesuai kepada kanak-kanak yang bermasalah
reseptif dan ekspresif kerana menceritakan perkara yang dilihat lebih mudah
berbanding perkara-perkara abstrak.

Salah satu aspek yang menyumbang kepada terbantutnya perkembangan bahasa dan
komunikasi dalam diri individu ialah masalah kesihatan terutamanya dalam kawasan
artikulasi. Oleh itu, intervensi artikulasi juga harus diketengahkan. Terapi pertuturan
amat digalakkan kepada kanak-kanak bermasalah artikulasi. Dalam terapi pertuturan,
kanak-kanak akan diagihkan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai
seorang ahli terapi pertuturan. Ahli terapi pertuturan akan memaksimumkan interaksi
dengan kanak-kanak dan bercakap banyak dengan mereka. Interaksi yang aktif mampu
merangsang perkembangan bahasa kanak-kanak untuk bertutur. Bahan-bahan
pengajaran yang efektif seperti buku, gambar dan pengalaman dapat meningkatkan
keberkesanan terapi ini. Ahli terapi akan berperanan sebagai model menunjukkan cara
penyebutan yang betul dan menggunakan kaedah latih tubi untuk membina kemahiran
bertutur dan bahasa. Kanak-kanak diminta untuk mendengar penyebutan perkataan
dengan teliti. Kemudian, kanak-kanak diarahkan untuk menyebut perkataan dengan
intonasi yang betul. Sebelum aktiviti dijalankan, terapi artikulasi yang melibatkan
artikulasi, penghasilan bunyi dan latihan-latihan melalui tunjuk cara penyebutan yang
betul harus ditunjukkan kepada kanak-kanak. Contohnya, ahli terapi akan menunjukkan
cara menyebut huruf l. Selain itu, dia juga akan menunjukkan bagaimana lidah harus
digerakkan sehingga bunyi l dihasilkan. Menurut Bloom (1991) beliau menjelaskan
bahawa pendekatan interaktif perlu digunakan agar kanak-kanak dapat dirangsang
untuk banyak bercakap dan menggunakan bahasa yang sesuai. Melalui pendekatan ini,
ahli intervensi yang mungkin terdiri daripada ibu bapa, guru pendidikan khas atau ahli
terapi pertuturan akan cuba menggunakan sifat semulajadi kanak-kanak untuk
bercakap tentang apa yang mereka sedang lakukan, merancang untuk lakukan ataupun
perkara yang ingin dilakukan. Sesi pengajaran boleh dijalankan di mana-mana sahaja.
Contohnya, sewaktu kanak-kanak sedang makan dan bermain, ahli terapi boleh
menanyakan benda yang sedang dimakan atau dimain oleh kanak-kanak. Melalui
pendekatan tersebut, kanak-kanak dapat meningkatkan perbendaharaan kata dengan
mengenali nama benda-benda yang dijumpai di alam sekeliling. Tambahan pula, guru
perlu bijak menggunakan teknik pengajaran khusus semasa memperkenalkan konsep
baharu. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu mereka cipta teknik
pengajaran yang dapat menarik perhatian pelajar agar para pelajar tidak bosan atau
takut dengan pelajaran yang harus mereka kuasai terutamanya menguasai pelajaran
yang baharu. Contoh teknik pengajaran yang selalu digunakan ialah kaedah fonik dan
VAKT. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kaedah fonik salah satu kaedah
mengajar membaca dengan melatih para pelajar menghubungkaitkan bunyi tertentu
dengan lambang tertentu. Teknin VAKT pula adalah kaedah pengajaran huruf yang
memerlukan murid melihat huruf sebagai Visual, Auditori, Kinaesthetik dan Tactile.
Dengan hal ini, pelajar dapat mencapai perkembangan bahasa yang seimbang dalam
pelbagai deria. Pernahkah anda dengar AAC? AAC ialah sejenis intervensi komunikasi
iaitu Argumentative dan Alternative Communication. Komunikasi argumentatif
didefinisikan sebagai kaedah-kaedah dan alatan yang dapat meningkatkan kemahiran
komunikasi verbal yang telah sedia wujud (Mustonen,Locke,Reiche,Solbrack
&Lindgren,1991). Komunikasi alternatif adalah teknik-teknik yang menggantikan
komunikasi lisan bagi individu yang tidak berupaya atau tidak mampu menguasai
kemahiran bahasa lisan. (Mccormick & Shane, 1990). AAC digunakan tanpa alat
bantuan, atau dengan bantuan yang melibatkan penggunaan AAC melibatkan
pemilihan kod-kod atau mesej daripada pelbagai aspek. AAC tidak berbantu ini tidak
menggunakan kos dan ia mudah alih. Namun demikian, ia bergantung kepada
keupayaan ingatan pengguna, isyarat yang digunakan mungkin sukar untuk dipelajari
dan rakan komunikasi masa hadapan terhad. Bagi AAC berbantu pula, ia semudah
papan komunikasi hingga sekompleks alat bantuan pertuturan sintetik berkomputer.
Alat bantuan yang digunakan boleh terdiri daripada sama ada elektronik atau tidak
dengan menggunakan prosedur pilihan dan sistem simbol. Ia juga memerlukan objek
fizikal, alatan atau sokongan luaran untuk membolehkan seseorang itu berkomunikasi.
Contoh alat bantuan adalah seperti papan komunikasi, carta dan alatan mekanikal atau
elektrikal. Namun demikian kelemahan AAC berbantu pula adalah alat elektronik yang
digunakan boleh rosak atau hilang kuasa. Kemudahan juga terhad dan mahal
menyebabkan ianya sukar diperolehi. Dalam pendidikan pemulihan masalah
komunikasi dalam kalangan kanak-kanak, AAC digunakan sebagai sumber penilaian
awal. Penyediaan maklumat melalui AAC membolehkan murid untuk memanfaatkan
pelajaran di alam sekeliling. Guru-guru juga boleh memilih mod bantuan dan tanpa
bantuan atau digabungkan sebagai mod pengajaran. Pemilihan gesture atau grafik
yang sesuai mestilah dititikberatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

d) Pandangan anda mengenai kualiti kehidupan kanak-kanak berkeperluan khas


di Malaysia

Menerusi arus pemodenan pada abad ke 21, kita perlu mengakui bahawa sistem
pendidikan di Malaysia telah banyak dipertingkatkan. Bidang pendidikan di Malaysia
telah melakukan banak transformasi seiring dengan kepesatan pembangunan yang
sedan berlangsung. Kerajaan Malaysia sentiasa berusaha untuk memajukan sistem
pendidikan di Malaysia supaya kualiti pendidikan di Malaysia dapat standing dengan
negara-negara yang maju. Sebagai contoh, penggubalan Akta Pendidikan 1996 peka
terhadap keperluan kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia. Akta ini menekankan
pendidikan untuk semua iaitu kanak-kanak berkeperluan khas juga layak untuk
menerima pendidikan sama seperti kanak-kanak normal. Sebelum ini ramai
kanakkanak berkeperluan khas dipandang rendah dan terdapat pihak ibu bapa yang
menyorokkan anak-anak istimewa mereka hanya untuk menutup rasa malu mempunyai
anak yang tidak sempurna seperti kanak-kanak normal yang lain. Pada masa kini,
kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia telah menerima kualiti kehidupan yang baik
dan mereka banyak menyumbangkan tenaga kepada masyarakat dan negara. Semua
pencapaian bermula daripada pendidikan. . Menurut Sulaiman Daud (1995), menjelang
abad ke-21, pendidikan bukan sahaja hanya memerlukan kita melahirkan insan yang
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang tertentu seperti bidang
industri dan teknologi, pegurusan dan perdagangan sahaja malah harus menghasilkan
insan yang mempunyai sistem nilai dan etika serta akhlak yang baik, berperibadi mulia,
bertanggungjawab, patuh kepada Tuhan serta berkemampuan untuk membangunkan
masyarakat dan negara. Bagi meningkatkan kualiti pendidikan untuk kanak-kanak
berkeperluan khas, pendidikan inklusif telah diperkenalkan. Pendidikan inklusif ialah
peluang pendidikan untuk murid-murid berkeperluan khas untuk belajar di dalam kelas
biasa bersama-sama murid-murid normal di aliran perdana dengan mengikuti kurikulum
biasa, mendapat bimbingan sama rata oleh guru mata pelajaran biasa dengan dibantu
oleh guru pendidikan khas. Di mana program inklusif ini dilaksanakan? Menurut
Maklumat Pendidikan Khas 2008 (2008), program ini diwujudkan di sekolah
harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah teknik atau vokasional
yang menggunakan pendekatan pengajaran pembelajaran secara pengasingan
dan separa inklusif. Jika kita menelusuri sejarah pendidikan negara, pendidian inklusif
sebenarnya telah bermula pada tahun 1962 di mana 3 orang pelajar cacat penglihatan
telah belajar di dalam kelas yang sama dengan bantuan guru khas. Pada tahun 1993
seramai 3 orang pelajar bermasalah pendengaran telah ditempatkan di tingkatan enam
rendah di SMK Methodist Kuala Lumpur. Berikutan itu, pihak kerajaan telah
mengadakan polisi bagi menyokong pelaksanaan pendidikan inklusif ini. Terdapat 25
inisiatif dalam terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013
2025. Salah satu inisiatif yang diletakkan dalam kategori 17 inisiatif utama ialah
pendidikan inklusif, iaitu dapat dilihat pada tangga ke-11 yang menekankan keperluan
kanak-kanak berkeperluan khas dengan mengalakkan peningkatan enrolmen pelajar
berkeperluan khas serta meningkatkan kemudahan infrastruktur untuk kanak-kanak
berkeperluan khas. Matlamat kerajaan Malaysia adalah untuk memastikan semua murid
tidak kira murid-murid normal atau murid-murid berkeperluan khas mempunyai peluang
dan akses yang sama rata untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Pendidikan inklusif selaras dengan konsep pendidikan untuk semua dengan
menyediakan peluang dan perkhidmatan pendidikan untuk semua murid berkeperluan
khas seperti bermasalah penglihatan, bermasalah pendengaran dan bermasalah
pembelajaran. Saya amat menyokong pelaksanaan pendidikan inklusif memandangkan
ia membuka peluang kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas mendapat pendidikan
yang lebih baik, mengizinkan mereka mendapat peluang menjalani proses
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah biasa, bergaul dan bermasyarakat
bersama-sama pelajar-pelajar normal, mengalami situasi dan suasana pembelajaran
yang lebih normal sebagaimana pelajar kelas normal yang lain. Terdapat dua
kategori dalam pendidikan inklusif iaitu pendidikan inklusif penuh dan pendidikan
inklusif separa. Pendidikan inklusif penuh ialah pendidikan kepada murid-murid
berkeperluan khas yang mengikuti pembelajaran sepenuhnya dalam kelas dengan
bantuan guru pendidikan khas manakala pendidikan inklusif separa memerlukan murid
berkeperluan khas mengikuti sebahagian pembelajaran dalam mata pelajaran teras
iaitu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Agama
Islam, Kemahiran Hidup, Geografi dan Sejarah atau aktiviti tertentu dalam kelas
dengan bantuan guru pendidikan khas. Pendidikan inklusif telah memberi banyak
faedah kepada pelajar-pelajar. Sistem ini telah meningkatkan keyakinan diri dalam jiwa
kanak-kanak berkeperluan khas dan menjadikan mereka pandai untuk mengurus
kehidupan diri tanpa bergantung kepada orang lain. Kanak-kanak berkeperluan khas
dapat mencapai kejayaan jika diberi peluang yang saksama, layanan dan bimbingan
yang sewajarnya Bagi kanak-kanak normal pula, mereka dapat menghargai kanak-
kanak berkeperluan khas serta menyedarkan diri untuk membantu golongan yang
memerlukan. Sebelum pelaksanaan pendidikan inklusif, pelajar berkeperluan khas
kerap dipandang rendah dari segi keupayaan untuk mengikuti sesuatu sesi
pembelajaran. Yang mendukacitakan guru-guru sekolah tidak bersifat mesra terhadap
kehadiran murid-murid berkeperluan khas. Tambahan pula, mereka cuba untuk
mengemukakan pelbagai alasan bagi mengelakkan kanak-kanak berkeperluan khas
menyertai sesi pengajaran dan pembelajaran mereka. mereka dapat mencapai
kejayaan jika diberi peluang yang saksama, layanan dan bimbingan yang sewajarnya.
Bukan sahaja guru di sekolah, terdapat pihak pentadbir juga enggan menerima
kehadiran kanak-kanak berkeperluan khas. Mereka berpendapat kehadiran pelajar ini
akan menyusahkan urusan pentadbiran dan menjejaskan prestasi sekolah.
Menurut Najib dan Sanisah (2006), sesetengah pengetua dan guru tidak
menerima secara positif penempatan murid-murid berkeperluan khas di sekolah-
sekolah mereka. Manakala dalam laporan akhbar Georgian daily.com (2008) pula
menyatakan bahawa pihak pengurusan sekolah menolak perlaksanaan program ini
di sekolah-sekolah awam dan guru pula tidak mahu melaksanakan kelas bagi
pelajar khas ini sekiranya tidak dibayar dengan elaun bonus. Cabaran pelaksanaan
pendidikan inklusif yang seterusnya ialah kebanyakan guru-guru aliran kelas normal
yang terlibat dalam program inklusif didapati tidak mempunyai pengalaman dan
kemahiran yang cukup untuk mendidik dan mengajar pelajar pendidikan khas.
Hanya guru pendidikan khas dibekalkan dengan ilmu pengetahuan, teknik-teknik
pengajaran serta pengalaman untuk mengajar kanak-kanak berkeperluan khas.
Tambahan pula, senario yang biasa kita lihat di Malaysia ialah pelajar
berkeperluan khas yang mengikuti program inklusif yang ditempatkan di dalam bilik
darjah normal adalah sangat ramai dan diajar secara beramai-ramai di dalam kelas. Hal
ini telah menyebabkan mengakibatkan guru tidak dapat memberikan sepenuh
tumpuan terhadap pelajar inklusif seterusnya mengehadkan teknik pengajaran dan
pembelajaran secara interaktif yang akhirnya mengurangkan keberkesanan
program inklusif. Masalah kekurangan alat bantu mengajar yang bersesuaian dan
memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran pelajar inklusif juga menjadi
salah satu masalah dalam perlaksanaan program inklusif ini. Menurut Mohd. Rizal
dan Muallimah (2008), perkara ini disebabkan oleh kebanyakkan guru-guru ini tidak
mempunyai pendedahan yang cukup untuk membuat alat bantu mengajar bagi
pelajar pendidikan khas. Alat bantu mengajar yang bersesuaian amat bermanfaat
kepada pelajar berkeperluan khas terutama dalam menarik perhatian dan merangsang
minat mereka untuk belajar konsep-konsep yang baru. Pembinaan dan penyediaan
peralatan bantuan yang sesuai serta penggunaannya yang betul diharap dapat
meningkatkan pencapaian pelajar inklusif dalam menguasai sesuatu kemahiran
hidup. Dalam melaksanakan program inklusif semua pihak perlu sedar tentang
kepentingan pelaksanaan program inklusif memandangkan ia dapat menjamin masa
hadapan kanak-kanak berkeperluan khas serta mampu membantu mereka menjadi
seorang yang berdikari dalam kehidupan seharian.

e) Cadangan bagi meningkatkan kualiti kehidupan kanak-kanak berkeperluan


khas

Guru pendidikan khas berperanan penting untuk menyediakan pendidikan yang


berkualiti kepada kanak-kanak berkeperluan khas. Memang tidak dapat dinafikan
bahawa guru pendidikan khas adalah lebih mencabar berbanding dengan guru biasa.
Dengan berhadapan dengan kanak-kanak berkeperluan khas, seorang guru pendidikan
khas perlu mempunyai nilai kasih sayang yang mendalam. Seperti yang dikatakan
sebelum ini, program inklusif yang telah dilaksanakan menghadapi cabaran dalam
keupayaan tenaga pengajar untuk memberikan pendidikan yang berkualiti kepada
kanak-kanak berkeperluan khas. Peningkatan tahap professional guru perlu diberi
perhatian. Untuk memastikan mereka mendapat pendidikan yang berkualiti, guru-guru
biasa perlu diberi kursus untuk mengajar kanak-kanak berkeperluan khas supaya
mereka juga berkaliber untuk membimbing mereka dan sekaligus juga dapat
meringankan beban guru pendidikan khas. Sebagai contoh, kursus yang diberikan
kepada guru-guru biasa boleh menekankan proses pengajaran dan pembelajaran yang
lebih menarik. Proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak berkeperluan khas
adalah berbeza dengan kanak-kanak normal iaitu pendekatan yang digunakan kepada
mereka lebih unik dan bersifat bebas. Umumnya, kanak-kanak tidak kira kanak-kanak
biasa atau kanak-kanak berkeperluan khas amat suka kepada perkara baharu yang
menarik. Oleh itu, pengajaran yang menarik merupakan salah satu input yang penting
untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku lebih berkesan.
Namun demikian, perlu diketahui bahawa emosi dan tingkah laku kanak-kanak
berkeperluan khas adalah kurang stabil. Guru perlu menghasilkan atau mempraktikkan
suatu pendekatan untuk membentuk tingkah laku murid supaya murid tersebut mudah
untuk dikawal terutamanya sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Cerita merupakan salah satu terapi untuk intervensi kaunseling kanak-
kanak. Kaedah penceritaan kisah teladan ini juga merupakan salah satu inovasi yang
dapat dilakukan para guru untuk menarik perhatian para pelajar seterusnya menjadikan
proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku lebih menarik dan tidak
membosankan pelajar. Bukan menceriakan proses pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas sahaja, maka guru juga akan terhibur dengan reaksi pelajar yang pelbagai-
bagai. Selain itu, kursus-kursus yang diberikan perlu menekankan kepada etika guru.
Didapati bahawa ramai guru tidak senang dengan kehadiran kanak-kanak berkeperluan
khas. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bagi
melahirkan barisan guru yang beretika, usaha pemupukan sahsiah dan akhlak guru
harus dijalankan sejak awal lagi iaitu tempoh pengajian di maktab perguruan. Setiap
guru wajar menerima serta bijak mengesan ketidaksempurnaan kanak-kanak. Pihak
International University College of Technology (TWINTECH) telah memberi sokongan
kepada program pengesanan masalah kanak-kanak berkeperluan khas. TWINTECH
telah menawarkan pelbagai program yang bertujuan untuk memberikan bantuan dan
sokongan kepada kerajaan untuk mencapai satu matlamat yang jelas iaitu melahirkan
barisan guru prihatin dan mesra orang kelainan upaya. Tambahan pula, pihak universiti
tersebut telah memberi cadangan seperti penguasaan Bahasa Isyarat Malaysia wajib
bagi setiap graduan, melahirkan guru pendidikan khas berkepakaran autisme dan
sebagainya (Mymetro, 2012). Melalui cadangan ini, persepsi guru-guru biasa juga turut
berubah lantaran lahirnya guru-guru yang mesra orang kelainan upaya dan masyarakat
luar juga turut mesra dengan orang kelainan upaya. Yang lebih memberangsangkan
apabila kanak-kanak berkeperluan khas berasa selesa dan mampu menjalani
kehidupan seharian dengan penuh keyakinan serta tidak perlu menerima pandang
rendah daripada masyarakat.

Bagi memastikan pelaksanaan pendidikan yang saksama iaitu pendidikan inklusif


dijalankan dengan lebih berkesan, guru pendidikan khas perlulah memainkan peranan
sepenuhnya dengan bertindak sebagai guru resos yang sangat efektif. Kerjasama
antara guru pendidikan khas dan guru biasa dalam mengendalikan pelajar khas,
membantu menyediakan bahan dan alatan pengajaran yang diperlukan, serta sentiasa
dapat memberikan maklumat terperinci dan ilmu berkaitan pelajar khas yang
menyertai program inklusif tentunya dapat mengurangkan masalah dan banyak
membantu guru biasa mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan
baik. Menurut Ahmad Zailani (2011), guru resos dan guru biasa perlu menggunakan
kaedah koperatif dan kolaboratif dalam mengendalikan kelas inklusif. Namun,
program ini tidak dapat mencapai matlamatnya sekiranya tiada kerjasama diwujudkan.
Seterusnya, pentadbir turut memahami masalah dan kekangan yang timbul dalam
kalangan semua pihak iaitu guru pendidikan khas, guru biasa dan pelajar khas dan
biasa agar kemudahan dan toleransi dalam pembahagian dan bidang tugas serta
peranan setiap pihak dapat meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan inklusif.

Kesimpulannya, kanak-kanak berkeperluan khas merupakan anugerah Tuhan yang


unik dan patut dilindungi, bukan didera atau didiskriminasi. Setiap golongan masyarakat
perlu mengamalkan nilai melindungi hak golongan kurang berupaya dengan memberi
sokongan moral dan bantuan dari segi kewangan dan pendidikan. Kita patut berasa
simpati terhadap mereka dan bersyukur atas keupayaan kita menjalankan aktiviti harian
dengan normal.

You might also like