You are on page 1of 7

TUGASAN 1: PENULISAN AKADEMIK

Para era milenium ini, pendidikan merupakan aspek yang sangat penting bagi
meningkatkan kemajuan sesebuah negara. Lebih-lebih lagi, pendidikan yang berkualiti
mampu menjadikan Malaysia sebagai hab atau pendidikan serantau. Hal ini demikian
kerana hab pendidikan serantau mampu memajukan negara kita setanding dengan negara
maju yang lain seperti bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Jadi,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil inisiatif untuk memberikan
pendidikan yang sama rata kepada semua warga Malaysia. Secara lebih terperinci, kerajaan
Malaysia telah mengambil cakna terhadap murid keperluan khas (MBK) dengan
mengadakan pelbagai jenis program seperti Sekolah Khas, Program Integrasi, Pendidikan
Inklusif dan Program Pemulihan Khas supaya mereka juga dapat hak yang sama untuk
menuntut ilmu seperti murid yang lain. Salah satu program yang telah memberikan impak
positif kepada MBK ialah Program Pendidikan Inklusif (PPI).

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2013), Program Pendidikan Inklusif


(PPI) adalah selaras dengan penyataan dalam Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan
Khas) iaitu suatu program pendidikan bagi murid keperluan pendidikan khas yang dihadiri
bersama-sama dengan murid lain dalam kelas yang sama di sekolah kerajaan atau sekolah
bantuan kerajaan. Secara lebih mendalam, dua pendekatan PPI telah diperkenalkan iaitu
inklusif penuh dan inklusif separa bagi melibatkan MBK bersama-sama murid arus perdana
di sekolah harian. Pendekatan inklusif sepenuh ini melibatkan murid MBK belajar secara
sepenuhnya bersama murid perdana iaitu berdasarkan kurikulum manakala pendekatan
inklusif separa pula melibatkan MBK belajar bersama-sama dengan murid arus perdana
bagi mata pelajaran akademik atau aktiviti koakademik atau aktiviti kokurikulum, tertentu
sahaja mengikut keupayaan dan potensi mereka.

Rajah 1: Konsep PPI di Malaysia

1
Sudah terang lagi bersuluh bahawa PPI yang dilaksanakan oleh KPM mempunyai
matlamatnya yang tersendiri. Antara matlamat pelaksanaan PPI adalah untuk meningkatkan
penyertaan dan memberi peluang kepada MBK mengikuti program akademik dan bukan
akademik bersama-sama murid di arus perdana (KPM,2013). Bagi meningkatkan
pencapaian diri mereka dalam bidang akademik dan bukan akademik, peluang belajar yang
tidak terhad kepada pembelajaran di dalam bilik darjah malah juga di luar bilik darjah ini
diperkenalkan. Hal ini sudah pastinya dapat membantu MBK mengikuti pembelajaran
dengan lebih selesa dan sempurna. Selain itu, PPI juga memberi kesedaran kepada
masyarakat supaya tidak menafikan potensi MBK dan percaya bahawa ketidakupayaan
mereka boleh diminimakan jika diberi peluang yang sama. Lebih-lebih lagi, hal ini secara
tidak langsung dapat mengurangkan persepsi negatif masyarakat terhadap MBK iaitu murid
yang cacat tidak mempunyai peluang untuk mencungkil potensi mereka setaraf dengan
murid arus perdana. Hakikatnya, jika diberi peluang sudah pastinya mereka dapat
menunjukkan potensi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bertitik tolak daripada pernyataan di atas pelaksanaan program pendidikan inklusif


(PPI) adalah termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 (KPM, 2013). Akses kepada
pendidikan yang sama rata bagi kanak-kanak kurang upaya yang termaktub dalam Undang-
undang Malaysia, Akta 685 di bawah Seksyen 28(1), yang menyatakan “orang kurang upaya
tidak boleh dikecualikan daripada sistem pendidikan umum atas asas ketidakupayaan, dan
kanak-kanak kurang upaya tidak boleh dikecualikan daripada pendidikan prasekolah,
rendah, menengah dan tinggi, atas asas kesetaraan dengan orang atau kanak-kanak upaya,
termasuk latihan vokasional dan pembelajaran sepanjang hayat”. Lebih-lebih lagi,
Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013 turut menyokong pelaksanaan
PPI iaitu “Pendidikan Khas” ertinya pendidikan bagi murid berkeperluan khas di sekolah
khas atau di sekolah yang menjalankan Program Pendidikan Khas Integrasi atau Program
Pendidikan Inklusif pada peringkat pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan
menengah dan pendidikan lepas menengah. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013-2025 pula menunjukkan komitmen KPM dalam memperkasa pelaksanaan
program pendidikan inklusif secara terancang dan berfokus iaitu Kementerian beriltizam
menggalakkan lebih ramai MBK ke dalam program pendidikan inklusif dan meningkatkan
kualiti penyediaannya secara keseluruhan” (KPM,2013). Jadi, konsep PPI merupakan salah
satu inisiatif kerajaan bagi memberikan peluang yang sama rata untuk murid MBK sekali gus
meningkatkan tahap pendidikan negara. Oleh hal demikian, peranan dan tanggungjawab
pihak sekolah sangat penting dan mereka haruslah berganding bahu bagai aur dengan
tebing dalam pelaksanaan PPI di sekolah rendah.

2
Guru
Pendidikan
Guru Penolong Khas
Kanan (GPK)
Pentadbiran, GPK Hal
Guru Arus
Ehwal Murid,GPK
Perdana
Kokurikulum, Guru
Penolong Kanan
Pendidikan Khas.

Jawatankuasa
Peranan dan
Program
Guru Besar tanggungjawab
Pendidikan Khas
piihak sekolah
Sekolah (JPPKS)

Rajah 2: Peranan dan tanggungjawab pihak sekolah

Mengikut rajah di atas dapat disimpulkan bahawa peranan dan


tanggungjawab pihak sekolah merupakan elemen yang dominan bagi meningkatkan
pembelajaran murid khususnya MBK. Jadi, pihak sekolah terutamanya guru besar
mempunyai tanggungjawab terbesar terhadap MBK. Antara peranan guru besar ialah
bertanggungjawab terhadap penubuhan dan pergerakan JPPKS seperti Lampiran A. Hal ini
kerana pergerakan inilah yang memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan PPI.
Selain itu, guru besar juga bergerak sebagai wahana dalam perancangan dan pelaksanaan
PPI di sekolah. Contohnya, program bersama badan bukan kerajaan iaitu melalui Persatuan
Kanak-kanak Spastik (Spastic Children’s Association), Pusat Bimbingan Sinaran Matahari
dan Yayasan Sindrom Down Kiwanis (Lee Keck Cheong dan Sailajah Nair Sukumaran,
2018). Tambahan pula, guru besar juga boleh bekerjasama dengan semua guru untuk
mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) supaya guru boleh menggunakan
pendekatan dan pedagogi yang berbeza sewaktu melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran bersama MBK yang mempunyai tahap pengetahuan dan pemikiran yang
berbeza.

Sementelahan itu, guru besar haruslah menyediakan prasarana dan peralatan yang
lengkap bagi MBK ini. Prasarana dan peralatan merupakan salah satu objek yang sangat
vital dalam mendukung tujuan pendidikan dalam proses belajar dan mengajar terutamanya
MBK (Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, 2017).

3
Marcapada ini pelbagai cara telah dilakukan untuk meningkatkan mutu pendidikan salah
satunya adalah dengan memenuhi sarana dan prasarana pendidikan bagi murid ini.
Kemampuan pihak sekolah dalam memenuhi prasarana dan peralatan pendidikan sangat
mempengaruhi efektivitas pembelajaran murid MBK ini. Tamsilnya, dari segi fizikal kelas,
murid PPI menggunakan sepenuhnya prasarana kelas bersama-sama murid arus perdana.
Dalam hal ini pengubahsuaian dari segi penyediaan meja atau kerusi serta kedudukan kelas
di aras bawah bagi memberi kemudahan MBK yang berkerusi roda haruslah dititikberatkan
supaya meringankan beban mereka.

Tambahan pula, dari segi aspek fizikal sekolah, persekitaran sekolah haruslah mesra
OKU di mana guru besar perlu berkolaborasi dengan agensi swasta dan kerajaan dengan
mengutip dana untuk menyediakan susur landai (ramp), susur tangan (railing), tandas OKU,
parkir OKU dan longkang yang tertutup. Kemudahan seperti ini tidak seharusnya terlepas
pandang. Hal ini kerana kemudahan ini akan mendorong MBK untuk belajar bersungguh-
sungguh dalam pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, peralatan khusus mengikut
keperluan MBK haruslah disediakan untuk membantu pembelajaran mereka. Contoh
peralatan khusus yang diperlukan oleh MBK ialah mesin braille, kanta pembesar, doktor
speech, Duxbury dan Augmentative Alternative Communication (AAC) (Norfisah Mat Rabi
,2017). Peralatan-peralatan seperti ini membolehkan mereka untuk hidup lebih berdikari.
Jelaslah bahawa pihak sekolah terutamanya guru besar haruslah memastikan prasarana
dan peralatan yang lengkap supaya MBK dapat menjalani pembelajaran normal seperti
murid di arus perdana.

Selain guru besar, guru penolong kanan (GPK) Pentadbiran, GPK Hal Ehwal Murid,
GPK Kokurikulum juga terlibat dalam membantu merancang dan menyelaras pelaksanaan
PPI ini. Mereka yang menjadi penyelaras bagi permohonan Elaun Murid Khas (EMK) bagi
menjaga kebajikan MBK (KPM, 2013). Di samping itu, guru penolong kanan pendidikan
khas/ penyelaras PPKI pula akan membantu melaksanakan PPI di sekolah mengikut garis
panduan yang disediakan. Mereka juga membantu pihak pentadbiran menubuhkan dan
menguruskan mesyuarat JPPKS. Tugas yang penting bagi guru penolong kanan pendidikan
ialah menyediakan data yang berkaitan dengan PPI untuk keperluan JPN /PPD(. Jelaslah
bahawa GPK Pentadbiran, GPK Hal Ehwal Murid, GPK Kokurikulum, GPK Pendidikan Khas
memainkan peranan utama dalam menjayakan PPI ini.

Di samping itu, guru pendidikan khas haruslah memainkan peranan utama dalam
mengenal pasti MBK yang berada di kelas arus perdana. Guru Pendidikan Khas juga
berperanan sebagai guru pendamping (Lee Keck Cheong dan Sailajah Nair Sukumaran,
2018). Mereka akan membantu menyediakan Rancangan Pelajaran Individu (RPI) bagi

4
MBK melalui perbincangan dengan guru mata pelajaran. Kecekapan guru menjalankan
tugas sebagai penyelaras akan mewujudkan suasana sosioemosi yang sihat, disiplin kelas
yang mantap dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Guru Pendidikan Khas juga bertindak sebagai
guru resos di mana akan menyediakan bahan bantu mengajar (BBM) yang bersesuaian
dengan keperluan MBK. Tambahan pula, guru ini membantu guru arus perdana untuk
mengajar dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah serta penggunaan bahan
dan aktiviti yang berfungsi agar objektif-objektif pembelajaran khusus dapat dicapai. Sudah
jelaslah bahawa mendidik MBK bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi perlu
pendekatan kreatif dan kritis dalam pembelajaran kerana setiap MBK di dalam sesebuah
kelas memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.

Seterusnya, guru arus perdana juga terlibat dalam pelaksanaan PPI ini. Jika
difokuskan guru arus perdana ini dibahagikan kepada guru mata pelajaran, guru bimbingan
dan kaunseling, guru disiplin, dan guru pemulihan khas. Guru mata pelajaran pula akan
menerima dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi MBK dalam kelas inklusif
(Lee Keck Cheong dan Sailajah Nair Sukumaran, 2018). Guru mata pelajaran perlu
menerima MBK dengan hati yang terbuka. Hal ini adalah penting supaya mereka boleh
mengenali MBK dari aspek cara pembelajaran, rutin harian dan sebagainya supaya boleh
membantu MBK untuk meningkatkan motivasi belajar mereka. Tamsilnya, guru mata
pelajaran bertugas sebagai guru pendamping semasa pengajaran dan pembelajaran PPI
berlangsung dan memerhati gaya pembelajaran MBK. Setelah mengetahui gaya
pembelajaran seseorang MBK di dalam kelas, maka guru mata pelajaran boleh berkongsi
idea dan bekerjasama dengan guru pendidikan khas dengan mengadakan perbincangan
mengenai penyediaan Rancangan Pengajaran Individu (RPI), bahan bantu mengajar (BBM)
yang sesuai untuk membantu meningkatkan pengajaran dan pembelajaran MBK. Sudah
jelaslah bahawa guru mata pelajaran memainkan peranan yang sangat besar apabila
mereka dianggap sebagai pengajar utama dalam menyampaikan ilmu pengetahuan yang
sempurna bagi MBK.

Bagi guru bimbingan dan kaunseling (GBK), tugas mereka adalah memberi khidmat
bimbingan dan kaunseling kepada MBK dan ibu bapa. Di samping itu, GBK akan
mengadakan pelbagai jenis program iaitu program rundingan mesra dengan ibu bapa
dengan memberi tunjuk ajar bagi membimbing MBK. GBK sepatutnya peka akan
tanggungjawab dalam membantu guru mata pelajaran dalam pengajaran dan pembelajaran
yang dilaksanakan untuk kelas inklusif (Febri Yatmiko, Eva Banowati & Purwadi Suhandini.
2015). Hal ini demikian kerana, guru mata pelajaran tidak dapat fokus kepada murid arus

5
perdana dan MBK dalam satu masa dan di situlah GBK perlu mendampingi MBK untuk
melihat keperluan mereka dalam pengajaran dan pembelajaran semasa menjawab latihan
dan sebagainya supaya mereka boleh menerima ilmu yang disampaikan oleh guru mata
pelajaran selaras dengan murid lain.

Seterusnya, guru disiplin pula akan menyediakan laporan berkaitan dengan masalah
tingkah laku murid (Sasadara Wahyu Lukitasari, Bambang Suteng Sulasmono & Ade Iriani
2017). Guru ini akan meninjau setiap tingkah laku dan bekerjasama dengan guru pendidikan
khas untuk mengatasinya. Cabaran yang paling besar yang perlu dihadapi oleh guru disiplin
ialah kerenah murid ini yang melakukan pelbagai aksi ataupun sikap yang menunjukkan
memberontak, marah, sedih dan sebagainya. Terdapat juga murid membuat perangai
disebabkan inginkan perhatian. Dalam hal ini, guru disiplin menggunakan segala kepakaran
mereka sama ada memujuk, menyelesaikan masalah sebelum nasi menjadi bubur. Hal ini
secara tidak langsung dapat membantu pentadbir melancarkan pelaksanaan PPI.

Bagi guru pemulihan khas, peranannya adalah mengenal pasti MBK yang berada di
arus perdana. Mengikut guru pemulihan khas SK IPG Puan Hafsah (Lampiran B),
pertamanya, mereka akan membuat Item Ujian Saringan Bahasa Melayu (Lampiran C)
bagi mengenal pasti masalah murid terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi, ujian ini dilakukan pada
penggal dua terutamanya murid tahap 1. Seterusnya, mereka juga menitikberatkan
maklumat tentang murid tersebut melalui guru kelas dan guru mata pelajaran. Selain itu,
mereka juga menguji bacaan dan kelancaran murid tersebut. Selepas melalui prosedur-
prosedur ini, mereka akan mengenal pasti murid tersebut dan akan melakukan program-
program khas supaya mereka dapat mengikuti PPI ini dengan sempurna. Contohnya,
Program Mentor Mentee di mana membantu murid keperluan khas yang terlibat semasa
aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Guru bertindak sebagai mentor kepada murid serta
bertanggungjawab dengan memberikan bimbingan serta penerangan tambahan yang
diperlukan dan mengadakan kelas tambahan serta semasa sesi menjalankan RPI . Di
samping itu, penerapan kaunseling dan motivasi oleh mentor sentiasa dilakukan telah
memberi kesan dan impak yang mendalam kepada murid pendidikan khas yang terlibat
dalam membentuk masa depan yang cemerlang. Tambahan pula, program guru bergilir juga
dilaksanakan pada waktu rehat di bilik pemulihan. Dalam program ini, MBK akan membuat
bacaan secara mekanis supaya dapat meningkatkan kelancaran bahasa mereka. Justeru,
guru pemulihan juga bertanggungjawab terhadap peningkatan pembelajaran MBK ini.

Secara lebih terperinci, pihak sekolah lain iaitu Jawatankuasa Program


Pendidikan Khas Sekolah (JPPKS) haruslah melibatkan diri secara aktif dalam pelaksanaan
PPI. Lebih-lebih lagi, jawatankuasa ini ditubuhkan di semua sekolah yang melaksanakan

6
Pendidikan Khas. Tambahan pula, JPPKS haruslah bermesyuarat sekurang-kurangnya dua
kali setahun atau bila-bila masa mengikut keperluan (KPM, 2013). Antara peranan dan
tanggungjawab jawatankuasa ini ialah merancang dan menyelaras pelaksanaan PPI,
memperakui dan meluluskan kemasukan murid ke PPI, mencadangkan kelas yang sesuai
mengikut tahap pencapaian murid, melaksanakan sesi taklimat kepada ibu bapa dan guru
yang terlibat dan bertindak sebagai panel rayuan. Jawatankuasa ini yang menjadi agenda
semua program dan pelaksanaan PPI dengan sokongan daripada semua warga sekolah.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam
memastikan MBK dapat menyesuaikan diri dengan murid arus perdana bagi meningkatkan
kemahiran kehidupan harian mereka.

Kesimpulannya, Program Pendidikan Inklusif (PPI) sememangnya sangat penting


untuk membantu MBK memperolehi taraf pendidikan yang sama rata dengan murid arus
perdana yang lain. Jadi, modus operandi yang konkrit, sistematik dan pragmatik perlu
diimplementasikan secara berterusan agar MBK yang berdisiplin dan berintelek dapat
dibentuk. Lebih-lebih lagi, guru-guru yang terlibat dalam kelas inklusif hendaklah bersedia
untuk menghadapi sebarang rintangan dan halangan yang mendatang. Mereka juga perlu
belajar untuk berkompromi dan juga membuat sesuatu yang berlainan sama sekali daripada
yang dirancangkan. Pelaksanaan PPI memerlukan kerjasama padu semua pihak agar
keberkesanan program yang dilaksanakan dapat dihasilkan. Jelaslah bahawa PPI memberi
peluang ke arah pemantapan sistem pendidikan untuk golongan keperluan khas di negara
kita sekali gus mengangkat martabat pendidikan Malaysia di persada dunia.

You might also like