You are on page 1of 19

Asas Pentadbiran Awam

BAB 7

PERBANDINGAN PENGURUSAN SEKTOR AWAM


DAN SEKTOR SWASTA

OBJEKTIF BAB

Setelah mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Menghuraikan definisi pengurusan sektor awam dan swasta.
2. Membincangkan kepentingan perbandingan pengurusan
kedua-dua sektor.
3. Membandingkan amalan pengurusan sektor awam dan
pengurusan sektor swasta.

7.1 PENGENALAN

Dalam sesebuah negara, terdapat dua jenis organisasi, iaitu organisasi


awam dan swasta. Organisasi sektor awam kerap dikaitkan dengan
pertubuhan-pertubuhan, badan-badan dan jabatan-jabatan milik kerajaan
pusat atau negeri, seperti sekolah, hospital, Jabatan Kerja Raya, Pejabat
Daerah, dan sebagainya. Bagi sektor swasta pula, jawapan yang kerap
diberikan oleh masyarakat ialah organisasi-organisasi milik persendirian
yang mengenakan bayaran untuk mendapatkan perkhidmatan atau
barangan mereka. Contoh-contoh sektor swasta yang selalu dinyatakan
oleh seseorang seperti kilang, pasar raya, kedai, syarikat swasta, sekolah
swasta, stesen pam minyak, dan sebagainya.

Peranan organisasi sektor awam dan swasta dalam pembangunan dan


kemajuan sesebuah negara adalah sama penting. Namun begitu, terdapat
juga golongan yang prejudis atau bersikap berat sebelah terhadap
perkhidmatan awam dan kakitangannya. Organisasi perkhidmatan awam
dan kakitangannya sering dianggap tidak produktif, terlalu banyak
kerenah birokrasi, tidak cekap, tiada prospek, dan sebagainya.
Berbanding dengan organisasi sektor swasta yang sentiasa dipuji
melambung tinggi. Salah satu punca wujudnya ketidakadilan pendapat
sedemikian ialah kerana ramai orang yang tidak begitu memahami secara
semula jadi pengurusan sektor awam. Kegagalan membezakan kelebihan-

143
Asas Pentadbiran Awam

kelebihan sektor awam menyebabkan mereka memandang tinggi kepada


kebolehan sektor swasta yang sentiasa digambarkan mencatatkan
keuntungan. Perolehan keuntungan sektor swasta dikaitkan pula dengan
kecekapan dan keberkesanan pengurusnya. Tanggapan sebegini perlu
dikikis dengan cara memahami perbezaan pengurusan swasta dan sektor
awam, supaya pandangan yang adil tentang kedua-dua sektor tersebut
dapat dibuat.

7.2 DEFINISI PENTADBIRAN SEKTOR AWAM DAN


PENGURUSAN SEKTOR SWASTA

Banyak pendapat yang menyatakan istilah pentadbiran dan pengurusan


adalah berbeza. Bagi maksud penggunaan pembelajaran pelajaran ini,
istilah pentadbiran dan pengurusan dianggap mempunyai tujuan yang
sama. Menurut Donelly et al. (1984:10), sama ada organisasi itu besar atau
kecil, swasta atau awam, pengurusan mesti memastikan semua kerja
dalam organisasi diselesaikan dan organisasi itu diuruskan.

7.2.1 Definisi Pentadbiran Sektor Awam

Istilah pentadbiran awam pertama kali digunakan oleh Woodrow Wilson


sewaktu beliau menjadi profesor sebelum terpilih sebagai Presiden
Amerika Syarikat. Beliau menggunakan istilah tersebut untuk
menerangkan hal ehwal pengendalian urusan awam yang sudah begitu
lama dilakukan di Amerika Syarikat (Frederickson, 1997:3).

Menurut Gordon (1986:7), pentadbiran awam boleh didefinisikan


sebagai keseluruhan proses, organisasi dan individu (kemudiannya
bertindak atas jawatan dan peranan masing-masing) yang melaksanakan
undang-undang dan perintah yang diisukan oleh badan perundangan,
eksekutif, dan kehakiman.

Mengikut pendapat Basu (1988:1) pula, pentadbiran awam ialah apa-apa


bentuk pentadbiran demi memenuhi kepentingan awam. Perkataan yang
mudah difahami ialah pentadbiran kerajaan.

Berdasarkan dua definisi yang dinyatakan, dapat disimpulkan secara


ringkas bahawa pentadbiran awam merupakan proses mengurus yang
tertumpu kepada tugas-tugas untuk mentadbir negara demi kepentingan
rakyat. Di dalam melaksanakan tugas-tugas awam, setiap anggota
perkhidmatan awam perlu patuh kepada panduan dan arahan yang dibuat
oleh badan perundangan, eksekutif, dan kehakiman. Fungsi ketiga-tiga
badan tersebut dipisahkan mengikut Doktrin Pengasingan Kuasa. Jentera

144
Asas Pentadbiran Awam

pentadbiran awam bertanggungjawab dalam pelbagai hal-ehwal negara


seperti soal pendidikan, pertanian, kebajikan rakyat, kesihatan, kawalan
undang-undang, dan sebagainya

7.2.2 Definisi Pengurusan Sektor Swasta

Definisi umum tentang pengurusan ialah satu proses dan tindakan


merancang, mengorganisasi, mengarah, dan mengawal segala sumber
organisasi. Berdasarkan pengertian tersebut, dapatlah di katakan bahawa
pengurusan sektor swasta ialah satu proses menjalankan fungsi-fungsi
pengurusan mengikut cara atau pilihan masing-masing. Fungsi, konsep,
dan teori pengurusan yang diamalkan oleh sesebuah organisasi swasta
adalah berbeza dengan organisasi yang lain, iaitu mengikut pendekatan-
pendekatan yang difikirkan sesuai bagi organisasi tersebut.

Merujuk kepada Lock (1998:12) pula, pengurusan ialah proses


menyelesaikan sesuatu tugas dengan baik oleh orang lain. Lock
menjelaskan bahawa dalam sesebuah organisasi terdapat dua pihak utama
iaitu pemilik atau tuan punya organisasi dan satu pihak lagi ialah pekerja.
Dalam melaksanakan tugas pengurusan organisasi, pemilik menggunakan
khidmat pekerja (orang lain) untuk membantu. Pengurusan juga adalah
satu aktiviti yang bersifat universal tetapi pendekatannya tidak boleh
sama dalam semua situasi.

Gatewood et al. (1995:4) mendefinisikan pengurusan sebagai satu set


aktiviti yang dibentuk untuk mencapai objektif-objektif organisasi dengan
menggunakan sumber-sumber secara cekap dan berkesan dalam
persekitaran yang sentiasa berubah.

Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Lock dan Gatewood,


pengurusan boleh dijelaskan sebagai suatu usaha untuk melaksanakan
tugas-tugas yang berkaitan dengan urusan organisasi dan
menyelesaikannya selaras dengan matlamat organisasi yang telah
ditetapkan. Pengurusan juga dianggap suatu set aktiviti yang bersifat
universal atau global dan boleh digunakan di mana-mana organisasi.
Kesimpulannya, pengurusan juga merupakan pelaksanaan tugas dan kerja
yang berobjektif, terancang, bersistem, dan cuba menggunakan segala
sumber dengan cekap untuk menghasilkan keuntungan. Namun begitu,
gaya pengurusan mungkin berbeza bagi setiap organisasi bergantung
kepada pendekatan dan pengubahsuaian yang dibuat ke atas konsep-
konsep pengurusan yang bersifat universal.

145
Asas Pentadbiran Awam

SOALAN DALAM TEKS 7.1

1. Nyatakan definisi pentadbiran awam dan


pengurusan.
2. Jelaskan empat fungsi pengurusan yang turut
diamalkan dalam pentadbiran awam.
3. Apakah maksud Doktrin Pengasingan Kuasa?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

7.3 PERBANDINGAN PENGURUSAN SEKTOR AWAM


DAN SWASTA

Pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan untuk memajukan


perkhidmatan awam di Malaysia. Tujuannya adalah untuk memantapkan
pentadbiran sektor awam. Perkembangan pengurusan sektor swasta pula
bergantung kepada kepakaran dan pilihan pemilik organisasi swasta
tersebut. Oleh kerana bidang pengurusan bersifat universal, maka segala
teori dan konsep pengurusan boleh digunakan, sama ada di sektor awam
atau sektor swasta. Di organisasi sektor swasta, gaya pengurusan
ditentukan oleh pihak pengurusan.

Seterusnya, kita akan membincangkan perbezaan dan persamaan antara


sektor awam dengan sektor swasta. Perbezaan dan persamaan yang
dinyatakan adalah berasaskan aktiviti-aktiviti pengurusan dalam kedua-
dua sektor.

7.3.1 Persamaan Pentadbiran Sektor Awam dan Swasta

Pentadbiran sektor awam dan pengurusan sektor swasta mempunyai


beberapa persamaan, iaitu:

1. Penawarkan Perkhidmatan

Organisasi sektor awam digunakan oleh kerajaan yang memerintah untuk


menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang perlu kepada rakyat
seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan, telekomunikasi, dan
sebagainya. Namun begitu, bagi rakyat yang berkemampuan, mereka

146
Asas Pentadbiran Awam

mempunyai alternatif, sama ada mendapatkan perkhidmatan-


perkhidmatan yang diperlukan daripada sektor awam ataupun sektor
swasta. Contohnya, rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan perubatan
daripada semua hospital kerajaan dan mereka juga mempunyai alternatif
lain, iaitu perkhidmatan perubatan di klinik dan hospital swasta. Terdapat
juga beberapa jenis perkhidmatan yang tidak boleh disediakan oleh
sektor swasta dan hanya ditawarkan oleh organisasi awam sahaja seperti
perkhidmatan pendaftaran kelahiran, perkhidmatan ketenteraan,
perkhidmatan kehakiman, dan pertadbiran tanah.

2. Matlamat Keuntungan

Setiap organisasi awam dan swasta mempunyai berkongsi matlamat yang


sama iaitu untuk memperoleh keuntungan. Penetapan bentuk
keuntungan yang diingini bergantung kepada matlamat pihak yang
menguasai organisasi sektor awam atau sektor swasta. Dalam
pentadbiran awam, keuntungan yang dikehendaki ialah pembangunan
dan kemajuan hidup rakyat dan negara secara keseluruhan. Manakala
pengurusan sektor swasta mengharapkan keuntungan yang berbentuk
perolehan kewangan yang tinggi. Walaupun nilai keuntungan yang
diingini antara sektor awam dan swasta berbeza, tetapi kedua-dua sektor
mempunyai matlamat yang sama iaitu mendapatkan keuntungan.

3. Keutuhan Organisasi

Kemajuan dan keutuhan organisasi sektor awam dan swasta bergantung


kepada kebijaksanaan, kualiti serta komitmen anggota-anggotanya.
Sumber manusia yang berkualiti dapat menjamin kepada keutuhan
organisasi. Contohnya, pekerja yang berdedikasi, bertanggungjawab, dan
tahu arah tuju organisasi akan menyumbangkan tenaga dan fikiran
mereka kepada kemajuan organisasi. Manakala sumber manusia yang
tidak berkualiti boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada organisasi
seperti memburukkan imej organisasi, menyebabkan kerugian kepada
organisasi, dan mengganggu kelancaran operasi organisasi. Sumber
manusia yang berkualiti dan tidak berkualiti terdapat di dalam mana-
mana organisasi awam dan swasta. Faktor manusia merupakan faktor
utama yang akan menentukan keutuhan atau kehancuran sesebuah
organisasi.

4. Organisasi yang Sistematik

Gaya pentadbiran sektor awam banyak berbeza dengan gaya pengurusan


sektor swasta. Namun begitu, setiap pendekatan yang digunakan dalam

147
Asas Pentadbiran Awam

menguruskan sesebuah organisasi, sama ada di sektor awam ataupun


swasta bertujuan membentuk sistem pentadbiran atau pengurusan yang
efisien, efektif, dan bersistem. Persamaan tersebut tidak boleh
diketepikan kerana setiap organisasi sentiasa berusaha memperbaiki dan
mempertingkatkan sistem pengurusan yang diamalkan supaya beroleh
kecekapan dan keberkesanan.

5. Pengguna atau Pelanggan

Perkhidmatan yang ditawarkan oleh organisasi awam dan swasta


disediakan untuk orang awam. Bagi pentadbiran sektor awam, jumlah
pelanggannya adalah sangat besar kerana semua rakyat boleh
mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan daripada kerajaan
yang memerintah melalui organisasi awam. Bilangan pelanggan bagi
organisasi swasta pula, bergantung kepada jumlah orang awam yang
mahu menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh organisasi
swasta. Orang awam menjadi kumpulan sasaran utama kepada
perkhidmatan yang ditawarkan oleh organisasi awam dan swasta.

6. Pembangunan Negara

Pentadbiran organisasi awam dan pengurusan organisasi swasta saling


bekerjasama untuk merealisasikan matlamat kerajaan membangunkan
negara. Peranan sektor swasta dalam membantu memajukan negara
adalah sangat diperlukan kerana kadangkala kerajaan tidak melaksanakan
semua program pembangunan negara. Contohnya, kerajaan memutuskan
untuk menyediakan kemudahan lebuh raya yang menghubungi utara dan
selatan Semenanjung Malaysia bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi
di samping menyediakan kemudahan jalan perhubungan yang lebih
kepada rakyat. Penyediaan lebuh raya tersebut diswastakan kepada
Syarikat Projek Lebuh raya Utara-Selatan. Dalam konteks contoh
tersebut, kerajaan menyediakan peluang kepada organisasi swasta untuk
memperoleh keuntungan. Manakala sektor swasta pula, membantu
kerajaan menyediakan keperluan infrastruktur yang diperlukan oleh
kerajaan untuk kegunaan rakyat. Sektor awam dan sektor swasta saling
memerlukan antara satu sama lain dalam pembangunan negara.

148
Asas Pentadbiran Awam

Jadual 7.1
Persamaan Pentadbiran Sektor Awam dan Pengurusan Sektor Swasta

Persamaan Pentadbiran Sektor Awam dan Pengurusan


Sektor Swasta
Penawaran perkhidmatan Organisasi sektor awam dan swasta
menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk
kegunaan orang awam.
Matlamat keuntungan Keuntungan bagi sektor awam bersifat
menyeluruh manakala keuntungan kewangan
sasaran utama sektor swasta.
Keteguhan organisasi Kualiti sumber manusia dalam organisasi sektor
awam dan swasta menjadi penentu kepada
keutuhan organisasi tersebut.
Organisasi yang sistematik Menggunakan pelbagai pendekatan yang
difikirkan bersesuaian untuk menghasilkan
organisasi yang efektif dan efisien.
Orang awam sebagai Pengguna atau pelanggan utama bagi organisasi
pengguna sektor awam dan sektor swasta ialah rakyat.
Pembangunan negara Pentadbiran awam negara sentiasa menjalinkan
kerjasama dengan organisasi swasta dalam
pelbagai program pembangunan negara.

SOALAN DALAM TEKS 7.2

1. Senarai dan jelaskan lima persamaan antara


pentadbiran sektor awam dengan pengurusan
sektor swasta.
2. Apakah bentuk keuntungan yang ingin dicapai oleh
pentadbiran organisasi awam?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

Ada pihak yang berpendapat bahawa pentadbiran


sektor awam tidak cekap dan tidak menguntungkan
berbanding dengan sektor swasta. Apakah pendapat
anda?

149
Asas Pentadbiran Awam

7.3.2 Perbezaan Pentadbiran Sektor Awam dan Swasta

Perbezaan di antara pengurusan sektor awam dan swasta dapat dikenal


pasti melalui pelbagai aspek seperti perbezaan matlamat akhir organisasi,
aktor-aktor yang berkuasa untuk menentukan gaya pengurusan,
pengukuran kualiti organisasi, dan sebagainya. Antara perbezaan-
perbezaan yang sering diberi perhatian ialah:

1. Nilai Produk Akhir

Perbezaan dari segi nilai produk akhir yang ingin dicapai oleh sektor
awam dan swasta merupakan pendapat yang selalu dibincangkan.
Pengurusan sektor swasta bermatlamatkan pulangan keuntungan
kewangan, manakala sektor awam pula lebih menumpukan matlamat
pembangunan negara dari aspek sosioekonomi dan politik.

Adakah sektor awam tidak mengutamakan keuntungan? Sektor awam


turut mengutamakan keuntungan mencakupi kepentingan-kepentingan
dari segi politik dan sosioekonomi negara. Tanggapan yang salah selalu
dibuat terhadap sektor awam dengan mengatakan sektor awam tidak
berfokuskan keuntungan. Keuntungan dalam sektor awam lebih
cenderung kepada keuntungan yang tidak nyata. Contohnya,
keberkesanan dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan secara percuma
kepada rakyat, membantu golongan yang kurang upaya, dan
meningkatkan tahap pembangunan ekonomi negara.

Jika dikaji secara teliti, projek-projek kerajaan terkenal dengan keutamaan


analisis kos faedah (semua projek mestilah mendatangkan faedah kepada
rakyat dan negara), dan kecekapan dalam perkhidmatan awam terletak
pada komitmen para birokratnya. Pentadbiran sektor awam banyak
bergantung kepada keputusan-keputusan politik yang dibuat oleh para
pemimpin politik di Parlimen. Sebilangan daripada mereka juga
mengetuai organisasi-organisasi perkhidmatan awam. Objektif
keputusan-keputusan politik kerajaan yang memerintah banyak
berdasarkan kepada keperluan untuk pembangunan rakyat dan negara.

Bagi pengurusan sektor swasta, matlamat akhirnya ialah


memaksimumkan keuntungan atau hasil keluaran. Segala keputusan
berkaitan organisasi sektor swasta dibuat oleh pemiliknya tanpa terikat
dengan mana-mana pihak (kecuali bagi kes organisasi yang mempunyai
pemegang-pemegang saham). Pemilik organisasi mengeluarkan modal
sendiri dan tentulah mengharapkan pulangan yang menguntungkan.
Berbeza dengan pengurusan sektor awam yang bertujuan menjamin dan

150
Asas Pentadbiran Awam

membantu semua rakyat yang memerlukan perkhidmatan yang berkaitan.


Para birokrat bertindak mengikut matlamat politik kerajaan yang
memerintah negara. Pentadbiran sektor awam dan swasta tidak berbeza
dari segi berkongsi matlamat, iaitu memperoleh keuntungan. Bezanya,
nilai dan bentuk keuntungan yang diinginkan oleh kedua-dua pihak yang
jelas membezakan matlamat sebenar kewujudan sektor awam dan swasta.

2. Pengawalan Kuasa

Mengapa kawalan kuasa dalam organisasi diambil kira untuk mengkaji


perbezaan pengurusan sektor awam dan swasta? Rasionalnya, kita mahu
melihat bagaimana jentera kerajaan yang besar diuruskan berbanding
dengan sektor swasta. Bagi mengawal organisasi sektor awam yang besar,
pengurusan dalam sektor awam lebih bersifat pemusatan kuasa.
Pemusatan kuasa dalam pentadbiran awam boleh digambarkan sebagai
hak untuk membuat sesuatu keputusan perlu mengikut hierarki tertentu,
di mana individu yang menduduki hierarki tertinggi dalam sesebuah
organisasi awam diberi kuasa membuat keputusan organisasi. Antara
kebaikan pemusatan kuasa ialah dapat mengelakkan pertindihan kuasa
dan tindakan yang sukar dikawal bagi organisasi yang besar seperti
organisasi kerajaan.

Dalam pengurusan sektor swasta, konsep pembahagian kuasa lebih


diamalkan kerana ia tidak memerlukan banyak masa untuk membuat
keputusan. Organisasi yang kecil memudahkan proses mengawal kuasa
dan tindakan para pelaku (kakitangan) yang dipertanggungjawabkan.
Namun begitu, bagi organisasi swasta yang bersaiz kecil dan tidak formal,
konsep pemusatan kuasa masih lagi diamalkan. Pemusatan kuasa
dianggap terlalu mengutamakan prosedur yang rigid hingga boleh
mewujudkan masalah birokrasi berbanding pembahagian kuasa.
Menyedari kekurangan tersebut, pengurusan sektor awam juga secara
beransur-ansur menerapkan konsep pembahagian kuasa di kalangan
kakitangannya di mana yang perlu sahaja.

3. Faktor Pertanggungjawaban

Pengurusan setiap organisasi awam adalah saling berkaitan dan tindakan-


tindakan yang dilakukan adalah saling dipertanggungjawabkan.
Contohnya, apabila berlaku sesuatu tragedi seperti banjir besar, maka
beberapa organisasi atau kementerian akan bergabung, saling membantu
dan memikul tanggungjawab bersama. Pihak-pihak yang terlibat
antaranya Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasukan
Penyelamat, Kerajaan Negeri dan sebagainya.

151
Asas Pentadbiran Awam

Dalam organisasi swasta pula, pihak pengurusan hanya


dipertanggungjawabkan terhadap organisasi mereka sahaja. Jatuh bangun
organisasi bergantung kepada keberkesanan tanggungjawab yang dipikul
oleh kakitangan mereka. Sektor swasta beroperasi secara relatif dan
mempunyai autonomi sendiri. Perkaitan yang wujud dalam pengurusan
antara organisasi sektor awam merupakan elemen penting terhadap
kewujudan faktor perkongsian tanggungjawab berbanding sektor swasta.

Dari aspek lain pula, aktiviti sektor swasta tidak terikat untuk memenuhi
kehendak yang pelbagai dari orang awam. Sekiranya organisasi swasta
tidak menyediakan perkhidmatan/barangan yang dikehendaki oleh orang
awam atau perkhidmatan/barangan yang ditawarkan hanya mampu
digunakan oleh segelintir orang sahaja, organisasi swasta tidak boleh
dipersalahkan. Pengurusan sektor swasta bebas dari konsep ‘check and
balance’ yang dibuat oleh orang awam terhadap organisasi swasta. Orang
awam tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam keputusan dan
tindakan yang dibuat oleh sektor swasta.

Segala keputusan dan tindakan dalam pengurusan sektor awam, mestilah


menjamin bahawa ia tidak menyeleweng daripada kehendak kerajaan,
undang-undang, dan rakyat. Sebagai pelaksana bagi dasar dan polisi
kerajaan, pihak pengurusan sektor awam bertanggungjawab kepada
ketiga-tiga pihak tersebut. Biasanya, apabila berlaku kesilapan atau
penyelewengan, maka rakyat akan menyatakan aduan atau inginkan
penjelasan melalui saluran-saluran yang dibenarkan.

4. Aktiviti Organisasi

Dalam menjalankan aktiviti-aktiviti organisasi, pengurusan sektor awam


terikat kepada undang-undang, peraturan, dan prosedur. Pihak
pengurusan sektor awam perlu memastikan terlebih dahulu agar semua
prosedur diikuti dalam melaksanakan sesuatu aktiviti terutama yang
berkaitan dengan kerja. Tidak dinafikan bahawa keterikatan kepada
prosedur kerja yang rigid kadangkala boleh menyebabkan tindakan-
tindakan menjadi tertangguh. Hakikatnya, prosedur kerja yang diamalkan
dapat membantu dari segi penelitian dan mewujudkan suasana kerja yang
bersistem walaupun ia mungkin mengambil masa yang agak panjang
untuk difahami atau dilaksanakan.

Bagi pengurusan sektor swasta, selagi aktiviti yang dijalankan tidak


menyalahi undang-undang kerajaan, mereka bebas menentukan cara atau
kaedah yang boleh memudahkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti tersebut.
Pihak pengurusan swasta akan cuba mengelak daripada mewujudkan

152
Asas Pentadbiran Awam

prosedur kerja yang rigid untuk mendapatkan hasil yang segera,


penjimatan kos, dan memudahkan kerja.

5. Pertukaran Pemimpin Organisasi

Jawatan-jawatan utama dalam sektor swasta biasanya dijawat oleh pemilik


organisasi tersebut sepanjang hayat mereka. Jika berlaku pertukaran,
mungkin diwarisi pula oleh waris mereka atau melalui rakan kongsi yang
baru atau sebilangan pemegang saham yang terbesar yang menduduki
jawatan lembaga pengarah.

Para pemimpin bagi sektor awam kerap bertukar, sama ada sudah sampai
umur bersara, dipindahkan ke organisasi awam yang lain ataupun
dipinjamkan seketika ke mana-mana jabatan. Perubahan pucuk pimpinan
kerajaan juga, boleh mengubah kedudukan individu-individu yang
menduduki jawatan-jawatan utama sektor awam.

Kekerapan perubahan pemimpin kadangkala membawa sama perubahan


dari segi gaya pengurusan pemimpin yang baru. Pendekatan gaya
pengurusan pemimpin yang baru kadangkala menimbulkan masalah
kepada organisasi untuk jangka masa pendek. Contohnya, perubahan
cara kerja mengikut kehendak pemimpin, pertukaran dan penstrukturan
semula organisasi, pengubahsuaian polisi atau peraturan organisasi dan
sebagainya. Ringkasnya, apabila pemimpin berubah, sedikit sebanyak cara
pengurusan organisasi yang diketuai oleh pemimpin baru juga akan
berubah.

6. Perancangan Perkembangan Organisasi

Di samping meletakkan keuntungan hasil jualan produk atau


perkhidmatan yang disediakan oleh sektor swasta sebagai kayu pengukur
kecekapannya, pembesaran operasi organisasi sektor swasta juga
dianggap sebagai salah satu tanda kemajuan. Tidak dinafikan, pihak yang
terlibat dalam sektor swasta mempunyai ruang yang cukup luas dan
bebas dalam merancang perkembangan organisasi mereka. Perancangan
perkembangan organisasi sektor swasta boleh dilakukan sekiranya
organisasi memiliki keupayaan yang utama, iaitu modal atau kewangan.

Organisasi sektor awam berkembang mengikut perancangan tahunan dan


perancangan berpandukan Dasar Pembangunan Negara. Perkembangan
pentadbiran sektor awam boleh diukur dari segi pemodenan organisasi
awam, penswastaan, dan pengkorporatan agensi-agensi awam,
pertambahan kemudahan untuk rakyat, dan pencapaian matlamat negara.

153
Asas Pentadbiran Awam

Untuk tujuan pemodenan dan pertambahan kemudahan di organisasi


awam seperti penggunaan komputer, kenderaan baru bagi kegunaan
rasmi, bangunan baru, dan sebagainya, juga bergantung kepada
kedudukan semasa kewangan kerajaan. Kos pentadbiran organisasi
sektor awam dibiayai melalui peruntukan kewangan kerajaan.

7. Perspektif Belanjawan

Segala perbelanjaan untuk perkhidmatan awam ditanggung oleh kerajaan.


Sebahagian besar sumber kewangan kerajaan ialah dari wang rakyat yang
dikutip daripada pelbagai jenis cukai, duti eksais dan bayaran-bayaran
perkhidmatan yang minimum. Setiap tahun belanjawan negara
dibentangkan di Parlimen dan pembahagian peruntukan kepada setiap
organisasi awam adalah tidak sama. Peruntukan yang tidak sama
jumlahnya berlaku kerana mengikut keperluan semasa berkaitan aspek
mana yang diberi tumpuan dan penekanan oleh kerajaan pada tahun
tersebut. Keseluruhannya, belanjawan negara terarah kepada tujuan
pembangunan.

Belanjawan pengurusan sektor swasta pula bergantung kepada perolehan


keuntungan yang terhasil daripada penjualan produk atau perkhidmatan
mereka. Peruntukan yang besar biasanya ditumpukan kepada usaha-
usaha pembangunan produk, kakitangan, dan pembesaran organisasi.
Belanjawan sektor swasta diputuskan oleh pihak pengurusan atasan
sesebuah organisasi swasta tanpa adanya perdebatan yang hebat untuk
kelulusan, seperti mana yang berlaku di Parlimen bagi kelulusan
belanjawan untuk pentadbiran awam negara.

8. Perhatian Media Massa

Pentadbiran kerajaan sentiasa mendapat perhatian media massa dalam


dan luar negeri. Segala keputusan dan tindakan kerajaan akan dilaporkan
kepada rakyat. Rakyat berhak mengetahui keputusan dan tindak tanduk
kerajaan dalam mentadbirkan negara. Oleh yang demikian, setiap
pentadbir awam perlu berwaspada dengan maklumat-maklumat yang
disampaikan kepada pihak media kerana jika tersalah maklumat ia boleh
menjadi tekanan kepada kerajaan.

Pihak media mempunyai kesan yang agak sedikit terhadap keputusan-


keputusan organisasi swasta. Laporan terhadap organisasi swasta
biasanya tertumpu kepada organisasi-organisasi besar sahaja. Keputusan-
keputusan organisasi swasta mendapat perhatian daripada rakyat kecuali

154
Asas Pentadbiran Awam

bagi keputusan-keputusan yang menjejaskan kepentingan mereka seperti


kenaikan harga barangan atau perkhidmatan.

9. Fungsi Utama Operasi

Perbezaan paling nyata ialah sektor awam bertindak sebagai penyedia dan
pembiaya perkhidmatan tetapi tidak mengeluarkan barangan. Contohnya
dalam membina sebuah sekolah, kelulusan dan peruntukan dibuat oleh
Kementerian Pendidikan. Kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya dan
Kerajaan Negeri turut diperoleh. Urusan pembinaan dilaksanakan oleh
pihak pemaju yang berjaya dalam saingan mendapatkan kontrak bagi
membina sekolah tersebut. Jika pemaju yang dipilih telah selesai
membina sekolah mengikut spesifikasi yang ditetapkan, maka
Kementerian Pendidikan akan membayar kos pembinaan kepada pihak
pemaju melalui Jabatan Perbendaharaan. Jelas di sini bahawa sektor
awam (contohnya Kementerian Pendidikan) banyak memainkan peranan
sebagai penyedia (membina sekolah) dan pembiaya, manakala fungsi
pengeluarannya (menyiapkan pembinaan sekolah) diambil alih oleh pihak
swasta (pemaju/kontraktor). Menurut Boadway (1997:21), kelebihan
menggunakan sektor swasta sebagai pembekal kepada sektor awam ialah
kos keberkesanan sektor awam boleh diperbaiki terutama apabila adanya
persaingan dari segi sebut harga di kalangan para pembekal (sektor
swasta). Perbezaan-perbezaan antara pentadbiran sektor awam dan
sektor swasta dapat diringkaskan seperti dalam Jadual 10.2 berikut:
Jadual 7.2
Perbezaan Antara Sektor Awam dan Sektor Swasta

Pentadbiran Sektor Awam Pengurusan Sektor Swasta


Keuntungan yang diingini Keuntungan bersifat perolehan kewangan
ialah dari segi pembangunan se maksimum mungkin.
negara secara keseluruhan.
Kawalan kuasa mengikut Kawalan kuasa mengikut konsep
konsep pemusatan kuasa. pembahagian kuasa.
Setiap organisasi sektor awam Organisasi sektor swasta bertindak secara
mesti saling membantu dan bersendirian.
memikul tanggungjawab
secara bersama dalam
mentadbirkan negara.
Aktiviti-aktiviti sektor awam Aktiviti sektor swasta dirangka mengikut
dirangka mengikut kehendak jenis operasi dan terarah kepada
kerajaan yang memerintah dan keuntungan kewangan.
mengikut keperluan rakyat
Kerap berlaku pertukaran Pemilik organisasi swasta berada di hierarki
pentadbir utama organisasi utama organisasi sepanjang hayat mereka.

155
Asas Pentadbiran Awam

awam kerana pelbagai faktor


seperti persaraan, dipinjamkan
ke organisasi awam lain, dan
kenaikan pangkat.
Pembangunan organisasi Keuntungan kewangan yang diperoleh
awam bergantung kepada daripada jualan barangan atau perkhidmatan
peruntukan yang disalurkan merupakan sumber utama kepada
oleh kerajaan yang pembangunan organisasi sektor swasta.
memerintah.
Belanjawan organisasi awam Belanjawan bergantung kepada keuntungan
bergantung kepada kewangan yang diperoleh.
peruntukan kerajaan
persekutuan atau kerajaan
negeri.
Segala aktiviti dan tindakan Aktiviti dan tindakan sektor swasta kurang
organisasi awam menjadi diberi liputan oleh media massa kerana
perhatian media massa yang tidak semua orang mempunyai kepentingan
berfungsi sebagai pelapor terhadap sesebuah organisasi swasta.
kepada rakyat.
Organisasi awam berperanan Organisasi swasta berfungsi sebagai
sebagai penyedia keperluan pengeluar.
rakyat.

Penswastaan terhadap sesetengah agensi kerajaan dapat


mengecilkan jurang perbezaan fungsi dan matlamat
antara sektor awam dan sektor swasta. Apakah
pandangan anda terhadap pernyataan ini.

SOALAN DALAM TEKS 7.3

1. Nyatakan tiga sebab mengapa pentadbiran sektor


awam tidak boleh berfungsi sebagai pengeluar
seperti mana peranan sektor swasta.
2. Terangkan empat perbezaan antara pentadbiran
sektor awam dan pengurusan sektor swasta.
3. Jelaskan dengan ringkas konsep 'check and balance'
yang dilakukan oleh orang awam terhadap
pentadbiran sektor awam.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

156
Asas Pentadbiran Awam

Keunikan pentadbiran awam ialah bersifat berkecuali


dalam banyak hal. Merujuk kepada kenyataan tersebut,
pada pendapat anda apakah perkaitan antara pentadbiran
awam dengan kerajaan yang memerintah?

7.4 KESIMPULAN

Pentadbiran atau pengurusan sektor awam dan swasta mempunyai


persamaan dan perbezaan yang jelas, seperti sistem pentadbiran,
perlaksanaan operasi, objektif organisasi, peningkatan produktiviti dan
sebagainya. Kewujudan pentadbiran awam berfungsi untuk
melaksanakan aktiviti-aktiviti kerajaan yang dibentuk oleh badan
perundangan dan eksekutif. Manakala organisasi sektor swasta wujud
daripada modal dan usaha persendirian atau perkongsian. Sektor swasta
berfungsi menyediakan barangan dan perkhidmatan untuk pengguna
yang sebahagian besarnya tidak boleh dikeluarkan oleh kerajaan. Dalam
sesebuah negara yang menjalankan sistem pemerintahan demokrasi
berparlimen, individu dan sektor swasta diberi kebebasan untuk
mengumpul kekayaan melalui penawaran produk dan perkhidmatan.
Perbezaan di antara kedua-dua sektor tersebut tidak terhad kepada
sembilan jenis perbezaan sahaja. Terdapat banyak lagi perbezaan lain
seperti pentadbiran kewangan, pembangunan kakitangan, struktur
pentadbiran, pembentukan polisi organisasi, peningkatan kualiti,
pelaburan, dan sebagainya.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Merujuk kepada Perkhidmatan Awam di Malaysia, bincangkan


jenis-jenis 'keuntungan' yang cuba dihasilkan oleh pentadbiran
sektor awam.

2. Bincangkan perbezaan-perbezaan dari segi pengurusan atau


pentadbiran sektor swasta dan sektor awam.

3. Jelaskan kriteria-kriteria yang digunakan dalam mengukur


keberkesanan pentadbiran sektor awam dan swasta.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

157
Asas Pentadbiran Awam

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 7.1

1. Pentadbiran awam merupakan organisasi milik kerajaan (kerajaan


pusat/negeri) yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada
rakyat. Definisi bagi pentadbiran awam ialah segala proses
pelaksanaan tugas awam yang dilakukan oleh birokrat awam
berpandukan kepada arahan, undang-undang, dan perintah yang
dikeluarkan oleh tiga badan utama dalam Pentadbiran Awam di
Malaysia iaitu badan perundangan, eksekutif, dan kehakiman.
Mengikut pendapat Rumki Basu, pentadbiran awam didefinisikan
sebagai apa-apa bentuk pentadbiran bagi memenuhi kepentingan
awam.

2. Fungsi pengurusan terbahagi kepada empat yang utama iaitu


fungsi perancangan, pengorganisasian, mengarah, dan fungsi
kawalan. Fungsi perancangan ialah proses merangka sesuatu
aktiviti organisasi supaya ia lebih teratur dan menghasilkan kesan
yang positif. Pengorganisasian pula ialah penyelarasan sumber-
sumber organisasi dengan sistem yang terdapat di dalam
sesebuah organisasi. Tujuannya agar organisasi dapat beroperasi
dengan lancar melalui penyelarasan aktiviti, kaedah, matlamat,
dan sebagainya. Fungsi mengarah merujuk kepada usaha
memberi panduan kepada anggota-anggota organisasi untuk
terarah kepada pencapaian matlamat organisasi. Terakhir ialah
fungsi kawalan, iaitu proses mengawal segala sumber organisasi
supaya tidak mendatangkan kerugian kepada organisasi.
Keempat-empat fungsi tersebut juga diamalkan di dalam
pentadbiran organisasi sektor awam. Contohnya, Jabatan
Perbendaharaan merangka belanjawan negara (fungsi
perancangan), meneliti dan menetapkan cadangan jumlah
peruntukan untuk setiap kementerian dengan spesifikasi tertentu
(fungsi pengorganisasian), mengarahkan semua kementerian
supaya menghantar anggaran peruntukan tahunan yang
dikehendaki bagi tempoh sesuatu tahun (fungsi mengarah), dan
meminta semua organisasi awam menyediakan rekod perakaunan
kewangan (fungsi kawalan).

3. Doktrin Pengasingan Kuasa yang telah ditetapkan di dalam


perlembagaan negara menerangkan tentang kuasa-kuasa badan
eksekutif, perundangan, dan kehakiman yang perlu berfungsi

158
Asas Pentadbiran Awam

secara berasingan tanpa sebarang pertindihan atau campur tangan


di antara ketiga-tiga badan tersebut.

SDT 7.2

1. Lima persamaan antara pentadbiran organisasi awam dan


pengurusan organisasi sektor swasta ialah:
(i) Kedua-dua organisasi awam dan swasta mempunyai
matlamat untuk mencapai keuntungan. Namun begitu,
nilai keuntungan yang ingin diperolehi oleh sektor awam
adalah lebih meluas tidak terhad kepada keuntungan
berbentuk kewangan seperti mana yang diingini oleh
kebanyakan organisasi swasta.
(ii) Terdapat perkhidmatan-perkhidmatan yang diperlukan
oleh rakyat, ditawarkan secara bersama oleh organisasi
awam dan swasta seperti universiti awam dan swasta,
hospital kerajaan dan hospital swasta, dan sebagainya.
(iii) Organisasi sektor swasta dan sektor awam sentiasa
berusaha untuk memajukan organisasi masing-masing
supaya kecekapan dan keberkesanan dapat dihasilkan.
(iv) Keteguhan organisasi sektor awam dan swasta
bergantung kepada banyak faktor seperti kekukuhan
kewangan, gaya pengurusan, peralatan pekerjaan,
kerjasama pelanggan, dan sebagainya. Namun begitu,
faktor utama yang akan menentukan jatuh-bangun kedua-
dua organisasi tersebut ialah faktor sumber manusia.
(v) Perkongsian matlamat dan kerjasama berlaku di antara
organisasi awam dan swasta dalam hal-ehwal
pembangunan negara khususnya dari aspek program-
program pembangunan negara.

2. Keuntungan utama yang ingin dicapai oleh pentadbiran awam


ialah memenuhi matlamat kerajaan yang memerintah, iaitu
matlamat membangunkan sosio-ekonomi negara secara sihat
untuk kepentingan orang awam. Keuntungan akhir bagi
pentadbiran awam mestilah kembali kepada faedah yang akan
diperoleh oleh rakyat kerana wang rakyat digunakan dalam
membiayai segala kos pentadbiran awam.

159
Asas Pentadbiran Awam

SDT 7.3

1. Tiga sebab pentadbiran awam tidak boleh berfungsi sebagai


pengeluar ialah:
(i) Tanggungjawab pentadbiran awam terlalu besar dan tidak
mampu untuk menawarkan semua perkhidmatan atau
barangan kepada rakyat.
(ii) Sesebuah kerajaan yang mengamalkan pentadbiran secara
demokrasi berparlimen tidak boleh memonopoli
kekayaan negara.
(iii) Pentadbiran awam diwujudkan untuk menjamin
kepentingan awam terpelihara bukannya berperanan
seperti peniaga yang hanya menawarkan perkhidmatan
kepada yang mampu memilikinya.

2. Empat perbezaan antara pentadbiran sektor awam dan


pengurusan sektor swasta ialah:
(i) Pentadbiran sektor awam mengamalkan konsep kawalan
kuasa secara berpusat manakala sektor swasta lebih
banyak menggunakan konsep pembahagian kuasa.
Kawalan kuasa berpusat bermaksud segala keputusan
yang hendak diambil mestilah diperolehi daripada
individu yang menduduk hierarki tertinggi sesebuah
organisasi. Pembahagian kuasa pula, pengagihan peluang
kepada pelbagai pihak yang berkuasa dalam sesebuah
organisasi untuk membuat keputusan (dengan had
tertentu) tanpa perlu menunggu kebenaran daripada
pengurusan tertinggi organisasi.
(ii) Organisasi sektor swasta berfungsi sebagai pengeluar
barangan dan perkhidmatan tetapi sektor awam hanya
berperanan sebagai penyedia perkhidmatan. Organisasi
sektor awam tidak boleh berperanan sebagai pengeluar
kerana halangan-halangan tertentu seperti kewangan,
kepakaran, terkeluar daripada matlamat menjamin
kepentingan awam, dan sebagainya.
(iii) Pemimpin utama bagi organisasi sektor awam tidak kekal
lama dalam sesebuah organisasi awam kerana faktor-
faktor seperti bersara, ditukarkan ke jabatan lain,
dipinjamkan sementara ke organisasi awam yang lain, dan
sebagainya. Teraju pengurusan sektor swasta pula
dikuasai oleh pemilik organisasi tersebut. Tempoh

160
Asas Pentadbiran Awam

perkhidmatan mereka sebagai pengurus utama organisasi


bergantung kepada tempoh hayat mereka.
(iv) Aktiviti-aktiviti organisasi sektor awam dirangka
mengikut keperluan kerajaan yang memerintah dan untuk
kepentingan rakyat. Jika kerajaan bertukar, birokrat awam
tidak bertukar dan mereka akan terus melaksanakan
perintah daripada kerajaan yang baru. Perancangan
aktiviti organisasi swasta bergantung kepada jenis operasi
organisasi tersebut. Kebanyakan aktiviti organisasi swasta
cenderung kepada pemerolehan keuntungan kewangan.

3. Konsep 'check and balance' ialah suatu bentuk pemeriksaan dan


tindak balas antara dua pihak yang mempunyai kepentingan
antara satu sama lain. Segala tindakan dan keputusan yang dibuat
oleh satu pihak akan diminta penjelasan oleh satu pihak lain
terutama bagi keputusan-keputusan atau tindakan-tindakan yang
membebankan satu pihak lain. Contohnya, jika kerajaan
bercadang menaikkan kadar sewa telefon bulanan daripada
RM20.00 kepada RM80.00. Kenaikan tersebut tentulah akan
membebankan rakyat sebagai pengguna terbesar kepada
perkhidmatan telefon. Rakyat akan mendesak kerajaan supaya
mempertimbangkan semula cadangan tersebut dengan
mengambil kira kepentingan orang awam yang terjejas akibat
kenaikan tersebut.

161

You might also like