You are on page 1of 7

Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun bagi memperingati penubuhan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Sambutan yang diadakan dengan tema berbeza setiap tahun bertujuan meningkatkan
kesedaran masyarakat mengenai isu kesihatan global semasa yang khusus.
Tema tahun ini Perlindungan Kesihatan Sejagat: Setiap Orang, Di Mana Pun; bagi memastikan
semua orang dalam masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Ia termasuk spektrum perkhidmatan yang diperlukan sepanjang hayat bermula daripada promosi
kesihatan kepada pencegahan, rawatan, pemulihan dan penjagaan paliatif berasaskan sistem
penjagaan kesihatan utama.
Dunia menghadapi pelbagai cabaran kesihatan termasuk wabak penyakit yang dapat dicegah
dengan vaksin seperti demam campak dan difteria, peningkatan kes patogen tahan ubat,
peningkatan kadar obesiti, pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim serta pelbagai krisis
kemanusiaan.
Sehubungan itu, 2019 menjadi tahun permulaan pelan strategik lima tahun untuk WHO
menangani ancaman terbabit.
Pelan ini akan memberi tumpuan kepada sasaran tiga bilion iaitu memastikan satu bilion orang
mendapat manfaat daripada akses kepada liputan kesihatan sejagat, satu bilion dilindungi
daripada kecemasan, manakala bakinya dapat menikmati kesihatan dan kesejahteraan yang
lebih baik.
Berikut adalah 10 ancaman kesihatan global terbesar pada 2019 jika tidak diatasi akan
menjejaskan jutaan nyawa di seluruh dunia.
1. Pencemaran udara dan perubahan iklim
Sembilan daripada 10 orang dikatakan menghirup udara tercemar setiap hari. Oleh itu, WHO
meletakkan pencemaran udara sebagai risiko alam sekitar paling besar untuk kesihatan pada
tahun ini.
Pencemaran mikroskopik di udara boleh menembusi sistem pernafasan dan peredaran darah,
merosakkan paru-paru, jantung dan otak, malah membunuh tujuh juta orang setiap tahun
daripada penyakit seperti kanser, strok, sakit jantung dan paru-paru.
PELEPASAN asap kenderaan punca pencemaran udara.
Sekitar 90 peratus daripada kematian ini di negara berpendapatan rendah dan sederhana
dengan jumlah pelepasan yang banyak dari industri, pengangkutan dan pertanian termasuk
dapur serta bahan api kotor di rumah.
Penyebab utama pencemaran udara (pembakaran bahan api fosil) juga penyumbang utama
kepada perubahan iklim yang memberi kesan kepada kesihatan rakyat dalam pelbagai cara.
Antara 2030 dan 2050, perubahan iklim dijangka menyebabkan kira-kira 250,000 kematian
tambahan setahun daripada malnutrisi, malaria, cirit-birit dan tekanan haba.
2. Penyakit tidak berjangkit (NCD)
Penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, kanser dan penyakit jantung secara kolektif
bertanggungjawab untuk lebih daripada 70 peratus daripada semua kematian di seluruh dunia.
Ini termasuk 15 juta kematian pramatang iaitu kematian di bawah umur 70 tahun.
Lebih 85 peratus daripada kematian pramatang ini berlaku di negara berpendapatan rendah dan
sederhana.
Peningkatan NCD didorong oleh lima faktor risiko utama iaitu penggunaan tembakau, tidak aktif
fizikal, pengambilan alkohol berlebihan, diet tidak sihat dan pencemaran udara.
MENGABAIKAN pengambilan makanan seimbang punca obesiti yang mengakibatkan NCD.
Faktor risiko ini juga memburukkan lagi masalah kesihatan mental yang mungkin berasal dari
usia awal.
Separuh daripada semua penyakit mental bermula pada usia 14 tahun, tetapi kebanyakan kes
tidak dapat dikesan dan tidak dirawat.
Bunuh diri pula dikatakan penyebab utama kematian kedua bagi kumpulan usia antara 15
hingga 19 tahun.
3. Wabak influenza
Dunia dikatakan bakal menghadapi satu lagi pandemik influenza, namun satu-satunya perkara
yang kita tidak tahu, bila ia akan melanda dan kesan buruknya.
Pertahanan global hanya berkesan sebagai pautan paling lemah dalam sistem persediaan dan
tindak balas kecemasan kesihatan mana-mana negara.
WHO sentiasa mengawasi peredaran virus influenza untuk mengesan potensi pandemik
membabitkan 153 institusi di 114 negara yang menyertai dalam pengawasan dan tindak balas
global.
4. Tempat tinggal rapuh dan terdedah risiko
Lebih 1.6 bilion atau 22 peratus penduduk global tinggal di kawasan krisis yang berlarutan
seperti kemarau, kebuluran, konflik dan penghijrahan penduduk serta perkhidmatan kesihatan
yang lemah menyebabkan mereka tidak mendapat akses kepada penjagaan asas.
Penempatan rapuh sedemikian wujud di hampir semua kawasan di dunia dan situasi ini adalah
separuh daripada sasaran utama dalam matlamat pembangunan mampan termasuk kesihatan
ibu dan anak yang tidak dipenuhi.

KAWASAN kediaman rapuh mendedahkan pelbagai risiko kesihatan.


5. Kerintangan ubat antimikrob
Perkembangan antibiotik, antivirus dan antimalaria adalah beberapa kejayaan terbesar dalam
perubatan moden.
Namun, bakteria didapati semakin bijak beradaptasi dengan ubatan yang ada menyebabkan
berlakunya kerintangan ubat antimikrob.
Keupayaan bakteria, parasit, virus dan kulat untuk menentang ubat-ubatan turut mampu
menggagalkan usaha mencegah jangkitan yang membahayakan pembedahan dan prosedur
serius seperti kemoterapi.
Rintangan kepada ubat tuberkulosis adalah halangan yang besar memerangi penyakit yang
menyebabkan kira-kira 10 juta orang jatuh sakit, manakala 1.6 juta lagi meninggal dunia setiap
tahun.
Pada 2017, kira-kira 600,000 kes batuk kering rintang terhadap rifampicin iaitu ubat barisan
pertama yang paling berkesan dan 82 peratus daripada jumlah kes itu didapati mempunyai
kuman tuberkulosis yang rintang terhadap pelbagai ubat.
6. Ebola dan penyakit berbahaya lain
Pada 2018, Republik Demokratik Congo dilanda dua wabak Ebola berasingan yang merebak ke
bandar-bandar yang mempunyai lebih sejuta penduduk. Malah, satu daripada wilayah yang
terjejas berada dalam zon konflik yang aktif.
Ini menunjukkan konteks wabak patogen dengan ancaman tinggi seperti Ebola meletus adalah
kritikal dan tidak semestinya berlaku di kawasan luar bandar.
Selain Ebola, senarai pantauan WHO untuk penyelidikan dan pembangunan termasuk penyakit
lain seperti Zika, Nipah, Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) dan
Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang mewakili keperluan untuk mempersiapkan
sesuatu bagi menghadapi patogen tidak diketahui yang boleh menyebabkan wabak yang serius.
7. Penjagaan kesihatan utama yang lemah
Penjagaan kesihatan utama biasanya titik pertama hubungan manusia dengan sistem penjagaan
kesihatan mereka dan secara idealnya harus menyediakan penjagaan yang komprehensif,
berpatutan serta berasaskan komuniti sepanjang hayat.
Ia memenuhi sebahagian besar keperluan kesihatan seseorang dalam menjalani kehidupan
mereka. Sistem kesihatan dengan penjagaan kesihatan utama yang kuat diperlukan untuk
mencapai liputan kesihatan sejagat.
Namun banyak negara tidak mempunyai kemudahan penjagaan kesihatan utama yang
mencukupi.
Pengabaian ini mungkin disebabkan kekurangan sumber di negara berpendapatan rendah atau
sederhana.
8. Golongan menolak vaksin
Vaksinasi adalah cara paling berkesan dan jimat elak penyakit, malah mampu menghalang dua
hingga tiga juta kematian setahun.
Sebagai contoh, kes demam campak meningkat sebanyak 30 peratus di seluruh dunia.
PENYAKIT cegahan vaksin muncul kembali akibat menolak imunisasi.
Tentunya peningkatan kes yang boleh dicegah dengan vaksin ini disebabkan pertambahan kes
yang menolak vaksin.
Banyak negara yang hampir melenyapkan demam campak terpaksa berdepan semula penyakit
itu.
9. Denggi
Denggi adalah penyakit bawaan nyamuk menyebabkan gejala seperti selesema dan boleh
mengundang maut.
Penyakit ini menyebabkan kematian sehingga 20 peratus pesakit yang menghidap demam
denggi teruk.
Sejumlah besar kes berlaku pada musim hujan di Bangladesh dan India. Penyakit ini kemudian
tersebar ke negara tropika dan cuaca sederhana seperti Nepal yang secara tradisinya tidak
pernah dilanda denggi.
Dianggarkan 40 peratus penduduk dunia berisiko demam denggi dan dianggarkan sekitar 390
juta jangkitan setahun. Strategi kawalan denggi oleh WHO bertujuan mengurangkan kematian
sebanyak 50 peratus menjelang 2020.
MENGHAPUS pembiakan nyamuk Aedes basmi wabak denggi.
10. HIV
Meskipun sudah banyak kemajuan dilakukan bagi mengatasi HIV, penyakit ini terus mara
dengan mengakibatkan hampir sejuta kematian setiap tahun. Sejak awal wabak ini melanda,
lebih 70 juta orang dijangkiti dan separuh daripada meninggal dunia.
Kini, dianggarkan 37 juta penduduk dunia menghidap HIV. Kumpulan yang semakin dipengaruhi
oleh HIV adalah wanita muda berusia 15 hingga 24 tahun yang berisiko tinggi dan menyumbang
satu daripada empat jangkitan HIV di subSahara Afrika walaupun hanya 10 peratus
penduduknya.
Sekitar 22 juta orang kini mendapatkan rawatan dengan menggunakan ubat antiretroviral untuk
mencegah jangkitan virus HIV.
WHO juga mempromosikan kit uji sendiri supaya setiap orang tahu status kesihatan seterusnya
mendapatkan rawatan.
Harian Metro Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 9:01 AM

You might also like