You are on page 1of 11

Pendahuluan

Sabah merupakan salah satu negeri Persekutuan Malaysia yang dipisahkan oleh Laut
China Selatan dan terletak di wilayah Malaysia Timur. Sabah bersempadan dengan Sarawak
dan Brunei di bahagian barat, Indonesia di bahagian selatan dan Filipina di bahagian timur
yang dipisahkan oleh Laut Sulu. Keadaan geografi Sabah yang mempunyai perairan yang
sangat luas dan dikelilingi beberapa buah negara jiran yang mempunyai masalah dalaman
terutamanya Filipina dan Indonesia secara tidak langsung telah memberi impak keselamatan
yang besar kepada Malaysia.

Isu pertikaian tuntutan wilayah Sabah oleh Filipina bukan isu yang baharu buat
Malaysia semenjak Sabah menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Filipina
sehingga kini masih mengekalkan tuntutan mereka terhadap Borneo Utara yang kini dikenali
sebagai negeri Sabah. Filipina membuat tuntutan terhadap Sabah berasaskan kepada sejarah
di Sabah pernah menjadi wilayah di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu. Insiden
pencerobohan Lahad Datu telah memberi impak dan mengancam keselamatan di Pantai
Timur Sabah. Insiden ini juga telah menggugat kestabilan negara dari segi politik,
ketenteraan, sosio-ekonomi khususnya kepada penduduk di negeri Sabah. Keadaan ini telah
meninggalkan kesan mendalam di Sabah dan mengundang rasa tidak selamat kepada
masyarakat, pelancong serta pelabur untuk datang ke Sabah dan sekaligus memberikan impak
yang besar kepada ekonomi negara.

Pada Februari 2013, keselamatan Malaysia diancam dengan insiden pencerobohan


oleh aktor bukan negara iaitu kumpulan penceroboh bersenjata yang mengelar diri mereka
sebagai Royal Sulu Force (RSF) yang telah mendarat dan menduduki Kampung Tanduo di
Lahad Datu, Sabah. Kumpulan tersebut diklafikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh
kerajaan Malaysia merupakan pengikut Jamalul Kiram III yang mendakwa diri beliau sebagai
waris sah Kesultanan Sulu dan ingin merampas kembali wilayah mereka di Sabah. Malaysia
berjaya mengawal dan memusnahkan kumpulan pengganas tersebut melalui gerakan operasi
ofensif yang dikenali sebagai Operasi Daulat. Susulan pencerobohan ini, Eastern Sabah
Security Command (ESSCOM) telah ditubuhkan bertujuan untuk menjaga keselamatan di
Pantai Timur Sabah.

Hubungan RSF, Sabah dan Manila

Perjanjian pajakan pada tahun 1877 dianggap sebagai titik tolak kepada pertikaian hak milik
Sabah di antara waris Kesultanan Sulu, Malaysia dan Filipina. Menurut perjanjian asal yang
dimenterai antara Alfred Dent dan Baron von Overbeck dengan pemerintah Kesultanan Sulu,
Sultan Jamalul A’lam, Alfred Dent dan Baron von Overbeck akan mempunyai kuasa
sepenuhnya untuk mentadbir Borneo Utara. Sebagai balasan, Kesultanan Sulu akan menerima
wang pajakan setiap tahun berjumlah $5,000 daripada syarikat British North Borneo
Company. Nilai bayaran ini bertambah kepada $5,300 setahun setelah penyerahan beberapa
buah kawasan baru kepada syarikat tersebut oleh Sultan Sulu dan nilai ini kekal dibayar oleh
kerajaan Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu sejak tertubuhnya Malaysia.

Kesultanan Sulu mula dinafikan kuasa pemerintahan pada tahun 1935, apabila Dewan
Senat dan Dewan Perwakilan dengan sokongan kerajaan Amerika Syarikat bersetju untuk
membentuk perlembagaan dan kerajaan mereka sendiri pada tahun 1936. Perkara utama yang
dihujahkan adalah memansuhkan kewujudan Kesultanan Sulu bagi menyesuaikan corak
pentadbiran sebuah Republik. Isu ini bangkit semula pada tahun 1962 apabila Presiden
Diosdado Macapagal membuat tuntutan rasmi terhadap Borneo Utara dan membuat
perancangan untuk melakukan operasi sulit dikenali sebagai ‘Oplan Merdeka’ namun tidak
berjaya. Manila bertindak mengiktiraf kembali waris Kesultanan Sulu dan RSF pada tahun
1981. Apa yang jelas, kerajaan Filipina seperti menjadikan Kesultanan Sulu sebagai boneka
bagi merealisasikan tuntutan mereka ke atas Borneo Utara.

Kepentingan Kesultanan Sulu bagi Manila perlu dilihat dari dua sudut iaitu
politik dalaman Filipina dan keinginan RSF untuk menggunakan kekerasan dalam tuntutan
mereka. Permainan politik di Filipina amat jelas apabila pada tahun 2002 satu pertemuan
antara Sultan Jamalul Kiram III dengan Presiden Gloria Macapagal Arroyo bagi
membincangkan siapakah pewaris sebenar Kesultanan Sulu. Pertemuan ini dilihat sebagai
langkah awal Presiden dalam mencari wakil dari masyrakat Sulu/Tausug bagi menghadapi
pilihan raya. Pada tahun 2007 Jamalul Kiram III telah dicalonkan bertanding jawatan Senator
di Dewan Senat namun beliau tewas. Tuntutan ke atas Sabah menjadi isu utama dibawa oleh
parti Arroyo yang menggunakan Jamalul Kiram III sebagai boneka. Jika dilihat dalam pilihan
raya tersebut, parti Arroyo tidak begitu tegas dalam membangkitkan isu tuntutan terhadap
Sabah dan hanya untuk menggunakan isu tersebut bagi menarik pengundi berketurunan Sulu.

Impian Kesultanan Sulu bagi menuntut Sabah adalah satu impian yang sudah lama
mereka rancangkan. Setelah diiktiraf kembali oleh Manila mengenai status Sultan Sulu,
mereka turut memberikan bantuan kepada RSF dalam bentuk logistik, senjata dan latihan
ketenteraan sama seperti yang pernah dilakukan kepada pasukan komando ‘Jabidah’ pada
tahun 1968 untuk melaksanakan operasi sulit ‘Oplan Merdeka’ bagi menawan Sabah. Jelas
kerajaan Filipina mempunyai niat terselindung dengan menggunakan organisasi bukan
kerajaan untuk memenuhi kehendak mereka ke atas Sabah. Sejak tahun 1992 dan 1993,
Sultan Esmail Kiram II telah bertindak memberikan amaran untuk melancarkan ‘jihad’ ke
atas Malaysia bagi menuntut Sabah dan meminta dibayar pampasan sejumlah USD 10 bilion
daripada kerajaan Malaysia untuk melepaskan tuntutan ke atas Sabah.

Pada tahun 2008, Menteri Pertahanan Kesultanan Sulu, Agbimuddin Kiram, telah
mengeluarkan satu arahan khusus yang disebut ‘Special Order Number 04’. Arahan khusus
ini telah menyatakan bahawa objektif utama adalah untuk melakukan penaklukan ke atas
Sabah dan menubuhkan satu pasukan ‘Task Force’ yang dikenali sebagai ‘Kaadilan’ bagi
melaksanakan arahan tersebut. Pada penghujung tahun 2012, Sultan Sulu sekali lagi
mengarahkan untuk membuat persediaan menyerang Sabah. Persoalannya, apakah tindakan
kerajaan Malaysia dalam melakukan persediaan keselamatan dan pertahanan untuk
menghadapi sebarang ancaman pada waktu itu. Perkara yang jelas bahawa persediaan
pasukan keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) adalah tidak bersedia sepenuhnya di Pantai Timur Sabah.

Pemilihan Kampung Tanduo sebagai lokasi pendaratan dan kawasan pertahanan


mereka perlu dilihat pada sudut iaitu geoetnik. Hal ini kerana majoriti penduduk Kampung
Tanduo dan kawasan sekitarnya terdiri daripada etnik Sulu merupakan faktor penting
pemilihan oleh RSF. Bantuan daripada penduduk kampung kepada mereka yang
menyediakan bekalan keperluan asas dan tempat tinggal memudahkan urusan pencerobohan
RSF dan mereka menanggap bahawa kawasan ini sebagai kawasan selamat kerana penduduk
kampung akan memberikan kerjasama seperti penyaluran maklumat pergerakan pasukan
keselamatan. Analisis yang dapat dibuat adalah peranan etnik Sulu yang mempunyai
hubungan rapat dengan Kesultanan Sulu menjadikan Tanduo sebagai pilihan yang tepat. Isu
warganegara yang berlainan tidak menjadi masalah kerana kesetiaan kepada Kesultanan Sulu
dan kehendak sesetengah etnik Sulu di kawasan ini adalah sama iaitu bagi menuntut Sabah.

Analisis Strategi dan Langkah Kerajaan Malaysia

Krisis pencerobohan ini telah bermula pada 9 Februari 2013 dan berlanjutan sehingga 24 Mac
2013. Dianggarkan seramai 235 anggota RSF yang sebahagiannya bersenjata telah menerima
arahan ini daripada Jamalul Kiram III mula bertolak dari Pulau Tawi-Tawi di Filipina dengan
menggunakan bot pancung. Pendaratan ini telah dilaporkan oleh penduduk tempatan kepada
pihak PDRM yang telah menghantar anggota untuk melakukan pemeriksaan dan tinjauan.
Antara faktor Kampung Tanduo ini dipilih adalah lokasinya yang paling hampir dan sering
dijadikan sebagai transit kepada pendatang haram. Selain itu, RSF telah menjalankan
tinjauan ke atas tahap keselamatan di kawasan tersebut dan mendapati kampung tersebut
tidak dikawal oleh pasukan keselamatan Malaysia.

Selepas lebih dua minggu pihak keselamatan Malaysia yang diketuai oleh Cawangan
Khas (CK) PDRM melakukan beberapa kali rundingan namun ianya masih tidak berhasil
untuk membawa pemimpin RSF menyerah diri. Rundingan ini turut dibantu oleh pihak
kerajaan Filipina yang bersedia menghantar kapal tentera laut untuk membawa pulang rakyat
mereka yang menceroboh Kampung Tanduo. Selain itu, rundingan yang berlangsung ini telah
digunakan oleh pihak CK untuk mengetahui jumlah anggota, jenis senjata dan kubu
pertahanan yang dibina oleh RSF di kawasan Kampung Tanduo. Pemantauan 24 jam dari
udara turut dilakukan oleh pihak PDRM yang dibantu ATM menggunakan Unmanned Aerial
Vehicle (UAV). Hasil risikan dan tinjauan ini telah membantu pasukan keselamatan dalam
mengempur kedudukan musuh dan membuat kepungan di kawasan yang sepatutnya.

Pada pagi 1 Mac 2013, pertempuran pertama antara pasukan komando PDRM VAT
69 telah berlaku. Dalam pertempuran ini, dua anggota komando telah terkorban manakala, 12
orang anggota RSF menerima akibat yang sama. Manakala pada malam 2 Mac 2013 di
Kampung Sri Jaya, Simunul di daerah Semporna telah dijadikan markas dan tempat
perlindungan anggota RSF yang merancang untuk menyerang beberapa tempat strategik di
Semporna termasuk balai polis. Walau bagaimanapun, rancangan ini telah dikesan oleh pihak
CK dan membuat serbuan ke atas Kampung Sri Jaya, tetapi pasukan serbuan ini telah
diserang hendap oleh anggota RSF yang menyebabkan 6 anggota PDRM telah terkorban dan
beberapa lagi tercedera. Serbuan ini dilihat sebagai satu tindakan tidak tersusun kerana
dilaksanakan tanpa peralatan serbuan lengkap serta pasukan bantuan. Perancangan serbuan
ini juga telah diketahui oleh anggota RSF kerana seorang anggota CK PDRM iaitu Koperal
Hassan Haji Ali Bassri telah membocorkan maklumat serbuan tersebut kepada RSF.

Dua pertempuran ini telah menyebabkan pihak kerajaan terpaksa melancarkan operasi
ofensif yang dikenali sebagai Operasi Daulat pada 5 Mac 2013. Serangan bermula dengan
pengeboman oleh pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke atas rumah-
rumah yang menjadi perlindungan dan kubu anggota RSF. Selepas itu, serangan artileri dan
mortar dilancarkan sebelum pasukan keselamatan yang terdiri daripada anggota tentera darat
dan pasukan komando VAT 69 memasuki Kampung Tanduo dengan kereta perisai.
Pertempuran ini berlaku sepanjang satu minggu dan ianya tidak hanya tertumpu di Kampung
Tanduo sahaja kerana ada musuh yang berjaya meloloskan diri ke kawasan seperti Tanjung
Batu dan Tanjung Labian. Dalam operasi ini, seorang anggota tentera darat telah terkorban
manakala beberapa anggota pasukan keselamatan lain tercedera.

Analisis hasil daripada Operasi Daulat yang dijalankan ini boleh dilihat daripada dua
aspek iaitu geopolitik dan persediaan pasukan keselamatan Malaysia. Dalam aspek
geopolitik, kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan Filipina adalah sangat
positif. Hal ini kerana dari awal perundingan dibuat oleh kerajaan Malaysia, Manila telah
membuat rayuan kepada keluarga Kesultanan Sulu di Filipina untuk mengarahkan semua
anggota RSF di Sabah untuk menyerah diri secara aman dan pulang ke Filipina. Selain itu,
kerajaan Filipina juga telah membantu pasukan keselamatan Malaysia dalam mengawal
perairan Filipina daripada percubaan RSF di Filipina memberikan bantuan atau percubaan
RSF di Tanduo kembali semula ke Filipina. Kawalan keselamatan yang dilakukan oleh
Filipina telah berjaya menahan sebuah bot yang membawa sejumlah anggota RSF yang
berjaya meloloskan diri daripada sekatan pasukan keselamatan Malaysia dan anggota RSF ini
telah dihukum atas kesalahan mereka di Filipina.

Daripada sudut pandangan pasukan keselamatan Malaysia, kejayaan untuk


menghapuskan pencerobohan ini perlu dibanggakan. Melalui Operasi Daulat, kerjasama yang
baik telah ditunjukan oleh pasukan keselamatan Malaysia yang terdiri daripada ATM,
PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bantuan dari agensi-agensi
lain. Operasi Daulat telah menguji persediaan pasukan keselamatan Malaysia dari segi
koordinasi operasi dan penggunaan aset. Hal ini kerana kali terakhir operasi serupa berlaku
adalah pada tahun 2000 ketika menghadapi ancaman daripada kumpulan Al-Maunah. Antara
aset ketenteraan yang membantu dalam kejayaan operasi ini adalah penggunaan UAV oleh
pihak ATM. Terdapat dua jenis UAV yang digunakan semasa Operasi Daulat iaitu UAV
Aludra dan UAV Nyamok yang membuat pemantuan mengenai pergerakan musuh sepanjang
waktu.
Selain itu, keupayaan Pasukan Atur Cepat (PAC) 10 Briged Para telah diuji dalam
beberapa pertempuran dan merupakan pasukan terawal yang tiba. Pasukan ini juga secara
keseluruhannya telah berjaya dalam melaksanakan tugas diberikan seperti membuat kawalan
keselamatan di lapangan terbang Labuan, Tawau dan Lahad Datu selepas terdapat ancaman
serangan ke atas lapangan terbang tersebut. Tentera Darat secara keseluruhannya berjaya
membunuh 29 orang musuh dan menahan 19 orang musuh sepanjang operasi ini
dilaksanakan. Manakala, agensi lain seperti RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
(APM) telah membantu ATM dan PDRM dalam memindahkan penduduk dan membuat
kawalan keselamatan di kawasan Felda yang berdekatan seperti diarahkan.

Namun demikian, masih terdapat beberapa perkara yang boleh dijadikan iktibar
daripada Operasi Daulat ini. Antaranya adalah kekurangan dari segi kelengkapan anggota
Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Komando VAT 69 dalam menghadapi krisis bersenjata ini.
Perkara ini diakui sendiri oleh Komando VAT 69 dalam buku yang bertajuk 69 Komando:
Lahad Datu 2013, di mana mereka mengalami pelbagai masalah seperti alat kelengkapan dan
persenjataan personel yang kurang moden serta ketiadaan kenderaan perisai untuk membantu
pihak PDRM menghadapi ancaman musuh. Masalah ini telah pun diselesaikan oleh PDRM
dengan perolehan peralatan yang sesuai dan latihan yang mencukupi.

Selain itu, fakta yang perlu diterima dalam pencerobohan ini adalah bahawa RSF
telah memberikan dua kali kenyataan berbentuk amaran untuk melancarkan serangan ke
Malaysia iaitu pada tahun 1998 dan 2011 tetapi amaran ini tidak dipandang serius oleh
kerajaan. Hal ini terbukti jika dibuat perbandingan antara kawalan keselamatan Pantai Timur
Sabah sebelum serangan RSF di Lahad Datu dan Pasca Operasi Daulat, dapat dilihat
perbezaan ketara dalam tindakan kerajaan untuk memastikan keselamatan Pantai Timur
Sabah. Pasca Operasi Daulat menyaksikan kerajaan telah menubuhkan ESSCOM dan
menambahkan lagi kekuatan pasukan keselamatan di Pantai Timur Sabah bagi
memperkukuhkan rondaan baik di darat atau laut. Ini adalah berbeza jika dilihat sebelum
kejadian pencerobohan berlaku di mana kehadiran rondaan pasukan keselamatan amat
minimum dan tiada aset dengan kelengkapan yang baik untuk membantu dalam membuat
kawalan keselamatan.

Kewujudan penempatan kampung air yang semakin meluas di Pantai Timur Sabah
merupakan halangan dan cabaran pihak keselamatan sejak dahulu. Penempatan ini sering
dijadikan sebagai kawasan perlindungan penjenayah yang mempunyai pelbagai latar
belakang jenayah seperti pengedaran dadah, penyeludupan, pengganas dan pelanunan.
Keadaan penempatan kampung air yang tidak teratur dan reka bentuk tiada ciri-ciri
keselamatan antara risiko yang dihadapi oleh pasukan keselamatan seperti kejadian serang
hendap di Kampung Sri Jaya. Pasukan penyelamat mempunyai kesukaran untuk mengenal
pasti kedudukan sebenar pasukan polis yang terperangkap dan memerlukan tempoh agak
lama atas faktor keselamatan pasukan penyelamat. Penjenayah dan pengganas juga
memahami kawasan penempatan kampung air yang akan memberikan mereka kelebihan dari
segi taktikal berbanding pasukan keselamatan Malaysia yang mengalami kesukaran
menjalankan operasi di kawasan ini.

Pasca Operasi Daulat telah membuka mata banyak pihak terutama kerajaan Malaysia
dan pasukan keselamatan dalam memastikan persediaan yang maksimum perlu diberikan
kepada Pantai Timur Sabah. Sejak krisis ini berlaku, tumpuan kerajaan dalam aspek
pertahanan dan keselamatan dilihat lebih tegas dalam menangani isu keselamatan negara di
kawasan ini. Kertas Putih Pertahanan dan Dasar Keselamatan & Ketenteraman Awam
(DKKA) yang dilancarkan pada tahun 2019 menunjukan bahawa kerajaan memberikan
komitmen tinggi untuk memastikan keselamatan Pantai Timur Sabah terjamin daripada
ancaman anasir luar terutamanya aktor bukan negara. Selain itu, kerjasama seperti Trilateral
Maritime Security Cooperationa yang lebih erat di antara negara jiran Malaysia iaitu Filipina
dan Indonesia perlu diperkukuhkan lagi dalam memastikan ancaman keselamatan di kawasan
ini dikurangkan.

Penubuhan ESSCOM

ESSCOM ditubuhkan lanjutan daripada insiden pencerobohan di RSF di Kampung


Tanduo dan peristiwa di Semporna. Pada awalnya Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan
penubuhan Kawasan Pantai Timur Sabah sebagai Kawasan Keselamatan Khas (SSA).
Namun, dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sabah yang dipengerusikan
oleh Ketua Menteri Sabah, Musa Aman pada 11 Mac 2013, kerajaan bersetuju untuk
menukarkan nama SSA kepada ESSCOM. Penubuhan ESSCOM yang berpusat di Lahad
Datu merupakan pusat operasi pembersihan saki baki pengganas Sulu yang
bertanggungjawab mengkoordinasi operasi, pengumpulan maklumat risikan, pengendalian
aset-aset keselamatan, pengurusan anggota-anggota keselamatan dan memastikan kawasan
perairan Sabah selamat daripada ancaman luar.

ESSCOM menggabungkan beberapa agensi keselamatan di bawah satu pentadbiran


merangkumi ATM, PDRM, APMM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan
Imigresen Malaysia (JIM) (Ramli et al. 2016). Lanjutan penubuhan ESSCOM pada 25 Mac
2013, Perdana Menteri Najib Tun Razak mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah
Timur atau Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE) yang meliputi 10 daerah di Pantai
Timur Sabah iaitu daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan,
Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Penduduk dan masyarakat yang berada dalam
wilayah ESSZONE ini dikenali sebagai komuniti ESSZONE. Kewujudan wilayah ESSZONE
selaras dengan situasi perairan pantai timur Sabah yang terdedah dengan ancaman
keselamatan yang wujud dari kawasan selatan Filipina (Ramli & Mohd Zambri 2015).

Penubuhan ESSCOM dilihat akan membawa kepada pembaharuan pelbagai


infrastruktur di bahagian pantai timur Sabah dengan membaik pulih keadaan jalan raya,
pembinaan lapangan terbang baru di Lahad Datu serta beberapa usaha lain terutamanya
dalam usaha menarik pelabur dan pelancong masuk ke negara ini. Jelasnya tindakan ini
penting untuk memastikan peningkatan dari segi kedatangan pelancong asing kerana mereka
akan merasa lebih selamat memandangkan Danum Valley dan Tabin Wildlife Park yang
berada di daerah Lahad Datu merupakan antara tarikan utama pelancong. Selain itu, bagi
memastikan kejayaan ESSCOM, kerajaan turut menggariskan beberapa perkara penting yang
perlu diambil untuk memastikan kejayaan organisasi tersebut dalam mencapai matlamatnya.

Pada April 2013 misalnya, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak telah
menggariskan empat perkara penting bagi memastikan kelangsungan dan kejayaan ESSCOM
dalam memberikan perlindungan kepada komuniti ESSZONE. Empat elemen tersebut adalah
pertama - meningkatkan kemampuan perisikan, kedua - melaksanakan pemantauan
pengawalan pantai 24 jam sehari, ketiga - meningkatkan kemampuan negara untuk memintas
sebarang ancaman dari laut dan keempat - penguatkuasaan undang-undang yang ketat dengan
tindakan pantas ke atas ancaman tersebut (Ramli & Mohd Zambri 2015).

Dalam masa yang sama, bagi tujuan memperkasakan ESSCOM dan keselamatan di
wilayah ESSZONE, beberapa inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan. Dalam bajet 2014
misalnya, ESSCOM mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM75 juta bagi tujuan
pengurusan dan RM2.4 juta untuk membeli peralatan dan kelengkapan pertahanan ATM.
Manakala dalam bajet tahun 2015, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM17.7 bilion
ringgit untuk ATM, sementara sebanyak RM9.1 bilion ringgit diperuntukkan untuk PDRM.
Sejumlah RM804 juta juga diperuntukkan kepada APMM bagi mengukuhkan
penguatkuasaan maritim.

Selain itu, dalam Bajet 2015 juga kerajaan telah memperuntukkan RM660 juta untuk
menubuhkan dua batalion baru iaitu Kem Batalion PGA PDRM di kawasan ESSZONE iaitu
di Beluran, Sandakan dan Kem batalion Tentera Darat akan ditubuhkan di FELDA Sahabat.
Di samping itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM230 juta untuk menggunakan
satu pelantar minyak yang diubahsuai dan sebuah kapal auxiliary sebagai Seabasing1 di
perairan ESSZONE melalui program tanggungjawab sosial atau Corporate Social
Responsibility Petronas. Sebagai tambahan, untuk membolehkan pesawat berkeupayaan
tinggi mendarat, kerajaan merancang untuk memanjangkan landasan lapangan terbang di
Lahad Datu dan perpindahan Skuadron Hawk dari Butterworth ke Labuan dengan peruntukan
sebanyak RM50 juta (Ramli et al. 2016).

Pada tahun 2020 dan 2021 pula, kerajaan telah memperuntukkan belanja mengurus
berjumlah RM26.4 juta pada tahun 2020 dan RM26.8 pada tahun 2021 kepada KDN. Pada
tahun 2020 dan 2021 juga KDN telah diberikan peruntukkan berjumlah RM24.2 juta bagi
kedua-dua tahun tersebut bagi tujuan program penugasan di kawasan ESSZONE. Bagi
memastikan pembangunan infrastruktur berkaitan keselamatan di kawasan ESSZONE terus
diberi perhatian sewajarnya, kerajaan telah menyalurkan peruntukan pembangunan kepada
ESSCOM berjumlah 66 juta pada tahun 2020 dan 60 juta pada tahun 2021.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, isu pencerobohan RSF di Lahad Datu telah membuka mata banyak
pihak terhadap tahap keselamatan Pantai Timur Sabah dan sejarah tuntutan Kesultanan Sulu .
Pasca Operasi Daulat telah menyebabkan ESSCOM ditubuhkan bagi menjadi organisasi yang
akan menguruskan keselamatan Pantai Timur Sabah yang memperlihatkan tambahan aset dan
anggota bertambah bagi menyokong keperluan keselamatan yang mendesak. Selain itu,
sarjana di Malaysia sudah mula mengkaji kembali sejarah tuntutan Kesultanan Sulu ke atas
Sabah termasuk peranan kerajaan Filipina dalam isu ini.
Diharapkan dengan kejadian krisis pencerobohan yang berlaku pada tahun 2013 ini
menjadi satu turning point kepada semua pihak terutamanya kerajaan dan pasukan
keselamatan negara. Bagi kerajaan Malaysia, langkah drastik perlu dilakukan bagi
menyatakan dengan tegas pendirian Malaysia mengenai status Sabah. Pihak Keselamatan
terutamanya PDRM dan ATM seharusnya tidak alpa mengenai persediaan dari segi aspek
anggota dan operasi seperti kawalan serta rondaan yang perlu lebih giat dijalankan. ESSCOM
perlu menjadi lebih proaktif dalam bagi memastikan ancaman keselamatan terhadap Sabah
dikurangkan setiap tahun.

RUJUKAN

Ismail Ali, Lai, Y.M & Asmiaty Amat (pnyt.). 2019. Kedaulatan Negara Harga Mati:
Pencerobohan Sulu dan Dampaknya kepada Keselamatan Pantai Timur Sabah. Kota
Kinabalu: Penerbit Universiti Malaysia Sabah.

Tengku Ahmad Noor, Mohd Fadzuri, Norilhisyam, Khairul Anwar, Mohd Edafi, Aminullah
Haji Omar,Wan Hazman Hanif, Syed Suhairi, Muhammad Hafiz, Andy Herman, Rosli Abdul
Hamid, Azman Buroh, Fadzly Fadzil, Amar Ab Aziz & Melvin, N.G. 2014. Operasi Daulat:
Pasukan Aturgerak Cepat 10 Briged Para (PAC) di Bumi Sabah. Melaka: Markas 10 Briged
Para.

Kartini Aboo Talib & Ahmad Munawar Ismail. 2020. Ekstremisme dan Keganasan: Konteks,
Konsep dan Praktis. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muhammad Fuad Mat Noor. 2021. 69 Komando: Lahad Datu, Mac 2013. Ulu Kinta: Ibu
Pejabat 69 Komando.
Siti Nur Azilayati Rahmah Raman & Mohd Adnan Hashim. 2020. An Analysis of the
Aftermath of Lahad Datu Incursion. Journal of Media and Information Warfare. 13(1): 87-
104.

Ramli Dollah, Diana Peters, Wan Shawaluddin Wan Hassan & Zaini Othman. 2016. Old
Threats, New Approach and National Security in Malaysia: Issues and Challenges in Dealing
with Cross-border Crime in East Coast of Sabah. Mediterranean Journal of Social Sciences.
7(3S1):178-186.

Abdul Rashid Abdul Hamid & Ramli Dollah. 2020. Dari Mundu ke Penculikan untuk
Tebusan: Evolusi Ancaman Keselamatan Maritim di Pantai Timur Sabah. Jurnal Kinabalu.
26(1): 1-22.

Ramli Dollah & Zainus Sagi Khusyairy Pangkas. 2017. Aktor bukan negara dan keselamatan
nasional di Malaysia: Tentera Diraja Sulu dan Pencerobohan Lahad Datu, 2013. Akademika.
87(3): 15-29.

Zarina Othman, Mohd Kamal Omar, Firdaus Abdul Jabar & Nor Azizan Idris. 2016.
Memelihara keselamatan Negara Malaysia: Peristiwa Lahad Datu, Sabah. Malaysian Journal
of Society. 12(7): 147-159.

Jasmine Jawahar & Kennimrod Sariburaja. 2016. The Lahad Datu Incursion and its Impact
Malaysia’s Security. Kuala Lumpur: The Southeast Asia Regional Centre for Counter-
Terrorism (SEARCCT).

Mohd Harun Abdullah. 2017. Abdul Rashid Harun: Antara Kedaulatan dan Pengorbanan.
Kota Kinabalu: Penerbit Universiti Malaysia Sabah.

You might also like