You are on page 1of 3

Pandemik Covid-19 Dan Cabaran Pemeliharaan Lima Prinsip Maqasid

Syari’ah
Oleh : Puan Azrina Binti Sobian

Setakat 30 Mac 2021, terdapat 344,018 kes jangkitan Covid-19 dan 1,256 kes kematian
di Malaysia. Sejak pandemik ini bermula, semua pihak terpaksa berhadapan dengan
pelbagai cabaran sama ada dari sudut ekonomi, sosial, politik, kesihatan dan sebagainya.

Jika diteliti, pandemik serta cabarannya itu boleh menggugat pemeliharaan lima
prinsip Maqasid Syari’ah. Secara umumnya, Maqasid Syari’ah ialah tujuan yang ingin
dicapai oleh syara’ dalam mensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kemaslahatan
masyarakat. Tujuan Maqasid Syari’ah adalah untuk memelihara lima perkara, iaitu
agama, nyawa, akal, keturunan dan harta demi mengekalkan maslahah dan
menjauhi mafsadah (kerosakan).

Dari sudut pemeliharaan agama, pandemik Covid-19 telah menimbulkan beberapa


kekangan kepada umat Islam untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Muslim.
Misalnya, umat Islam (lelaki) tidak dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat atau
hanya sebahagian yang dibenarkan bersolat di masjid. Umat Islam juga masih belum
mendapat kebenaran untuk menunaikan haji dan umrah. Malah, bagi amalan-amalan
sunat seperti solat tarawih juga belum pasti dapat dilaksanakan secara berjemaah di
masjid seperti dahulu. Bukan itu sahaja, banyak lagi perkara yang sering dilakukan oleh
umat Islam tidak boleh dilaksanakan seperti dahulu.

Kekangan-kekangan seperti ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan


masyarakat Islam. Malah, ada yang mempersoalkan perintah atau halangan yang telah
ditetapkan. Kebimbangan dan bantahan seperti itu tidaklah menghairankan kerana ahli
masyarakat tidak memahami alasan di sebalik perintah yang dikeluarkan. Satu
penjelasan mudah telah diberikan oleh Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji
Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, dalam sebuah program bertajuk Expert
Consultation on Maqasidic Framework for the Formation of Khaira Ummah pada 3
Februari 2021 lepas.

Beliau menjelaskan bahawa dalam Islam, pemeliharaan agama berasaskan dua peraturan
ketat, iaitu ‘azimah dan rukhsah. ‘Azimah bermaksud hukum asal yang disyariatkan pada
permulaan, dan bukan kerana suatu keuzuran. Manakala rukhsah bermaksud suatu
ketetapan hukum yang disyariatkan kerana satu keuzuran dan kesusahan. Antara
contoh rukhsah ialah mengqasarkan solat, bertayammum dan sebagainya. Dalam
keadaan biasa, peraturan berasaskan ‘azimah diberikan keutamaan manakala dalam
keadaan tertentu (keadaan sukar), Islam membenarkan umatnya mengikuti rukhsah.
Amalan mengikuti rukhsah ini adalah untuk mengelakkan mafsadah. Oleh itu, dalam
pandemik, larangan solat Jumaat di masjid juga boleh dilaksanakan untuk mengelakkan
penularan virus Covid-19.

Selain pemeliharaan agama, pandemik kini turut mencabar pemeliharaan nyawa. Ini
sangat jelas kerana virus Covid-19 boleh mengancam nyawa manusia hingga membawa
kematian. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha misalnya
pengenalan Standard Operating Procedure (SOP), kemudahan kesihatan (hospital, pusat
kuarantin), penyediaan maklumat yang tepat, pemberian vaksin dan sebagainya. Semua
usaha ini dilaksanakan untuk menyelamatkan nyawa manusia.

Namun, usaha-usaha ini tidak dapat dijayakan dengan baik jika masyarakat tidak
mempunyai kepercayaan terhadap usaha tersebut. Malah, ada segelintir ahli masyarakat
yang meragui usaha-usaha tersebut. Keraguan ini timbul kerana mereka tidak
mendapatkan maklumat yang tepat berkaitannya. Situasi “tsunami maklumat” yang
berlaku kini menimbulkan kebingungan dalam kalangan masyarakat sehingga
mempengaruhi tindakan mereka untuk menolak sesetengah peraturan yang
dilaksanakan. Oleh itu, amat penting untuk mencari maklumat yang sahih. Perkara ini
sebenarnya satu tuntutan dalam Islam. Setiap Muslim harus bertabayyun (memeriksa
dengan teliti) dalam mencari maklumat sepertimana yang telah disebutkan dalam ayat
ke-6, surah al-Hujurat.

Dari segi pemeliharaan akal pula, situasi pandemik kini memberikan cabaran kepada
kesihatan mental manusia. Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan ahli
masyarakat tetapi juga dalam kalangan petugas barisan hadapan. Bagi masyarakat,
tekanan dirasakan apabila mereka terpaksa “berkurung” di rumah kerana sekatan
pergerakan. Malah, rasa tertekan juga timbul apabila ada sesetengahnya kehilangan
pekerjaan, pemotongan gaji, tidak boleh bertemu ahli keluarga dan jangkitan virus Covid-
19 sendiri menimbulkan rasa takut dan tekanan kepada pesakit. Bagi petugas barisan
hadapan pula, tekanan dalam tugasan, bekerja dalam masa yang panjang dan sikap
pesakit juga memberikan tekanan tertentu. Hal ini perlulah diuruskan dengan baik dan
bantuan-bantuan sewajarnya harus diberikan. Yang penting, maklumat berkaitan
bantuan itu boleh diakses dengan mudah oleh ahli masyarakat.

Seterusnya berkaitan pemeliharaan keturunan. Sepintas lalu, kemungkinan besar tidak


dapat dikaitkan hubungan pemeliharaan keturunan dengan pandemik. Walau
bagaimanapun, beberapa kejadian keganasan rumahtangga dan penderaan anak yang
berlaku semasa pandemik boleh menggugat pemeliharaan keturunan. Pertubuhan
Pertolongan Wanita (WAO) telah melaporkan bahawa kes keganasan rumah tangga
meningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama antara Mac hingga
September 2020. Keadaan menjadi lebih sukar apabila masyarakat sekeliling sukar
mengenal pasti kejadian tersebut atau memberikan bantuan kerana terkurung di rumah
masing-masing. Jika sebuah keluarga rosak atau hidup dalam keganasan, bagaimanakah
sebuah keturunan masyarakat Muslim yang bermutu boleh dibangunkan? Oleh itu,
perlulah difikirkan usaha untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa keganasan.
Sekali lagi, maklumat bantuan juga perlu tersedia dan mudah disampaikan kepada
mangsa.

Akhir sekali, berkaitan pemeliharaan harta. Tidak dapat dinafikan bahawa pandemik
Covid-19 sememangnya memberikan tekanan dari sudut ekonomi. Ramai ahli
masyarakat yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa berhadapan dengan pemotongan
gaji. Keadaan sebegini pastinya memberi cabaran besar untuk kelangsungan hidup
mereka. Pelbagai bantuan telah diberikan oleh kerajaan Malaysia misalnya dalam bentuk
bantuan kewangan secara langsung, moratorium, perlindungan takaful (untuk kumpulan
B40) dan sebagainya. Namun, Dr. Aznan Hasan dari Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia, menyuarakan pendapatnya dalam program Expert Consultation yang
disebutkan di atas bahawa lebih banyak bantuan boleh diberikan kepada rakyat
mahupun peniaga kecil dan sederhana. Bagi tujuan ini, satu perbincangan atau kajian
wajar dijalankan untuk menggariskan bentuk-bentuk bantuan yang sesuai. Malah, pada
pandangan beliau, ini adalah masa yang sesuai untuk menggerakkan peranan sektor
ketiga terutamanya wakaf untuk membantu masyarakat dan golongan peniaga bagi
merancakkan semula ekonomi negara.

SUMBER : https://www.ikim.gov.my/index.php/2021/04/05/pandemik-covid-19-dan-
cabaran-pemeliharaan-lima-prinsip-maqasid-syariah/

You might also like