You are on page 1of 1

Kes basikal lajak: Rayuan kerani didengar 31 Mac

Oktober 13, 2022 @ 12:21pm

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 31 Mac tahun depan, bagi


mendengar rayuan kerani Sam Ke Ting terhadap sabitan kesalahan, hukuman
penjara enam tahun dan denda kerana memandu secara melulu, sehingga
menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.

Seorang daripada peguam tertuduh, Yasmeen Soh Sha-Nisse ketika dihubungi


mengesahkan tarikh pendengaran rayuan itu, selepas pengurusan kes di hadapan
Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz.

Beliau berkata, pihak pembelaan dan pendakwaan perlu memfailkan hujahan


bertulis masing-masing pada 16 Mac tahun depan dan pengurusan kes terakhir akan
diadakan pada 17 Mac tahun depan.

Pengurusan kes hari ini, turut dihadiri peguam Ke Ting yang lain, Harvinderjit Singh
dan Faizal Mokhtar, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya
Mohd Fairuz Johari.

Pada 28 Oktober 2018, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Sam tanpa
memerintahkan membela diri terhadap pertuduhan memandu secara melulu atau
berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam
pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14;
Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar,
16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar
Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Dr Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan


pihak pendakwaan dan mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Majistret dan
mengarahkan Ke Ting untuk membela diri, bagi pertuduhan memandu secara
melulu.

Majistret Siti Hajar Ali yang mendengar kes itu pada 2019, sekali lagi melepas dan
membebaskan Sam pada akhir kes pembelaan, menyebabkan pihak pendakwaan
memfailkan rayuan kedua ke Mahkamah Tinggi.

Pada 13 April tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar
membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan memandu
secara melulu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

Ke Ting mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu untuk
merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara.

Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Ke Ting untuk menangguhkan


pelaksanaan hukuman penjara dan membebaskannya dengan ikat jamin RM10,000
dengan seorang penjamin, sementara menunggu pendengaran rayuannya. –
BERNAMA

You might also like