You are on page 1of 2

angkasa

PRESIDEN ANGKASA

PERUTUSAN

SAMBUTAN HARI KOPERASI SEKOLAH (HKS) 2023


PERINGKAT SEKOLAH

Assalamualaikum w.b.t
Salam Malaysia Madani dan Salam Perpaduan,

Alhamdulillah, syukur kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya kita dapat meraikan
sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) peringkat sekolah bagi tahun 2023. Setiap tahun
sambutan HKS disambut penuh bermakna oleh warga sekolah terutama para pelajar, guru dan
kakitangan yang sentiasa memberi sokongan kepada koperasi sekolah dalam melahirkan
generasi yang berilmu dalam berkoperasi.

Tema Sambutan HKS 2023, “MEMUPUK SEMANGAT PERPADUAN MELALUI AKTIVITI


KEUSAHAWANAN KOPERASI SEKOLAH” adalah sangat bertepatan dalam meningkatkan
semangat perpaduan melangkaui bangsa dan agama dengan situasi masa kini, disamping
menghargai peranan guru serta pelajar yang menjadi tunjang penting dalam menjayakan
transformasi ekosistem koperasi sekolah.

Alhamdulilah, dalam tempoh 55 tahun penubuhan koperasi sekolah yang bermula pada tahun
1968 dengan 9 buah koperasi sekolah perintis, kini bilangannya meningkat kepada 2,473 buah
pada tahun 2022 dari 2,463 buah pada tahun 2021. Menjelang 2030, ANGKASA menyasarkan
100 peratus sekolah mempunyai koperasi dan sekurang - kurangnya 50 buah koperasi sekolah
menyumbang perolehan melebihi RM1 juta dalam tempoh sama.

Sehingga hari ini, sebanyak 14 buah koperasi sekolah telah berjaya mancapai perolehan RM1
juta dan 146 buah koperasi sekolah menjana perolehan di antara RM500 ribu sehingga RM1 juta.
Ini membuktikan inisiatif yang telah dilaksanakan sejak penubuhan koperasi sekolah telah
menunjukkan pencapaian yang membanggakan.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Jun 2022 (Interim),
koperasi sekolah telah menyumbang perolehan sebanyak RM211.61 juta dengan aset bernilai
RM414.56 juta, syer/yuran berjumlah RM29.45 juta dan keanggotaan seramai lebih 1.98 juta
orang.
Dengan jumlah perolehan tersebut, keuntungan bersih hasil perniagaan koperasi berupaya
membantu dalam menjalankan aktiviti kokurikulum dan pembangunan sekolah khususnya melalui
tabung-tabung khas yang diwujudkan oleh koperasi. Disamping itu juga, koperasi sekolah berjaya
menjadi platform paling berkesan dalam melahirkan pelapis kepada kepimpinan koperasi yang
berkaliber. Perkara ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan iaitu memupuk pelbagai nilai-nilai murni yang diperlukan dalam
melahirkan manusia berguna dan berjaya kepada agama, bangsa dan negara

ANGKASA sentiasa komited untuk meneruskan agenda memastikan koperasi sekolah dikenali di
peringkat kebangsaan mahupun global. ANGKASA yakin, masih banyak koperasi sekolah yang
berpotensi tinggi untuk menjana pendapatan dan perolehan.

Sempena sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) pada tahun ini, saya berharap semua warga
koperasi sekolah mewujudkan perpaduan dalam mempererat kerjasama antara satu sama lain.
Penyertaan semua pihak secara menyeluruh khususnya dikalangan para pelajar, guru,
kakitangan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan masyarakat setempat amat diperlukan
untuk melahirkan generasi baharu yang mampu menyumbang kepada keutuhan sosiekonomi
negara. Semoga koperasi sekolah akan terus menjadi wadah kepada kejayaan untuk semua
warganya.

Sekian, terima kasih.

DATUK SERI DR. ABDUL FATTAH ABDULLAH


Presiden ANGKASA

You might also like