You are on page 1of 1

Nurul Hasmira bt Husina

PPISMP BM1(SK)

Sejarah Dan Asal-Usul Kampung Bilit

Dari sudut sejarah, Kampung Bilit adalah sebuah perkampungan yang dihuni oleh suku kaum
Orang Sungai Buludupi sejak akhir kurun ke-18 lagi. Berdasarkan maklumat yang diperolehi
daripada orang yang tertua di Kampung Bilit iaitu Tuan Haji Pg. Batchi Bin Pg. Butat (80 tahun),
beliau adalah mantan ketua kampung dan imam Kampung Bilit suatu ketika dulu dan isteri beliau
bernama Puan Kunang Binti Salahudin (81 tahun), mereka bersama bersetuju menyatakan bahawa
Kampung Bilit telah dibuka pada tahun 1797, empat tahun lebih awal daripada pembukaan
Kampung Sukau, yang diketuai oleh Panglima Hassan dan para pengikutnya. Manakala pada 1888,
semasa pemerintahan koloni British North Borneo Charterd Company (BNBCC), Kampung Bilit
telah mendapat geran tanah untuk tujuan pertanian daripada BNBCC atas nama Panglima Bukag
dan Panglima Dait sebagai pemegang amanah. Kedua mereka adalah berketurunan suku kaum
Orang Sungai Buludupi. Salinan geran tanah tersebut masih tersimpan di Jabatan Arkib Negeri
Sabah. Ada dua pendapat yang menjurus kepada penemuan asal-usul Kampung Bilit mendapat
namanya. Pendapat pertama menyatakan bahawa kawasan ini pada mulanya (sebelum diteroka)
adalah sebuah kawasan hutan yang penuh ditumbuhi oleh pokok yang berdaun kecil dikenali
sebagai pokok Kebilit. Oleh itu wujudlah perkataan Bilit yang merujuk kepada singkatan nama
pokok yang dimaksudkan. Pendapat kedua pula berdasarkan kepada fisiologi pembentukan sungai
di kawasan ini yang berliku-liku atau dipanggil juga sebagai berbelit-belit dalam istilah bahasa
tempatan. Bertitik tolak daripada istilah ini maka timbullah sebuah jenama baru dipanggil sebagai
Bilit. Kedua-dua pendapat di atas sehingga kini masih lagi digunapakai sebagai asal mula
bagaimana Kampung Bilit mendapat namanya. Dari segi bahasa 'Bilit' tidak membawa apa-apa
makna yang khusus. Lokasi Kampung Bilit terletak di antara Kampung Sukau dan Kampung Batu
Putih, Kinabatangan. Kawasan Kampung Bilit merangkumi beberapa buah kawasan bermula dari
Tenigkang Gayo (sempadan dengan Kampung Sukau), Permata, Lituk Liman, BSK (Borneo
Shokusan Kaisha), Singgah Mata, Tanjung Korbou, Lubok, Petittu, Tanjung Pinit, Lung Begkang,
Temunong, Takiwan Danau Bilit, Timbang Rata, Kampung Baru, Meregko, Lebpot sehingga Sungai
Koyah (sempadan dengan Kampung Batu Putih).

(Dipetik daripada Laporan Kajian Inventori Etnik Suku Kaum Orang Sungai Buludupi, Negeri Sabah
- 2010 dan Asal-Usul & Sejarah Kampung : Kg. Bilit, Kinabatangan - 2006)

You might also like