You are on page 1of 1

SOALAN ESEI 1

Jelaskan perbezaan pengertian kurikulum pada peringkat perancangan, pelaksanaan dan


penerimaan, serta imlikasi perbezaan tersebut terhadap pengajaran dan pembelajaran.
Kenapakah terdapat isi kandungan tertentu yang tidak dipelajari oleh sebahagian pelajar?

Kurikulum merupakan satu perancangan pendidikan yang dibuat secara khusus oleh sesebuah
institusi pendidikan untuk mencapai matlamat pendidikan. Menurut pandangan Neagley &
Evans, 1992; kurikulum bermaksud semua pengalaman yang dirancang dan dikemukakan oleh
pihak sekolah. Perancangan di dalam kurikulum ini mengandungi segala ilmu pengetahuan,
kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan masyarakat untuk
diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Pembinaan sesebuah kurikulum melibatkan peringkat
perancangan, pelaksanaan, penerimaan dan penilaian.
Kurikulum yang dibina melalui proses perancangan meliputi disiplin ilmu yang ingin
diajarkan kepada murid-murid di sekolah. Kurikulum peringkat perancangan ialah rancangan
yang menyediakan kesempatan pembelajaran bagi memperoleh pelbagai tujuan menyeluruh dan
objektif spesifik yang berkaitan dengannya di sekolah. Kurikulum ialah rancangan pembelajaran
untuk mencapai matlamat am pendidikan dan objektif spesifik yang berkaitan. Rancangan ini
dikelaskan menurut bidang. Tiap-tiap bidang mempunyai rancangan tentang reka bentuk
kurikulum, mod instruksi dan proses penilaian. Perancangan kurikulum meliputi set
pembelajaran dan pengalaman pembelajaran yang melibatkan pengembangan, pengesanan dan
penilaian rancangan kurikulum sepenuhnya.
Manakala Fullan (2001) pula menyatakan perancangan pelaksanaan kurikulum
hendaklah memasukkan komponen yang spesifik yang mempunyai ciri-ciri perubahan. Dalam
konteks ini, beliau menyatakan tujuan, falsafah dan visi yang berkaitan dengan pelaksanaan
perlu dinyatakan dengan jelas. Perancangan pelaksanaan juga perlu menerangkan program,
aktiviti, tugas, sumber, jadual waktu, orang yang bertanggungjawab, struktur kolaborasi
dalaman dan luaran dan tugas penyelia atau pemantau. Kejayaan pelaksanaan sesuatu kurikulum
adalah hasil daripada perancangan yang tersusun di mana ia memberi fokus kepada tiga faktor
utama iaitu manusia, program dan proses.
Pelaksanaan kurikulum merupakan sebahagian daripada komponen yang menggerakkan
proses pendidikan itu. Kefahaman tentang kurikulum akan memberi kelebihan kepada golongan
pendidik untuk melaksanakan program pendidikan dengan lebih berkesan. Kurikulum
berkembang mengikut keperluan dan kesesuaiannya dari semasa ke semasa. Oleh itu, guru-guru
perlu menguasai aspek-aspek yang berkaitan kurikulum, peranan sebagai pelaksana kurikulum
yang cekap dan pemberi sumbangan dalam perkembangan kurikulum dapat dilaksanakan
dengan berkesan pada masa akan datang. Pelaksanaan suatu perubahan kurikulum mestilah
diuruskan secara sistematik dan terancang. Pihak pengurusan sekolah juga perlu peka dan jelas
dengan nilai dan aspirasi yang hendak dicapai, maka barulah sebarang perubahan yang
diharapkan akan tercapai. Pelaksanaan kurikulum yang dilakukan oleh guru-guru akan
melibatkan penerimaan murid terhadap reka bentuk kurikulum yang dibina.

You might also like