You are on page 1of 3

Assignment 1: Kritikan Jurnal, Khairunisa Binti Mohd Kadir, GS52920

1.0 Pengenalan
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau dikenali sebagai TVET merupakan
satu platform di dalam sistem pendidikan Malaysia bagi membentuk individu atau modal insan
yang mempunyai kemahiran teknikal dan vokasional yang tinggi seperti yang diperlukan oleh
industri-industri pada masa kini. Jurnal bertajuk ‘Pengaruh Pendidikan Asas Vokasional
terhadap Kebolehkerjaan Murid Sekolah Menengah Harian di Sabah’ yang dihasilkan oleh
Ghazali@Hassan Sulaiman dan Abdul Said Ambotang bertujuan mengenal pasti pengaruh
Pendidikan Asas Vokasional (PAV) terhadap kebolehkerjaan murid di sekolah menengah harian
yang terpilih di Sabah sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian di institusi kemahiran
ataupun untuk menyediakan pelajar memasuki alam pekerjaan. Penyelidik juga ingin
mengenalpasti perbezaan kebolehkerjaan murid PAV berdasarkan demografi dan mengenal pasti
pengaruh faktor penyumbang, iaitu kemahiran vokasional dan strategi pembelajaran terhadap
kebolehkerjaan murid PAV.

Ghazali@Hassan dan Abdul Said (2017) menjalankan kajian tinjauan untuk menyatakan
keboleherjaan murid PAV dengan mengambil kira demografi dan faktor-faktor penyumbangnya.
Populasi yang dipilih bagi kajian ini adalah murid menengah rendah di sekolah harian di Sabah
yang mengambil jurusan PAV. Persampelan diambil daripada murid Tingkatan 2 dan 3 yang
mengambil program tersebut iaitu seramai 123 orang bagi mengkaji pengaruh PAV terhadap
kebolehkerjaan murid. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat perbezaan signifikan di
antara kebolehkerjaan murid dengan beberapa faktor – faktor yang menyumbang kepadanya.

2.0 Kritikan Jurnal


2.1 Pernyataan Masalah
Penyelidik menghuraikan dapatan-dapatan kajian yang lepas sebelum membuat
pernyataan masalah sebenar kajian yang beliau jalankan. Pernyataan masalah telah diulas dengan
baik sebelum objektif dan hipotesis dinyatakan di dalam kajian yang dijalankan. Terdapat tiga
objektif penting yang perlu dicapai oleh pengkaji di dalam kajian ini dan hipotesis-hipotesis
berkaitan objektif diwujudkan bagi menyokong kajian yang dijalankan.

1
Assignment 1: Kritikan Jurnal, Khairunisa Binti Mohd Kadir, GS52920

2.2 Sorotan Kajian


Penyelidik mengemukakan banyak fakta melalui kajian-kajian lepas namun penyelidik
tidak menyusun fakta dan maklumat mengikut kesinambungan subtopik. Justifikasi terhadap
tajuk juga kurang diberi penekanan di dalam sorotan kajian tersebut. Namun begitu, pengolahan
teori Modal insan dan Model Lankard dapat menarik minat pembaca terhadap kajian yang
dijalankan.

2.3 Metodologi
Kaedah kajian yang digunakan adalah kajian kuantitatif yang melibatkan kajian tinjauan
terhadap faktor-faktor yang dikemukakan. Populasi yang dipilih terdiri daripada murid-murid
menengah rendah sekolah harian biasa yang mengikuti program PAV. Pengkaji telah memilih
murid Tingkatan 2 dan 3 untuk dijadikan sampel kajian kerana beranggapan murid-murid
tersebut telah mempelajari kemahiran teknikal dan vokasional di Tingkatan 1. Walau
bagaimanapun, kelemahan yang terdapat di dalam metodologi ini adalah kaedah persampelan
tidak dinyatakan dengan jelas kepada pembaca. Selain itu, pengkaji hanya menggunakan 123
orang murid sebagai sampel sedangkan pada jadual Cohen, Manion & Morrison (2001), sampel
yang perlu digunakan adalah diantara 79 hingga 132 dengan aras keyakinan 95%. Pengkaji juga
boleh menggunakan aras kepercayaan 99% yang dinyatakan di dalam jadual bagi memperoleh
kesahan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi. Intrumen yang digunakan pengkaji adalah
borang soal selidik yang menggunakan skala Likert sebagai jawapan.

2.4 Dapatan Kajian

Pengkaji telah menerangkan secara terperinci tentang dapatan kajian yang dijalankan di
dalam jadual. Akan tetapi, pengkaji boleh menerangkan dengan lebih jelas dan mudah dengan
menggunakan graf atau gambarajah. Pembaca akan lebih tertarik melihat perbezaan yang
ditunjukkan melalui graf tersebut. Selain itu, pengukuran tahap prestasi pelajar tidak hanya
diukur melalui kajian kuantitatif sahaja, malahan lebih tepat diukur melalui kajian kualitatif yang
melibatkan instrument temubual pelajar dan guru PAV tersebut. Pengkaji telah menolak
hipotesis Ho1 dan Ho4 setelah dapatan kajian menunjukkan terdapat pengaruh dan perbezaan
yang signifikan di antara pembolehubah-pembolehubah yang dinyatakan.

2
Assignment 1: Kritikan Jurnal, Khairunisa Binti Mohd Kadir, GS52920

3.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, kajian ini dapat menunjukkan bahawa tahap kebolehkerjaan murid PAV
di sekolah menengah harian di Sabah memerlukan perhatian dan penambahbaikan yang
berterusan daripada pihak-pihak berwajib dan berkepentingan. Pengkaji juga perlu
menambahbaik cara penulisan jurnal ini dengan menitikberatkan aspek-aspek seperti penyusunan
subtopik jurnal yang tepat dan kesinambungan ayat-ayat serta penceritaan di dalam sorotan
kajian supaya pembaca lebih mudah memahami kajian yang dijalankan dan lebih tertarik untuk
membaca keseluruhan kajian.

4.0 Bibliografi

Ghazali@Hassan Sulaiman & Abdul Said Ambotang. (2017). Pengaruh Pendidikan Asas
Vokasional terhadap Kebolehkerjaan Murid Sekolah Menengah Harian di Sabah. MANU Bil.
26, 211-236.

Sidek Mohd. Noah. (2002). Reka bentuk penyelidikan. Serdang: Penerbit Universiti Putra
Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2014). Panduan Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Asas


Vokasional (PAV).

You might also like