You are on page 1of 13

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)

© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 155

Pentadbiran British di Sabah: Kesejahteraan Anak Negeri melalui


penubuhan Mahkamah Anak Negeri 1884-1965
Azlizan Mat Enh1, Salbiya Jamaluddin1
1
Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia

Correspondence: Azlizan Mat Enh (azlizan@ukm.edu.my)

Received: 14 June 2019; Accepted: 25 February 2020; Published: 27 February 2020

Abstrak

Undang-undang adat istiadat di Sabah memainkan peranan yang penting dalam mengatur cara hidup
masyarakat anak negeri yang terdiri daripada pelbagai suku dan budaya. Justeru, pentadbiran Syarikat
Borneo Utara British (BNBCC) di Sabah tidak campur tangan dalam urusan hukum adat masyarakat
tempatan. Oleh itu, bagi menjamin kebajikan dan keistimewaan masyarakat anak negeri Sabah,
Mahkamah Anak Negeri telah ditubuhkan bagi mengendalikan hal ehwal anak negeri Sabah dari
aspek perundangan adat. Artikel ini akan menganalisis kepentingan yang membawa kepada faktor-
faktor utama penubuhan Mahkamah Anak Negeri ini kepada anak negeri Sabah. Kajian ini
menggunakan kaedah analisis kandungan. Melalui kaedah ini, data-data yang diperolehi untuk
menghasilkan artikel ini adalah daripada sumber-sumber pertama yang terdapat di Arkib Negeri
Sabah dan dokumen-dokumen Mahkamah Anak Negeri. Hasil dapatan kajian ini mendapati
penubuhan Mahkamah Anak Negeri adalah disebabkan beberapa faktor iaitu pengaruh undang-
undang adat, menjimatkan kos pentadbiran BNBCC, Piagam Diraja 1881 serta pertambahan populasi
penduduk.

Kata kunci: adat, mahkamah anak negeri, masyarakat, Sabah, suku, Syarikat Borneo Utara British
(BNBCC)

British administration in Sabah: Well-being of Anak Negeri through the


establishment of The Native Court 1884-1965

Abstract

Customary laws in Sabah play an important role in regulating the way of life of indigenous peoples of
various ethnicities and cultures. Therefore, the administration of the British North Borneo Company
(BNBCC) in Sabah did not interfere in the customary law of the local community. Therefore, to
safeguard the welfare and privileges of Sabah's indigenous peoples, the Native Court has been
established to deal with the affairs of the indigenous people of Sabah in terms of customary law. This
article will analyze the reasons that lead to the establishment of this Native Court for the native of
Sabah. This study uses content analysis method. Through this method, the data obtained to produce
this article are from the primary sources available in the Sabah State Archives and Native Court
documents. The findings of this study found that the formation of the Native Courts was due to
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)
© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 156

several factors, namely the influence of customary law, saving the administration costs of the
BNBCC, the Royal Charter 1881 and the increase in population.

Keywords: custom, Native Court, society, Sabah, tribes, British North Borneo Company (BNBCC)

Pengenalan

Mahkamah Anak Negeri ditubuhkan dalam setiap daerah di negeri Sabah. Mahkamah Anak
Negeri pertama ditubuhkan di Sabah adalah pada tahun 1884 di Putatan (Sabihah, 1985).
BNBCC merupakan kuasa yang bertanggungjawab membawa kepada penubuhan Mahkamah
Anak Negeri di Sabah dan memformalisasikan institusi ini sebagai badan kehakiman yang
rasmi pada tahun 1913 (NBCA 806, 1913). BNBCC telah memformalisasikan beberapa
aspek dalam sistem undang-undang tradisional yang sedia ada. BNBCC memperbaharui
undang-undang ini agar dapat menjadikan undang-undang adat sebagai satu aturan yang
bersistem (Sharifah Zaleha Syed Hassan, 1995). Fungsi Mahkamah Anak Negeri dalam
mengadili kes-kes anak negeri Sabah terhenti sementara semasa pendudukan Jepun pada
1942-1945. Apabila Sabah dijadikan tanah jajahan Kerajaan British (1946-1963), peranan
Mahkamah Anak Negeri telah dikembalikan semula dan pentadbirannya semakin sistematik
dengan penggubalan Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1953. Begitu juga selepas Sabah
mencapai kemerdekaan, Mahkamah Anak Negeri terus dikekalkan sebagai satu usaha
Kerajaan Negeri Sabah menghormati dan menjaga undang-undang adat serta kebajikan anak
negeri di Sabah.
Dalam konteks anak negeri Borneo Utara, sejarah mengenai undang-undang adat
merupakan satu perkara penting bagi sejarah Borneo Utara. Sebelum Borneo Utara ditadbir
oleh BNBCC pada tahun 1881, komuniti anak negeri di Borneo Utara telah mempunyai
sistem perundangan mereka yang tersendiri iaitu berlandaskan kepada undang-undang adat
yang diwarisi sejak turun-temurun. Malahan, mereka juga telah mempunyai sistem
kehakiman yang tersendiri menyerupai Mahkamah Anak Negeri. Sistem kehakiman tersebut
merupakan mahkamah tradisional yang berpandukan kepada undang-undang adat dan
diketuai oleh Orang Tua (Ketua Kampung). Walau bagaimanapun, pentadbiran mahkamah
tradisional pada waktu berkenaan dijalankan dalam bentuk tidak formal. Undang-undang adat
suku kaum mereka diperolehi secara lisan yang diperturunkan sejak nenek moyang lagi. Hal
ini memperlihatkan bahawa undang-undang adat yang diamalkan oleh anak negeri Borneo
Utara adalah lebih sesuai untuk dipraktikkan di dalam sistem keadilan mereka. Justeru,
terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada penubuhan Mahkamah Anak Negeri
Sabah.

Kajian literatur

Berdasarkan kepada hasil pemerhatian pengkaji, tidak banyak kajian yang dilakukan
berkenaan Mahkamah Anak Negeri di Sabah. Kajian-Kajian terdahulu hanya membuat
perbincangan mengenai Mahkamah Anak Negeri Sabah secara ringkas dan tidak dilakukan
secara mendalam. Ranjit Singh (2000) menyentuh mengenai pentadbiran BNBCC dan juga
masyarakat anak negeri di Sabah pada tahun 1865-1941. Perihal Mahkamah Anak Negeri
Sabah tidak banyak dikupas dalam karya ini. Beliau mengaitkan institusi pentadbiran
tempatan yang diketuai oleh Ketua Anak Negeri dan Orang Tua kampong dalam pentadbiran
Mahkamah Anak Negeri di Sabah. Semasa zaman pemerintahan BNBCC, Mahkamah Anak
Negeri diketuai oleh Ketua Anak Negeri dan dibantu oleh Orang Tua dalam mengendalikan
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)
© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 157

hal ehwal undang-undang adat anak negeri Sabah. Kajian ini amat berguna dalam mengkaji
pentadbiran Mahkamah Anak Negeri semasa era BNBCC.
Karya Evans (1967) diterbitkan bagi tujuan memberi panduan dalam pentadbiran
Mahkamah Anak Negeri di Sabah pada peringkat awal kemerdekaan Sabah. Karya ini
menerangkan mengenai bidang kuasa, pengendalian prosiding kes di Mahkamah Anak
Negeri yang merangkumi beberapa aspek penting seperti bukti, saksi, sumpah, penghakiman,
rekod dan rayuan. Walaupun risalah ini tidak lengkap dan berupa gambaran asas, namun
karya ini berguna untuk kajian pengkaji sebagai rujukan asas untuk mendalami perihal
panduan dan tatacara dalam sesuatu perbicaraan kes dalam Mahkamah Anak Negeri Sabah.
Karya Phelan (2003) merangkumi aspek berkenaan pentadbiran Mahkamah Anak Negeri
Sabah, pentadbiran undang-undang adat negeri Sabah dan masa depan undang-undang adat.
Kajian ini menyingkap proses pentadbiran undang-undang adat anak negeri di Sabah dengan
memaparkan kes-kes yang dibicarakan di Mahkamah Anak Negeri Sabah. Kekuatan kajian
ini ialah kupasan mengenai latar belakang, bidang kuasa, undang-undang, amalan dan
tatacara Mahkamah Anak Negeri di samping kepentingan undang-undang adat anak negeri
Sabah adalah lebih jelas.
Sabihah Osman (1985) membincangkan mengenai system politik Sabah dengan lebih
mendalam semasa era pemerintahan BNBCC dan penyertaan Bumiputera ke dalam bidang
politik di Sabah sepanjang tahun 1811 hingga tahun 1941. Walau bagaimanapun, karya beliau
tidak banyak menimbulkan perbincangan mengenai Mahkamah Anak Negeri di Sabah.
Namun demikian, karya beliau memberi gambaran awal mengenai institusi perundangan
tempatan terutama sejarah awal Mahkamah Anak Negeri semasa era pemerintahan BNBCC
di Sabah. Sementara Mosli Tarsat (2007) memberi maklumat yang jelas mengenai jawatan
Ketua Anak Negeri dalam pentadbiran Mahkamah Anak Negeri Sabah pada tahun 1946
hingga tahun 1990. Kajian ini penting kerana menyentuh mengenai undang-undang
Mahkamah Anak Negeri Sabah seperti Ordinan Pentadbiran Kampung 1913, Ordinan
Pentadbiran Anak Negeri 1937, Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1953 sehinggalah
digantikan dengan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992.

Kaedah dan kawasan kajian

Kaedah kajian adalah menggunakan kaedah kualitatif iaitu analisis ke atas sumber-sumber
primer dan sekunder. Sumber primer sebagai sumber utama yang mempunyai peranan
penting dalam penyelidikan sejarah. Kaedah kualitatif termasuk menggunakan pendekatan
kajian kepustakaan. Kajian kepustakaan ini meliputi penilitian dan penafsiran terhadap
sumber-sumber. Sumber primer adalah berdasarkan rekod-rekod kerajaan yang telah
diterbitkan mahupun tidak diterbitkan. Antara sumber-sumber primer yang digunakan ialah
laporan tahunan, ordinan, enakmen, akta, minit mesyuarat, data dalam mikrofilem, akhbar
dan sebagainya. Diikuti pula dengan sumber sekunder yang digunakan untuk menyokong
data-data sumber primer. Sumber sekunder didapati daripada buku, jurnal, artikel, tesis,
laporan dan sebagainya. Proses penyelidikan sejarah juga membabitkan penyusunan secara
sistematik dan penilaian terhadap maklumat-maklumat yang berkaitan dengan peristiwa yang
berlaku.
Kawasan kajian yang dipilih adalah negeri Sabah dengan memfokuskan kepada
perbicangan mengenai institusi Mahkamah Anak Negeri Sabah. Lokasi kajian tidak terhad
kepada kawasan bandar atau luar bandar sahaja tetapi merangkumi keseluruhan kawasan
negeri Sabah. Pengkaji memilih negeri Sabah sebagai kawasan kajian kerana Mahkamah
Anak Negeri hanya wujud di dua buah negeri sahaja iaitu Sabah dan Sarawak. Malahan,
Mahkamah Anak Negeri ini begitu istimewa dan popular dalam kalangan anak negeri Sabah.
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)
© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 158

Institusi ini mempunyai peranan yang begitu signifikan sebagai badan kehakiman khas untuk
anak negeri Sabah dan memartabatkan undang-undang adat tempatan. Justeru, kerajaan telah
memberikan tumpuan kepada pemantapan dan pemerkasaan Mahkamah Anak Negeri Sabah
agar terus relevan untuk dikekalkan sebagai badan kehakiman negeri Sabah.

Hasil kajian dan perbincangan

Pengaruh Undang-Undang Adat

Pengaruh undang-undang adat merupakan antara faktor utama yang membawa kepada
penubuhan Mahkamah Anak Negeri di Borneo Utara atau Sabah. Hukum adat yang
diamalkan oleh komuniti anak negeri Borneo Utara ini dikenali sebagai undang-undang adat.
Undang-undang adat berperanan penting dan mempunyai pengaruh yang besar kepada setiap
suku kaum anak negeri di Borneo Utara (Rutter, 2007). Hal ini kerana undang-undang adat
menjadi garis panduan utama dalam mengatur cara hidup masyarakat anak negeri dalam
menjalankan kehidupan dengan lebih baik mengikut lunas-lunas adat yang betul. Undang-
undang adat ini menjadi panduan dalam menyelesaikan kes-kes pelanggaran undang-undang
adat, hal ehwal perkahwinan, perceraian, hubungan seksual, pengambilan anak angkat dan
tuntutan harta pusaka (Native Courts Ordinance, 1953). Undang-undang adat bukan sahaja
memberi keadilan kepada seseorang tetapi juga sebagai proses menyelesaikan sesuatu perkara
yang menyebabkan terganggunya ketenteraman dan keseimbangan dalam masyarakat agar
keseimbangan tersebut dapat dipulihkan semula. Jelas di sini undang-undang adat bertujuan
menjamin keamanan dan kesejahteraan individu, masyarakat dan kampung (Sharifah Zaleha
Syed Hassan, 1995).
Anak negeri yang melanggar undang-undang adat perlu akur dengan hukuman yang
dikenakan mengikut undang-undang adat. Misalnya, adat tuntung (sejenis gendang) yang
menjadi amalan tradisi turun dan mempunyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan suku
kaum Bisaya (Sabah Times, 1980). Tuntung ini berfungsi menyampaikan berita kematian di
seluruh kampung dan hanya boleh dimainkan sewaktu berlaku kematian sahaja. Anggota
masyarakat yang memainkan tuntung pada masa tidak berlaku kematian akan dikenakan
hukuman mengikut undang-undang adat Bisaya menggunakan agung (sejenis gong). Pantang
yang terdapat dalam undang-undang adat suku kaum Bisaya ini bertujuan sebagai
menghormati orang yang telah mati berkenaan. Perbuatan melanggar pantang semasa berlaku
sesuatu kematian dianggap tidak bermoral kerana tidak menghormati orang yang mati dan
juga keluarga si mati.
Justeru, setiap hukuman yang dikenakan kepada anak negeri yang melanggar undang-
undang adat adalah bertujuan mengekang perbuatan tidak bermoral dalam kalangan anggota
masyarakat supaya ketenteraman dapat dicapai. Perbuatan yang tidak bermoral adalah seperti
zina, mencuri, fitnah, khianat, bergaduh dan sebagainya. Pematuhan kepada undang-undang
adat akan menyebabkan keadaan “sejuk” dan mengelakkan keadaan “panas” akibat
kemarahan semangat ghaib. Pengamalan undang-undang adat sebagai panduan hidup dalam
kalangan anak negeri di Borneo Utara adalah bagi mendisiplinkan anak negeri agar menjaga
tata susila dan menjalani kehidupan mengikut undang-undang adat mereka. Menerusi cara
tersebut, anak negeri akan terus hidup aman damai dan bermoral. Oleh itu, penubuhan
Mahkamah Anak Negeri membolehkan sistem peraturan adat dikekalkan dan dipantau oleh
pemimpin anak negeri (Azlizan Mat Enh & Siti Alwaliyah Mansor, 2017).
Selain itu, pengaruh undang-undang adat anak negeri ini dilihat penting kepada
penubuhan Mahkamah Anak Negeri di Borneo Utara kerana faktor pemimpin-pemimpin
tempatan lebih mudah menguruskan hal ehwal masyarakat. Dalam proses mengukuhkan dan
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)
© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 159

memastikan undang-undang adat anak negeri Borneo Utara terjaga, Mahkamah Anak Negeri
ditadbir oleh Ketua Anak Negeri dan Orang Tua yang mahir dengan undang-undang adat
(North Borneo Herald, 1884). Pemimpin-pemimpin ini mengamalkan budaya dan adat yang
sama serta hidup dalam komuniti yang sama dengan anak negeri. Justeru sebagai pemimpin,
mereka mempunyai tanggungjawab dan peranan penting dalam memastikan undang-undang
adat suku kaum mereka terpelihara. Ini kerana undang-undang adat berbeza dengan undang-
undang British jika diadili di Mahkamah Sivil. Misalnya, mengikut undang-undang adat anak
negeri di Borneo Utara, bagi kesalahan sumbang mahram akan dikenakan hukuman sogit atau
denda yang dibayar dengan binatang ternakan.
Selain itu, penubuhan Majlis Kampung juga merupakan satu bukti undang-undang
adat mempunyai pengaruh dalam kehidupan anak negeri Borneo Utara. Majlis Kampung
berperanan mentadbir keadilan dalam kampung dan menguatkuasakan undang-undang adat
dalam kalangan anak negeri (Sabihah Osman, 1985). Kes-kes anak negeri yang tidak dapat
diselesaikan oleh Orang Tua akan dibawa kepada Majlis Kampung untuk dibicarakan.
Umpamanya, jika terdapat anggota masyarakat dalam kampung yang telah melakukan
kesalahan melanggar undang-undang adat yang berat seperti membunuh, mencuri,
merosakkan harta benda orang lain, melarikan isteri orang dan berzina pesalah akan
dihadapkan ke Majlis Kampung untuk dihakimi oleh beberapa Orang Tua kampung (Sharifah
Zaleha Syed Hassan, 1995). Pengadilan sesuatu kes yang dibuat dalam Majlis Kampung
adalah berdasarkan keputusan sebulat suara ataupun undian majoriti ahli-ahli majlis.
Walaupun Majlis Kampung hanya berfungsi dalam kampung sahaja, namun mempunyai
persamaan seperti Mahkamah Anak Negeri dari segi fungsi dalam mengendalikan hal ehwal
anak negeri Borneo Utara berlandaskan undang-undang adat. Justeru, BNBCC melihat
keperluan sebuah mahkamah yang khusus untuk mengendalikan hal ehwal anak negeri
berlandaskan kepada undang-undang adat kerana tidak sesuai untuk dikendalikan di
Mahkamah Sivil British. BNBCC telah membuat reformasi undang-undang adat di Borneo
Utara dengan menaiktaraf dan memformalisasikan kedudukan Majlis Kampung kepada
Mahkamah Anak Negeri (Sharifah Zaleha Syed Hassan, 1995).

Menjimatkan kos pentadbiran BNBCC

Semasa BNBCC mentadbir Borneo Utara (1881-1941), BNBCC telah mewujudkan sistem
pentadbiran yang bermatlamat untuk menjaga kepentingan dan kedudukan kewangan mereka
di negeri ini. BNBCC berusaha untuk menjaga keamanan dan juga kestabilan anak negeri
bagi memudahkan mereka mencapai matlamat untuk mengeksploitasi ekonomi di Borneo
Utara. Walau bagaimanapun, pada peringkat awal pentadbirannya di Borneo Utara,
kedudukan kewangan BNBCC agak lemah (Sabihah Osman, 1985). Ini disebabkan BNBCC
perlu mengeluarkan kewangan yang tinggi untuk membayar wang pajakan tahunan Borneo
Utara kepada Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu dan Pangiran Temenggong (menteri
Brunei). Berikut merupakan jumlah bayaran tahunan Borneo Utara yang perlu dibayar oleh
BNBCC.
Berdasarkan jadual 1, Kerajaan BNBCC terpaksa membayar wang pajakan tahunan
yang tinggi bagi wilayah Borneo Utara kepada Sultan Brunei, Sultan Sulu dan Pangiran
Temenggong iaitu sebanyak $20,000 setahun (NBCA 1435). Dalam masa yang sama,
BNBCC juga menghadapi masalah kewangan yang tidak kukuh kerana dibebani oleh hutang
yang tinggi (The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (1884-1942), 1936).
Justeru, bagi mengurangkan hutang dan menstabilkan kewangan kerajaan, BNBCC
mentadbir Borneo Utara dengan kos yang paling minimum. Salah satu usaha BNBCC bagi
menjimatkan kos pentadbiran kerajaan ialah melalui pelaksanaan sistem pentadbiran secara
tidak langsung terhadap anak negeri di Borneo Utara (NBCA 735).
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)
© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 160

Jadual 1. Jumlah bayaran tahunan Borneo Utara

Bayaran Kawasan Jumlah


Sultan Brunei a) Gaya dan Papar $4000
b) Tuaran, Kota Belud, Kudat, Banguey $6000
dan lain-lain Pulau.
c) Paitan, Sugut, Labuk, Sandakan, $2000
Kinabatangan, Semporna, Tawau
Sultan Sulu Pandasan ke Sibuku $5000
Pangiran Temenggong Kimanis dan Benoni $3000
Sumber: Kinabalu Magazine, 1953

Melalui sistem pentadbiran tidak langsung, BNBCC membentuk semula pentadbiran


politik dan perundangan anak negeri di Borneo Utara. Ketua Anak Negeri dan Orang Tua
diserapkan sebagai jawatan yang paling rendah dalam sistem pentadbiran BNBCC dan
menggunakan Mahkamah Anak Negeri sebagai institusi kehakiman yang bertanggungjawab
menyelesaikan permasalahan anak negeri Borneo Utara berlandaskan undang-undang adat
(C.J. 54/35). Bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri adalah kes-kes pelanggaran undang-
undang adat, perkahwinan, perceraian, pengambilan anak angkat, tuntutan harta pusaka,
menjatuhkan hukuman sogit, pengiktirafan taraf anak negeri Sabah. Langkah ini membantu
BNBCC menjimatkan kos pentadbiran kerajaan di Borneo Utara. Penggunaan institusi
tempatan seperti Ketua Anak Negeri, Orang Tua dan Mahkamah Anak Negeri kerana
kedudukan kewangan BNBCC yang tidak kukuh bagi menampung kakitangan kerajaan yang
ramai. Oleh yang demikian, melalui sistem pentadbiran secara tidak langsung ini, beberapa
orang Ketua Anak Negeri dipertanggungjawabkan untuk menjaga kawasan pentadbiran yang
luas (Sabihah Osman, 1985).
Selain itu, kedudukan kewangan yang lemah menyebabkan BNBCC lebih banyak
bergantung kepada Ketua Anak Negeri, Orang tua dan Mahkamah Anak Negeri bagi
menjamin kestabilan pentadbiran ke atas anak negeri Borneo Utara terutamanya di bahagian
pedalaman (Sabihah Osman, 1985). Sehubungan itu, BNBCC menggunakan institusi
tempatan berkenaan sepenuhnya bagi mengurangkan kos pentadbiran kerajaan. Buktinya,
Ketua Anak Negeri dan Orang Tua diberikan tanggungjawab yang berat kerana mempunyai
tanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran, ekonomi dan juga perundangan melibatkan
anak negeri (NBCA 735). Atas perintah bertulis daripada Pegawai Daerah, Orang Tua
bertanggungjawab mengumpul dan memberi bekalan makanan mahupun pengangkutan
kepada pegawai-pegawai kerajaan (The Straits Times, 1903).
Di samping itu, Ketua Anak Negeri dan Orang Tua juga diamanahkan untuk mengutip
cukai daripada anak negeri di daerah dan kampung masing-masing (The British North Borneo
Herald, 1891). Malahan, Orang Tua juga bertanggungjawab menyediakan tenaga buruh bagi
melaksanakan kerja-kerja yang diarahkan oleh pegawai kerajaan seperti mengusahakan
ladang, membuat tuak daripada kelapa, membaiki jalan dan kerja-kerja umum lain (The
Straits Times, 1903). Sementara dalam aspek perundangan, Ketua Anak Negeri dan Orang
Tua ditugaskan sebagai hakim dalam Mahkamah Anak Negeri bagi menyelesaikan
permasalahan anak negeri mengikut undang-undang adat dan agama di kawasan masing-
masing (NBCA 453).
Seterusnya, dalam usaha mengurangkan kos pentadbiran kerajaan, BNBCC
membahagikan Ketua Anak Negeri dan Orang Tua kepada dua kategori iaitu ketua-ketua
yang diiktiraf atau ketua tidak diiktiraf daripada kerajaan (NBCA 735). Ketua-ketua yang
diiktiraf kerajaan menerima gelaran Ketua Anak Negeri (Native Chief) dan mereka
dibahagikan kepada dua kategori iaitu ketua yang mendapat elaun atau tidak mendapat elaun
(Sabihah Osman, 1985). Ketua yang mendapat elaun bulanan bertanggungjawab menjaga
keamanan, memungut cukai dan menguruskan hal-ehwal keadilan anak negeri di daerah
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)
© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 161

mereka. Elaun bulanan yang diterima kira-kira $5-$40 sebulan dan sedikit elaun tambahan
diberikan bagi tugas menjadi pengadil anak negeri (Sabihah Osman, 1985). Sementara bagi
ketua yang tidak mendapat elaun bertanggungjawab memungut cukai dan mendapat 1/3 hasil
pungutan cukai sekiranya cukai tersebut diserahkan terus kepada Pegawai Daerah dan hanya
1/10 sahaja yang mereka perolehi sekiranya cukai tersebut diserahkan melalui ketua yang
mendapat elaun (The British North Borneo Herald, 1886).
Pembahagian kategori ini membantu BNBCC mengurangkan kos pembayaran elaun
kepada Ketua Anak Negeri dan usaha ini seiring dengan objektif kerajaan menjimatkan kos
pentadbiran kerajaan. Walaupun diberikan tugas yang berat namun gaji yang diberikan
kepada Ketua Anak Negeri dan Orang Tua adalah sedikit dan tidak setimpal dengan bebanan
kerja mereka. Pada tahun 1916, daripada 150 orang ketua, kira-kira 60 orang daripadanya
hanya mendapat elaun bulanan $5 sebulan (Ranjit Singh, 2000). Sedangkan gaji sepatutnya
yang layak diterima oleh para pemimpin tempatan ini adalah sebanyak $40. Dalam hal ini,
BNBCC yang sepatutnya membayar gaji para Ketua Anak Negeri sebanyak $73,000 setahun
hanya perlu mengeluarkan duit sebanyak kira-kira $46,600 setahun. Justeru, BNBCC dapat
menjimatkan sejumlah $25,000 duit setahun dalam membayar gaji para pemimpin tempatan
ini.
Sekiranya dibandingkan dengan kos penggajian pegawai Mahkamah Anak Negeri dan
pegawai Mahkamah Sivil, kos untuk menggajikan pegawai Mahkamah Sivil lebih tinggi
berbanding dengan gaji pegawai Mahkamah Anak Negeri. Contohnya, gaji bagi Pegawai
Daerah yang bertindak sebagai Magistret kelas 2 sahaja mencecah $400 sebulan (NBCA
735). Ini bermakna, gaji bagi seorang Pegawai Daerah dalam setahun adalah sebanyak $4,800
setahun. Malahan, gaji bagi pegawai Eropah bagi jawatan paling rendah pun mendapat gaji
yang lumayan iaitu sebanyak $225 sebulan dan $2,700 setahun (NBCA 735). Sekiranya
BNBCC menggaji pegawai Eropah dalam Mahkamah Sivil sebanyak 150 orang di seluruh
Borneo Utara, BNBCC terpaksa membelanjakan sebanyak $405,000 setahun. Jumlah ini
terlalu tinggi dan akan merugikan ekonomi BNBCC. Justeru, penubuhan Mahkamah Anak
Negeri dilihat sebagai langkah terbaik bagi dasar menjimatkan kos pentadbiran BNBCC di
Borneo Utara.
Selanjutnya bagi tujuan menjimatkan kos pentadbiran, BNBCC melantik sedikit
sahaja kakitangan Mahkamah Anak Negeri (NBCA 73E). Kakitangan yang ramai akan
menyebabkan BNBCC terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk membayar gaji
kakitangan mahkamah. Umpamanya, BNBCC hanya melantik seramai 12 orang Ketua Anak
Negeri untuk mentadbir Mahkamah Anak Negeri Padas Klias. Namun kawasan yang
termasuk dalam bidang kuasa mahkamah ini adalah luas termasuk kawasan Padas Klias dan
kawasan sekitarnya seperti Membakut dan Kwala Lama (The British North Borneo Herald,
1886). Malahan, semasa mesyuarat Majlis Penasihat Ketua-Ketua Anak Negeri 1941, Ketua-
Ketua Anak Negeri memohon kerajaan agar mengiktiraf semua Imam dan mencadangkan
agar seorang Ketua Imam di Borneo Utara dilantik (NBCA 73E). Walau bagaimanapun,
Kerajaan BNBCC menolak permintaan untuk mengiktiraf semua Imam berdasarkan
pembayaran bulanan dan Ketua Imam Borneo Utara yang bergaji. BNBCC menolak
cadangan berkenaan kerana ia akan menambahkan lagi kos pentadbiran BNBCC ekoran lebih
ramai kakitangan Mahkamah Anak Negeri akan dilantik dan dibayar gaji (NBCA 73E).
Oleh yang demikian, jelas bahawa Mahkamah Anak Negeri di Borneo Utara
ditubuhkan disebabkan matlamat BNBCC untuk menjimatkan kos pentadbiran kerajaan di
negeri ini. Melalui penubuhan Mahkamah Anak Negeri, BNBCC tidak perlu melantik lebih
ramai pegawai dalam mengendalikan undang-undang adat anak negeri. BNBCC juga
menyerap pemimpin tempatan dalam mengendalikan sepenuhnya pentadbiran Mahkamah
Anak Negeri. Manakala dari segi pembayaran gaji juga dapat dijimatkan melalui jumlah gaji
yang sedikit kepada Ketua Anak Negeri dan Orang Tua. Justeru, penubuhan Mahkamah Anak
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)
© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 162

Negeri di Borneo Utara dilihat sebagai salah satu faktor yang perlu diteruskan demi
keuntungan BNBCC.

Piagam Diraja 1881

Piagam Diraja 1881 (Royal Charter 1881) juga merupakan faktor penting yang menyumbang
kepada penubuhan Mahkamah Anak Negeri di Borneo Utara. Sejarah perundangan anak
negeri di Borneo Utara bermula apabila Kerajaan British di London menganugerahkan
Piagam Diraja kepada BNBCC pada 1 November 1881 (Straits Times Weekly Issue, 1889).
Piagam Diraja telah memperuntukkan beberapa fasal yang bertujuan untuk menjaga
kepentingan dan hak-hak anak negeri di Borneo Utara (Handbook of North Borneo, 1886).
Piagam Diraja melarang BNBCC masuk campur dalam hal ehwal agama dan adat resam anak
negeri di Borneo Utara (Straits Times Weekly Issue, 1889). Buktinya, Fasal 8 dalam Piagam
Diraja menegaskan bahawa BNBCC mahupun pegawainya tidak boleh sama sekali
menganggu agama mana-mana bangsa atau suku kaum anak negeri di Borneo Utara (NBCA
4). Maka, BNBCC perlu patuh dengan perjanjiannya dengan Kerajaan British agar
menghormati pegangan agama setiap suku kaum anak negeri negeri di Borneo Utara. Begitu
juga dalam Fasal 9 Piagam Diraja yang memperuntukkan (NBCA 4):

"In the administration of justice by the Company to the people of Borneo, or to any of
the inhabitants thereof, careful regard shall always be had to the customs and laws of
the class or tribes or nation to which the parties respectively belong, especially with
respect to the holding possession transfer and disposition of lands and goods, and
testate or intestate succession thereto, and marriage, divorce, and legitimacy, and
other rights of property and personal rights.

Oleh yang demikian, BNBCC tidak memberi sekatan kepada anak negeri di Borneo
Utara ini dalam mengamalkan undang-undang adat mereka berdasarkan suku kaum masing-
masing. Perjanjian melalui Piagam Diraja pada tahun 1881 ini menyebabkan BNBCC terikat
untuk memberikan pengiktirafan kepada undang-undang adat anak negeri yang menjadi garis
panduan dalam mengawal kehidupan masyarakat di Borneo Utara (NBCA 4). Justeru,
Piagam Diraja telah menjadi satu langkah Kerajaan British dalam memberikan perlindungan
dan kebebasan kepada anak negeri di Borneo Utara dengan mengiktiraf undang-undang adat
mereka (NBCA 4). BNBCC telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan anak
negeri Borneo Utara. Menurut Neill Malcolm, Presiden BNBCC, “…our first duty as a
Sovereign Power is to safeguard the welfare of the native population”(The Singapore Free
Press and Mercantile Advertiser (1884-1942), 1936). Oleh kerana Piagam Diraja menegah
BNBCC mencampuri undang-undang adat dan agama yang diamalkan oleh anak negeri,
maka sistem keadilan yang ideal bagi anak negeri di Borneo Utara adalah menerusi
Mahkamah Anak Negeri. Hanya Mahkamah Anak Negeri sahaja yang benar-benar sesuai
untuk mengadili hal ehwal anak negeri di Borneo Utara berdasarkan undang-undang adat
mengikut suku kaum. Sementara Mahkamah Sivil pula tidak sesuai untuk menyelesaikan kes-
kes anak negeri berlandaskan undang-undang adat kerana mahkamah ini menggunakan
undang-undang Barat. Maka, penubuhan Mahkamah Anak Negeri disifatkan suatu keperluan
yang perlu dipenuhi oleh BNBCC agar undang-undang adat anak negeri yang terdiri daripada
pelbagai suku kaum di Borneo Utara tidak terganggu.
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)
© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 163

Mengelakkan Penentangan Penduduk Tempatan

Selain itu, penubuhan Mahkamah Anak Negeri di Borneo Utara juga bertujuan untuk
mengelakkan penentangan daripada penduduk tempatan terhadap BNBCC. BNBCC bimbang
penduduk tempatan menentang pentadbiran kerajaan dan menjangkakan bahawa mereka
bakal menghadapi rintangan terutamanya daripada pemimpin Islam di Borneo Utara (Abu
Bakar Hamzah, 1991). Masyarakat Islam telah berabad-abad lamanya menerima pengaruh
Islam semenjak pemerintahan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu di samping mereka
amat sensitif dalam hal-hal berkaitan dengan agama Islam dan adat resam mereka (Abu
Bakar Hamzah, 1991). Begitu juga halnya dengan komuniti anak negeri yang mempunyai
pegangan kuat terhadap adat istiadat mereka. Campur tangan dalam hal ehwal undang-
undang adat anak negeri boleh membawa kepada penentangan masyarakat yang sukar
menerima perubahan baru dalam sistem amalan dan kepercayaan mereka. Beberapa
penentangan daripada penduduk tempatan kepada kerajaan BNBCC pada awal
pentadbirannya di Borneo Utara telah menjadi pengajaran kepada kuasa penjajah ini agar
tidak membuat sebarang dasar yang boleh membangkitkan kemarahan penduduk tempatan.
Contohnya, penentangan Mat Salleh terhadap Kerajaan British pada tahun 1894
(North Borneo Police Magazine, 1957). BNBCC telah melarang Mat Salleh mengutip cukai
di Sungai Sungut kerana Mat Salleh tidak mempunyai hak ke atas kawasan ini lagi setelah
Sultan Sulu telah memberikan wilayahnya di Borneo Utara kepada BNBCC (Siti Aidah Hj.
Lokin, 2007). Sementara Mat Salleh bertegas bahawa beliau tetap mempunyai kuasa penuh
untuk mengutip cukai di Sungai Sugut kerana kawasan ini telah diserahkan kepadanya oleh
Sultan Sulu dan dalam sistem pentadbiran Kesultanan Sulu, sultan tidak boleh menyerahkan
wilayah yang dimiliki oleh para pembesar kepada pihak lain tanpa mendapat persetujuan
daripada pemilik wilayah berkenaan. Mat Salleh juga turut membantah pelaksanaan beberapa
cukai dan lesen perahu yang dikenakan oleh BNBCC terhadap beliau dan para pengikutnya
(Siti Aidah Hj. Lokin, 2007).
BNBCC mengarahkan agar Mat Salleh ditangkap kerana kesalahannya mengutip
cukai di Sungai Sugut dan tuduhan melindungi pembunuh dua orang Dayak serta beberapa
orang yang telah menyamun sebuah kedai di pulau berhampiran dengan bandar Sandakan
(Berita Harian, 1961). Sehubungan itu, bermula penentangan Mat Salleh terhadap BNBCC.
Serangan Mat Salleh ke atas BNBCC di Pulau Gaya telah menyebabkan BNBCC mengalami
kerugian yang begitu besar. Antara kerugian yang dilaporkan ialah sebanyak 570 buah rumah
terbakar, hasil padi bernilai $20,000 dan kerugian lain dianggarkan sebanyak $10,000 (The
Straits Times, 1898). Semua bangunan Kerajaan BNBCC di pulau ini juga dimusnahkan oleh
Mat Salleh (North Borneo Herald, 1922).
Selain Mat Salleh, BNBCC juga turut menghadapi penentangan yang besar daripada
masyarakat Murut di daerah Rundum yang dikenali sebagai pemberontakan Rundum pada
tahun 1915 (Borneo Mail, 1995). Penentangan ini disebabkan masyarakat Murut di kawasan
pedalaman khususnya di Rundum dan Pensiangan yang tidak berpuas hati dengan
pentadbiran BNBCC yang memperkenalkan pelbagai cukai baru seperti cukai ladang dan
cukai minuman-minuman keras seperti tapai dan bahar. Setiap satu gantang (3 kg) beras akan
dikenakan cukai sebanyak 2 sen dan setiap gantang ibu akan dikenakan cukai sebanyak 1 sen
serta cukai sebanyak 25 sen dikenakan bagi setiap satu pokok kelapa untuk membuat bahar
(Borneo Mail, 1995).
Malahan, masyarakat Murut juga dilarang membuka hutan untuk tanaman melainkan
telah mendapat permit daripada BNBCC. Sedangkan bagi masyarakat Murut, mereka lebih
suka menjalankan kegiatan pertanian pindah yang menjadi kegiatan ekonomi tradisi mereka.
Setiap tanah yang dibuka perlu membayar cukai sebanyak 50 sen bagi setiap ekar.
Masyarakat Murut ini juga dipaksa oleh BNBCC melakukan kerja-kerja membuat jalan tanpa
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)
© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 164

upah (Borneo Mail, 1995). BNBCC telah menghalang kebebasan adat resam masyarakat
Murut dengan menghentikan amalan tradisi memenggal kepala musuh (Siti Aidah Hj. Lokin.
2007). Pentadbiran BNBCC yang sama sekali tidak mengambil kira adat istiadat dan cara
hidup masyarakat tempatan telah membangkitkan kemarahan masyarakat Murut. Justeru,
pelbagai perubahan dalam pentadbiran yang diperkenalkan oleh BNBCC di Borneo Utara
telah menggugat adat dan nilai etika masyarakat Murut sehingga membawa kepada
Pemberontakan Rundum yang diketuai oleh Antanom. Pemberontakan Rundum dianggap
sebagai peperangan untuk menegakkan adat dan kepercayaan mereka yang telah dicabuli oleh
BNBCC (Daily Express, 2012). Antanom telah berjaya menyatukan beberapa kumpulan
masyarakat Murut untuk menentang BNBCC. Pertempuran antara Antanom dan BNBCC
telah mengakibatkan banyak rumah tumpangan, jambatan dan pos telegraf musnah serta
wayar telefon sejauh 15 batu di selatan Rundum hilang (Ranjit Singh, 2000).
Secara keseluruhannya, penentangan Mat Salleh dan Pemberontakan Rundum telah
memberikan kerugian besar kepada ekonomi BNBCC. Serangan daripada pemberontakan-
pemberontakan ini telah menyebabkan kemusnahan beberapa kawasan pentadbiran BNBCC.
Malahan, BNBCC juga telah mengeluarkan kewangan yang besar dalam usaha membanteras
ancaman Mat Salleh dan Antanom melalui beberapa siri penentangan. Penentangan Mat
Salleh dan Antanom bukan sahaja memberi kesan buruk kepada kestabilan politik BNBCC,
malahan juga memberi kerugian teruk kepada ekonomi mereka di Borneo Utara. Sekiranya
kestabilan politik tergugat maka kestabilan ekonomi BNBCC di Borneo Utara juga akan
tergugat.
Justeru, penentangan Mat Salleh dan Pemberontakan Rundum ini telah memberi
kesedaran dan pengajaran kepada BNBCC agar lebih berhati-hati dalam melaksanakan
perubahan pentadbiran di Borneo Utara (Siti Aidah Hj. Lokin, 2007). Perubahan dalam
sistem kepercayaan dan adat istiadat mereka boleh mengeruhkan hubungan BNBCC dengan
penduduk. Sehubungan itu, BNBCC tidak mahu lagi melakukan perubahan dalam sistem adat
dan kepercayaan masyarakat tempatan di Borneo Utara yang boleh membangkitkan
kemarahan mereka yang seterusnya membawa penentangan demi penentangan penduduk
tempatan kepada BNBCC (Vilkon Tauning & Novel Lyndon, 2016). Oleh yang demikian,
penubuhan Mahkamah Anak Negeri di Borneo Utara merupakan salah satu langkah BNBCC
untuk menjaga undang-undang adat dan sistem kepercayaan anak negeri. Melalui penubuhan
Mahkamah Anak Negeri, adat dan kepercayaan tradisi anak negeri terjaga dan dihormati.
Penubuhan Mahkamah Anak Negeri ini juga mampu mengurangkan ketegangan di antara
BNBCC dan masyarakat Borneo Utara kerana Orang Tua dan Ketua Anak Negeri yang
berkebolehan diberikan peluang mentadbir sistem keadilan anak negeri. BNBCC
menyerahkan tanggungjawab mentadbir undang-undang adat anak negeri sepenuhnya kepada
pemimpin anak negeri itu sendiri menerusi Mahkamah Anak Negeri (NBCA 453, 1937).

Pertambahan Populasi Penduduk

Pertambahan populasi penduduk di Borneo Utara juga telah menjadi salah satu faktor
penyumbang kepada penubuhan Mahkamah Anak Negeri di Borneo Utara. Tujuan BNBCC
menubuhkan Mahkamah Anak Negeri bagi setiap daerah di negeri ini adalah bagi
menampung kes-kes anak negeri Borneo Utara yang melibatkan undang-undang adat suku
kaum mereka. Hal ini kerana jumlah penduduk Borneo Utara semakin meningkat setiap
tahun.
Berdasarkan jadual 2, jelas menunjukkan bahawa jumlah penduduk di Borneo Utara
semakin meningkat saban tahun dari tahun 1891 sehingga tahun 1911. Jumlah penduduk
Borneo Utara yang dilaporkan pada tahun 1891 adalah seramai 67,062 orang termasuk
kumpulan anak negeri dan kumpulan imigran yang datang ke negeri ini (State of North
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)
© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 165

Borneo Census Report, 1921). Pada tahun 1901, berlaku pertambahan penduduk Borneo
Utara seramai 37,465 orang menjadikan jumlah keseluruhan penduduk pada tahun tersebut
adalah seramai 104,527 orang. Begitu juga pada tahun 1911, jumlah penduduk semakin
bertambah seramai 103,656 orang dan mencatatkan jumlah penduduk Borneo Utara yang
tinggi iaitu seramai 208,183 orang.

Jadual 2. Jumlah populasi penduduk Borneo Utara tahun 1891-1911

Tahun
Kategori Penduduk 1891 1901 1911
Dusun 34,166 33,456 87,951
Murut - 12,230 25,314
Bajau 11,150 10,885 22,587
Brunei 3,546 6,767 6,877
Suluk 3,733 6,373 5,303
Orang Sungai - 4,784 9,168
Lain-lain Kumpulan Anak Negeri 6,454 6,549 15,384
Cina 7,156 12,282 26,002
Lain-lain Penduduk 857 11,201 9,597
Jumlah 67,062 104,527 208,183
Sumber: State of North Borneo Census Report 1921; North Borneo Report on the Census of Population
Taken on 10th August 1960 by L.W. Jones; Annual Bulletin of Statistics Sabah 1965; British North
Borneo Official Gazette, 1 Febuari 1892.

Jumlah populasi penduduk Borneo Utara bagi kumpulan anak negeri menunjukkan
peningkatan bagi tempoh 20 tahun ini. Pada tahun 1891, laporan jumlah populasi bagi suku
kaum Dusun adalah digabungkan bersama dengan jumlah populasi bagi suku kaum Murut
dan Orang Sungai yang keseluruhannya mencatatkan seramai 34,166 orang (State of North
Borneo Census Report, 1921). Namun, laporan jumlah populasi bagi suku kaum Dusun,
Murut dan Orang Sungai diasingkan bagi tahun 1901 dan 1911. Kategori bagi kumpulan lain-
lain anak negeri merujuk kepada suku kaum asli Borneo Utara yang lain seperti Kadayan,
Tidong, Tutong, Bisaya dan lain-lain (Annual Bulletin of Statistics Sabah, 1965). Jumlah
keseluruhan bagi kumpulan anak negeri Borneo Utara pada tahun 1891 adalah seramai
59,049 orang. Jumlah populasi anak negeri Borneo Utara semakin meningkat pada tahun
1901 iaitu seramai 81,044 orang (Census of North Borneo, 1901). Begitu juga dengan tahun
1911, jumlah populasi anak negeri di Borneo Utara meningkat dua kali ganda daripada tahun
sebelumnya iaitu seramai 172,584 orang.
Peningkatan jumlah penduduk di Borneo Utara juga disebabkan oleh dasar BNBCC
yang menggalakkan kemasukan imigran daripada negara jiran seperti Indonesia, Filipina,
China dan sebagainya ke Borneo Utara bagi memenuhi keperluan tenaga buruh bagi sektor
pertanian seperti getah dan tembakau. Malahan, BNBCC membawa imigran dari tanah besar
China secara besar-besaran melalui peruntukan pas percuma. Justeru, tidak menghairankan
apabila jumlah imigran Cina semakin meningkat dari tahun 1891 sehingga tahun 1911. Kaum
Cina yang lahir di Sabah sebelum 1 November 1931 dikategorikan sebagai bumiputera
(NBCA 341). Walau bagaimanapun, ramai kaum Cina yang berkahwin dengan anak negeri
Sabah dan membentuk suku kaum Sino-Native seperti Sino-Dusun, Sino-Kadazan, Sino-
Bajau dan sebagainya. Terdapat banyak permohonan untuk mendapatkan status anak negeri
Sabah daripada anak yang lahir daripada suku kaum ini. Mahkamah Anak Negeri
bertanggungjawab mengeluarkan Sijil Anak Negeri sejak tahun 1960-an lagi bagi
membolehkan individu yang mempunyai keturunan anak negeri Sabah hasil daripada
perkahwinan campur mendapatkan status rasmi sebagai anak negeri Sabah (MSTAR, 2015).
Oleh yang demikian, memandangkan jumlah populasi penduduk Borneo Utara
semakin meningkat dengan kadar yang tinggi saban tahun, maka penubuhan Mahkamah
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)
© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 166

Anak Negeri menjadi satu keperluan yang perlu dilaksanakan dalam sistem perundangan
anak negeri di Borneo Utara. Hal ini kerana BNBCC tidak mampu menampung keperluan
dari segi kehakiman kepada penduduk Borneo Utara sama ada bagi kumpulan anak negeri
mahupun bukan anak negeri. Sedangkan BNBCC kekurangan pegawai-pegawai Eropah
untuk mengendalikan pelbagai kes penduduk Borneo Utara yang semakin tinggi. Pada tahun
1911, BNBCC hanya mempunyai seramai 355 orang pegawai-pegawai Eropah sahaja (State
of North Borneo Census Report, 1921). Justeru, bagi mengurangkan beban Mahkamah Sivil,
sebarang kes yang melibatkan adat anak negeri akan diserahkan kepada Mahkamah Anak
Negeri.

Kesimpulan

Tuntasnya, Majlis Kampung yang merupakan mahkamah tradisional masyarakat anak negeri
sebelum zaman penjajahan mempunyai ciri dan peranan seperti Mahkamah Anak Negeri
yang ada pada hari ini. Namun namanya masih lagi dikenali sebagai mahkamah adat.
Penghakiman yang dijalankan bagi mengadili komuniti anak negeri Borneo Utara adalah
berpandukan kepada undang-undang adat anak negeri mengikut suku kaum masing-masing.
Walau bagaimanapun, mereka tidak memiliki rekod undang-undang yang tersendiri dan
segala undang-undang adalah didapati secara turun-temurun melalui lisan daripada nenek
moyang. Justeru, pemilihan Orang Tua bagi mentadbir penduduk kampung dari aspek
pentadbiran dan kehakiman adalah berlandaskan pengalaman, kewibawaan dan pengetahuan
yang luas dalam undang-undang adat mereka. Memandangkan pengaruh undang-undang adat
amat kuat dalam kalangan komuniti anak negeri di Borneo Utara, maka BNBCC
menjadikannya satu faktor untuk menubuhkan Mahkamah Anak Negeri di negeri ini.
Pengiktirafan BNBCC terhadap undang-undang anak negeri adalah berikutan kepada
perjanjian yang terdapat Piagam Diraja 1881. Piagam ini mengekang BNBCC daripada
mencampuri hal ehwal undang-undang adat anak negeri yang mana membawa kepada
penubuhan Mahkamah Anak Negeri di Borneo Utara. Penubuhan Mahkamah Anak Negeri ini
menandakan BNBCC mematuhi janjinya untuk menghormati adat istiadat masyarakat anak
negeri di Borneo Utara. Pada awal peringkat pentadbiran BNBCC di Borneo Utara pada
tahun 1881, BNBCC mengalami beberapa kekangan dalam aspek ekonomi. Justeru, BNBCC
memulakan dasar menjimatkan kos pentadbiran di Borneo Utara. Salah satu langkah
menjimatkan kos pentadbiran kerajaan adalah melalui penubuhan Mahkamah Anak Negeri.
Selain itu, BNBCC mengiktiraf undang-undang adat anak negeri telah mewujudkan
keseimbangan dan kesejahteraan dalam kalangan anak negeri sekaligus mengelakkan
penentangan daripada penduduk tempatan terhadap BNBCC yang boleh mengancam
kestabilan politik dan ekonomi mereka di Borneo Utara. Melalui penubuhan Mahkamah
Anak Negeri, kebajikan anak negeri terjaga dalam konteks undang-undang adat.

Rujukan

Abu Bakar Hamzah. (1991). Development of the Native Chief Institution of Sabah. Borneo
Review. 2(2): 178-187.
Annual Bulletin of Statistics Sabah. (1965). Kuala Lumpur: Jabatan Perangkaan Malaysia.
Azlizan Mat Enh, & Siti Alwaliyah Mansor. (2017).Sistem Perundangan British dan Disiplin
Banduan Penjara Pulau Pinang, 1870-1957: Implikasinya ke atas masyarakat.
Geografia: Malaysian Journal of Society and Space. 13(1): 73-86.
Berita Harian. (1961). 29 Januari.
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 1 (155-167)
© 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-12 167

Borneo Mail. (1995). 14 Mei.


C. J. 54/35. Surat Daripada Chief Justice Kepada Government Secretary, 6 September 1935.
Census of North Borneo (1901). Supplement of British North Borneo Official Gazette, 5
Oktober.
Colonial Reports of North Borneo, 1949.
Daily Express. (2012). 22 April.
Ranjit Singh, D.S. (2000). The making of Sabah 1865-1941: The dynamics of indigenous
society. Kuala Lumpur: University of Malaya Press.
Handbook of North Borneo.(1886).
Kinabalu Magazine. (1953). Vol. III No. 1. July.
KKT&P. (S) 100-1/14/(56), 2010
Mosli Tarsat. (2007). Institusi pentadbiran pribumi: Satu kajian mengenai Ketua Anak
Negeri di Sabah, 1946-1990. (Tesis Sarjana) Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia
Sabah.
NBCA 4. The Laws of North Borneo Vol. VI. 1954.
NBCA 73E. Native Chief’s Advisory Council Meetings, 1941.
NBCA 453. Native Administration Legislation 2, 1937.
NBCA 735. Indirect Rule and the System of Administration of the Natives of North Borneo,
1935.
NBCA 806. Village Administration Ordinance 5, 1913.
NBCA 1435. Sir Alfred Dent Private Correspondence of Alfred & Edward Dent, 1977-1978.
North Borneo Herald. (1884). Vol. II.
North Borneo Herald. (1922). 1 Ogos.
North Borneo Police Magazine, 1957.
Phelan, P. R. (2003). The Traditional Legal System of Sabah, Kota Kinabalu: Yayasan Sabah
Press.
Rutter, O. (2007). The Pagans of North Borneo. Kota Kinabalu: Opus Publications.
Sabah Times. (1980). 22 Oktober.
Sabihah Osman. (1985). Pentadbiran Pribumi Sabah 1881-1941. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Sharifah Zaleha Syed Hassan. (1995). Mahkamah Anak Negeri dan pelanjutan undang-
undang Adat di Sabah: Satu interprestasi sosiobudaya. Dlm. Ismail Hussein, A. Aziz
Deraman, & Abd. Rahman Al-Ahmadi (pnyt.), Tamadun Melayu (hlm: 1532-1558).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Aidah Hj. Lokin. (2007). Perubahan sosioekonomi dan pentadbiran masyarakat
peribumi Sabah (1881-1963). Kota Kinabalu: Penerbit Universiti Malaysia Sabah.
State of North Borneo Census Report. 1921.
Straits Times Weekly Issue. (1889). 7 Jun.
The British North Borneo Herald. (1891). Vol. IX.
The British North Borneo Herald. (1886). Vol. IV - XI.
The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (1884-1942). (1900). 5 Febuari.
The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (1884-1942). (1936). 13 Julai.
The Straits Times. (1898). 14 Mei.
The Straits Times. (1903). 22 September.
Vilkon Tauning, & Novel Lyndon. (2016). Pandangan etnik Sungai terhadap Gerakan Sabah
keluar Malaysia (SSKM): Satu kajian fenomenologi. Geografia: Malaysian Journal of
Society and Space. 12(5): 44-52.

You might also like