You are on page 1of 2

Kepelbagaian sosiobudaya di Malaysia memberi impak yang besar terhadap sistem pendidikan

khususnya ke atas pembelajaran dan pemudahcara di dalam bilik darjah. Warga pendidik iaitu
guru haruslah mempunyai personaliti dan mengamalkan amalan profesional keguruan dalam
membentuk jati diri serta keperibadian murid yang berbudaya pada masa hadapan. Amalan
silang budaya yang sihat dalam kalangan murid perlulah dipupuk bagi menjamin kesejahteraan
negara pada masa hadapan. Dalam hal ini, amalan silang budaya bermaksud pengetahuan dan
kefahaman murid mengenai budaya lain yang terdapat di Malaysia. Sebagai contoh, murid
kaum Melayu memahami budaya murid kaum Cina. Melalui amalan silang budaya yang sihat
ini, murid dapat berinteraksi dan berkomunikasi antara kaum dan budaya dengan baik dan
berjalan lancar serta dapat mengelakkan salah faham dan konflik antara kaum. Oleh itu, guru
perlulah mendidik dan memupuk amalan silang budaya ini dalam kalangan murid dengan
mempelajari dan memahami asas budaya dan nilai bagi sesuatu kaum yang lain.
Amalan silang budaya perlu diamalkan dalam membentuk persekitaran sekolah yang aman dan
harmoni. Pelbagai tindakan yang relevan boleh dilakukan dalam aspek pedagogi dan
pengurusan bilik darjah bagi memantapkan amalan silang budaya yang sihat dalam kalangan
murid di sekolah. Bagi menghasilkan amalan silang budaya yang sihat, pelbagai tindakan boleh
diambil oleh guru terutamanya dalam aspek pedagogi dan pengurusan bilik darjah. Aspek
pedagogi bermaksud kajian tentang pengajaran iaitu melibatkan proses pengajaran dan
pembelajaran. Yang pertama, guru perlu memasukkan unsur budaya dalam proses pengajaran
dan pembelajaran. Sebagai contoh, guru memperkenalkan makanan tradisional setiap kaum
kepada murid berdasarkan tema pengajaran pada hari tersebut iaitu makanan tradisional.
Proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan ini perlulah dirancang dengan teliti
mengikut Dokumen Standard Kokurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Hal ini kerana,
penggunaan unsur budaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran mampu memberi
kefahaman kepada murid tentang kebudayaan yang ada di Malaysia bagi setiap kaum. Dengan
itu, murid secara tidak langsung dapat mengetahui pelbagai budaya daripada kaum lain serta
dapat menghasilkan amalan silang budaya yang sihat.
Selain itu, guru juga haruslah bijak merancang proses pengajaran dan pembelajaran sebelum
memulakan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Dalam hal ini, penggunaan
bahan bantu mengajar yang baik mampu menarik perhatian murid untuk memberi perhatian
semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Namun demikian, guru perlu lebih
peka terhadap bahan bantu mengajar yang diguna agar tidak menyentuh sensitiviti bagi setiap
kaum. Kesannya, murid akan lebih berminat untuk belajar menggunakan bahan bantu mengajar
yang digunakan oleh guru tersebut. Bukan itu sahaja, elemen merentas kurikulum (EMK) juga
merupakan salah satu penting dalam menghasilkan amalan silang budaya yang sihat. Dalam
hal ini, guru perlu menerapkan elemen merentas kurikulum (EMK) ketika proses pengajaran
dan pembelajaran berlangsung. Sebagai contoh, guru memasukkan beberapa elemen semasa
mengajar bahasa Melayu seperti elemen sivik dan patriotisme. Hal ini bukan sahaja menarik
minat murid untuk memberi tumpuan semasa proses pengajaran dan pembelajaran
berlangsung, mahalan memberi kefahaman kepada murid mengenai budaya yang terdapat di
Malaysia. Dengan itu, pengamalan silang budaya yang sihat ini mampu mengekalkan dan
mengeratkan perpaduan serta dapat menjamin kesejahteraan negara pada masa hadapan.
Amalan silang budaya yang sihat juga amat berkait rapat dengan pengurusan bilik darjah.
Pengurusan bilik darjah bermaksud tindakan atau cara yang digunakan oleh guru untuk
mengekalkan peraturan bilik darjah. Dalam erti kata lain, guru haruslah bijak merancang
dengan menguruskan bilik darjah agar pembelajaran menjadi lebih berkesan. Tindakan pertama
yang boleh dilakukan oleh guru bagi memantapkan amalan silang budaya yang sihat dari aspek
pengurusan bilik darjah adalah menghasilkan bilik darjah yang mesra budaya. Bagi
menghasilkan bilik darjah mesra budaya, guru perlu merancang dan Menyusun kedudukan
kerusi dan meja murid mengikut susunan abad ke-21. Susunan meja dan kerusi abad ke-21
adalah dengan menyusun murid dalam satu kumpulan yang terdiri daripada murid yang
berbilang kaum. Hal ini kerana, murid akan bekerjsama antara satu sama lain ketika guru
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam pada itu, persefahaman antara
murid yang berlainan kaum akan wujud semasa mereka berinteraksi untuk menyelesaikan
tugasan yang diberikan oleh guru. Dengan itu, amalan sihat budaya yang sihat akan dapat
dicapai melalui susunan meja dan kerusi secara berkumpulan yang terdiri daripada pelbagai
kaum. Di samping itu, guru haruslah peka semasa berada di dalam bilik darjah iaitu dengan
memberi peluang sama rata kepada setiap murid. Sebagai contoh, guru tidak memilih kasih
atau tidak melakukan amalan diskriminasi semasa di dalam bilik darjah. Oleh itu, tindakan yang
dilakukan oleh guru ini dapat menghasilkan suasana bilik darjah yang ceria dan aman tanpa
berlaku sebarang perselisihan faham antara murid.
Seterusnya, tindakan yang boleh diambil bagi memantapkan amalan silang budaya dari aspek
pengurusan bilik darjah adalah dengan menyediakan sudut atau ruang bacaan di dalam bilik
darjah. Dalam hal ini, bahan bacaan yang disediakan oleh guru haruslah berkaitan kebudayaan
di Malaysia serta mengandungi nilai-nilai perpaduan antara pelbagai kaum. Hal ini bukan sahaja
dapat meningkatkan pengetahuan murid semasa membaca, malahan dapat meningkatkan
kefahaman murid tentang perpaduan yang terdapat di Malaysia. Akhir sekali, guru juga boleh
menetapkan peraturan bilik darjah yang baik dan berkesan. Hal ini kerana, selain daripada
mendidik murid untuk sikap berdisiplin, murid juga dapat bekerjasama sesama ahli kelas yang
terdiri daripada murid yang berbilang kaum. Sebagai contoh, guru menyediakan jadual
kebersihan kelas. Dengan itu, setiap murid akan lebih bertanggungjawab dan mengetahui tugas
masing-masing untuk menyelesaikan tugasan yang telah ditetapkan.
Secara kesimpulannya, jelaslah pelbagai tindakan relevan yang diambil yang diambil ini dapat
memantapkan amalan silang budaya yang sihat dalam kalangan murid di sekolah. Tindakan
yang diambil ini adalah dari aspek pedagogi dan pengurusan bilik darjah. Dalam pada itu,
tindakan yang diambil ini adalah penting untuk mengeratkan dan mengekalkan perpaduan
dalam kalangan murid yang terdiri daripada murid berbilang kaum. Bukan itu sahaja, jelaslah
bahawa kepelbagaian sosiobudaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga
menghasilkan implikasi yang positif terhadap murid dan guru. Dalam hal ini, guru haruslah
memainkan peranan penting dan bertanggungjawab dalam merancang proses pengajaran dan
pembelajaran agar menjadi lebih lancar dan berkesan. Oleh itu, amalan silang budaya yang
sihat ini dapat dimantapkan serta mendatangkan impak yang positif terhadap kesejahteraan
negara pada masa hadapan.

You might also like