You are on page 1of 6

Mahkamah Perusahaan Malaysia

Antara

Poly Electronic & Electrical (M) Sdn Bhd

Dan

Yap Lai Ying

Award No. 541 Tahun 2004

Dihadapan : Datin Saleha Abu Bakar (Pengerusi)

Tempat : Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur

Tarikh Dirujuk : 6 Disember 2000

Tarikh Perbicaraan : 22 April 2003, 28 Jun 2003 dan 22 Ogos 2003

Perwakilan : Encik Low Joo Hean dari Tetuan Ching, Tan & Associates,
peguam yang mewakili Pihak Yang Menuntut (PYM) iaitu
Puan Yap Lai Ying.

Encik J. Ganesan dari Tetuan J.Ganesan, Tajul Anuar &


Co, peguam yang mewakili syarikat iaitu Poly Electronic &
Electrical (M) Sdn. Bhd.

RUJUKAN

Ini merupakan satu rujukan yang dibuat dibawah seksyen 20(3) Akta
Perhubungan Perusahaan 1967 yang timbul daripada pemecatan Yap Lai Ying [selepas
ini dirujuk sebagai ‘Pihak Yang Menuntut’ (PYM)] oleh Poly Electronic and Electrical
(M) Sdn. Bhd. [selepas ini dirujuk sebagai ‘syarikat’].

AWARD

Pertikaian adalah berpunca dari pemecatan PYM oleh syarikat pada 16.1.1999.

LATAR BELAKANG

PYM telah diambil bekerja oleh syarikat sebagai setiausaha sulit kepada Pengarah
Urusan melalui surat pelantikan bertarikh 10.2.1992 berkuatkuasa dari 15.3.1992. Gaji
pokok beliau ialah sebanyak RM1,300.00 sebulan. Disamping surat pelantikan, terdapat

1
satu memorandum persefahaman yang menggariskan hubungan antara PYM dengan
syarikat. Selepas beberapa kenaikan, gaji PYM pada 1997 telah menjadi sebanyak
RM2,000.00 sebulan. Pada bulan Januari 1998, pihak syarikat telah mencadangkan
pemotongan gaji kakitangan disebabkan oleh kegawatan ekonomi, namun ianya tidak
dilaksanakan. Kemudian pada bulan Oktober 1998, syarikat sekali lagi mencadangkan
pemotongan gaji yang mana ianya telah dipersetujui oleh PYM. Melalui surat yang
bertarikh 23.10.1998 gaji PYM telah dipotong menjadi RM1,630.00 sebulan. Berikutnya
melalui surat yang bertarikh 13.1.1999, PYM telah dimaklumkan bahawa jawatannya
dalam syarikat telah menjadi lebih pada (redundant), oleh itu perkhidmatan beliau
ditamatkan berkuat kuasa pada 16.1.1999. PYM telah dibayar oleh syarikat sejumlah
RM721.75 untuk 15 hari kerja, RM1,462.45 untuk gaji sebulan sebagai ganti notis
pemberhentian (selepas ditolak sumbangan KWSP dan PERKESO) dan RM7,000.00
sebagai pampasan pemberhentian kerja.

UNDANG-UNDANG

Asas bagi penamatan perkhidmatan PYM oleh syarikat ialah berlakunya keadaan
lebih pada bagi jawatan beliau. Oleh itu syarikat terpaksa melakukan tindakan buang
kerja (retrenched). Pembuangan kerja (retrenchment) telah didefinisikan sebagai
penamatan perkhidmatan kakitangan yang berlebihan oleh majikan atas apa-apa sebab
selain daripada hukuman yang berakibat daripada tindakan disiplin. Sama ada suatu
tindakan pembuangan kerja itu dilakukan secara bona fide (niat baik) atau tidak, adalah
merupakan persoalan fakta dan ianya bergantung kepada keadaan khusus bagi setiap kes.
Dalam kes East Asia Company (M) Bhd. v Valen Noel Yap, Award No. 130 Tahun
1987, Mahkamah Perusahaan memutuskan seperti berikut: “ianya adalah merupakan hak
dan keistimewaan majikan untuk mengorganisasi semula perniagaannya… tetapi hak
majikan ini dihadkan oleh peraturan bahawa beliau mesti bertindak secara ‘bona fide’
dan tidak berdolak dalik atau bertujuan menindas serta mempraktiskan amalan
perburuhan yang tidak adil”
Secara umumnya pembuangan kerja membawa maksud bahawa perniagaan itu
sendiri masih berjalan tetapi sebahagian daripada kakitangan yang berlebihan itu dibuang
akibat berlakunya keadaan lebih pada. Dalam kes Stephen Bong v FOB (M) Sdn. Bhd.
& Anor (1999) 3 MLJ 411, hakim menyatakan “ianya bukanlah satu undang-undang
bahawa keadaan lebih pada bermakna tugas atau kerja tidak lagi wujud. Keadaan lebih
pada wujud apabila perniagaan memerlukan jumlah kakitangan yang berkurangan
dalam apa jua jenis tugas atau kerja”
Dalam menentukan siapakah yang menanggung beban untuk membuktikan
wujudnya keadaan lebih pada ini telah dilafazkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam
kes Bayer (M) Sdn Bhd v Ng Hong Pan (1999) 4 AMR 3913 sebagaimana berikut
“mengenai keadaan lebih pada ianya tidak dapat dinafikan bahawa perayu (iaitu
syarikat) mesti datang ke Mahkamah dengan bukti yang kukuh. Perayu menanggung
beban untuk membuktikan keadaan lebih pada benar-benar berlaku yang menyebabkan
pemecatan pekerja atas dasar tersebut telah dilakukan”.

2
ISU-ISU

Dengan mengambil kira prinsip-prinsip diatas, isu-isu yang menjadi pertimbangan


Mahkamah dalam kes ini ialah:
(i) Adakah keadaan kelebihpadaan (redundancy) benar-benar wujud
menyebabkan pemecatan dilakukan dalam kes ini?
(ii) Sekiranya keadaan kelebihpadaan benar-benar wujud, adakah pemecatan
telah dijalankan dengan mengikut prinsip dan tatacara yang bersesuaian dan
boleh diterima?

Isu (i) Adakah keadaan kelebihpadaan benar-benar wujud menyebabkan pemecatan


dilakukan dalam kes ini?

Syarikat merupakan sebuah kontraktor elektrik yang beroperasi secara sederhana


dari tahun 1972 hingga 1992. Antara tahun 1992 hingga 1997 syarikat telah mendapat
kontrak elektrik dengan projek pembinaan yang besar iaitu:
(a) Menara Marina di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, dan
(b) Vision City di Jalan Sultan Ismail, Kula Lumpur.
Disebabkan beban kerja yang bertambah, syarikat pada tahun 1994 telah menyusun
semula operasi perniagaannya dengan mewujudkan 3 bahagian iaitu:
 Bahagian Pentadbiran dan Tender
 Bahagian Kontrak
 Bahagian Akaun
Semasa tempoh ini iaitu awal tahun 1997, PYM telah ditempatkan sebagai setiausaha
sulit dan bekerja secara terus dibawah Jurutera Projek untuk Projek Vision City iaitu
Encik Kooi Toh Peng. Disamping itu beliau juga bertanggung jawab menyelaraskan
lapuran bersabit aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Bahagian Kontrak kepada Pengarah
Urusan.
Kemudian akibat kegawatan ekonomi, projek Menara Marina telah terhenti
disebabkan oleh masaalah kewangan. Projek Vision City juga telah memaklumkan
bahawa mereka hanya akan menyudahkan satu menara sahaja dan bukannya tiga
sebagaimana perancangan awal. Syarikat telah gagal mendapatkan projek baru dalam
tahun 1998. Melalui dua memo iaitu yang bertarikh 20.1.1998 dan 1.10.1998, syarikat
telah memaklumkan kepada kakitangan mengenai langkah pemotongan gaji yang
terpaksa dilakukan. Pada akhir 1998 dan awal 1999, dengan ketiadaan projek baru untuk
dijalankan, syarikat memutuskan untuk menutup Bahagian Kontrak. Jurutera Projek bagi
projek Vision City iaitu En Kooi Toh Peng, PYM serta beberapa kakitangan lain telah
diberhentikan (12 kakitangan lain telah berhenti secara sukarela).
PYM telah menyatakan bahawa beliau pada mulanya telah diambil bekerja
sebagai setiausaha sulit kepada Pengarah Urusan. Kemudiannya beliau telah diarahkan
untuk menolong menjalankan kerja-kerja kesetiausahaan untuk projek seperti
mendapatkan sebut harga dan menaip surat-surat yang berkaitan. Namun demikian
apabila diarahkan membantu kerja-kerja projek, PYM tidak melepaskan jawatannya
sebagai setiausaha sulit. PYM tidak mengetuai Bahagian Kontrak sebagaimana yang
didakwa oleh syarikat kerana beliau tidak mempunyai latarbelakang serta pengetahuan
berkaitan dengan kejuruteraan dan teknikal.

3
Projek Menara Marina telah berterusan, hanya projek Vision City yang terhenti.
Syarikat telah mendapat bayaran sebanyak RM1.0 juta dari projek Menara Marina dan
terdapat beberapa projek kecil lain yang masih dijalankan oleh syarikat yang
dikendalikan oleh Bahagian Pentadbiran dan Tender. Walaupun syarikat mendakwa
berlakunya kegawatan ekonomi dan menutup Bahagian Kontrak, ia masih lagi memberi
subsidi untuk lawatan kakitangan ke Thailand pada tahun 1998 dan membayar ¼ bulan
bonus kepada kakitangan sebelum Tahun Baru Cina selepas PYM diberhentikan. Oleh itu
PYM mengusulkan bahawa syarikat telah gagal untuk membuktikan bahawa keadaan
kelebihpadaan benar-benar wujud dan pemecatan beliau telah dibuat tanpa sebab atau
alasan yang adil. Manakala pihak syarikat pula menyatakan PYM gagal membuktikan
bahawa beliau telah diberhentikan secara tidak adil, tanpa sebab dan alasan yang
munasabah. Syarikat mempertahankan bahawa PYM telah gagal mengemukakan bukti
yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa syarikat telah bertindak secara mala fide
(dengan niat jahat).
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ianya merupakan tanggung jawab syarikat
untuk membuktikan bahawa wujudnya keadaan kelebihpadaan yang menyebabkan
perlunya PYM dipecat. PYM tidak dibebankan dengan tanggung jawab untuk
membuktikan syarikat telah berniat jahat apabila memecat beliau. Sekarang syarikat
berpegang bahawa dalam tahun 1998 akibat kegawatan ekonomi dan ketidakupayaan
mendapatkan kontrak baru, syarikat terpaksa membuang hampir keseluruhan kakitangan
di Bahagian Kontrak. Walau bagaimanapun fakta menunjukkan bahawa hanya PYM dan
Jurutera Projek yang dipecat. Lagipun PYM telah membuktikan tanpa dipertikaikan oleh
syarikat bahawa beliau tidak pernah melepaskan jawatannya sebagai setiausaha sulit.
Adalah mustahak untuk pihak syarikat membuktikan bahawa mereka tidak lagi
mendapat apa-apa kontrak dan terpaksa menutup Bahagian Kontrak disebabkan oleh
kegawatan ekonomi. Syarikat sepatutnya mengemukakan penyata akaun tahunan dan
lain-lain dokumen yang berkaitan bagi menunjukkan penurunan pendapatan atau
keuntungan. Syarikat juga sepatutnya menunjukkan bahawa PYM yang telah diambil
bekerja sebagai setiausaha sulit telah menjadi lebih pada, syarikat telah melakukan
pengecilan saiz dan penstrukturan semula perniagaan tetapi ini semua telah gagal
ditunjukkan oleh syarikat.
Adalah bertepatan untuk mengambil kira bukti yang tidak dipertikaikan yang
diberi oleh PYM bahawa adanya lawatan kakitangan keluar negara yang ditaja
sepenuhnya oleh syarikat pada tahun 1997, pemberian subsidi oleh syarikat untuk
lawatan kakitangan ke Thailand pada 1998 serta pembayaran bonus kepada kakitangan
pada tahun 1997 dan 1998. Tambahan pula terdapat bukti bahawa selepas PYM
diberhentikan, jawatan beliau sebagai setiausaha sulit kepada Pengarah Urusan telah
diambil alih oleh seorang yang bernama Cik Christina Yap. Ini menunjukkan dengan
jelas bahawa tugas beliau masih lagi wujud.
Berdasarkan kepada keadaan yang dinyatakan diatas, Mahkamah memutuskan
bahawa syarikat telah gagal mengemukakan bukti yang mencukupi untuk menunjukkan
keadaan kelebihpadaan benar-benar wujud yang membolehkan mereka memecat PYM
atas alasan tersebut.

4
Isu (ii). Sekiranya keadaan kelebihpadaan benar-benar wujud, adakah pemecatan telah
dijalankan dengan mengikut prinsip dan tatacara yang bersesuaian dan boleh diterima.

Selepas pelantikan PYM, syarikat juga telah melantik Puan Ho Choon Lam (Puan
Ho) sebagai Eksekutif Pentadbiran pada 23.5.1994 dan seterusnya Cik Christina Yap
(Cik Yap) sebagai pembantu peribadi kepada Pengarah Urusan pada 29.11.1997. Seperti
PYM, Puan Ho juga bertugas sebagai setiausaha projek. Syarikat mempunyai dua
setiausaha untuk mengendalikan tugas yang lebih kurang sama. Syarikat telah memilih
untuk memecat PYM dan bukannya Puan Ho yang merupakan pekerja baru berbanding
dengan PYM yang telah berkhidmat dengan syarikat lebih lama. Manakala Cik Yap pula
ditugaskan untuk menjawab panggilan telefon, mengendalikan urusan surat menyurat dan
menemui pelanggan yang mana merupakan skop kerja PYM. Ini menunjukkan bahawa
Cik Yap membantu menjalankan tugas-tugas PYM sebagai setiausaha sulit kepada
Pengarah Urusan. Selepas pemecatan PYM, Cik Yap tidak dipecat sama walaupun beliau
juga seperti Puan Ho merupakan pekerja yang baru berbanding dengan PYM. Apabila
diajukan soalan kenapa PYM dipecat walaupun beliau lebih senior berbanding Cik Yap?
Pengarah Urusan menyatakan PYM merupakan seorang yang telah berkahwin dan tidak
dapat keluar malam untuk berjumpa pelanggan berbanding Cik Yap yang masih bujang.
Pengarah Urusan juga menyatakan PYM tidak pandai membaca pelan dan lukisan
kejuruteraan. Perkara ini tidak pernah dimaklumkan kepada PYM sebelum pemecatan
beliau. Namun demikian ianya bukanlah alasan-alasan yang boleh diterima.
Adalah menjadi prinsip atau rukun yang termaktub bahawa dalam memilih
kakitangan untuk dipecat, majikan sepatutnya menggunakan kaedah LIFO (Last In First
Out) atau MLKD (Masuk Lewat Keluar Dulu) kecuali terdapat alasan yang munasabah
untuk rukun tersebut diketepikan. Dalam keadaan kelebihpadaan dimana pemecatan
kakitangan perlu dilakukan, Mahkamah menghendaki majikan menunjukkan bagaimana,
oleh siapa dan atas dasar apa pemilihan kakitangan untuk dipecat telah dibuat. Beban
pembuktian adalah dipikul oleh majikan dan beliau mesti melakukannya sehingga pihak
Mahkamah berpuashati.
Dalam kes Malayan Tiles Manufacturers Ltd. v Non-Metallic Mineral
Products Manufacturing Employees Union, Award No. 11 Tahun 1986, Pengerusi
Mahkamah Perusahaan menjelaskan “apabila majikan menyatakan bahawa beliau telah
memecat seorang pekerja mengikut senioriti ‘masuk kemudian keluar dulu’ (LIFO).
Beliau mesti menunjukkan bahawa pilihan telah dibuat dikalangan pekerja yang
melakukan jenis kerja yang serupa”. Pemecatan PYM yang merupakan pekerja yang
lebih senior dari Puan Ho dan Cik Yap yang juga melakukan kerja yang serupa dengan
beliau membuktikan syarikat telah gagal menurut rukun pemecatan secara LIFO serta
telah juga gagal memberikan sebab-sebab munasabah kenapa mereka tidak menurut
rukun tersebut. Lebih-lebih lagi kegagalan syarikat memberikan notis sebelum pemecatan
PYM bagi membolehkan beliau membuat persediaan untuk mencari pekerjaan lain
menunjukkan syarikat tidak mengamalkan amalan buruh yang adil kepada
kakitangannya.
Merujuk kepada perkara-perkara yang disebutkan diatas, Mahkamah memutuskan
bahawa syarikat telah gagal mematuhi rukun-rukun dan tatacara yang standard dan boleh
diterima apabila melakukan pemecatan keatas PYM.

5
KEPUTUSAN

Setelah mempertimbangkan bukti-bukti yang dipersembahkan secara menyeluruh,


Mahkamah berpendapat keadaan kelebihpadaan (redundancy) tidak wujud dalam
syarikat. Oleh itu syarikat telah gagal membuktikan bahawa tindakan pemecatan tersebut
sebagai bona fide (dengan niat baik).
Dalam kes Goon Kwee Phoy v J.P. Coats Bhd. (1980) 2 MLJ 129, Mahkamah
Persekutuan menganjurkan “ianya merupakan satu prinsip undang-undang yang sedia
wujud bahawa apabila majikan bergantung kepada kelebihpadaan sebagai alasan untuk
pemecatan dan Mahkamah mendapati ianya tidak dapat dibuktikan, maka Mahkamah
tidak lagi perlu menjalankan perbicaraan lanjut kerana tidak dapat tidak, kesimpulan
yang ada hanyalah pemecatan atau pemberhentian telah dibuat tanpa sebab atau alasan
yang adil”.
Mahkamah berpendapat bahawa alasan sebenar pemecatan PYM adalah dicurigai.
Jadi Mahkamah memutuskan PYM bukanlah lebih pada (redundant) dan keputusan
syarikat memecat beliau telah dibuat tanpa sebab dan alasan yang adil.

REMEDI

Sebagai remedi, Mahkamah berpandangan bahawa pengembalian jawatan


bukanlah sesuatu yang sesuai dilakukan dalam kes ini demi kepentingan hubungan
industri yang harmoni.

Mahkamah dengan ini membuat perintah berikut:

(i) PYM hendaklah dibayar gaji tertunggak daripada tarikh pemecatan


(16.1.1999) sehingga tarikh terakhir perbicaraan (28.2.2003) tertakluk kepada
jumlah maksimum 24 bulan gaji. i.e. RM2,000.00 x 24 = RM48,000.00.

Disebabkan PYM telah menerima RM7,000.00 jumlah ini ditolak daripada


gaji tertunggak.

(ii) PYM hendaklah dibayar, sebagai ganti pengembalian jawatan, satu bulan gaji
bagi setiap tahun perkhidmatan yang telah dijalankan. (15.3.1992 –
16.1.1999), i.e. RM2,000.00 x 7 5/6 tahun = RM15,666.66

Pembayaran jumlah keseluruhan sebanyak RM56,666.66 (ditolak cukai pendapatan dan


sumbangan KWSP) hendaklah dibuat kepada peguam PYM dalam masa 30 hari daripada
tarikh award ini.

Diperturunkan & bertarikh 18 Mei 2004

(DATIN SITI SALEHA ABU BAKAR)


Pengerusi
Mahkamah Perusahaan

You might also like