You are on page 1of 17

BAB 3

KEANJALAN PERMINTAAN DAN PENAWARAN

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Mentakrifkan tentang keanjalan permintaan harga dan
keanjalan penawaran harga.
2. Mentakrifkan tentang keanjalan silang dan keanjalan
permintaan pendapatan.
3. Mengira keanjalan permintaan harga dan keanjalan penawaran
harga.
4. Mengira keanjalan permintaan silang dan keanjalan permintaan
pendapatan.
5. Mengenal pasti penentu-penentu keanjalan keluk permintaan
dan keluk penawaran

3.1 PENGENALAN

Dalam bab yang lepas kita telah mempelajari tentang tindak balas antara
penawaran dan permintaan serta kesannya ke atas keseimbangan harga.
Akibat daripada kenaikan harga satu barangan telah menyebabkan
kuantiti barangan yang diminta akan berkurangan. Kesan daripada
kenaikan pendapatan, pengguna juga akan meningkatkan keseimbangan
harga dan kuantiti barangan yang diminta. Oleh itu, perlu diketahui
jumlah saiz perubahan yang berlaku. Ianya akan diukur melalui konsep
keanjalan. Keanjalan merupakan satu ukuran yang digunakan bagi
mengukur kuantiti yang diminta atau yang ditawar akibat daripada
perubahan salah satu daripada penentunya. Ianya digunakan bagi
menunjukkan saiz perubahan keseimbangan harga dan kuantiti di
pasaran.

Selain daripada keanjalan permintaan harga dan penawaran harga, bab ini
juga menyentuh tentang lain-lain keanjalan seperti keanjalan silang dan
keanjalan pendapatan. Keanjalan silang akan menunjukkan perhubungan
antara barangan penggenap dan barangan pengganti. Manakala, keanjalan
pendapatan pula mengkelaskan jenis barangan sama ada sesuatu
barangan tersebut barangan normal, barangan mewah, barangan mesti
atau barangan bawahan.

39
3.2 KEANJALAN PERMINTAAN HARGA

Keanjalan permintaan harga ialah satu konsep yang mengukur perubahan


kuantiti yang diminta kesan daripada perubahan harga. Setiap barangan
di pasaran mempunyai darjah keanjalan yang berbeza antara satu sama
lain dan ianya dikira dengan menggunakan formula seperti di berikut:

Keanjalan Permintaan Harga (Ed)= % ∆ kuantiti yang diminta / % ∆


harga atau
Ed = ∆ Qd / Qd X 100%
∆ P / P X 100%

Keanjalan juga boleh dinyatakan sebagai nisbah perubahan pada kuantiti


diminta dibahagikan kepada nisbah perubahan harga kerana peratus telah
diabaikan. Sebagai contoh, sekiranya berlaku kenaikan pada harga sesuatu
barangan sebanyak 10 peratus ini menyebabkan kuantiti yang diiminta
jatuh sebanyak 30 peratus. Maka, Ed = - 30/10 = -3. Nilai negatif (-3)
tersebut menerangkan tentang keluk permintaan yang bercerun negatif
kerana harga bagi sesuatu barangan mempunyai hubungan yang negatif
dengan kuantiti yang diminta.

Rajah 3.1
Keanjalan dan Keluk Permintaan

Harga
Ed=∞

Ed=1

Ed=0

0 Kuantiti

Dengan mengambil kira nilai mutlak, dapat ditunjukkan bahawa apabila


∆Qd/Qd > ∆P/P, maka Ed > 1 dan permintaan disifatkan sebagai anjal.
Jika ∆Qd/Qd < ∆P/P, maka Ed < 1, permintaan disifatkan sebagai tidak
anjal. Akhir sekali, apabila ∆Qd/Qd = ∆P/P, maka Ed = 1, permintaan
disifatkan sebagai anjal uniti. Merujuk kepada contoh di atas, apabila Ed
= 3 maka ia menerangkan bahawa permintaan tersebut anjal.
40
Contoh pengiraan keanjalan permintaan harga adalah seperti berikut:

Jadual 3.1
Jadual Permintaan Epal

Harga Sekilogram (RM) Kuantiti Epal (kg)

2 20
3 15
4 10
5 5

Berdasarkan kepada Jadual 3.1 pada tingkat harga asal iaitu RM2.00,
kuantiti epal yang diminta ialah 20kg. Apabila harga meningkat kepada
RM5.00, pengguna mengurangkan permintaan epal kepada 5kg. Kirakan
keanjalan permintaan harga apabila harga epal meningkat daripada
RM2.00 kepada RM5.00.

Penyelesaian:

Keanjalan Permintaan Harga (Ed) = % ∆ kuantiti yang diminta / % ∆


harga

Ed = (5 – 20) / 20 x 2 / (5 – 2)
= - 15 / 20 x 2 / 3
= - 0.5

Dengan menggugurkan tanda negatif, keanjalan permintaan harga epal


ialah 0.5. Didapati keanjalan permintaan harga epal tersebut kurang
daripada nilai satu maka ianya menunjukkan bahawa keanjalan
permintaan harga epal adalah tidak anjal.

3.3 KECERUNAN KELUK PERMINTAAN

Keanjalan permintaan harga mempunyai kaitan yang rapat dengan tahap


kecerunan keluk permintaan. Dua keluk permintaan dengan kecerunan
yang berbeza akan menunjukkan nilai keanjalan permintaan harga yang
berbeza. Rajah 3.2(1) menunjukkan keluk yang lebih curam mempunyai
nilai keanjalan yang kurang daripada nilai keanjalan permintaan harga
bagi keluk yang berbentuk landai. Oleh itu, keluk yang lebih curam (D1)
mempunyai keanjalan yang tidak anjal dan keluk yang landai (D2)
mempunyai keanjalan yang anjal.

41
Rajah 3.2
Kecerunan Keluk Permintaan Harga

1. Kecerunan Keluk DD 2. Keluk DD Tak Anjal Sempurna 3. Keluk DD Anjal Sempurna

P P P
D1 Ed=0
Ed=∞

D2

0 Q 0 Q 0 Q

Rajah 3.2(2), keluk yang paling curam ialah keluk yang vertikal dan
mempunyai keanjalan sifar, iaitu permintaan dikatakan tidak anjal
sempurna. Manakala, Rajah 3.2(3) menunjukkan satu bentuk keluk
permintaan yang horizontal dan mempunyai keanjalan yang infiniti (∞)
atau anjal sempurna.

3.4 KEANJALAN PENAWARAN HARGA

Keanjalan penawaran harga merupakan satu ukuran tindak balas kuantiti


yang ditawarkan bagi sesuatu barangan terhadap sesuatu perubahanharga
barangan tersebut. Keanjalan penawaran harga (Es) dapat dikira dengan
mengambil peratus perubahan kuantiti barangan yang ditawarkan dengan
peratus perubahan pada harga.

Keanjalan Penawaran Harga (Es)= % ∆ kuantiti yang ditawar / % ∆


harga atau
Es = ∆ Qs / Qs X 100%
∆ P / P X 100%

Dengan mengambil kira nilai mutlak, dapat ditunjukkan bahawa apabila


∆Qs/Qs > ∆P/P, maka Es > 1 dan penawaran disifatkan sebagai anjal.
Jika ∆Qs/Qs < ∆P/P, maka Es < 1, penawaran disifatkan sebagai tidak
anjal. Akhir sekali, apabila ∆Qs/Qs = ∆P/P, maka Es = 1, permintaan
disifatkan sebagai anjal uniti. Merujuk contoh, apabila Es = 2 maka ia
menerangkan bahawa penawaran tersebut anjal.

Contoh pengiraan keanjalan penawaran harga adalah seperti berikut:

42
Jadual 3.2
Jadual Penawaran Epal

Harga Sekilogram (RM) Kuantiti Epal (kg)

2 10
3 20
4 30
5 40

Berdasarkan kepada Jadual 3.2 pada tingkat harga RM2.00, kuantiti epal
yang ditawarkan ialah 10kg. Apabila harga meningkat kepada RM5.00,
pengeluar menambahkan penawaran epal kepada 40kg kerana
peningkatan penawaran kuantiti epal tersebut dapat memaksimumkan
keuntungan pengeluar. Kirakan keanjalan penawaran harga apabila harga
epal meningkat daripada RM2.00 kepada RM5.00.

Penyelesaian:

Keanjalan Penawaran Harga (Es)= % ∆ kuantiti yang ditawar / % ∆


harga

Es = (40 - 10) / 10 x 2 / (5 – 2 )
= 30 / 10 x 2 / 3
= 2

Keanjalan penawaran harga epal ialah 2.0. Didapati keanjalan penawaran


harga epal tersebut melebihi nilai satu, maka ianya menunjukkan bahawa
keanjalan penawaran harga epal ialah anjal.

3.4.1 Kecerunan Keluk Penawaran

Keluk penawaran harga juga mempunyai kecerunan yang berbeza. Untuk


keluk yang curam, ia mempunyai keanjalan yang tidak anjal, manakala
keluk yang mempunyai cerun yang landai akan mempunyai kecerunan
yang anjal.

Rajah 3.3(1) menunjukkan keluk yang lebih curam mempunyai nilai


keanjalan yang kurang daripada nilai keanjalan penawaran harga bagi
keluk yang berbentuk landai. Oleh itu, keluk yang lebih curam (S1)
mempunyai keanjalan yang tidak anjal dan keluk yang landai (S2)
mempunyai keanjalan yang anjal. Berdasarkan Rajah 3.3(2), keluk yang
paling curam ialah keluk yang vertikal dan mempunyai keanjalan sifar,
iaitu penawaran dikatakan tidak anjal sempurna. Manakala, Rajah 3.3(3)
menunjukkan satu bentuk keluk penawaran yang horizontal dan
mempunyai keanjalan yang infiniti (∞) atau anjal sempurna.

43
Rajah 3.3
Kecerunan Keluk Penawaran Harga

1. Kecerunan Keluk SS 2. Keluk SS Tak Anjal Sempurna 3. Keluk SS Anjal Sempurna

P S1 P P
Es=0
S2 Ed=∞

Q Q Q

SOALAN DALAM TEKS

1. Apakah maksud keanjalan penawaran harga dan


jelaskan bagaimana faktor input mempengaruhi
keanjalan penawaran harga.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.5 PENENTU KEANJALAN KELUK PERMINTAAN DAN


KELUK PENAWARAN

Keluk permintaan harga dan keluk penawaran harga mempunyai


keanjalan yang berbeza memandangkan masing-masing mempunyai
kecerunan yang tidak sama. Perbezaan kecerunan keluk sebenarnya
dipengaruhi oleh banyak faktor. Bagi keluk permintaan harga,
kecerunannya dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti jenis barang, barang
pengganti hampir, nisbah pendapatan yang dibelanja dan jangka masa.
Manakala kecerunan keluk penawaran harga pula dipengaruhi oleh faktor
lebihan kapasiti, terdapat stok dan inventori, dan jangka masa.

(a) Jenis barang

Jenis barang mempengaruhi keanjalan permintaan harga. Barangan perlu


seperti beras, gula, garam dan minyak masak merupakan barangan
keperluan asas dalam kehidupan seharian. Semua masyarakat tetap terus
menggunakannya walaupun harga menjadi semakin mahal. Oleh itu,
permintaan terhadap barangan tersebut menjadi kurang anjal. Sebaliknya,
jika barangan tersebut merupakan barangan mewah seperti kereta
mewah, barangan antik, dan batu permata, maka pengguna lebih
cenderung untuk mengurangkan penggunaannya jika harganya
44
meningkat. Oleh itu, permintaan terhadap barangan tersebut menjadi
lebih anjal.

(b) Jumlah pendapatan pengguna yang dibelanjakan

Bagi pengguna, pendapatan yang mereka perolehi terpaksa dibelanjakan


bagi mendapatkan sesuatu barangan di pasaran cuma dalam kadar yang
berbeza, iaitu sama ada dalam jumlah yang banyak atau sedikit. Jika
jumlah pendapatan yang banyak digunakan, maka apabila harga barangan
meningkat akan menyebabkan permintaan terhadap barangan tersebut
menjadi anjal. Sebaliknya, jika sebahagian kecil pendapatan pengguna
digunakan untuk membeli sesuatu barang pengguna kurang terjejas jika
harganya meningkat. Oleh itu, mereka kurang cenderung untuk
mengurangkan penggunaan barang tersebut jika harga meningkat. Ini
akan menyebabkan permintaan terhadap barangan tersebut menjadi
kurang anjal.

(c) Barang pengganti hampir

Jika sesuatu barang mempunyai barang pengganti hampir, maka


pengguna lebih cenderung untuk mengurangkan penggunaannya jika
harga meningkat. Oleh itu, permintaan terhadap barang tersebut menjadi
lebih anjal. Sebaliknya, jika tiada pengganti hampir kepada barang
tersebut, pengguna sukar untuk mengurangkan penggunaannya jika harga
meningkat. Kesannya, permintaan terhadap barangan tersebut menjadi
kurang anjal.

(d) Jangka masa

Penentu jangka masa dilihat dari dua tempoh penggunaan sesuatu


barangan, iaitu jangka masa penggunaan yang panjang dan dalam jangka
masa penggunaan yang pendek. Dalam jangka masa penggunaan pendek,
pengguna kurang cenderung untuk mengurangkan penggunaan barangan
tersebut jika harganya meningkat. Oleh itu, permintaan terhadap
barangan tersebut menjadi kurang anjal dalam jangka masa pendek.
Sebaliknya, dalam jangka masa panjang, pengguna cenderung untuk
mencari barangan pilihan lain bagi mengurangkan penggunaan barangan
tersebut jika harganya meningkat. Oleh itu, permintaan terhadap
barangan tersebut menjadi anjal dalam jangka masa panjang.

Bagi penawaran pula, dalam jangka masa pendek, pengeluar kurang


bersedia untuk meningkatkan pengeluaran barangan tersebut jika
harganya meningkat. Oleh itu, penawaran terhadap barangan tersebut
menjadi kurang anjal dalam jangka masa pendek. Sebaliknya, dalam
jangka masa panjang, pengeluar cenderung untuk meningkatkan

45
pengeluaran barangan tersebut jika harganya meningkat. Oleh itu,
penawaran terhadap barangan tersebut menjadi lebih anjal dalam jangka
masa panjang.

(e) Input

Sekiranya sumber input untuk mengeluarkan barangan tersebut mudah


diperolehi, maka pengeluar mampu untuk meningkatkan output
pengeluarannya apabila harga meningkat. Oleh itu, penawaran bagi
barangan tersebut menjadi lebih anjal. Sebaliknya, jika sumber input
untuk mengeluarkan barangan tersebut sukar diperolehi, maka pengeluar
tidak mampu untuk meningkatkan output pengeluarannya apabila harga
meningkat. Oleh itu, penawaran bagi barangan tersebut menjadi kurang
anjal.

(f) Stok dan inventori

Sekiranya terdapat banyak simpanan stok bagi barangan tersebut, maka


pengeluar mampu mengeluarkan barangan walaupun harganya
meningkat. Maka, penawaran bagi barangan tersebut akan menjadi lebih
anjal. Sebaliknya, jika tiada simpanan stok bagi barangan tersebut, maka
pengeluar tidak mampu untuk mengeluarkan barangan apabila harganya
meningkat. Maka, penawaran bagi barangan tersebut akan menjadi tidak
anjal.

SOALAN DALAM TEKS

2. Berikan penentu-penentu keanjalan permintaan


harga.
3. Jelaskan bagaimana faktor pendapatan
mempengaruhi keanjalan permintaan harga.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.6 KEANJALAN-KEANJALAN LAIN

Selain daripada keanjalan permintaan harga dan keanjalan penawaran


harga, terdapat juga keanjalan lain seperti keanjalan permintaan silang
dan keanjalan permintaan pendapatan. Ia disebabkan oleh permintaan
yang bukan sahaja dipengaruhi oleh harga barangan itu sendiri tetapi juga
dipengaruhi oleh harga barangan lain serta pendapatan pengguna.
46
3.6.1 Keanjalan Permintaan Silang

Seperti bab lepas, didapati bahawa jika kuantiti teh yang diminta naik,
kesan daripada kenaikan harga kopi, maka boleh dikatakan bahawa teh
dan kopi ialah barangan pengganti. Sebaliknya, jika kuantiti teh yang
diminta turun kesan daripada kenaikan harga gula, maka teh dan gula
ialah dua barangan penggenap.

Amnya, boleh dikatakan bahawa keanjalan permintaan silang bagi teh


dan harga kopi dikira dengan menggunakan formula berikut:

Keanjalan silang bagi teh dan kopi = % ∆ kuantiti teh yang diminta / %
∆ harga kopi
Ec = ∆ Qteh / Qteh X 100%
∆ Pkopi / Pkopi X 100%

Iaitu

∆ Qteh ialah perubahan kuantiti teh,


Qteh ialah kuantiti asal teh,
∆ Pkopi ialah perubahan harga kopi, dan
Pkopi ialah harga kopi asal.

Persamaan tersebut menerangkan bahawa keanjalan permintaan silang


mengukur kesan perubahan dalam harga satu barang ke atas kuantiti yang
diminta bagi barangan lain. Keanjalan permintaan silang akan
menjelaskan tentang hubungan antara dua barang. Bagi barangan
pengganti, keanjalan permintaan silangnya ialah positif, manakala bagi
barangan penggenap mempunyai keanjalan permintaan silang yang
negatif. Semakin besar nilai positif keanjalan permintaan silang tersebut
semakin senang bagi pengguna untuk mendapatkan barangan pengganti.
Contohnya, keanjalan silang teh dan kopi adalah lebih besar berbanding
keanjalan permintaan silang nasi dan roti.
Jadual 3.3
Perhubungan antara Dua Barangan Penggenap dan Pengganti

Harga Kuantiti Kopi yang Kuantiti Susu yang


Sekilogram Teh Diminta (kg) Diminta (kg)
(RM)
RM4.00 4kg 12kg
RM5.00 6kg 10kg
RM7.00 10kg 7kg
RM9.00 15kg 5kg

47
Berdasarkan kepada Jadual 3.3, andaikan harga sekilogram teh meningkat
daripada RM4.00 ke RM5.00. Maka, keanjalan silang antara teh dengan
kopi ialah

Ec = (6-4)/4 x 4/ (5-4)
= 2/4 x4/1
=2

Didapati bahawa keanjalan permintaan silang antara teh dengan kopi


ialah positif. Ini bermakna jika harga teh meningkat, permintaan bagi
kopi juga akan meningkat. Kesimpulannya, kopi merupakan barangan
pengganti kepada teh, iaitu apabila harga teh naik, permintaan teh
menurun dan seterusnya pengguna mengalihkan permintaan kepada
kopi. Maka, permintaan kopi juga turut meningkat.

Seterusnya, lihat keanjalan silang antara teh dengan susu.

Ec = (10-12)/12 x 4/ (5-4)
= -2/12 x 4/1
= -0.67

Didapati bahawa keanjalan permintaan silang bagi teh dengan susu ialah
negatif. Ini menunjukkan bahawa jika harga teh meningkat, permintaan
terhadap susu menurun. Maka, dapat dilihat bahawa susu ialah barangan
penggenap kepada teh. Apabila harga teh meningkat, permintaan teh
menurun, seterusnya menyebabkan permintaan susu juga berkurangan.

SOALAN DALAM TEKS

4. Bagi dua barangan pengganti, keanjalan permintaan


silangnya ialah positif atau negatif?
5. Bagi dua barangan penggenap, keanjalan permintaan
silangnya ialah positif atau negatif?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.6.2 Keanjalan Permintaan Pendapatan

Perubahan dalam tingkat pendapatan pengguna akan mengubah kuantiti


barang yang diminta pada semua tingkat harga. Maka keanjalan
pendapatan diguna untuk mengukur sejauh mana perubahan kuantiti
48
yang diminta kesan daripada perubahan pendapatan. Amnya, keanjalan
permintaan pendapatan mengukur peratus perubahan kuantiti yang
diminta kesan daripada perubahan sebanyak satu peratus perubahan
pendapatan. Ia dapat dikira dengan menggunakan formula berikut:

Keanjalan Permintaan Pendapatan (Ey) = % ∆ kuantiti yang diminta / %


∆ pendapatan
Ey = ∆ Q / Q X 100%
∆ Y / Y X 100%

(a) Kaedah pengiraan keanjalan permintaan pendapatan

Berdasarkan Jadual 3.4, andaikan pendapatan meningkat daripada


RM200 sebulan kepada RM300 sebulan. Dengan menggunakan formula
yang diberikan, keanjalan pendapatan bagi pakaian, barang kemas, beras
dan mee segera dapat dikira.

Jadual 3.4
Tingkat Pendapatan dan Permintaan Barangan

Pendapatan Pakaian Barang Kemas Beras Mee Segera


Bulanan
RM150 1 helai 15 unit 1.8 kg 4 bungkus
RM200 1.5 helai 20 unit 2.0 kg 3 bungkus
RM260 2 helai 35 unit 2.2 kg 2 bungkus
RM300 2.5 helai 60 unit 2.3 kg 1 bungkus

1. Keanjalan permintaan pendapatan bagi pakaian.

Ey = (2.5-1.5) / 1.5 x 200 / (300-200)


= 1 /1.5 x 200 / 100
= 1.33

Didapati bahawa keanjalan pendapatan bagi pakaian ialah 1.33. Nilai


tersebut merupakan satu nilai keanjalan pendapatan yang positif dan
ianya berada pada sekitar nilai 1. Maka, ianya menunjukkan bahawa
pakaian merupakan barangan normal.

2. Keanjalan permintaan pendapatan bagi barang kemas.


Ey = (60-20) / 20 x 200 / (300-200)
= 40 /20 x 200 / 100
= 4.0

49
Didapati bahawa keanjalan pendapatan bagi baju ialah 4.0. Nilai tersebut
merupakan satu nilai keanjalan pendapatan yang positif dan tinggi. Maka,
ini menunjukkan bahawa barang kemas merupakan barangan mewah.

3. Keanjalan permintaan pendapatan bagi beras.


Ey = (2.3-2.0) / 2.0 x 200 / (300-200)
= 0.3 / 2.0 x 200 / 100
= 0.3

Didapati bahawa keanjalan pendapatan bagi beras ialah 0.3. Nilai tersebut
merupakan satu nilai keanjalan pendapatan yang positif dan rendah.
Maka, ini menunjukkan bahawa beras merupakan barangan mesti.

4. Keanjalan permintaan pendapatan bagi mee segera.


Ey = (1-3) / 3 x 200 / (300-200)
= -2 / 3 x 200 / 100
= -1.33

Didapati bahawa keanjalan pendapatan bagi beras ialah -1.33. Nilai


tersebut merupakan satu nilai keanjalan pendapatan yang negatif. Maka,
ini menunjukkan bahawa mee segera merupakan barangan bawahan.

Keanjalan permintaan pendapatan juga boleh digunakan untuk mengenal


pasti sama ada sesuatu barangan itu ialah barangan normal atau barangan
bawahan. Kuantiti barangan normal yang diminta akan meningkat
apabila pendapatan meningkat. Oleh itu, keanjalan permintaan
pendapatan bagi barangan normal ialah positif. Manakala barangan
bawahan pula, kuantiti barangan yang diminta akan menurun apabila
pendapatan pengguna meningkat. Oleh itu, keanjalan permintaan
pendapatan bagi barangan bawahan ialah negatif.

Keanjalan permintaan pendapatan juga boleh mengkelaskan barangan


kepada barangan mewah dan barangan mesti. Bagi barangan mewah,
keanjalan pendapatannya mempunyai nilai lebih dari satu. Manakala bagi
barangan mesti pula, nilai keanjalan pendapatannya ialah kurang daripada
satu. Jika nilai keanjalan pendapatan mempunyai nilai lebih daripada satu
ini menunjukkan bahawa kenaikan pendapatan sebanyak satu peratus
akan menaikkan kuantiti barang yang diminta lebih daripada satu peratus.
Andaikan harga barangan tersebut tetap, ini menunjukkan jumlah
perbelanjaan terhadap barangan tersebut akan meningkat lebih daripada
satu peratus juga. Maka, perbelanjaan pengguna terhadap barangan
tersebut akan meningkat. Contohnya, apabila pendapatan meningkat,
pengguna menambah pembelian dengan kadar yang lebih tinggi terhadap
pakaian yang berjenama. Maka, perbelanjaan pengguna akan meningkat
apabila pendapatan meningkat.

50
Bagi barangan mesti pula, keanjalan permintaan pendapatannya ialah
lebih rendah daripada satu. Kenaikan pendapatan sebanyak satu peratus
akan hanya menaikkan permintaan barangan tersebut kurang daripada
satu peratus. Perbelanjaan daripada keseluruhan pendapatan akan
berkurangan. Ini menunjukkan bahawa orang miskin membelanjakan
sebahagian besar dari pendapatannya terhadap barangan mesti.

Jadual 3.5 menunjukkan ringkasan tentang perubahan permintaan kesan


daripada peningkatan tingkat pendapatan. Secara langsung ianya
menunjukkan hubungan jenis barangan mengikut nilai keanjalan
pendapatan, iaitu barangan normal, barangan mewah, barangan mesti
dan barangan bawahan.

Jadual 3.5
Perubahan Permintaan Kesan daripada Peningkatan Tingkat Pendapatan

Keanjalan
Pendapatan Bahagian
Jenis Sifat Barangan Kesan Jumlah Contoh
Barang daripada Perbelanjaan
Kenaikan
Pendapatan

Normal Kuantiti yang Positif Boleh Jam


diminta meningkat meningkat tangan
dengan peningkatan atau menurun
pendapatan

Mewah Kuantiti yang Lebih daripada Naik Kereta


diminta meningkat satu
dengan kadar yang
lebih tinggi daripada
kenaikan pendapatan

Mesti Kuantiti yang Kurang Turun Pakaian


diminta meningkat daripada satu Asas
dengan kadar yang
lebih kecil daripada
kenaikan pendapatan

Bawahan Kuantiti yang Negatif Turun Ikan


diminta turun kering
dengan peningkatan
pendapatan

51
SOALAN DALAM TEKS

6. Keanjalan permintaan pendapatan mengkelaskan


jenis barangan. Berikan dua jenis barangan
tersebut dan jelaskan tentang keanjalan kedua-
dua jenis barangan tersebut.
7. Pendapatan pengguna diandaikan meningkat
daripada RM1500.00 sebulan kepada RM2000.00
sebulan. Akibat daripada kenaikan tingkat
pendapatan tersebut, apakah kesan terhadap
permintaan barangan mewah dan barangan
mesti?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.7 KESIMPULAN

Keanjalan permintaan sesuatu barangan bergantung kepada apa yang


berlaku terhadap jumlah pendapatan apabila harga sesuatu barangan
berkurangan. Darjah keanjalan permintaan yang anjal atau tidak anjal
sebenarnya bergantung kepada penetapan tingkat harga yang semakin
kurang atau semakin meningkat yang memberi kesan kepada jumlah hasil
yang diperolehi. Manakala keanjalan penawaran pula merupakan
perubahan kuantiti yang ditawarkan kesan daripada perubahan harga. Ia
adalah sama penting dengan keanjalan permintaan dalam memastikan
bagaimana tindak balas pasaran kepada perubahan ekonomi. Di samping
itu, permintaan bukan sahaja dipengaruhi oleh harga barangan itu sendiri
tetapi juga dipengaruhi oleh harga barangan lain serta pendapatan
pengguna. Keanjalan permintaan tersebut ialah keanjalan permintaan
silang dan keanjalan permintaan pendapatan.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Keluk permintaan yang menegak mempunyai keanjalan


________________, keluk permintaan yang mendatar
mempunyai keanjalan ________________.

52
2. Apakah keanjalan permintaan? Bagaimana anda membezakan
antara pelbagai jenis keanjalan permintaan.

Jadual Perhubungan antara Dua Barangan Penggenap dan Pengganti

Harga Sekilogram Kuantiti Ayam yang Kuantiti Kentang


Daging Lembu (RM) Diminta (kg) yang Diminta (kg)
RM14.00 6kg 12kg
RM15.00 8kg 10kg
RM17.00 14kg 7kg
RM19.00 16kg 5kg

3. Berdasarkan Jadual Perhubungan antara Dua Barangan


Penggenap dan Pengganti, andaikan harga sekilogram daging
lembu meningkat daripada RM14.00 ke RM17.00. Kirakan

(i) keanjalan silang antara daging lembu dengan ayam, dan


(ii) keanjalan silang antara daging lembu dengan kentang.

4. Pendapatan pengguna diandaikan meningkat daripada


RM1500.00 sebulan kepada RM2000.00 sebulan dan kuantiti
pakaian yang dibeli juga turut meningkat daripada 10 helai kepada
15 helai. Kira keanjalan permintaan pendapatan bagi pakaian
tersebut.

5. Jelaskan mengapa keanjalan keluk permintaan terhadap barangan


seperti beras, gula, minyak masak, gula dan tepung kurang anjal.

6. Berikan jenis barangan yang mempunyai keluk permintaan:

(i) Anjal sempurna.


(ii) Anjal Tidak Sempurna.

7. Kenapa keluk permintaan harga mencerun ke bawah dan kiri ke


kanan?

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

53
JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

1. Keanjalan penawaran harga merupakan satu ukuran tindak balas


kuantiti yang ditawarkan bagi sesuatu barangan terhadap sesuatu
perubahan harga barangan tersebut. Keanjalan penawaran harga
(Es) dapat dikira dengan mengambil peratus perubahan kuantiti
barangan yang ditawarkan dengan peratus perubahan pada harga.

Sekiranya sumber input untuk mengeluarkan barangan tersebut


mudah diperolehi maka pengeluar mampu untuk meningkatkan
output pengeluarannya apabila harga meningkat. Oleh itu,
penawaran bagi barangan tersebut menjadi lebih anjal.
Sebaliknya, jika sumber input untuk mengeluarkan barangan
tersebut sukar diperolehi, maka pengeluar tidak mampu untuk
meningkatkan output pengeluarannya apabila harga meningkat.
Oleh itu, penawaran bagi barangan tersebut menjadi kurang anjal.

2. Bagi keluk permintaan harga, kecerunannya dipengaruhi oleh


faktor-faktor seperti jenis barang, barang pengganti hampir,
nisbah pendapatan yang dibelanja dan jangka masa.

3. Jika jumlah pendapatan yang banyak digunakan, maka apabila


harga barangan meningkat ini akan menyebabkan permintaan
terhadap barangan tersebut menjadi anjal. Sebaliknya, jika
sebahagian kecil pendapatan pengguna digunakan untuk membeli
sesuatu barang pengguna kurang terjejas jika harganya meningkat.
Oleh itu, mereka kurang cenderung untuk mengurangkan
penggunaan barang tersebut jika harga meningkat. Ini akan
menyebabkan permintaan terhadap barangan tersebut menjadi
kurang anjal.

4. Positif.

5. Negatif.

6. Keanjalan permintaan pendapatan juga boleh mengkelaskan


barangan kepada barangan mewah dan barangan mesti. Bagi
barangan mewah, keanjalan pendapatannya mempunyai nilai
lebih daripada satu. Manakala, bagi barangan mesti pula, nilai
keanjalan pendapatannya ialah kurang daripada satu. Jika nilai
keanjalan pendapatan mempunyai nilai lebih daripada satu
menunjukkan bahawa kenaikan pendapatan sebanyak satu
peratus akan menaikkan kuantiti barang yang diminta lebih
daripada satu peratus. Andaikan harga barangan tersebut tetap,
ini menunjukkan jumlah perbelanjaan terhadap barangan tersebut

54
akan meningkat lebih daripada satu peratus juga. Oleh itu,
perbelanjaan pengguna terhadap barangan tersebut akan
meningkat. Contohnya, apabila pendapatan meningkat, pengguna
menambah pembelian dengan kadar yang lebih tinggi terhadap
pakaian yang berjenama. Maka, perbelanjaan pengguna akan
meningkat apabila pendapatan meningkat.

Bagi barangan mesti pula, keanjalan permintaan pendapatannya


ialah lebih rendah daripada satu. Kenaikan pendapatan sebanyak
satu peratus akan hanya menaikkan permintaan barangan
tersebut kurang daripada satu peratus. Perbelanjaan daripada
keseluruhan pendapatan akan berkurangan. Ini menunjukkan
bahawa orang miskin membelanjakan sebahagian besar daripada
pendapatannya terhadap barangan mesti.

7. Apabila tingkat pendapatan meningkat, ini menyebabkan


permintaan terhadap barangan mewah meningkat. Keanjalan
permintaanpendapatannya mempunyai nilai lebih daripada satu.
Jika nilai keanjalan pendapatan mempunyai nilai lebih daripada
satu ini menunjukkan bahawa kenaikan pendapatan sebanyak
satu peratus akan menaikkan kuantiti barang yang diminta lebih
daripada satu peratus. Andaikan harga barangan tersebut tetap.
Ini menunjukkan jumlah perbelanjaan terhadap barangan
tersebut akan meningkat lebih dari satu peratus juga. Maka,
perbelanjaan pengguna terhadap barangan tersebut akan
meningkat. Contohnya, apabila pendapatan meningkat, pengguna
menambah pembelian dengan kadar yang lebih tinggi terhadap
pakaian yang berjenama.

Bagi barangan bawahan pula, kuantiti barangan yang diminta


akan menurun apabila pendapatan pengguna meningkat. Maka
keanjalan permintaan pendapatan bagi barangan bawahan ialah
negatif.

55

You might also like