You are on page 1of 3

Lagu rakyat merupakan lagu yang dinyanyikan oleh rakyat, mahupun masyarakat

dahulu ataupun masyarakat kini. Lagu rakyat juga dikatakan merupakan salah satu genre
sastera Melayu yang digolongan sebagai sastera Melayu klasik. Menurut Aripin Said (1999),
lagu rakyat ialah nyanyian rakyat yang dinyanyikan oleh masyarakat tradisional masa dahulu
yang rata-ratanya bertujuan untuk menghibur dan mendidik masyarakat. Beliau juga
menyatakan bahawa penyanyi lagu-lagu rakyat terdiri daripada penghibur lara yang turut
terkenal sebagai penyampai cerita-cerita rakyat. Biasanya, lagu rakyat dikenali sebagai lagu
yang menceritakan perihal masyarakat, alam, haiwan tumbuh-tumbuhan atau senario semasa
di sesuatu tempat yang tertentu. Lagu rakyat dihasilkan atau dicipta secara spontan oleh
golongan masyarakat yang tinggal di desa, perkampungan atau kawasan pedalaman. Ia
dikembangkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain dalam bentuk lisan.

Selain itu, lagu rakyat dapat diertikan sebagai gabungan gubahan muzik berdasarkan
seni katanya dan diiringi dengan persembahan gerak tari tertentu. Lagu rakyat terdapat
pelbagai bentuk seperti pantun, seloka, syair, gurindam, bahasa berirama serta bentuk-bentuk
bebas yang lain. Lirik yang digunakannya biasa adalah dalam bahasa dialek mengikut loghat
tempat masing-masing. Manakala, irama lagu rakyat amat unik kerana mempunyai kaitan
dengan budaya dan alam sekeliling. Antara contoh lagu rakyat ialah Rasa Sayang, Anak Itik
Tok Wi, Lenggang Kangkung, Can Mali Can, Burunglah Kenek-kenek dan sebagainya. Dalam
lagu-lagu rakyat, terdapat pelbagai nilai dan pemikiran yang ingin disampaikan oleh penyanyi
dan pencipta lagu rakyat, sama ada nilai akhlak manusia dengan manusia, nilai pendidikan
yang berkaitan manusia dengan alam, nilai tauhid tentang nilai manusia dengan ketuhanan
serta nilai murni tentang manusia dengan kehidupan.

Dalam lagu rakyat Burung Kenek-kenek yang dipilih, terdapat beberapa nilai dan
pemikiran. Lagu Burung Kenek-kenek merupakan sebuah lagu yang berbentuk nasihat dan
ditujukan kepada kanak-kanak. Pertama sekali, nilai akhlak manusia dengan manusia. Dalam
rangkap kelapan dalam lagu rakyat ini, kanak-kanak dipesan oleh datuk dan nenek agar tidak
mengamalkan sikap angkuh dan sombong. Sikap ini merupakan sikap yang tidak baik dan tidak
disukai oleh masyarakat. Orang yang sombong dianggap mempunyai hidung yang tinggi dan
memandang rendah terhadap orang lain. Kanak-kanak yang melakukan perbuatan sombong
akan dijauhi dan tidak disukai oleh kawan-kawan, ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Justeru,
kanak-kanak diingatkan dan dinasihatkan agar mengamalkan nilai rendahkan diri dan bersopan
santun kepada semua orang mahupun lebih tua atau lebih muda daripada kita. Selain itu, dalam
rangkap terakhir, pencipta lagu rakyat Burung Kenek-kenek juga ingin menerapkan nilai kasih
sayang terhadap ibu bapa dalam kalangan kanak-kanak. Ibu bapa merupakan orang yang
melahirkan dan menjaga kita sehingga kita membesar dan berjaya dalam kehidupan. Kalau
tiada ibu bapa, kita tidak akan menjadi manusia yang berguna. Budi baik ibu bapa haruslah kita
ingati dan membalas budi mereka. Kasih yang dicurahkan juga tidak dapat dikira. Jadi, kita
haruslah menyayangi dan mematuhi segala arahan ibu bapa agar tidak menghambakan
mereka.

Seterusnya, nilai tauhid, iaitu nilai antara manusia dengan ketuhanan jelas ditunjukkan
dalam lagu rakyat Burung Kenek-kenek. Dalam rangkap kedua dan keempat, pencipta lagu ini
bertujuan untuk menerapkan nilai kepercayaan kepada Tuhan dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam kehidupan, kita haruslah mempunyai kepercayaan atau agama yang boleh menjadi
pegangan. Kepercayaan kepada Tuhan mengajarkan kita untuk menjadi seorang insan yang
berguna dan bermoral kerana segala ajaran yang diajarkan adalah betul dan harus diamalkan.
Segala suruhan Tuhan haruslah dipatuhi berlandaskan agama yang diamalkan yang selaras
dengan prinsip Rukun Negara. Untuk mempunyai hubungan yang baik dengan Tuhan, kita
haruslah menyujud kepada Tuhan dan rajin membaca kitab. Jika masyarakat berpegang teguh
kepada ajaran agama masing-masing, maka ia dapat membentuk kehidupan yang harmoni dan
sejahtera. Justeru, ajaran agama haruslah diterapkan dan dipelajari sejak dari kecil lagi, bak
kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Akhir sekali, nilai murni tentang manusia dengan kehidupan. Dalam rangkap pertama,
pencipta lagu rakyat Burung Kenek-kenek ingin menyampaikan nasihat kepada kanak-kanak
agar dapat memilih kawan yang betul dalam kehidupan mereka. Untuk mencari kawan-kawan
dalam seumur hidup, kita haruslah mempunyai rasional dan kebijaksanaan. Hal ini adalah
kerana sifat rasional dan kebijaksanaan yang telah disemaikan dan ditanamkan dalam jiwa
kanak-kanak dapat membantu mereka untuk mengenalpasti kawan yang baik dan kawan yang
jahat. Kawan yang baik akan membantu kanak-kanak dalam perkembangan seharian mereka
dan mengajar mereka menjadi seorang yang sopan santun, rendah diri dan mengamalkan
segala nilai yang baik. Kawan yang jahat haruslah dihindari dan menjauhkan diri daripada
mereka. Selain itu, lagu rakyat ini juga ingin menyampaikan nilai berdikari dan berdisiplin dalam
kehidupan seharian. Kanak-kanak haruslah berdikari dan mengamalkan sesuatu amalan agar
menjadi tabiat hidup. Dalam rangkap kelima, pencipta lagu menyatakan bahawa kanak-kanak
haruslah sentiasa bangun pada awal pagi. Seorang kanak-kanak haruslah menyemaikan
kebiasaan dan tabiat hidup untuk bangun pada awal pagi bagi memulakan kegiatan seharian.
Janganlah kita melengah-lengahkan masa untuk membuat sesuatu perkara mahupun penting
atau kurang penting. Amalan dan nilai murni yang baik haruslah ada pada seorang manusia.

You might also like