You are on page 1of 6

KESAN KOLONIALISME KE ATAS PERUBAHAN SOSIOEKONOMI MASYARAKAT

MALAYSIA.

Kejatuhan Pulau Pinang ke tangan British pada tahun 1786 hanya melalui tipu daya Kapten
Francis Light merupakan titik tolak kepada permulaan kolonialisme British di Tanah Melayu.
Dalam membahaskan kesan kolonialisme terhadap struktur sosioekonomi masyarakat tradisional
tempatan, penakrifan tentang kolonialisme harus dirungkaikan. Menurut Nadel dan Curtis,
kolonialisme bermaksud imperialisme seperti dilihat daripada kaca mata penting penjajahan dan
semua kolonialisme dimengertikan sebagai perkembangan imperialisme, tetapi bukan semua
perkembangan imperialisme bererti kolonialisme. Secara amnya, kolonialisme bermaksud
penindasan, penghinaan atau eksploitasi orang-orang peribumi. Oleh yang demikian,
kolonialisme ialah bentuk penjajahan politik satu kuasa ke atas kuasa yang lainnya.
Perbincangan seterusnya tertumpu kepada persoalan siapakah masyarakat tradisional tempatan?
Golongan ini merupakan penduduk awal yang mendiami Tanah Melayu iaitu orang Melayu dan
mengamalkan sistem politik bersifat feudal dan mengamalkan ekonomi sara diri. Masyarakat
tradisional tempatan mempunyai kehidupan sosioekonomi yang tersendiri sebelum kedatangan
kolonialisme British. Justeru, perbahasan ini akan membincangkan kedatangan kolonialisme
British telah memberi kesan kepada struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan.
Kesan kolonialisme sebenarnya telah mengubah politik, ekonomi dan sosial masyarakat
tradisional tempatan iaitu penguasaan oleh pihak British.

Kuasa pemerintahan Raja dan Pembesar adalah terhad
Struktur politik masyarakat tradisional sebelum kedatangan British adalah berbentuk feudalisme.
Sistem ini telah memberikan kuasa mutlak kepada raja atau sultan. Masyarakat feudal sangat
memerlukan perlindungan dan perhubungan peribadi yang saling bergantungan antara yang kuat
dengan yang lemah, dan dalam masyarakat ini setiap orang terikat dengan sistem itu. Namun,
kesan daripada kolonialisme British telah menyebabkan kuasa raja menjadi terbatas kepada
penasihat agama dan adat istiadat orang Melayu. Hal ini dapat dibuktikan melalui Perjanjian
Pangkor 1874 menyebabkan kehilangan kuasa oleh Raja Muda Abdullah dari Perak. Keadaan ini
sekaligus memperlihatkan kehilangan kuasa raja dan pembesar serta perubahan struktur
sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan. Kesan yang jelas dapat dilihat dalam aspek
penguasaan ekonomi oleh raja. Ketika dahulu raja adalah pemilik tanah dan penguasa ekonomi
kerana memiliki tanah dan boleh mengurniakan tanah kepada sesiapa yang dikehendakinya
terutamanya pembesar.
Keadaan ini telah memberi faedah kepada sultan atau raja hasil daripada pungutan cukai. Hal ini
dapat dibuktikan apabila Sultan Abdullah di Perak menyewakan hak memungut cukai di Muara
Sungai Perak sebanyak $24,000 setahun dan Menteri Larut ketika zaman kemuncak
pemerintahannya pada tahun 1870-1872 mendapat $180,000 setahun daripada lombong-lombong
di Larut. Kehadiran kolonialisme British telah menghakis kuasa pembesar dan sultan dalam
pemilikan tanah dan penguasaan ekonomi masyarakat setempat. Hal ini rentetan daripada
pengenalan dasar ekonomi yang berbentuk bebas atau lebih dikenali sebagai dasar laissez-faire.
Keadaan ini telah menyebabkan kemasukan pelabur-pelabur asing untuk melabur dalam sektor
ekonomi yang berkembang seperti perlombongan dan perladangan bagi tujuan eksport.
Perkembangan ini telah mendorong pemodal mendesak British supaya campur tangan di negeri-
negeri Melayu seperti Perak, Selangor dan Sungai Ujong sekitar tahun 1875. Fenomena ini
menjadi tunjang kepada kehilangan kuasa pembesar dan raja dan jika terdapat kuasa, mereka
hanya berkuasa memungut cukai untuk British dan mereka diberikan gaji atau elaun. Penjelasan
ini jelas mengungkapkan kolonialisme British telah mengehadkan kekuasaan sultan dan pembesar
dan mengubah struktur politik masyarakat tradisional tempatan kerana tampuk pemerintahan
dikuasai oleh British.

Pengenalan sistem residen
Struktur sosioekonomi telah berubah kesan daripada kolonialisme British. British telah
memperkenalkan sistem residen yang memberi tamparan kepada penguasaan ekonomi
masyarakat tradisional tempatan. Perubahan struktur sosioekonomi adalah berbeza mengikut
negeri dan pemerintahan residen itu sendiri. Di Perak, Hugh Low telah berjaya mengekalkan
sistem feudal masyarakat tradisional Melayu iaitu para pembesar menjalankan hasil kutipan cukai
dalam bentuk tunai namun mereka diberi gaji atau elaun walaupun terikat dengan peraturan
British. Tetapi berlainan pula dengan halnya di Pahang iaitu residennya J.P.Rodger telah
menghapuskan sistem feudal masyarakat Melayu secara langsung dengan melantik beberapa
pegawai Inggeris untuk mengutip cukai dan ini telah menlenyapkan kuasa Dato Bahaman untuk
mengutip cukai. Walau apapun keadaannya, kehadiran kuasa residen yang diperkenalkan oleh
British telah menyebabkan perubahan besar dalam struktur sosioekonomi masyarakat tradisional
temapatan. Hal ini disebabkan kehilangan kuasa pembesar mengutip cukai dan mereka hanya
menjadi pekerja bagi British yang dibayar gaji sekaligus melenyapkan sistem serah yang
diamalkan sebelum kedatangan kolonialisme.
Pengenalan sistem residen oleh kolonial memberikan kesan kepada struktur sosioekonomi
masyarakat tradisional tempatan. Kehadiran residen bertujuan untuk mengkoreksi minda mereka
mengikut kepakaran masing-masing dalam menjalankan dasar British. Setiap perkara pula perlu
mendapat persetujuan gabenor Negeri-Negeri Selat (NNS) dan Pejabat Tanah Jajahan di London.
Kita dapat menilai bahawa semua ini telah mengubah struktur sosioekonomi. Perubahan ini
adalah disebabkan penguasaan residen menafikan kuasa raja atau sultan yang memerintah. Hal ini
dibuktikan apabila J.W.W. Birch yang menjadi residen bertindak sesuka hati memperkenalkan
dasar-dasar British tanpa mempedulikan kuasa Sultan Abdullah yang memerintah Perak ketika
itu. Keadaan ini telah menyebabkan kuasa sultan semakin luntur dan hanya sebagai boneka oleh
British. Oleh itu, pengenalan sistem residen merupakan kesan kolonialisme yang mengubah
struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan dari aspek kekuasaan sultan dan
penguasaan ekonomi oleh British.

British memperkenalkan undang-undang tanah
Kolonialisme British telah mengubah kaedah pemilikan tanah yang dipraktikan sebelum ini iaitu
sistem hakmilik tanah secara adat tidak bersesuaian dengan sistem ekonomi bebas. British telah
memperkenalkan beberapa undang-undang tanah untuk mengeksploitasi ekonomi secara
maksimum. Antara undang-undang tanah yang digubal ialah dan dikuatkuasakan sebagai
Peraturan 19 tahun 1830 menggariskan peruntukkan kuasa kepada Inggeris untuk mengutip cukai
sepersepuluh daripada hasil pertanian. Pelaksanaan ini menunjukkan perubahan ataupun kesan
daripada penjajahan British iaitu masyarakat tradisional tempatan harus membayar cukai kepada
kerajaan British. Hal ini berbeza pada zaman feudal yang mengamalkan sistem serah. Di samping
itu, British juga berhak terhadap tanah yang tidak diusahakan atau tanah hutan. Keadaan ini
sekaligus mengubah lanskap kehidupan sosioekonomi masyarakat Melayu untuk mengubah corak
ekonomi sara kepada ekonomi kapitalis acuan British.
Di samping itu, kesan kolonialisme British adalah pemilikan tanah perlombongan yang
dahulunya dikuasai oleh golongan pembesar Melayu kini jatuh ke tangan British. Pada tahun
1857, kawasan perlombongan dikuasai oleh pembesar seperti Raja Malik di Jeram, Raja Bot di
Lukut, Raja Mahadi di Klang dan lain-lain kawasan. Kawasan perlombangan ini telah dikuasai
oleh British dan mengubah struktur sosiekonomi masyarakat tradasional tempatan melalui
undang-undang tanah. Hal ini dibuktikan apabila Pejabat Tanah British mengeluarkan undang-
undang yang membahagikan tanah diseluruh negeri kepada empat jenis dan hak milik ke atasnya
mesti dituntut oleh Pejabat Tanah dan salah satu daripadanya ialah tanah rezab untuk
perlombongan. Pengenalan undang-undang tanah oleh Pejabat Tanah merupakan kesan daripada
kolonialisme British yang telah mengubah struktur sosioekonomi masyarakat tradisional
tempatan.

Pembentukan masyarakat majmuk
Menurut J.S. Furnivall, masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang tinggal
berkelompok mengikut kaum dalam unit politik yang sama dan setiap kelompok mengamalkan
agama, adat resam, bahasa, pemikiran, kerjaya dan cara hidup sendiri. Perhubungan mungkin
wujud antara satu sama lain tetapi hanya di pasar atau kedai yang menjalankan urusan jual beli.
Dasar imigran British menggalakkan imigran Cina dan India berhijrah dan mencuba nasib di
Tanah Melayu peluang pekerjaan yang ditawarkan. Kemasukan golongan imigran yang semakin
pesat telah memecahkan dominasi orang Melayu di Malaysia kerana sebelum kedatangan British
masyarakat Melayu merupakan satu rumpun bangsa yang mengamalkan pertanian sara diri.
Kesan imigrasi dapat dilihat di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) pada tahun 1898 yang
menunjukkan perbezaan yang jelas dalam pertambahan penduduk. Masyarakat Peribumi
meningkat sebanyak 34.9 peratus, Cina naik sebanyak 83.4 peratus dan India peningkatannya
mencecah 188.8 peratus. Kesannya telah menyebabkan penguasaan golongan imigran Cina dan
India terhadap Tanah Melayu yang dahulunya dimonopoli oleh orang Melayu. Terbuktilah
bahawa kolonialisme British telah mengubah struktur sosioekonomi masyarakat tradisional
tempatan yang telah membentuk masyarkat yang berbilang kaum di Tanah Melayu. Kedatangan
imigran Cina, India dan imigran dari Kepulauan Melayu ke Tanah Melayu telah membentuk satu
masyarakat majmuk serta organisasi sosial dan budaya yang berbeza daripada sebelumnya kesan
daripada kolonialisme British.

Perkembangan infrastruktur
Umum mengetahui bahawa British mempunyai matlamat tersendiri di sebalik penjajahannya di
Tanah Melayu iaitu mengaut seberapa banyak secara maksimum keuntungan daripada
pengeksploitasian terhadap kekayaan hasil bahan mentah khususnya bijih timah di Tanah Melayu
dan objektif ini sebenarnya dapat dicapai melalui kemajuan dalam infrastruktur iaitu dengan
mewujudkan beberapa jaringan perhubungan bagi memudahkan proses penghantaran sumber
secara berkesan serta efisien. Perkembangan infrastruktur ini telah memberi kesan terhadap
sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan kerana dahulunya mereka menggunakan
pengangkutan air untuk perhubungan. Hal ini dapat dibuktikan bandar Kuantan di Pahang
didirikan berhampiran Sungai Kuantan, bandar Diraja Pekan terletak berhampiran Sungai
Pahang, Kuala Kangsar berhampiran Sungai Perak, Kota Tinggi berhampiran Sungai Johor,
bandar Kuching berhampiran Sungai Sarawak, Kinabatangan berhampiran Sungai Kinabatangan
dan bandar-bandar yang lain. Perkembangan infrastruktur ini adalah kesan kolianilisme British
yang memberi perubahan dalam lanskap sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan.
Di samping itu, kemajuan dalam bidang komunikasi juga wujud dalam Tanah Melayu yang telah
wujud talian telegraf antara Kuala Lumpur dengan Melaka pada tahun 1886. Penubuhan
persekutuan 1895 telah memantapkan sistem perhubungan serta komunikasi setiap negeri di
bawah British dengan terbinanya sambungan sistem perhubungan yang sedia ada di setiap negeri
bagi meningkatkan keberkesanan eksploitasi terhadap sumber alam khususnya bijih timah dan
ladang getah di negeri-negeri berkenaan kerana kos pengangkutan bijih timah akan dapat
dikurangkan dan diangkut dalam kuantiti yang banyak dalam masa yang singkat untuk dieksport.
Kepesatan perhubungan dapat dibuktikan dengan pendapat Amarjit Kaur yang mengemukakan
bahawa sejarah pembinaan jalan kereta apa di Semenanjung terbahagi kepada tiga fasa iaitu
peringkat pertamanya pembinaan jalan kereta api yang pendek-pendek pada tahun 1885 hingga
1896 dan akhirnya berkembang pesat. Akhirnya dengan kemajuan sistem perhubungan telah
mengubah struktur sosiekonomi masyarakat tradisional tempatan kerana kewujudan sistem
perhubungan tanpa sempadan.
Selain itu, penyeragaman melalui Persekutuan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) pada
1895, Frank Swettenham berjaya juga membuka jaringan jalan kereta api merangkumi seluruh
Tanah Melayu iaitu menghubungkan Taiping ke Sungai Larut terus ke Port Weld yang dibina
pada tahun 1885, diikuti jalan kereta api Kuala Lumpur ke Sungai Kelang setahun kemudian dan
dilanjutkan ke Kelang melalui jambatan Connought pada tahun 1890. Keadaan ini membolehkan
para pemodal menerokai kawasan pertanian secara liberal atau bebas sekaligus mengubah corak
kehidupan masyarakat tradisional tempatan. Lantaran dasar British yang inginkan penguasaan
ekonomi akhirnya memberi kesan terhadap struktur sosioekonomi masyarakat tempatan.
Di Sabah, pembinaan jalan kereta api bermula pada tahun 1900 apabila jalan kereta api pertama
dibina menghubungkan Beaufort dengan Jesselton dan diteruskan pembinaannya sehingga Tenom
pada tahun 1905 sepanjang 116 batu. Pembinaan ini secara tidak langsung telah membantu
kegiatan pembukaaan ladang-ladang getah dan mengubah struktur masyarakat peribumi Sabah.
Hal ini berbeza dengan negeri Sarawak yang tidak wujud jalan kereta api kerana keadaannya
muka bumi yang berbukit bukau dan hanya wujud jaringan jalan raya yang dibangunkan oleh
keluarga Brooke.

Pendidikan
Sebelum kedatangan British, kanak-kanak Melayu hanya mendapat pendidikan di surau, sekolah
pondok dan masjid. Sistem pendidikan Melayu yang paling tua dan berpengaruh adalah
persekolahan pondok. Pondok yang pertama didirikan ialah pada tahun 1820 oleh Tuan Haji Abd.
Samad bin Abdullah. Pendidikan masyarakat pada masa itu berfokuskan kepada aspek-aspek
seperti membaca dan memahami Al-Quran, mempelajari bahasa Arab, hukum-hukum agama
serta penguasaan menulis, mengira dan membaca. Namun, kehadiran kolonialisme British telah
memperkenalkan sistem pendidikan vernakular. Penubuhan sekolah Melayu oleh British adalah
untuk memberi kemahiran membaca, menulis dan mengira. Penubuhan sekolah ini telah bermula
pada tahun 1821 apabila Penang Free School membuka cawangannya di gelugor dan diikuti
dengan penubuhan Sekolah Melayu di Teluk Belanga (1855) dan di Kampung Gelam (1856).
Walau bagaimanapun, kurikulum sekolah Melayu tidak berkembang lebih daripada setakat
memberikan pendidikan dasar selama empat tahun, kecuali latihan perguruan sebagai peringkat
tertinggi pendidikan Melayu. Pengenalan sistem latihan perguruan ini yang menjadi pemangkin
perubahan dalam struktur masyarakat tradisional tempatan.
Sememangnya, kesan daripada kolonialisme British telah memberi perubahan ke atas struktur
sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan. Kedatangan British secara langsung atau tidak
langsung telah melemahkan kekuasaan sultan dan pembesar. Dasar-dasar yang diperkenalkan
oleh British seperti sistem residen dan undang-undang tanah memperlihatkan kerakusan British
dalam mengeksploitasi ekonomi dan menguasai politik memberi kesan ke atas struktur
masyarakat feudal. Di samping itu, perkembangan infrastruktur seperti kemudahan komunikasi
dan pehubungan mengubah lanskap penduduk tradisional tempatan. Selain itu, kesan
kolonialisme ialah pembentukan masyarakat majmuk akibat kegiatan perlombongan dan
perladangan yang menghasilkan masyarakat berbilang kaum kerana wujud golongan imigran.
Aspek pendidikan turut diambil berat oleh British dengan memperkenalkan sistem pendidikan
vernakular menyebabkan masyarakat tradisional tempatan mengambil bahagian dalam
tranformasi pendidikan yang dilaksanakan oleh British.

Oleh yang demikian, jelaslah perbahasan yang diutarakan telah memperlihatkan kesan
kolonialisme British ke atas struktur sosiekonomi masyarakat tradisional tempatan. Berlaku
perubahan drastik selepas kedatangan British terhadap masyarakat Melayu di Tanah Melayu dan
Pribumi Sabah dan Sarawak. Kesan yang jelas dapat dilihat dalam aspek politik, ekonomi dan
sosial yang telah di ubah mengikut ramuan British demi kepentingan pihak kolonial tanpa
memikirkan tentang nasib masyarakat tradisional tempatan.

You might also like