You are on page 1of 10

LAPORAN PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM BULAN SABIT MERAH MALAYSIA

(BSMM) INSTITUT PENDIKAN GURU KAMPUS BAHASA MELAYU 2018

Pada 4 sehingga 7 September 2018, Unit Kokurikulum IPG Kampus Bahasa Melayu (IPG KBM)
telah mengadakan aktiviti perkhemahan selemat empat hari tiga malam di tapak perkhemahan
Hutan Rekreasi Ulu Bendu, Negeri Sembilan. Secara keseluruhannya, aktiviti perkhemahan ini
melibatkan lima unit badan beruniform iaitu Pengakap, Pandu Puteri, Bulan Sabit Merah Malaysia
(BSMM), Puteri Islam dan Kadet Remaja Sekolah (KRS).

HARI PERTAMA (SELASA, 4 SEPTEMBER 2018)

Pada hari pertama aktiviti, semua unit beruniform diminta untuk berkumpul di perkarangan surau
at-Taqwa IPG Kampus Bahasa Melayu bagi mendengar sesi taklimat ringkas di samping
melakukan semakan kehadiran mengikut unit beruniform masing-masing. Taklimat ini telah
diketuai oleh Encik Noor Azuddin bin Mohd Nordin sebelum bertolak ke kawasan perkhemahan.
Dalam pada itu juga, Dr. Hjh Maridah bt Alias (Pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu) juga turut
hadir pada taklimat ringkas yang diadakan sebagai tanda ucapan selamat kepada semua pelajar
dan para pensyarah yang terlibat sepanjang aktiviti dijalankan. Tempoh perjalanan ke tapak
perkhemahan Ulu Bendul ini mengambil kira-kira satu jam perjalanan menaiki lima buah bas
panjang.

Setibanya pelajar di kawasan tapak perkhemahan, semua pelajar diminta untuk berbaris
mengikut unit beruniform untuk pembahagian kawasan tapak perkhemahan mengikut unit
berserta pemberian beberapa peralatan untuk mendirikan khemah dan membuat gajet. Ahli
BSMM telah mendirikan lapan buah khemah pelbagai jenis seperti Dome Tent dan Nylon
berbentuk ‘A’. Semasa mendirikan khemah, ahli BSMM telah membuat satu saliran kecil di sekitar
kawasan setiap khemah untuk mengalirkan air hujan agar tidak bertakung di bawah kawasan
khemah. Manakala dari segi pembuatan gajet pula, ahli BSMM telah membuat pelbagai jenis
gajet yang diperlukan seperti rak kasut (wajib), ampaian, tiang bendera, kerusi dan sebagainya.

Selepas itu, tepat pada pukul 12:30 tengah hari, ahli BSMM diberi masa untuk berehat,
makan dan solat Zuhur sehingga pukul 2:00 petang. Selepas daripada itu, ahli BSMM
menggunakan masa yang berbaki untuk menyambung kembali kerja-kerja menyiapkan dan
memperkemas gajet-gajet dan tapak perkhemahan.

Seusai solat Asar, BSMM dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut kelas masing-
masing untuk aktiviti yang seterusnya. Kelas 1 BSMM diminta untuk menghadiri kelas asas bantu
mula di astaka, manakala Kelas 2 BSMM pula di kawasan tapak perkhemahan untuk menyiapkan
gajet yang masih belum kemas dan sempurna. Untuk aktiviti ini, Kelas 1 dan Kelas 2 diminta
menghadiri kelas asas bantu mula secara berasingan kerana kapasiti tempat yang sempit untuk
menampung keseluruhan ahli-ahli unit yang lain. Secara amnya, kelas asas bantu mula ini
berlangsung selama dua jam dan telah diketuai oleh Puan Punitha sebagai jurulatih khas untuk
asas bantu mula. Melalui kelas ini, ahli-ahli unit dapat mempelajari teknik-teknik pertolongan
cemas seperti merawat luka, ikat anduh dan lain-lain dengan kaedah yang tepat dan selamat.

Pada waktu malam, Ujian Asas Pertolongan Cemas dilakukan mengikut unit masing-
masing. Antara perkara yang diuji ialah jenis-jenis ikatan anduh, fungsinya serta
mendemonstrasikan cara ikatan anduh yang sebenar kepada jurulatih. Bagi ujian amali ini Cik
Asiah binti Mohamad Hashim merupakan panel penilai utama bagi Kelas 2 BSMM.

Setelah selesai ujian amali, semua ahli unit beruniform diminta untuk berkumpul di surau
bagi mendengar taklimat keselamatan daripada Encik Suhasni bin Dollah selaku kem komander
perkhemahan. Dalam taklimat tersebut, beliau mengingatkan pantang larang yang perlu dijaga
sewaktu berkhemah di hutan. Setelah taklimat tersebut, ahli-ahli unit kembali ke khemah masing-
masing untuk berehat bagi meneruskan aktiviti pada hari keesokannya.

HARI KEDUA (RABU, 5 SEPTEMBER 2018)

Pada hari kedua, aktiviti dimulakan seawal jam 5:30 pagi dengan pelajar Muslim dikehendaki
menunaikan solat secara berjemaah di surau. Kemudian, para pelajar diberi masa beberapa minit
untuk pengurusan diri dan sebagainya sebelum aktiviti yang seterusnya bermula. Bagi BSMM,
upacara istiadat bermula pada jam 7:15 pagi di tapak perkhemahan. Upacara istiadat ini telah
diketuai. oleh Muhammad Ezam selaku ketua platun BSMM. Kemudian, upacara istiadat ini
disusuli dengan pemeriksaan setiap khemah yang telah didirikan. Pemeriksaan ini telah dilakukan
oleh Encik Suhasni dan Encik Thiru untuk memastikan keadaan khemah sentiasa selamat, selesa
dan bersih.

Selesai sarapan, aktiviti perkhemahan diteruskan lagi dengan jalan lasak dan pandu arah/
mengesan tanda dan simbol. Aktiviti ini telah dibimbing oleh Puan Ruziaton dan Cik Noryatimah.
Aktiviti ini mendedahkan kepada ahli-ahli platun cara pengurusan aktiviti pandu arah dengan lebih
berkesan di samping mempelajari simbol-simbol tertentu yang hanya menggunakan alam semula
jadi sebagai penunjuk arah di dalam hutan.
Setelah selesai minum pagi dan aktiviti jalan lasak, ahli BSMM menggunakan masa yang
terluang untuk membaiki khemah dan membuat sedikit latihan untuk ujian amali ikatan dan
simpulan yang akan diadakan pada waktu malam nanti. Kemudian, tepat jam 12:30 tengah hari,
ahli BSMM dipanggil untuk mengikuti aktiviti membaca kompas dan peta yang dibimbing oleh
Encik Azudin dan Encik Mustafa Kamal. Pada awalnya, ahli BSMM diberi taklimat cara membaca
dan menentukan arah kedudukan jarum pada kompas. Namun selepas itu, setiap kumpulan
diberikan tugasan untuk menyelesaikan beberapa misi di tempat yang berbeza dengan hanya
berpandukan jarum penunjuk pada kompas untuk ke setiap destinasi seterusnya. Dalam aktiviti
ini, tempoh pergerakan setiap kumpulan BSMM direkodkan untuk menentukan pemenang aktiviti
ini. Untuk keputusan keseluruhan aktiviti ini, rekod menunjukkan unit BSMM mencatatkan unit
yang paling pantas menyelesaikan tugasan yang diberikan berbanding unit-unit lain dengan masa
direkodkan selama 5 minit.

Setelah aktiviti membaca kompas dan peta tamat, ahli BSMM terus menunaikan solat
Zuhur dan menjamu selera lauk tengah hari di kantin. Kemudian, setiap unit dikehendaki
berkumpul kembali di surau untuk Ujian Masakan Rimba. Bagi Ujian Masakan Rimba, setiap
kumpulan diberi beberapa bahan dan alatan masakan seperti telur, mentega, beberapa ketul
ayam dan lain-lain. Namun begitu, setiap kumpulan diingatkan bahawa mereka perlu memasak
dalam lima kaedah yang berbeza. Dari segi hasil penilaiannya pula, setiap masakan yang
dihasilkan akan diuji oleh jurulatih setiap unit masing-masing.

Menjelang 6:00 petang, setiap unit telah menjalani latihan kawad kaki di sekitar kawasan
tapak perkhemahan. Pada asalnya, aktiviti ini bermula pada jam 4:30 petang, namun begitu
akibat terdapat beberapa kekangan semasa penilaian ujian masakan, aktiviti kawad kaki ini
ditunda dua jam lewat daripada masa yang sebenar. Latihan kawad kaki ini hanya merangkumi
jenis kawad statik dan kawad dinamik yang perlu dilakukan sebagai tanda persediaan
menghadapi ujian kawad kaki pada hari keesokannya.

Pada waktu malam, ahli BSMM perlu menghadiri ujian amai ikatan dan simpulan di astaka
selepas waktu malam dan menunaikan solat Isyak. Ujian ini sekali lagi dipantau dan dinilai oleh
Cik Asiah binti Mohamad Hashim. Setiap ahli BSMM dinilai berdasarkan cara dan kekemasan
ikatan dan simpulan yang dilakukan. Antara jenis ikatan dan simpulan yang dinilai ialah simpulan
manuk, bunga geti, tindih kasih, sikatan serong, seraya dan balak. Dalam pada itu, Cik Asiah juga
sempat menerangkan beberapa aspek yang akan diuji untuk penilaian kawad kaki yang akan
dijalankan pada waktu pagi hari keesokannya.
HARI KETIGA (KHAMIS, 7 SEPTEMBER 2018)

Pada hari ketiga, seperti kebiasaan pada jam 5:30 pagi, para pelajar muslim dikerahkan ke surau
untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah manakala pelajar moral pula dikehendaki
menghadiri sesi moral di astaka. Selepas itu, para pelajar dikehendaki berkumpul di hadapan
astaka bagi mendengar taklimat aktiviti hari ketiga sebelum setiap unit dibenarkan untuk sesi
pengurusan diri dan lain-lain.

Seperti kebiasaan, ahli BSMM menjalani upacara istiadat di tapak perkhemahan seawal
jam pukul 7:00 pagi. Ketua platun bagi upacara istiadat pada hari ketiga masih diketuai oleh
Muhammad Ezam. Kemudian, upacara diteruskan lagi dengan pemeriksaan khemah dan kali ini
penilaian dinilai oleh Cik Asiah. Secara keseluruhan, tapak perkhemahan berada dalam keadaan
yang terurus dan selamat untuk digunakan. Namun begitu, terdapat sedikit cadangan
penambahbaikan yang perlu diambill tindakan. Antaranya, tapak perkhemahan perlu dikelilingi
pagar, tiang bendera harus ditinggikan lagi dan ahli BSMM diminta untuk membina sebuah kerusi
untuk diletakkan di luar khemah.

Selepas itu, semua unit bersarapan di kantin dan kemudiannya bersiap sedia untuk Ujian
Kawad Kaki di astaka pada pukul 8:30 pagi. Bagi penilaian kawad kaki kumpulan 1 BSMM dinilai
oleh Encik Azudin, manakala kumpulan 2 BSMM pula dinilai oleh oleh Cik Asiah. Penilaian ini
dimulakan dengan pemeriksaan uniform terlebih dahulu sama ada setiap ahli platun memakai
pakaian uniform yang lengkap ataupun sebaliknya. Selepas itu, barulah setiap platun diuji secara
bertiga-tiga mengikut kumpulan yang telah ditetapkan. Setiap ahli BSMM perlu melakukan jenis
kawad kaki asas, statik dan dinamik. Di samping itu juga, penilaian bukan sahaja dilihat
berdasarkan kesegeraman kawad yang dilakukan, akan tetapi kelantangan dan kejelasan suara
setiap ahli platun memberi hukuman kawad juga turut dinilai oleh jurulatih.

Setelah hampir dua jam ujian kawad kaki, setiap unit dikerahkan ke padang bagi bersama-
sama menonton dan menyokong pertandingan kawad formasi yang telah disertai oleh setiap unit
beruniform. Pemeriksaan pakaian uniform telah dinilai oleh Encik Mustafa Kamal dan Encik
Azudin selaku panel juri pertandingan. Walau bagaimanapun, pertandingan ini terpaksa di tunda
hingga ke waktu petang kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Di samping itu, khidmat
sukarelawan juga terpaksa dibatalkan dan setiap pelajar tidak dibenarkan pulang ke khemah
masing-masing dan diminta untuk menunggu di astaka sehingga cuaca reda dan kembali tenang.

Selepas cuaca kembali reda, setiap ahli yang mewakili unit beruniform masing-masing
diminta bersedia untuk menyambung kembali pertandingan kawad formasi yang tertunda.
Pertandingan ini telah dimulakan pembarisan masuk unit BSMM sendiri dengan kekuatan
anggota seramai 19 orang termasuk ketua platun. Kawad formasi ini telah dibimbing oleh Mohd
Sollehin bin Mohd Nor sebagai ketua platun BSMM. Secara kasar, kumpulan kawad formasi
BSMM telah melakukan persembahan kawad kaki dengan tiga formasi yang berbeza bentuk dan
gaya.

Kemudian, tamat sahaja pertandingan kawad formasi, segelintir ahli BSMM diminta untuk
menolong jawatankuasa masakan untuk persediaan menu BBQ yang akan dihidangkan pada
malam terakhir, manakala selebihnya diminta untuk kembali ke khemah masing-masing dan
menguruskan diri bagi menjalani aktiviti yang berikutnya.

Sebelum makan malam, semua pelajar muslim berkumpul di surau untuk slot bacaan
Yasin manakala pelajar moral pula di astaka untuk sesi moral bersama jurulatih. Tepat jam 9:00
malam, setiap pelajar dipanggil untuk makan malam dan menjamah hidangan BBQ yang telah
disediakan.

Sejurus sahaja para pelajar makan malam, semua unit beruniform diminta untuk
berkumpul di hadapan astaka bagi menyaksikan persembahan malam kebudayaan yang terdiri
daripada 10 kumpulan. Persembahan ini telah dinilai oleh Encik Thiru dan Puan Punitha sebagai
juri jemputan pada waktu malam itu. Setiap kumpulan telah menunjukkan persembahan mereka
dengan menarik dan bersungguh-sungguh seperti drama, bicara irama, parodi, hakka, dikir barat
dan sebagainya. Kemudian, selesai sahaja persembahan yang dilakukan, Encik Suhasni selaku
kem komander memberikan beberapa taklimat dan langkah-langkah keselamatan sebagai
penutup kepada aktiviti hari ketiga ketika itu. Setelah tamat taklimat, para pelajar dibenarkan
pulang ke khemah masing-masing untuk berehat.

HARI KEEMPAT (JUMAAT, 8 SEPTEMBER 2018)

Pada pagi terakhir, aktiviti bermula seperti biasa pada pukul 5:30 pagi dengan setiap pelajar
dikehendaki menunaikan solat Subuh secara berjemaah di surau. Selesai sahaja solat Subuh,
Encik Azudin dan Encik Suhasni sempat memberikan taklimat mengenai arahan perjalanan
pulang kepada semua pelajar.

Kemudian, aktiviti diteruskan lagi dengan upacara istiadat BSMM yang diketuai oleh ketua
platun, Ahmad Faris. Pemeriksaan khemah pula dijalankan seperti biasa dan diperiksa oleh Cik
Asiah selaku jurulatih. Beliau juga turut memberi arahan agar khemah yang didirikan perlu
dikemas dengan baik, peralatan yang dipinjam perlu mencukupi sebelum dikembalikan dan tapak
perkhemahan perlu dibersihkan kembali sebelum berangkat pulang.

Selepas itu, para pelajar dikehendaki ke padang pada pukul 8:30 pagi untuk upacara
raptai majlis penutupan. Raptai majlis penutupan ini melibatkan semua jurulatih dan setiap pelajar.
Tepat pukul 10:30 pagi, majlis penutupan perkhemahan dimulakan dengan mengalu-alukan
kedatangan Timbalan Pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu, Dr Isa bin Azis. Selepas itu, acara
diteruskan dengan perbarisan lintas hormat setiap unit beruniform yang disempurnakan oleh Dr.
Isa selaku tetamu kehormat. Selesai sahaja acara lintas hormat, acara beralih ke surau untuk
acara perasmian penutupan, ucapan penghargaan, pemberian cendermata kepada tetamu
kehormat, jurulatih dan para pemenang untuk setiap aktiviti yang dijalankan.

Kemudian, selesai sahaja majlis penutupan, setiap ahli BSMM diminta membersihkan
tapak perkhemahan dan mengemas kembali khemas yang didirikan. Khemah-khemah yang telah
disimpan pula dikumpul dan dikembalikan kepada jawatankuasa peralatan. Setelah tapak
perkhemahan dibersihkan, semua unit beruniform berkumpul di hadapan tapak perkhemahan
sebelum pulang ke kampus. Hal ini bagi memastikan semua peralatan yang dipinjam dibawa
kembali ke kampus selepas digunakan dan memastikan jumlah pelajar mencukupi sebelum
berangkat pulang menaiki bas.

Secara keseluruhannya, aktiviti perkhemahan berjalan dengan lancar. Semua ahli BSMM
memberikan komitmen yang sangat tinggi bagi melaksanakan setiap aktiviti yang dilakukan.
Kerjasama yang mantap daripada ahli BSMM membantu menaikkan nama BSMM di IPGKBM.

REFLEKSI
Aktiviti perkhemahan yang dijalankan amatlah penting bagi seorang bakal guru. Hal ini kerana,
melalui aktiviti perkhemahan seperti ini secara tidak langsung dapat melahirkan pemimpin yang
berdedikasi mampu menjadi bakal pemimpin di sekolah-sekolah suatu hari kelak. Oleh itu,
penting bagi seorang guru pelatih didedahkan dengan pelbagai ilmu kelangsungan hidup
khususnya perkhemahan seperti bagaimana cara mendirikan khemah dengan betul, membina
pelbagai gajet, menguasai pelbagai jenis ikatan dan simpulan, pengurusan diri dan ikhtiar hidup
di dalam hutan, pertolongan cemas serta pelbagai jenis aktiviti kemasyarakatan.

Melalui aktiviti perkhemahan ini, pelbagai pengalaman dan kemahiran yang diperoleh.
Antaranya ialah, saya memperoleh satu ilmu di mana yang sukar diperoleh melainkan dengan
aktiviti perkhemahan. Ilmu tersebut tidak lain tidak bukan ialah ilmu ikhtiar hidup di dalam hutan.
Sekiranya saya dicampak di dalam hutan, sudah tentu saya dapat meneruskan kehidupan di situ
kerana segala sumber makanan di dalam hutan akan dimanfaatkan dengan pengalaman dan
kemahiran yang saya pelajari. Di samping itu, saya juga dapat menggunakan segala jenis ikatan
dan simpulan sama ada di dalam hutan mahupun di rumah. Hal ini kerana, ikatan tersebut
membantu saya dalam mencipta pelbagai alat yang diperuat daripada kayu. Tambahan pula,
melalui gajet-gajet yang dihasilkan, terdapat satu nilai yang diperoleh daripada aktiviti yang
dijalankan iaitu nilai tolong-menolong antara sesama ahli kumpulan. Dalam setiap aktiviti,
sememangnya akan wujud nilai tolong-menolong kerana nilai ini sangat penting dalam
menentukan kejayaan sesuatu. Secara keseluruhan daripada aktiviti yang telah dilakukan, nilai
tolong-menolong sememangnya diamalkan dan diaplikasikan dalam setiap aktiviti perkhemahan
ini.

Selain itu, aktiviti kawad telah memupuk sifat kepimpinan dalam diri saya. Agak sukar bagi
saya untuk mengendalikan aktiviti kawad kerana memerlukan suara yang lantang dan arahan
yang tegas. Walau bagaimanapun, saya telah keluar daripada zon selamat saya untuk
mengambil pengalaman daripada aktiviti tersebut. Hasilnya saya dapat mengetahui bagaimana
kaedah untuk mengawal orang lain dengan arahan yang tegas. Hal ini sedikit demi sedikit dapat
memupuk bakat kepimpinan yang wujud dalam diri saya Selain itu, ahli-ahli BSMM banyak
membantu saya untuk meningkatkan kemahiran sosial dengan kemahiran interaksi antara satu
sama lain. Oleh itu, tidak susah bagi saya selepas ini jikalau saya ingin bergaul dengan orang
yang tidak dikenali.

Antara kelemahan diri saya sewaktu menjalankan perkhemahan ini ialah saya kurang
mahir menguruskan aktiviti dalam unit beruniform. Contohnya, apabila diberi tugas untuk
melaksanakan sesuatu aktiviti itu, saya tidak tahu untuk merancang aktiviti yang perlu dilakukan.
Hal ini disebabkan kurangnya pengalaman dalam pengurusan aktiviti. Selain itu, amat sukar bagi
saya untuk memberikan arahan dalam aktiviti berkawad. Hal ini kerana, masa (timing) ketika
memberikan arahan kawad masih kurang tepat oleh sebab kurangnya pengalaman dalam
memberikan arahan kawad. Sebelum ini, saya hanya menjadi seorang yang penerima hukuman
kawad. Tambahan pula, suara saya yang agak perlahan menyebabkan arahan yang diberikan
menjadi kurang jelas dan sukar difahami. Oleh itu, perkara ini perlu dibaiki dengan melatih suara
dari bunyi perlahan sehinggalah bunyi paling kuat.

Akhir sekali, penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam diri saya ialah saya harus
menyertai banyak aktiviti perkhemahan. Hanya dengan pengalaman sahaja yang dapat
meningkatkan kemahiran bersosial, kepimpinan, pengurusan dan sebagainya. Setiap
pengalaman adalah berharga. Selain itu, saya juga akan mendapatkan nasihat dan khidmat para
pensyarah agar dapat menimba ilmu seberapa banyak mungkin tentang pengurusan aktiviti. Hal
ini kerana, kebanyakan pensyarah merupakan seorang yang berpengalaman dan terlatih dalam
menguruskan aktiviti. Oleh itu, segala kelemahan yang terdapat dalam diri saya perlu saya sedari
dan perbaiki agar kelemahan tersebut dapat diatasi sebelum saya menjadi seorang bakal
pendidik yang sebenar pada suatu hari nanti.
GAMBAR AKTIVIT PERKHEMAHAN

Gambar 1 - Aktiviti mendirikan khemah

Gambar 2 - Membuat gajet Gambar 3 - Ujian masakan rimba


Gambar 4 - Ujian Ikatan dan Simpulan

Gambar 5- Hasil ujian masakan rimba kumpulan 2

You might also like