You are on page 1of 6

Tugasan 2

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) merupakan satu garis panduan pendidikan


yang mengandungi isu-isu penting berkaitan pendidikan, termasuklah nilai-nilai, prinsip, dan
hala tuju pendidikan negara Malaysia. Kewujudan FPK membolehkan sistem pendidikan
negara menganjakkan kedudukan ke hadapan dengan mengungkapkan secara jelas
tentang konsep, prinsip, dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan
Malaysia daripada peringkat terendah sehingga peringkat tertinggi, iaitu peringkat universiti.
Secara umumnya, FPK telah memberikan implikasi terhadap sistem pendidikan Malysia
sama ada secara langsung atau tidak lansung kepada pelbagai pihak khususnya institusi
pendidikan, kurikulum dan pendidik. Menurut AbduI Rahman Aroff dan Zakaria Kasa (1994),
falsafah pendidikan di Malaysia sebenarnya dikenali sebagai falsafah eklektikisme, iaitu
sesuatu falsafah yang dicipta daripada pelbagai falsafah yang sedia ada. Tidak dapat
dinafikan bahawa terdapat sebahagian Falsafah Pendidikan di Malaysia telah digubal
berlandaskan pandangan ahli falsafah pendidikan Islam, Timur dan Barat yang telah
diaplikasikan dan membentuk suatu sistem pendidikan Malaysia yang mempunyai ciri-ciri
tersendiri pada hari ini.

Pendidikan menurut perspektif Islam yang menyatakan bahawa pendidikan


merupakan satu proses yang berterusan dan pendidikan seumur hidup adalah selaras
dengan elemen dalam FPK, iaitu pendidikan suatu usaha berterusan. Dalam perspektif
Islam, belajar sepanjang hayat ini telah dicadangkan oleh Nabi S.A.W. ratusan tahun yang
silam. Sejak 15 abad lalu Islam telah mengenal konsep pendidikan seumur hidup (lifelong
learning) atau belajar seumur hidup (lifelong learning) (Nawawi, 1993: 24). Hasil daripada
pendidikan ini, generasi yang berilmu pengetahuan, menjadi tenaga mahir, dan berakhlak
mulia akan dilahirkan. Maka, dasar pembelajaran sepanjang hayat (PSH) ini telah
diaplikasikan ke dalam sistem pendidikan negara kita. PSH bermaksud proses pembelajaran
dari buaian hingga ke liang lahad oleh sesiapa sahaja. Ia boleh dilakukan secara formal atau
tidak formal. Peluang pembelajaran formal disediakan oleh institusi-institusi seperti sekolah,
kolej atau universiti yang mengeluarkan sijil, diploma atau ijazah. Peluang pembelajaran
tidak formal pula boleh diperoleh melalui organisasi dan agensi di mana penyediaan peluang
pembelajaran bukan fungsi utamanya.

PSH yang dilaksanakan oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT) adalah melalui
pendekatan pendidikan jarak jauh, pendidikan fleksibel, pengiktirafan pengalaman bekerja
dan penawaran kursus pendek bagi peningkatan pengetahuan dan kemahiran diri.
Pendidikan jarak jauh telah lama wujud di kebanyakan negara dan telah dianggap sebagai
suatu model pendidikan yang dapat memajukan dasar PSH. Ciri pelajar juga telah berubah
dari segi umur yang semakin meningkat dan cara belajar pelbagai mod tanpa batasan masa
dan tempat. Antara kumpulan sasaran utama PSH ialah golongan dewasa yang bekerja, suri
rumah dan warga emas yang mahu memberikan sumbangan kepada negara,
mempertingkatkan diri dan mempelbagaikan kemahiran. Antara institusi pengajian tinggi
swasta (IPTS) utama yang menyediakan peluang untuk PSH adalah Universiti Terbuka
Malaysia (OUM), Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dan Universiti Terbuka Wawasan
(WOU). Yang menawarkan program PSH antaranya adalah Universiti Multimedia Malaysia
(MMU dan Universiti Industri Selangor (Unisel). Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
yang menyediakan program PSH termasuklah Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia
dan Universiti Teknologi Malaysia. Selain itu, banyak institusi lain menawarkan program
PSH termasuklah politeknik, kolej komuniti, institut pendidikan guru, institut kemahiran belia
dan pelbagai institut latihan kerajaan. Matlamat pendidikan negara adalah untuk melahirkan
masyarakat Malaysia yang mampu memberikan sumbangan terhadap pembangunan dan
kesejahteraan negara. Justeru, wawasan ini hanya akan tercapai sekiranya pengamalan
pendidikan sepanjang hayat oleh semua masyarakat seperti yang disarankan oleh
pendidikan Islam.

Tujuan pendidikan menurut al-Ghazali harus mengarah kepada tujuan keagamaan


dan akhlak, dengan penekanannya pada taqarrub kepada Allah dan bukannya untuk
mencari kedudukan yang tinggi atau mendapatkan kemegahan dunia. Pandangan tokoh
tersebut telah diaplikasikan dalam kurikulum baharu Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) melalui pemupukan nilai-nilai
murni dalam diri murid secara merentasi mata pelajaran dan mata pelajaran khusus seperti
Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Pada tahun 2005, mata pelajaran Pendidikan Islam
dimantapkan lagi melalui pengenalan program j-QAF secara berperingkat-peringkat di
sekolah rendah. Seterusnya, Kurikulum Pendidikan Islam turut ditingkatkan dengan memberi
tumpuan terhadap pemahaman nilai teras dan falsafah Islam serta agama utama lain di
Malaysia. Sehubungan itu, Pendidikan Moral untuk murid bukan Islam memberikan tumpuan
terhadap pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Pandangan
tokoh tersebut selaras dengan matlamat FPK dan Falsafah Pendidikan Islam, iaitu
pembentukan insan kamil yang patuh kepada Tuhan (Allah) dan berjaya mempengaruhi
kurikulum sekolah di Malaysia bagi menghasilkan murid yang berakhlak baik dan bermoral.

Selain itu, menurut pandangan ahli falsafah Islam Mohd. Qutb, beliau menekankan
bahawa pendidikan merupakan satu proses membentuk manusia secara menyeluruh dan
seimbang dan tujuan adalah untuk memperkembang potensi intelek, fizikal, emosi, dan
rohani individu ke tahap yang sempurna. Pandangan tersebut amat selaras dengan FPK
dan telah diaplikasikan ke dalam sistem pendididkan dari awal lagi dan berterusan sehingga
ke hari ini bermula dari Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) sehingga ke KSSR
yang berprinsip mengembangkan individu secara menyeluruh. Kesemua mata pelajaran
yang telah ditawarkan adalah untuk mencapai hasrat tersebut seperti Pendidikan Islam,
Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani dan sebagainya.

Menurut pandangan Confucius, seorang ahli falsafah Timur, beliau menyatakan


bahawa pendidikan adalah untuk semua tanpa mengira status ekonomi atau kedudukan
sosial. Konsep ini juga telah diaplikasikan ke dalam sistem pendidikan Malaysia serta
membawa implikasi yang baik kepada perpaduan rakyat Malaysia. Sistem pendidikan
Malaysia telah menyediakan peluang pendidikan yang sama rata untuk setiap kanak-kanak
warganegara Malaysia tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang. Mereka
berhak mendapat akses yang sama kepada pendidikan berkualiti bagi membolehkan
mereka mencapai potensi masing-masing selaras dengan prinsip-prinsip yang terdapat di
kurikulum KSSR dan KSSM yang digubal berlandaskan FPK. Tambahan lagi, Kerajaan
Pendidikan Malaysia (KPM) melanjutkan pendidikan wajib daripada 6 tahun kepada 11
tahun bermula pada umur 6 tahun dalam anjakan yang terkandung dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) bagi memastikan setiap kanak-kanak
warganegara Malaysia dapat menerima peluang pendidikan yang sama rata dengan kanak-
kanak yang lain. Disebabkan konsep Confucius tersebut, rakyat Malaysia yang terdiri
daripada etnik yang berbeza dapat bersatu padu dan berinteraksi dengan baik antara satu
sama lain pada hari ini melalui sistem pendidikan yang seragam. Hal ini disebabkan semua
kanak-kanak warganegara Malaysia yang berasal daripada kaum dan latar belakang yang
berbeza telah menerima pendidikan yang sama kecuali mata pelajaran bahasa ibunda
masing-masing, maka Bahasa Melayu telah ditarbatkan dalam sistem pendidikan Malaysia
untuk menghapuskan halangan berkomunikasi antara kaum yang berbeza. Contohnya, KPM
telah melaksanakan KSSR Bahasa Malaysia untuk Sekolah Jenis Kebangsaan dengan
sokongan pemulihan yang intensif bagi murid yang memerlukan. Usaha ini adalah untuk
memastikan semua murid dapat menguasai kemahiran Bahasa Malaysia supaya mereka
dapat berkomunikasi baik dengan murid kaum lain. Tuntasnya, pandangan Confucius telah
mempengaruhi sistem pendidikan Malaysia dan seterusnya menyepadukan seluruh
warganegara Malaysia.

Menurut pandangan ahli falsafah Timur yang seterusnya, iaitu Rabindranath Tagore,
beliau berpendapat bahawa guru sebagai fasilitator dan pemangkin bagi menggerakkan
aktiviti dan perbincangan murid serta merupakan penjana idea yang kreatif dan bernas
dalam kalangan murid. Pandangan beliau amat sesuai dan telah diaplikasi ke dalam sistem
pendidikan kita pada abad ke-21 bagi mengasah pemikiran murid dalam penyelesaian
masalah agar mereka dapat menghadapi cabaran globalisasi pada masa selepas
meninggalkan alam perkolahan. Pada abad ke-21 ini, guru bukan sahaja berperanan
sebagai penyampai ilmu lagi, malah guru merupakan fasilitator di dalam bilik darjah untuk
membimbing murid-murid untuk berfikir secara kritis dan inovasi. Dalam hal ini, amalan
pengajaran konvensional melalui cara 'chalk and talk' tidak relevan lagi. Murid-murid mudah
berasa bosan apabila pengajaran sehala oleh guru yang tidak memberikan peluang kepada
murid untuk menyuarakan pendapat mereka. Pembelajaran secara kolaboratif lebih
digalakkan di dalam bilik darjah supaya semua murid dapat melibatkan diri secara aktif
dalam suatu perbincangan akademik serta berpeluang mengeluarkan pendapat sendiri
kerana ini murid dapat bertukar-tukar pendapat dan seterusnya menggalakkan mereka
berfikir untuk untuk menyelesaikan masalah. Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dapat ke
dalam pembelajaran kolaborasi ini seperti dalam aktiviti pembelajaran secara kumpulan
kerana soalan yang KBAT akan disoalkan dalam pembelajaran tersebut dan bukannya
soalan objektif lagi yang dapat dipilih oleh murid. Malahan, guru tidak akan terus memberi
jawapan kepada murid, maka murid perlu sentiasa berfikir untuk menyelesaikan masalah
tersebut dan jawapan soalan tersebut adalah bersifat fleksibel, iaitu semua jawapan yang
logik dapat diterima, maka murid dapat berfikir secara dinamik serta mencari penyelesaian
yang berbagai-bagai. Ini dapat menyediakan murid bersifat globalisasi yang mampu
menghadapi cabaran selepas tamat persekolahan serta memasuki ke alam pekerjaan nanti.

Stone dan Schneider (1971), membahagikan falsafah pendidikan Barat kepada


falsafah traditional dan falsafah moden. Dalam kajian ini, kami akan berfokus kepada satu
falsafah traditional, iaitu Essentialisme dan satu falsafah moden, iaitu pragmatisme yang
sesuai diaplikasikan ke dalam sistem pendidikan Malaysia.

Essentialisme berpunca dari falsafah Idealisme dan William Bagley merupakan


seorang ahli essentialis pendidikan yang terkenal. Ia adalah teori yang mencadangkan
penyampaian budaya dan pengetahuan teras kepada setiap generasi baru sebagai tujuan
utama pendidikan. Maka, ia berfokus pada pengajaran kemahiran-kemahiran asas,
penguasaan sesuatu konsep dan prinsip. Falsafah ini telah diaplikasikan ke dalam
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dengan konsep memberi penumpuan
kepada tiga kemahiran asas dalam pendidikan (3M), iaitu kemahiran menulis, membaca dan
mengira. Namun, pengaruh falsafah ini hanya kekal selama 29 tahun sahaja sejak tahun
1982 kerana KSSR telah diperkenalkan pada tahun 2011 lalu menggantikan KBSR dengan
mengekalkan kemahiran 3M tersebut tetapi menambah lagi satu kemahiran, iaitu kemahiran
menaakul. Kurikulum yang baharu ini lebih menggalakkan murid untuk berfikir secara logik,
dapat menganalisis masalah secara kritikal serta dapat memberi penyelesaian masalah
secara saintifik.
Di samping itu, essentialisme juga bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan
intelek individu serta mendidik individu yang berketerampilan, Pandangan ini juga adalah
sebahagian daripada matlamat FPK. Matlamat ini dicapai melalui usaha KPM mengeluarkan
Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 yang memperakui kepentingan kegiatan kokurikulum
dan sukan pada semua peringkat persekolahan. Seterusnya, dasar 1 Murid dalam 1Sukan,
1 Kelab, dan 1 Badan Beruniform turut diperkenalkan untuk menggalakkan murid menyertai
kegiatan kokurikulum bagi melahirkan murid yang berketrampilan. Melalui aktiviti
kokurikulum ini, murid dapat dibangunkan secara holisitk seperti kemahiran kepimpinan,
kerjasama berpasukan, dan komunikasi. Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan
mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa pada
peringkat pengajian tinggi menurut PPPM (2013-2025).

Falsafah pragmatisme dibentuk oleh ahli-ahli falsafah Amerika Syarikat. Antara


pengasas falsafah ini termasuklah Charles Sanders Peirce, William James, dan John
Dewey. Kunci perkataan yang dipegang oleh ahli-ahli falsafah ini ialah pengalaman dan
penyelesaian masalah serta mempercayai bahawa pengalaman manusia menggambarkan
realiti. Aliran Pragmatisme mempunyai pengaruh yang kuat dan diaplikasikan sistem
Pendidikan Teknik dan Vokasional, (PTV). Dalam bahasa Greek, pragma bermaksud kerja.
Ia boleh diertikan sebagai kaedah mengatur dan mengurus sesuatu perkara. Aliran ini
menganggap realiti adalah interaksi antara manusia sesama manusia dan alam. Aliran ini
memerlukan penyelesaian masalah untuk mencari sesuatu jawapan terhadap pelajaran
(Abdul Fatah, 2007). PTV diwujudkan bagi menyediakan modal insan yang berkemahiran
tinggi, kebolehpasaran dan kebolehkerjaan agar sentiasa relevan dalam membantu
menyokong pembangunan ekonomi negara serta menyediakan akses dan ekuiti pendidikan
kepada semua murid. KPM telah menawarkan lebih banyak peluang kepada murid
mengikuti pendidikan dalam aliran vokasional dan aliran kemahiran bagi mengurangkan
kadar keciciran dari sistem persekolahan dan menambah modal insan yang berkemahiran
untuk membantu pembangunan Negara dan diri mereka sendiri. Pengarah Bahagian
Pendidikan Teknik dan Vokasional, Zalihar Abdul Ghani berkata, program pengajian selama
empat tahun itu akan melayakkan pelajar untuk menerima Diploma Vokasional Malaysia/
Diploma Kemahiran Malaysia sekali gus memenuhi keperluan pasaran kerja. Katanya,
langkah melatih lebih ramai graduan adalah usaha kerajaan untuk mencapai status negara
maju dan mempunyai tenaga mahir. "Graduan daripada 15 kolej rintis di seluruh negara
adalah hasil transformasi pendidikan teknik dan vokasional yang dilaksanakan oleh
kementerian sejak 2012. "Sebelum ini, pelajar lepasan sekolah hanya mempunyai Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM), namun kesemua pelajar yang mengikuti program ini akan keluar
dengan kelayakan diploma pada umur 19 tahun," katanya. Ini telah membuktikan bahawa
falsafah pragmatisme telah diaplikasikan ke dalam sistem pendidikan negara kita.

Kesimpulannya, ketiga-tiga aliran falsafah ini telah diaplikasikan serta membentuk


suatu sistem pendidikan Malaysia yang seragam dan bersifat sempurna pada hari ini kerana
matlamatnya adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani,
emosi, rohani, dan sosial. Sistem pendidikan Malaysia yang mengambil kira daripada ketiga-
tiga falsafah ini merupakan tindakan yang tepat dan berterusan sehingga ke hari ini.
Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur kerana sistem pendidikan Malaysia
pada hari ini adalah memenuhi keperluan semasa pada abad ke-21 serta dapat memupuk
murid yang seimbang dari pelbagai aspeknya.

You might also like