You are on page 1of 6

1.

0 PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh rakyat berbilang kaum, etnik,
agama, bangsa dan budaya. Pelbagai usaha telah dilaksanakan demi mengekalkan suasana
aman dan damai dalam kalangan masyarakat Malaysia. Membina perpaduan bagi negara
berbilang kaum bukan suatu perkara yang mudah. Perpaduan haruslah diterapkan dari kecil
supaya dapat membina jati diri yang kuat dalam diri rakyat Malaysia. Dalam situasi ini, guru
memainkan peranan yang amat penting bagi memupuk semangat muhibah dan semangat
toleransi antara kaum di dalam bilik darjah.

Menurut Edward B. Taylor (1974), budaya merupakan keseluruhan cara hidup


manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan
jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat.
Perkataan mesra pula menggambarkan keselesaan, keceriaan dan kegembiraan.
Kesimpulannya, mesra budaya ialah perlakuan atau amalan yang mendatangkan keselesaan
dan kegembiraan. Dalam konteks bilik darjah pula, mesra budaya boleh didefinisikan sebagai
sebuah sesuana pengajaran dan pembelajaran yang selamat dan mendamaikan bagi semua
murid tanpa mengira perbezaan warna kulit, agama dan latar belakang.

Beberapa program telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia demi


mengeratkan perpaduan di kalangan murid seperti Program Pertukaran Pelajar dan
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Selain daripada usaha kementerian
dan pihak sekolah, guru juga boleh merancangkan beberapa aktiviti bagi mengurus bilik
darjah mesra budaya demi memupuk perpaduan dalam kalangan warga sekolah yang
mempunyai pelbagai sosialbudaya.

1
2.0 AKTIVITI MENGURUS BILIK DARJAH MESRA BUDAYA

2.1 Satu Hari Satu Perkataan

Kamus Edisi Keempat telah mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang bunyi
suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompak manusia untuk
melahirkan perasaan dan fikiran. Bahasa juga merupakan alat untuk menunjukkan identiti
seseorang. Dalam sebuah bilik darjah yang mesra budaya, bahasa yang dapat difahami oleh
semua perlu digunakan sebagai bahasa pengantar. Kedudukan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi negara tidak boleh dipertikaikan kerana telah termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan Malaysia. Namun begitu, tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada
menggunakan, mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain. (Fasal 152 Perlembagaan
Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.)

Menurut aktivis sosial Fatimah Mansur, dengan belajar bahasa lain seseorang itu
dapat memahami dengan lebih luas serta mendalam tentang budaya orang lain. Belaiu juga
berpendapat bahawa satu bahasa asing tidak semestinya datang dari luar negara, kerana
Malaysia mempunyai masyarakat majmuk yang mempunyai berlainan bahasa. Aktiviti Satu
Hari Satu Perkataan merupakan satu aktiviti yang amat menarik kerana murid-murid dapat
mempelajari bahasa baru selain daripada Bahasa Melayu dan bahasa ibunda sendiri.

Sebelum melaksanakan aktiviti ini, guru harus menyediakan kad perkataan atau slid
PPT yang mengandungi perkataan dalam 4 bahasa utama di Malaysia iaitu Bahasa Melayu,
Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Guru boleh meminta bantuan guru lain
yang berbangsa Cina dan India untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan perkataan
yang dicari adalah betul. Setiap pagi, guru akan mengajar satu perkataan yang baru. Murid
yang berbangsa Cina dan India boleh diminta untuk membuat demonstrasi menulis dan
menyebut perkataan dalam bahasa ibunda mereka. Melalui aktiviti ini, murid-murid dapat
belajar banyak perkataan yang baru dan secara tidak langsungnya dapat merapatkan jurang
antara murid-murid dari budaya yang berbeza.

Rajah 1: Contoh Kad Perkataan dalam Empat Bahasa

2
2.2 Kolaborasi Melalui PLC

Menurut DuFour, Eaker & Many (2006), Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC)
merujuk kepada usaha para pendidik yang komited dan bekerja secara kolaboratif serta
berterusan untuk membuat inkuiri atau kajian tindakan bagi mencapai prestasi yang lebih baik
untuk murid-murid mereka. Kata kunci yang harus difokuskan dalam erti PLC ialah perkataan
kolaboratif yang membawa maksud hubungan erat dari segi kerjasama antara dua pihak
ataupun lebih (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007). Dengan kata lain, PLC merupakan satu
budaya sekolah yang menggalakkan kerjasama antara guru demi meningkatkan prestasi
murid dalam bidang akademik.

Antara strategi utama PLC yang boleh dilaksanakan untuk mengurus bilik darjah
mesra budaya ialah strategi kolaborasi. Sebagai permulaan, komuniti guru boleh
melaksanakan Projek antara Bidang. Dalam aktiviti ini, guru dari bidang subjek yang berbeza
boleh bekerja secara kolaboratif demi merangka satu projek atau sesi pengajaran dan
pembelajaran. Dalam konteks budaya, projek ini boleh dimulakan dengan pengajaran
perayaan tradisi sesebuah kaum yang diajar oleh guru bahasa. Seterusnya, guru Pendidikan
Seni meminta murid-murid untuk menghiaskan bilik darjah berdasarkan perayaan tradisi yang
diajar. Guru Pendidikan Muzik pula diberi tugas untuk mengajar lagu perayaan semasa sesi
PdP. Guru Pendidikan Jasmani juga boleh mengajar tarian tradisi sebagai aktiviti pergerakan.

Melalui kolaborasi antara bidang ini, guru boleh mewujudkan satu suasana
pembelajaran yang sempurna kerana sesi PdP setiap subjek adalah berkaitan dan terbina
atas satu tema yang sama. Pengetahuan tentang budaya setiap kaum dapat diterapkan
secara langsung melalui sesi PdP dan pengetahuan ini dapat mengelakkan salah faham serta
prejudis yang tidak diingini.

2.3 Sistem BBBS (Big Brothers Big Sisters)

Organisasi BBBS merupakan satu NGO yang ditubuhkan di Amerika Syarikat pada
tahun 1904 oleh Ernest Coulter. Tujuan organisasi ini adalah untuk mencungkil bakat kanak-
kanak secara optimum melalui bantuan dan sokongan dari individu yang lebih dewasa dan
profesional. Berdasarkan Teori Konstruktivisme Lev Vygotsky, tahap pembelajaran seorang
murid akan mecapai ke tahap optimum jika diiringi oleh orang yang lebih berpengalaman.
Guru juga boleh mengaplikasikan sistem ini dengan sedikit ubahsuai. Dalam sebuah bilik
darjah mesra budaya, murid-murid akan menjadi Big Brothers dan Big Sisters kepada rakan
sekelas mereka.

3
Pada tahap persiapan, guru mengkategorikan murid-murid ke dalam beberapa
kumpulan berdasarkan ciri-ciri mereka seperti jantina, kaum, agama dan latar belakang. Guru
perlu membuat analisis yang terperinci bagi menentukan pasangan Brothers dan Sisters.
Murid-murid yang mempunyai kaum, agama dan latar belakang yang berbeza akan dijadikan
sebagai pasangan adik-beradik. Selepas senarai nama pasangan telah selesai, guru akan
mengumumkannya di dalam bilik darjah. Setiap pasangan adik-beradik perlu saling
membantu, menghormati dan menganggapnya sebagai adik sendiri. Sistem BBBS ini
dijalankan sepanjang tahun dan guru berhak menukar pasangan adik-beradik jika perlu.

Kumpulan Nama Jantina Kaum Agama Latar Belakang


1 Dineshaa L I Hindu Anak tunggal
Farid Izuan L B Islam Pelajar cemerlang
2 Lim Xin Ying P C Buddha Tinggal di kampung
Ng Wei Ni P C Kristian Anak yatim
Jadual 1: Contoh senarai pasangan adik-beradik

Melalui aktiviti ini, murid-murid yang mempunyai kaum, agama dan latar belakang
yang pelbagai diberi peluang untuk bergaul dan saling memahami. Contohnya, Ng Wei Ni
yang beragama Kristian akan memahami sebab Lim Xin Ying tidak boleh makan daging lembu.
Dineshaa pula diberitahu oleh Farid bahawa menggunakan tangan kiri untuk memberi atau
menerima sesuatu adalah kurang sopan dalam budaya Melayu. Perkongsian nilai budaya
antara murid akan mengukuhkan semangat perpaduan serta kefahaman antara satu sama
lain. Hubungan yang terbina atas dasar saling mempercayai dan menghormati akan
menghasilkan suatu persekitaran emosi dan sosial yang kondusif. (Haliza Hamzah & Joy
Nesamalar Samuel, 2009).

2.4 Bulan Budaya (Bilik darjah bertema)

Pengurusan bilik darjah adalah perlu untuk mengekalkan persekitaran pembelajaran


yang positif dan kondusif (Woolfolk, 2001). Guru perlu jelas bahawa persekitaran fizikal akan
mempengaruhi murid dari segi sosial dan emosi . Bagi mewujudkan satu suasana bilik darjah
yang mesra budaya, seorang guru perlu memberikan perhatian kepada persekitaran bilik
darjah. Selain daripada susunan bilik darjah, guru juga boleh memupuk semangat perpaduan
melalui hiasan bilik darjah.

Setiap hujung bulan, guru akan bincang bersama murid untuk menentukan tema bilik
darjah bagi bulan akan datang. Tema bilik darjah harus berkaitan dengan budaya rakyat
Malaysia seperti Tema Tahun Baharu Cina, Tema Kampung Melayu, Tema Permainan

4
Tradisional, Tema Negeri Sarawak, Tema makanan traditional dan sebagainya. Selepas tema
dipilih, murid-murid akan dibahagikan kepada kumpulan untuk mencari maklumat serta
bahan-bahan untuk menghiaskan bilik darjah. Guru pula memainkan watak sebagai seorang
fasilitator untuk memberi bantuan dan cadangan jika diperlu.

Murid-murid akan mempelajari ilmu budaya orang lain semasa mencari maklumat dan
pada masa yang sama mereka boleh berinteraksi dengan rakan sekelas yang berbilang kaum.
Melalui aktiviti, berlakunya kerjasama serta ruang untuk perkongsian ilmu antara murid-murid
yang berbilang kaum dan agama. Secara tidak langsung, nilai-nilai perpaduan dalam diri
mereka akan mewujud setelah mereka mengetahui dan memahami budaya yang berbeza di
Malaysia.

2.5 Malam Kebudayaan Bersama Ibu Bapa

Pada musim perayaan, pihak sekolah akan mengadakan sambutan perayaan pelbagai
kaum seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan lain-lain. Melalui sambutan
perayaan ini, murid-murid dapat mempelajari adat resam serta budaya kaum-kaum di
Malaysia. Selain daripada sambutan perayaan yang dianjurkan oleh pihak sekolah, guru kelas
juga boleh mengadakan malam kebudayaan bersama ibu bapa.

Pada malam kebudayaan, perayaan pelbagai kaum akan disambut secara serentak.
Setiap murid dan ibu bapa yang menghadir akan memakai pakaian tradisional kaum sendiri.
Ibu bapa digalakkan untuk membawa makanan traditional dan guru harus memastikan
makanan yang disediakan adalah halal dan sesuai bagi setiap kaum. Maka, murid dapat
mencuba makanan tradisional sesuatu kaum tersebut di samping memahami budaya kaum
lain. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan pada malam tersebut seperti persembahan tarian
traditional, pengenalan baju traditional setiap kaum, permainan traditional, pertandingan
merekacipta tanglung, nyanyian lagu traditional dan sebagainya.

Kepelbagaian perayaan di Malaysia harus digunakan dengan sebaik mungkin oleh


guru. Melalui interaksi semasa malam kebudayaan, hubungan antara murid dengan murid,
murid dengan ibu bapa, murid dengan guru serta guru dengan ibu bapa akan menjadi lebih
erat. Hubungan yang positif dan harmoni ini dapat meningkatkan perasaan saling
menghormati dan mempercayai serta mengurangkan perbezaan antara kaum. Pemahaman
sebegini menjadikan murid lebih faham akan tindakan rakan-rakan daripada kaum yang
berbeza dalam sesuatu perkara. Sudah pasti tidak akan timbul sebarang salah faham antara
kaum.

5
2.0 RUMUSAN

Secara intiha, pengurusan bilik darjah yang mesra budaya amat penting dalam bilik
darjah yang mempunyai murid-murid yang terdiri daripada pelbagai kaum. Objektif utama guru
adalah sebagai seorang penyebar ilmu. Namun begitu, seorang guru juga perlu memainkan
peranan sebagai seorang kawan, pembimbing, motivator, figur teladan dan agen perubahan.
Guru mempunyai bertanggungjawab untuk membina persekitaran bilik darjah yang
penyayang, menyokong serta inklusif bagi membolehkan murid-murid berasa selesa untuk
belajar dan sudi menerima perbezaan dalam persamaan antara mereka. Guru juga harus
memahami kepelbagaian sosiobudaya dalam bilik darjah serta langkah-langkah mewujudkan
bilik darjah yang mesra budaya supaya dapat memberi impak yang baik dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.

You might also like