You are on page 1of 3

Kesan Pandemik Covid-19 Terhadap Pelajar

Pada akhir tahun 2019, dunia telah dikejutkan dengan kewujudan sejenis virus baharu yang boleh
membahayakan kesihatan manusia. Virus ini diberi nama virus Coronavirus atau juga dikenali
sebagai Covid-19. Ia mula dikesan di bandar raya Wuhan, China dan merebak ke seluruh dunia
membawa berita buruk kepada seluruh penduduk muka bumi ini. Kes pertama di Malaysia yang
dicatatkan adalah pada 25 Januari 2020 melibatkan tiga orang warganegara China yang
memasuki tanah air kita melalui Johor dari Singapura lima hari sebelumnya. Virus Covid-19
dianggap paling mudah untuk dijangkiti kerana penularan berlaku melalui titisan air dari mulut
atau hidung orang yang dijangkiti dengan Covid-19. Akibatnya, lebih banyak nyawa manusia
telah tergadai kerana virus tersebut mampu mengganggu sistem pernafasan dalam badan manusia
dan seterusnya menyebabkan kematian.

Kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada seluruh rakyat
Malaysia akibat daripada peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan. Hal ini bertujuan
untuk memutuskan rantaian Covid-19 yang semakin berleluasa dan mengurangkan jangkitan di
kawasan-kawasan yang melibatkan orang ramai. Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan
ini termasuk larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan orang ramai di seluruh negara,
penutupan institusi pendidikan, semua sektor perniagaan dipaksa tutup, dan sekatan menyeluruh
semua perjalanan rakyat Malaysia merentas daerah dan ke luar negara. Orang ramai
diperintahkan untuk tinggal di rumah sepanjang tempoh PKP berlangsung yang menyebabkan
rutin harian mereka terjejas. Hal ini telah mengakibatkan rakyat ditimpa dengan pelbagai
kesusahan seperti kurang punca pendapatan, prestasi pelajar dalam akademik merudum, tidak
dapat berjumpa dengan ahli keluarga yang tinggal jauh dan kurang produktiviti dalam kehidupan
seharian.

Sebagai seorang pelajar, cabaran yang dihadapi ketika pandemik Covid-19 adalah dahsyat.
Institusi pendidikan yang dipaksa tutup mengakibatkan pelajar tidak dapat hadir ke sekolah atau
universiti secara fizikal untuk meneruskan aktiviti pembelajaran seperti biasa. Pelajar
meneruskan aktiviti pembelajaran mereka melalui pembelajaran online yang mana segala bahan
pembelajaran diperoleh secara online. Pelbagai aplikasi dan laman web yang digunakan untuk
meneruskan alternatif ini antaranya Google Meet, Zoom, Microsoft Teams, Telegram, Google
Classroom, dan Youtube.

Meskipun begitu, teknik pembelajaran ini tidak dapat memberikan kesan yang efektif seperti
pembelajaran secara fizikal kerana pelajar tidak dapat berinteraksi secara fizikal dengan para
pendidik untuk menanyakan sebarang persoalan yang terbukti lebih berkesan jika dilakukan
secara bersemuka. Pelajar juga tidak dapat berinteraksi dengan rakan-rakan semasa pembelajaran
atas talian yang dapat menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik. Perkara ini boleh
menjejaskan prestasi akademik mereka dan seterusnya mengakibatkan stres dalam kalangan
pelajar.

Tekanan dan stres yang dihadapi oleh pelajar semasa pandemik tidak diragui berpunca daripada
masalah kewangan yang dihadapi oleh keluarga mereka sendiri semasa pandemik Covid-19. Hal
ini demikian kerana perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan telah
memaksa segala sektor pekerjaan untuk tutup mengakibatkan orang ramai hilang pekerjaan.
Kekurangan punca pendapatan untuk menampung kos sara hidup sesebuah keluarga telah
memberi kesan kepada pelajar semasa pandemik kerana mereka kurang berkemampuan untuk
membeli gajet dan mempunyai capaian internet yang baik. Oleh itu, mereka tidak dapat
menghadiri kelas atas talian bagi menimba ilmu yang meluluskan mereka untuk mencapai
cita-cita di masa hadapan. Memang tidak dinafikan bahawa pihak kerajaan telah menghulurkan
bantuan dan subsidi kepada golongan yang kurang berkemampuan atau B40, namun bantuan
yang diberikan tidak dapat menampung segala keperluan pelajar. Maka, mereka harus bekerja
keras untuk membantu ibu bapa dalam mencari punca pendapatan sehingga terpaksa
mengabaikan pelajaran.

Bukan itu sahaja, pelajar yang belajar secara atas talian ini juga mudah untuk berasa ‘burnout’
yang mana seseorang itu mengalami keletihan yang ketara dari segi fizikal, emosi dan mental
serta perasaan ragu tentang keupayaan diri dan nilai pekerjaan diri sendiri. Gejala ‘burnout’
dalam kalangan pelajar berpunca daripada beban kerja yang terlalu banyak serta meluangkan
masa yang lama di hadapan skrin sepanjang kelas atas talian berlangsung. Tinjauan yang
dilakukan terhadap pelajar melaporkan bahawa tugasan yang diberikan sewaktu kelas online
adalah lebih banyak berbanding kelas secara fizikal. Oleh itu, pelajar lebih banyak meluangkan
masa untuk menyiapkan tugasan semasa di rumah sehingga tiada masa untuk diri sendiri serta
sentiasa berasa stres dan letih. Tambahan pula, pelajar tidak dapat untuk keluar rumah untuk
melakukan aktiviti yang dapat mengurangkan tekanan bersama keluarga dan rakan-rakan.
Sebagai contoh, rakyat dilarang untuk pergi ke pusat beli-belah semasa tempoh perintah kawalan
pergerakan bagi mengelakkan perhimpunan orang ramai dan berlakunya jangkitan Covid-19.
Sebarang aktiviti luar di tempat orang ramai adalah tidak dibenarkan sama sekali. Justeru, rumah
itulah tempat untuk menimba ilmu dan rumah itu jugalah tempat untuk berehat.

Masalah ‘burnout’ ini boleh membawa kepada masalah mental iaitu kemurungan atau depresi.
Hal ini adalah kerana pelajar terlalu terbeban dengan tekanan akademik, penggunaan gajet yang
tidak terkawal, masalah keluarga, dan harapan tinggi ibu bapa terhadap pencapaian pelajar dalam
pendidikan. Kehilangan ahli keluarga semasa akibat Covid-19 juga menjadi salah satu punca
mereka mengalami kesedihan yang berpanjangan kerana mereka tiada tempat untuk bergantung.
Perubahan yang ketara dapat dilihat dalam pemikiran dan tingkah laku mereka seperti
menyepikan diri, sentiasa bersendirian, hilang minat dalam aktiviti yang menyeronokkan dan
hilang selera makan. Ada juga pelajar yang membuat keputusan untuk membunuh diri akibat
kemurungan yang melampau berikutan keadaan mental yang kurang stabil. Oleh itu, terbuktilah
betapa pandemik Covid-19 ini merupakan fasa yang sangat perit dalam kehidupan seseorang dan
banyak membawa berita duka kepada manusia.

Nur Aliah Maisarah binti Jalalludin


Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

You might also like