You are on page 1of 20

Topik X AlatPerkusi

2
HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1. 2. 3. 4. Mendemonstrasikan cara memegang dan memainkan simbal, claves dan cowbell dengan teknik yang betul; Menyenaraikan objek-objek yang sesuai sebagai alat ganti kepada alat perkusi; Membuat alat-alat perkusi gantian daripada bahan-bahan buangan; dan Mereka cipta alat perkusi.

PENGENALAN

Dalam modul-modul yang lepas, anda telah diperkenalkan dengan beberapa jenis alat perkusi. Antara lain, anda telah mempelajari alat perkusi berpic seperti glokenspiel, zailofon dan metalofon. Anda juga telah diperkenalkan dengan alat perkusi membranofon seperti dram getar, dram tenor dan dram bes. Sebagai lanjutan kepada apa yang telah anda pelajari, topik ini akan berfokus kepada alat perkusi idiofon iaitu simbal, claves dan cowbell. Selain daripada itu, anda akan turut didedahkan bagaimana menggunakan objek-objek tertentu seperti tong sampah dan baldi sebagai alat ganti kepada alat perkusi. Anda akan juga dibimbing untuk mereka cipta dan membuat alat-alat perkusi daripada bahan-bahan buangan. Akhir sekali, topik ini akan juga membincangkan cara membuat gubahan skor perkusi termasuk mencipta irama yang sesuai untuk simbal, claves dan cowbell untuk tujuan persembahan ensembel perkusi.

12 X TOPIK 2 ALAT PERKUSI

AKTIVITI 2.1
1. 2. Dengan membuat rujukan dalam internet, cari definisi alat perkusi idiofon. Muat turun sekurang-kurangnya tiga gambar alat perkusi idiofon selain daripada simbal, claves dan cowbell untuk dikongsi bersama dengan tutor dan rakan-rakan dalam sesi tutorial pertama nanti.

2.1

SIMBAL, CLAVES DAN COWBELL

Simbal, claves dan cowbell merupakan alat perkusi yang diklasifikasikan dalam keluarga alat idiofon. Cook (2006) mendefinisikan idiofon sebagai alat muzik yang menghasilkan bunyi apabila alat berkenaan digetarkan atau digoncangkan. Selain daripada simbal, claves dan cowbell, terdapat banyak alat perkusi yang terangkum dalam keluarga idiofon (Rajah 2.1). Antaranya ialah kerincing, kastenet, kayu tik-tok, shaker dan cabasa.

Rajah 2.1: Alat perkusi idiofon

AKTIVITI 2.2
1. 2. Namakan beberapa lagi alat perkusi dalam keluarga idiofon. Bincangkan bahan buatan setiap alat idiofon yang anda namakan dan bagaimana alat-alat tersebut dibunyikan.

TOPIK 2

ALAT PERKUSI W 13

2.1.1

Simbal

Simbal merupakan alat perkusi idiofon yang mempunyai sejarah evolusi yang panjang. Ia dipercayai sebagai alat perkusi yang tertua dan mula dicipta semenjak Zaman Gangsa lagi. Oleh itu terdapat pelbagai jenis dan saiz simbal yang dicipta dan diperkenalkan seperti (Rajah 2.2): (a) (b) (c) (d) Simbal Laga; Simbal Gantung; Simbal India; dan Simbal China.

Jenis simbal yang dibekalkan ke setiap sekolah ialah sepasang simbal laga. Simbal laga ini juga biasa dimainkan sebagai simbal gantung. Simbal dibuat daripada tembaga berbentuk leper dengan bahagian tengahnya berbenjol. Pada cembul simbal terdapat sebuah lubang. Bagi simbal laga, pada lubang cembul diikatkan pemegang yang lazimnya diperbuat daripada kulit. Manakala pada simbal gantung, lubang pada cembul berfungsi untuk tujuan menyambung simbal pada sebatang tiang besi (stand).

Rajah 2.2: Simbal laga dan simbal gantung

Simbal menghasilkan bunyi lanjut apabila diketuk atau dilagakan. Lazimnya, terdapat dua cara simbal dimainkan dalam pengajaran muzik di sekolah rendah: (i) (ii) Dengan memegang sepasang simbal pada talinya, lagakan kedua-dua simbal bagi menghasilkan bunyi ceng yang kuat dan lanjut. Tangan kiri memegang satu simbal pada kulit pemegangnya untuk dijadikan seperti simbal gantung*. Manakala, tangan kanan memegang kayu pemukul dram getar untuk mengetuk permukaan simbal. Bunyi ceng yang dihasilkan adalah kuat tetapi sedikit lembut daripada bunyi sepasang simbal yang berlaga. Sila lihat Rajah 2.3.

14 X TOPIK 2 ALAT PERKUSI

*Adalah lebih baik sekiranya sekolah menyediakan tiang besi (stand) untuk meletak simbal secara tegak.

Rajah 2.3: Dua cara menghasilkan bunyi daripada simbal

Selain daripada dua cara bermain simbal seperti yang diterangkan di atas, paluan titir (roll) juga biasa dimainkan pada simbal gantung. Simbal menghasilkan bunyi yang agak lanjut atau panjang (sustain sound). Oleh itu setiap pemain simbal perlu mengetahui teknik mematikan bunyi apabila bunyi lanjut tidak diperlukan. Bagi simbal laga, teknik mematikan bunyi ialah dengan membawa simbal menyentuh tubuh pemain bagi menghilangkan getaran pada simbal. Untuk simbal gantung pula, gunakan jari tangan bagi memberhentikan bunyi lanjut yang dihasilkan.

2.1.2

Claves

Claves adalah alat perkusi idiofon yang terdiri daripada sepasang kayu tebal
yang berukuran antara 20cm hingga 30cm panjang (Rajah 2.4). Secara tradisinya, alat ini diperbuat dengan kayu tetapi hari ini, fiber glass dan plastik juga turut digunakan untuk membuat claves. Sesetengah claves mempunyai lekuk di bahagian tengah. Tujuannya ialah untuk menghasilkan bunyi yang lebih kuat.

Rajah 2.4: Sepasang claves

TOPIK 2

ALAT PERKUSI W 15

Claves merupakan alat perkusi yang penting dalam muzik Afro-Cuban seperti Son dan Salsa. Dalam tradisi muzik Afro-Cuban, claves kerap digunakan untuk
memainkan satu jenis irama berulang sepanjang persembahan sesebuah lagu. Prinsip asas memainkan claves ialah membiarkan sekurang-kurangnya satu claves bergema. Claves menghasilkan bunyi apabila ketukan dilakukan antara satu claves dengan pasangannya. Bunyi yang dihasilkan oleh claves bersifat cerah (brightness). Teknik asas untuk memainkan alat ini ialah seperti berikut: (a) (b) (c) (d) Pada tangan kiri, pegang dengan lembut satu claves dengan menggunakan ibu jari; hujung jari-jari yang lain menggenggam lembut tubuh claves. Pada tangan kanan, pegang satu lagi claves dengan genggaman yang teguh seperti mana memegang kayu dram. Dengan menggunakan hujung claves yang dipegang di tangan kanan, palu di bahagian tengah claves yang dipegang di tangan kiri. Bunyi tek yang dihasilkan seharusnya bersifat cerah.

Lihat Rajah 2.5 di bawah.

Rajah 2.5: Cara memainkan claves

AKTIVITI 2.3
Cuba mainkan detik atau pola irama yang sama pada claves secara berulang-ulang dan berterusan. Cuba dapatkan seberapa banyak warna ton yang berbeza melalui cara anda menggenggam claves yang anda pegang di tangan kiri.

16 X TOPIK 2 ALAT PERKUSI

2.1.3

Cowbell

Cowbell merupakan alat perkusi idiofon yang diperbuat daripada logam (Rajah 2.6). Terdapat pelbagai saiz cowbell dalam pasaran, namun rupa bentuknya adalah sama iaitu seperti loceng lembu. Nama cowbell itu sendiri menceritakan asal usul alat ini iaitu loceng yang diletakkan di tengkuk lembu sebagai tanda pengenalan kepada lembu-lembu yang dipelihara oleh penternak di ladang terbuka.

Rajah 2.6: Cowbell

Terdapat dua cara memegang cowbell: (i) (ii) Letakkan cowbell di atas tapak tangan kiri. Ibu jari dan jari-jari yang lain memegang alat itu dengan lembut; Ikatkan cowbell pada kaki besi yang dibina khas.

Cowbell menghasilkan bunyi apabila badannya diketuk oleh pemukul dram


samping. Bunyi yang dihasilkan mirip kepada bunyi neumonik tak. Warna ton yang pelbagai dapat dihasilkan pada cowbell melalui kadar genggaman tangan kiri. Selain daripada itu, saiz cowbell yang berbeza juga akan menghasilkan warna ton yang berbeza. Lazimnya, cowbell yang lebih kecil saiznya akan menghasilkan bunyi yang lebih cerah dan nyaring dibandingkan dengan cowbell yang bersaiz lebih besar.

AKTIVITI 2.4
Mainkan detik atau pola irama yang sama pada cowbell secara berulang-ulang dan berterusan. Kemudian, cuba dapatkan seberapa banyak warna ton yang berbeza melalui cara anda menggenggam cowbell yang anda pegang di tangan kiri.

TOPIK 2

ALAT PERKUSI W 17

2.2

BAHAN IMPROVISASI

Pelajaran muzik boleh menjadi lebih menarik dengan penggunaan bahan improvisasi. Sebagai contoh, objek seperti botol, baldi dan tong sampah boleh digunakan sebagai alat perkusi improvisasi bagi menggantikan alat perkusi sebenar. Di samping itu, alat-alat perkusi improvisasi boleh juga dibuat daripada bahan-bahan buangan. Alat perkusi improvisasi seperti ini diklasifikasikan sebagai alat perkusi bukan konvensional. Ini adalah kerana alat perkusi improvisasi terdiri daripada objekobjek yang asalnya bukan dicipta dan dihasilkan untuk tujuan dijadikan sebagai alat muzik. Terdapat banyak kelebihan menjalankan aktiviti membuat dan memainkan alat perkusi improvisasi dalam bilik darjah. Antaranya adalah seperti yang digariskan dalam Rajah 2.7.

Rajah 2.7: Kelebihan aktiviti membuat dan memainkan alat perkusi improvisasi

Persembahan muzik yang menggunakan alat perkusi improvisasi biasanya menarik minat penonton. Contohnya, kumpulan The Stomp merupakan sebuah kumpulan unik yang terkenal dengan persembahan muzik perkusi improvisasi dengan menggunakan objek-objek harian yang boleh diperoleh di sekeliling

18 X TOPIK 2 ALAT PERKUSI

rumah seperti tong dram dan tong sampah. Kumpulan ini mempunyai ramai peminat di seluruh pelosok dunia (Rajah 2.8).

Rajah 2.8: The Stomp merupakan satu kumpulan terkenal yang membuat persembahan muzik menggunakan alat perkusi improvisasi

AKTIVITI 2.5
1. Cuba anda perhatikan bahan-bahan di sekeliling anda. Fikirkan bahan-bahan yang anda rasakan sesuai dijadikan sebagai alat perkusi improvisasi. Cuba ketuk atau palu bahan-bahan tersebut dengan pelbagai cara. Apakah pandangan anda tentang bunyi yang dihasilkan? Adakah anda puas hati dengan bunyi yang dihasilkan?

2.

2.2.1

Menggunakan Objek-objek Lain Sebagai Alat Perkusi

Objek-objek yang boleh didapati di sekeliling rumah atau sekolah boleh dijadikan alat gantian kepada alat perkusi. Walaupun asalnya bukan dicipta sebagai alat muzik, objek seperti bakul sampah, tong sampah, penyapu, senduk, sudu, garpu dan bekas plastik, boleh menghasilkan komposisi muzik yang menarik sekiranya digubah dengan baik. Penggunaan objek-objek harian ini boleh menambah elemen kelainan bunyi dalam sesuatu ciptaan dan persembahan muzik justeru boleh menghasilkan sesuatu persembahan muzik yang bersifat kreatif dan menarik. Perkara penting yang harus dipertimbangkan apabila menggunakan alat-alat improvisasi sebagai alat perkusi ialah bagaimana mendapatkan bunyi (warna ton dan kualiti ton) yang baik daripada objek-objek harian yang sememangnya bukan dicipta sebagai alat muzik. Oleh itu guru harus membimbing murid-

TOPIK 2

ALAT PERKUSI W 19

murid meneroka warna ton yang dihasilkan. Terdapat tiga perkara yang harus diteroka: (i) (ii) Tempat paluan; Jenis kayu pemalu; dan

(iii) Cara paluan. Setiap bahagian objek menghasilkan warna ton yang berbeza apabila diketuk atau dipalu. Contohnya, terdapat perbezaan bunyi yang dihasilkan oleh bahagian sisi baldi dengan bahagian bawah baldi walaupun diketuk dengan cara yang sama dan dengan pengetuk yang sama. Oleh itu, guru harus membimbing pelajar mengenal pasti tempat paluan yang paling sesuai bagi mendapatkan warna ton yang paling baik pada objek-objek yang dipilih sebagai alat improvisasi. Jenis kayu pemalu juga mempengaruhi warna ton yang dihasilkan oleh alat improvisasi (Rajah 2.9). Contohnya, kayu pemalu yang berkepala keras akan menghasilkan warna ton yang lebih keras dan kuat. Sebaliknya, jika menggunakan kayu pemalu yang berkepala benang, maka bunyi yang dihasilkan akan lebih lembut. Cara paluan juga turut menentukan warna ton dan kualiti ton yang dihasilkan. Objek tertentu lebih sesuai diketuk dengan lembut, manakala objek yang lain pula mungkin lebih sesuai dipalu dengan sederhana kuat atau kuat. Oleh itu, peranan guru adalah untuk membimbing murid supaya peka kepada faktor gaya pukulan terhadap jenis bunyi dan kualiti bunyi yang dihasilkan oleh alat-alat gantian perkusi ini.

Rajah 2.9: Faktor-faktor yang mempengaruhi warna ton alat perkusi gantian

20 X TOPIK 2 ALAT PERKUSI

2.2.2

Membuat Alat-alat Perkusi Gantian daripada Bahan-bahan Buangan

Selain daripada objek-objek yang boleh didapati di rumah, bahan buangan seperti tempurung kelapa, botol, tin, tong dan bekas plastik kosong boleh digunakan untuk membuat alat-alat perkusi gantian. Daripada objek-objek buangan ini, murid-murid boleh dibimbing untuk menghasilkan pelbagai alat perkusi gantian mengikut kreativiti masing-masing. Selain daripada tidak memerlukan kos perbelanjaan, kelebihan aktiviti ini ialah ianya menggalakkan murid meneroka alam bunyi. Dengan itu aktiviti ini akan dapat meningkatkan kepekaan mereka terhadap pelbagai warna ton dan kepentingannya dalam sesuatu ciptaan dan gubahan karya muzik. Murid akan turut memahami konsep fizik bunyi seperti kaitan saiz dan bahan buatan dengan ton (bunyi) yang dihasilkan. Contohnya, bunyi yang dihasilkan oleh tong sampah besi apabila diketuk adalah lebih rendah daripada bunyi nyaring yang dihasilkan oleh tin susu kosong disebabkan perbezaan saiz. Begitu juga, botol kaca akan menghasilkan bunyi yang berbeza daripada botol yang diperbuat daripada campuran plastik. Selain daripada itu, aktiviti mencari bahan terpakai dan terbuang untuk dijadikan alat perkusi adalah satu aktiviti yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kesedaran murid tentang konsep pencemaran, kempen kitar semula dan kepentingan menjaga alam sekitar. Untuk melaksanakan aktiviti ini, langkah pertama ialah mengumpulkan objekobjek yang boleh dijadikan alat perkusi. Guru boleh meminta setiap murid mencari dan membawa ke sekolah sekurang-kurang satu botol kosong, tin kosong atau lain-lain objek yang difikirkan sesuai. Sekiranya keadaan sesuai dan mengizinkan, guru boleh bersama-sama dengan murid mencari objek-objek yang sesuai di kawasan sekitar sekolah. Setelah bahan-bahan dikumpulkan, guru boleh membimbing murid bagi membuat alat-alat perkusi mudah daripada bahan-bahan yang terkumpul. Contoh yang paling mudah ialah dengan mengajak murid meneroka bunyi dengan memasukkan bahan seperti pasir, kacang hijau atau batu-batu kecil ke dalam tin kecil seperti tin susu kosong. Bagi tin yang tidak mempunyai penutup, guru boleh membimbing murid untuk membuat penutup yang sesuai. Aktiviti ini boleh digabung jalinkan dengan aktiviti seni visual seperti membuat corak dan mewarnakan corak tersebut supaya pelajaran menjadi lebih menarik lagi. Setelah murid dapat menyiapkan alat-alat perkusi daripada bahan terpakai, guru harus merancang suatu persembahan perkusi sebagai aplikasi terhadap apa yang

TOPIK 2

ALAT PERKUSI W 21

telah dilakukan oleh murid. Dengan bimbingan guru, setiap alat yang dihasilkan dikelaskan mengikut kumpulan warna ton (bunyi). Ton halus yang dihasilkan oleh silinder berisi kekacang boleh dimainkan dengan not yang lebih pendek seperti kuaver dalam kiraan empatan seperti yang ditunjukkan di bawah:

Pola irama untuk ton yang lebih halus

Tempurung kelapa menghasilkan bunyi seakan kastenet. Oleh itu, sesuai memainkan not nilai krocet setiap detik dalam satu bar seperti yang ditunjukkan di bawah:

Pola irama untuk ton tempurung

Tin kosong (contoh tin Milo 3 litre) dimainkan dengan teknik yang sama seperti bermain snare drum. Pemalu boleh dibuat dengan menggunakan hulu senduk. Ia boleh dimainkan dengan nilai krocet pada detik kedua dan keempat seperti berikut:

Pola irama untuk tin kosong

Besen, baldi atau kotak besar boleh berperanan seperti dram bes atau dram tenor yang menghasilkan ton yang lebih rendah. Dengan memalu permukaan di belakang sama ada menggunakan tangan atau pemalu yang boleh dibuat dengan hulu senduk bersalut kain, objek-objek ini sesuai memainkan nilai krocet pada detik pertama dan ketiga seperti berikut:

Pola irama untuk baldi/besen

Notasi di atas adalah untuk panduan guru sahaja. Untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, guru boleh mempelbagaikan kaedah mengikut kesesuaian seperti menggunakan kaedah rote (hafalan) atau menggunakan notasi lidi seperti yang disarankan dalam pendekatan Kodaly

22 X TOPIK 2 ALAT PERKUSI

yang dipelopori tokoh pendidik muzik barat iaitu Zoltan Kodaly. Guru juga boleh menggunakan kaedah sebutan irama neumonik. Maksudnya, guru menggunakan sebutan bunyi seperti bum, tak, ceng dan sebagainya untuk menerangkan sesuatu corak/pola irama untuk dihafal oleh murid. Corak irama harus mudah dan dimainkan secara berulang bagi memudahkan murid-murid khususnya di tahap satu.

2.3

SKOR PERKUSI

Skor perkusi merupakan notasi muzik untuk permainan alat perkusi sama ada untuk dimainkan secara solo, duet, atau untuk ensembel perkusi. Dalam Modul Pengajaran Muzik 3, anda telah mempelajari bagaimana menulis skor permainan dram solo dan serba sedikit tentang mencipta skor ensembel perkusi. Oleh itu, sebagai ulang kaji, disarankan supaya anda merujuk kepada Topik 3 dan Topik 9 dalam modul tersebut. Dalam modul ini, fokus akan diberikan kepada mencipta dan menulis skor untuk permainan simbal, claves dan cowbell secara solo. Di samping itu, skor ensembel perkusi menggunakan ketiga-ketiga alat perkusi yang diperkenalkan dalam modul ini (simbal, claves dan cowbell) serta alat improvisasi akan turut dibincangkan.

2.3.1

Mencipta Corak Irama yang Sesuai untuk Simbal, Claves dan Cowbell

Dalam mencipta corak irama yang sesuai untuk sesuatu alat perkusi, perkara asas yang perlu diberi pertimbangan ialah ciri-ciri alat berkenaan dan cara alat tersebut dimainkan. Dalam perkataan lain, anda perlu peka kepada saiz alat, bahan buatan alat, cara memegang alat, cara dimainkan dan ciri-ciri bunyi yang dihasilkan oleh alat-alat perkusi berkenaan. Contohnya, sepasang simbal laga agak berat untuk dipegang jika dibandingkan dengan claves dan cowbell. Bagi memainkan alat ini memerlukan tenaga yang lebih dan melibatkan pergerakan otot besar. Oleh kerana itu, dalam tempo sederhana laju, corak irama yang mengandungi not-not yang terlalu kecil seperti semikuaver agak sukar dan kurang sesuai untuk dimainkan pada simbal oleh murid-murid sekolah rendah. Justeru, not paling kecil yang sesuai untuk dimainkan pada simbal ialah not kuaver. Bagi tempo yang agak laju, not paling kecil yang sesuai ialah not krocet. Contoh irama yang mengandungi nilai not yang kecil daripada kuaver yang kurang sesuai dimainkan oleh simbal:

TOPIK 2

ALAT PERKUSI W 23

Bunyi yang dihasilkan oleh simbal bersifat lanjut. Oleh itu, ciptaan corak irama yang menggunakan nilai not seperti minim, minim berdetik dan semibrif sesuai untuk dimainkan oleh simbal. Contoh irama yang mengandungi nilai not yang sesuai dimainkan oleh simbal adalah seperti berikut:

Manakala itu, claves dan cowbell tidak memerlukan tenaga yang banyak dan pergerakan yang besar untuk dimainkan. Oleh itu, seseorang pemain dapat memainkan irama yang mengandungi nilai not yang lebih kecil dengan lebih mudah pada alat-alat ini. Namun demikian bagi murid sekolah rendah khususnya di tahap satu, memadai memainkan not kuaver sahaja. Contohcontoh corak irama yang sesuai dimainkan oleh claves dan cowbell bagi muridmurid sekolah rendah adalah seperti berikut:

Claves dan cowbell boleh menghasilkan bunyi yang sedikit lanjut. Oleh itu, dalam tempo sederhana laju, not minim sesuai dimainkan oleh claves dan cowbell. Namun begitu, bunyi lanjut yang dihasilkan oleh claves dan cowbell tidak lama dan tidak begitu jelas seperti yang dihasilkan oleh simbal. Oleh itu, not semibrif adalah tidak sesuai dimainkan oleh claves dan cowbell.
Contoh corak irama bunyi lanjut yang sesuai dimainkan pada claves dan cowbell adalah seperti berikut:

24 X TOPIK 2 ALAT PERKUSI

AKTIVITI 2.6
Cuba cipta beberapa corak irama dalam meter tigaan dan meter duaan yang sesuai dimainkan oleh simbal, claves dan cowbell. Pastikan anda menggunakan nilai not dan tanda rehat yang sesuai dalam corak irama ciptaan anda.

2.3.2

Mencipta Skor untuk Ensembel Perkusi

Mencipta skor untuk ensembel perkusi adalah satu aktiviti yang menyeronokkan. Ini adalah kerana aktiviti ini memberi kebebasan untuk anda menggunakan daya kreativiti anda dalam menghasilkan sesuatu ciptaan mengikut cita rasa anda sendiri. Tidak ada peraturan secara khusus untuk membuat ciptaan ensembel perkusi. Namun demikian, terdapat beberapa pertimbangan yang perlu anda beri perhatian dalam menghasilkan sesebuah ciptaan ensembel perkusi yang baik khususnya sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran dalam pelajaran pendidikan muzik di sekolah. Rajah 2.10 menunjukkan panduan tentang beberapa aspek yang harus diberi pertimbangan dalam menghasilkan sesuatu skor gubahan ensembel perkusi.

TOPIK 2

ALAT PERKUSI W 25

Rajah 2.10: Panduan beberapa aspek yang harus diberi pertimbangan dalam menghasilkan sesuatu skor gubahan ensembel perkusi

Perkara pertama yang harus anda tentukan ialah struktur atau bentuk gubahan perkusi yang akan anda hasilkan. Gubahan anda perlu mempunyai bahagian pengenalan, bahagian utama atau kadangkala dipanggil tubuh gubahan dan seterusnya bahagian penutup. Bagi gubahan perkusi sekolah rendah, bahagian pengenalan cukup sekadar 4 hingga 8 bar sahaja. Bahagian utama atau tubuh gubahan boleh mengandungi satu atau dua bahagian. Lazimnya, bahagian utama/tubuh gubahan dinamakan sebagai bahagian A, bahagian B dan sekiranya ada bahagian yang ketiga dinamakan sebagai bahagian C.

26 X TOPIK 2 ALAT PERKUSI

Perkara kedua yang harus anda beri perhatian ialah corak irama yang akan dimainkan oleh setiap alat dalam ensembel perkusi yang akan anda gubah. Pertama, anda perlu tentukan meter (tanda masa) untuk corak irama yang akan dicipta. Untuk murid sekolah rendah, meter yang sesuai ialah mengikut apa yang disarankan dalam sukatan pelajaran. Seterusnya anda harus memastikan corak irama yang dicipta akan menggunakan nilai not dan tanda rehat yang sesuai untuk dimainkan pada alat-alat yang dipilih. Perbincangan dalam bahagian 2.3.1 boleh dijadikan panduan. Satu lagi pertimbangan yang harus anda berikan dalam mencipta gubahan ensembel perkusi ialah tentang elemen jalinan (tekstur). Secara mudahnya, yang dimaksudkan dengan jalinan dalam sesebuah gubahan ialah gabungan bunyi alat-alat perkusi dalam sesuatu masa. Pertama, anda perlu tetapkan jenis alatalat perkusi yang akan digunakan dalam gubahan ensembel perkusi yang akan anda cipta. Sebagai contoh, anda akan menggunakan lima jenis alat perkusi yang berbeza iaitu simbal, claves, cowbell dan dua alat perkusi improvisasi. Sekiranya kesemua alat ini dimainkan secara serentak, jalinan gubahan anda dikatakan sebagai bersifat tebal. Sekiranya, pada bar tertentu hanya dua atau tiga alat sahaja yang bermain manakala alat yang lain berehat, maka jalinan gubahan menjadi nipis. Begitulah seterusnya, jika hanya satu atau dua alat sahaja yang bermain pada bar-bar yang tertentu, maka jalinan gubahan menjadi bertambah nipis. Sesuatu ciptaan skor gubahan yang menarik akan mempelbagaikan elemen jalinan tebal dan nipis. Kepelbagaian dalam jalinan akan menghasilkan kepelbagaian warna ton hasil daripada kombinasi alat-alat yang berlainan. Satu lagi perkara yang perlu anda ambil kira dalam mencipta skor gubahan perkusi ialah yang berkaitan dengan aspek ekspresi seperti dinamik dan tekanan. Aspek ekspresi penting kerana ia mempunyai pengaruh terhadap mood pendengar. Sesebuah gubahan yang menarik biasanya mempelbagaikan aras dinamik dan stail pukulan. Sekiranya sesebuah ciptaan skor ensembel memainkan aras dinamik yang sama di sepanjang persembahan, muzik yang dipersembahkan lemah dari segi ekspresi justeru mengakibatkan persembahan yang agak mendatar dan membosankan. Begitu juga, mempelbagaikan stail pukulan seperti memberi tekanan pada not-not tertentu, akan menambah variasi pada ciptaan anda dan seterusnya tambah menarik lagi persembahan. Oleh itu, pastikan anda meletakkan tanda-tanda dinamik dan stail pukulan dengan jelas dalam skor ciptaan anda.

TOPIK 2

ALAT PERKUSI W 27

AKTIVITI 2.7
1. Cuba cipta sebuah skor gubahan perkusi yang mengandungi bahagian-bahagian untuk dimainkan oleh simbal, claves dan cowbell. Pastikan anda menggunakan meter, nilai not dan tanda rehat yang sesuai dalam corak irama ciptaan anda. Bentangkan skor gubahan ciptaan anda untuk mendapat pandangan rakan-rakan dan tutor dalam sesi tutorial akan datang.

2.

2.3.3

Mempersembahkan Skor Ensembel Perkusi

Bermain alat-alat perkusi secara ensembel memerlukan kemahiran. Justeru itu, kemahiran ini perlu dipupuk secara terancang dan sistematik. Salah satu cara kemahiran ini dapat dipupuk ialah dengan memperbanyakkan peluang untuk murid mengadakan persembahan secara ensembel. Peluang untuk mengadakan persembahan boleh diadakan sama ada dalam bilik darjah mahupun dalam acaraacara persembahan sempena majlis yang diadakan di peringkat sekolah seperti di majlis anugerah dan hari sukan. Murid-murid gemar terlibat dengan persembahan muzik. Sebelum mengadakan persembahan, murid-murid perlu dilatih untuk memainkan bahagian masing-masing mengikut skor yang telah dicipta. Dalam lain perkataan, guru perlu membimbing murid untuk menginterpretasikan skor gubahan perkusi yang dicipta. Untuk tujuan ini, guru harus membimbing murid mengikut kaedah yang difikirkan sesuai. Biasanya guru akan menggunakan kaedah latih tubi bahagian demi bahagian sebelum menggabungkan semua bahagian untuk bermain secara ensembel. Terpulang kepada guru untuk menggunakan strategi latihan yang dirasakan paling berkesan mengikut suasana dan latar belakang murid masingmasing. Yang paling penting ialah memastikan supaya bimbingan yang diberikan dapat meningkatkan kepekaan murid terhadap aspek yang perlu diberi perhatian bagi permainan ensembel yang baik. Antara aspek permainan ensembel perkusi yang baik ialah ketepatan irama, imbangan yang baik dan ekspresi yang betul. Semua aspek ini perlu disepadukan bagi menghasilkan persembahan ensembel yang berkualiti. Guru juga harus menekankan aspek etika dan adab persembahan kepada murid. Mereka perlu diberitahu perkara-perkara yang boleh dan perkara yang tidak boleh dilakukan di atas pentas.

28 X TOPIK 2 ALAT PERKUSI

Setelah mengadakan persembahan, tidak kira sama ada sesuatu persembahan itu memuaskan atau tidak, penghargaan dan pujian harus diberikan kepada murid sebagai motivasi dan untuk meningkatkan keyakinan diri mereka. Sekiranya keadaan mengizinkan, dicadangkan supaya guru dapat membuat rakaman audio dan video terhadap persembahan mereka. Rakaman ini dapat ditonton bersama-sama murid sebagai satu cara mendidik murid untuk membuat refleksi ke atas persembahan mereka sendiri. Dengan cara ini, guru dapat mendidik murid bersikap kritis dan memahirkan mereka membuat penilaian yang jujur ke atas kualiti persembahan mereka. Guru juga harus menggalakkan murid mengeluarkan pandangan untuk memperbaiki kelemahan dalam permainan dan perkara yang harus dilakukan untuk meningkatkan lagi mutu persembahan.

Simbal, claves dan cowbell merupakan alat perkusi yang diklasifikasikan dalam keluarga alat idiofon. Terdapat pelbagai jenis dan saiz simbal yang dicipta sejak zaman berzaman seperti Simbal laga, simbal gantung, simbal India dan simbal China.

Claves adalah alat perkusi idiofon yang terdiri dari sepasang kayu tebal yang
berukuran antara 20cm hingga 30cm panjang. Prinsip asas memainkan claves ialah membiarkan sekurang-kurangnya satu claves bergema.

Cowbell merupakan alat perkusi idiofon yang diperbuat daripada besi.


Terdapat pelbagai saiz cowbell dalam pasaran, namun rupa bentuknya adalah sama iaitu seperti loceng lembu. Alat perkusi improvisasi diklasifikasikan sebagai alat perkusi bukan konvensional. Terdapat banyak kelebihan menjalankan aktiviti membuat dan memainkan alat perkusi improvisasi dalam bilik darjah. Perkara penting yang harus dipertimbangkan apabila menggunakan alat-alat improvisasi sebagai alat perkusi ialah bagaimana mendapatkan warna ton dan kualiti ton yang baik daripada objek-objek harian. Bahan buangan seperti tempurung kelapa, botol, tin dan bekas plastik kosong boleh digunakan untuk membuat alat-alat perkusi gantian. Skor perkusi merupakan notasi muzik untuk permainan alat perkusi sama ada untuk dimainkan secara solo, duet, atau untuk ensembel perkusi.

TOPIK 2

ALAT PERKUSI W 29

Dalam mencipta corak irama yang sesuai untuk sesuatu alat perkusi, perkara asas yang perlu diberi pertimbangan ialah ciri-ciri alat berkenaan dan cara alat tersebut dimainkan. Faktor-faktor yang harus diberi pertimbangan dalam mencipta skor ensembel perkusi ialah bentuk atau struktur skor gubahan, corak irama yang dimainkan oleh setiap alat dalam ensembel, tekstur (jalinan) gubahan dan kaitan dengan warna ton yang dihasilkan dan tanda-tanda ekspresi. Kemahiran bermain secara ensembel perlu dipupuk secara terancang dan sistematik serta memperbanyakkan peluang untuk membuat persembahan secara ensembel. Murid harus dididik untuk membuat penilaian dan refleksi ke atas persembahan mereka.

Alat ganti bukan konvensional Alat perkusi improvisasi

Paluan titir Simbal Skor gubahan perkusi Skor individu Skor perkusi

Claves Cowbell
Idiofon Neumonik

Morales, H et. al. (1995). How to play Latin American rhythm instruments. New York: Alfred Publishing. Blades, J. (1992). Percussion instruments and their history. Westport, Connecticut: The Bold Strummer Ltd. Cook, D. Gary (1988). Teaching percussion. New York: Schirmer Books.

30 X TOPIK 2 ALAT PERKUSI

Kementerian Pendidikan Malaysia (2000). Sukatan pelajaran kurikulum bersepadu pendidikan muzik sekolah rendah. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum. Kementerian Pendidikan Malaysia (2002). Huraian sukatan pelajaran pendidikan muzik sekolah rendah. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

You might also like