You are on page 1of 7

PENULISAN AKADEMIK

PERANAN GURU DALAM MENANGANI ISU TINGKAH LAKU BERMASALAH (PONTENG


SEKOLAH)

1.0 PENDAHULUAN

Dalam menempuhi arus perubahan ini sudah semestinya seseorang guru itu tidak akan terlepas
daripada berdepan dengan isu yang melibatkan tingkah laku bermasalah di sekolah. Di dalam
sekolah dan di dalam setiap bilik darjah, masalah disiplin memang berlaku, tidak kira apa jenis
kepimpinan guru atau apa jenis disiplin yang wujud (Mok Soon Sang, 2012). Hal ini kerana
murid-murid terdiri daripada berbagai-bagai latar belakang, sahsiah dan sosioemosi yang
berbeza-beza. Menerusi artikel yang bertarikh 17 Mac 2017, ‘Ponteng Sekolah Isu Bersama’,
membawakan satu isu yang tidak asing lagi barkaitan masalah tingkah laku murid. Jika dulu
masalah ponteng sekolah ini hanya dalam kalangan pelajar sekolah menengah, tetapi sekarang
murid sekolah rendah pun turut terbabit. Mengikut analisis yang telah diketengahkan oleh
Iszuan Lehan (2015), statistik 2011 menunjukkan gejala ponteng sekolah merupakan tingkah
laku bermasalah paling tinggi dilaporkan.

Rajah 1 : Statistik Tingkah Laku Bermasalah


2.0 PERANAN GURU DALAM MENANGANI ISU PONTENG SEKOLAH

2.1 MENGENAL PASTI PUNCA

Bersangkuan itu, dalam sebuah bilik darjah, guru bukan hanya memainkan peranan sebagai
pengajar tetapi juga sebagai pengurus. Ini bermakna guru tersebut perlu mengetahui serba-
serbi mengenai ‘klien’ iaitu murid-muridnya. Salah satunya ialah dengan mengetahui sebab
atau punca berlakunya tingkah laku bermasalah tersebut. Berkenaan isu ponteng sekolah ini
misalnya, secara logiknya murid tersebut tidak akan ponteng sekolah jika tiada sesuatu sebab
yang mendorongnya melakukan hal tersebut. Berdasarkan model akibat logikal Dreikurs dalam
buku Pengurusan Disiplin dan Bilik Darjah (2016), guru perlu mengenal pasti punca kepada
masalah tingkah laku tersebut. Dreikurs menyenaraikan antara motif berlakunya masalah ini
adalah untuk mendapatkan perhatian, mencabar kuasa, membalas dendam dan mempamerkan
kekurangan. Berkenaan gejala ponteng sekolah, guru seharusnya menyelidiki sebab
berlakunya hal tersebut.

2.2 MEMBINA HUBUNGAN DENGAN IBU BAPA

Menurut Aznan Che Ahmad..[et.al] (2010), berlakunya sesuatu tingkah laku bermasalah
biasanya kerana tidak mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa dan pengaruh
rakan sebaya. Sedangkan menurut hierarki keperluan Maslow dalam buku Murid dan
Pembelajaran (2017), keperluan kasih sayang merupakan keperluan kekurangan yang perlu
dipenuhi. Apabila hal ini berlaku, mereka akan cuba untuk mendapatkan perhatian dengan cara
melakukan masalah tingkah laku ini. Contohnya dalam sesebuah bilik darjah, murid seperti ini
akan cuba mendapatkan perhatian dengan menggendangkan meja, bercakap atau bersiul
ketika guru sedang mengajar. Oleh itu, tindakan terbaik guru adalah dengan mendekati anak
murid yang memerlukan belaian kasih sayang (Wong Kiet Wah..[et.al]). Jadi sebagai guru, kita
perlu berkolaborasi dengan ibu bapa agar keperluan kekurangan ini dipenuhi dan menyelidiki
latar belakang mereka untuk mengelakkan gejala ini berlaku. Dalam model pengurusan disiplin
Thomas Gordon juga ada menerangkan mengenai berhubung dengan ibu bapa untuk
menangani masalah disiplin murid. Disebabkan itulah wujudnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) sebagai wadah untuk kita gunakan sebagai salah satu pendekatan.
2.3 MENINGKATKAN KUALITI PENGURUSAN BILIK DARJAH

Sesungguhnya tujuan utama pengurusan bilik darjah ialah menjaga disiplin bilik darjah supaya
mewujudkan keadaan yang membolehkan mereka mengikuti pelajaran tanpa sebarang
gangguan. Menurut Hill dalam buku Murid dan Pembelajaran (2017), pembelajaran berlaku
apabila pengalaman menyebabkan suatu perubahan yang agak kekal dalam pengetahuan atau
tingkah laku seseorang.” Ini bermakna, jika tidak berlaku perubahan yang menandakan
perkembangan minda dan tingkah laku, maka tiadalah berlakunya pembelajaran. Jadi, untuk
mewujudkan perubahan tingkah laku ini, sesi pengajaran dan pembelajaran itu haruslah efektif.
Kadang-kadang sesi pengajaran yang tidak menarik merupakan salah satu faktor murid
ponteng sekolah. Keratan akhbar Berita Harian yang bertarikh 20 September 2013 (Rujuk
Gambar 1), mengatakan bahawa sikap guru punca berlakunya ponteng sekolah. Hal ini kerana
cara pengajaran guru yang terlalu membosankan dan tidak kreatif serta guru yang bersikap
terlalu garang membuatkan murid-murid takut untuk pergi ke sekolah.

Gambar 1: Sikap guru punca ponteng


Guru
Agresif
Akibat
daripada -bersifat
tingkah laku autokratik
yang
ditunjukkan Guru Tidak
Model Asertif
Disiplin -tidak
Asertif Canter konsisten
Peneguhan
tingkah laku Guru Asertif
yang diingini -jelas dengan
matlamat
pengurusan

Rajah 2 : Model Disiplin Asertif Canter

Oleh itu, perkara ini perlu diubah agar suasana pembelajaran bilik darjah tersebut menjadi
sesuatu yang menenangkan. Merujuk kepada Model Disiplin Asertif Canter dalam buku
Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku, model ini menggariskan tiga jenis guru iaitu guru
yang agresif, tidak asertif dan asertif. Untuk menjadikan sesi pengajaran berkesan, guru perlu
mengamalkan pendekatan asertif di mana jelas dengan matlamat, mengambil berat dan
berlaku adil kepada semua murid. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan
kerana ianya memerlukan pengawalan dan jiwa seorang pendidik yang tinggi. Kemahiran dan
kesabaran juga sangat diperlukan dalam situasi sebegini. Disebabkan itulah guru asertif yang
mempunyai jiwa seorang pendidik ini penting dalam mengawal tingkah laku murid di dalam bilik
darjah. Contohnya di dalam kelas, jika kita melihat ada murid yang kelihatan murung dan tidak
bermaya, guru yang asertif akan memainkan peranan dengan bertanyakan masalah mereka.
Fahamilah mengapa mereka bertingkah laku sebegitu, apa masalah mereka dan dari situ kita
dapat tahu, seterusnya membantu mereka untuk menerima proses pengajaran dan
pembelajaran.

Selain itu, dalam model disiplin Asertif Canter ini juga menjelaskan peneguhan terhadap tingkah
laku yang diiingini dan penerimaan murid akibat daripada tingkah laku yang ditunjukkan. Dalam
konteks murid ponteng sekolah, ini merupakan tingkah laku yang tidak diingini. Sebagai guru,
kita perlu menjelaskan kepada mereka akibat daripada tingkah laku mereka tersebut supaya
mereka faham dan cuba untuk berubah. Penjelasan perlu dilakukan secara perbincangan
dengan murid-murid dan bukannya berbentuk ancaman (Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar,
2016). Contohnya guru perlu menjelaskan jika mereka ponteng sekolah, keputusan akademik
mereka akan terjejas dan harapan ibu bapa mereka untuk melihat mereka berjaya akan
musnah. Bagi menggalakkan murid hadir ke sekolah, peneguhan terhadap tingkah laku yang
diingini juga perlu dilakukan. Menurut Supiah Nachiappan (2012), pemberian peneguhan oleh
keluarga dan sekolah ke atas tingkah laku yang baik juga dapat memberikan sumbangan yang
bermakna dalam membentuk tingkah laku berdisiplin. Contohnya, kita boleh berkolaborasi
dengan pihak sekolah untuk memberikan hadiah kepada murid yang menujukkan peningkatan
prestasi kehadiran pada setiap bulan. Hal ini akan membuatkan mereka lebih bersemangat
untuk hadir ke sekolah.

Di samping itu, guru perlu melakukan sesuatu agar dapat membuatkan murid berasa seronok
apabila berada di dalam bilik darjah. Harus diingat bahawa murid–murid yang diajar itu
bukannya robot atau patung. Sebagai guru kita perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran
supaya murid tidak mudah berasa bosan. Contohnya dengan menggunakan kaedah bercerita
menggunakan kad imbasan atau ‘puppet’. Nada suara yang digunakan juga perlu bersesuaian
dengan watak yang disampaikan dalam cerita. Menurut Wan Nor Faezah dalam penulisannya,
kanak-kanak lebih tertarik jika bahan maujud digunakan oleh guru dalam pengajaran. Bukan itu
sahaja, guru boleh menggunakan kaedah belajar sambil bermain. Alangkah seronoknya murid-
murid jika guru berkata, “baiklah, hari ini kita akan bermain !”. Mereka tentu berasa seronok
untuk belajar kerana fitrah kanak-kanak yang sukakan keseronokan dan bermain. Jadi, guru
perlu kreatif untuk mempelbagaikan ‘menu’ pengajaran agar murid-murid berasa teruja dan
tertunggu-tunggu ‘menu’ pengajaran apakah yang akan dilakukan oleh guru tersebut. Hal ini
akan membuatkan elemen keseronokan dalam belajar itu wujud dan sekaligus menarik minat
murid untuk hadir ke sekolah.

3.0 INTERVENSI BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Dalam mengendalikan tingkah laku bermasalah ini, bimbingan dan kaunseling amat diperlukan.
Hal ni kerana murid tersebut mungkin tersalah langkah dan dipengaruhi oleh persekitaran
mereka. Mereka sentiasa terdedah kepada ransangan-ransangan negatif yang mendorong
mereka untuk membuat pilihan-pilihan yang salah. Sebagai guru kita perlu membimbing mereka
supaya mereka tahu tindakan yang mereka lakukan adalah salah. Menurut Mok Soon Sang
(2010), bimbingan adalah salah satu tugas pendidikan. Jadi, kita sebagai guru perlu
menyedarkan mereka tentang kebolehan dan kelemahan diri serta bantu mereka memperbaiki
sahsiah diri. Apabila dikatakan bimbingan dan kaunseling, hal ini bukan sekadar cakap-cakap
kosong, ianya memerlukan kemahiran bukan lisan yang baik seperti dalam Rajah 2
(Mohammad Aziz Shah.. [et.al], 2009).

Nada Suara

Senyuman Sentuhan

Kemahiran
Bukan Lisan
Kontak Mata Ekspresi
Muka

Tahap Warna dan


Tenaga Cara Pakaian

Rajah 2 : Kemahiran Bukan Lisan

Seterusnya, guru sebagai kaunselor perlu mendapatkan kepercayaan murid tersebut terlebih
dahulu barulah luahan hati dapat dilakukan. Apabila kita telah mendapatkan kepercayaannya,
itulah masa yang tepat untuk kita ‘menyentuh’ hati mereka dengan kata-kata yang memberi
impak kepada murid tersebut. Contohnya, dalam masalah ponteng, kita katakan pada mereka
bahawa mereka punyai masa hadapan yang berharga dan perlu merebut peluang yang ada.
Jika bukan mereka yang merubah diri mereka, siapa lagi ? Perlu diingat bahawa bimbingan dan
kaunseling ini bukanlah suatu penyelesaian masalah, ianya hanya merupakan pembuka jalan.
Pokok pangkalnya adalah murid tersebut yang perlu membuat keputusan sendiri berdasarkan
kesedaran mereka.
4.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, guru memainkan peranan penting dalam menangani isu ponteng sekolah atau
apa-apa sahaja tingkah laku bermasalah di sekolah. Masalah akan terus menjadi masalah jika
kita tidak menyelesaikannya. Jadi, guru perlu bijak dalam membina hubungan dan
menguruskan bilik darjah agar dapat mengurangkan tingkah laku bermasalah tersebut. Setiap
murid itu berbeza-beza dan mempunyai kelebihan masing-masing. Mereka juga mempunyai
potensi yang berbeza dalam fitrahnya. Untuk itu, kita perlu bertindak sebagai pemudah cara,
berkolaborasi dengan murid dan menyokong pembelajaran mereka sehingga dapat
menyerlahkan bakat mereka. Dalam dunia pendidikan ini sememangnya banyak cabaran bak
kata pepatah, laut mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Jadi, sebagi
guru kita perlu menyiapkan diri dengan ketahanan emosi dan minda yang kreatif demi
mencapai matlamat pendidikan untuk melahirkan insan yang seimbang.

You might also like