You are on page 1of 10

BAB 3

KAEDAH KAJIAN

3.1 Pendahuluan

Bab ini akan menjelaskan tentang kaedah dan strategi yang digunakan oleh pengkaji
untuk memastikan proses pengumpulan data dan analisa data menepati objektif kajian.
Ia mencakupi langkah-langkah menentukan kesahan dan kebolehpercayaan, mengenai
proses menemubual, membuat pemerhatian dan penyemakan dokumen sehingga ke
peringkat terakhir iaitu analisis data untuk membentangkan dapatan kajian.

3.2 Rekabentuk Kajian

21
3.3 Pengumpulan Data

Terdapat tiga peringkat proses pengumpulan data iaitu sebelum lawatan, semasa
lawatan dan selepas lawatan ke Pusat Jagaan (Rumah Kebajikan). Pengkaji memastikan
terdapat langkah berjaga-jaga pada setiap peringkat agar setiap aktiviti menepati
peraturan dan syarat-syarat pihak terlibat serta data yang terkumpul tidak diragui.

3.3.1 Kesahan dan Kebolehpercayaan

Kesahan bagi kajian ini melibatkan langkah-langkah mendapatkan kelulusan


cadangan kajian daripada Penyelia dan pelaporan skop dan hasil kajian kepada
Jawatankuasa Penilaian di peringkat fakulti. Perbincangan dengan Penyelia
dibuat pada minggu pertama dan ke-2 manakala pembentangan di hadapan
Jawatankuasa Penilaian Peringkat Fakulti adalah pada minggu ke-10. Proses
kelulusan cadangan kajian oleh Penyelia adalah khusus kepada semakan dan
penentuan objektif, soalan-soalan serta kaedah kajian. Aktiviti semakan ini turut
melibatkan maklumbalas daripada pelajar-pelajar lain yang turut diselia oleh
Penyelia. Surat-surat perakuan dan kelulusan daripada pihak berwajib iaitu
Pengesahan Diri daripada fakulti serta kelulusan daripada Pusat Jagaan diperoleh
terlebih dahulu sebelum lawatan-lawatan di buat ke Pusat Jagaan berkenaan.
Pengkaji memastikan pihak institusi iaitu Pusat Jagaan memahami objektif dan
tujuan kajian ini dilakukan untuk memastikan maklumbalas atau maklumat yang
diperoleh daripada Pusat Jagaan adalah boleh dipercayai. Kebolehpercayaan
maklumat lisan diperkukuh dengan kesediaan pihak institusi untuk membenarkan
pengkaji membuat semakan terhadap beberapa dokumen berkaitan.

3.3.2 Populasi dan Sampel Kajian

Berdasarkan kepada Laporan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM, 2016)


terdapat seramai 11,499 kanak-kanak yang menjadi penghuni di 564 buah Pusat
Jagaan di seluruh Negeri Selangor. Jumlah ini adalah 32% daripada jumlah

22
kanak-kanak yang menghuni Pusat Jagaan di seluruh negara dan peratusan ini
dianggap tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Tiada sebarang kriteria khusus ditetapkan untuk memilih sesebuah Pusat Jagaan
sebagai lokasi kajian. Bagaimanapun langkah-langkah yang diambil bagi
mendapatkan persetujuan penyertaan sesebuah Pusat Jagaan adalah seperti
berikut:-
(i) Pengkaji meneliti senarai Pusat Jagaan (Rumah Kebajikan) yang
berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).
(ii) Pengkaji menyenarai pendek senarai Pusat Jagaan yang berdekatan
dengan Universiti Selangor (UNISEL) khususnya yang terdapat di
sekitar Kuala Selangor, Rawang, Sungai Buloh, Shah Alam dan Klang.
(iii) Pengkaji menyemak latar-belakang sesebuah Pusat Jagaan berdasarkan
carian di internet. Amnya Pusat Jagaan yang mempunyai halaman
sesawang (website) dengan memaparkan maklumat-maklumat yang
tertentu akan cenderung untuk dipilih menyertai kajian ini.
(iv) Pengkaji menghubungi Pusat Jagaan terpilih untuk mendapatkan
persetujuan untuk terlibat dengan kajian ini.
(v) Pengkaji melakukan lawatan, temubual, pemerhatian dan semakan
dokumen di Pusat Jagaan yang bersetuju terlibat dengan kajian ini.

Daripada tindakan-tindakan di atas pengkaji berjaya mendapatkan empat buah


Pusat Jagaan untuk dijadikan sebagai lokasi kajian. Bilangan ini dianggap
memadai bagi tempoh kajian selama 16 minggu. Senarai Pusat Jagaan yang
bersetuju terlibat dengan kajian ini adalah:
(1) Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Kasih beralamat di Lot 53958,
Batu 3, Jalan Kapar, Kampung Sungai Pinang, 42100 Klang, Selangor.
(2) Persatuan Rumah Kebajikan Rita beralamat di No 12, Lot 6939, Batu 10¼
Jalan Kapar, 42200 Kapar, Selangor.
(3) Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Permata Rohani beralamat di No. 24,
Jalan Desa 7/8, Bandar Country Homes, 48000 Rawang, Selangor.
(4) Rumah Charis beralamat di Lot 10064, Jalan Awan Pintal, Taman Yarl,
58200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

23
3.3.3 Prosedur Pengumpulan Data

Pengumpulan data terbahagi kepada 3 peringkat iaitu sebelum lawatan, semasa


lawatan dan selepas lawatan ke Pusat Jagaan.

3.3.3.1 Sebelum Lawatan

Pengkaji mendapatkan maklumat latar-belakang Pusat Jagaan melalui


carian di laman sesawang iaitu butir-butir berikut:-
(i) Tahun penubuhan
(ii) Carta Organisasi dan seumpamanya
(iii) Matlamat, Objektif, Visi dan Misi
(iv) Bilangan penghuni
(v) Senarai aktiviti yang dilakukan
(vi) Pencapaian
(vii) Lain-lain yang berkaitan

3.3.3.2 Semasa Lawatan

Pengkaji menemubual Pengusaha atau Pentadbir Pusat Jagaan atau


sesiapa yang dinamakan bagi mendapatkan maklumat berikut:
(i) Inspirasi untuk menubuhkan Pusat Jagaan.
(ii) Cabaran dan masalah menguruskan Pusat Jagaan.
(iii) Isu-isu berbangkit berkaitan pendidikan kanak-kanak.

Pengkaji turut melakukan pemerhatian serta semakan dokumen untuk


mendapatkan gambaran lebih jelas tentang persekitaran kehidupan
khususnya mengenai pendidikan kanak-kanak di Pusat Jagaan.

3.3.3.3 Selepas Lawatan (proses triangulasi data)

Pengkaji meneliti semula maklumat yang diperoleh daripada temubual,


pemerhatian dan semakan dokumen di Pusat Jagaan melalui carian
maklumat tambahan dan lebih terperinci di laman sesawang dan

24
sumber maklumat bercetak lain. Pengkaji melakukan lawatan susulan
atau menghubungi semula Pusat Jagaan untuk mendapatkan maklumat-
maklumat tambahan apabila terdapat hal-hal yang tertentu.

3.3.4 Kajian Rintis

Proses pencarian dan pengumpulan data khususnya untuk mendapatkan


persetujuan penyertaan Pusat Jagaan (Rumah Kebajikan) adalah agak sukar
dalam batasan masa yang singkat. Tiada kajian rintis dilakukan kerana pengkaji
ingin menggunakan sepenuhnya peluang menemubual dan melawat sesebuah
Pusat Jagaan. Bagaimanapun simulasi temubual diadakan dengan individu
terpilih di bawah pemerhatian Penyelia dengan tujuan untuk memastikan pengkaji
bersedia dan fasih menuturkan dialog agar temubual berjalan lancar.
Penambahbaikan khususnya berkaitan strategi temubual di buat antara minggu ke
minggu selepas sesebuah Pusat Jagaan dilawati.

3.4 Instrumen Kajian

Instrumentasi atau proses pengumpulan data dalam kajian ini melibatkan tiga aktiviti
iaitu temubual berstruktur, pemerhatian dan semakan dokumen di institusi serta carian
maklumat di laman sesawang dan dokumentasi berkaitan (triangulasi data). Oleh kerana
data yang dikumpul bersifat kualitatif, agar sukar kepada pengkaji untuk mendapatkan
objektiviti mutlak bagi setiap instrumen yang digunakan. Antara pertimbangan yang
diberi keutamaan oleh pengkaji adalah memastikan instrumen dapat digunakan dalam
tempoh masa yang sesuai, mempunyai arahan yang jelas, penskoran mudah dilakukan
dan keupayaan pengkaji untuk membuat intepretasi daripada data yang dikumpul.
Pengkaji membangunkan sendiri instrumen kajian kerana skop kajian ini adalah agak
mudah. Tambahan pula pengkaji berpendapat lebih mudah berbuat demikian
berbanding membuat carian di laman sesawang seterusnya mendapatkan kelulusan
pihak tertentu bagi mengubahsuai instrumen pengkaji terdahulu dalam tempoh kajian
yang terbatas.

25
3.4.1 Senarai Semak Temubual

Senarai semak temubual (SST) adalah seperti di Lampiran I. Senarai semak ini
dibangunkan dengan tujuan untuk memudahkan pengkaji membuat intepretasi
mengenai sumber inspirasi di sebalik penubuhan sesebuah Pusat Jagaan,
kefahaman pihak berkepentingan terhadap cabaran dan permasalahan
menguruskan Pusat Jagaan serta isu-isu berkaitan pendidikan di kalangan kanak-
kanak di Pusat Jagaan.

3.4.2 Senarai Semak Pemerhatian

Senarai semak pemerhatian (SSP) adalah seperti di Lampiran II. Senarai semak
ini dibangunkan dengan tujuan untuk memudahkan pengkaji membuat intepretasi
mengenai persekitaran kehidupan dan pembelajaran di sesebuah Pusat Jagaan.

3.5 Kaedah Analisis Data

Analisis data adalah berdasarkan kepada model Miles & Huberman (1994) yang
mengikut komponen tertentu iaitu pengumpulan, penguncupan, pengolahan dan
kesimpulan seperti berikut:
(i) Pada peringkat pengumpulan, semua data daripada pelbagai sumber samada
temubual, pemerhatian, rakaman video dan sebagainya dikumpulkan serta
dibuat transkrip di mana perlu.
(ii) Peringkat penguncupan data berlaku apabila data yang sama digabungkan
berdasarkan kod atau kata-kunci yang telah dikenal pasti. Penyelidik
menggunakan kerangka dengan kod tertentu sebagai satu cara menyusun atur
teks untuk dibuat interpretasi. Langkah ini juga dianggap sebagai proses
pembersihan data yang memerlukan penyelidik membaca maklumat berulang
kali dan memahami maklumat sambil meninjau jenis-jenis pengkodan yang

26
akan dibuat, sama ada maklumat itu boleh dikategorikan dengan tema-tema
tertentu yang berkaitan dengan fokus kajian.
(iii) Seterusnya adalah pengolahan dan pengorganisasian semula data untuk
menjawab persoalan kajian yang telah ditentukan.
(iv) Akhir sekali, rumusan dibuat sebagai kesimpulan kepada hasil penyelidikan.

3.6 Etika Kajian

Amnya keseluruhan kajian ini tidak melibatkan apa-apa perkara yang berisiko atau
memberi mudarat kepada subjek khususnya di pihak institusi samada kepada pentadbir
atau kanak-kanak yang ditemubual. Aktiviti pemerhatian dan semakan dokumen di
institusi juga tidak melibatkan sebarang aktiviti bersifat sentuhan fizikal atau
seumpamanya. Namun begitu pengkaji tetap memberi keutamaan prinsip etika
penyelidikan khususnya apabila menyentuh tentang isu-isu berkaitan integriti,
sensitiviti dan profesionalsme sepanjang kajian ini dilakukan. Prinsip etika yang
diamalkan adalah mencakupi dua perkara utama iaitu tanggungjawab pengkaji kepada
subjek dan tanggungjawab pengkaji kepada perundangan.

3.6.1 Tanggungjawab Kepada Subjek

Antara prinsip etika bagi menunjukkan tanggungjawab pengkaji kepada subjek


(pihak institusi/Pusat Jagaan/Rumah Kebajikan) adalah:
(i) Pengkaji mendapatkan keizinan daripada subjek kajian iaitu pihak
bertanggungjawab di Pusat Jagaan (Rumah Kebajikan) untuk terlibat
dalam pungutan data. Pihak institusi dimaklumkan boleh menarik diri
daripada penyelidikan pada bila-bila masa atau menghalang penerbitan
mana-mana maklumat yang dianggap sulit kepada institusi.
(ii) Pengkaji bersikap jujur dengan pihak institusi iaitu melaporkan dapatan
dengan jelas, menerangkan prosedur penyelidikan serta status penerbitan
dengan jujur. Pengkaji tidak memalsukan data atau cuba memperdaya
pihak institusi yang terlibat dan masyarakat umum tentang dapatan kajian.

27
(iii) Pengkaji meminimumkan bahaya dan risiko serta memaksimumkan
faedah serta menghormati maruah, harga diri, privasi dan berusaha
mengagihkan faedah dan beban penyelidikan adil dan saksama.
(iv) Pengkaji berpegang kepada janji dan amanah serta bertindak dengan
ikhlas dan mengekalkan tindakan dan idea yang konsisten sepanjang
kajian.
(v) Pengkaji berusaha untuk mengelakkan kesilapan dengan melakukan
kajian secara teliti, kritis dan berhati-hati. Pengkaji menyimpan rekod
aktiviti kajian seperti pengumpulan data, kaedah kajian dan urusan dengan
agensi-agensi yang terlibat atau pun senarai jurnal yang digunakan.
(vi) Pengkaji bersedia berkongsi data dan hasil kajian dengan penyelidik lain
serta terbuka kepada kritikan dan idea baru.

3.6.2 Tanggungjawab Kepada Perundangan

Prinsip etika menunjukkan tanggungjawab pengkaji kepada perundangan adalah:


(i) Pengkaji memastikan undang-undang yang berkaitan dengan polisi
institusi berkaitan dan kerajaan dipatuhi sepanjang kajian ini dilakukan.
(ii) Pengkaji menghormati paten, hakcipta dan harta intelektual penyelidik
lain. Pengkaji memastikan penggunaan data, kaedah atau hasil
penyelidikan penyelidik lain digunakan dengan kebenaran serta
memberikan pengiktirafan kepada pihak yang terbabit.

3.7 Jadual Kerja dan Tempoh Kajian

Perancangan kerja bagi menyiapkan kajian ini adalah seperti di Jadual 2. Tempoh 16
minggu yang diberikan digunakan untuk tiga perkara utama iaitu:
(i) Menyediakan cadangan kajian serta mendapatkan kelulusan daripada fakulti,
institusi luar dan sebagainya (3 – 4 minggu).
(ii) Melakukan lawatan ke Pusat Jagaan (Rumah Kebajikan) bagi tujuan temubual,
pemerhatian dan semakan dokumen (5 – 6 minggu).

28
(iii) Analisa data kajian dan penulisan laporan (3 – 5 minggu).

Jadual 2. Pelan kajian berdasarkan Kalendar Akademik Universiti Selangor


Semester September 2017

Minggu Tarikh Aktiviti


1 2/10/2017 Pembentangan cadangan kajian kepada Penyelia (dan
penetapan skop kajian oleh Penyelia)
2 9/10/2017 Pembentangan cadangan penyelidikan (kolokium) kepada
Jawatankuasa Penilai Peringkat Fakulti
3 16/10/2017 Pemurnian cadangan kajian (Bab 1, Bab 2 dan Bab 3)
4 23/10/2017 Menghubungi Pusat Jagaan untuk penyertaan kajian
5 30/10/2017 Lawatan ke Pusat Jagaan (institusi 1)
6 6/11/2017 Lawatan ke Pusat Jagaan (institusi ke-2)
7 13/11/2017 Lawatan ke Pusat Jagaan (institusi ke-3)
8 20/11/2017 Lawatan ke Pusat Jagaan (institusi ke-4)
9 27/11/2017 Analisa data (dapatan kajian)
10 4/12/2017 Perbincangan susulan di Pusat Jagaan (triangulasi data)
11 12/12/2017 Penulisan Bab 4 dan Bab 5
12 18/12/2017 Penulisan Bab 4 dan Bab 5
13 26/12/2017 Semakan (perbincangan) Bab 4 dan Bab 5 oleh Penyelia
14 2/01/2018 Pembetulan Bab 4 dan Bab 5
15 8/01/2018 Penjilidan hasil kajian
16 15/01/2018 Serahan hasil kajian untuk penilaian oleh Penyelia

3.8 Kesimpulan

Kajian ini amnya melibatkan pengumpulan data kualitatif iaitu pengumpulan maklumat
atau data berbentuk teks atau ayat-ayat yang tidak mempunyai struktur tertentu melalui
temubual berstruktur, pemerhatian dan semakan dokumen. Bagi memastikan maklumat
yang diperoleh lebih tepat dan sah dari segi konstruk serta boleh dipercayai maka
kaedah triangulasi data dilaksanakan iaitu dengan merujuk kepada perkara yang sama

29
dari sumber yang berbeza (perbandingan maklumat antara institusi) melalui carian di
internet dan laporan daripada pengkaji terdahulu. Prinsip etika adalah untuk
memastikan isu-isu berkaitan sensitiviti dan integriti yang terdapat di persekitaran Pusat
Jagaan (Rumah Kebajikan) terpelihara.

RUJUKAN

Jabatan Kebajikan Masyarakat (2016). Statistik 2016. Muat-turun pada 25/12/2017 daripada
http://www.jkm.gov.my/jkm/uploads/files/penerbitan/Buku%20statistik%202016.pdf
Miles & Huberman (1994). Qualitative Data Analysis.

30

You might also like